
“ARI, tolong bonda angkat periuk ni. Bonda nak letak atas dapur!”
Mendengar panggilan itu, Tengku Ariana yang bersandar di buaian luar rumah segera bangun.Majalah di tangan diletak pada sofa ruang tamu. Dia melangkah masuk ke ruang dapur. Mendapatkan bondanya yang sibuk melakukan sesuatu.
“Bonda buat apa ni?” soal Tengku Ariana sempat mengerling periuk besar di atas meja di hujung ruang.
“Bonda nak buat puding karamel sikit. Nak bagi pada orang-orang tua di Rumah Seri Bakti malam
nanti,” jawab Tengku Diana. Dia mencapai sepasang sarung tangan yang tergantung di kabinet dapur sebelum dibungkus kedua-dua belah tangannya.
“Bonda ni, kenapa tak beli saja? Bukankah lebih senang daripada bersusah payah buat semua ni?” ujar Tengku Ariana lembut. Dia membantu wanita itu memindahkan periuk besar itu ke atas dapur. Dua orang pembantu rumah mereka turut membantu.
“Bonda lebih suka kalau buat sendiri. Baru terasa kepuasannya daripada membeli. Kalau beli, belum
tentu rasanya sedap,” kata Tengku Diana sedikit termengah.
“Ni, bonda nak buat apa lagi ni?” soal Tengku Ariana memandang meja yang dipenuhi dengan bahan-bahan makanan kering dan basah. Berselerakan semuanya.
“Bonda nak buat mi goreng sikit. Nak dibawa ke sana nanti,” balas Tengku Diana lagi.
“Bonda ni, rajin betullah,” puji Tengku Ariana tersenyum panjang. Bangga dengan bondanya yang sejak dulu bersikap begitu.
“Apa nak buat, Ari. Inilah kerja yang boleh bonda lakukan pun. Selepas kematian ayahanda kamu, bonda rasa ini saja caranya untuk bonda hilangkan kesunyian bonda. Sekurang-kurangnya bila bonda duduk berbual dengan orang-orang tua di Rumah Seri Bakti tu, bonda rasa tenang dan bahagia. Bonda rasa seolah-olah arwah ayahanda kamu turut berada bersama bonda di situ,” tutur Tengku Diana sedikit sayu. Wajah arwah suami kesayangannya kembali bertebaran di ruang mata.
“Tentulah bonda rasa begitu. Rumah Seri Bakti tu kan ayahanda yang tubuhkan. Satu-satunya rumah
kebajikan yang menjadi kesayangan ayahanda selain daripada syarikat hartanahnya itu,” sahut Tengku Ariana lembut. Mengerti dengan kasih sayang yang begitu melimpah di hati wanita itu buat ayahanda kesayangannya. Sama seperti yang ada di hatinya buat arwah lelaki itu.
“Betul tu, Ari. Bonda harap sangat bonda diberikan kudrat yang banyak oleh Allah untuk terus membuat
kebajikan seperti yang ayahanda kamu selalu lakukan semasa hayatnya dulu.” Tengku Diana tersenyum semula. Tidak mahu rasa rindu dan sayu terhadap pemergian
suami tercinta terus-terusan menyelubungi dirinya.
“Insya-Allah, bonda. Niat bonda tu akan dimakbulkan Allah. Lagipun, bonda tak payah risau. Saya dan Fariz kan ada. Kami akan sentiasa membantu bonda membuat semuanya,” ujar Tengku Ariana pantas. Menyokong seratus peratus segala kerja kebajikan ibu tersayang. Menjadikan hati Tengku Diana semakin berbunga kembang. Senang dengan kata-kata ikhlas anak perempuan tunggalnya.
“Bonda tahu. Sebab itulah bonda tak mahu kamu berdua keluar dari rumah ni lepas kamu kahwin dulu.
Sekurang-kurangnya ada juga teman buat bonda berbual masa sunyi,” kata Tengku Diana.
Suara seseorang memberi salam dari luar rumah menghentikan sejenak perbualan kedua-dua beranak
itu. Mereka saling berpandangan.
“Siti, kamu pergi tengok siapa yang datang tu,” arahTengku Ariana kepada salah seorang pembantu rumahnya.
“Baik, puan,” sahut Siti penuh hormat. Tidak lamadia kembali sambil tersenyum kecil.
“Encik Ashraf pulang ke rumah, puan,” lapor Siti.
“Encik Ashraf? Hai, mimpi apa pula Ashraf balik ke rumah?” tanya Tengku Ariana sedikit pelik. Tanpa berfikir panjang, dia lekas-lekas berlalu ke ruang tamu, mendapatkan Tengku Ashraf yang sudah tersandar lemah di dada sofa.
“Hah, Ashraf, kamu tak ke pejabat ke hari ni?” tegur Tengku Ariana terus menghampiri adik lelakinya.
“Nak pergi apanya, kak. Nak buka mata pun dah tak larat, inikan pula nak buat kerja kat pejabat. Ni pun
saya gagahkan diri balik ke sini,” sahut Tengku Ashraf lemah. Tanpa bangun dia menghulur tangan kepada kakaknya. Wanita itu merengus kecil.
“Malas betul kamu. Nak bersalam pun tak nak bangkit,” rungut Tengku Ariana namun huluran lelaki
itu tetap disambut. Adik lelakinya hanya tersengih kecil.
“Kamu sakit ke, Ash? Muka pucat semacam aje? Atau kamu demam?” soal Tengku Ariana sambil berdiri mencekak pinggang di depan lelaki itu. Lagaknya seperti seorang model sedang mengadakan pertunjukan fesyen di depan tetamu jemputan saja.
“Saya tak demamlah, kak, tapi penat aje,” jawab Tengku Ashraf perlahan dalam keadaan letih. Sedang
kepalanya sudah terlentok di bahu sofa. Dia ingin lelap mata sejenak. Namun tidak jadi apabila Tengku Ariana kembali bertanya.
“Penat? Kamu ni kenapa, Ash? Serabut semacam saja akak tengok dari atas ke bawah. Macam orang gila pun ada juga,” tegur Tengku Ariana. Matanya meliar ke seluruh tubuh lelaki itu yang hanya dibaluti sehelai baju-T lusuh dan seluar pendek separas lutut. Meneliti keadaan adiknya yang jelas kelihatan lemah dan tidak bermaya itu.
“Akak ni, tahulah pakaian saya berserabai. Saya penat ni tahu. Dah dua hari saya tak cukup tidur, makan pun tak tentu hala,” balas Tengku Ashraf dengan pantas apabila menyedari maksud pandangan kakaknya itu. Sambil itu jari-jemari kasarnya menggosok rambut yang sedia berselerak. Cuba menghilangkan rasa pening yang mula mencucuk dek keadaan dirinya yang tidak terurus lewat kebelakangan ini.
“Kamu dari mana ni, Ash?” tanya Tengku Diana tiba tiba muncul di ruang tamu itu. Sekali gus mematikan lidah Tengku Ariana yang ingin bersuara semula.
Tengku Diana terus melabuh punggung menghadap anak bujangnya.
“Dari rumahlah. Bonda sihat?” soal Tengku Ashraf kembali, menggagahkan diri untuk bangun. Dia mengucup lembut tangan bondanya.
“Bonda memanglah sihat, tapi kamu tu, macam orang mati bini saja. Berserabai dari atas kepala hingga
ke bawah kaki. Kamu ni kenapa sebenarnya, Ashraf, sampai begini sekali rupa kamu? Apa yang dah kamu buat sampai buruk benar rupa diri kamu tu?” tanya Tengku Diana terus menyembur kata. Matanya pula sudah meliar ke tubuh anak lelakinya yang kembali tertiarap di sofa.
Tengku Ashraf tersengih kecil.
“Saya mengemas rumah, tapi itulah, makin dikemas makin berselerak pula sampai saya sendiri tak tahu
nak buat apa sekarang,” jawab Tengku Ashraf sambil memandang sekilas ke arah Siti yang datang bersama sedulang minuman. Siti meletak dulang di meja berdepan Tengku Ashraf. Pantas lelaki itu mendudukkan diri. Tanpa dipelawa dia segera mencapai gelas berisi minuman sejuk. Diteguk rakus beberapa kali minuman sejuk itu. Menolak keluar rasa dahaga yang telah lama bertamu di ruang tekaknya.
“Kalau ya pun kamu mengemas rumah, takkanlah sampai begini jadinya. Dah macam orang gila saja rupa kamu tu. Kamu ni mandi ke tidak sehari dua ni?” tanya Tengku Diana lagi. Sakit matanya melihat penampilan Tengku Ashraf kala ini. Sejak dulu dia begitu mementingkan penampilan diri. Sikap yang diwarisi kedua-dua anaknya iaitu Tengku Ariana dan Tengku Ashraf.
“Apa pula tak mandi? Saya mandilah, bonda. Cuma pakaian saya ni aje yang tak sempat digosok,” jawab Tengku Ashraf.
Tengku Diana menggeleng-geleng perlahan.
“Itulah, bonda suruh kahwin kamu tak nak. Sekarang tengok diri kamu tu. Dah tak serupa orang. Baru
sebulan pembantu rumah kamu berhenti, dah macam begini jadinya. Agaknya kalau setahun, macam manalah rupa kamu tu. Gamaknya dah betul-betul macam orang gila,” marah Tengku Diana mendengus halus.
“Betul cakap bonda tu, Ash. Ada baiknya kalau kamu berkahwin saja. Ada juga orang yang boleh menjaga makan minum kamu tu. Rumah kamu tu pun tak adalah berselerak seperti sekarang. Macam tempat pembuangan sampah aje keadaannya. Kamu pun tak perlu bersusah payah ambil cuti semata-mata nak kemas rumah,” sampuk Tengku Ariana menyokong penuh kata-kata bonda mereka. Dia masih berdiri tegak di depan Tengku Ashraf. Namun tidak lagi mencekak pinggang rampingnya. Seperti Tengku Diana, dia turut menggeleng-geleng. Tidak senang melihat penampilan adik lelakinya ketika ini.
“Bonda dengan kakak cakap senanglah. Nak kahwin bukannya semudah kita beli baju. Pilih aje apa
yang berkenan lepas tu terus bayar. Lagipun, banyak lagilah perkara yang perlu saya lakukan sebelum berkahwin,” jawab Tengku Ashraf. Dia membaringkan tubuh semula ke sofa.
“Eleh, apa sangatlah kerja yang kamu nak buat tu, Ashraf oi. Esok-esok lepas kahwin pun kamu boleh
buat juga semua tu,” balas Tengku Ariana langsung tak bersetuju dengan kata-kata berupa alasan lelaki itu.
“Betul kata kakak kamu. Kalau ikutkan kerja kamu tu, jangan katakan esok, sepuluh tahun lagi pun belum tentu nak siap. Esok-esok, bila dah kamu tua, tak beranak tak bercucu, masa tu baru kamu tahu betapa sepinya hidup kamu tu. Nak buat apa pun harapkan tenaga kamu sendiri saja. Nak suruh orang lain kena bayar upah, itu pun kalau ada orang nak tolong,” bebel Tengku Diana menyokong penuh kata-kata anak sulungnya.
“Bonda, saya bukannya tak nak kahwin seumur hidup. Saya akan kahwin juga suatu hari nanti, tapi bukan sekarang. Saya belum bersedia lagilah nak jadi suami orang,” ujar Tengku Ashraf menyebak lagi rambut kusutnya. Pening dengan leteran kedua-dua wanita itu. Terasa bingit di terowong pendengarannya.
“Hah, eloklah kalau kamu kahwin masa kamu dah tua. Esok-esok, anak kamu baru nak belajar merangkak, kamu pun ikut sama merangkak. Maklumlah, masa tu kamu mana larat nak jalan lagi. Pergi mana aje, pasti orang akan tanya, Ashraf, itu cucu kamu ke? Walhal itu anak kamu. Tak malu ke muka kamu tu bila orang tanya begitu nanti?” marah Tengku Ariana kembali mencekak pinggang. Membulatkan mata kepada adik lelakinya yang segera tersenyum lebar. Tercuit hati dengan kata kata
wanita itu.
“Kakak ni, takkanlah saya nak kahwin masa umur dah begitu tua. Daripada saya kahwin waktu tu baik
saya tak kahwin langsung. Menyusahkan hidup saja. Yalah, kita dahlah tak larat, ada anak pun baru boleh merangkak. Orang lain sibuk beribadat, kita pula sibuk nak tukar lampinlah, nak suap anak makanlah. Buat apa nak kahwin kalau hidup dalam keadaan macam tu,” sahut Tengku Ashraf sambil tertawa kecil.
“Kalau dah tahu tak mahu jadi begitu, kahwinlah cepat-cepat. Tengok macam kakak kamu ni. Tak sampai umur 25 tahun dia dah kahwin. Sekarang ni, anak-anak dia pun dah bersekolah rendah. Yang kamu tu, dah masuk 31 tahun pun masih nak membujang lagi.Jangan katakan anak, isteri pun tak tahu bila nak ada,” sampuk Tengku Diana pula. Turut geram dengan jawapan selamba anak bongsunya itu.
“Alah, nanti-nanti sajalah saya fikir tentang tu, bonda. Tak payahlah nak membebel lagi. Saya ni dahlah
penat, lapar lagi tu. Tak ada apa-apa yang boleh dimakan ke kat rumah ni?” tanya Tengku Ashraf memancing simpati Tengku Diana yang kembali mendengus lembut. Sekali gus menukar arah perbualan mereka. Tengku Ashraf tidak sanggup lagi hendak menadah telinga mendengar leteran kedua-dua wanita kesayangannya itu biarpun dia sedar kata-kata mereka penuh dengan kebenaran yang tidak mampu disangkal.
“Hah, itulah kamu. Bonda cakap sikit kamu dah kata bonda membebel. Nasihat bonda langsung kamu
tak nak dengar. Entah apa nak jadi kat kamu tu pun tak tahulah,” marah Tengku Diana lagi. Dia menatap wajah kelat anak bongsunya.
“Tu, kat meja makan masih ada lebihan lauk tengah hari tadi. Pergilah makan.”
Tengku Ashraf lantas bangun dan melangkah ke ruang dapur. Sedang mulutnya sudah riuh meminta
pembantu rumah melihat masakan yang ditinggalkan tadi di atas dapur.
“Lebihan aje? Hai, kasihannya diriku ini. Mengutip sisa-sisa orang saja. Mengalahkan pengemis pula rasanya,” sahut Tengku Ashraf pura-pura bersedih. Dia tersengih apabila mendapati pandangan tajam Tengku Ariana yang sejak tadi hanya ke arah dirinya sahaja.
“Huh, banyaklah kamu punya sisa. Lauk tu kakak baru masak tengah hari tadi. Tak ada siapa pun yang
makan kecuali bonda dan kakak saja. Tak tahu bersyukur langsung,” marah Tengku Ariana menjeling adik lelakinya yang segera melebarkan senyuman.
“Syukur alhamdulillah, ada juga makanan untuk saya,” ucap Tengku Ashraf meraup wajah dengan kedua- dua tapak tangannya. Sempat dia mengerdip mata beberapa kali kepada kakak kesayangan. Sekadar mengusik wanita itu yang mendengus kecil melihat tingkah buat-buatnya.
Cepat saja Tengku Ashraf bangun apabila Tengku Ariana terus berpaling tubuh. Dia menapak laju mendapatkan Tengku Ariana yang terlebih dulu melangkah ke ruang makan. Sibuk wanita itu menyediakan hidangan buat adik lelaki kesayangannya.
“Anak-anak saudara saya mana, kak? Tak nampak pun dari tadi,” tanya Tengku Ashraf. Ditarik kerusi sebelum melabuh punggung di kepala meja makan. Senyumannya semakin melebar tatkala memandang segala makanan yang terhidang di depannya.
“Dia orang ke sekolah agama. Petang nanti baru balik,” sahut Tengku Ariana sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan dan dihulurkan kepada Tengku Ashraf. Lelaki itu pantas menyambut.
“Abang Fariz?” soal Tengku Ashraf lagi.
“Kat pejabatlah, takkan kat bilik pula,” balas Tengku Ariana.
“Abang kerja ke hari ni, kak?” soal Tengku Ashraf terus-menerus. Wajah kakaknya dipandang seimbas.
“Yalah, kalau tak kerja tak adanya dia duduk kat pejabat tu. Dahlah, kamu makan nasi dengan kerabu
mangga tu dulu. Kakak nak panaskan semula lauk-lauk ni. Dah sejuk pun semuanya,” ucap Tengku Ariana lalu terus mengangkat pinggan berisi lauk-pauk menuju ke ruang dapur.
Tengku Ashraf yang melihat kelakuan wanita itu segera tersengih lebar.
“Terima kasih, kak,” kata Tengku Ashraf yang sempat bersuara sebelum wanita itu berlalu.
“Huh,” balas Tengku Ariana Hanya keluhan itu yang terkeluar dari mulut wanita beranak tiga itu namun
telah cukup untuk melebarkan senyuman Tengku
Ashraf yang memandang tingkahnya. Tahu kakak tunggal kesayangannya itu begitu menyayanginya.
Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHARRIESA
Harga; RM26 (SM) / RM29 (SS)
No comments:
Post a Comment