Bab
8
“Memang
macam ni ya gaya hidup kat kampung?”
Qaila
yang sibuk menyiang ikan di tepi rumah menoleh. Tepat kepada Ray yang duduk mengayun
kaki di pelantar kecil di bawah pokok rambutan.
“Macam
ni macam mana maksud awak?” soal Qaila tak faham.
“Mandi
sungai, jala ikan, tanam padi. Memang itu sajalah aktiviti yang orang kampung
akan buat setiap hari?” Soalan Ray seperti mahu tahu, tapi kedengaran seperti memperlekeh
kehidupan manusia-manusia di kampung saja bagi Qaila.
“Habis
tu awak fikir dia orang nak buat apa lagi?” balas Qaila, menjeling sekilas Ray.
“Orang
kampung tak ada rasa nak hidup dalam keadaan moden ke? Tengok, jalan raya pun
tak berturap. Jauh sekalilah kemudahan-kemudahan yang lain. Boleh dikatakan
langsung tak ada,” rungut Ray.
Sesekali
dia menyelak rambut panjangnya yang ditiup angin. Tampak kacak dia dengan gaya
begitu. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang kelihatan santai dengan
kedudukannya ketika ini. Bagai seorang model sedang menjalani penggambaran di
tepi sawah saja lagaknya.
“Kalau
dah tahu kami ni hidup dalam serba tak moden, awak yang hidup moden sangat tu tolonglah
apa yang patut. Tolong turap tar ke, bina masjid yang lebih besar ke. Jangan
tahu nak mengutuk kata aje. Ingat kami minta ke hidup dalam keadaan macam ni?
Lagipun, tak salah kalau buat kerja-kerja kampung, asalkan dapat rezeki halal.
Bukan macam awak, tanam anggur yang tak ada hasil,” sindir Qaila sambil
menetak-netak kuat ekor ikan yang sedang disiangnya. Melepas geram yang tak
dapat dilepaskan kepada Ray.
“Eh,
siapa kata tak ada hasil? Awak tak nampak apa yang tersadai kat tepi rumah mak
awak tu? Itu salah satu daripada hasil yang saya dapat selama saya tanam anggur
tau. Lebih daripada tu pun saya mampu. Awak tu aje yang tak tahu.”
“Setakat
kereta macam tu, siapa pun boleh mengaku kereta sendiri. Padahal pinjam aje
pun,” cebik Qaila.
“La...
Awak masih tak percaya yang kereta tu saya yang punya?” Mata Ray tetap terarah
ke wajah Qaila. Lelaki itu menggeleng kemudian bila Qaila membuat muka.
“Itulah
perempuan. Suka sangat berprasangka yang bukan-bukan. Kita cakap betul pun dia
tak percaya. Dah memang kenyataan saya ni kaya orangnya. Awak tu aje yang tak
nak ambil tahu.” Nada suara Ray jelas tak puas hati.
“Huh.
Tak habis-habis dengan perangai bongkak dia tu. Kalau awak tu dah kaya sangat,
kenapa tak bantu aje orang-orang miskin yang ada kat dalam dunia ni? Apa awak
ingat Allah Taala beri harta banyak-banyak tu untuk bagi awak menunjuk
kesenangan awak kat semua orang ke?” sergah Qaila. Satu jelingan terlepas lagi.
“Saya
bukan nak menunjuk-nunjuk, tapi awak tu, tak habis-habis nak kutuk saya aje.
Balik-balik kata saya penganggur.” Ray membalas geram.
“Dah
memang awak tu penganggur. Nak cakap apa lagi,” sahut Qaila selamba.
Mahu
saja Ray menjawab, namun tak jadi bila tiba-tiba Puan Zara muncul di muka pintu
rumah.
“Ila,
panggil adik-adik kamu naik ke darat. Kita minum petang sama-sama,” arah Puan
Zara sambil menapak turun dari beranda.
Menuju
ke arah Ray yang awal-awal lagi sudah berubah kedudukan. Daripada duduk
berjuntai kaki, dia duduk bersila penuh sopan.
“Biar
ajelah dia orang tu mak. Kalau lapar nanti pandai-pandai dia oranglah naik cari
makan,” sahut Qaila malas.
Dia
masih sibuk dengan kerja-kerjanya. Sesekali dia mengelap muka dengan hujung T-shirt lengan panjangnya bila ikan-ikan hidup yang ada di
dalam besen tepi kakinya menggelepar kuat hingga memercik air ke wajah.
“Hah,
Ray. Jemputlah makan cucur udang ni. Sedap kalau di makan ketika masih
panas-panas macam ni,” pelawa Puan Zara seraya meletak dulang yang dibawa di
depan Ray.
“Terima
kasih mak cik. Saya masih kenyang lagi. Banyak saya makan tengah hari tadi,”
ujar Ray begitu sopan.
Sejuk
hati Puan Zara mendengarnya.
“Alah.
Bukan selalu kamu dapat ke mari. Sekali-sekala makan banyak, apa salahnya. Ya
tak?” sahut Puan Zara sebelum meminta diri ke dalam rumah semula.
“Awak
tak pernah duduk kampung ke sebelum ni?” Qaila bertanya tanpa memandang lelaki
itu.
Tanpa
berbalas pandang pun Qaila pasti, Ray tahu soalan itu ditujukan kepadanya.
Bukan ada sesiapa lagi di situ selain mereka berdua saja.
“Saya
mana ada kampung. Sejak kecil lagi saya membesar kat bandar.” Jawapan Ray
kedengaran jujur.
“Patutlah
kerek semacam. Anak orang bandar rupanya,” cebik Qaila lebih kepada diri
sendiri.
“Awak
cakap apa?” tanya Ray kurang pasti.
Qaila
menggeleng laju-laju. Malas nak mengulang kata-kata yang pastinya hanya akan
mengundang rasa kurang senang lelaki itu. Qaila tahu itu.
“Mak
ayah awak tak kisah ke awak datang bertandang ke rumah orang ni?” tanya Qaila
semula. Sunyi pula rasanya suasana bila masing-masing berdiam diri saja.
“Mak
ayah saya dah lama tak ada.”
Jawapan
Ray menghentikan gerak tangan Qaila sejenak. Wajah Ray dipandang sekejap, bagai
mencari kepastian. “Jadi maknanya, awak ni...”
“Kalau
awak anak yatim, saya pula yatim piatu. Sejak dulu lagi.”
Mendengar
kata-kata tenang Ray, lidah Qaila jadi kelu. Tidak sangka lelaki itu juga sepertinya.
Untungnya dia kerana masih ada Puan Zara. Patutlah lagak lelaki itu lain macam
saja. Rupa-rupanya Ray sudah kehilangan kasih sayang orang tua sendiri sejak
sekian lama. Rasa bersalah menyapa hati Qaila.
Lama
dia memandang Ray sebelum matanya kembali dialih ke besen ikan di depannya.
Terasa lain hatinya bila bertentang mata dengan lelaki itu lama-lama. Debar pun
dah jadi lain macam.
“Kak,
air ada tak? Dahagalah!”
Laungan
Quzairi dari petak sawah di tepi rumah menyentak lamunan singkat Qaila. Laju
saja anak matanya mencari kelibat anak muda itu.
“Ada
ni, hah. Marilah minum dulu. Ajak sama abang-abang tu!” Qaila melaung juga.
Melawan deruan angin petang. Tangan pula kembali ligat membuat kerja.
“Kak,
dah habis kan kerja kau tu?” Qashaf yang baru menapak keluar dari petak sawah
terus bertanya sebaik terpandang Qaila membasuh tangannya di paip rumah.
“Ha’ah.
Kenapa?” soal Qaila sambil mengelap tangannya pada kain kecil yang disangkut di
bahu sendiri sejak tadi.
“Hah,
elok sangatlah tu. Kak, kau suapkan kita orang makan. Malaslah kita orang nak
basuh tangan.” Qayyum menyampuk pula.
Dia
sudah duduk di sisi Ray yang segera berganjak ke tepi bila adik-beradik kembar
tak seiras itu mendekatinya. Sama-sama duduk melepak di atas pangkin.
“Amboi,
cantiknya perangai. Kau orang yang nak makan, aku yang kena suap?” bebel Qaila,
namun dia tetap menurut. Cucur udang yang ada di cecah ke dalam kuah sebelum
disua ke mulut kedua-dua anak muda itu.
“Kak!
Kau suaplah elok-elok! Habis menitik kuahnya ke baju aku ni!” jerit Qashaf
dengan mulut masih laju mengunyah-ngunyah cucur udang.
“Eleh.
Baju abang Qash tu memang dah kotor. Jadi tak payah nak banyak songeh sangat
ya,” sampuk Quzairi.
Anak
muda itu ikut serta menganga mulut ke arah Qaila. Dia awal-awal lagi sudah
duduk menempel di sisi Qaila yang melabuh punggung di kerusi buluh tepi
pangkin.
“Mengada-adalah
kau orang bertiga ni!” bebel Qaila dengan tangan masih leka menyuap seorang
demi seorang adiknya. Sebiji macam mak budak beri makan anak-anaknya!
“Alah,
bukan selalu kita orang boleh mengada-ada dengan kau kak. Selalunya kau sibuk
dengan kerja kau aje,” sahut Qashaf sambil mengunyah-ngunyah cucur dalam
mulutnya.
“Eleh.
Aku sibuk ke, tak sibuk ke, memang begini pun perangai kau orang bertiga dari
dulu. Manja tak bertempat!” Qaila membebel lagi. Sekali-sekala dia turut
menyuap cucur udang ke mulut sendiri.
“Ya
Allah. Bertuah punya anak-anak! Masing-masing ada jari-jemari sendiri, kenapa
nak suruh kakak kamu tu juga yang suapkan?” Puan Zara sudah mencekak pinggang
di pintu beranda rumah.
“Mak
ni, marahlah konon. Cakap ajelah mak pun teringin jugak nak makan bersuap macam
kita orang.” Qashaf mengusik maknya.
Serentak
dia dan Qayyum terkekeh ketawa bila Puan Zara terus membulat mata.
“Entah
mak ni. Marilah join kita orang kalau teringin sangat.
Selalunya memang mak yang suapkan kita orang bila kakak tak ada, kan?” sampuk
Quzairi pula.
Makin
galak tawa mereka bertiga bila Puan Zara terus mengangkat tangan, pura-pura
mahu menampar anak-anaknya. Ada senyuman di sebalik gelengan kepala wanita itu.
“Yalah
tu kau orang. Dah, dah. Pergi bersihkan badan kau orang tu. Nanti lambat pula
kau orang ke masjid,” suruh Puan Zara. Kali ini dengan lebih lembut.
Dengan
anak-anak dia memang tidak mampu marah lama-lama. Mereka berempat itulah buah
hatinya sejak dulu. Sejak sebelum suaminya pergi meninggalkan mereka semua
lagi.
“Awal
lagilah mak. Sekarang baru pukul berapa. Kita orang nak sambung kerja kita
orang dululah,” sahut Qashaf.
“Awal
apanya kalau dah lebih sejam kau orang bertiga berkubang dalam petak sawah tu.”
“Alah,
bukan selalu kita orang dapat berkubang mak. Sekali-sekala biarlah berlama-lama
sikit. Mak juga yang kata teringin nak makan haruan tadi.” Qayyum menjawab bagi
pihak adik-beradiknya.
“Kalau
ya pun, tak payahlah menangguk lama-lama kat dalam tu. Apa, sebesen ikan yang
kakak kamu siang tadi tu tak cukup lagi ke nak buat lauk kita malam nanti?”
“Itu
baru sebesen mak. Kalau boleh kita orang nak tangkap sepuluh besen ikan untuk
mak. Tak adalah mak bersusah payah nak beli ikan kering dah bila kita orang dah
tak ada kat rumah nanti.” Qashaf terus melangkah masuk ke dalam petak sawah
semula usai secawan kopi dihabiskannya.
Qayyum
dan Quzairi ikut serta.
Puan
Zara hanya mampu menggeleng lagi. Dia kemudian kembali masuk ke dalam rumah.
Banyak lagi kerja rumah yang perlu dia selesaikan. Sekali gus meninggalkan Ray
dan Qaila kembali berdua di tempat sendiri.
“Awak
dan adik-adik awak memang begini ya? Manja selalu?”
Terkalih
pandangan Qaila ke wajah Ray sejenak. Dia tersenyum sebelum mengangguk
kemudian.
“Sejak
kecil lagi kami macam ni. Rapat dan saling menyokong antara satu sama lain,”
sahut Qaila sambil melepas pandangan ke arah adik-adiknya yang kembali ralit
dengan aktiviti mereka.
Rasa
sayang terhadap ketiga-tiga adiknya kembali menggebu dalam jiwa. Sayang yang
pastinya tidak mampu ditukar dengan apa-apa benda bernilai sekali pun dalam
dunia ini.
“Cemburu
saya.”
Mata
Qaila kembali terkalih ke wajah tenang Ray. “Kenapa pula awak nak cemburu? Awak
tak rapat dengan adik-beradik awak ke?”
“Saya
tak ada adik-beradik. Saya seorang diri dalam dunia ni,” sahut Ray perlahan.
Ada
kesayuan yang cuba disembunyikan di balik senyumannya yang diukir lebar-lebar.
Qaila dapat melihatnya biarpun lelaki itu tetap berlagak tenang.
“Maaf.
Saya tak tahu,” ucap Qaila penuh rasa bersalah.
Boleh
jadi, kerana inilah Ray sering kali mengelak bila ditanya tentang latar
belakangnya. Ada kesedihan yang dalam cerita hidup lelaki itu rupa-rupanya. Kesedihan
yang Qaila pasti, berat untuk ditanggung oleh seseorang yang tidak ada tempat
bergantung harap melainkan kepada Allah semata-mata.
Ray
hanya melempar senyum. Dia kemudian melipat kaki seluar jeannya. Menampakkan
betis lelakinya yang bersih daripada sebarang parut mahupun tanda.
“Jom
awak, kita masuk sawah,” ajak Ray dengan lagak kembali ceria. Pastinya lelaki
itu tidak mahu rasa hatinya diketahui sesiapa, termasuklah Qaila.
“Buat
apa nak masuk sawah?” soal Qaila, terpinga-pinga dengan ajakan tiba-tiba lelaki
itu.
“Buat
apa lagi, tangkap ikanlah. Takkan nak berenang pula.”
Qaila
mencebik.
“Orang
bandar nak masuk sawah. Hmm, berani ke?” soal Qaila lebih kepada mengejek.
Bagai mencabar pun ada juga.
“Awak
jangan ingat saya tak boleh tangkap ikan macam yang adik-adik awak buat.
Silap-silap, lagi banyak ikan saya dapat tangkap daripada dia orang tau,” sahut
Ray sambil mengangkat-angkat kening. Lelaki itu tersenyum lagi.
“Yalah
tu.”
Spontan
Qaila menjeling bila Ray mengenyit mata kepadanya sebelum lelaki bertubuh
tinggi lampai itu terus menapak masuk ke dalam sawah. Mendapatkan adik-beradik
Qaila yang kedengaran riuh bersuara dengan cara mereka sendiri.
Qaila
yang hanya memandang tingkah lelaki itu mengeleng-geleng perlahan. Ada senyuman
menghiasi bibirnya. Atas sebab apa senyuman itu wujud, Qaila sendiri tiada
jawapan. Yang pasti, jiwa gadisnya rasa bahagia saat ini. Sangat!
“Tak
tidur lagi? Hari dah lewat ni.”
Ray
yang ralit melepas pandangan ke luar tingkap tersentak. Dia tersenyum kelat.
“Saya
tak boleh tidur. Tak selesa.” Jujur dia memberitahu sambil menggosok-gosok
belakang tengkuknya. Lenguh.
“Tulah.
Saya dah kata, kan? Orang bandar macam awak memang takkan biasa tinggal kat
kawasan kampung ni. Jangankan nak tidur, nak pejam mata sekejap pun dah tak
selesa. Sekarang, padanlah dengan muka awak. Tak nak dengar cakap saya sangat.”
Qaila memulang paku buah keras.
Ray
merengus. “Bukan macam tulah. Saya tak selesa nak tidur dalam kotak kain tu.
Rasa rimas.”
Qaila
terus membulat mata.
“Kotak
kain? Benda apa pula tu?” soal dia pelik.
“Tu.”
Ray memuncung bibir ke arah bilik Quzairi.
Bergegas
Qaila menapak ke situ. Pintu bilik Quzairi dibuka sekejap sebelum dia
menutupnya semula. Perlahan. Lantas tubuh Ray yang masih tidak berganjak dari
tempat lelaki itu berdiri dari tadi dihampiri semula.
“Itu
bukan kotak kainlah. Itu namanya kelambu, tahu tak?” sergah Qaila perlahan.
Bimbang
jika adik-adiknya yang sudah lama dihanyut mimpi terjaga gara-gara suaranya
yang sudah terbiasa kuat dan tegas itu.
“Tak
kisahlah apa pun namanya, tapi saya memang tak selesa nak tidur dalam benda
alah tu. Rasa macam tidur dalam kotak aje,” sahut Ray seakan-akan mengeluh.
“Kalau
tak pasang kelambu, jenuh badan awak kena gigit dengan nyamuk nanti. Bukan saja
nyamuk, segala jenis serangga kecil yang ada dalam kampung ni pun boleh masuk,
tahu tak?” sergah Qaila sambil menggeleng perlahan.
Kesian
pula dia melihat keadaan Ray saat ini. Terkulat-kulat tak tahu nak buat apa
walau jelas rasa kantuk sudah menyerang lelaki itu.
“Dahlah.
Saya nak masuk tidur. Kalau awak rasa badan awak tu tahan dengan gigitan
nyamuk, hah, tidur ajelah kat ruang tamu ni. Kalau tak pun, tidur aje kat
beranda luar rumah tu. Situ lagi luas. Aircond original pun ada.
Selamat malam.” Qaila terus menapak ke biliknya kemudian.
Meninggalkan
Ray yang hanya merengus dengan kata-kata gadis itu. Lambat-lambat, lelaki itu
menapak ke bilik Quzairi bila mulutnya sudah ternganga luas. Tanda kantuknya
tidak dapat ditahan-tahan lagi.
“Qaila?”
Qaila
yang baru berkira-kira mahu membuka tudung sebaik menutup pintu menoleh.
Matanya jatuh ke wajah Puan Zara yang entah bila sudah berada di ambang pintu.
Wanita itu melangkah masuk sebelum pintu bilik ditutup rapat.
“Mak
tak tidur lagi?” soal Qaila meletak tudung yang dipakainya ke ampaian kecil di
penjuru bilik.
“Mata
mak belum mengantuk lagi Ila,” sahut Puan Zara sambil melabuh punggung ke birai
katil.
Sambil
memandang Qaila memanjat naik ke katil, wanita itu tersenyum. Akalnya
berkira-kira mahu membuka bicara panjang antara mereka walau nampak gayanya
Qaila sudah seperti mahu melelapkan mata.
“Baik
budak Ray tu ya? Berkenan mak dengan perangai dia tu.”
Qaila
yang sedang menepuk-nepuk bantal tidurnya mengalih pandangan ke wajah Puan
Zara.
“Mak
ni kenapa? Tiba-tiba saja cakap macam tu? Mak berkenan nak buat laki baru ke
mak? Ouch!” Qaila tertawa kecil bila cubitan halus
singgah ke lengannya.
“Kamu
ni, itu pula yang difikirnya. Daripada mak buat dia jadi laki mak, baik dia
jadi menantu mak. Itu baru betul,” sahut Puan Zara tersenyum-senyum membalas
pandangan Qaila yang awal-awal lagi sudah mencebik.
“Huh.
Mak tu mulalah nak cakap perkara yang bukan-bukan. Ila dengan Ray tu tak ada
apa-apalah mak. Kawan begitu-begitu aje. Kami baru aje kenal sehari dua ni.”
Qaila berterus terang walau air muka maknya jelas menampakkan riak kurang
percaya.
Dia
mengerti dengan rasa yang bermain di hati wanita kesayangannya itu. Bukan saja
sekarang, malah sejak kali pertama Ray datang lagi Qaila yakin hati Puan Zara
sudah terpaut kepada lelaki yang tidak diketahui asal usulnya itu. Bukan saja
Puan Zara, adik-adiknya juga kelihatan selesa bila bersama dengan lelaki itu.
Hanya Qaila yang pura-pura tidak perasan.
“Ya
ke kamu baru kenal dia sehari dua ni? Tapi kenapa mak rasa kamu dengan dia tu macam
dah lama kenal aje?”
Qaila
tersenyum. Hah, kan betul katanya. Puan Zara memang tak percaya.
“Betullah
mak. Ila baru aje kenal dengan Ray tu. Itu pun sebab dia selalu kacau Ila tak
kira masa dan tempat. Tapi mak jangan bimbang. Setakat ni dia belum pernah buat
apa-apa yang tak sepatutnya kat Ila.” Lembut Qaila memberitahu.
Sekali
gus cuba membuang segala prasangka yang ada dalam kepala Puan Zara berhubung
dirinya dan Ray. Dia tersenyum lagi bila Puan Zara mengeluh kecil.
“Mak
bukannya apa Ila. Selama kamu besar ni, tak pernah sekali pun kamu bawa balik
kawan lelaki ke rumah ni. Jadi bila Ray tu datang, mak ingat dialah pilihan
kamu. Kalaupun dia bukan pilihan kamu, tak salah kan kalau mak doakan kamu ada
jodoh dengan lelaki sebaik dia?” pujuk Puan Zara lembut.
“Isy,
mak ni. Mana mak tahu dia baik ke tidak? Entah-entah dia samseng yang tunggu
masa nak rompak rumah kita ni. Siapa tahu, kan?” Qaila cuba mematahkan
kata-kata bersalut harapan maknya.
“Kamu
ni Qaila. Nama aje dah lama jadi polis, tapi masih tak tahu nak beza mana orang
baik, mana orang jahat. Kalau betullah Ray tu jahat, tak adanya dia nak
berbaik-baik dengan adik-adik kamu. Rajin pula dia bantu dia orang cari ikan,
pergi sungai, ikut dia orang ronda-ronda kampung. Dahlah tu, boleh pula dia
mengimamkan solat maghrib di surau kampung tadi menggantikan tempat Imam Musa
yang tak dapat datang tadi. Hah, mana lagi nak cari lelaki sebaik tu Qaila oi?”
kata Puan Zara panjang lebar.
Qaila
terkedu. Ray jadi imam solat? Biar betul Ray tu. Terasa kembang hatinya
tiba-tiba. Bagai dia pula yang dipuji. Padahal dia hanya tumpang gembira
mendengar pujian Puan Zara terhadap lelaki itu. Sekali gus mengurangkan
prasangkanya terhadap Ray.
Qaila
sendiri sebenarnya sudah lama sedar. Dia telah dapat menerima kewujudan Ray
sebagai salah seorang daripada mereka yang ada dalam hidupnya sejak akhir-akhir
ini. Bukan kerana kemewahan yang dipamerkan lelaki itu. Tetapi kerana budi
bahasa Ray yang menarik hatinya. Kata-kata manis lelaki tu? Bolehlah...
Tak
jadi dia nak menyambung angan bila suara Puan Zara kembali menerjah.
“Adik-adik
kamu pun suka sangat dengan dia. Rapat semacam aje mak tengok dia orang dengan
si Ray tu. Tapi terus terang mak kata, tak kisahlah siapa pun dia Ila. Kalau
dia baik orangnya, mak terima saja dia jadi menantu mak.”
“Walaupun
dia seorang penganggur, tak bekerja?” uji Qaila. Dia tersenyum lagi bila Puan
Zara terus menepuk lembut lengannya.
“Isy,
kamu ni. Itu pula yang kamu fikirkan. Dia menganggur ke, dia tak bekerja ke,
semua tu bukan urusan kita, tapi urusan Allah. Sekarang ni memanglah kita
tengok dia macam tak ada kerja. Tapi siapa tahu, di masa depan rezeki dia lebih
melimpah-limpah daripada kita yang dah lama ada kerja ni. Ingat Ila. Rezeki tu
urusan Allah. Tugas kita hanya mencari dan berdoa. Bukan mempertikai apa yang
telah Dia tentukan.” Panjang syarahan Puan Zara.
Gadis
itu hanya tersenyum malu mengenangkan kebenaran kata-kata maknya. Nampak sangat
dia terlupa pada janji Allah kepada setiap makhluk-Nya yang rajin berusaha
hingga boleh pula dia berfikiran sebegitu. Segan Qaila kepada diri sendiri.
“Esok-esok,
kalau Ray ajak kamu kahwin, kamu terima sajalah ya? Lantaklah orang nak cakap
apa pun pasal dia. Mak tak ambil pusing. Asalkan agama dan tingkah dia elok di
mata hati mak, bab lain tu mak memang tak nak ambil tahu,” sambung Puan Zara
lagi. Kali ini dengan penuh harap.
“Mak
ni. Cakap macamlah si Ray tu pernah melamar Ila. Kenal sangat pun tidak,
tahu-tahu dah nak cakap pasal kahwin. Zaman dulu bolehlah bercinta lepas
kahwin. Zaman sekarang semua tu dah tak wujud mak.”
“Bukan
tak wujud, tapi kamu tu yang tak perasan. Dalam Islam pun kita digalakkan
kahwin dulu baru bercinta. Nak harapkan kamu nak bercinta dulu sebelum kahwin,
alamatnya sampai ke tualah mak tak merasa ada menantu lelaki.”
“Yalah
tu mak. Betul sangatlah apa yang mak cakap tu. Dahlah ya mak. Hari dah malam
sangat ni. Ila mengantuklah. Ila tidur dulu ya?” pinta Qaila sedikit manja.
Dia
tersengih bila Puan Zara menepuk lengannya semula.
“Sajalah
tu bagi alasan. Yalah. Yalah. Mak keluar sekarang. Jangan lupa baca doa sebelum
tidur. Karang mengigau yang bukan-bukan pula,” kata Puan Zara seraya bangun.
Dia berlalu keluar usai menutup suis lampu di tepi pintu bilik.
Qaila
yang sudah membaringkan diri di atas tilam hanya tersenyum. Hakikatnya, dia
sendiri senang dengan tingkah Ray. Dalam sombong dan bongkak lelaki itu, masih
ada peribadi indah dalam diri Ray. Ray tidak kekok bercampur gaul dengan
masyarakat kampungnya biarpun ini kali pertama lelaki itu datang ke sini. Ray tidak
merungut bila terpaksa menelan makanan yang tidak pernah dilihatnya sebelum
ini. Ray tidak mengeluh, malah dengan senang hati lelaki itu mengikut setiap
ajakan adik-adiknya.
Hanya
di depan Qaila lelaki itu sering kali menayang sikap berbeza daripada apa yang
dipamerkannya bila bersama mereka yang lain. Atas sebab apa Ray bertingkah
begitu, Qaila sendiri tidak mengerti. Tapi, Qaila tidak kisah dengan semua itu.
Asalkan Ray masih tidak melangkaui batas-batas kehidupan yang sepatutnya, Qaila
masih boleh menerima setiap kelakuan yang ditunjukkan lelaki itu.
Qaila
menepuk dahi tatkala akalnya terfikir sesuatu. “Isy... Apalah yang aku mengarut
ni? Tidur lagi bagus daripada fikir pasal encik penganggur tu.”
Qaila
terus menutup mata sebaik doa tidur dibaca. Moga-moga adalah mimpi indah yang
datang. Amin.
Nak tanye boleh tak???
ReplyDeleteSemua HEROIN dlm novel yang akak tulis tu, BERTUDUNG tak????