Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 3 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR



Bab 3
“Assalamualaikum.”
Tak jadi Qaila nak melangkah ke keretanya bila disapa seseorang. Spontan terluah rengusannya bila terpandang wajah itu.
“Tak baik tahu kalau tak jawab salam. Berdosa satu hal. Nampak biadab pun ya kalau ditengok orang.”
Qaila terus menjeling tajam.
“Awak lagi. Dah tak ada muka orang lain lagi ke yang boleh saya tengok selain daripada muka awak, hah?” rungut Qaila.
Dia kembali menapak. Lagi laju daripada tadi dengan harapan, dia takkan seiring dengan lelaki itu. Sayangnya dia gagal. Langkah kaki yang panjang membolehkan lelaki itu mengiringinya tanpa dipinta.
“Kenapa? Awak jemu ya tengok muka handsome saya ni? Hairan saya. Perempuan-perempuan lain berebut-rebut nak tengok muka handsome saya. Awak pula tolak tuah. Ajaib ni.”
Nada suara lelaki itu tetap tenang seperti biasa. Bagai tidak terasa dengan kata-kata pedas Qaila. Malah, riak wajahnya juga kelihatan gembira. Seakan-akan senang dapat bertemu dengan gadis bertingkah kasar itu.
“Ooo... Jadi awak ingat saya ni macam perempuan lain jugaklah ya? Eii, tolonglah Encik Ray. Saya bukan spesies perempuan yang macam tu ya. Lelaki macam awak ni tak pernah ada dalam senarai calon lelaki idaman saya tau.”
Really? Jadi boleh saya tahu jenis lelaki macam mana yang ada dalam senarai lelaki idaman awak tu?”
Terhenti langkah Qaila. Wajah tenang Ray dipandang tajam. Hanya sekejap sebelum pandangannya dijatuhkan. Tidak tahan dengan renungan lelaki asing itu. Tajam semacam!
“Awak nak apa sebenarnya ni Ray? Ikut saya ke sana ke sini mengalahkan langau aje. Ada apa sebenarnya?” soal Qaila seakan-akan mengeluh. Bosan diganggu lelaki itu.
Sungguh, dia tidak selesa dengan keadaan itu. Ikutkan hati, mahu saja dia membuat laporan polis. Tapi, bila difikirkan semula, untuk apa dia lakukan semua itu andai dia sendiri akan mendapat malu nanti? Nama saja anggota polis, tapi sudah tak keruan bila diekori seorang lelaki asing. Salah, salah. Dia pula akan digelakkan semua nanti. Tak nak dia!
“Tak ada apa-apa. Saja aje saya nak berkenalan dengan awak. Tak boleh ke?” Ray tetap memberi jawapan sama.
Sambil menyeluk kedua-dua poket seluar jeannya, Ray menayang senyum. Manis dan menggoda, namun hati Qaila tidak terusik. Menyampah lagi adalah!
“Masalahnya saya tak mahu berkenalan dengan lelaki kutu rayau macam awak ni. Kerja entah apa-apa, tahu nak ganggu orang aje. Awak tak malu ke, hah?” marah Qaila lagi.
Sengaja mahu menaikkan darah lelaki itu. Sayang, tindakannya itu tidak meninggalkan sebarang bekas. Malah, semakin lebar pula senyuman lelaki itu.
“La, nak malu apanya? Saya bukan buat salah pun. Saya hanya nak berkenalan dengan awak. Itu aje.” Nada suara Ray kedengaran begitu lembut.
Seakan-akan romantik, namun hanya menegakkan bulu roma Qaila. Dia tidak biasa dengan semua itu.
“Tapi, saya tak mahu berkenalan dengan awak. Faham?” balas Qaila cepat.
“Lantaklah awak mahu ke tidak. Saya peduli apa. Janji saya boleh kenal awak.”
Terluah nafas keras Qaila mendengar jawapan Ray.
“Eii, awak ni kan! Memang jenis tak reti bahasa ke, hah? Kalau orang dah kata tak mahu, maknanya tak mahulah. Tak reti jugak ke?”
“Awak mahu ke tidak, saya tak tahu, tapi yang saya tahu, saya nak jugak berkenalan dengan awak. Boleh?”
Qaila mengenggam kuat-kuat penumbuknya.
“Awak teringin nak makan penumbuk saya ke, hah?” Qaila mula naik angin.
“Tak ada benda lain yang boleh awak bagi ke selain daripada penumbuk besar cili benggala awak tu?”
Berasap kepala Qaila sekejap. “Ada. Siku atau tapak tangan. Mana satu awak nak?”
Ray senyum lebar-lebar. Dia tahu Qaila sedang marah. Tapi, entah kenapa di matanya Qaila kelihatan comel bila berkeadaan seperti sekarang. Sangat!
“Saya nak hati awak. Boleh?”
Huh! Spontan terluah rengusan Qaila lagi. Tak ada dalam skema jawapan betul!
“Dahlah. Malas saya nak layan langau macam awak ni. Buat sakit otak aje!” Qaila kembali mempercepat langkah.
Apatah lagi memikirkan masa yang semakin banyak terbuang sedangkan dia bukanlah seorang yang mudah-mudah membazirkan masa begitu saja. Semuanya kerana langau nilah. Huh!
“Amboi bahasa, tak cantik sungguh. Saya macam ni punya handsome awak panggil langau? Tak patut, tak patut.” Sambil menyaingi langkah panjang-panjang Qaila, Ray menggeleng dalam senyum.
“Memang itu yang sesuai dengan lelaki kutu rayau macam awak. Nak kata apa lagi,” sahut Qaila selamba.
“Apalah awak ni, Almas. Sekejap panggil saya langau. Sekejap lagi panggil saya kutu rayau. Mana satu yang betulnya ni?”
“Dua-dua pun betul.”
Tersenyum Ray mendengar jawapan Qaila. “Tapi saya tak suka dengan kedua-duanya.”
“Ada saya kisah ke awak suka ke tak?” jeling Qaila. Perut yang tiba-tiba berbunyi membuatkan langkah kaki Qaila terus beralih arah.
“Eh, awak kata nak balik. Tu nak pergi mana pulak?” soal Ray pelik dengan tingkah gadis itu. Tiba-tiba saja menapak laju ke sebuah gerai kecil tak jauh dari tempat mereka berada.
“Saya lapar. Saya nak pergi makan.” Qaila menjawab selamba.
“Awak nak makan kat gerai tu?” soal Ray dengan riak terkejut, tapi dia ikut juga menapak.
“Taklah. Saya nak makan kat bengkel kereta sebelah gerai tu.”
Ray menayang sengih bila Qaila menjeling geram. “Tak ada tempat lain lagi ke yang boleh awak singgah makan?”
Ray bersuara seakan-akan merungut, namun dia tetap duduk setentang dengan gadis itu tanpa dipelawa. Mata pula sudah meliar memerhati keadaan sekeliling. Bagai tidak selesa dengan suasana gerai biarpun dia tidak berkata apa-apa.
“Saya tak ajak pun awak ke sini. Jadi kalau awak rasa tak selesa, itu awak punya pasal. Saya tak kisah pun.” Qaila terus mengalih pandang kepada pemilik gerai.
“Kak Nah, buatkan saya char kuetiau dan sirap limau satu ya,” laung Qaila agak kuat, memandangkan tuan punya gerai itu sedang sibuk melakukan kerjanya.
“Siap!” sahut Kak Nah sempat lagi mengangkat tangan kepada Qaila.
“Awak nak makan apa?” soal Qaila.
Kasihan pula tengok Ray berkerut-kerut dahi memandang sekeliling. Macam orang kaya tak pernah pijak gerai tepi jalan! Tapi, jika dilihat pada gaya dan penampilan lelaki itu, memang ketara sangat lelaki itu datang daripada golongan berada. Walau penampilan lelaki itu sangat ringkas, namun Qaila berani jamin seluar jean dan T-shirt yang tersarung elok di tubuh tegap itu bernilai lebih daripada ratusan ringgit.
Ditambah dengan cermin mata hitam yang sentiasa tersangkut di kolar baju lelaki itu dan jam tangan yang jelas terserlah jenamanya, menjadikan nilai anggaran yang ada di tubuh lelaki itu berjumlah hampir ribuan ringgit. Senang katalah, kalau ada yang ingin mencari duit secara mudah, rompak saja si Ray ni. Pasti senang hidup walau hanya untuk seminggu dua.
Ray menggeleng perlahan. “Tak naklah makan. Tak ada selera.”
Qaila mencebik. “Tak ada selera ke awak memang jenis yang tak makan kat gerai?”
“Dah tahu kenapa tanya?”
“Huh!” Satu jelingan Qaila singgah ke muka Ray.
Tanpa peduli pada pandangan Ray, dia terus menyuap char kuetiau ke mulut sebaik saja pesanannya tiba.
“Malang betullah bakal suami awak dapat isteri pemalas macam awak ni.”
Terhenti suapan Qaila sekejap. Wajah selamba Ray dipandang lama. Tajam pula tu.
“Sedap mulut awak aje kata saya pemalas. Teringin nak makan penampar saya ke?” marah Qaila sambil menyuap lagi char kuetiau.
Kali ini dengan lebih laju. Bukan lapar sangat, tapi geram. Lagi satu, dia makan cepat-cepat supaya makanannya cepat habis dan cepatlah juga dia dapat balik. Tak adalah dia perlu habiskan masa berada di gerai itu bersama lelaki itu.
Sesekali mata Qaila mencuri pandang ke arah Ray. Lelaki itu tetap dengan tingkahnya. Selamba menyandar di tempat duduknya sambil merenung Qaila makan tanpa rasa bersalah. Hingga lidah Qaila terasa char kuetiau kegemarannya itu seperti bubur nasi tawar saja. Tak sedap langsung!
“Yalah. Makan pun nak beli kat luar. Ke, awak tak tahu masak?” Ray sudah mengangkat-angkat kening. Bagai ingin mengusik gadis itu.
“Saya bukan pemalas okey, tapi saya letih. Awak mana tahu saya punya susah,” marah Qaila.
“Yalah tu. Jangan selalu awak amalkan tabiat makan kat luar ni. Terutamanya bila dah kahwin nanti, Almas. Tak pasal-pasal awak dapat madu campur hempedu nanti,” kata Ray, tetap dengan lagaknya. Kerek semacam.
“Biarlah saya nak dapat madu ke, gula ke. Bukan ada kena-mengena dengan awak pun,” jeling Qaila. Char kuetiaunya dikunyah-kunyah dengan penuh rasa geram.
“Apa pula tak ada kena-mengena dengan saya? Dibuatnya awak tu bakal isteri saya, tak ke naya saya dapat isteri pemalas macam awak?”
Tersedak Qaila. Cepat-cepat dia meneguk minumannya hingga tinggal separuh gelas. Perit!
“Bila masa pula saya kata saya nak jadi isteri awak, hah? Kenal pun tidak, kerja apa pun tak tahu, sedap-sedap mulut aje kata saya ni bakal isteri awak,” marah Qaila tak agak-agak.
Langsung tak bertapis memandangkan dia memang tidak suka bila diusik tentang bab-bab sebegitu. Nampak sangat dia anak dara yang tak laku hingga kutu rayau seperti Ray saja yang sudi jadikan dia sebagai isteri. Huh!
“Tak perlu awak kata. Awak memang bakal jadi isteri saya pun, Almas. Kalau bukan sekarang, esok lusa atau sikit masa lagi awak tetap akan jadi milik saya juga. Tak percaya, tengoklah nanti,” ujar Ray penuh yakin.
Menyampah Qaila dengar. Lalu dia melepas nafas. Panjang juga sebelum wajah tenang lelaki itu dipandang semula. “Siapa sebenarnya awak ni Ray? Kenapa tiba-tiba saja awak datang dalam hidup saya? Awak nak apa sebenarnya daripada saya?”
Soalan itu membawa mata Ray kembali ke wajah serius Qaila. Lelaki itu tersenyum semula. Manis menggoda.
Cair hati Qaila jadinya walaupun dia cuba tak rasa apa-apa. Selama dia hidup ini, belum pernah ada lelaki yang mengejarnya sepertimana yang Ray lakukan sekarang. Kalau ada pun sekadar mahu main-mainkannya. Perempuan kasar dan garang sepertinya, lelaki mana yang suka? Buntu Qaila memikirkan maksud sebenar kewujudan Ray.
“Saya manusia macam awak jugaklah. Takkan itu pun awak tak tahu.”
Terasa panas semula hati Qaila yang baru nak sejuk. “Saya pun tak kata awak ni alien ke, makhluk asing ke apa.”
“Dah tu, tanya buat apa lagi?” Semakin panas hati Qaila dengan jawapan selamba Ray.
“Maksud saya, kenapa awak ikut saya? Awak nak apa sebenarnya daripada saya?” Qaila bersuara lebih serius kali ini.
Sedar, tak guna bercakap baik-baik dengan lelaki seperti Ray. Hanya menyakitkan hati!
“Kalau saya cakap betul pun belum tentu awak percaya.” Kedua-dua belah tangan Ray sudah naik ke meja. Dia tidak lagi memeluk erat tubuh tegapnya sebagaimana tadi.
“Awak belum cakap macam mana awak tahu saya percaya ke tak,” sergah Qaila. Geram dengan tingkah main-main Ray.
“Okey. Saya bagi tahu. Saya ikut awak sebab saya rasa saya dah sukakan awak, Almas. Percaya tak?”
Buat kali kedua Qaila tersedak. Kali ini, bukan saja air minumannya. Ketulan-ketulan ais batu yang ada di dalam gelas itu pun ditelannya setakat mana yang termampu. Bukan tekak saja yang perit, telinga juga terasa perit mendengar kata-kata lelaki itu. Hati lagilah. Sangat perit hingga terserlah di raut mukanya.
“Hah, kan saya dah kata. Memang awak tak percaya, kan?” Ray hanya memandang selamba tingkah Qaila. Seolah-olah lelaki itu sudah dapat menjangka reaksi Qaila itu.
“Macam mana saya nak percaya kalau awak hanya tahu nak mengarut aje. Tak boleh ke awak bagi alasan yang lebih logik lagi, hah?” marah Qaila usai menghabiskan air minuman sendiri.
Mahu saja dia memesan gelas kedua, namun tak jadi bila teringat kata-kata lelaki itu yang menuduh dia pemalas sebentar tadi. Karang tak pasal-pasal dia dikatakan kuat makan pula nanti. Tak suka dia!
“La, dah memang itu yang saya rasa, nak kata apa lagi.”
“Huh. Tak payahlah awak nak tunjuk perangai kasanova awak tu kat saya. Tak adanya saya nak suka kat awak jugak. Sekarang ni, saya nak awak berhenti daripada ikut saya. Faham?” Qaila cepat-cepat menyudahkan suapannya.
Walau selera makannya sudah hilang, tapi sayang pula rasanya nak meninggalkan makanan kegemarannya yang masih berbaki sedikit itu. Lagipun bukankah makanan yang terakhir itu ada berkatnya?
“Kalau saya ikut jugak?” Ray langsung tak kisah dengan arahan tegas itu. Malah, makin suka pula dia menggiat gadis itu.
“Saya cincang awak lumat-lumat!” ugut Qaila.
“Awak nak buat apa lepas cincang saya?”
“Bagi anjing makanlah!” jerkah Qaila.
Lalu Ray ketawa hingga bergegar-gegar tubuh tegapnya. Bagai lucu sangat kata-kata gadis itu di pendengarannya.
“Ikut suka awaklah Almas. Awak nak cincang saya ke, nak kerat saya ke, tapi pastikan hati saya awak tak cincang.”
“Kenapa pula?” Dalam marah, lurus pula Qaila bertanya.
“Sebab hati saya dah penuh dengan cinta buat awak seorang. Rugi rasanya kalau awak buang. Jadi awak kena simpan baik-baik hati saya tu.” Qaila buat gaya nak termuntah.
“Hei, entah apa malang nasib saya jumpa lelaki macam awak ni pun tak tahulah.” Qaila terus bangun mendapatkan Kak Nah.
Usai membayar harga makanan dan minumannya, dia terus melangkah keluar tanpa peduli kepada Ray.
So, lepas ni awak nak ke mana?” tanya Ray sebaik menghampiri gadis itu.
“Pergi mana lagi, baliklah. Takkan nak tidur sini pulak,” balas Qaila sambil menapak laju-laju ke keretanya.
Cahaya matahari yang makin hilang ditelan waktu menjadikan dia semakin tak sabar-sabar nak balik ke rumah.
“Hari masih mudalah Almas. Jomlah temankan saya jalan-jalan dulu.”
“Muda pada awak, tapi dah tua pada saya. Lagipun tak ada maknanya saya nak buang masa dengan orang macam awak tu. Tak ada faedahnya pun,” cebik Qaila.
“Apa pulak tak ada faedahnya? Awak kata awak nak tahu latar belakang bakal suami awak ni.” Ray cuba mengayat pula.
“Bakal suamilah sangat,” cebik Qaila langsung tak ambil kisah kata-kata lelaki itu.
“Betullah tu. Saya bakal suami awak. Awak tu aje yang tak nak mengaku.”
Qaila menjuling mata.
“Apa-apa ajelah Encik Ray. Malas saya nak layan cakap-cakap merapu awak tu.” Qaila kembali menjeling bila Ray hanya mengangkat bahu.
“Dahlah, saya nak balik dulu. Awak nak jalan-jalan ke, nak lari-lari ke, itu awak punya pasal. Saya tak mahu campur.” Qaila bergegas masuk ke dalam kereta.
“Tapi Almas, saya...” Ray cuba merayu pula.
“Lantak awaklah nak buat apa pun Ray. Bukan ada kena-mengena dengan saya. Malah, saya tak berminat pun. Bye-bye.” Sempat Qaila mengangkat tangan sebelum menutup tingkap cermin kereta rapat-rapat.
“Almas!”
Qaila buat-buat tak dengar. Dia kemudian terus memandu pergi.

Tidak peduli Ray yang melihat tingkahnya sudah menepuk dahi sebelum mengeleng perlahan. Ada senyuman di wajah lelaki itu. Apa maknanya senyuman itu, hanya lelaki itu yang tahu. 

No comments:

Post a Comment