
SELAMAT pagi, bonda,” ucap Tengku Ashraf.
Cermat kakinya memijak lantai tingkat bawah rumah Tengku Diana pagi itu. Dia sedikit kaget tatkala terperasan kehadiran Datin Maznah di ruang tamu rumah.
“Eh, mak cik, bila datang? Tak perasan pula saya,” kata Tengku Ashraf sedikit girang. Dihulur tangan kepada Datin Maznah. Wanita itu segera menyambut.
“Punyalah lama mak cik kat sini, boleh kamu tak perasan. Dah berakar pun punggung mak cik kat sofa
rumah bonda kamu ni,” seloroh Datin Maznah. Matanya memandang lelaki itu duduk di lengan sofa seraya membutang lengan baju kemejanya.
Tengku Ashraf tersenyum lebar.
“Minta maaflah, mak cik. Saya betul-betul tak perasan kehadiran mak cik tadi. Kalau tak saya terpandang muka cantik mak cik tu tadi, rasanya sampai ke esok pagi pun saya tak sedar mak cik ada kat sini,” gurau Tengku Ashraf sekali gus meluahkan tawa kecil Datin Maznah. Senang dia dengan tingkah ramah lelaki itu. Tingkah yang tidak pernah berubah sejak dia mengenali lelaki itu sedari dulu.
“Kamu tahu, Ash, Atika dah balik ke Malaysia.” Tengku Diana terus memberi laporan.
“Ya? Habis tu kenapa mak cik tak ajak dia datang ke sini sekali?” tanya Tengku Ashraf begitu teruja dengan khabar yang baru kini berada dalam pengetahuan. Bulat saja matanya melekap pada wajah Datin Maznah. Wanita itu sudah merengus halus.
“Huh, nak ajak apanya, Ash, kawan kamu tu bukannya sampai ke rumah lagi. Nama saja dah balik ke
Malaysia tapi sampai sekarang batang hidungnya pun mak cik belum nampak. Entah ke mana dia merayap pun mak cik tak tahulah,” rungut Datin Maznah tentang sikap anak daranya yang ternyata tidak seperti anak anaknya yang lain.
Tengku Ashraf tersenyum lebar.
“Alah, biasalah tu, mak cik. Atika tu mana tahu duduk diam. Ada saja kerja yang nak dibuatnya setiap minit. Masa kami di sekolah dulu pun, mana dia ada masa nak duduk melepak macam pelajar-pelajar lain. Sibuk saja dengan pelbagai persatuan dan kelab. Itu belum dikira lagi dengan beberapa kegiatan sukan yang turut disertainya,” sahut Tengku Ashraf lebih memenangkan sahabat baik yang telah lama tidak ditemuinya.
“Tak apalah, mak cik, saya minta diri dulu ya. Nak ke pejabat. Nanti kalau lambat tersangkut pula dalam
traffic jam. Alamatnya lambatlah saya masuk ke pejabat nanti,” ujar Tengku Ashraf lagi meminta izin seraya menghulur tangan kepada Tengku Diana sebelum beralih kepada Datin Maznah.
“Mak cik, nanti kalau Atika dah balik rumah, jangan lupa kirim salam saya pada dia ya? Bagi tahu dia ada masa datanglah jumpa saya. Dah lama kami tak berjumpa. Teringin juga nak berbual dengan dia. Mesti banyak perkara yang boleh kami bualkan nanti,” pesan Tengku Ashraf sebelum melangkah keluar, mendapatkan keretanya yang diparkir di garaj rumah.
Mata Datin Maznah mengekori setiap langkahnya. Hingga Tengku Ashraf hilang daripada pandangannya barulah wanita itu kembali memusing wajah, menghadap Tengku Diana semula.
“Sedar tak sedar, dah besar panjang pun anak-anak kita ya. Dulu masing-masing berusia belasan tahun masa baru berkawan. Sekarang ni dah layak dipanggil mak ayah budak pun.” Datin Maznah bersuara.
Tengku Diana mengangguk kecil.
“Betul kata kau tu, Maz. Anak-anak kita membesar tanpa kita sendiri sedar. Tahu-tahu dah besar panjang. Esok-esok, dah jadi mak ayah pula,” ucap Tengku Diana mengulang kata-kata sahabatnya.
“Oh ya, Na, bukankah Ashraf tinggal di rumahnya sendiri di Bukit Damansara tu? Dia dah berpindah
balik ke sini ke?” tanya Datin Maznah. Pertanyaannya mengundang keluhan Tengku Diana.
“Mana ada dia pindah ke sini, Maz. Anak aku tu tengah cari pembantu rumah sekarang. Rumahnya tu
dah macam tongkang pecah. Aku sendiri pun tak selera nak pergi tengok. Bersepah-sepah mengalahkan tempat pembuangan sampah,” balas Tengku Diana.
“Pembantu rumahnya yang dulu tu pergi mana? Dah berhenti kerja ke?” tanya Datin Maznah lagi.
“Ha’ah. Dah balik ke Indonesia pun. Ada masalah keluarga katanya. Ingatkan nak balik sekejap saja.
Rupa-rupanya balik terus. Itu yang buat anak aku tu berulang-alik dari sini ke pejabat arwah suami aku tu. Tak ada siapa yang nak uruskan keperluan dirinya sekarang,” balas Tengku Diana.
“Susah-susah sangat, Na, kau suruh saja Ashraf kahwin. Tak payah nak cari pembantu rumah, duit pun tak habis membayar upah pada orang. Rumah pun tersusun rapi. Siap ada orang boleh jaga sakit demam dia lagi,” cadang Datin Maznah. Dia tidak tahu cadangan itu juga telah lama bersarang di kepala Tengku Diana.
“Itulah, Maz, dah puas aku pujuk anak lelaki aku tu kahwin. Huh, jangan katakan nak buat, nak dengar pun tak mahu. Pening aku dibuatnya,” sambut Tengku Diana lemah. Dia terdiam seketika sebelum kembali bersuara.
“Maz, anak dara kau tu dah ada orang ke?” Soalan tiba-tibanya mengerutkan dahi Datin Maznah seketika.
“Anak dara aku? Anak aku yang mana pula?” tanya Datin Maznah kembali.
“Yang mana lagi kalau bukan si Atika tulah. Takkan Marshilla pula,” ujar Tengku Diana.
Datin Maznah segera mencebik bibir.
“Atika? Huh, jangan katakan teman lelaki istimewa, kawan lelaki pun dia tak ada. Kau tahu sajalah sikap dia tu. Bukannya suka sangat nak bergaul dengan orang,” keluh Datin Maznah. Sedikit sayu mengenang keadaan anaknya namun hanya seketika bila tiba-tiba otaknya terfikir sesuatu.
“Yang kau tiba-tiba tanya pasal anak aku tu kenapa?”
“Alah, manalah tahu kalau-kalau kita ada peluang untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan kita
ni nanti,” jawab Tengku Diana berkias kata sambil tersenyum.
“Maksud kau?” tanya Datin Maznah biarpun dia mula mengerti dengan maksud sebenar kata-kata wanita itu.
“Yalah, mana tahu kita boleh berbesan nanti,” ucap Tengku Diana berterus terang. Dia menatap lama wajah Datin Maznah yang terdiam seketika sebelum wanita itu kembali bersuara.
“Boleh tu boleh, Na. Tapi mahu ke anak-anak kita tu?” soal Datin Maznah agak ragu-ragu dengan cadangan wanita yang telah lama dikenalinya itu.
“Eh, belum cuba belum tahu. Dia orang pun dah lama berkawan. Tak salah kalau kita berusaha rapatkan lagi hubungan dia orang tu,” kata Tengku Diana. Cepat saja dia menyahut. Cuba meyakinkan wanita itu tentang cadangannya itu sedang Datin Maznah sudah terdiam. Sedikit termakan dengan kata-kata wanita itu.
“Nantilah, aku fikir dulu tentang cadangan kau tu. Bagus juga ya kalau kita berbesan. Aku setuju sangat
dengan cadangan kau tu, tapi kau tahulah, Atika kan anak kesayangan suami aku. Mahu tak mahu aku kena tanya pada suami aku dulu tentang hal ni,” sahut Datin Maznah lambat-lambat.
Hati wanitanya telah seratus peratus menerima cadangan itu namun dia juga sedar. Perkara itu perlu
dirujuk dengan suaminya terlebih dulu, apatah lagi perkara sebesar itu melibatkan masa depan Atika, anak kesayangan Datuk Ahmad Shah.
“Tak apa, aku tak kisah. Kalau jadi, itu dikira rezeki kita. Tapi kalau tak jadi pun, kita tetap berkawan juga macam biasa,” ujar Tengku Diana tanda mengerti dengan keadaan itu. Begitu pun, dia begitu berharap cadangannya itu berjaya menjadi kenyataan satu masa nanti. Itu doa dan harapannya.
“Eh, dah lama benar aku kat rumah kau ni. Aku minta diri dululah ya. Aku nak buka butik aku kejap
lagi,” kata Datin Maznah sedikit menggelabah. Baru tersedar dirinya telah lama berada di rumah banglo itu. Terkocoh-kocoh dia menghabiskan minumannya.
“Kalau ya pun kau tunggulah sekejap lagi. Takkan nak balik dah,” sahut Tengku Diana berat hati melepaskan sahabat baiknya beredar.
Datin Maznah menyorong tangan kepada Tengku Diana. Dia menyambut perlahan.
“Aku kena balik sekarang, Na. Kalau tidak lambat pula aku sampai butik nanti. Lambat jugalah aku nak
siapkan kerja-kerja aku kat butik tu,” ujar Datin Maznah segera menapak keluar dari ruang tamu itu. Tengku Diana mengekori langkahnya dari belakang.
“Hati-hati bawa kereta tu, Maz,” kata Tengku Diana sewaktu Datin Maznah meloloskan tubuh ke dalam
kereta di laman rumah. Laju saja tangannya melambai apabila Datin Maznah membunyikan hon.
Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)