Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 9 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 9
“Ila, pergi panggil adik-adik kamu kat luar tu. Ajak dia orang sarapan,” suruh Puan Zara.
Wanita itu sedang sibuk menggoreng sesuatu di atas dapur.
“Ya mak.” Qaila terus meletak seteko kopi panas yang baru siap dibancuhnya ke atas meja. Dia terus menapak ke pintu dapur.
“Mak!” Qaila terjerit kecil bila pintu papan dapur dibuka tiba-tiba dari luar.
Wajah basah Ray tersembul di situ. Lelaki itu tersengih dalam selubung kain pelekatnya.
“Eii... awak ni. Kenapa pakai macam ni? Buat terkejut saya ajelah!” marah Qaila sambil mengurut-urut dada sendiri.
“La... Suka hati sayalah nak pakai macam mana pun. Yang awak terjerit macam nampak hantu tu kenapa? Terkejut ya tengok saya handsome sangat pagi ni? Kalaupun awak tak bagi tahu, saya tahu dah. Saya memang handsome pun orangnya.”
Qaila menjuling mata.
“Perasan,” cebiknya.
“Dalam rumah ni kan ada bilik air. Kenapa awak mandi kat bilik air luar pula?” soal Qaila.
Sempat dia mengerling pintu bilik air di tepi dapur yang tertutup rapat dan kelam. Tanda tiada sesiapa yang berada di dalamnya.
“Saja saya nak rasa air telaga kat luar tu. Sejuk gila rupanya. Rasa macam nak luruh segala tulang-temulang,” ujar Ray sambil mengetap-getap bibir sendiri.
Jelas lelaki itu cuba menahan rasa sejuk pagi yang begitu mencucuk hingga ke setiap inci tubuh.
“Air telaga memanglah sejuk macam air batu, tapi air sejuk tulah yang buatkan badan kita kuat dan tahan daripada segala penyakit. Reti?” balas Qaila tersenyum geli hati melihat tingkah Ray.
Nampak sangat lelaki bandar itu tidak pernah merasa hidup di kampung hingga kesejukan air telaga pun tidak pernah dirasai. Jelas kedengaran gigi bawah dan gigi atas lelaki itu berlaga-laga setiap kali lelaki itu membuka mulut. Sejuk betullah tu.
“Apa-apa ajelah Almas oi,” sahut Ray mahu segera berlalu. Sejuk yang masih mengepung tubuh menjadikan dia tidak sabar-sabar mahu menyarung pakaian secepat mungkin.
“Eh, sekejap. Awak guna sabun tak masa mandi tadi?” soal Qaila baru teringat mahu bertanya.
Seingatnya, bilik air luar itu sememangnya sudah tersedia dengan segala keperluan yang sepatutnya. Mudah bagi tetamu yang berkunjung ke rumah itu menggunakannya. Hanya dia tidak pasti semuanya telah digantikan dengan yang baru memandangkan mereka sekeluarga jarang-jarang menggunakan bilik air yang terletak di penjuru halaman belakang rumah itu.
“Saya tak pakai sabun pun tak apa. Saya memang dah selalu wangi. Lagipun saya ada bawa tiga botol minyak wangi. Sembur aje seluruh badan bila-bila nak guna.”
Qaila menggeleng perlahan sambil mengecilkan mata sendiri. “Betullah awak ni suka sangat membazir. Orang lain pakai minyak wangi setakat yang perlu, tapi awak pula pakai macam awak dah terjatuh dalam tong minyak wangi. Buang duit sungguh.”
Ray tersengih lebar. “Apa nak buat, memang itu tabiat saya dari dulu. Esok-esok, kalau awak dah jadi isteri saya pun awak kena pakai minyak wangi, tapi sikit aje tau. Cukup saya seorang aje yang bau. Karang tak pasal-pasal saya dapat dosa pula sebab isteri saya tarik perhatian lelaki lain dengan bau minyak wangi.”
Qaila terus menjuling mata.
“Eii... Awak jangan nak berangan tinggi sangat boleh tak, hah? Bila masa pula saya kata saya nak jadi isteri awak? Siap bagi pesan jangan pakai minyak wangi lebih-lebih pula. Kuat berangan betullah awak ni,” sergah Qaila perlahan.
Sempat dia mengerling Puan Zara. Lega hatinya bila wanita itu masih ralit dengan kerja-kerjanya tanpa peduli pada perbualan mereka.
“Alah, bukan salah pun saya berangan. Manalah tahu jadi kenyataan satu hari nanti. Awak juga yang untung nanti, dapat suami kaya macam saya.” Ray menyahut selamba dengan mata sudah dikenyit sekali. Nakal!
“Huh. Awak ingat saya ni jenis perempuan mata duitan ke? Senang-senang aje nak terima orang tanpa tahu latar belakangnya hanya semata-mata kerana dia kaya? Awak longgok duit sejuta ringgit kat depan saya pun belum tentu saya terima awak jadi suami saya tau. Silap-silap saya saman awak sebab main-mainkan saya,” cebik Qaila.
Menyampah sungguh dia dengan kata-kata lelaki itu walau dia tak nafikan hatinya berdebar-debar mendengar kata-kata Ray. Kedengaran bersungguh-sungguh biarpun Qaila menganggap semua itu hanya gurauan lelaki itu semata-mata. Lelaki hebat seperti Ray nak jadikan dia sebagai isteri? Dalam mimpi pun belum tentu terjadi!
“Eh, siapa kata saya main-mainkan awak? Saya seriuslah Almas. Awak...”
“Dah, dah. Tak payah nak merepek lagi. Awak pergi bersiap sekarang. Mak dah siapkan nasi ulam buat sarapan kita tu. Nanti lambat pula kita nak bertolak balik,” arah Qaila tegas sebelum sempat Ray menghabiskan kata.
“Nasi ulam? Nasi apa tu? Saya tak pernah dengar pun.” Ray sudah mengerut-ngerut dahi.
“Nasi ulam tu ialah nasi sejuk yang digaulkan dengan pelbagai jenis ulam-ulaman dan merupakan makanan kegemaran keluarga saya sejak dulu. Oleh kerana awak ada kat sini pagi ni, jadi makan ajelah apa yang mak saya sedia ya. Tak payah nak banyak songeh pulak.” Qaila terus berlalu bila dia teringat pesanan Puan Zara yang masih belum dilakukannya.
Langsung tidak beri peluang kepada Ray untuk bersuara balas. Lelaki itu tetap seperti tadi, mengerut-ngerut dahi. Tanda dia masih memikirkan kata-kata Qaila sebentar tadi. Nasi ulam? Jangankan nasi ulam, ulam-ulaman tu pun Ray tak tahu apa ke bendanya. Sungguh!


“Jaga diri baik-baik Ila. Jangan tinggal solat. Kalau ada apa-apa, telefon mak ya,” pesan Puan Zara sebelum memeluk satu-satunya anak dara kepunyaan dia sekeluarga.
“Insya-Allah mak,” sahut Qaila. Dia kemudian berbalas pelukan dengan adik-beradiknya pula.
“Kau orang berdua bila akan balik ke asrama UPNM?” soal Qaila usai pelukan mereka terlerai. Matanya memandang Qashaf dan Qayyum silih berganti.
“Kalau tak ada apa-apa, lusa pagi kak,” sahut Qashaf bagi pihak dia dan kembarnya.
“Belajar rajin-rajin ya Ari. Tahun ni tahun akhir pengajian diploma kamu. Kakak harap sangat dapat tengok kau sambung ijazah lepas ni,” pesan Qaila kepada Quzairi pula.
“Jangan risaulah kak, Ari akan buat yang terbaik nanti,” sahut Quzairi terus memeluk erat tubuh kakak kesayangan mereka. Lama.
Sayang pula rasanya nak melepaskan Qaila pulang memandangkan gadis itu jarang-jarang dapat meluang masa panjang di kampung. Tugas Qaila sebagai anggota polis memang tidak menentu masa cutinya. Itu sudah lama difahami mereka sekeluarga.
“Kau kak, jangan lupa jaga kesihatan. Jangan ingat nak kerja aje siang malam.” Seperti biasa, Qayyum menitip pesanan sama setiap kali mereka bersua muka.
“Yalah. Aku tahu,” sahut Qaila tersenyum sayu dengan perpisahan itu.
Dia hanya membiarkan bila Qayyum dan Qashaf kembali memeluk tubuhnya. Dia sendiri masih belum puas melepas rindu kepada saudara-saudara kandungnya itu. Namun, apa daya. Khidmatnya masih lagi diperlukan demi memastikan keadaan negara tercinta sentiasa berada dalam keadaan aman sentosa. Itulah pengorbanan terbesar yang perlu dilakukan oleh setiap penjaga keselamatan sepertinya. Berkorban apa saja selain masa dan tenaga.
“Abang Ray tolonglah tengok-tengokkan kakak kita orang ni ya. Kak Ila memang lasak orangnya, tapi faham-faham sajalah orang perempuan ni. Tetap ada lemahnya,” pinta Qashaf sebaik dia menghampiri Ray.
Dengan penuh gaya lelaki itu menyandar tubuh di badan kereta. Sambil menyilang kaki, kedua-dua tangannya memeluk tubuh sendiri. Dalam masa sama, matanya memerhati tingkah Qaila adik-beradik tanpa kata.
“Betul tu bang. Kak Ila ni kalau dah mula bekerja, bukan dia nak ingat apa dah. Diri sendiri pun dia dah tak jaga.” Qayyum menyampuk selamba.
“Insya-Allah.” Hanya itu yang terluah dari mulut Ray yang sudah tersenyum manis.
Tergamam lelaki itu sesaat dua tatkala tubuhnya dipeluk erat Qashaf, Qayyum dan Quzairi silih berganti. Tidak sangka dia juga akan menerima pelukan daripada anak-anak muda yang sudah dianggap seperti adik-adiknya sendiri itu.
“Oh ya Ray. Ini ada mak cik bekalkan kamu nasi ulam. Balik nanti jangan lupa panaskan dalam ketuhar ya. Kalau tak pun, kamu simpan aje dalam peti sejuk. Kalau kena cara penyimpananya, nasi ni boleh lagi di makan selepas dua tiga hari disimpan,” kata Puan Zara pula seraya menyua sebuah beg kecil kepada Ray.
“Buat susah-susah mak cik aje sediakan semuanya untuk saya.” Dalam segan, Ray menyambut juga pemberian wanita itu dengan iringan ucapan terima kasih.
“Tak ada apa yang susahnya. Sengaja mak cik buat lebih tadi. Boleh juga kamu makan lagi nanti. Nak tunggu kamu datang semula ke sini, entah bila pula masa tu nak sampai pun tak tahulah,” sahut Puan Zara jelas sudah jatuh sayang kepada lelaki itu.
“Abang kalau ada masa, datanglah ke sini lagi. Bolehlah kita orang bawa abang mandi sungai nanti,” pelawa Quzairi.
“Betul tu. Abang datang aje bila-bila abang rasa nak datang. Tak payah tunggu Kak Ila balik sekali pun tak apa.” Qashaf mencelah.
“Jangan lupa telefon mak cik kalau kamu nak datang ke sini lagi. Bolehlah mak cik sedia apa yang patut nanti.” Puan Zara ikut sama mempelawa.
Bersungguh-sungguh saja lagaknya hingga Qaila yang melihat sudah mencebik diam-diam. Bukan tidak suka jauh sekali cemburu, tetapi menyampah dengan tingkah maknya. Layan Ray macamlah lelaki itu sudah menjadi menantunya. Huh!
“Insya-Allah.” Hanya itu yang terluah dari mulut Ray dari tadi.
Daripada riak tenangnya, jelas lelaki itu terharu dengan layanan baik keluarga kecil itu selama dia berada di situ.
“Ila balik dulu ya mak,” pamit Qaila sebelum melangkah masuk ke dalam keretanya.
“Yalah. Hati-hati bawa kereta tu Ila. Ray, tolong tengok-tengokkan anak dara mak cik ni ya,” pesan Puan Zara sebelum sempat Ray melangkah masuk ke dalam keretanya pula.
Ray hanya mengangguk. Dia ikut serta memandu keluar dari laman rumah Puan Zara sebaik saja Qaila memandu keluar terlebih dulu. Laju-laju tangan lelaki itu membalas lambaian keluarga kecil itu sebelum cermin keretanya dinaikkan. Rapat.


“Cantik pemandangan kat Malaysia ni. Rugi saya tak dapat menikmatinya sebelum ni,” kata Ray sambil memandang sekeliling.
Tanpa sedar, nafasnya ditarik panjang sebelum dihembusnya lambat-lambat. Bagai mahu menyedut segala udara segar yang ada di sekitar agar masuk ke dalam ruang pernafasannya.
Qaila mengerut dahi.
“La... Malaysia ni memang cantik buminya. Awak baru tahu ke?” soalnya, pelik dengan tingkah Ray. Macam tak pernah duduk Malaysia!
Dia terlongo sekejap bila Ray menggeleng perlahan.
“Dah lama saya tak balik ke Malaysia. Kali terakhir saya berada di Malaysia pun masa umur saya 17 tahun. Itu pun sekejap saja. Sekadar nak menghadiri majlis pengebumian kedua-dua orang tua saya yang meninggal dunia. Selepas tu, tak pernah lagi saya jejakkan kaki ke negara ni. Kalau balik sekalipun, sekejap-sekejap aje. Selesai saja urusan, saya terus tinggalkan negara ni,” beritahu Ray dalam lagak tenang biarpun daripada tingkahnya itu jelas ada rasa sayu yang menyalut hati lelaki itu saat meluahkan kata-kata itu.
Sayu yang tidak difahami Qaila.
“Habis tu, awak tinggal kat mana selama ni? Luar negara?” Sengaja Qaila bertanya.
Bagai tak percaya padahal hatinya yakin lelaki itu berkata benar. Dia sebenarnya hanya mahu membantu menghalau kesedihan di hati lelaki itu biarpun Ray nampak biasa-biasa saja sewaktu kisah silamnya dibangkitkan.
Ray mengangguk perlahan.
“Saya tak bertuah seperti awak Almas. Awak ada semuanya. Mak, adik-beradik, kampung halaman. Jujur, saya cemburu sangat tengok kebahagiaan awak. Saya pernah rasa semua tu, tapi sekejap sangat.” Penuh bersungguh Ray meluah perasaan.
Sepertinya perasaan itu sudah disimpan sejak beberapa hari lalu di mata Qaila. Lantas Qaila tersenyum manis tanpa sedar. “Tak semestinya kita kena ada keluarga baru kita boleh bahagia Ray. Kalau kita hidup seorang diri pun, bahagia tu tetap akan ada kalau kena dengan caranya.”
“Maksud awak?”
“Kejarlah apa saja yang awak nak seboleh mungkin Ray. Selain itu jangan lupa berdoa pada Dia supaya segala yang awak inginkan tercapai. Satu lagi, pastikan jalan yang awak gunakan itu tak bertentangan dengan jalan sepatutnya. Tak guna juga kalau awak dapat semua yang awak nak, tapi tak diiringi dengan reda Dia.” Sungguh-sungguh Qaila memberi nasihat hingga terangguk-angguk kepalanya beberapa kali.
“Kalau saya tak berjaya jugak?” Nampaknya Ray sudah kembali pada perangai cerianya bila lelaki itu sudah mengukir senyum lebar-lebar.
“Kalau tak berjaya pun awak jangan merungut sebab semua yang berlaku tu sudah ditentukan Allah. Terpulang pada Dialah sama ada nak tunaikan atau tidak semua permintaan awak tu. Dia kan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.”
“Tapi, mesti ada jalan lain kan untuk saya dapat apa yang saya nak?”
Qaila angguk laju.
“Ada. Awak kahwin aje dengan mana-mana perempuan yang awak suka. Confirm awak bahagia nanti sebab kata orang, perkahwinan adalah salah satu daripada cabang kebahagiaan. Lagi satu, automatik awak akan ada keluarga sendiri bila awak dah kahwin. Mula-mula memanglah berdua, tapi lepas tu bertambahlah ahli keluarga awak seorang demi seorang. Kan?” cadang Qaila tiba-tiba.
Tangan pula sudah mencapai botol minuman di sisi. Terasa dahaga pula usai bercakap panjang berjela-jela.
“Kahwin?” Kening kanan Ray terangkat sekejap. Lelaki itu tersenyum kemudian. Nakal. “Boleh, jika awak yang jadi isteri saya.”
Pruuff!!! Qaila yang baru meneguk air minumannya terus tersembur ke depan. Hampir-hampir mengenai Ray di sisi andai lelaki itu tidak cepat-cepat mengelak. Tanpa peduli dengan keadaan itu, Qaila terus memaling muka. Tepat ke wajah tenang Ray. Bibir pula sudah tercebik.
“Kenapa pula saya yang kena jadi isteri awak?” soal Qaila tinggi, geram dengan kata-kata lelaki itu.
Tak sudah-sudah mahu mengusiknya. Salah. Mengusik hati dia sebenarnya.
“Sebab keluarga awak ada kebahagiaan tu. Jadi bolehlah awak kongsi sikit dengan saya, kan?” Ray mengenyit mata. Dia tertawa kecil saat Qaila menjeling tajam.
“Cara awak cakap tu macamlah keluarga saya aje yang bahagia dalam dunia ni. Awak pergilah cari perempuan lain Ray. Mesti awak akan jumpa dengan gadis idaman awak juga nanti.” Qaila kembali menyambung minum. Kali ini diteguknya perlahan-lahan. Bimbang tersembur lagi.
“Tapi, hati saya kata awaklah gadis idaman saya.”
Hampir tak tertelan air mineral yang sudah berada di laluan tekak Qaila. Wajah tenang Ray dijeling semula.
“Gadis idaman konon. Awak nampak saya ni macam gadis-gadis lain ke sampai boleh jadi gadis idaman awak? Saya rasalah, awak kena pergi cek mata awak tu Ray. Tak pun awak buka mata awak tu luas-luas. Biar awak nampak dengan jelas perangai dan rupa saya yang sebenar. Hah, masa tu barulah awak tahu saya ni gadis idaman awak ke tidak,” kata Qaila sambil menggeleng-geleng perlahan.
Dia gadis idaman lelaki sekacak Ray? Memang tak masuk akal langsung!
“Hati mana kenal semua tu Almas. Cantik ke tidak, elok ke tidak, kita takkan boleh buat apa-apa kalau hati dah cinta. Macam tulah juga saya. Bila hati saya dah pilih awak, maknanya saya terima apa saja kekurangan awak sebab saya sendiri pun ada kekurangannya. Soal lain dah tak wujud. Lagipun, saya dah kenal awak lebih daripada apa yang saya harapkan. Itu semua dah cukup bagi saya untuk terima awak seadanya.” Ray membalas serius dengan mata tetap tertala ke wajah Qaila.
Gadis itu pura-pura tak perasan walau hati sendiri dah melompat-lompat bagai nak keluar dari badan dek renungan penuh erti lelaki itu.
“Itu bukan cinta namanya Ray, tapi nafsu. Sepatutnya kita yang kawal hati kita, bukannya biarkan hati yang kawal kita. Itu baru betul,” sanggah Qaila cuba menutup rentak hati sendiri.
“Dahlah awak. Tak payahlah nak buat drama cinta kat sini pula. Bukan saja tak lalu saya nak tengok. Tekak ni pun dah rasa kembang semacam aje dengar awak cakap macam tu.” Qaila terus menutup botol minumannya sebelum dicampak masuk ke dalam beg sandang di sisi tubuh.
“Saya nak ke surau sekejap. Nanti lepas solat kita terus bertolak balik,” ujar Qaila terus bangun.
Langsung dia tak beri peluang Ray bercakap. Apatah lagi bersuara tentang kisah cinta yang dirasakan tidak mungkin wujud antara dia dan lelaki itu. Bukan kerana Qaila memilih, tetapi semakin lama dia mengenali Ray, Qaila dapat merasakan antara mereka ada jurang yang begitu luas. Atas sebab apa jurang itu wujud, Qaila masih cuba mencari.
“Awak nak solat kat sini ke?”
Qaila tak jadi nak melangkah. “Yalah. Kat tempat rehat macam ni pun ada tempat solat jugak. Kenapa?”
“Oh, saya ingat nak solat kat masjid aje nanti. Kat sini tak selesalah. Sempit sangat.” Riak wajah Ray memaparkan rasa kurang senang.
Jelas benar kelihatannya hingga Qaila yang melihat terasa menyampah. Jenis memilih bulu juga rupanya mamat ni. Huh!
“Helo encik penganggur. Bukan tempat solat yang nak tentukan pahala dosa kita, tapi keikhlasan kita nak beribadah tu yang dipandang Allah. Takkan perkara sesenang tu pun awak tak boleh nak faham?” sergah Qaila. Malas nak terus melayan kerenah lelaki itu yang entah apa-apa saja baginya.
“Dah, jangan banyak songeh. Kalau awak tak nak solat, awak tunggulah ajelah kat sini. Saya pergi dulu.” Qaila kembali menapak.
Dibiarkan saja Ray terkulat-kulat di situ sebelum tak lama kemudiannya lelaki itu turut serta bangun daripada terus duduk di tepi penghadang jalan. Lambat-lambat Ray mengikut dari belakang.

Qaila yang mengerling tingkah lelaki itu dari ekor matanya hanya melepas nafas. Kasar. Mengada-ada! Sempat lagi hatinya mengutuk. 

BAB 8 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 8
“Memang macam ni ya gaya hidup kat kampung?”
Qaila yang sibuk menyiang ikan di tepi rumah menoleh. Tepat kepada Ray yang duduk mengayun kaki di pelantar kecil di bawah pokok rambutan.
“Macam ni macam mana maksud awak?” soal Qaila tak faham.
“Mandi sungai, jala ikan, tanam padi. Memang itu sajalah aktiviti yang orang kampung akan buat setiap hari?” Soalan Ray seperti mahu tahu, tapi kedengaran seperti memperlekeh kehidupan manusia-manusia di kampung saja bagi Qaila.
“Habis tu awak fikir dia orang nak buat apa lagi?” balas Qaila, menjeling sekilas Ray.
“Orang kampung tak ada rasa nak hidup dalam keadaan moden ke? Tengok, jalan raya pun tak berturap. Jauh sekalilah kemudahan-kemudahan yang lain. Boleh dikatakan langsung tak ada,” rungut Ray.
Sesekali dia menyelak rambut panjangnya yang ditiup angin. Tampak kacak dia dengan gaya begitu. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang kelihatan santai dengan kedudukannya ketika ini. Bagai seorang model sedang menjalani penggambaran di tepi sawah saja lagaknya.
“Kalau dah tahu kami ni hidup dalam serba tak moden, awak yang hidup moden sangat tu tolonglah apa yang patut. Tolong turap tar ke, bina masjid yang lebih besar ke. Jangan tahu nak mengutuk kata aje. Ingat kami minta ke hidup dalam keadaan macam ni? Lagipun, tak salah kalau buat kerja-kerja kampung, asalkan dapat rezeki halal. Bukan macam awak, tanam anggur yang tak ada hasil,” sindir Qaila sambil menetak-netak kuat ekor ikan yang sedang disiangnya. Melepas geram yang tak dapat dilepaskan kepada Ray.
“Eh, siapa kata tak ada hasil? Awak tak nampak apa yang tersadai kat tepi rumah mak awak tu? Itu salah satu daripada hasil yang saya dapat selama saya tanam anggur tau. Lebih daripada tu pun saya mampu. Awak tu aje yang tak tahu.”
“Setakat kereta macam tu, siapa pun boleh mengaku kereta sendiri. Padahal pinjam aje pun,” cebik Qaila.
“La... Awak masih tak percaya yang kereta tu saya yang punya?” Mata Ray tetap terarah ke wajah Qaila. Lelaki itu menggeleng kemudian bila Qaila membuat muka.
“Itulah perempuan. Suka sangat berprasangka yang bukan-bukan. Kita cakap betul pun dia tak percaya. Dah memang kenyataan saya ni kaya orangnya. Awak tu aje yang tak nak ambil tahu.” Nada suara Ray jelas tak puas hati.
“Huh. Tak habis-habis dengan perangai bongkak dia tu. Kalau awak tu dah kaya sangat, kenapa tak bantu aje orang-orang miskin yang ada kat dalam dunia ni? Apa awak ingat Allah Taala beri harta banyak-banyak tu untuk bagi awak menunjuk kesenangan awak kat semua orang ke?” sergah Qaila. Satu jelingan terlepas lagi.
“Saya bukan nak menunjuk-nunjuk, tapi awak tu, tak habis-habis nak kutuk saya aje. Balik-balik kata saya penganggur.” Ray membalas geram.
“Dah memang awak tu penganggur. Nak cakap apa lagi,” sahut Qaila selamba.
Mahu saja Ray menjawab, namun tak jadi bila tiba-tiba Puan Zara muncul di muka pintu rumah.
“Ila, panggil adik-adik kamu naik ke darat. Kita minum petang sama-sama,” arah Puan Zara sambil menapak turun dari beranda.
Menuju ke arah Ray yang awal-awal lagi sudah berubah kedudukan. Daripada duduk berjuntai kaki, dia duduk bersila penuh sopan.
“Biar ajelah dia orang tu mak. Kalau lapar nanti pandai-pandai dia oranglah naik cari makan,” sahut Qaila malas.
Dia masih sibuk dengan kerja-kerjanya. Sesekali dia mengelap muka dengan hujung T-shirt lengan panjangnya bila ikan-ikan hidup yang ada di dalam besen tepi kakinya menggelepar kuat hingga memercik air ke wajah.
“Hah, Ray. Jemputlah makan cucur udang ni. Sedap kalau di makan ketika masih panas-panas macam ni,” pelawa Puan Zara seraya meletak dulang yang dibawa di depan Ray.
“Terima kasih mak cik. Saya masih kenyang lagi. Banyak saya makan tengah hari tadi,” ujar Ray begitu sopan.
Sejuk hati Puan Zara mendengarnya.
“Alah. Bukan selalu kamu dapat ke mari. Sekali-sekala makan banyak, apa salahnya. Ya tak?” sahut Puan Zara sebelum meminta diri ke dalam rumah semula.
“Awak tak pernah duduk kampung ke sebelum ni?” Qaila bertanya tanpa memandang lelaki itu.
Tanpa berbalas pandang pun Qaila pasti, Ray tahu soalan itu ditujukan kepadanya. Bukan ada sesiapa lagi di situ selain mereka berdua saja.
“Saya mana ada kampung. Sejak kecil lagi saya membesar kat bandar.” Jawapan Ray kedengaran jujur.
“Patutlah kerek semacam. Anak orang bandar rupanya,” cebik Qaila lebih kepada diri sendiri.
“Awak cakap apa?” tanya Ray kurang pasti.
Qaila menggeleng laju-laju. Malas nak mengulang kata-kata yang pastinya hanya akan mengundang rasa kurang senang lelaki itu. Qaila tahu itu.
“Mak ayah awak tak kisah ke awak datang bertandang ke rumah orang ni?” tanya Qaila semula. Sunyi pula rasanya suasana bila masing-masing berdiam diri saja.
“Mak ayah saya dah lama tak ada.”
Jawapan Ray menghentikan gerak tangan Qaila sejenak. Wajah Ray dipandang sekejap, bagai mencari kepastian. “Jadi maknanya, awak ni...”
“Kalau awak anak yatim, saya pula yatim piatu. Sejak dulu lagi.”
Mendengar kata-kata tenang Ray, lidah Qaila jadi kelu. Tidak sangka lelaki itu juga sepertinya. Untungnya dia kerana masih ada Puan Zara. Patutlah lagak lelaki itu lain macam saja. Rupa-rupanya Ray sudah kehilangan kasih sayang orang tua sendiri sejak sekian lama. Rasa bersalah menyapa hati Qaila.
Lama dia memandang Ray sebelum matanya kembali dialih ke besen ikan di depannya. Terasa lain hatinya bila bertentang mata dengan lelaki itu lama-lama. Debar pun dah jadi lain macam.
“Kak, air ada tak? Dahagalah!”
Laungan Quzairi dari petak sawah di tepi rumah menyentak lamunan singkat Qaila. Laju saja anak matanya mencari kelibat anak muda itu.
“Ada ni, hah. Marilah minum dulu. Ajak sama abang-abang tu!” Qaila melaung juga. Melawan deruan angin petang. Tangan pula kembali ligat membuat kerja.
“Kak, dah habis kan kerja kau tu?” Qashaf yang baru menapak keluar dari petak sawah terus bertanya sebaik terpandang Qaila membasuh tangannya di paip rumah.
“Ha’ah. Kenapa?” soal Qaila sambil mengelap tangannya pada kain kecil yang disangkut di bahu sendiri sejak tadi.
“Hah, elok sangatlah tu. Kak, kau suapkan kita orang makan. Malaslah kita orang nak basuh tangan.” Qayyum menyampuk pula.
Dia sudah duduk di sisi Ray yang segera berganjak ke tepi bila adik-beradik kembar tak seiras itu mendekatinya. Sama-sama duduk melepak di atas pangkin.
“Amboi, cantiknya perangai. Kau orang yang nak makan, aku yang kena suap?” bebel Qaila, namun dia tetap menurut. Cucur udang yang ada di cecah ke dalam kuah sebelum disua ke mulut kedua-dua anak muda itu.
“Kak! Kau suaplah elok-elok! Habis menitik kuahnya ke baju aku ni!” jerit Qashaf dengan mulut masih laju mengunyah-ngunyah cucur udang.
“Eleh. Baju abang Qash tu memang dah kotor. Jadi tak payah nak banyak songeh sangat ya,” sampuk Quzairi.
Anak muda itu ikut serta menganga mulut ke arah Qaila. Dia awal-awal lagi sudah duduk menempel di sisi Qaila yang melabuh punggung di kerusi buluh tepi pangkin.
“Mengada-adalah kau orang bertiga ni!” bebel Qaila dengan tangan masih leka menyuap seorang demi seorang adiknya. Sebiji macam mak budak beri makan anak-anaknya!
“Alah, bukan selalu kita orang boleh mengada-ada dengan kau kak. Selalunya kau sibuk dengan kerja kau aje,” sahut Qashaf sambil mengunyah-ngunyah cucur dalam mulutnya.
“Eleh. Aku sibuk ke, tak sibuk ke, memang begini pun perangai kau orang bertiga dari dulu. Manja tak bertempat!” Qaila membebel lagi. Sekali-sekala dia turut menyuap cucur udang ke mulut sendiri.
“Ya Allah. Bertuah punya anak-anak! Masing-masing ada jari-jemari sendiri, kenapa nak suruh kakak kamu tu juga yang suapkan?” Puan Zara sudah mencekak pinggang di pintu beranda rumah.
“Mak ni, marahlah konon. Cakap ajelah mak pun teringin jugak nak makan bersuap macam kita orang.” Qashaf mengusik maknya.
Serentak dia dan Qayyum terkekeh ketawa bila Puan Zara terus membulat mata.
“Entah mak ni. Marilah join kita orang kalau teringin sangat. Selalunya memang mak yang suapkan kita orang bila kakak tak ada, kan?” sampuk Quzairi pula.
Makin galak tawa mereka bertiga bila Puan Zara terus mengangkat tangan, pura-pura mahu menampar anak-anaknya. Ada senyuman di sebalik gelengan kepala wanita itu.
“Yalah tu kau orang. Dah, dah. Pergi bersihkan badan kau orang tu. Nanti lambat pula kau orang ke masjid,” suruh Puan Zara. Kali ini dengan lebih lembut.
Dengan anak-anak dia memang tidak mampu marah lama-lama. Mereka berempat itulah buah hatinya sejak dulu. Sejak sebelum suaminya pergi meninggalkan mereka semua lagi.
“Awal lagilah mak. Sekarang baru pukul berapa. Kita orang nak sambung kerja kita orang dululah,” sahut Qashaf.
“Awal apanya kalau dah lebih sejam kau orang bertiga berkubang dalam petak sawah tu.”
“Alah, bukan selalu kita orang dapat berkubang mak. Sekali-sekala biarlah berlama-lama sikit. Mak juga yang kata teringin nak makan haruan tadi.” Qayyum menjawab bagi pihak adik-beradiknya.
“Kalau ya pun, tak payahlah menangguk lama-lama kat dalam tu. Apa, sebesen ikan yang kakak kamu siang tadi tu tak cukup lagi ke nak buat lauk kita malam nanti?”
“Itu baru sebesen mak. Kalau boleh kita orang nak tangkap sepuluh besen ikan untuk mak. Tak adalah mak bersusah payah nak beli ikan kering dah bila kita orang dah tak ada kat rumah nanti.” Qashaf terus melangkah masuk ke dalam petak sawah semula usai secawan kopi dihabiskannya.
Qayyum dan Quzairi ikut serta.
Puan Zara hanya mampu menggeleng lagi. Dia kemudian kembali masuk ke dalam rumah. Banyak lagi kerja rumah yang perlu dia selesaikan. Sekali gus meninggalkan Ray dan Qaila kembali berdua di tempat sendiri.
“Awak dan adik-adik awak memang begini ya? Manja selalu?”
Terkalih pandangan Qaila ke wajah Ray sejenak. Dia tersenyum sebelum mengangguk kemudian.
“Sejak kecil lagi kami macam ni. Rapat dan saling menyokong antara satu sama lain,” sahut Qaila sambil melepas pandangan ke arah adik-adiknya yang kembali ralit dengan aktiviti mereka.
Rasa sayang terhadap ketiga-tiga adiknya kembali menggebu dalam jiwa. Sayang yang pastinya tidak mampu ditukar dengan apa-apa benda bernilai sekali pun dalam dunia ini.
“Cemburu saya.”
Mata Qaila kembali terkalih ke wajah tenang Ray. “Kenapa pula awak nak cemburu? Awak tak rapat dengan adik-beradik awak ke?”
“Saya tak ada adik-beradik. Saya seorang diri dalam dunia ni,” sahut Ray perlahan.
Ada kesayuan yang cuba disembunyikan di balik senyumannya yang diukir lebar-lebar. Qaila dapat melihatnya biarpun lelaki itu tetap berlagak tenang.
“Maaf. Saya tak tahu,” ucap Qaila penuh rasa bersalah.
Boleh jadi, kerana inilah Ray sering kali mengelak bila ditanya tentang latar belakangnya. Ada kesedihan yang dalam cerita hidup lelaki itu rupa-rupanya. Kesedihan yang Qaila pasti, berat untuk ditanggung oleh seseorang yang tidak ada tempat bergantung harap melainkan kepada Allah semata-mata.
Ray hanya melempar senyum. Dia kemudian melipat kaki seluar jeannya. Menampakkan betis lelakinya yang bersih daripada sebarang parut mahupun tanda.
“Jom awak, kita masuk sawah,” ajak Ray dengan lagak kembali ceria. Pastinya lelaki itu tidak mahu rasa hatinya diketahui sesiapa, termasuklah Qaila.
“Buat apa nak masuk sawah?” soal Qaila, terpinga-pinga dengan ajakan tiba-tiba lelaki itu.
“Buat apa lagi, tangkap ikanlah. Takkan nak berenang pula.”
Qaila mencebik.
“Orang bandar nak masuk sawah. Hmm, berani ke?” soal Qaila lebih kepada mengejek. Bagai mencabar pun ada juga.
“Awak jangan ingat saya tak boleh tangkap ikan macam yang adik-adik awak buat. Silap-silap, lagi banyak ikan saya dapat tangkap daripada dia orang tau,” sahut Ray sambil mengangkat-angkat kening. Lelaki itu tersenyum lagi.
“Yalah tu.”
Spontan Qaila menjeling bila Ray mengenyit mata kepadanya sebelum lelaki bertubuh tinggi lampai itu terus menapak masuk ke dalam sawah. Mendapatkan adik-beradik Qaila yang kedengaran riuh bersuara dengan cara mereka sendiri.
Qaila yang hanya memandang tingkah lelaki itu mengeleng-geleng perlahan. Ada senyuman menghiasi bibirnya. Atas sebab apa senyuman itu wujud, Qaila sendiri tiada jawapan. Yang pasti, jiwa gadisnya rasa bahagia saat ini. Sangat!


“Tak tidur lagi? Hari dah lewat ni.”
Ray yang ralit melepas pandangan ke luar tingkap tersentak. Dia tersenyum kelat.
“Saya tak boleh tidur. Tak selesa.” Jujur dia memberitahu sambil menggosok-gosok belakang tengkuknya. Lenguh.
“Tulah. Saya dah kata, kan? Orang bandar macam awak memang takkan biasa tinggal kat kawasan kampung ni. Jangankan nak tidur, nak pejam mata sekejap pun dah tak selesa. Sekarang, padanlah dengan muka awak. Tak nak dengar cakap saya sangat.” Qaila memulang paku buah keras.
Ray merengus. “Bukan macam tulah. Saya tak selesa nak tidur dalam kotak kain tu. Rasa rimas.”
Qaila terus membulat mata.
“Kotak kain? Benda apa pula tu?” soal dia pelik.
“Tu.” Ray memuncung bibir ke arah bilik Quzairi.
Bergegas Qaila menapak ke situ. Pintu bilik Quzairi dibuka sekejap sebelum dia menutupnya semula. Perlahan. Lantas tubuh Ray yang masih tidak berganjak dari tempat lelaki itu berdiri dari tadi dihampiri semula.
“Itu bukan kotak kainlah. Itu namanya kelambu, tahu tak?” sergah Qaila perlahan.
Bimbang jika adik-adiknya yang sudah lama dihanyut mimpi terjaga gara-gara suaranya yang sudah terbiasa kuat dan tegas itu.
“Tak kisahlah apa pun namanya, tapi saya memang tak selesa nak tidur dalam benda alah tu. Rasa macam tidur dalam kotak aje,” sahut Ray seakan-akan mengeluh.
“Kalau tak pasang kelambu, jenuh badan awak kena gigit dengan nyamuk nanti. Bukan saja nyamuk, segala jenis serangga kecil yang ada dalam kampung ni pun boleh masuk, tahu tak?” sergah Qaila sambil menggeleng perlahan.
Kesian pula dia melihat keadaan Ray saat ini. Terkulat-kulat tak tahu nak buat apa walau jelas rasa kantuk sudah menyerang lelaki itu.
“Dahlah. Saya nak masuk tidur. Kalau awak rasa badan awak tu tahan dengan gigitan nyamuk, hah, tidur ajelah kat ruang tamu ni. Kalau tak pun, tidur aje kat beranda luar rumah tu. Situ lagi luas. Aircond original pun ada. Selamat malam.” Qaila terus menapak ke biliknya kemudian.
Meninggalkan Ray yang hanya merengus dengan kata-kata gadis itu. Lambat-lambat, lelaki itu menapak ke bilik Quzairi bila mulutnya sudah ternganga luas. Tanda kantuknya tidak dapat ditahan-tahan lagi.


“Qaila?”
Qaila yang baru berkira-kira mahu membuka tudung sebaik menutup pintu menoleh. Matanya jatuh ke wajah Puan Zara yang entah bila sudah berada di ambang pintu. Wanita itu melangkah masuk sebelum pintu bilik ditutup rapat.
“Mak tak tidur lagi?” soal Qaila meletak tudung yang dipakainya ke ampaian kecil di penjuru bilik.
“Mata mak belum mengantuk lagi Ila,” sahut Puan Zara sambil melabuh punggung ke birai katil.
Sambil memandang Qaila memanjat naik ke katil, wanita itu tersenyum. Akalnya berkira-kira mahu membuka bicara panjang antara mereka walau nampak gayanya Qaila sudah seperti mahu melelapkan mata.
“Baik budak Ray tu ya? Berkenan mak dengan perangai dia tu.”
Qaila yang sedang menepuk-nepuk bantal tidurnya mengalih pandangan ke wajah Puan Zara.
“Mak ni kenapa? Tiba-tiba saja cakap macam tu? Mak berkenan nak buat laki baru ke mak? Ouch!” Qaila tertawa kecil bila cubitan halus singgah ke lengannya.
“Kamu ni, itu pula yang difikirnya. Daripada mak buat dia jadi laki mak, baik dia jadi menantu mak. Itu baru betul,” sahut Puan Zara tersenyum-senyum membalas pandangan Qaila yang awal-awal lagi sudah mencebik.
“Huh. Mak tu mulalah nak cakap perkara yang bukan-bukan. Ila dengan Ray tu tak ada apa-apalah mak. Kawan begitu-begitu aje. Kami baru aje kenal sehari dua ni.” Qaila berterus terang walau air muka maknya jelas menampakkan riak kurang percaya.
Dia mengerti dengan rasa yang bermain di hati wanita kesayangannya itu. Bukan saja sekarang, malah sejak kali pertama Ray datang lagi Qaila yakin hati Puan Zara sudah terpaut kepada lelaki yang tidak diketahui asal usulnya itu. Bukan saja Puan Zara, adik-adiknya juga kelihatan selesa bila bersama dengan lelaki itu. Hanya Qaila yang pura-pura tidak perasan.
“Ya ke kamu baru kenal dia sehari dua ni? Tapi kenapa mak rasa kamu dengan dia tu macam dah lama kenal aje?”
Qaila tersenyum. Hah, kan betul katanya. Puan Zara memang tak percaya.
“Betullah mak. Ila baru aje kenal dengan Ray tu. Itu pun sebab dia selalu kacau Ila tak kira masa dan tempat. Tapi mak jangan bimbang. Setakat ni dia belum pernah buat apa-apa yang tak sepatutnya kat Ila.” Lembut Qaila memberitahu.
Sekali gus cuba membuang segala prasangka yang ada dalam kepala Puan Zara berhubung dirinya dan Ray. Dia tersenyum lagi bila Puan Zara mengeluh kecil.
“Mak bukannya apa Ila. Selama kamu besar ni, tak pernah sekali pun kamu bawa balik kawan lelaki ke rumah ni. Jadi bila Ray tu datang, mak ingat dialah pilihan kamu. Kalaupun dia bukan pilihan kamu, tak salah kan kalau mak doakan kamu ada jodoh dengan lelaki sebaik dia?” pujuk Puan Zara lembut.
“Isy, mak ni. Mana mak tahu dia baik ke tidak? Entah-entah dia samseng yang tunggu masa nak rompak rumah kita ni. Siapa tahu, kan?” Qaila cuba mematahkan kata-kata bersalut harapan maknya.
“Kamu ni Qaila. Nama aje dah lama jadi polis, tapi masih tak tahu nak beza mana orang baik, mana orang jahat. Kalau betullah Ray tu jahat, tak adanya dia nak berbaik-baik dengan adik-adik kamu. Rajin pula dia bantu dia orang cari ikan, pergi sungai, ikut dia orang ronda-ronda kampung. Dahlah tu, boleh pula dia mengimamkan solat maghrib di surau kampung tadi menggantikan tempat Imam Musa yang tak dapat datang tadi. Hah, mana lagi nak cari lelaki sebaik tu Qaila oi?” kata Puan Zara panjang lebar.
Qaila terkedu. Ray jadi imam solat? Biar betul Ray tu. Terasa kembang hatinya tiba-tiba. Bagai dia pula yang dipuji. Padahal dia hanya tumpang gembira mendengar pujian Puan Zara terhadap lelaki itu. Sekali gus mengurangkan prasangkanya terhadap Ray.
Qaila sendiri sebenarnya sudah lama sedar. Dia telah dapat menerima kewujudan Ray sebagai salah seorang daripada mereka yang ada dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini. Bukan kerana kemewahan yang dipamerkan lelaki itu. Tetapi kerana budi bahasa Ray yang menarik hatinya. Kata-kata manis lelaki tu? Bolehlah...
Tak jadi dia nak menyambung angan bila suara Puan Zara kembali menerjah.
“Adik-adik kamu pun suka sangat dengan dia. Rapat semacam aje mak tengok dia orang dengan si Ray tu. Tapi terus terang mak kata, tak kisahlah siapa pun dia Ila. Kalau dia baik orangnya, mak terima saja dia jadi menantu mak.”
“Walaupun dia seorang penganggur, tak bekerja?” uji Qaila. Dia tersenyum lagi bila Puan Zara terus menepuk lembut lengannya.
“Isy, kamu ni. Itu pula yang kamu fikirkan. Dia menganggur ke, dia tak bekerja ke, semua tu bukan urusan kita, tapi urusan Allah. Sekarang ni memanglah kita tengok dia macam tak ada kerja. Tapi siapa tahu, di masa depan rezeki dia lebih melimpah-limpah daripada kita yang dah lama ada kerja ni. Ingat Ila. Rezeki tu urusan Allah. Tugas kita hanya mencari dan berdoa. Bukan mempertikai apa yang telah Dia tentukan.” Panjang syarahan Puan Zara.
Gadis itu hanya tersenyum malu mengenangkan kebenaran kata-kata maknya. Nampak sangat dia terlupa pada janji Allah kepada setiap makhluk-Nya yang rajin berusaha hingga boleh pula dia berfikiran sebegitu. Segan Qaila kepada diri sendiri.
“Esok-esok, kalau Ray ajak kamu kahwin, kamu terima sajalah ya? Lantaklah orang nak cakap apa pun pasal dia. Mak tak ambil pusing. Asalkan agama dan tingkah dia elok di mata hati mak, bab lain tu mak memang tak nak ambil tahu,” sambung Puan Zara lagi. Kali ini dengan penuh harap.
“Mak ni. Cakap macamlah si Ray tu pernah melamar Ila. Kenal sangat pun tidak, tahu-tahu dah nak cakap pasal kahwin. Zaman dulu bolehlah bercinta lepas kahwin. Zaman sekarang semua tu dah tak wujud mak.”
“Bukan tak wujud, tapi kamu tu yang tak perasan. Dalam Islam pun kita digalakkan kahwin dulu baru bercinta. Nak harapkan kamu nak bercinta dulu sebelum kahwin, alamatnya sampai ke tualah mak tak merasa ada menantu lelaki.”
“Yalah tu mak. Betul sangatlah apa yang mak cakap tu. Dahlah ya mak. Hari dah malam sangat ni. Ila mengantuklah. Ila tidur dulu ya?” pinta Qaila sedikit manja.
Dia tersengih bila Puan Zara menepuk lengannya semula.
“Sajalah tu bagi alasan. Yalah. Yalah. Mak keluar sekarang. Jangan lupa baca doa sebelum tidur. Karang mengigau yang bukan-bukan pula,” kata Puan Zara seraya bangun. Dia berlalu keluar usai menutup suis lampu di tepi pintu bilik.
Qaila yang sudah membaringkan diri di atas tilam hanya tersenyum. Hakikatnya, dia sendiri senang dengan tingkah Ray. Dalam sombong dan bongkak lelaki itu, masih ada peribadi indah dalam diri Ray. Ray tidak kekok bercampur gaul dengan masyarakat kampungnya biarpun ini kali pertama lelaki itu datang ke sini. Ray tidak merungut bila terpaksa menelan makanan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Ray tidak mengeluh, malah dengan senang hati lelaki itu mengikut setiap ajakan adik-adiknya.
Hanya di depan Qaila lelaki itu sering kali menayang sikap berbeza daripada apa yang dipamerkannya bila bersama mereka yang lain. Atas sebab apa Ray bertingkah begitu, Qaila sendiri tidak mengerti. Tapi, Qaila tidak kisah dengan semua itu. Asalkan Ray masih tidak melangkaui batas-batas kehidupan yang sepatutnya, Qaila masih boleh menerima setiap kelakuan yang ditunjukkan lelaki itu.
Qaila menepuk dahi tatkala akalnya terfikir sesuatu. “Isy... Apalah yang aku mengarut ni? Tidur lagi bagus daripada fikir pasal encik penganggur tu.”
Qaila terus menutup mata sebaik doa tidur dibaca. Moga-moga adalah mimpi indah yang datang. Amin.