Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 6 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR

Bab 6
“Berapa kali lagi saya nak bagi tahu yang saya dah lama tak berhubung dengan arwah? Walaupun saya ni anak angkat dia, tapi saya jarang-jarang dapat bersua muka dengannya. Kamu tahu sajalah ahli perniagaan macam kami ni. Sibuk memanjang. Mana ada masa nak duduk berbual selalu.”
Nada suara Datuk Mustapha kedengaran tegang. Bengang sebenarnya bila diganggu waktu-waktu begini.
“Kami minta maaf kerana mengganggu Datuk buat kali seterusnya, tapi Datuk kena faham. Ini adalah satu daripada prosedur pihak polis dan sebagai anggota polis, kami ada hak untuk menyoal Datuk dan mereka yang dirasakan terlibat selagi kes ini belum selesai sepenuhnya,” sahut Qaila.
Dia tetap tenang biarpun sedikit terkesan dengan tingkah kasar yang ditunjukkan lelaki berumur itu.
“Itu saya tahulah, tapi boleh tak kalau kamu jangan tanya saya soalan yang sama aje? Berapa kali lagi saya nak bagi tahu kamu yang saya memang tak ada di Malaysia sewaktu arwah Tan Sri Rashid ditemui mati di rumah kediamannya? Cara kamu tu seolah-olah kamu tak percaya dengan keterangan yang saya berikan sebelum ini,” ujar Datuk Mustapha seakan-akan membentak.
“Percaya atau tidak, itu bukan persoalannya Datuk, tapi dah menjadi tanggungjawab kami untuk melakukan semua ini dan sebagai salah seorang daripada suspek Datuk perlu memberi kerjasama kepada kami sepenuhnya,” tegas Isma pula.
Menjadikan Datuk Mustapha terdiam seketika. Bagai berfikir.
“Begini ajelah Datuk. Kami minta diri dulu. Insya-Allah kalau ada apa-apa nanti, kami akan kembali semula ke sini. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi memberi kerjasama kepada pihak polis. Assalamualaikum,” kata Qaila seraya menapak keluar dari laman rumah banglo milik Datuk Mustapha bersama Isma.
Datuk Mustapha hanya merengus. Langsung tidak menyahut. Salam gadis itu juga tidak dijawab. Surat khabar di atas meja batu kembali disambar sebelum dibawa ke mata. Menyambung semula pembacaan yang tertangguh sebentar tadi. Langsung tidak sedar keadaannya ketika ini sedang diperhatikan oleh seseorang dari satu sudut di luar rumah.
Dari dalam kereta, lelaki itu tersenyum sinis. Lama dia menatap gelagat Datuk Mustapha. Matanya jatuh ke arah Qaila dan Isma pula tatkala kedua-dua manusia seusia itu melangkah keluar dari kawasan rumah Datuk Mustapha. Hanya seketika sebelum tak lama kemudian dia menghidupkan enjin kereta sebelum kereta mewahnya dipecut pergi.


“Menyampah betul aku dengan perangai Datuk Mustapha tu. Tahulah dia tu orang kaya, tapi tak payahlah nak tunjuk lagak dengan kita sangat,” rungut Qaila sebaik menapak keluar dari laman luas rumah Datuk Mustapha.
“Apa nak kata Ila. Orang kaya memang begitu walau tak semuanya bersikap macam dia. Mahu tak mahu kita terpaksa juga menghadap dia selagi kes ni belum selesai,” sahut Isma lebih kepada memujuk.
“Tak adalah. Perangai dia tu jauh beza betul daripada perangai anak perempuan dia si Marleena tu. Kalau tak kerana aku fikir dia tu anak angkat arwah Tan Sri Rashid, tak adanya aku nak datang jumpa dia berkali-kali tau,” rengus Qaila.
Sempat matanya menangkap kelibat sebuah kereta mewah yang melalui jalan raya tempat mereka berada sekarang sebelum kereta itu menghilang cepat. Dia menggeleng perlahan. Dasar anak orang kaya. Tahu nak ikut hati sendiri aje. Pandu kereta macamlah jalan raya ni mak ayah dia orang punya. Hatinya mengomel sendiri.
Cepat-cepat Qaila menapak ke kereta tatkala matanya terpandang sesuatu di celah-celah wiper keretanya. Pantas dia menarik keluar sehelai kertas yang terselit di situ.
“Kalau kau nak hidup lama, berhenti daripada terus menyiasat kes Tan Sri Rashid.” Qaila membaca sebaris ayat yang ditulis jelas dengan dakwat merah.
“Ini surat ugutan untuk kau Ila.” Isma menyampuk dengan nada bimbang.
Sempat dia melepas pandangan ke sekeliling. Tiada sesiapa kecuali mereka berdua saja di kawasan perumahan elit itu.
“Huh. Ingat aku nak kisah dengan semua ni. Selagi aku belum jumpa jalan penyelesaiannya, jangan haraplah aku nak berhenti siasat kes ni macam tu aje.” Qaila mengoyak-ngoyak kertas itu menjadi kepingan-kepingan yang lebih kecil. Dicampak ke dalam longkang di tepi jalan.
“Jadi betullah andaian kita selama ni yang Tan Sri Rashid mati dibunuh, bukannya kerana mati mengejut. Kalau tidak takkanlah kau nak dapat ugutan macam ni sekali.”
Qaila mengangguk setuju.
“Betul kata kau tu Is. Aku ingatkan semua perkara yang berlaku kat aku sebelum ni hanyalah satu kebetulan. Tak sangka semua tu adalah angkara pembunuh sebenar arwah Tan Sri Rashid. Jadi sekarang kita dah dapat klu baru. Tan Sri Rashid memang mati dibunuh. Tapi siapa pembunuhnya, kita masih belum tahu,” sahut Qaila.
“Nampaknya, lepas ni kau kena buat laporan polis tentang perkara ni.”
“Laporan polis? Maksud kau?” Qaila tak faham.
“Yalah. Dah beberapa kali kau diugut oleh pembunuh tu. Rumah kau sendiri dah dipecah masuk. Takkan kau tak nak buat laporan pasal semua ni?” terang Isma, menyuara cadangan sama yang pernah disuarakannya tak lama dulu.
Lantas Qaila menggeleng laju.
“Tak payahlah Is. Bagi aku, semua ni dah jadi asam garam kerjaya kita. Biasalah tu kena ugut dengan penjenayah. Selagi aku boleh uruskan semuanya sendiri, aku takkan susahkan pihak atasan tentang perkara ni,” ujar Qaila sambil memicit-micit kepalanya.
“Kau kenapa Ila? Tiba-tiba aje picit kepala. Pening ke?” soal Isma.
“Aku pening-pening sikit. Semalam dua ni aku tak boleh tidur. Sejak kejadian rumah aku kena pecah masuk tempoh hari, aku jarang-jarang dapat tidur malam. Bukan sebab takut, tapi aku banyak fikir pasal kes ni.” Qaila berterus terang.
Istilah takut itu sememangnya tidak harus ada dalam hidup seorang penegak keadilan sepertinya. Itu pendapat Qaila.
“Kalau macam tu, apa kata kalau kau rehat dulu sehari dua ni? Sejak kita diberi tugas untuk selesaikan kes ni, kau langsung tak berehat. Dahlah sebelum-sebelum ni pun kau memang jarang-jarang bercuti. Sibuk nak bekerja aje sampai abai kesihatan sendiri. Kau ambillah cuti lama sikit. Berehat kat rumah atau balik ke kampung ke,” cadang Isma tiba-tiba.
“Aku tak fikirlah yang aku akan dapat bercuti sekarang. Banyak lagi kes lain yang perlu kita selesaikan sekarang. Lagipun belum tentu pihak atasan akan luluskan cuti aku nanti.” Awal-awal lagi Qaila sudah menolak.
“Pasal tu kau jangan bimbanglah. Walaupun kes kita ni dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi, tapi kita tak diminta untuk selesaikannya secepat yang mungkin. Pihak atasan pun faham, kita bukannya robot yang boleh bekerja selama 24 jam. Tambahan pula, kau bukannya nak ambil cuti sampai seminggu. Setakat sehari dua tu, pihak atasan takkan tolak punya permohonan kau tu nanti.”
Qaila mengangguk-angguk setuju.
“Hmm, betul juga cakap kau tu. Aku pun dah lama tak balik jenguk mak aku. Entah apa khabar orang tua tu pun tak tahulah. Sejak dia balik daripada menunaikan haji dua minggu lepas, aku langsung tak hubungi dia. Rindu pula aku kat dia.”
Dalam kepala Qaila sudah terbayang-bayang wajah Puan Zara dan kampung halaman tercinta. Segera dia membuang segala bayangan itu bila tersedar sesaat dua kemudian.
“Eh, jomlah kita balik ke pejabat. Aku nak buat laporan kes ni cepat-cepat.” Qaila terus membuka pintu kereta.
“Eleh. Cakap sajalah yang kau dah tak sabar-sabar nak ambil cuti,” usik Isma.

Qaila hanya tayang sengih.

No comments:

Post a Comment