
TUBUH yang terasa letih disandar ke dada kerusi. Datuk Ahmad Shah memejamkan
kedua-dua matanya dengan rapat sementara sepasang tangannya memeluk erat tubuh sendiri. Seketika rasa nyaman dan tenang menguasai diri. Memberi keselesaan pada dia yang gemar suasana sebegitu. Apatah lagi mengenang usia yang telah lama menjengah ambang senja, menjadikan dia tidak betah berada dalam keadaan bising mahupun hiruk-pikuk.
Tidak lama kemudian matanya kembali dibuka.Datuk Ahmad Shah bangun. Kakinya menerap langkah.
Menuju ke tingkap bilik. Dilepas pandangannya ke bawah beberapa lama. Kesesakan jalan raya jelas kelihatan di mana-mana. Pada waktu petang begini, menjadi kebiasaan warga kota melihat dan merasai keadaan sebegitu di bandar raya Kuala Lumpur. Dia yang berada di tingkat 15 bangunan hanya mengukir senyuman.
Ralit matanya menyaksikan pemandangan yang telah lama menjadi hidangan pancainderanya saban hari. Dialih pandangan selepas itu ke satu arah. Dua puncak bangunan kebanggaan negara Malaysia ditatap lama. Rasa bangga menerpa hati. Bangga dengan pembangunan tanah air tercinta. Melambangkan kemakmuran dan kekayaan mampu dimiliki sesiapa saja selagi berusaha keras dan tekun seperti dirinya.Berasal daripada sebuah keluarga sederhana tidak menghalangnya bergelar seorang ahli perniagaan berjaya masa kini. Berada di tahap yang mampu dibanggakan,
Datuk Ahmad Shah tidak menjadikan kejayaannya sebagai perisai bagi mendabik dada. Dia selesa berkehidupan sederhana. Kesederhanaan telah menjadi darah dagingnya sedari kecil. Kesederhanaan itu jugalah diterapkan dalam rumah tangganya yang dibina sejak 40 tahun lalu. Membiasakan setiap isi keluarganya dengan keadaan itu walaupun tidak dalam semua perkara. Lalu menghadirkan diri mereka dalam bayangan pandangannya.
Satu demi satu wajah kesayangan memenuhi layar mata. Namun antara kesemua wajah, hanya satu wajah menjadi tumpuannya. Wajah kesayangan hatinya sedari dulu. Wajah yang telah lama tidak ditatapnya biarpun hanya bulan lalu mereka bertemu. Wajah yang bakal menambahkan lagi kemeriahan rumah tangganya
tidak lama lagi. Khayalannya terbang tatkala pintu biliknya diketuk dari luar. Saat dia menoleh, Janet melangkah menghampirinya.
“Datuk, ini dia fail profil syarikat kita seperti yang datuk minta tadi,” ujar wanita itu sambil menghulur fail yang dibawa bersama.
“Letak saja atas meja saya,” arah Datuk Ahmad Shah
lembut.
“Awak tak balik lagi, Janet? Dah petang ni.”
“Sekejap lagi saya pulanglah. Ada kerja yang perlu saya selesaikan kat luar tu,” balas Janet.
“Kalau diikutkan kerja, sampai bila pun takkan habis, Janet. Tak usahlah awak paksa diri siapkan semua
tu. Nampak sangat saya beri awak banyak kerja,” tambah Datuk Ahmad Shah lagi.
“Eh, tak adalah, Datuk,” sanggah Janet dengan cepat dan lembut.
“Sengaja saya pulang lewat petang ni. Nak selesaikan apa yang patut sebelum pulang nanti.”
Wajah majikannya dipandang sejenak. Dalam hati Janet bersyukur dikurniakan seorang majikan yang baik dan penyayang. Walaupun lelaki itu sering kali bersikap tegas dan serius namun Datuk Ahmad Shah
sangat mengambil berat kebajikan para pekerjanya.Malah perkara itu yang menjadi keutamaan lelaki itu
setiap kali dia membuat keputusan dalam setiap perkara yang melibatkan syarikat dan kakitangan khususnya.
“Tak apalah, Janet, awak baliklah sekarang. Dah lewat petang ni. Nanti risau pula suami awak di rumah tu,” arah Datuk Ahmad Shah kembali dengan lembut.
“Datuk tak nak balik lagi?” soal Janet tatkala matanya terpandang jari-jemari kasar lelaki itu menyelak failyang baru saja dia letak di atas meja.
Datuk Ahmad Shah mengukir senyum.
“Saya masih ada kerja yang nak dibuat di sini, Janet. Nanti kalau dah penat saya pulanglah,” sambut Datuk Ahmad Shah perlahan.
“Kalau macam tu saya minta diri dulu, Datuk,” ucap Janet sambil mengukir senyuman.
Datuk Ahmad Shah hanya mengangguk. Matanya memandang sekilas Janet melangkah keluar seraya menutup pintu. Meninggalkan Datuk Ahmad Shah bersama khayalan yang kembali menerpa. Wajah seseorang yang sejak tadi menemani mindanya turut tiba. Tersenyum kepada Datuk Ahmad Shah yang membalas tenang.
“Papa tak sabar menunggu kepulangan kamu ke sini, Atika. Papa rindukan kamu,” bicara Datuk Ahmad Shah kepada diri sendiri perlahan. Dia tersenyum lagi sebelum perlahan-lahan tenggelam dalam khayalannya buat kali kedua.
Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Nama: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)
No comments:
Post a Comment