Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 5 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 5
“Kau tak buat laporan ke berhubung dengan kes pecah masuk rumah kau tu?” Suara Isma kedengaran risau.
“Tak pun. Aku rasa perkara tu kecil aje. Lagipun tak ada apa yang hilang kecuali tingkap dan beberapa barang rumah aku aje yang pecah. Semua tu bukan masalah besar bagi aku,” jawab Qaila. Hanya memandang mudah kejadian itu.
Bukan dia mahu berlagak berani. Tetapi pada Qaila, selagi perkara itu mampu diuruskannya, dia tidak akan sesekali membabitkan mereka yang lain dalam masalahnya. Apatah lagi pihak atasan yang pastinya akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang cuba mencabar kewibawaan seorang anggota polis.
“Tapi, itu dah menandakan yang kau sekarang menjadi buruan pihak musuh, Ila. Kau kena lebih berhati-hati lepas ni. Aku takut nyawa kau pula yang jadi buruan dia orang.” Isma tetap dengan kerisauannya.
“Aku tahu, tapi pandai-pandailah aku jaga diri aku ni. Kau tu, jangan tahu nak jual minyak aje selama kat sana tu. Aku tahulah kau tengah cari bakal isteri sekarang, tapi jangan sampai kau terlupa pula sebab apa kau ada kat sana.” Qaila menyergah tegas.
Sempat lagi dia menyelit nasihat kepada Isma yang sejak semalam berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Kursus Pencegahan Jenayah dan Asas Penyiasatan anjuran Unit Keselamatam Hospital USM bersama Polis Diraja Malaysia.
“Alah, pasal aku pula yang kau nak kisahkan. Aku okeylah kat sini. Tapi, kau faham-faham sajalah perangai ASP Rahim macam mana. Tegas sangat sampai aku nak curi-curi rehat sekejap pun tak dapat. Ini pun nasib baik dia suruh aku balik ke bilik kami dulu sementara dia ada perbincangan dengan pegawai-pegawai lain. Kalau tak jangan haraplah aku boleh cakap lama-lama dengan kau.”
Terkekeh-kekeh Qaila ketawa mendengar omelan Isma yang lebih kepada merungut itu.
“Memang patut pun ASP Rahim buat kau macam tu. Dah tahu kau orang pergi sana sebab buat kerja, ada hati lagi nak curi tulang. Nasib baik aku tak pergi sekali. Kalau tidak, memang lagi teruklah kau kena sebab aku akan pastikan yang kau tak boleh rehat walau seminit pun sepanjang kursus dijalankan.”
“Amboi, kau, kejam sungguh tu. Mahu patah riuk aku kalau begitu.”
“Padanlah dengan kau yang suka curi tulang tu. Orang hantar ke kursus sebab nak kongsi ilmu dengan pelajar-pelajar universiti. Kau pula ambil kesempatan nak bercuti-cuti Malaysia.”
“Yalah puan inspektor. Saya mengaku salah.”
Qaila ikut serta ketawa bila Isma sudah tertawa di hujung talian.
“Okeylah Is. Apa-apa hal nanti aku telefon kau balik ya. Jaga diri baik-baik tau.” Sempat Qaila memberi pesan sebelum memutuskan talian.
Telefon bimbit dicampak ke tepi kemudian mata pula kembali fokus pada pemanduannya. Sesekali Qaila melepas pandangan ke luar kereta.
Qaila mengeluh tatkala keretanya memasuki lorong kecil kawasan perumahannya. Dari kejauhan, kelibat Ray sudah kelihatan di tembok pagar rumahnya. Ikutkan, mahu saja dia berpatah balik. Namun, bila difikirkan semula, tak guna juga dia berbuat begitu. Dia harus berdepan dengan segala masalah yang datang.
Mahu tak mahu Qaila menapak keluar seraya mendapatkan lelaki itu usai memarkir kereta di laman rumah.
“Assalamualaikum Almas,” ucap Ray sebaik Qaila menghampirinya.
Ray sendiri sudah berdiri tegak sebaik ternampak kelibat kereta Qaila dari kejauhan. Sebagaimana biasa, ada senyuman manis di wajah lelaki yang segak berpakaian serba ringkas dan kelihatan kasual itu.
“Waalaikumussalam. Ada apa awak datang ke sini lagi? Tak takut saya sumbat awak masuk lokap ke, hah?” Seperti biasa, Qaila bertanya garang.
“Nak takut apanya kalau saya tak buat apa-apa salah. Jom, temankan saya makan. Saya laparlah,” pinta Ray sambil menggosok-gosok perut sendiri.
Jelas kelihatan bentuk perut Ray yang berketak-ketak di balik T-shirt putih gadingnya setiap kali angin petang menyapa tubuh tegap lelaki itu. Apatah lagi petang ini Ray kelihatan lebih kacak dengan rambut panjangnya diikat kemas seperti ekor kuda. Cermin mata hitam yang selalu tersangkut di leher baju pula diletakkan di atas kepala.
Memang Ray kelihatan beribu-ribu kali handsome di mata Qaila saat ini. Tambahan pula hati Qaila awal-awal lagi sudah terpukau walau dia buat-buat tak nampak semua itu.
“Huh. Peduli apa saya awak lapar ke tak? Kalau awak nak makan, pergilah makan sorang-sorang. Bukan ada kena-mengena dengan saya pun.” Sengaja Qaila menjawab kasar. Berserta dengan jelingan tajam lagi. Malas sebenarnya nak melayan lelaki itu.
“Janganlah macam tu Almas. Saya betul-betul lapar ni. Jomlah temankan saya makan. Karang kalau saya pengsan kat sini, awak juga yang susah nanti. Jomlah,” pinta Ray. Kali ini lebih kepada merengek.
Rimas Qaila jadinya. Apatah lagi bila terpandang kerdipan mata Ray beberapa kali. Betul-betul meminta simpati.
“Yalah. Yalah. Tapi sekejap aje tau. Nanti tak sempat pulak saya nak solat maghrib.” Mahu tak mahu Qaila beralah juga.
Kesian pula dia melihat Ray dari tadi hanya menggosok-gosok perutnya. Macam dah sangat-sangat kebuluran.
Ray tersengih suka. “Pasal tu awak jangan risau. Kalau tak sempat nak balik rumah, kita singgah mana-mana masjid.”
“Eh, awak nak ke mana pula tu?” soal Ray bila Qaila kembali menapak masuk ke dalam kawasan rumahnya.
“Nak ke mana lagi kalau bukan nak keluarkan kereta. Takkan nak pergi dengan jalan kaki kut.”
Ray cepat-cepat menegah. “Tak payahlah naik kereta awak. Kita naik kereta saya aje ya?”
Ray terus menapak ke keretanya yang diparkir di seberang rumah Qaila.
Terkulat-kulat Qaila seketika. Selama dia mengenali lelaki itu, baru kali ini Qaila tahu Ray mempunyai kereta. Dia fikir Ray hanya menggunakan pengangkutan awam saja jika mahu ke mana-mana. Dia tengadah bila suara Ray kembali kedengaran.
“Buat apa berdiri kat situ lagi? Marilah.” Ray menggamit jari-jemarinya ke arah Qaila. Gaya mengajak.
Cepat-cepat Qaila mengikut tanpa sepatah kata. Letih sampai nak membuka mulut pun malas saja rasanya.
“Jemputlah naik. Buatlah macam kereta sendiri ya,” pelawa Ray seraya membuka pintu kereta luas-luas buat Qaila.
“La, tunggu apa lagi? Naiklah. Awak jangan bimbanglah. Tak adanya saya nak jual awak kat siapa-siapa,” kata Ray lagi bila Qaila hanya memandang tanpa bergerak dari tempatnya berdiri. Jelas ada riak keliru di wajah gadis itu.
“Kereta siapa ni Ray?” soal Qaila sambil lambat-lambat menapak masuk ke dalam kereta itu.
Entah apa jenama kereta itu, Qaila tidak tahu. Qaila hanya pasti. Harga kereta hitam berkilat itu pasti mencecah ratusan ribu ringgit mahupun jutaan ringgit. Melihat reka bentuk kereta mewah itu pun dia sudah yakin. Telahannya itu tepat sangat-sangat.
“Kereta sayalah. Takkan kereta curi pula,” sahut Ray selamba. Dia terus menghidupkan enjin kemudian sebaik duduk di tempat pemandu.
“Yalah tu sangat,” kata Qaila lebih kepada mengejek.
Cepat-cepat dia melabuh punggung ke tempat duduk penumpang di sisi Ray. Tangan pula terus memasang tali pinggang keledar. Bukan sebab dia tak sabar-sabar nak merasa naik kereta mewah, tetapi dia sayangkan masa yang semakin berlalu.
“Awak tak percaya ya ni kereta saya?” soal Ray sambil menggerakkan kereta seminit dua kemudian. Sempat dia mengerling Qaila sebelum itu.
“Mustahil sangatlah penganggur macam awak ni mampu beli kereta semewah ni.” Penuh curiga Qaila menjawab.
“Dah nama pun kerja saya tanam anggur. Dah tentulah saya mampu beli kereta mewah macam ni. Kenapa? Awak fikir saya curi kereta ni ya Almas? Kesian saya. Muka begini handsome pun dituduh pencuri. Sabar ajelah.” Ray tersenyum lagi seraya menggeleng perlahan.
Entah apa yang lucunya di mata lelaki itu, Qaila sendiri tidak tahu.
“Ray, kalau saya minta sesuatu daripada awak, boleh tak?” soal Qaila tiba-tiba.
“Apa dia sayang?”
Berdegup laju jantung Qaila bila lelaki itu tiba-tiba memanggilnya sayang. Qaila hanya buat-buat tak peduli. Risau terlebih perasan pula nanti.
“Boleh tak awak berhenti panggil saya Almas? Rimaslah saya,” rungut Qaila sambil menjeling Ray.
Lelaki itu kelihatan santai memandu keretanya.
“Suka hati sayalah nak panggil awak Almas ke, emas ke, berlian sekalipun. Lagipun saya rasa nama Almas tu lagi sesuai dengan awak daripada nama Qaila. Tapi pada sayalah, mak ayah awak memang pandai bagi nama pada awak. Qaila Nuralmas. Sedap nama tu. Esok-esok kalau saya ada anak perempuan saya pun nak letak nama macam nama awak tu.” Ray tersengih-sengih nakal.
Menyampah Qaila melihatnya. Entah apa-apalah perangai lelaki ni.
“Dah, awak jangan nak merepek yang bukan-bukan. Ni awak nak bawa saya makan kat mana? Jangan jauh-jauh sangat ya? Nanti lambat saya balik rumah,” bebel Qaila. Malas melayan perangai Ray yang kadangkala kelihatan sengal di matanya.
“Kita dah sampai pun Almas,” sahut Ray sambil memberhentikan kereta di depan sebuah bangunan tersergam indah.
Cepatnya sampai! Lega hati Qaila. Membulat mata Qaila sebaik terbaca nama bangunan itu.
“Awak ajak saya makan kat hotel?” soal Qaila sudah terlopong mulut.
Mana tidaknya, lelaki itu membawanya ke Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur semata-mata untuk makan? Membazir sungguh!
“Habis tu, nak makan kat mana lagi? Takkan nak makan kat gerai tepi jalan pula.” Ray sudah menanggalkan tali pinggang keledar.
Dia terus menapak keluar sebelum pintu bahagian Qaila pula dibukanya dari luar.
“Jom Almas. Saya dah lapar ni,” ajak Ray bagai tak sabar-sabar nak makan. Lapar benar agaknya lelaki itu.
“Awak ni betullah suka membazir. Nak makan pun datang ke hotel. Macamlah dah tak ada kedai makan lain kat luar sana tu,” bebel Qaila sambil terkedek-kedek mengikut langkah panjang Ray.
“Bukan macam tulah Cik Almas, tapi kebanyakan kedai kat luar tu tak kena dengan selera saya.” Ray terus menapak masuk ke sebuah restoran mewah yang terletak di penjuru bangunan hotel lima bintang itu.
Dia terus saja duduk di sebuah meja kosong di penjuru ruang. Qaila ikut serta dengan pandangan tidak puas hatinya masih terlepas ke wajah tenang Ray.
“Tak kena konon. Cakap sajalah awak tu jenis yang berlagak, tak pandang kedai-kedai kecil kalau nak isi perut,” bidas Qaila.
“Kenapa? Awak tak suka ya makan kat hotel?” soal Ray.
“Tahu tak apa. Dahlah mahal, makanannya pun belum tentu sedap. Baik beli kat pasar malam. Macam-macam pilihan ada,” bebel Qaila.
“Pasar malam? Tempat apa tu?” soal Ray sambil mengerut-ngerut dahi.
“Eii... awak ni. Takkan pasar malam pun awak tak tahu? Murtad Malaysia betullah awak ni,” rengus Qaila.
Lalu Ray tertawa kecil.
“Saya tahulah sayang. Saja aje saya nak main-mainkan awak,” balas Ray dalam senyumnya.
“Ya ke awak tahu? Baik. Kalau macam tu awak bagi tahu saya, apa pasar malam tu?” Sekali lagi Qaila buat-buat tak dengar panggilan sayang itu.
“Pasar malam tu tempat orang jual macam-macam benda tak kiralah pakaian ke, makanan ke, mainan ke, semuanya ada. Tapi saya tak suka ke tempat-tempat macam tu. Dahlah kotor, sesak pula tu. Rimas saya.”
Mencebik bibir Qaila mendengar kata-kata yang kedengaran angkuh di telinganya itu.
“Tapi, tak semua pasar malam kotor, okey,” sanggah Qaila cepat. Cuba membetulkan tanggapan salah lelaki itu.
“Saya tahu, tapi saya tetap tak suka.”
“Yalah. Orang kaya macam awak ni hanya pandang restoran mewah dengan hotel aje kalau nak makan,” sindir Qaila lagi.
“Tahu tak apa. Mahal ke tidak, itu perkara kedua. Yang penting kenyang.”
“Huh, berlagak. Macamlah makan kat gerai-gerai atau kat pasar malam tu takkan kenyang-kenyang sampai bila-bila pun.”
Ray tersenyum saat jelingan maut Qaila singgah ke matanya. “Tak payahlah nak jeling manja macam tu Almas. Tak senang hati saya jadinya tahu tak?”
Qaila hanya membuat muka. Diam-diam, dia cuba mengawal rentak jantung yang sudah tidak tentu hala iramanya setiap kali bersua muka dengan Ray. Entah kenapa boleh jadi begitu, Qaila sendiri pun tak tahu. Anehnya, hanya bila bersama lelaki itu saja jantungnya berkeadaan begitu. Kalau dengan lelaki lain, normal saja gerak jantungnya.
Ke, Ray ada kuasa luar biasa yang menjadikan jantungnya bergerak lebih pantas setiap kali mereka bersama? Qaila tak tahu walau sudah jenuh dia memikirkannya.
“Eh, awak tak nak makan ke Almas? Jangan ditengok aje hidangan ni. Makanlah. Sedap tau,” pelawa Ray.
Sejak hidangan tiba, dia sudah beberapa kali menyuap makan. Sedangkan gadis itu hanya memandang tingkahnya tanpa sebarang rasa.
“Terima kasih ajelah. Saya tak ada selera nak makan,” sahut Qaila jujur.
“Kenapa? Makanan ni tak kena dengan cita rasa awak ke? Saya boleh pesan hidangan lain kalau awak nak.”
Qaila menggeleng perlahan.
“Tak payahlah. Saya sebenarnya dah makan sebelum balik tadi. Perut saya masih kenyang.” Qaila berterus terang.
“Ya ke dah kenyang? Ke awak memang tak nak merasa makanan hotel?”
Satu jelingan singgah ke wajah selamba Ray.
“Awak perli saya ya?” soal Qaila sudah mengecilkan mata ke arah Ray.
“Taklah, saya tanya aje pun.”
Qaila tak menjawab. Malas memanjangkan perbualan yang dirasakan entah apa-apa itu. Bagi menghilangkan bosan, dia melepas pandangan ke luar. Lama. Dia tersentak tatkala Ray memetik jari-jemari di depan matanya.
“Awak ni kenapa? Termenung pula. Teringatkan boyfriend ya? Tak payahlah ingatkan dia. Lupakan dia terus pun lagi bagus. Saya boleh ganti tempat dia bila-bila masa saja,” kata Ray sambil mengenyit mata.
Miang. Menyampah Qaila jadinya.
“Saya tak ada boyfriendlah. Kalau ada pun buang masa saya aje teringatkan dia. Banyak lagi perkara lain yang boleh saya fikir,” sanggah Qaila.
“Ya? Baguslah kalau macam tu.” Mata Ray sudah bersinar-sinar seperti mata kartun Shin Chan. Gembira semacam.
Pelik Qaila melihatnya. “Kenapa pula?”
Ray tersenyum nakal.
“Nasib baik awak tak ada boyfriend. Kalau tak dah lama tak hidup boyfriend awak tu saya kerjakan. Mengganggu kerja saya nak mengurat awak aje.” Lelaki itu mengangkat-angkat kening pula.
“Apa awak kata?” soal Qaila, kurang dengar kata-kata lelaki itu.
Ray pantas menggeleng.
“Tak ada apa-apa. Awak fikir apa tadi?” soal Ray sambil menyuap makanan. Mata pula masih menjamah setiap inci wajah Qaila biarpun gadis itu langsung tidak menyedari gelagat diam-diamnya.
“Saya tengah fikir tentang kes yang sedang saya siasat sekarang,” luah Qaila agak perlahan. Lebih kepada mengeluh sebenarnya.
“Kes apa yang awak sedang siasat sekarang?” soal Ray jelas berminat. Pinggan yang telah kosong ditolak ke tepi. Tumpuannya diberikan sepenuhnya kepada Qaila yang lambat-lambat melepas nafas.
“Saya sedang siasat kes kematian Tan Sri Rashid, salah seorang daripada ahli perniagaan yang terkenal di Malaysia ni. Pihak polis mengklafikasikan kes ni sebagai kes mati mengejut memandangkan arwah meninggal secara tiba-tiba. Malah, laporan daripada bahagian makmal forensik di jabatan kami juga telah mengesahkan yang arwah tak menghidap apa-apa penyakit berbahaya. Walau begitu, kami tetap menyiasat kes ni bagi pihak cucu lelaki arwah yang nampaknya memang tak puas hati dengan cara kematian datuknya tu,” cerita Qaila ringkas.
Dia nampaknya langsung tidak kisah berkongsi cerita dengan Ray. Malah, dengan senang hati dia membuka mulut memandangkan Ray bukanlah seorang yang berbahaya di matanya walaupun identiti sebenar lelaki itu masih lagi menjadi misteri.
“Macam mana dengan orang-orang yang terdekat dengan arwah? Takkan dia orang tak tahu apa-apa kut pasal kematian lelaki tu?” soal Ray bagai dia pula yang sedang menyiasat kes itu.
“Saya dah siasat, tapi daripada keterangan dia orang, jelas dia orang tak tahu-menahu tentang kematian arwah. Saya ada juga cuba menghubungi cucu arwah, tapi sampai ke hari ni cucu arwah masih tidak memberi sebarang maklum balas. Malah, segala harta yang ditinggalkan arwah Tan Sri Rashid juga tidak dituntutnya. Entah ke mana menghilangnya cucu arwah tu pun tak tahulah.” Nafas Qaila terhela lagi.
“Boleh jadi cucu dia masih belum dapat terima kenyataan yang datuk kesayangan dia dah tak ada. Siapa tahu, kan?”
“Boleh jadi betul cakap awak tu. Tapi, pada sayalah, dia patut bersemuka dengan kami untuk selesaikan kes ni secepat mungkin. Kalau dia berdiam diri macam ni, kami sendiri pun tak mampu nak buat apa-apa. Sekadar buat siasatan dan soal jawab dengan beberapa individu yang rapat dengan arwah bolehlah.”
“Tapi, kalau dia bertemu dengan pihak polis pun, apalah sangat yang dia boleh buat? Awak sendiri pun dah kata yang pihak polis sedang menyiasat bagi pihak dia. Jadi, buat apa nak jumpa dia lagi?” soal Ray agak serius.
“Eh, mestilah kami harus bertemu dengan dia juga. Sekurang-kurangnya kami boleh pastikan yang dia tidak terlibat dalam kes pembunuhan datuknya tu. Manalah tahu, dia antara orangnya yang berkomplot untuk membunuh Tan Sri Rashid. Siapa tahu?” sanggah Qaila tegas.
“Jadi awak fikir cucunya tu pun terlibatlah dalam pembunuhan datuk kesayangan dia tu?” Suara Ray kedengaran sedikit tegang. Bagai tidak puas hati dengan tuduhan Qaila.
“Bukan begitu, tapi keadaan tu tak mustahil boleh berlaku. Lagipun hanya dia satu-satunya pewaris Tan Sri Rashid yang masih hidup.”
“Bukan semua manusia gilakan harta Almas.” Ray bersuara seperti mengeluh biarpun pada Qaila nada lelaki itu tetap kedengaran biasa-biasa.
“Memang tak semua, tapi nama pun manusia Ray. Hati masing-masing siapa lagi yang boleh baca kalau bukan diri sendiri aje?”
Ray diam tidak menjawab. Minumannya juga tidak lagi disentuh. Bagai hilang selera untuk menghabiskan minumannya yang masih berbaki sebaik kisah itu dibangkitkan.
“Awak dah habis makan, kan? Jomlah kita balik. Dah masuk waktu ni,” ajak Qaila bila dilihat lelaki itu hanya bermain-main dengan batang penyedut minumannya. Bagai memikirkan sesuatu yang penting saja.
Ray tengadah. Jauh lamunannya sebentar tadi. Entah apa yang ada dalam kepalanya, hanya dia sendiri yang tahu. Qaila memang tidak ambil peduli.
Ray mengangguk. “Kita singgah masjid dulu.”
Qaila pula mengangguk.


“Terima kasih kerana temankan saya makan tadi,” ucap Ray sebaik mereka sampai semula di depan rumah Qaila.
Lelaki itu nampaknya kembali tenang usai mereka bersolat tadi.
“Terima kasih juga kerana hantarkan saya balik ke rumah dengan selamat.” Ray tersenyum.
“Awak cakap macamlah saya dah selamatkan awak daripada mana-mana penjahat.” Mata Ray masih tertanam di wajah Qaila walaupun cermin matanya sudah diletakkan di pangkal hidung sebaik saja dia melangkah keluar dari keretanya.
“Jangankan saya, siapa-siapa pun akan cakap benda yang sama bila keluar dengan seseorang yang baru kita kenal.”
“Apa pulak baru kenal. Awak kenal saya, saya kenal awak. Kira kita dah kenallah, kan? Lagipun awak kena tahu Almas. Tak ada perempuan yang akan tolak ajakan saya.”
Qaila menjuling mata ke atas. Menyampah dengan kata-kata berlagak lelaki itu.
“Huh. Awak ingat saya saja-saja nak keluar dengan awak ke? Tolonglah. Saya cuma kesian tengok awak tercongok macam orang tak cukup akal kat depan rumah saya ni tahu tak? Kalau ikut hati saya yang tak ada belas kasihan ni, saya biarkan saja awak mati kering kat depan rumah saya ni,” cebik Qaila.
Sempat dia menjeling sekilas Ray yang bersandar tenang di pintu keretanya. Kedua-dua tangannya pula sudah memeluk tubuh sendiri. Nampak begitu bergaya apatah lagi dalam keadaan kedua-dua kakinya bersilang.
“Nasib baiklah awak bukan isteri saya Almas. Kalau tak, dah lama saya cium-cium awak. Comel sungguhlah muka awak bila awak marah-marah begini.”
Panas muka Qaila serta-merta. Bukan saja malu, tapi juga segan dengan pujian yang dirasakan lebih kepada nak mengayat dia saja itu. Agaknya memang beginilah perangai lelaki gatal seperti Ray ni. Suka cakap ayat-ayat manis saja kepada perempuan. Huh!
“Pandailah awak nak bodek saya. Jangan haraplah saya nak tersangkut dengan ayat-ayat cinta awak tu. Buat kembang tekak saya aje dengar semua tu,” cebik Qaila kembali dengan tingkah garangnya.
“Dah, pergi balik. Jangan datang sini lagi. Tak elok orang tengok awak selalu ke sini. Nanti tak pasal-pasal lain pula yang jadi,” halau Qaila sambil melangkah masuk ke kawasan rumah. Pintu pagar rumah ditarik seraya ditutup rapat.
“Apa pula yang akan jadi kalau saya selalu datang ke sini? Bukannya saya ada buat apa-apa pun dengan awak.” Ray bersuara bagai tak puas hati.
“Itu kata awak. Kata orang lain pulak.” Qaila mencantas pantas.
“Hah, lagi satu. Balik nanti awak jangan lupa mandi dengan air. Jangan mandi dengan minyak wangi lagi. Pening kepala saya bau minyak wangi awak yang kuat baunya tu. Habis melekat kat baju dan tudung saya ni,” sambung Qaila.
Sempat lagi dia mencium-cium kemeja di tubuh sendiri sebelum hidungnya ditenyeh sekali bila dia hampir-hampir nak terbersin. Langsung Qaila tak kisah dengan pandangan Ray terhadapnya.
Lelaki itu tergeleng-geleng dalam senyum. “Biarlah melekat pun. Sampai ke kulit pun lagi bagus. Tak payahlah awak pakai minyak wangi lagi lepas ni. Tempel aje kat saya selalu.”
“Eii... Tak ada maknanyalah saya nak menempel dengan awak selalu. Ingat kita ni ada hubungan sah ke? Lagipun mana ada orang perempuan pakai minyak wangi lelaki?” marah Qaila.
Tak suka langsung dengan cadangan lelaki itu. Tak sesuai langsung!
“Ada ke tak, saya peduli apa. Tapi, elok tau kalau badan awak berbau minyak wangi saya ni. Kalau dapat hari-hari pun okey.”
“Kenapa pula?” Kening Qaila sudah berkerut-kerut.
“Sebab nanti orang akan kata kita ni pasangan couple yang sweet. Hah, doa tu tau. Manalah tahu doa tu akan jadi kenyataan satu hari nanti. Awak juga yang beruntung dapat suami handsome macam saya ni.”
Qaila menjuling mata ke atas semula. Eii... Kenapalah dia boleh kenal lelaki kuat perasan ni? Dahlah tu, siap berangan nak jadi suami dia lagi. Entah apa-apa!
“Yalah tu awak. Apa-apa ajelah. Tapi jangan lupa pesanan saya tadi ya? Kalau tak, tahulah saya nak buat apa kat awak,” ugut Qaila. Siap menuding jari telunjuk lagi ke arah lelaki itu dari celah-celah pagar rumah.
“Mana boleh macam tu. Mahal tahu saya beli minyak wangi saya ni.” Ray membantah tegas. Sempat lagi dia mengerling T-shirt di tubuhnya sebelum mata kembali ke wajah menyinga Qaila.
“Saya peduli apa mahal ke tak. Awak nak mandi dengan setong minyak wangi ke, sekolam ke, lantaklah, tapi jangan datang jumpa saya dengan bau kuat macam ni. Tak pasal-pasal saya simbah air kat awak nanti. Masa tu baru awak tahu saya serius ke tak dengan amaran saya ni.” Qaila tetap dengan ketegasannya.
“Dah, dah. Pergi balik.” Qaila kembali menghalau. Sambil-sambil itu dia menarik keluar kunci rumah dari poket seluarnya. Dia kembali berpaling bila Ray memanggil.
“Kalau ada apa-apa, jangan segan-segan call saya ya?” Sempat lagi Ray mengenyit mata dalam senyum sengetnya.
“Huh!” Qaila merengus kuat.
Dia nak telefon lelaki itu jika ada apa-apa berlaku kepadanya? Tak kuasa dia!


No comments:

Post a Comment