Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 4 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 4
“Alhamdulillah. Nikmatnya rasa bila dapat berbaring kat katil sendiri,” kata Qaila sebaik saja tubuhnya dihumban ke atas tilam. Sambil menepuk-nepuk bantal, dia berfikir-fikir sendiri.
“Esok pagi aku nak sarapan apa ya? Kat dapur tu cuma ada telur dan ikan bilis aje. Makanan basah yang lain mana sempat aku beli sehari dua ni.” Qaila menceceh sendiri.
“Alah. Payah-payah sangat, aku buat nasi goreng ajelah. Baki nasi makan malam tadi tu pun masih ada lagi. Taklah membazir,” putus Qaila. Dia terus memadam lampu tidur di sisi katil tatkala mulutnya mula menguap luas.
Qaila baru berkira-kira mahu menutup mata usai membaca doa tidur sewaktu telinganya disapa bunyi sesuatu pecah. Tak berfikir panjang, dia menolak selimut ke tepi. Dalam samar-samar suasana bilik, dia menapak penuh cermat ke meja solek di satu sudut bilik. Pistolnya ditarik keluar dari laci. Dia kemudian menapak ke pintu bilik.
Baru saja dia mahu memulas tombol pintu, prang! Bunyi kedua menjadikan tangan Qaila terus bertindak pantas. Dia terus menapak ke anak-anak tangga rumah. Laju menuju ke tingkat bawah rumah.
“Hei!” Qaila menjerit tinggi tatkala bayang seseorang kelihatan dalam suasana samar-samar ruang tamu rumah.
Terkejut dengan jeritannya, figura yang tidak dapat dicam wajahnya itu segera menegakkan tubuh daripada terbongkok-bongkok di satu sudut ruang.
“Jangan lari!” Qaila menjerit lagi. Lebih tinggi.
Dia cuba mendapatkan gerangan manusia yang berpakaian serba hitam itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa, figura itu terlebih dulu melompat keluar dari tingkap rumah yang terbuka luas. Kurang seminit, Qaila membuka pintu dan mengejar hingga tengah jalan raya. Sayangnya figura itu sudah hilang ditelan kegelapan malam.
“Isy! Sikit lagi aku nak dapat tangkap dia!” Sambil mencekak pinggang Qaila bersuara marah.
Geram kerana gagal menangkap manusia yang kini meninggalkan tanda tanya dalam kepalanya. Mata pula masih tertala ke arah jalan raya di depan rumah yang sunyi sepi. Tiada sesiapa kelihatan di situ melainkan dirinya sendiri.
“Nantilah. Kalau aku dapat orang tadi tu, tahulah aku macam mana nak ajar dia!” Qaila cuba memujuk hati sendiri.
Dia kembali berpaling. Tak jadi dia nak menutup pintu pagar tatkala dia terpandang kelibat seseorang di tepi semak berdekatan pagar rumahnya. Terhendap-hendap bagai mahu mengambil sesuatu.
“Ooo... Kat situ kau bersembunyi ya penyangak? Jagalah kau!” bisik Qaila sudah tersenyum sinis.
Jari-jemari kembali menggenggam kemas pistol. Dapat kesempatan, dia terus menerkam figura itu sebelum pantas Qaila mencengkam lengannya. Dipulasnya sekuat hati.            
“Aduh! Sakitlah Almas!”
Gerak Qaila terus terhenti. Suara itu cukup dikenalinya. Siapa lagi yang akan memanggilnya dengan nama itu kalau bukan si langau itu? Pantas dia menarik keluar tubuh tegap itu dari tempat persembunyiannya.
“Jadi awak orangnya yang pecah masuk ke rumah saya tadi, kan? Tak guna punya mamat langau!” marah Qaila.
Dia terus mengheret kasar tubuh lelaki itu ke laman rumah. Terhuyung-hayang lelaki itu mengikut langkahnya.
“Awak merepek apa ni Almas? Saya baru sampai sinilah!” tegas Ray.
Dia hanya menurut bila Qaila menghenyak-henyak tubuhnya supaya duduk di bangku batu. Sakit bila diperlakukan sekasar itu.
“Awak jangan menipu ya? Awak yang masuk ke rumah saya tadi, kan?” marah Qaila dengan jari telunjuk kiri sudah dituding tepat ke muka Ray.
Lelaki itu terpinga-pinga.
“Ya Allah. Sumpah Almas. Saya baru sampai kat rumah awak ni. Tak sampai lima minit lagi pun,” tekan Ray sungguh-sungguh dengan raut muka polos.
“Kenapa? Rumah awak dipecah masuk ke?” soal Ray pula sebelum sempat Qaila menyahut.
“Habis tu, kenapa awak duduk tepi tembok pagar rumah saya ni? Awak nak mencuri, kan?” tuduh Qaila lagi.
Pertanyaan lelaki itu diabaikan. Tak penting pun baginya.
“Taklah. Saya datang ke sini sebab nak jumpa awak. Ingatkan awak belum tidur, tapi bila saya sampai aje rumah awak dah gelap-gelita. Jadi saya duduklah kat tembok tu sebab tak nak ganggu awak tidur,” jelas Ray.
“Huh. Awak ingat saya nak percaya ke cakap-cakap kosong awak tu? Boleh jalanlah!”
“Sumpah, demi Allah, Almas. Saya baru saja sampai ke sini.” Sungguh-sungguh Ray cuba meyakinkan gadis itu.
“Habis tu, yang awak terbongkok-bongkok kat tepi tembok rumah saya tu kenapa kalau bukan nak mencuri?” Qaila tetap sangsi.
“Buat apa saya nak mencuri kalau saya bukan pencuri? Telefon bimbit saya jatuh tadi. Itu sebab saya tunduk nak ambilnya semula. Tiba-tiba saja awak datang pulas tangan saya. Nasib baik saya terperasankan awak. Kalau tidak, mahu patah riuk jugalah saya kerjakan awak.”
“Yalah tu,” cebik Qaila.
Akal pula masih ligat berfikir tentang perkara tadi. Dia kembali memandang Ray bila terperasan renungan lelaki itu ke arahnya. Tajam semacam.
“Awak ni kenapa Ray? Pandang saya macam tak pernah tengok saya aje sebelum ni,” soal Qaila, pelik.
“Memang saya tak pernah tengok pun awak dalam keadaan macam ni,” sahut Ray. Lelaki itu sudah tersengih-sengih nakal.
“Maksud awak?” soal Qaila tak faham.
“Awak nampak lagi cantik bila tak bertudung Almas. Kena pula dengan pakaian tidur awak yang separas lutut tu, awak memang nampak seksi sangat di mata saya sekarang. Serius.”
Dalam sesaat, mata Qaila terus terkalih ke tubuh sendiri. Ya Allah. Macam manalah dia tak perasan dengan keadaan dirinya ketika ini? Malunya dia!
“Awak jangan nak ke mana-mana! Saya belum habis dengan awak lagi!” Qaila terus berlari masuk ke dalam rumah usai bersuara.
Tidak peduli Ray yang melihat tingkahnya sudah tersenyum-senyum. Sambil memeluk tubuh sendiri, dia menyandar tubuh ke kepala kerusi.
“Awak jangan berani-berani nak ke mana-mana Ray! Tunggu saya kat situ!” Dari dalam rumah, Qaila menjerit lagi.
Memberi amaran kepada Ray yang hanya menayang sengih biarpun tiada siapa yang mampu melihat sengihan itu kecuali dirinya sendiri.
“Sekarang awak bagi tahu saya. Kenapa awak datang ke rumah saya malam-malam buta macam ni?” soal Qaila sebaik saja dia kembali duduk di bangku batu.
Kali ini pakaiannya sudah bertukar. Lengkap bertudung dan bertutup rapi.
“Saja saya datang nak jumpa awak. Saya tak boleh tidur,” beritahu Ray ringkas dengan riak muka tetap biasa-biasa.
“Huh. Kutu rayau macam awak ni memang macam ni ya perangainya? Tak dapat tidur aje datang rumah orang tak kira masa. Awak ingat rumah saya ni apa? Hotel? Kelab malam? Boleh terjah suka hati aje? Lagi satu. Mana awak tahu saya tinggal kat sini? Awak ikut saya sampai ke rumah saya ya?” tekan Qaila benar-benar tak puas hati.
Tajam matanya memandang Ray walau rasa malu masih menebal dalam diri. Hanya dia buat-buat lupa tentang itu. Ada perkara lebih penting yang perlu dia selesaikan sekarang.
“Kalau awak nak tahu, saya memang begini orangnya. Kalau saya dah suka seseorang, saya akan korek apa saja berkaitan dengan orang yang saya suka tu. Jangankan rumah awak, segala benda yang ada dalam rumah awak tu pun saya tahu. Hanya tinggal saiz seluar dalam dan baju dalam awak aje yang saya tak tahu. Tapi itu perkara kecil aje. Kalau ada jodoh saya dengan awak, jangankan seluar dalam, diri awak luar dalam pun saya akan tahu juga nanti. Kan?” Ray mengenyit mata di akhir ayatnya. Nakal.
Sempat dia mengelak bila Qaila mahu mencubit lengannya. Dia tertawa kecil.
“Eii... awak ni. Saja aje nak naikkan darah saya malam-malam begini. Cuba awak berterus terang dengan saya. Awak kerja apa sebenarnya Ray? Ke awak diupah seseorang untuk mengintip saya?” tekan Qaila cuba mengawal rasa marah yang mula membuak.
Serasanya, lelaki itu tidak pernah benar-benar serius bila menjawab soalannya. Tembak baru tahu!
Hilang senyuman Ray sekejap. Wajahnya tegang.
“Okey, saya mengaku saya intip awak, tapi bukan untuk orang lain. Saya intip awak sebab saya sukakan awak. Itu aje.” Nampaknya Ray tidak suka dituduh begitu.
“Bohong! Awak mesti ada sebab awak buat semua ni, kan?” Qaila semakin naik angin.
“Sumpah, demi Allah. Saya tak ada niat buruk kepada awak. Saya hanya nak kenal awak dengan lebih rapat. Itu aje sebabnya.” Buat kali ketiga, Ray bersumpah penuh tegas.
Dia turut sama serius bila melihat Qaila sudah memerah muka menahan marah.
Qaila tidak menyahut. Akalnya masih cuba menerima penjelasan lelaki itu walau hati berkata sebaliknya.
“Awak kerja apa Ray?” soal Qaila kemudian, setelah agak tenang. Sedar, marah tidak boleh diikut sangat. Memakan diri sendiri nanti.
“Saya tanam anggur.”
Hilang senyuman yang baru mahu dibentuk bibir Qaila.
“Tolong bagi jawapan serius boleh tak?” Qaila cuba menahan marah yang kembali menyalut hati.
“Sumpah, saya tanam anggur,” tekan Ray sungguh-sungguh.
“Jadi awak ni pengganggurlah ya? Patutlah mudah sangat awak intip saya,” sahut Qaila sinis.
“Penganggur tu maknanya orang yang tanam anggur ya?”
Qaila menggeleng pantas. Dia ni lulus bahasa Melayu ke tidak masa ambil peperiksaan sijil pelajaran Malaysia dulu sampai makna penganggur pun tak tahu? Tak luluslah tu agaknya. Boleh lagi hati Qaila bersoal jawab sendiri waktu-waktu begini.
“Penganggur tu maknanya orang yang tak bekerja macam awak ni. Kutu rayau,” balas Qaila selamba.
“Tapi saya ada kerja. Bukannya saya duduk goyang kaki macam yang awak fikirkan tu,” sanggah Ray. Nyata tidak suka dengan gelaran yang diberikan Qaila kepadanya.
“Huh. Kerjalah sangat sampai ada masa nak mengintip anak dara orang,” sindir Qaila.
“Saya hanya intip awak, bukannya perempuan lain. Itu pun sebab awak dah curi hati saya.”
Kata-kata Ray kedengaran seperti jujur, namun Qaila tidak mahu terpedaya. Manusia zaman sekarang, boleh saja berupa apa-apa pun, asalkan keinginan hati tercapai.
“Yalah tu sangat. Saya tak kira. Kalau awak tak mahu berterus terang dengan saya, saya masukkan awak dalam lokap malam ni juga atas tuduhan mengganggu ketenteraman hidup seorang pegawai polis,” ugut Qaila tegas.
“Awak buatlah apa yang awak suka Cik Almas oi, tapi memang itu kenyataannya. Saya memang kerja tanam anggur kat luar negara. Kalau awak tak percaya, ini alamat tempat kerja saya,” kata Ray sambil menarik keluar sekeping kad kecil dari kocek seluar jeannya.
Dihulur kepada Qaila yang pantas mencapai. Dia hanya memandang sekilas sebelum dimasukkan ke dalam poket sweater yang tersarung di tubuhnya. Bukan kerana tidak dapat membaca dalam keadaan samar-samar begitu, tapi nanti-nanti sajalah dia membeleknya dengan lebih teliti.
“Hmm, payah saya nak percaya cakap awak ni. Tapi, tak apalah. Saya akan simpan kad ni sebagai bahan bukti. Tapi, awak ingat. Saya akan siasat sampai ke lubang cacing siapa awak sebenarnya.” Qaila tetap bertegas.
“Tak payah ke lubang cacing Almas. Saya dah ada depan mata awak. Awak boleh tanya direct apa saja yang awak nak tahu tentang saya.”
Qaila hanya menjeling mendengar kata-kata selamba lelaki itu. Macamlah dia nak bagi jawapan betul kalau aku tanya dia pun. Huh!
“Habis tu, kenapa awak balik ke Malaysia?” Qaila cuba mengorek maklumat dengan soalan lain pula. Mahu mencari bukti kebenaran kata-kata lelaki itu.
“Saya balik bercuti. Tak sangka pula jumpa awak. Tu sebab saya ikut awak ke mana pun awak pergi. Sebab saya dah suka kat awak atau dengan lebih tepat, saya dah jatuh cinta kat awak.”
Terjuih bibir bawah Qaila mendengar kata-kata akhir Ray. “Dahlah Ray. Tak payahlah awak nak jual minyak kat sini. Nak muntah saya dengar cakap awak yang terlebih manis tu.”
“Kenapa pula saya perlu jual minyak kalau itu kenyataannya?”
“Kenyataannya, awak tu tak betul tahu tak? Sedap-sedap lidah awak aje nak kata awak dah jatuh cinta kat saya padahal kita kenal sangat pun tidak. Jangankan saya, orang gila pun boleh tahu yang awak tu pandai mengayat aje,” sergah Qaila.
“Tapi betullah Almas. Saya dah jatuh cinta kat awak. Cinta pandang pertama. Saya...”
“Eii, awak ni Ray. Nak saya mengamuk macam kerbau naik minyak ke baru nak berhenti daripada cakap perkara-perkara merapu tu? Dah, pergi balik. Jangan datang ke sini lagi,” halau Qaila bila tersedar pada masa yang semakin berlalu.
Esok dia perlu berada di balai polis awak-awal pagi. Lagipun tak elok sungguh rasanya anak dara sepertinya duduk bersembang dengan lelaki bukan muhrim seperti Ray. Walau mereka berada di tempat terbuka, fitnah itu boleh timbul dalam pelbagai cara.
“Kalau saya datang jugak?”
“Saya tembak awak nanti!”
Terukir senyuman lebar di wajah lelaki itu. Langsung tak termakan dengan ugutan keras gadis itu.
“Nak tembak kat bahagian mana?” Ray sengih nakal.
“Tembaklah kat mana pun yang saya suka. Awak peduli apa?” sergah Qaila. Dia ni betullah, tak makan saman langsung!
“Mestilah saya peduli. Tubuh saya yang awak nak tembak tu. Lainlah kalau awak nak tembak hati saya. Memang saya takkan peduli sebab hati saya dah lama jadi milik awak.”
Qaila buat-buat jolok anak tekak. Konon-konon nak muntah walau dia memang rasa nak muntah sekarang. Loya dengar kata-kata lelaki itu.
“Almas, jaga diri baik-baik ya. Kalau ada apa-apa, awak call saja saya. Nombor telefon saya ada dalam kad tu. Bila-bila masa saja saya akan datang kalau awak yang call.”
Suara Ray kedengaran tulus. Langsung tak kisah dengan tingkah yang ditunjukkan Qaila. Dia kemudian bangun daripada duduk.
“Huh. Tak payahlah awak nak risaukan saya. Awak risaukan diri awak sendiri tu sudah. Dah, dah. Pergi balik,” halau Qaila. Kali ini siap dengan gaya menghalau sekali.
“Almas?”
Qaila yang baru berkira-kira nak menapak masuk ke dalam rumah menoleh.
“Janji ya, awak jangan sesekali pakai pakaian seksi macam tadi di depan lelaki lain. Kat depan saya bolehlah. Tapi lepas kita kahwin ajelah ya. Sebelum kahwin jangan pula awak buat begitu. Karang lain pula yang jadi nanti.”
 Membahang sekejap wajah Qaila. Kufikirkan dia sudah lupa. Tak sangka dia masih ingat pasal tu. Huh!
“Pergilah balik.” Qaila sudah tidak tahu nak cakap apa.
Good night Almas,” ucap Ray sambil mengenyit mata. Lelaki itu tersenyum lagi. Penuh gula!
“Huh!” Hanya sepatah itu yang keluar dari mulut Qaila sebelum dia terus berlalu masuk.

Langsung tak berkalih ke belakang walau sekali. Dalam kepala, bayang kejadian tadi kembali menerpa sekali gus berjaya menenggelamkan semula rasa malunya. Pelbagai soalan mula timbul. Namun yang utama, siapakah yang telah memecah masuk ke rumahnya dan atas sebab apa? Qaila tak dapat meneka. 

No comments:

Post a Comment