Followers

Monday, 30 December 2013

ISTERIKU CIK JAMBU BATU - BAB 9


SELAMAT pagi, ibu. Selamat pagi, Cik Shah,”ucap Danial sebaik duduk di kerusi meja makan pagi itu.
“Selamat pagi,” jawab Maisarah dan Shahnaz hamper serentak.
“Ibu masak apa pagi ni?” tanya anak kecil itu menjenguk muka ke tengah meja. Dia memandang hidangan yang tersaji di tengah meja seraya tersenyum lebar.
“Ibu masak makanan kegemaran Danny hari ni. Nasi lemak dan sambal ikan bilis,” sahut Maisarah ceria. Diusap-usap perlahan kepala anaknya.
“Wau, sedapnya. Boleh Danny bawa pergi sekolah sikit?” pinta Danial sedikit manja.
“Jangan kata sikit, sayang, nak bawa semua pun tak apa. Ibu bagi punya,” sampuk Shahnaz tersenyum panjang.
“Cik Shah, Cik Shah tidur di sini lagi ya malam ni?” pinta Danial memandang wajah putih bersih itu. Sementara tangan kecilnya sibuk menyudu nasi yang masih berasap panas di pinggan. Disua ke mulutnya setelah membaca doa.
Mata Shahnaz kembali terlekap ke wajah anak kecil itu.
“Tak bolehlah, sayang. Cik Shah ada kerja nak buat malam ni. Lagipun, Cik Shah dah lama tinggal kat sini. Dah dua hari pun. Nanti mak dan ayah Cik Shah marah sebab Cik Shah tak balik ke rumah dia orang,” jawab Shahnaz lembut.
“Alah… Habis tu bila Cik Shah nak datang lagi ke rumah Danny?” tanya Danial lemah. Ada kekecewaan
terlukis pada wajah comel itu. Wajah Shahnaz ditenung semula dengan pandangan muram.
“Cik Shah tak janji bila, tapi insya-Allah, Cik Shah cuba datang selalu ke sini ya nanti,” pujuk Shahnaz.
Diusap lembut kepala Danial. Terhenti suapan anak kecil itu mendengar kata-kata Shahnaz tadi.
“Danny, Cik Shah tak boleh tinggal dengan kita, sayang, sebab Cik Shah ada banyak kerja lain yang dia nak buat,” pujuk Maisarah pula
“Bawa sajalah kerja Cik Shah ke rumah ni. Cik Shah buat kat sini nanti. Danny pun ada kawan nak bermain,” sahut anak kecil itu kembali menyuap makanan ke dalam mulut. Nyata tidak mengerti dengan keadaan itu. Membuatkan bibir Maisarah dan Shahnaz terus mencarik senyuman lebar. Geli hati dengan kata-kata lurus anak itu.
“Sayang, kerja Cik Shah tu bukannya ada dalam kertas atau kotak tapi melibatkan orang. Cik Shah kena berjumpa dengan orang, sayang,” terang Maisarah merenung wajah anak kecil yang ternyata tidak puas hati dengan kata-kata ibunya itu.
“Okey, Danny nak tak kalau Cik Shah hantar Danny pergi sekolah hari ni?” ujar Shahnaz terus menukar
arah perbualan mereka.
Danial mengukir senyuman sambil mengangguk cepat.
“Nak,” ucap Danial. Laju saja dia menjawab. Bulat matanya memandang wajah ceria Shahnaz.
“Okey. Kalau macam tu, Danny kena cepat-cepat makan. Nanti lambat pula Cik Shah hantar Danny ke
sekolah,” sambung Shahnaz lagi.
“Baik,” jawab Danial segera menyudu nasi ke dalam mulut. Mengunyah-ngunyah tanpa mempedulikan
Shahnaz dan Maisarah yang terus-terusan mengukir senyum. Senang melihat gelagatnya.

“OKEY, kita dah sampai,” kata Shahnaz sebaik kereta yang dipandunya tiba di pintu pagar utama sekolah.
“Cik Shah hantar Danny sampai ke kelas ya,” pinta Danial sedikit manja.
Shahnaz segera mengukir senyuman lebar.
“Sayang, selain murid dan guru, orang lain tak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah tanpa ada urusan penting,” ujar Shahnaz mengusap perlahan rambut anak kecil itu.
“Tapi seorang kawan Danny tu, maknya hantar sampai ke dalam kelas setiap hari. Boleh pula. Cikgu tak marah pun,” sahut Danial pantas.
“Itu kawan Danny. Dia belum besar lagi, sebab tulah dia suruh mak dia hantar hingga ke kelas,” ujar Shahnaz memberi jawapan mudah. Malas untuk turun dari kereta membuatkan Shahnaz mencipta alasan sebegitu.
“Tapi Danny pun kecil jugak. Bukannya besar lagi,” kata Danial dengan cepat lantas memuncung bibir.
Hampa kerana Shahnaz menolak mentah-mentah permintaannya.
Shahnaz serba salah. Tidak sampai hati pula Shahnaz melihat wajah kesayangannya suram. Sedangkan permintaan anak kecil itu bukan sebesar mana. Sekadar minta dia menemaninya ke kelas. Itu saja. Dihela nafasnya pendek sebelum kembali membuka mulut.
“Okeylah, Cik Shah hantar Danny sampai ke kelas. Tapi kalau cikgu marah nanti, Cik Shah cubit Danny,” gurau Shahnaz menjongket sedikit kening kanannya. Senyumnya melebar apabila terpandang wajah mencuka Danial.
“Tak mahulah kalau macam tu. Sakitlah Danny kalau Cik Shah cubit,” kata Danial lagi. Pantas saja anak
kecil itu menolak sambil menggeleng beberapa kali.
“Okeylah, Cik Shah hantar sampai ke kelas,” ujar Shahnaz semula seraya mematikan enjin kereta milik
Maisarah. Dia terus mengorak langkah keluar.
“Tak mahu, nanti Cik Shah cubit Danny,” sambut Danial masih berada di tempat duduknya. Dia memandang sejenak Shahnaz yang tertawa kecil melihat gelagatnya.
“Tak adalah, Cik Shah tak cubit Danny. Cik Shah gurau saja tadi,” balas Shahnaz tersenyum kepada Danial.
“Betul?” tanya Danial masih ragu-ragu dengan kata-katanya.
“Betul, sayang,” sambut Shahnaz pantas. Ditekan sedikit nada suaranya.
“Kalau macam tu jom kita pergi kelas Danny. Cepat, Cik Shah,” ujar Danial. Pantas saja dia membuka pintu sebelum melompat keluar dari kereta. Penuh girang.
Dia terus menerpa masuk ke dalam kawasan sekolah setelah pintu kereta ditutup rapat.
“Danny, jangan berlari, sayang!” jerit Shahnaz sedikit kuat apabila dilihat Danial berlarian-larian di dalam kawasan sekolah. Dia tersenyum panjang tatkala Danial berdiri di muka pintu pagar semula sebaik terdengar jeritannya. Menunggu kedatangan Shahnaz sambil tersenyum girang.
“Kelas Danny kat bangunan yang mana satu?” soal Shahnaz sebaik tiba di hadapan anak kecil itu. Matanya sudah liar memandang kawasan dalam sekolah. Mencari arah sesuai untuk mula menapak. Sambil memimpin tangan Danial dia mengatur langkah penuh hati hati. Dibetulkan sedikit kedudukan jaket kulit yang membungkus tubuhnya.
“Tu,” ucap Danial sambil menunjuk ke satu arah.
Shahnaz mengikut jejaknya. Tersenyum dia kepada pengawal keselamatan yang setia berdiri muka pintu pagar. Langkahnya dipercepat tatkala Danial membelok masuk ke satu arah.
“Okey, Cik Shah. Cik Shah dah boleh balik sekarang,” ujar Danial sebaik berdiri di muka pintu kelas.
Shahnaz tersenyum lebar.
“Oo… Danny halau Cik Shah ya?” soal Shahnaz merenung wajah comel itu.
“Tak adalah, tapi nanti kalau cikgu nampak Cik Shah kat sini, cikgu mesti marah Cik Shah. Lepas tu
nanti Cik Shah cubit Danny,” kata Danial. Petah anak kecil itu menjawab. Masih tidak lupa pada gurauan bersulam ugutan Shahnaz tadi.
Shahnaz tertawa kecil.
“Maafkan saya, encik,” tegur seseorang lantas Shahnaz mengalihkan pandangannya. Dia kembali menegak tubuh. Seorang wanita muda kini berdiri di sisinya.
“Maafkan saya. Encik ni ayah kepada Muhammad Danial ke?” tegur wanita itu sambil mengukir senyuman manis.
Ayah Danial? Shahnaz mengerut dahi sebelum lambat- lambat mengangguk.
“Ya, saya,” jawab Shahnaz sedikit teragak. Dia berpaling sejenak kepada Danial yang kini telah berada di tempat duduknya. Anak kecil itu hanya melihat tingkah mereka.
“Saya Puan Fatihah, guru kelas anak encik,” beritahu wanita itu tanpa dipinta.
Sekali lagi Shahnaz mengangguk.
“Err… cikgu, boleh saya tentang keadaan anak saya di sekolah? Maksud saya dari segi pelajaran atau apa saja,” kata Shahnaz membuka ruang bicara antara mereka.
“Oh, tentang itu encik tak perlu bimbang. Anak encik merupakan seorang murid yang pandai. Dia sering mendapat tempat pertama dalam kelas. Kelakuannya juga baik dan bersopan santun. Selain tu dia juga pandai bergaul dengan kawan-kawannya,” kata Puan Fatihah.
“Ooo… Kiranya dia tak ada menimbulkan sebarang masalah kepada sekolah?” soal Shahnaz.
“Alhamdulillah, setakat ni semuanya baik saja. Dia tak banyak kerenah seperti mana murid-murid lain,”
jawab Puan Fatihah itu penuh sopan.
“Kalau begitu, tak apalah, cikgu. Saya minta diri dulu.” Shahnaz bersuara semula. Sempat dia mengenyit mata kepada Danial yang diam-diam melambai tangan kepadanya.
Sedang Puan Fatihah hanya mengangguk mesra sebelum melangkah masuk ke dalam kelas.
Sambil menapak otak Shahnaz memikir sesuatu. Encik? Perkataan itu melekat sejenak di fikirannya. Shahnaz tersenyum sendiri seraya menggeleng perlahan. Dia terus melangkah.

Tajuk: ISTERIKU CIK JAMBU BATU
Penulis: QHAYRA QHAYRIESA
Harga: RM26 (SM) / RM29 (SS)

No comments:

Post a Comment