Bab
2
“Arwah
seperti datuk sendiri kepada saya. Walau dia sentiasa kelihatan serius dan
tegas tetapi dia juga penyayang orangnya. Selama saya bekerja dengan dia, belum
pernah sekali pun dia meninggikan suara bila bercakap. Dia memang seorang
lelaki yang baik,” kata Marleena sambil mengesat linangan air mata di pipi.
Sejak
tadi, air mata gadis itu terus-terusan mengalir bila bercerita tentang arwah
Tan Sri Rashid.
Qaila
hanya memandang kosong tingkah gadis lemah lembut itu. Hatinya bukan jenis hati
kering. Tetapi, sebagai seorang yang profesional, Qaila tidak boleh melayan
perasaan sendiri. Apatah lagi di depannya sekarang seseorang yang telah
disenaraikan sebagai salah seorang daripada suspek kejadian.
“Di
mana awak pada malam kejadian tu?” soal Qaila semula setelah beberapa saat
mendiamkan diri. Sekadar memberi ruang kepada Marleena untuk menenangkan diri.
“Saya
di rumah arwah. Masa saya tiba, dia berada di ruang tamu rumahnya. Kami berdua
duduk bersembang sebelum sama-sama makan malam. Saya kemudian meminta diri
selepas meminta dia menandatangani beberapa buah fail yang berkaitan dengan
urusan syarikat.” Marleena menjawab dalam senyum hambar.
Pastinya
gadis itu masih terkenangkan kenangan terakhir yang sempat dilaluinya bersama
bekas pengasas Emerald Rash Group.
“Bila
awak mendapat tahu tentang kematian arwah?” Isma menyoal pula.
“Pada
pagi esoknya. Selepas saya masuk pejabat.”
Hampir
serentak Isma dan Qaila mengangguk.
“Oh
ya. Bagaimana pula dengan cucu tunggal Tan Sri Rashid? Awak masih menghubunginya?”
Marleena
menggeleng perlahan.
“Kami
dah lama putus hubungan. Sejak bertahun-tahun lalu.” Nada suara Marleena
kedengaran jujur.
“Tapi
setahu saya, awak dan cucu tunggal Tan Sri Rashid merupakan kawan baik sejak
kecil.” Suara tegas Qaila bersalut rasa kurang percaya.
“Benar
puan, tapi itu sebelum kedua-dua arwah anak dan menantu Tan Sri Rashid
meninggal dunia. Kalau tak salah saya, kali terakhir saya jumpa dengan Rash
Arshad Yazeeruddin pun ketika kami berusia 17 tahun. Selepas itu kami tak
pernah lagi bersua muka sampailah ke hari ni,” terang Marleena sungguh-sungguh.
Qaila
dan Isma terdiam sejenak. Cuba menimbang tara kata-kata gadis itu. Dalam pada
itu, wajah polos Marleena tetap ditatap dalam-dalam. Sekadar mencari kebenaran
dalam kata-kata gadis yang tidak lokek memberi senyuman kepada sesiapa.
“Boleh
kami tahu macam mana kedua-dua ibu bapa Rash Arshad Yazeeruddin meninggal
dunia?” soal Isma kemudian, dengan tubuh sudah disandar ke kepala kerusi.
“Setahu
saya, mereka berdua meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang daripada
menghadiri sebuah majlis makan malam. Sejak itulah Rash Arshad Yazeeruddin
dihantar ke luar negara oleh arwah Tan Sri Rashid.”
“Maksud
awak, cucu tunggal arwah Tan Sri Rashid tu dibesarkan di luar negaralah selama
ni?”
Marleena
mengangguk laju.
“Awak
agak di mana cucu arwah berada sekarang?”
Marleena
menggeleng pula.
“Bukan
saja saya, malah tak ada siapa pun yang tahu di mana cucu arwah Tan Sri Rashid
berada sekarang. Sejak kedua-dua anak dan menantunya meninggal, arwah Tan Sri
Rashid tidak pernah membuka mulut tentang cucu lelakinya tu. Tak ada siapa yang
berani bertanya memandangkan arwah Tan Sri Rashid tidak suka bercakap perihal
keluarganya pada sesiapa pun.”
“Bagaimana
pula dengan mereka yang lain? Maksud saya, saudara-mara terdekat arwah?”
“Setakat
yang saya tahu, arwah Tan Sri Rashid tak ada saudara-mara lain selain daripada
cucu dia dan saya sekeluarga. Arwah sendiri pun sebenarnya yatim piatu dan
dibesarkan di rumah kebajikan sebelum berjaya dalam dunia perniagaan. Itu yang
saya dapat tahu daripada bekas pekerja-pekerja arwah dulu.”
Qaila
hanya mengangguk sebagai balasan jawapan Marleena.
“Hmm,
tak apalah kalau begitu. Terima kasih Marleena kerana sudi bekerjasama dengan
kami. Maaf kerana kami mengganggu masa kerja awak hari ni. Apa pun saya harap
awak tidak segan menghubungi saya atau Inspektor Isma bila-bila masa jika awak
mendapat apa-apa maklumat berkaitan dengan kejadian ini,” ujar Qaila sebelum
meminta diri.
Dia
dan Isma kemudian berlalu ke kotak lif terdekat.
“Aku
peliklah dengan kes ni. Arwah Tan Sri Rashid ditemui meninggal dunia di atas
katilnya tanpa sebarang kesan. Malah, tak ada siapa pun yang sedar dengan
pemergiannya sampailah pembantu rumahnya masuk ke bilik untuk mengejutkan
arwah. Padahal pada malam tu arwah kelihatan sihat macam biasa aje. Doktor sendiri
pun sahkan yang arwah tidak menghidap sebarang penyakit bahaya.” Isma bersuara
sebaik mereka tiba di lobi syarikat.
“Jangankan
kau, aku pun rasa benda yang sama. Lagi pelik cucu arwah tak dapat dihubungi
sesiapa walau dah hampir dua minggu Tan Sri Rashid meninggal. Hari pengebumian
arwah pun cucu dia tak datang. Alasan yang diberi, cucu arwah masih berkabung
sebab bersedih dengan pemergian datuknya tu. Isy, tak faham aku,” rungut Qaila.
“Tapi
macam mana pun Ila, kita kena siasat betul-betul kes ni. Walaupun kes ni sudah
diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut, tapi kita tak boleh lepas
tangan begitu saja. Aku yakin, kematian Tan Sri Rashid sebenarnya sudah
dirancang oleh seseorang. Tapi siapa orangnya, kita masih belum dapat tahu.”
“Aku
pun agak begitu juga Is. Walaupun arwah dikatakan tidak mempunyai musuh, tapi
dalam dunia perniagaan ni, sesiapa pun boleh menjadi api dalam sekam. Apatah
lagi arwah pernah tersenarai antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia. Tak
mustahil ada saja manusia yang cemburu dengan kekayaan dan kejayaannya tu.”
“Sebab
itulah kita tak boleh anggap kematiannya itu sebagai satu kematian biasa. Pasti
ada sesuatu yang telah berlaku kepada arwah pada malam kejadian hingga arwah
boleh meninggal dunia begitu saja.”
“Betul
tu Is. Aku harap sangat kita dapat tangkap pembunuh sebenar Tan Sri Rashid tu. Tak
kiralah hidup ataupun mati. Suspek utama kita dalam kes ni sudah tentulah
Marleena. Dia memang setiausaha kepada Tan Sri Rashid. Tapi dalam masa yang
sama, dia juga merupakan antara mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan
arwah.”
“Bukan
saja dia Ila, tapi ahli keluarganya juga begitu, terutama Datuk Mustapha, ayah
kepada Marleena. Daripada maklumat yang aku dapat, Datuk Mustapha tidak
mempunyai hubungan yang baik dengan arwah Tan Sri Rashid walaupun dia adalah
anak angkat kepada lelaki tua itu. Tapi, aku tak berani nak tuduh Datuk
Mustapha lebih-lebih memandangkan kes ni masih lagi dalam siasatan kita,” kata Isma.
“Kalau
macam tu, kita kena beri tumpuan lebih kepada keluarga Datuk Mustapha. Dalam
masa yang sama, kita jangan terlepas pandang mereka yang lain. Aku pasti, kes
ini akan dapat diselesaikan dengan segera kalau kita dapat kumpulkan segala
maklumat dengan lengkap dan tepat,” sahut Qaila penuh semangat.
Dia
tersengih kecil bila Isma sudah tersenyum lebar.
“Amboi,
Ila. Mentang-mentanglah ini kes terakhir kau, bukan main bersemangat lagi kau
ya? Nampak sangat kau tu tak sabar-sabar nak tinggalkan jawatan kau tu,” usik
Isma.
“Eh,
mestilah. Aku bukan apa Is. Kalau boleh, sebelum aku melangkah keluar daripada
kerjaya polis ni, aku nak buat yang terbaik seperti yang pernah dilakukan oleh
arwah ayah aku masa dia dalam pasukan polis dulu,” ujar Qaila begitu berharap.
“Baguslah
kalau begitu Ila. Sebagai kawan, aku selalu doakan yang terbaik untuk kau,”
sahut Isma begitu ikhlas.
“Terima
kasih Is,” sambut Qaila.
“Okeylah
Ila. Aku minta diri dulu. Hari dah petang ni. Nanti lambat pula aku sampai
rumah,” pamit Isma setelah memandang sekilas jam tangannya. Baru tersedar pada
pergerakan masa yang semakin pantas.
“Huh,
kau ni. Cakap macamlah ada yang menunggu kat rumah tu. Ke... kau memang dah ada
calon suri untuk rumah besar kau tu?” Kening Qaila sudah terangkat-angkat
tinggi. Sekadar ingin mengusik lelaki yang kaya dengan senyuman itu.
“Kalau
betul aku dah ada calon, kau yang jadi orang pertama tahu pasal ni selain daripada
sanak saudara aku tau.” Isma membalas selamba.
“Bagus,
bagus. Itu yang aku nak dengar tu.” Qaila tersengih-sengih suka. Siap bertepuk
tangan lagi.
“Tulah
kau Ila. Dulu masa aku ajak kau kahwin dengan aku, kau tolak mentah-mentah.
Kalau tidak merasalah kau duduk rumah teres aku tu. Mahal-mahal aku beli, kau
tak nak kat aku pulak,” seloroh Isma.
“Yalah
tu kau. Apa kelas kahwin dengan kawan baik sendiri. Tak berkembang minda
anak-anak aku nanti,” cebik Qaila. Dia ikut ketawa bila Isma terus tertawa
kecil.
Lelaki
itu langsung tak terasa hati dengan gurauan gadis itu. Sedar, cinta tak boleh
dipaksa. Dia sendiri pun sudah lama mengajar hati sendiri untuk menerima hakikat
sebenar yang wujud dalam hubungan mereka.
Kerana
itu baik dia mahupun Qaila tidak pernah ambil peduli dengan usikan-usikan yang
dilemparkan oleh rakan-rakan sekerja berkenaan dengan hubungan persahabatan
mereka.
“Okeylah
Ila. Aku pergi dulu. Kau pun jangan balik lambat sangat. Esok kita kerja awal
pagi.” Sempat Isma menyua salam sebelum berlalu ke keretanya.
Qaila
hanya mengangkat tangan sewaktu Isma membunyikan hon sebelum menghilang. Qaila
sendiri sudah kepenatan memandangkan seharian masanya dihabiskan dengan memikir
tentang kejadian yang menjadi bahan utama siasatan mereka seminggu dua ini.
Dalam
kepala, dia sudah terbayang-bayang bantal dan tilamnya. Dia hanya mahu lena
saat ini. Sungguh!
No comments:
Post a Comment