Followers

Monday, 30 December 2013

ISTERIKU CIK JAMBU BATU - BAB 8


JAMAL menarik nafas panjang sebelum dihembus perlahan-lahan. Beberapa kali dia berbuat begitu. Sementara kedua-dua tangannya diregang ke depan. Sesekali dia membongkok tubuh. Melakukan senaman ringan. Beberapa kali dia mengulang pergerakan sama sebelum kembali melakukan larian di sekeliling kawasan taman rekreasi itu.
Tidak ramai pengunjung hadir ke kawasan kehijauan itu. Suasana pagi yang masih diselaputi kabus
menyebabkan ramai memilih untuk terus berlingkar di tempat tidur daripada melakukan sebarang aktiviti di luar ketika ini. Namun tidak pada Jamal. Dia telah biasa dengan keadaan itu. Setiap pagi menjalankan rutin yang sama menjadikan dirinya telah lali dengan cuaca dingin. Menjadi kemestian baginya berjoging di kawasan sunyi itu beberapa lama setelah selesai menunaikan solat subuh.
Jamal menghentikan langkah setelah beberapa lama berlarian. Menghempas lelah pada salah satu
bangku di kawasan itu. Sambil itu dia mengelap peluh di dahi dengan tuala kecil yang dibelit di pangkal
lehernya. Dilepas pandangannya ke kawasan sekitar. Membiarkan matanya menjamah sejenak segala keindahan alam di depannya. Dia baru berkira-kira mahu berjoging semula tatkala terpandang sesuatu. Sekujur tubuh merengkuk kesejukan di bangku tidak jauh dari tempat dia berada berjaya menarik perhatiannya. Agak lama dia memerhati sebelum mengambil keputusan menghampiri. Dengan langkah cermat namun berhati hati, dia mendekati tubuh itu yang masih terlelap nyenyak dalam kedinginan pagi.
“Cik,” tegur Jamal dengan tangannya menyentuh perlahan tubuh itu. Digoncangnya sedikit apabila tiada jawapan. Beberapa kali dia berbuat demikian, akhirnya pemilik tubuh itu terbangun dan berpaling ke arah Jamal.
Apabila terpandang wajah Jamal, gadis itu terus mendudukkan diri seraya memeluk erat beg hitam
yang dijadikan alas bantalnya. Jelas ketakutan menguasai wajah lesu berpalit letih itu. Takut dengan kemunculan tiba-tiba seseorang yang tidak dikenali di depannya ketika ini. Sambil menggosok mata mengantuknya, gadis itu merenung lama wajah tenang Jamal.
“Awak jangan takut, saya bukannya orang jahat.” Jamal bersuara bila dilihat gadis itu tergesa-gesa bangun. Seakan-akan mahu melarikan diri.
“Jangan risau, saya tak akan apa-apakan awak,” ucap Jamal lagi sambil mengundur diri beberapa tapak ke belakang. Tanda membenarkan kata-katanya.
Perlahan-lahan gadis itu kembali duduk. Namun matanya masih melekat pada wajah Jamal yang setia
memandangnya sedari tadi.
“Kenapa awak tidur kat sini? Sejuk tahu tidur di bangku batu ni,” tanya Jamal lembut. Bimbang kiranya
gadis itu tersinggung dengan pertanyaannya. Namun rasa simpati melebihi segala rasa. Simpati melihatkan keadaan gadis itu. Tidak terurus.
Gadis itu tidak menyahut. Sekadar memandangnya dengan pandangan seperti tadi. Takut-takut.
“Awak jangan takut, saya takkan buat apa-apa pada awak. Oh ya, saya Jamal. Awak?” tanya Jamal lagi apabila gadis itu masih ragu-ragu dengannya.
“Saya Izura,” sahut gadis itu setelah agak lama mendiamkan diri.
Jamal mengangguk kecil. Dia tersenyum panjang.
“Izura. Sedap nama tu. Boleh saya tahu kenapa awak tidur kat sini?” soal Jamal lembut.
“Maaflah encik, saya bukan sengaja nak tidur di kawasan encik ni,” sahut Izura cepat.
Izura menyangka dirinya telah melangkah masuk ke kawasan yang tidak sepatutnya. Rasa bimbang kembali bertamu di hati. Bimbang kiranya lelaki yang kelihatan baik rupa paras dan tingkah itu akan mengambil tindakan terhadapnya dek pencerobohan yang tidak sengaja dilakukannya. Dia memeluk dengan lebih erat beg kecilnya.
“Eh, ini bukan kawasan rumah saya, tapi kawasan umum. Tapi itulah, kenapa awak tidur kat sini? Awak
baru datang ke sini ya? Ke awak sesat jalan?” Cepat saja Jamal menyangkal sekali gus meluah pertanyaan bersalut rasa simpati. 
Matanya masih melekap pada wajah Izura. Tercuit rasa bersalah di hati lelakinya tatkala terpandang riak wajah mulus itu terus berubah dek pertanyaannya. Suram bersalut sayu.
“Sebenarnya, saya tak ada tempat tinggal. Dah dua hari saya merayau di kawasan ni,” jawab Izura lambat lambat. Hatinya mula tenang melihatkan sikap Jamal yang begitu sopan melayannya.
“Oh, ya ke? Mak ayah awak mana? Dia orang tahu tak yang awak berada di sini?” sambung Jamal bertanya dengan penuh rasa simpati. Wajah lesu itu dipandang lagi.
Izura tidak menjawab. Ditunduk kepalanya sedikit. Rasa pilu bertandang di hati mendengar pertanyaan
itu. Lalu menimbulkan semula rasa bersalah kepada Jamal yang melihat tingkahnya.
Mungkin dia lari dari rumah. Jamal berfikir sejenak sebelum kembali menutur kata.
“Hmm… Tak apalah, Izura. Begini sajalah. Apa kata kalau saya hantar awak ke rumah kawan saya? Kebetulan rumahnya pun kat kawasan ni saja. Awak boleh tinggal dengan dia nanti,” cadang Jamal.
Izura mendongak semula. Ada kerisauan terlukis pada wajah sedikit comot itu. Risau kiranya lelaki yang
baru dikenalinya beberapa minit itu berniat serong terhadapnya biarpun luarannya tampak ikhlas dan baik.
“Awak jangan risau, saya cuma nak tolong awak. Lagipun, tak elok anak dara macam awak ni merayau di kawasan macam ni seorang diri. Karang kalau jadi apaapa, awak juga yang susah nanti,” tambah Jamal lagi apabila dilihat Izura seakan-akan keberatan menerima pelawaannya. Dia mengerti dengan apa yang berada di minda gadis itu ketika ini.
Jamal tersenyum senang apabila Izura perlahan lahan mengangguk kecil setelah berfikir beberapa lama.
“Kalau macam tu marilah saya hantarkan awak ke rumah kawan saya tu.” Jamal bersuara semula. Penuh mesra. Segera dia mengatur langkah menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Sesekali dia menoleh ke belakang. Melihat Izura mengikut langkahnya dengan penuh hati-hati.
“Maaf ya, Izura, kereta saya ni bersepah sikit. Maklumlah, anak-anak saudara saya suka makan dalam
kereta kalau dia orang naik kereta saya ni. Saya pula jarang ada masa nak mengemas semuanya. Itulah yang banyak sampah kat dalam kereta ni,” cerita Jamal sedikit segan sebaik tubuhnya disumbat masuk ke dalam keretanya. Dikerling sekilas Izura di sebelah.
Gadis itu hanya tersenyum sumbing mendengar katakata itu.
“Awak dari mana, Izura? Awak bukan orang sini ke?” tanya Jamal tatkala keretanya mula bergerak keluar dari kawasan taman rekreasi itu. Meluncur laju ke jalan raya besar sebelum membelok masuk ke sebuah lorong di kawasan perumahan yang terletak tidak jauh dari taman rekreasi tadi.
“Bukan. Saya dari Pahang,” jawab Izura jujur.
“Pahang? Mak ai, jauhnya. Kenapa datang ke Kuala Lumpur ni?” sambung Jamal terjongket sedikit kening kanannya tatkala mendengar jawapan gadis itu.
“Saya nak cari kerja. Apa-apa kerja pun saya tak kisah, janji dapat memberi saya rezeki yang halal,” sahut Izura perlahan.
Jamal mengangguk kecil. Mata lelaki itu masih terlepas bebas ke depan.
“Okey, dah sampai pun kita. Kejap ya, Izura. Saya pergi panggil kawan saya tu,” ucap Jamal kembali bersuara setelah keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah teres bertingkat dua. Dia segera melangkah keluar, menghampiri pintu pagar rumah yang tertutup rapat seraya memberi salam.
Tidak lama kemudian, seorang gadis bertudung hijau lumut melangkah keluar dari dalam rumah. Dia
tergesa-gesa menghampiri pintu pagar sebaik terpandang kelibat seseorang di situ.
“Eh, Encik Jamal rupanya. Ada apa Encik Jamal datang ke rumah saya pagi-pagi begini?” sapa gadis itu ceria. Ada senyuman terlukis pada wajah lembut itu.
Jamal tersenyum lebar. “Saya mengganggu awak ke, Adurah?” Gadis yang dipanggil Adurah itu segera membuka kunci mangga sebelum pintu pagarnya rumahnya dibuka suku.
“Eh, tak adalah. Saya tengah bersiap nak ke pejabat sekejap lagi,” sahut Adurah.
“Begini, Adurah. Saya ada bertemu dengan seorang gadis di taman rekreasi, tak jauh dari kawasan perumahan awak ni. Jadi saya terfikir nak tumpangkan dia di rumah awak. Boleh tak?” sopan Jamal meminta izin.
Adurah terus mengangguk laju.
“Eh, boleh saja, Encik Jamal. Apa salahnya. Panggillah dia masuk,” sahut Adurah membuka pintu pagar seluasnya. Membayangkan hatinya sedia menerima kedatangan tetamu yang tidak diundang itu dengan hati terbuka.
Jamal terus memusing tubuh. Mendapatkan Izura yang masih di dalam perut kereta. Diketuk perlahan
cermin tingkap keretanya.
“Marilah keluar, Izura.” Jamal bersuara lembut.
Lambat-lambat Izura menapak keluar. Dia tersenyum sedikit kepada Adurah yang kini berdiri di
depannya. Ada senyuman lebar di bibir gadis itu. Memandang tingkah Adurah hati Izura tenang meski ada rasa malu menyelit. Malu dirinya berkeadaan tidak terurus dan sedikit kotor berbanding penampilan bergaya Adurah. Namun, rasa malu itu terhakis sedikit demi sedikit bila melihat sikap Adurah. Gadis itu hanya bersikap tidak endah dengan keadaan dirinya ketika ini.
“Izura, kenalkan ini Adurah, kawan saya. Adurah, ini Izura,” kata Jamal memperkenalkan mereka satu sama lain. 
Lambat-lambat Izura menghulur tangan kepada Adurah. Gadis itu pantas menyambut penuh mesra.
Bersalam erat seolah-olah mereka telah kenal sebelum ini. Adurah langsung menunjukkan sikap budi bahasanya. Menjadikan hati Izura lega serta-merta dengan penerimaan itu.
“Jemputlah masuk, Izura. Buatlah macam rumah sendiri,” pelawa Adurah penuh ramah.
“Mmm… tak apalah, Durah. Saya minta diri dulu ya. Kalau ada-ada apa awak telefonlah saya nanti,” ucap Jamal meminta diri. Tersedar yang dia juga perlu ke pejabat sebentar lagi.
Adurah mengangguk kecil.
“Baiklah, Encik Jamal,” ujar Adurah memandang Jamal yang menyumbat tubuh ke dalam kereta. Tidak
lama dipaling tubuhnya menghadap Izura yang masih berdiri di muka pintu pagar.
“Mari, Izura, kita masuk ke dalam. Alah, tak payahlah awak malu dengan saya. Buat saja macam rumah sendiri ya,” pelawa Adurah lagi mengheret tangan Izura.
Perlahan-lahan Izura mengikut langkahnya.

Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)

No comments:

Post a Comment