Followers

Friday, 20 December 2013

ISTERIKU CIK JAMBU BATU - BAB 5


BARU balik, Iskandar?” tegur Puan Sri Kamelia sebaik ternampak kelibat anak sulungnya di ruang tamu rumah. Anak terunanya mengangguk perlahan.
“Papa belum balik balik lagi, mama?” soal Iskandar pula. Dia merebah tubuh ke sofa. Wajah mamanya dipandang seketika.
“Papa kamu dah lama sampai ke rumah. Dia ada kat dalam bilik tu,” jawab Puan Sri Kamelia.
Iskandar kembali mengangguk. Dia menarik nafas panjang. Cuba meredakan keletihan yang masih bermukim dalam diri.
“Hah, Is, kamu baru sampai ke?” tanya Tan Sri Ismail baru melangkah turun dari tingkat atas. Dia menapak mendapatkan Iskandar yang sudah tersandar lemah di sofa.
“Ya, papa,” sambut Iskandar perlahan namun masih bernada sopan.
“Abang nak minum apa-apa ke? Lia boleh tolong buatkan,” tanya Puan Sri Kamelia menghulur khidmat.
Suaminya mengangguk kecil.
“Boleh juga,” jawab Tan Sri Ismail.
“Is, kamu nak air juga ke?” Iskandar mengangguk kecil. 
“Air putih ya mama,” pinta Iskandar lembut.
“Yalah,” sahut Puan Sri Kamelia lalu menghilangkan diri ke ruang dapur.
“Iskandar, papa dah semak kertas kerja yang kamu berikan pada papa minggu lepas tu. Papa rasa papa akan pertimbangkan dulu segala cadangan kamu berkenaan dengan projek hartanah kita di kawasan Ukay Perdana tu,” ujar Tan Sri Ismail.
“Terpulang pada papalah sama ada papa nak bersetuju atau tidak dengan cadangan tu. Saya hanya cadangkan saja,” sahut Iskandar sopan.
Tan Sri Ismail mengangguk kecil.
“Assalamualaikum.”
Terdengar saja suara seseorang memberi salam. Kedua-dua beranak itu segera berpaling. Terlupa sejenak pada perbualan mereka yang baru saja bermula. Pandangan mereka teralih pada sesusuk tubuh yang kini mengatur langkah ke ruang tamu rumah.
“Kamu dari mana ni, Mel? Dah petang begini baru nak nampak muka,” tegur Tan Sri Ismail sebaik saja
anak perempuannya melabuh punggung di sebelah Iskandar.
“Adik dari kelas. Ada ujian statistik tadi. Sebab tulah adik lambat balik hari ni,” jawab Imelda. Dia mengalih tubuh kepada Iskandar yang masih menyandar tubuh ke sofa. Lalu Imelda tersenyum lebar.
“Abang,” panggil Imelda penuh manja dan lembut.
Iskandar mengangkat kening kanannya. Sedikit kaget dengan nada yang jarang-jarang dapat didengar
dari mulut adik kesayangannya itu.
“Adik nak apa? Ni mesti ada apa-apa yang adik nak daripada abang, kan? Kalau tidak tak adanya adik nak panggil abang macam tu lembut,” tebak Iskandar merenung sejenak wajah cantik adik tunggalnya.
Imelda mengulum senyum.
“Mana ada. Adik cuma nak cakap sesuatu saja dengan abang,” sahut Imelda semakin manja. Wajah kaget abangnya dipandang lagi sementara jari-jemarinya sudah mengelus-elus lengan sasa abangnya.
Iskandar hanya membiarkan saja tingkah gadis itu. Dia cukup mengerti dengan sikap Imelda. Sejak kecil gadis itu begitu manja dengan Iskandar dan kedua-dua orang tua mereka. Dan bagi Iskandar yang tidak punya adik-beradik lain selain daripada Imelda, sikap gadis itu disenanginya meskipun adakala merimaskan.
“Hah, kan abang dah kata. Kalau dah baik sangat tu mesti ada saja yang dia nak. Apa dia?” tanya Iskandar lagi. Lalu melebarkan senyuman Imelda yang mendengar.
“Abang tahu, Shilla kata tak lama lagi kakak dia nak balik dari luar negara,” beritahu Imelda penuh gembira. Wajah terpinga-pinga Iskandar ditatap lama.
“Kakak Shila nak balik dari luar negara? Eh, kakak dia yang mana pula ni?” sampuk Puan Sri Kamelia baru keluar dari dapur. Dulang minuman diletak ke meja berdepan mereka. Wajah gembira anak daranya dipandang sejenak.
“Alah, kakak Shila yang duduk di luar negara tu,” sahut Imelda. Dia mencapai gelas berisi minuman sejuk di depannya. Diteguk beberapa kali.
Iskandar turut meneguk air putih kegemarannya.
“Maksud kamu anak perempuan sulung Datuk Ahmad Shah, Niza tu? Tapi bukankah Niza ada di Malaysia sekarang? Bila masa pula dia ke luar negara?” tanya Tan Sri Ismail. Sedikit pelik dengan kata-kata gadis itu.
“Bukan Kak Niza, papa, tapi Kak Atika. Kak Atika tu anak Pak Cik Ahmad yang ketiga, kalau tak silap adiklah,” sambut Imelda. Ditatap seketika wajah tercengangcengang kedua-dua orang tuanya. Silih berganti.
“Eh, tak pernah pula mama tahu yang Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Maznah kamu tu ada anak perempuan lain. Setahu mama, Niza dan Marshilla tu sajalah anak perempuan yang dia orang ada pun. Rafidah pula menantu dia orang,” jelas Puan Sri Kamelia kurang percaya dengan kata-kata anak perempuannya.
“Betul, ma. Kak Atika tu anak Pak Cik Ahmad. Adik pun terkejut masa Marshilla beritahu pasal hal ni pada adik beberapa hari lepas,” beritahu Imelda sungguh sungguh. Menambahkan kerutan pada wajah orang tuanya. Mereka terdiam sejenak.
“Macam tak percaya pula Ahmad tu ada anak perempuan lain.” Tan Sri Ismail bersuara lambat-lambat
selepas itu. Wajah anak daranya dipandang semula.
“Kalau papa tak percaya cakap adik, papa tanyalah sendiri pada Pak Cik Ahmad nanti,” sahut Imelda lalu mengalih perhatian kepada Iskandar. Dia tersenyum lagi sementara jari-jemarinya kembali mengelus lengan pemuda itu.
“Abang, kakak Marshilla dah nak balik ke Malaysia. Jadi apa kata kalau abang berkenalan dengan kakak Marshilla tu nanti?” ucap Imelda membuka cadangan yang telah lama berakar umbi di mindanya. Bulat matanya menatap wajah abang kesayangan. Penuh harapan.
“Buat apa pula?” soal Iskandar kaget. Gelas separuh kosong di tangannya di letak semula ke meja.
“Eh, abang ni, keluarga Pak Cik Ahmad kan dah macam keluarga kita sendiri,”
“Jadi?” tanya Iskandar masih tidak mengerti dengan kata-kata gadis itu.
“Jadi, apa salahnya kalau abang berkenalan dengan kakak Marshilla tu? Mana tahu, hubungan kita dengan dia orang boleh jadi lebih rapat,” tambah Imelda berkias kata.
“Maksud adik?” soal Iskandar lagi meskipun dia mengerti maksud kata-kata itu. Dipandang sejenak wajah Imelda sedang gadis itu terus merengus halus.
“Maksud adik, mana tahu adik dengan Marshilla boleh jadi saudara nanti,” tutur Imelda berterus terang.
Iskandar segera menarik muka masam.
“Tak payah merepeklah, dik. Tak adanya abang nak buat macam tu,” ujar Iskandar kembali menyandar
tubuh ke sofa. Tidak peduli Imelda sudah merengus buat kali kedua.
“Alah, merepek apanya. Dulu, masa mama dan papa nak jodohkan abang dengan Kak Niza abang tak nak. Sekarang ni, ada seorang lagi calon untuk abang. Abang cubalah, mana tahu impian adik ni boleh jadi kenyataan,” rengek Imelda. Lengan tegap abangnya digoncang-goncang sedikit.
“Isy, tak adalah abang nak jadikan impian merepek adik tu satu kenyataan,” sahut Iskandar pantas. Tidak mengendahkan Imelda yang mula memuncungkan bibir. Sedikit merajuk dengan sikap lelaki itu yang terang-terang menolak kemahuannya.
“Kalau betullah seperti kata adik kamu tu, Is, apa salahnya kalau kamu berkenalan. Mana tahu ada jodoh, boleh juga mak berbesan dengan Mak Cik Maznah kamu,” sampuk Puan Sri Kamelia tersenyum lebar. Dia turut meluah impian yang telah lama tertanam di hati dan mindanya. Impian serupa sepertimana yang ada di kepala suami dan anak perempuannya selama ini. Dia menyambung lagi sambil memandang Tan Sri Ismail. 
“Ya tak, bang?”
Tan Sri Ismail tersentak. Sedari tadi dia hanya membisu mulut. Sedang urat saraf otaknya ligat memikirkan kebenaran perkara yang baru diketahuinya itu.
“Mama ni, mulalah tu. Tak ada perkara lain yang nak dicakapkan selain kahwin aje,” kata Iskandar kembali meneguk minumannya. Wajah mamanya dijeling sekilas.
“Alah, apa salahnya? Kamu tu pun bukannya makin muda. Dah 31 tahun pun. Patutnya kamu dah lama
kahwin. Ini tidak, sampai sekarang kamu tak kahwin kahwin lagi,” balas Puan Sri Kamelia pantas. Lebih
kepada memujuk.
“Ma, saya bukan tak nak kahwin tapi saya tak ada calon yang sesuai untuk dijadikan isteri. Esok-esok bila saya dah jumpa, saya kahwinlah,” sahut Iskandar lembut. Tidak mahu menyinggung jauh sekali melukai hati mama yang begitu disayanginya.
“Siapa kata abang belum jumpa dengan calon isteri abang? Kakak Marshilla kan dah nak balik. Itu dikira calon abang jugalah tu. Kan, mama?” sampuk Imelda cepat.
Puan Sri Kamelia mengangguk pantas. Menyokong kata-kata anak gadisnya.
“Eii, tak naklah abang. Dibuatnya kakak Marshilla tu pun lebih kurang saja perangainya macam Kak Niza kamu tu, mahu muntah darah abang dibuatnya. Dah, dah, tak payah nak paksa abang nak berkenalan dengan sesiapa pun. Banyak lagi perkara yang perlu abang buat selain berkahwin,” ucap Iskandar tegas sebelum bangun. Dia berlalu ke tingkat atas bersama briefcase di tangan. Sempat matanya menjeling Imelda. Gadis itu segera menjelir lidah. Geram dengan tingkah abang kesayangan yang tidak mengendahkan permintaannya. Iskandar membalas dengan menjongket kening seraya tersenyum mengejek. Dia tertawa kecil apabila Imelda terus menarik muncung panjang. Tanda marah.
Puan Sri Kamelia hanya menarik nafas panjang melihat tingkah kedua-dua anaknya itu. Ekor matanya
mengerling sekilas Tan Sri Ismail. Suaminya itu masih mengunci mulut. Ada sesuatu yang sedang berlari dalam minda lelaki itu ketika ini.

ISKANDAR merebahkan tubuhnya ke tilam. Dihempas keluar nafasnya. Menerbangkan segala kepenatan setelah sepanjang siang memerah tenaga di pejabat. Tangannya mencapai alat kawalan jauh di kepala katil. Dihala ke arah lampu. Serta-merta kegelapan mengambil alih suasana bilik yang telah lama dihambat sunyi sepi. Dia memandang siling bilik. Dalam kegelapan itu tiada apa yang mampu ditangkap retinanya melainkan kipas siling memusing ligat. Seligat mindanya memikirkan keadaan dirinya yang sehingga kini masih bersendiri.
Diam-diam, Iskandar menyedari kebenaran kata-kata Puan Sri Kamelia. Seharusnya di usia begitu dia telah beristeri dan anak-anak yang mampu menceriakan perjalanan hidupnya. Dia sendiri hakikatnya kepingin untuk mempunyai keluarga sendiri lantaran segala impiannya yang lain telah lama tercapai. Mengingatkan itu Iskandar bangga berjaya mengukir namanya sendiri sebagai antara ahli perniagaan muda tanpa bantuan sesiapa, biarpun daripada papanya sendiri. Kedudukan Tan Sri Ismail yang sememangnya telah lama kukuh di bidang perniagaan tidak dijadikan landasan untuk mencapai kejayaan dengan mudah. Sebaliknya dijadikan cabaran bagi menandingi kejayaan papanya.
Dan ternyata, dia mampu melakukannya dengan usaha keras dan kegigihan yang sering diasah tanpa
mengira waktu. Kerana itu dia tidak menyesal menghabiskan masa remajanya dengan menuntut ilmu di
luar negara. Sehingga kini dia masih memburu pengetahuan daripada sesiapa yang sudi memberi. Maka tidak hairanlah Iskandar mampu meraih segala impiannya dalam masa singkat. Dan sekarang dia hanya perlu mengekal dan mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada agar terus-terus berjaya di muka depan.
Iskandar tidak pernah kesal membuang masa mudanya dengan mengejar pengetahuan dan kejayaan
dalam dunia perniagaan. Dia tidak kesal kerana tidak merasai kemanisan alam remaja lantaran masanya dihabiskan dengan menelaah pengetahuan dan menggali pengalaman bekerja di mana-mana tempat setiap kali cuti sekolah mahupun cuti semester tiba. Dia juga tidak kesal kerana tidak pernah mengalami kenikmatan cinta terhadap mereka bergelar gadis biarpun telah ramai menawarkan diri. Sampai kini masih ada yang datang kepadanya tanpa sebarang jemputan biarpun pintu hatinya tidak pernah mahu terbuka untuk didiami sesiapa pun.
Mengingat itu keluhan panjang terluah dari celah bibirnya. Iskandar tidak menafikan, dirinya sering menjadi perhatian semua, terutamanya kaum Hawa sedari dulu. Menjadi impian dan khayalan setiap wanita yang sememangnya berangan-angan untuk memiliki dirinya. Dan sebagai lelaki, Iskandar sendiri tidak dapat menafikan. Hatinya sendiri turut kepingin melakukan perkara sama. Namun, telah lama masa berlalu. Sehingga sekarang tiada bayangan yang membawa petanda hatinya telah dicuri seseorang. Biarpun telah lama Iskandar membuka ruang itu untuk diisi seseorang bergelar kekasih. Telah puas dia mencarinya di celah-celah mereka yang datang. Namun tiada yang dapat merentasi ruang itu. Jauh sekali menaklukinya. Dan dia sekadar mampu menyerahkan segalanya kepada takdir kerana dia begitu yakin ada seseorang yang telah diciptakan Allah buatnya. Biar bagaimana sekalipun rupa paras atau harta dimilikinya, Iskandar tidak pernah memikirkan tentang itu. Bukan itu menjadi keutamaan dia dalam mencari pasangan hidup. Hanya pegangan agama dan tingkah menyejukkan
mata yang dicarinya selama ini. Disebabkan itu sehingga ke hari ini Iskandar masih tidak berupaya menemui gadis impiannya. Ketidakupayaan yang akhirnya menjadikan dia menyerah urusan itu kepada Dia yang lebih Mengetahui apa yang terbaik buatnya. Hanya masa dan keadaan sahaja bakal mempertemukan mereka. Bila semua itu akan terjadi, tiada dalam pengetahuannya. Kerana itu dia hanya mampu pasrah.
Satu demi satu nafas Iskandar lepaskan sebelum segalanya menjadi semakin perlahan hingga hilang
dalam kegelapan malam. Tidak lama kemudian, Iskandar terlena. Sedang mindanya masih ligat mereka bentuk bayang gadis impian dalam mimpi hingga ke dinihari.

Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)

No comments:

Post a Comment