
ISKANDAR menghempas tubuh sasanya ke kerusi yang ada di situ. Dihambur nafasnya sepanjang mungkin. Cuba membuang lelah setelah dua jam berjoging di sekeliling kawasan taman rekreasi. Tuala yang dibelit di pangkal tengkuk ditarik segera. Disapu ke wajah basahnya sebelum beralih ke bahagian tubuh lain. Manakala matanya merayap sejenak ke kawasan sekitar.
Jarang-jarang dia dapat menikmati suasana kehijauan sepertimana dirasainya sekarang. Kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak muda yang berjaya dalam kerjaya dan menguruskan kehidupan seharian menjadikan dia jarang-jarang berpeluang menikmati keindahan alam ciptaan Allah.
Agak lama dia berada di situ sebelum perlahan lahan dia bangkit. Menuju ke kereta yang diparkir di tempat letak kereta di hujung taman. Dia baru saja membuka pintu kereta tatkala tubuhnya disentuh seseorang.Dia terus berpaling seraya terkejut kecil. Tidak menyangka akan bertemu gadis itu di situ.
“You joging di sini ya?” soal Kharlisa dengan manja dan meliuk-liukkan tubuhnya.
Langsung gadis itu tiada rasa malu apa lagi segan. Sedang Iskandar tidak selesa bahkan meluat melihat tingkah sebegitu. Jelas terpamer riak tidak suka pada wajahnya.
“Yalah, takkan I nak bermain pula kat sini,” sahut Iskandar bermanis bahasa meskipun hatinya menyumpah seranah. Tidak senang dengan pertemuan tidak dijangka jauh sekali dipinta itu.
“You buat apa kat sini?” Iskandar memandang Kharlisa sekilas sebelum berpaling ke sekitar. Malas memandang lama-lama wajah yang tidak pernah mendapat tempat di hatinya sedari dulu.
“Sebenarnya I dalam perjalanan nak ke ofis tadi. Lepas tu I ternampak kereta you kat sini, jadi I berhentilah sekejap, nak jumpa dengan you,” balas Kharlisa lembut gigi daripada lidah. Galak matanya menatap wajah jejaka pujaannya.
Iskandar membentuk kerutan. Kening kanannya terangkat sedikit.
“Ada apa you nak jumpa dengan I?” tanya Iskandar sedikit hairan.
“Kenapa? Salah ke kalau I nak jumpa dengan you?” soal Kharlisa.
Gadis itu kembali memuncungkan bibir. Sengaja mempamerkan riak merajuk. Seperti terasa hati dengan pertanyaan lelaki itu, dengan harapan Iskandar akan
memujuk. Rajuknya tidak menjadi apabila Iskandar terus merengus kecil. Seakan-akan marah.
“Salah tu tidak, Lisa, tapi I tak suka. Apa kata orang kalau dia orang ternampak kita berdua-duaan begini? Tak manis kalau dipandang orang,” tegur Iskandar sedikit tegas. Mula bosan dengan tingkah gadis bertubuh genit itu.
Biarpun tidak diperlihat pada raut wajah namun tingkah Iskandar telah cukup menggambarkan perasaan meluatnya melihat tingkah gadis itu. Tingkah yang cukup difahami Kharlisa namun Kharlisa pura-pura tidak mengerti. Bukan sikap Kharlisa menyerah kalah begitu saja. Iskandar silap orang kalau fikir dia sebegitu!
Kharlisa kembali mengukir senyuman lebar.
“Alah, apa salahnya kalau kita berdua-duaan pun? Bukannya kita ada buat apa-apa salah,” ujar Kharlisa merenung manja wajah Iskandar yang terus merengus buat kali kedua. Benar-benar tidak senang dengan kata kata gadis itu.
“Itu kata you, Lisa, tapi bukan kata masyarakat. Sebagai ahli perniagaan yang dikenali ramai, I tak mahu rosakkan nama baik I semata-mata kerana perkara perkara
remeh begini. Maaf, Lisa, I minta diri dulu. Ada banyak lagi kerja yang I perlukan lakukan sekarang.” Iskandar bergegas masuk ke perut kereta. Dibiarkan saja Kharlisa kelam-kabut melihat tingkahnya yang ingin segera meninggalkan tempat itu.
“Hei, Is. You tak kerja ke hari ni?” soal Kharlisa dengan tergesa-gesa. Dia menyua mukanya pada cermin kereta yang telah terbuka luas.
Iskandar tersenyum sinis.
“Tak. Kalau you nak ke ofis I, dipersilakan. Just meet my father there. Jangan risau, dia takkan marah
you. Paling tidak pun dia akan tanya you tu siapa, kenapa nak ganggu anak lelaki dia, dah lama kenal ke, itu aje,” balas Iskandar sinis. Dijeling sekilas Kharlisa yang merengus kecil.
“You ni, buat apa I nak ke pejabat you kalau you tak ada kat situ!” bentak Kharlisa lembut. Sengaja dia memuncungkan bibir yang dipalit dengan kilatan gincu merah terang. Menjelikkan mata hitam arang Iskandar yang memandang namun lelaki itu masih mampu mengukir senyuman semanis mungkin.
“You call I ya nanti. I tunggu tau.” Lantas gadis itu mula menghidupkan enjin kereta.
“Sorry, Lisa. Walaupun I tak kerja hari ni tapi I ada banyak kerja nak buat kat rumah tu nanti. Next time I
will call you. Itu pun I tak janji bila. Bye,” ucap Iskandar tegas. Sempat Iskandar membunyikan hon sebelum memandu keluar dari kawasan taman rekreasi itu. Meninggalkan Kharlisa yang tidak sudah-sudah merengus kecil. Geram dengan tingkah yang ditunjukkan Iskandar. Begitu pun, hatinya riang dengan pertemuan singkat itu. Terasa impiannya untuk mendekatkan diri dengan Iskandar semakin terbuka luas. Diam-diam Kharlisa tersenyum lebar. Senang dengan keadaan itu.
TENGKU ASHRAF menghempas perlahan kotak di tangan ke lantai rumah. Dikesat peluh yang telah lama menyimbah seluruh badan. Seakan-akan dia baru selesai menyiram tubuh di bilik mandi. Tanpa menukar pakaian tidur yang masih tersarung pada tubuh, dia mula menjalankan operasinya. Dan kini walau matahari telah lama terpacak di ubun kepala namun dia masih lagi berkeadaan serupa.
Tengku Ashraf melepas lelah di sofa. Dia tercungap cungap. Sementara tangannya terus mencapai alat kawalan di atas meja. Dihala ke arah kipas di siling rumah. Tidak lama, ruang tamu rumah itu diselubungi udara nyaman. Menyejukkan tubuhnya yang sedari awal subuh sudah disimbah peluh yang bukan sedikit. Bulat matanya memandang persekitaran yang masih berselerak dengan barang-barang yang belum disusun sepenuhnya. Bersepah di merata-rata. Seolah-olah rumahnya itu baru saja diserang geroda. Menyakitkan pandangannya yang benci melihat keadaan itu. Lalu satu keluhan panjang terluah dari celah bibirnya.
Telah hampir dua hari Tengku Ashraf berada dirumah banglo dua tingkat itu. Selama itu juga dia bersusah payah mengemas dan menyusun segala barang miliknya yang berselerakan di setiap penjuru. Ketiadaan pembantu rumah yang tiba-tiba berhenti kerja hampir sebulan lalu menyebabkan rumahnya berkeadaan begitu. Dipenuhi habuk dan debu lantaran telah lama tidak dicuci. Memenuhi setiap barang yang ada. Menjadikan rumahnya berkeadaan seperti rumah tinggalan orang yang tidak berpenghuni berkurun-kurun lamanya. Sedangkan Tengku Ashraf bukanlah begitu orangnya. Malah dia cukup dikenali dengan sikap cerewet dan pembersih dalam kalangan sesiapa yang mengenalinya.
Kerana itu dia mengambil keputusan untuk bercuti sejak dua hari lalu semata-mata untuk mengemas
rumahnya yang mula kelihatan seperti rumah usang itu. Namun, dia sendiri tidak tahu dari mana harus dimula lantaran dia tidak pernah melakukannya sebelum ini. Segalanya diserahkan kepada pembantu rumah yang telah lama berkhidmat sejak dia berpindah ke situ.
Pandangan Tengku Ashraf teralih pada kotak-kotak yang baru saja dibawa keluar dari stor di belakang
rumah. Niat hatinya ingin memunggah setiap barang perak yang sering dibelinya ketika ke negara luar.
Menjadi hiasan di ruang tamunya. Namun tenaganya yang semakin berkurangan ditambah dengan keadaan diri yang sejak semalam masih tidak menelan walau sebutir nasi, menjadikan niat Tengku Ashraf terbantut di situ. Sekali gus menambahkan lagi selerak ruang tamu yang sedia tidak berkemas sejak beberapa lama. Memperlihatkan keadaan rumah semakin tidak terurus dengan kehadiran kotak-kotak itu.Lalu Tengku Ashraf menepuk dahi perlahan. Dia mendengus kecil. Geram dengan kebodohan sendiri. Sedangkan rasa letih semakin menguasai dirinya.
MAISARAH mencapai gelas yang kosong di meja sebelum diletak ke dalam dulang yang dibawa bersama.Penuh hati-hati namun pantas dia melakukannya. Dulang yang penuh dengan gelas-gelas kotor itu dibawa ke ruang dapur. Dihulur kepada seorang pekerja yang bertugas di ruang kecil itu.
“Cuci sampai bersih ya. Jangan tinggalkan bau walau sedikit,” arah Maisarah lembut namun tegas.
Anak muda itu mengangguk faham.
Maisarah kembali ke ruang depan. Matanya meligas ke seluruh ruang. Memerhati andai ada sampah mahupun kekotoran lain melekat di mana-mana. Tidak mahu kiranya restoran berhawa dingin itu dipalit sebarang kecacatan yang boleh mengurangkan kehadiran pelanggan. Biarpun sedikit namun sebolehnya dia tidak mahu keadaan itu wujud. Sekali gus menurunkan hasil pendapatan restorannya buat bulan itu.
Puas hati dengan tahap kebersihan sedia ada, matanya beralih pada hidangan yang disediakan secara
bufet selain daripada tempahan. Diperhati satu per satu hidangan yang tersaji di meja panjang berhampar kain hijau lembut. Mewujudkan suasana tenang dan damai kepada pengunjung restoran.
Senyuman di bibirnya merekah luas tatkala terpandangkan hidangan masakan Melayu tersedia di situ. Bangga dengan cara penyajian para pekerjanya. Begitu ringkas namun tampak menarik. Hidangannya juga mampu menaikkan selera para pelanggan yang gemarkan masakan Melayu tradisional. Begitu pun, masakan bangsa Cina dan India tidak ketinggalan diselit pada menu tersedia di kaunter restoran. Melambangkan kemakmuran rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian kaum. Suasana yang jarang-jarang didapati di negara lain. Kelainan yang sememangnya menarik perhatian rakyat negara lain untuk berkunjung ke bumi Malaysia saban tahun. Sekali gus membuka peluang pada rakyat Malaysia, khususnya pengusaha restoran seperti Maisarah, memperkenalkan budaya bangsa Malaysia kepada pelancong asing biarpun hanya dari segi hidangan dan sajian makanan.
Maisarah membetulkan kedudukan rimbunan bunga kering yang diletak di setiap sudut restoran. Setelah itu mangkuk siah lambang kebanggaan kaum Baba dan Nyonya di setiap meja restoran dibuka. Berpuas hati dengan pelbagai jenis pau di dalamnya. Menjadi pencuci mulut buat mereka yang gemar menikmati keenakan pau panas pelbagai rasa itu. Dia menapak semula kemudian. Berdiri di tengah tengah ruang restoran yang sejak pagi tadi dibanjiri pelanggan sebelum melepas pandangan ke segenap ruang buat ke sekian kali. Berpuas hati dengan segalanya,
Maisarah melangkah ke bilik kerjanya yang terletak di balik dinding di salah satu sudut restoran.
Menyambung semula segala tugasan yang masih belum selesai sepenuhnya.
Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)
No comments:
Post a Comment