Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 7 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 7
“Nak singgah kedai Haji Dollah tak Ari?” soal Qaila, memandang sekilas adik bongsunya di sisi.
“Nak buat apa singgah ke situ? Ada lagi ke barang yang kau nak beli kak?” Quzairi yang leka membelek-belek telefon bimbitnya bertanya. Mata pula masih tetap di skrin telefon.
“Manalah aku tahu. Dah cukup ke semua barang yang mak pesan tadi tu?” soal Qaila tetap cermat dengan pemanduannya walau di jalan-jalan kampung. Keselamatan itu penting dijaga, tak kiralah di mana pun kita berada.
“Dah rasanya. Tak payahlah singgah kedai Haji Dollah tu. Baik kita balik rumah aje terus,” sahut Quzairi. Malas sebenarnya nak singgah ke mana-mana lagi.
“Eleh, kau tu. Dari tadi hanya tahu menghadap telefon tu aje. Makwe hantar mesej ke apa?” usik Qaila. Anak muda itu merengus halus.
“Mana adalah kak. Ni hah, Ari baca mesej yang kawan-kawan hantar dalam grup WhatsApp kita orang. Biasalah budak universiti macam kita orang ni. Nak sibuk bermesej pasal apa lagi kalau bukan pasal assignment kita orang,” sahut Quzairi sambil menayang skrin telefon bimbitnya ke arah Qaila.
Gadis itu memandang sekilas sebelum mengangguk.
“Baguslah begitu. Gunakan teknologi dengan betul. Jangan nak merapu yang bukan-bukan pula. Usia remaja macam kamu tu memang elok dihabiskan dengan mencari ilmu aje. Bukannya mencari bakal isteri.” Tegas Qaila menyuara nasihat.
“Isy, kau ni kak. Ari baru berusia 21 tahunlah. Jauh lagi nak fikir pasal semua tu. Kalaupun Ari dah ada makwe, tak adanya Ari nak kahwin sekarang. Kakak sendiri pun belum kahwin.” Quzairi tersengih saat kerlingan Qaila singgah di matanya.
“Bab tu kau jangan pandai-pandai nak sebut ya? Banyak lagi kerja yang aku nak buat selain kahwin tu tau.” Qaila bersuara tegas.
“Tapi kan kak, kakak dah ham...”
“Hah, tu nak kata aku dah hampir masuk dalam golongan andartulah tu.” Qaila menyergah garang.
“Wahai adikku sayang, kakak sulungmu ini baru nak melangkah masuk umur 29 tahun ya. Jadi jangan suka-suka hati aje nak bagi aku apa-apa gelaran yang tak sedap didengar. Tapi kan, lantaklah orang nak kata apa pun pasal aku. Aku andartu ke, andalusia ke, ada aku kisah?” jeling Qaila seraya membelok masuk ke laman rumah Puan Zara.
Bulat matanya sekejap tatkala terpandang sesuatu di laman rumah mereka.
“Eh, siapa pula yang datang ke rumah kita ni kak?” Quzairi terlebih dulu bertanya sebelum sempat Qaila menyoal.
Terlupa terus Quzairi tentang perkara yang baru dicakapkan mereka dalam kereta sebentar tadi. Anak muda itu terus membuka pintu kereta sebaik saja Qaila mematikan enjin.
Dalam masa yang sama, mata Qaila sudah tertancap ke sebuah kereta mewah yang tersadai di tepi rumah. Lama dia menatap kereta itu. Serasa dia pernah melihat kereta itu sebelum ini, tapi di mana ya? Sekilas, bayangan sebuah kereta mewah yang melintasi laluannya dan Isma ketika mereka berada di hadapan rumah Datuk Mustapha sehari dua lalu terbayang.
Kereta inikah? Tapi bagaimana kereta ini boleh berada di halaman rumah maknya sekarang? Argh, boleh jadi pelanduk dua serupa. Hatinya membuat kesimpulan sendiri. Malas melayan pertanyaan demi pertanyaan yang mula memenuhi ruang akalnya.
“Hah, dah balik pun kau orang. Qaila, ni ada kawan kamu datang mencari kamu. Dari Kuala Lumpur katanya.” Puan Zara yang sudah berada di muka pintu rumah terus bersuara sebaik kaki Qaila memijak tanah.
Terpinga-pinga gadis itu seketika.
“Kawan Ila dari Kuala Lumpur? Siapa dia mak?” soal Qaila. Sambil-sambil itu dia membantu Quzairi mengeluarkan barang-barang belian mereka dari dalam but kereta.
“Entah. Tak pernah pulak mak tengok dia sebelum ni, tapi dia kata dia kawan kamu.”
Qaila tidak menyahut. Dia segera menapak naik ke anjung rumah. Barang-barang beliannya turut diangkut sekali. Langsung ke ruang tamu. Puan Zara mengikut dari belakang.
Bulat mata Qaila tatkala terpandang tetamu yang awal-awal lagi sudah mengukir senyuman lebar tatkala mereka bertentang pandangan.
“Ray! Awak buat apa kat sini? Macam mana awak tahu saya balik ke kampung? Mana awak dapat alamat rumah saya ni?” soal Qaila bertubi-tubi. Terkejut sebenarnya dengan kehadiran lelaki itu di situ.
“Amboi... Banyaknya soalan. Tak tahu saya nak jawab yang mana satu.” Ray tersengih di akhir ayat. Sempat dia mengenyit mata kepada Qaila diam-diam.
Gadis itu mencebik.
“Jadi betullah dia kawan kamu, Ila?” sampuk Puan Zara baru saja berdiri di belakang tubuh anak gadisnya.
Matanya memandang Qaila yang merengus halus sebelum lambat-lambat gadis itu mengangguk kemudian.
“Ya mak,” jawab Qaila antara mahu dengan tidak saja.
Sedang mata sudah merenung tajam-tajam Ray yang membalas selamba. Bagai tak kisah dengan isyarat tidak selesa yang ditunjukkan gadis itu.
“Kawan ke boyfriend kau kak?” Qayyum yang baru menapak masuk ke dalam rumah menyampuk pula.
Anak muda itu baru saja selesai mandi di telaga di tepi rumah setelah sepagian menghabiskan masa membaiki reban ayam bersama Qashaf.
Boyfriendlah tu Qay oi. Kalau tidak, takkan dia nak ikut kakak kita sampai ke kampung ni. Ya tak bang?” Qashaf yang berada di belakang Qayyum ikut serta mengusik. Sempat dia menyalami Ray sambil tersengih-sengih ke arah Qaila.
“Kau orang berdua ni teringin nak makan penampar aku ya? Pandai-pandai aje buat cerita. Dah, pergi masuk bilik. Tukar pakaian tu. Kejap lagi tolong aku kat dapur. Jangan tahu nak suruh aku masak macam-macam padahal kau orang hanya tahu duduk bergoyang kaki aje,” perintah Qaila tegas.
“Baik puan inspektor,” balas Qayyum dan Qashaf hampir serentak.
Masing-masing terkekeh ketawa bila terpandang jelingan tajam gadis itu sebelum bergegas masuk ke dalam bilik.
“Duduklah dulu ya nak. Mak cik nak ke dapur sekejap. Ila, kamu layanlah kawan kamu ni ya,” pamit Puan Zara.
Sempat dia mencapai plastik berisi barang-barang dari tangan Qaila sebelum menghilang ke dapur sesaat dua kemudian.
“Amboi... Dengan adik-adik sendiri pun bukan main garang. Awak memang macam ni ya Almas? Garang 24 jam?” tanya Ray tenang saja duduk menyilang kaki sambil menyandar tubuh di kusyen kerusi rotan.
“Mana awak tahu saya balik kampung, hah? Awak intip saya sampai ke sini ya?” Qaila terus bertanya sebaik saja dia pasti kelibat mak dan adik-adiknya tidak lagi kelihatan.
Soalan Ray diabaikan begitu saja. Bukan ada faedah pun untuk dia jawab. Menyakitkan hati lagi adalah.
“Kalau awak dah tahu, buat apa awak tanya lagi? Buang masa dan air liur awak ajelah.” Ray menyahut dengan keningnya diangkat-angkat sedikit.
Menyampah Qaila melihatnya.
“Ewah, berlagak bukan main lagi awak ya? Siapa suruh awak datang ke sini, hah? Saya tak ajak pun awak ke sini,” marah Qaila biarpun dalam nada perlahan.
Bimbang kalau-kalau suaranya dapat didengari Puan Zara. Tak pasal-pasal dia yang dibambu Puan Zara nanti kerana bersuara sebegitu kepada tetamu walaupun yang datang itu adalah tetamu tak diundang.
“Perlu ke saya tunggu ajakan awak baru saya boleh sampai ke sini? Huh. Awak silap kalau awak fikir saya macam tu. Kalau awak mahu tahu, saya akan buat apa yang saya nak tanpa perlu keizinan sesiapa asalkan apa yang saya nak tu saya dapat.” Agak angkuh Ray bersuara.
Loya tekak Qaila yang mendengar.
By the way, kenapa awak tak bagi tahu yang awak dapat surat ugutan daripada pembunuh Tan Sri Rashid kepada saya? Kenapa awak balik kampung tanpa pengetahuan saya? Kenapa awak tak jawab panggilan telefon dan mesej saya? Kenapa?” soal Ray pula bertubi-tubi.
Tajam matanya merenung Qaila yang awal-awal lagi sudah mengalih perhatian ke arah lain. Rimas dengan renungan itu meski riak tetap ditayang biasa-biasa. Makin rimas bila hatinya ikut serta melompat-lompat tinggi. Macam nak gugur dari tangkai sendiri!
“Suka hati sayalah nak buat apa pun yang saya nak. Awak tu siapa nak saya bagi tahu semuanya, hah?” marah Qaila lagi.
“Eh, saya kan kawan awak. Mestilah saya kena tahu semuanya pasal awak. Ke... awak nak saya upgrade hubungan kita ni dengan hubungan yang lebih baik? Kalau sungguh, saya on aje. Tinggal tunggu persetujuan daripada pihak awak ajelah.”
Makin kembang tekak Qaila mendengar kata-kata lelaki itu. Lain yang dia tanya, lain pula lelaki itu jawab. Betullah Ray ni jenis yang tak faham bahasa!
“Awak tak payah nak buat lawak ya. Tak lucu pun. Kat luar tu, kereta siapa yang awak ambil? Kereta yang dulu tu pergi mana? Dah buang ke laut?” sindir Qaila.
Sengaja mengubah topik. Cakap-cakap lelaki itu bukannya boleh dilayan sangat. Dia juga yang akan sakit hati nanti.
“Apa kelas ambil kereta orang. Itu kereta sayalah. Kereta yang dulu tu masih ada, tapi tak salah kan kalau saya bertukar-tukar kereta bila-bila masa yang saya nak? Bukannya saya kacau hidup sesiapa pun.”
Kerek sungguh jawapan yang diberi Ray. Meluat Qaila mendengarnya.
“Amboi... Penganggur macam awak ni pun mampu tukar kereta mewah macam tukar pakaian aje. Hebat!” perli Qaila.
Well, memang saya mampu pun, wahai Cik Almas. Jangankan kereta, nak beli kampung awak ni pun dah terlebih daripada mampu bagi saya. Awak tu aje yang tak pernah nak perasan semua tu.” Ray kembali menunjuk lagak dalam senyum sinisnya.
Nampak benar lelaki itu sengaja mahu membakar kemarahan Qaila saat ini. Berangin Qaila jadinya. “Awak ni kan...”
“Ray tinggal kat mana selama berada kat sini?” Puan Zara yang baru kembali bersama sedulang minuman bertanya.
Sekali gus mematikan suara Qaila untuk bersuara. Lambat-lambat, rasa geramnya ditelan walau tak puas hati dengan keadaan itu.
“Tak tahu lagi mak cik. Saya ingat nak cari hotel atau calet terdekat kalau ada,” sahut Ray terus bersikap sopan santun.
Jauh beza dengan tingkah yang dipamerkannya ketika bersama Qaila. Geram Qaila melihatnya. Hipokrit betulllah mamat penganggur ni!
“Isy, rasanya tak ada hotel atau calet kat kampung ni nak oi. Maklumlah, kampung ni jauh dari bandar. Kalau Ray tak keberatan, Ray boleh tinggal kat rumah mak cik ni sehari dua.”
Bulat mata Qaila mendengar pelawaan Puan Zara. Sakit hatinya dengan perangai Ray masih belum reda, mak dia pula nak menambah rencah? Eii, tak boleh ni!
“Eh, buat apa mak nak pelawa dia tinggal dengan kita? Dia datang ke sini pun sekejap aje. Nanti dia baliklah. Ya tak Ray?” Qaila sudah gabra.
Mak ajak penganggur ni tinggal sekali dengan kami? Aduh, kes berat ni!
“Siapa kata saya datang sekejap aje? Dahlah jauh kampung awak ni, kat kawasan pedalaman pula tu. Letih saya pun belum habis lagi. Rugilah kalau saya tolak pelawaan mak awak ni. Ya tak mak cik?”
Mahu tercabut jantung Qaila mendengar jawapan selamba Ray. Wah, pandainya lelaki ini menjawab. Dahlah tu, bagi jawapan yang tak sepatutnya pula tu! Ikutkan hati, mahu saja Qaila mengganyang mulut lelaki itu. Jika dia tidak terfikir tentang kewujudan Puan Zara di depan mereka sekarang, pasti akan ada kubur baru yang harus digali di kawasan perkuburan kampung tengah hari ini juga. Khas untuk Ray!
“Betul tu Ray. Kampung ni memang jauh sikit dari bandar. Memang elok sangatlah kalau kamu tidur sini. Kebetulan adik-adik Ila pun ada semuanya. Bolehlah dia orang bawa kamu jalan-jalan kat kampung ni nanti.”
Ramah sungguh Puan Zara melayan tetamunya hingga Qaila yang melihat pun makin menyampah. Bukan dia tak tahu perangai maknya nan satu itu. Kalau dah begitu ramah tingkah yang ditunjukkan Puan Zara, maknanya wanita kesayangannya dan adik-adiknya itu sudah jatuh suka dengan orang itu.
Qaila tak cemburu. Jauh sekalilah dengki. Malah, dia sangat suka dengan keadaan itu. Cuma, kenapa maknya harus jatuh suka kepada penganggur yang berlagak kaya tu? Qaila betul-betul tak faham!
“Hah, Ila, bawa Ray ke bilik Ari. Bolehlah dia berehat sekejap. Mesti dia penat setelah sepagi dia memandu kereta. Sambil-sambil tu bolehlah mak sediakan hidangan tengah hari kita.”
Qaila yang baru berkira-kira mahu meninggalkan kedua-duanya di situ tak jadi nak berpaling tubuh. Sebaliknya wajah gembira Puan Zara dan wajah selamba Ray ditatap silih berganti.
“Mak nak suruh dia ni tidur sebilik dengan Ari ke?” soal Qaila bagai tak percaya.
“Yalah. Takkan nak sebilik dengan kamu pula. Lainlah kalau kamu dah jadi suami isteri. Memang patut pun mak suruh dia tidur dalam bilik kamu. Dah, dah. Jangan nak bantah arahan mak. Cepat buat apa yang mak suruh. Lepas tu masuk dapur. Tolong mak apa yang patut,” arah Puan Zara tegas.
Dia tersenyum semula kepada Ray kemudian.
“Mak cik ke dapur dulu ya Ray? Kamu buatlah macam rumah kamu sendiri selama kat sini ya,” kata Puan Zara sebelum berlalu ke dapur.
Meninggalkan Qaila yang bengang dengan tingkah mak sendiri. Dengan anak sendiri gaya cakapnya macam jeneral tentera, tapi dengan si mamat penganggur ni boleh pula mak bersuara ala-ala kucing mengiau manja. Dahlah tu, siap nak kenen-kenenkan kami berdua pula. Huh. Benci betullah! Lantas wajah selamba Ray dicari sepantas kilat.
“Eii, awak ni. Memang sengaja nak bagi saya marah, kan? Pandai-pandai awak aje setuju dengan pelawaan mak saya. Tak boleh ke awak tolak aje, hah?” Qaila kembali bersuara garang sambil mencekak pinggang.
“Ya ke saya dah buat awak marah?” Ray pura-pura tanya. Lelaki itu tersenyum kemudian. Manis.
“Daripada saya buat awak marah, baik saya buat awak jatuh hati kat saya aje. Itu lebih afdal rasanya. Lagipun, tak baik tahu kalau kita tolak permintaan orang tua. Lebih-lebih lagi daripada perempuan cantik macam mak awak tu. Susah hidup kita nanti kalau tak dapat restu daripada dia.” Ray mengenyit mata nakal.
Geram Qaila jadinya.
“Hah. Tunggu apa lagi, bawalah saya ke bilik Ari tu. Takkan awak nak sembang dengan saya sampai ke malam pulak? Saya tak kisah, tapi apa pulak kata mak awak nanti. Lainlah kalau kita dah jadi suami isteri, macam yang mak awak kata tadi. Nak sembang sampai seminggu tak keluar bilik pun tak ada orang nak kisah,” suruh Ray seolah-olah dia pula pemilik rumah papan itu.
Sempat dia menghirup sedikit air dari cawan di depannya sebelum bergegas bangun.
“Awak ni mem...”
“Tak payah nak membebel sangatlah. Jom kita ke bilik Ari,” ajak Ray, langsung tak beri peluang kepada Qaila untuk menjawab.
Sebaliknya bahu gadis itu dicuit sedikit supaya bergerak daripada terus berdiri terpacak di tempatnya. Mahu tak mahu Qaila hanya menurut dengan bibir sudah muncung sedepa.
“Ari, mak minta Ari kongsi bilik dengan kawan kakak untuk malam ni aje. Boleh ya dik?” tanya Qaila sebaik menapak masuk ke satu bilik berukuran sederhana kecil.
Quzairi yang sedang sibuk menulis sesuatu di meja tulisnya menoleh. Anak muda itu terus tersenyum lalu mengangguk.
“Boleh aje kak. Jangan kata malam ni aje, nak tidur dua tiga malam kat sini pun Ari tak kisah. Masuklah abang. Buatlah macam bilik sendiri ya,” pelawa Quzairi ramah seraya membuka pintu bilik dengan lebih luas.
Lambat-lambat Ray menapak masuk. Liar matanya memandang sekitar bilik yang kelihatan bersih serta kemas itu. Hiasannya ringkas, namun tampak selesa.
“Ari! Tolong mak ambil serai kat belakang kejap!”
Laungan Puan Zara dari dapur membantutkan Ray yang baru berkira-kira mahu menjawab kata-kata anak muda itu.
“Kejap ya bang. Mak panggil tu.”
Sempat Ray tersenyum mengangguk sebelum anak muda itu hilang daripada pandangannya. “Bilik ni tak ada aircond ke?”
Qaila yang sibuk membelek-belek buku pengajian adiknya di atas meja belajar menoleh cepat. Amboi-amboi, dia ni. Depan mak dan adik-adik bukan main elok bahasanya, tapi kalau dengan aku, huh. Kerek semacam!
Aircond? Helo encik penganggur. Ini rumah kampung okey, bukan rumah tumpangan. Jadi jangan mengada-ada nak minta macam-macam. Orang bagi tumpang tinggal semalam dua pun patut awak bersyukur dah tahu,” jeling Qaila geram.
“Alah. Saya tanya aje pun. Tak payahlah nak emo sangat,” sahut Ray sambil duduk di atas katil bersaiz queen itu.
Daripada riak wajahnya pun Qaila sudah dapat membaca, Ray kurang selesa dengan keadaan itu, namun mujur saja lelaki itu tidak bersuara apa-apa tentang tilam yang sememangnya tidak seempuk tilam Vono dan seumpamanya. Jika tidak Qaila akan pastikan lelaki asing itu akan tertonggeng ke luar tingkap dek sepakan mautnya sekarang juga!
“Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tak ada pun, bukannya masalah besar bagi saya,” sambung Ray kemudian.
“Huh. Yalah tu. Orang kampung macam kami ni hanya pakai aircond original aje. Tak mainlah aircond berbayar macam yang orang kaya selalu pakai tu,” cebik Qaila.
Aircond original?” Kening Ray sudah berkerut-kerut.
“Ni hah aircond orginal. Reti?” sahut Qaila seraya membuka luas-luas tingkap bilik.
Sekali gus membenarkan angin tengah hari yang bertiup sedikit kencang menerobos masuk. Cepat-cepat dia memegang hujung tudung bila tudung bawal yang masih tersarung di kepalanya sudah terselak-selak ditiup angin.
“Lagi satu. Kat rumah ni kami makan masakan orang kampung aje. Jangankan makanan barat, makanan dalam tin pun tak ada. Jadi pandai-pandai awaklah kalau perut awak tak dapat nak kenyang dengan makanan cara kami. Susah-susah sangat, awak makan ajelah buah-buahan yang tumbuh kat laman rumah tu. Ada cempedak, mangga, rambutan dan betik aje. Lain daripada tu, sorry. Memang tak pernah wujud kat sini.” Qaila bersuara semula, tetap garang seperti tadi.
“Restoran takkan tak ada dalam kampung ni?”
Wahai hati, sabarlah dikau melayan kerenah entah apa-apa penganggur kerek ni. Qaila cuba memujuk hati sendiri.
“Kalau ada sekalipun, masakannya takkan kena dengan tekak awak punya. Saya gerenti,” jawab Qaila dengan satu jelingan diberikan lagi kepada lelaki itu.
Dah tahu diri tu tak boleh duduk kawasan macam ni, datang ke sini buat apa? Menyusahkan orang saja. Qaila hanya mampu membebel dalam hati.
“Dahlah. Saya keluar dulu. Awak buatlah apa yang awak nak kat dalam ni. Tapi ingat, jangan cuba-cuba nak buat benda-benda tak elok pula. Saya karate awak karang.” Keras Qaila memberi amaran. Siap menuding jari telunjuk lagi ke muka lelaki itu.
“Baik puan inspektor.”

Qaila hanya mencebik bila Ray memberi tabik hormat kepadanya. Sajalah tu nak bagi dia berangin balik. Huh! 

No comments:

Post a Comment