Followers

Wednesday, 25 December 2013

ISTERIKU CIK JAMBU BATU - BAB 7


DATUK AHMAD SHAH sedang menyiapkan kerja di ruang bilik pejabat tatkala telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Satu khidmat pesanan ringkas tiba di situ. Dia mengukir senyuman lebar tatkala terpandang nama yang terpampang. Keluhan kecil terluah dari bibirnya tatkala membaca pesanan ringkas yang dihantar. Secubit rasa terkilan tumbuh di celah rasa gembiranya. Terkilan kerana orang yang ditunggu-tunggu tidak akan dapat ditemuinya dalam masa terdekat ini. Namun dia tetap gembira. Orang kesayangannya telah selamat tiba di tanah tempatnya berpijak kini. Segera rasa syukur dipanjatkan kepada Allah yang telah memakbulkan doa yang tidak pernah putus-putus disuarakannya
sedari dulu. Tumpuan Datuk Ahmad Shah terhenti sejenak tatkala interkom di depannya menjerit kuat. Segera ditekan butangnya.
Yes, Janet,” jawab Datuk Ahmad Shah sambil meletak semula telefon bimbit ke meja di depannya.
“Datuk, Tan Sri Ismail nak berjumpa dengan Datuk sekarang,” ujar Janet. Lantunan suaranya memenuhi ruang bilik pejabat.
“Suruh dia masuk,” tegas Datuk Ahmad Shah memberi arahan.
“Baiklah, Datuk,” sahut Janet.
Datuk Ahmad Shah segera bangun lalu melangkah ke sofa di ruang tengah bilik. Tidak lama kemudian, Tan Sri Ismail menapak masuk ke dalam bilik pejabatnya.
“Amboi, tak ada kerja nampak,” gurau Tan Sri Ismail tatkala terpandang Datuk Ahmad Shah melabuh punggung ke sofa. Dia turut serta.
“Bukan tak ada kerja, Mail, tapi tak buat kerja,” sahut Datuk Ahmad Shah turut tersenyum.
“Mesti ada perkara penting yang kau nak cakapkan pada aku, kan? Kalau tidak, takkanlah pagi-pagi begini kau dah tercegat di pejabat aku ni.” Datuk Ahmad Shah bersuara lagi.
“Taklah penting sangat, Mad, tapi meninggalkan tanda tanya pada aku sekeluarga,” sambut Tan Sri Ismail. Dia memandang wajah Datuk Ahmad Shah yang telah membentuk kerutan di dahi. Tidak mengerti dengan kata-kata lelaki itu.
“Lain macam saja kata-kata kau tu. Ada apa sebenarnya, Mail?” soal Datuk Ahmad Shah dengan nada
lebih serius. Dibalas tatapan mata Tan Sri Ismail yang masih membuang senyum.
Tan Sri Ismail menarik nafas sebelum kembali membuka mulut.
“Imelda ada beritahu aku yang kakak Marshilla nak balik ke Malaysia. Betul ke?” tanya Tan Sri Ismail. 
Pertanyaan itu mengundang riak terkejut ke wajah Datuk Ahmad Shah. Wajah tenang Tan Sri Ismail dipandang sebentar.
“Mana Imelda tahu perkara ni?” soal Datuk Ahmad Shah kembali, serius.
“Marshilla yang bagi tahu dia. Betul ke?” soal Tan Sri Ismail lagi.
Datuk Ahmad Shah menarik nafas panjang. Lama baru dia mengangguk.
“Betul, Mail. Anak perempuan aku akan balik tak lama lagi. Sebenarnya dia dah balik pun tapi dia tak
balik ke rumah lagi. Dia singgah di tempat lain dulu,” bagi tahu Datuk Ahmad Shah tenang. Teringat sejenak pada pesanan yang diterima pada telefon bimbitnya sebentar tadi.
“Jadi, betullah Marshilla ada kakak lagi? Tapi kenapa kau tak pernah beritahu kami tentang hal ni, Mad?” ujar Tan Sri Ismail.
Sekali lagi Datuk Ahmad Shah menarik nafas panjang tatkala diasak pertanyaan itu. Wajah tanda tanya
Tan Sri Ismail dipandang semula.
“Sebenarnya bukan kau saja, tapi tak ada sesiapa pun yang tahu tentang hal ini kecuali aku sekeluarga. Lagipun, aku rasa kehadiran Atika dalam keluarga kami tak perlu dihebahkan kepada sesiapa pun,” balas Datuk Ahmad Shah.
“Tapi kenapa, Mad? Bukankah dia pun anak kandung kau? Kenapa kehadirannya tidak perlu dihebahkan kepada orang lain?” soal Tan Sri Ismail yang semakin pelik dengan kata-kata sahabatnya itu. Ada pelbagai soalan tumbuh di mindanya ketika ini. Segalanya berkaitan dengan perkara yang sedang dibicarakan mereka waktu ini.
“Tentang itu, aku tak boleh nak jelaskan segalanya pada kau, Mail. Nantilah, bila ada masa terluang nanti, aku akan ceritakan segala-galanya pada kau tentang Atika,” ujar Datuk Ahmad Shah semula. Seakan-akan tidak mahu kisah itu dicungkil keluar lagi. Dia mengalih butir bicara mereka berdua dengan segera. 
“Oh ya, kau dah sarapan? Kalau belum aku minta Janet siapkan untuk kau.”
Tan Sri Ismail menggeleng perlahan.
“Tak payahlah, Mad. Aku dah sarapan kat rumah tadi. Aku datang ni pun sebab nak tanya kau tentang
rancangan kita nak bekerjasama dalam projek perumahan di kawasan Bukit Tinggi di Klang tu. Jadi ke?” tanya Tan Sri Ismail kedengaran hambar. Hambar kerana niatnya untuk mengorek lebih dalam berkenaan kehadiran anak gadis Datuk Ahmad Shah mati sebegitu saja.
“Eh, mestilah jadi. Nanti aku minta Janet bawakan failnya,” jawab Datuk Ahmad Shah. Dia kembali bangun lalu menapak ke mejanya. Menekan butang interkom sebelum bersuara sesuatu di situ. Meninggalkan Tan Sri Ismail masih memikirkan tentang inti pati perbualan utama mereka sebentar tadi.
Masih ada tanda tanya berkeliaran di benak Tan Sri Ismail kala ini. Tanda tanya berkenaan perihal Atika yang tidak diketahuinya selama ini. Datuk Ahmad Shah seakan-akan cuba melarikan diri daripada terus bersuara tentang hal itu. Lalu Tan Sri Ismail menarik nafas panjang. Sebal dengan keadaan itu.

DIA menapak pantas. Penuh cermat dan berhati-hati. Kasut sukan getah tersarung di sepasang kakinya menjadikan lantai tempat dia berpijak menerap langkahnya daripada menghasilkan sebarang bunyi mahupun tanda. Tangannya membetulkan kedudukan topi yang tersarung di kepala. Topi itu menutup hampir keseluruhan rambutnya. Shahnaz hanya tersenyum kecil tatkala wanita-wanita melepas pandang kepadanya tatkala mereka berselisih tubuh. Masing-masing tersenyum ghairah seraya melirik manja. Sesekali kedengaran bisikan-bisikan nakal mereka, namun dia tidak peduli dengan keadaan itu.
Tidak lama kemudian kakinya terhenti di satu ruang. Pantas saja jari telunjuknya menekan butang di depannya. Setelah itu, kotak lif terbuka luas. Menjemputnya menjadi tetamu ruang kecil itu buat seketika.
Pantas tangannya menekan salah satu butang di tepi kotak besi itu. Serentak itu pintu lif tertutup rapat.
Meluncur naik menuju ke destinasi yang dituju. Shahnaz melangkah keluar setelah pintu lif terbuka semula. Bagasi yang dibawa bersama diseret perlahan. Dia berhenti di satu pintu bercat coklat muda. Tangannya menekan butang yang ada.
Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki melangkah dari balik pintu sebelum terbuka luas dari dalam. Satu wajah yang cukup dikenalinya muncul di situ.
“Ya Allah, Shahnaz! Bila kau sampai?” soal Maisarah sedikit menjerit. Tubuh gadis yang dipanggil Shahnaz itu dirangkul ke dalam pelukan. Shahnaz membalas kejap sebelum pelukan mereka terlerai sesaat dua kemudian.
“Aku baru sampai pagi tadi,” sahut Shahnaz lalu menolak masuk bagasi ke dalam rumah.
“Kenapa kau tak cakap kau nak balik? Boleh aku jemput kau di airport tadi.” Maisarah bersuara lagi. Turut sama membantu Shahnaz mengheret masuk beg berat itu.
“Tak payahlah kau nak susahkan diri kau, Mai, aku boleh balik sendiri. Dah sampai pun aku kat rumah ni,” sahut Shahnaz sedikit berseloroh.
“Oh ya, Mai, mana Danny?” tanya Shahnaz. Matanya diliarkan sejenak ke ruang rumah kondominium itu.
Melata ke setiap sudut rumah yang dihias ringkas. Menarik pandangan mata sesiapa memandang.
“Dia pergi sekolah. Petang nanti baru dia balik,” jawab Maisarah sebelum bergegas ke ruang dapur yang terletak beberapa langkah dari ruang tamu rumah itu. Dia sedang membasuh pinggan ketika Shahnaz membunyikan loceng sebentar tadi.
Shahnaz mengikut dari belakang.
“Kau tak pergi restoran hari ni?” tanya Shahnaz membuka peti sejuk. Sebiji buah epal merah diambil
lalu dibawa ke singki. Dicuci bersih sebelum digigit sedikit sambil kakinya melangkah menuju ke balkoni
yang terbuka luas.
“Kejap lagilah aku pergi. Aku nak kemas rumah dulu,” jawab Maisarah sambil menatang sedulang minuman ke ruang tamu.
“Dah lama aku tak datang ke rumah ni,” ujar Shahnaz sambil mengunyah epal. Dia memandang sekilas
Maisarah yang kini telah berdiri di sisinya. Sama-sama melepas pandangan ke luar.
“Mana tak lamanya, dah hampir sembilan tahun kau tak balik ke sini, Shah,” balas Maisarah lembut. “Kau dah beritahu papa kau yang kau dah balik ke sini?”
Shahnaz mengangguk perlahan.
“Sudah tapi aku tak balik ke rumah lagi,” kata Shahnaz lalu kembali menapak ke ruang tamu lalu meletak punggung ke sofa. Maisarah mengikut rentaknya. Menghadap dia.
“Habis tu, papa kau tak marah ke?” tanya Maisarah.
“Tak adanya dia nak marah aku, Mai. Kau tahu sajalah papa aku tu. Mustahil dia nak marahkan anak
kesayangannya ni,” ujar Shahnaz tersengih kecil. Dia mencapai minuman sejuk di depannya. Diteguk sedikit. Epalnya digigit semula. 
“Budak-budak tu masih menyewa di kawasan kondo ni ke?”
Serentak itu kedua-dua kening Maisarah tercantum menjadi satu. Pelik dengan pertanyaan gadis itu.
“Budak-budak mana maksud kau?” soal Maisarah benar-benar tidak mengerti dengan pertanyaan sahabat baiknya.
“Budak-budak yang belajar kat kolej antarabangsa tulah. Dia orang masih menyewa kat sini ke?” terang
Shahnaz memperjelaskan soalannya tadi. 
Teringat dia seketika kepada beberapa orang gadis yang ditemuinya sewaktu tiba di depan bangunan kondominium itu sebentar tadi. Masing-masing memandang dia dengan pandangan yang cukup difahaminya. Gatal, getus hatinya.
“Oh, maksud kau pelajar-pelajar yang menyewa kat rumah di bangunan kondo ni ya?” tanya Maisarah kembali mengukir senyum.
“Biasalah, Shah. Hanya kondo ni dekat dengan tempat dia orang belajar. Kat mana lagi dia orang nak menyewa kalau bukan kat bangunan ni. Yang kau tanya tu kenapa?” Maisarah bersuara.
“Tak ada apa-apa. Saja aje aku tanya. Tak sangka aku.Dah lama aku tinggalkan rumah ni tapi keadaan
sekeliling tetap sama. Masih penuh dengan pelajar. Rasa macam duduk kawasan asrama aje,” sambut Shanaz. Dia masih tenang mengunyah epal. Namun, kata-katanya mengundang senyuman lebar Maisarah.
“Ni mesti budak-budak tu mengurat kau. Sebab tulah kau cakap macam tu, kan?” balas Maisarah terus
tersenyum lebar apabila Shahnaz hanya membalas dengan kuluman senyuman kecil. Sekali gus menjawab tekaannya tanpa perlu meluah sepatah kata.
“Agaknya dia orang fikir kau lelaki. Sebab tulah dia orang mengurat kau.” Maisarah bersuara semula.
“Jadi kau nak buat apa sekarang?” tanya Maisarah apabila gadis itu hanya membatu diri.
“Aku sebenarnya nak minta izin kau, Mai, untuk menumpang tidur di sini semalam dua,” pohon Shahnaz.
Maisarah segera merengus halus.
“Isy, kau ni, buat apa nak minta izin aku? Ini kan rumah kau. Bila-bila masa saja kau boleh duduk di sini.
Aku dan Danny yang menumpang di sini. Jangan katakan semalam dua, kau nak duduk terus pun aku lagilah suka. Sekurang-kurangnya ada juga teman untuk aku dan Danny berbual nanti,” ujar Maisarah.
“Ini bukan rumah aku, Mai, tapi bekas rumah aku. Rumah ni dah jadi milik kau dan Danny sejak kau
datang ke sini. Jadi, jangan kata kau menumpang di sini. Aku tak suka dengar kau cakap macam tu,” sahut Shahnaz pantas. Agak tegas. Tajam matanya memandang Maisarah yang pantas menunduk.
“Aku minta maaf, Shah. Aku tak sengaja nak cakap macam tu,” sahut Maisarah perlahan. Rasa bersalah bersarang di hatinya buat seketika. Ditunduk kepalanya sedikit apabila Shahnaz kembali membuka mulut. Lembut.
“Mai, dah berapa kali aku bagi tahu. Kau dan Danny berhak atas apa saja benda kepunyaan aku. Walau kita tak ada pertalian darah tapi aku dah anggap kau dan Danny sebahagian daripada keluarga kandung aku. Jadi, tolong jangan cakap macam tu lagi,” ujar Shahnaz.
Maisarah kembali menguntum senyum sayu bersalut terharu. Sayu dengan kata-kata gadis itu. Terharu
dengan keikhlasannya.
I’m sorry,” ucap Maisarah. Hanya itu sahaja yang dia mampu ucapkan ketika itu.
That’s okay,” sambut Shahnaz tenang semula.
“Jadi, apa perancangan kau sekarang?” soal Maisarah kembali, sekali gus melencong arah bicara mereka.
Shahnaz menggeliat tubuh sedikit. Menghilangkan rasa lenguh dan letih yang sedari tadi menguasai diri. Epal yang belum habis dimakan diletak ke dalam dulang.
“Ada perkara yang aku nak lakukan sekarang. Apa pun, aku nak rehat dulu. Penatlah duduk berjam-jam dalam flight tu tanpa buat apa-apa,” sahut Shahnaz lalu membaring tubuh ke sofa. Dia mencapai kusyen kecil kemudian diletak ke belakang kepala. Menjadi alas buatnya memejam mata seketika.
“Okey, kalau macam tu aku sediakan air panas untuk kau mandi ya,” ucap Maisarah pantas lalu bangun. Dia kembali berpaling tatkala terdengar Shahnaz bersuara lembut bercampur tegas.
“Mai, aku bukan tetamu kau tapi kawan kau. Jadi tak payah kau nak susahkan diri untuk aku. Aku akan
buat semuanya sendiri okey,” tegur Shahnaz dalam keadaan mata tertutup rapat.
Membuahkan senyuman di bibir Maisarah yang melihat gelagatnya. Dia mengangguk kecil.
“Yalah, aku faham,” sahut Maisarah.
“Kalau begitu aku siapkan kerja-kerja aku dulu ya. Kau tidurlah dulu. Nanti malam kita berbual lagi,”
sambung Maisarah terus melangkah ke bilik tidur, meninggalkan Shahnaz yang hanya mengangguk seraya memusing tubuh ke dada sofa. Ingin melelapkan mata seketika. Sementara mindanya ligat merancang perkara yang ingin dilakukannya selepas ini.

Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga; RM26 (SM) / RM29 (SS)

No comments:

Post a Comment