Followers

Sunday, 2 October 2016

BAB 1 - SAYANG AWAK ENCIK PENGANGGUR


Bab 1
“Almas!”
Qaila buat-buat tak dengar. Kakinya terus saja melangkah tanpa peduli pada panggilan itu.
“Oit Cik Almas!”
Kaki Qaila semakin laju.
“Qaila Nuralmas!”
Kali ini langkah Qaila terhenti dengan sendiri. Cepat saja kepalanya berpusing ke belakang. Tepat menghadap seorang lelaki bertubuh tinggi yang entah bila sudah berdiri di depannya.
“Almas, Almas. Dah tak ada nama lain ke yang awak nak sebut, hah?” marah Qaila sambil mencekak pinggang.
“Eh. Nama Almas tu kan nama awak jugak? Tak salah kan saya panggil awak dengan nama tu?” Selamba saja lelaki berambut panjang separas bahu itu menjawab. Sambil tersenyum pula tu.
Manis, namun masih tidak berjaya memaniskan wajah Qaila yang automatik akan menjadi masam setiap kali bersua muka dengan lelaki itu.
“Memanglah tak salah, tapi saya rimas tahu tak? Lagi satu. Berhenti daripada ekori saya. Saya tak suka, faham?” jerkah Qaila. Tajam matanya memandang lelaki itu yang tetap berlagak tenang itu.
Malah, selamba saja lelaki itu merenung lama-lama wajah Qaila. Gadis itu pula sudah berkali-kali mengalih mata ke arah lain. Marah bercampur malu dengan renungan itu. Tak pernah-pernah ada lelaki yang berani merenung dia sebegitu dalam. Entah apa yang menarik sangat pada mukanya pun, Qaila sendiri tak tahu sebab dia bukan jenis perempuan yang suka menilik muka sendiri di depan cermin.
“Saya peduli apa awak suka ke tidak. Yang penting, saya nampak awak selalu kat depan mata saya.”
Qaila menjuling mata ke atas. Dia ni, tak faham bahasa betul!
“Kalau saya ada selalu kat depan mata awak pun, awak nak buat apa? Nak bunuh saya?” Qaila cuba bertentang mata dengan lelaki itu dalam tempoh lebih lama.
Namun sebagaimana biasa, dia terus kalah walau hanya baru sesaat dua. Entah kuasa apa yang ada dalam diri lelaki itu, Qaila tak dapat meneka. Sehingga dia yang sentiasa bersikap tegas dan serius terhadap mana-mana lelaki pun boleh kalah sebegitu mudah. Tak suka sungguh dia dengan keadaan ini. Sangat-sangat tak suka!
“Isy, awak ni. Buat rugi saya aje bunuh perempuan cantik macam awak ni. Daripada tengok awak jadi mayat, baik buat jadi isteri. Ada jugak peneman tidur saya malam-malam. Ya tak?” Lelaki itu mengenyit mata sekali.
Gatal! Geram Qaila jadinya. “Banyak lagilah perempuan lain yang boleh awak ganggu. Kenapa saya jugak yang jadi mangsa awak?”
“Mangsa?” Kening lelaki itu terangkat sedikit. Dia tersenyum kemudian.
“Bunyinya macam saya dah buat sesuatu yang tak elok kat awak aje kan? Hmm, pasal tu awak jangan bimbang. Saya takkan buat apa-apa yang tak elok pada awak selagi kita belum ada apa-apa ikatan yang sah. Lainlah lepas kahwin nanti. Awak memang akan jadi mangsa saya pun.”
Panas muka Qaila sekejap. Bukan suka, tapi marah dengan kata-kata selamba makhluk Tuhan yang baru dilihat kelibatnya sejak seminggu dua lalu itu. Cakap macamlah mereka dah lama bercinta. Padahal sebelum ini jangankan wajah lelaki itu, bayang lelaki itu pun Qaila tak pernah nampak!
“Awak jangan nak cakap yang bukan-bukan ya. Saya karate awak nanti. Baik awak cakap. Kenapa awak ekori saya?” tanya Qaila garang.
“Sebab saya suka awaklah. Takkan itu pun awak tak faham?”
Semakin panas hati Qaila. “Awak ni memang sengaja cari pasal dengan saya, tahu tak?”
“Memang pun. Pasal cinta, apa-apa pun saya sanggup buat.”
Qaila rasa nak jerit kuat-kuat bila dengar jawapan ala-ala jiwang lelaki itu.
“Huh. Cinta konon. Baru seminggu dua kenal saya dah kata cinta. Ingat saya ni perempuan jenis apa? Senang-senang aje nak jatuh cinta dengan lelaki asing macam awak?” Qaila masih cuba sabarkan hati walau takat didihnya dirasakan sudah sampai ke tahap maksimum.
“Tapi saya ikhlas nak berkenalan dengan awak.”
“Jangan kata nak kenal, nak tengok muka awak pun saya tak berselera tahu.”
“Sekarang tak seleralah. Esok-esok bila kita dah kahwin mesti awak ada selera punya. Entah-entah awak dulu yang terkam saya nanti.”
Bengang Qaila dengan usikan selamba lelaki itu. Hingga tanpa sedar dia sudah menjerit marah.
“Eii, awak ni kan! Memang sengaja nak bagi saya naik anginlah! Dahlah. Malas saya nak layan awak lagi. Sekarang ni, baik awak pergi sebelum saya betul-betul rasa nak mengamuk. Karang tak pasal-pasal saya sumbat awak ke dalam lokap atas kesalahan mengganggu ketenteraman hidup saya,” ugut Qaila keras.
Dia sudah bosan nak teruskan perbualan mereka. Bukan saja buang masa, malah menyakitkan hati dia juga. Sebelum dia dihinggap penyakit darah tinggi gara-gara tak dapat kawal emosi sendiri, lebih baik dia halau saja lelaki itu jauh-jauh.
“Eleh. Setakat nak masukkan saya ke dalam lokap tu, perkara kecil aje bagi saya. Saya tak kisah pun, asalkan awak yang jaga lokap tu. Tapi kan, lagi baik kalau lokap tu hati awak. Confirm saya takkan keluar dari situ sampai bila-bila. Sumpah!”
“Huh! Merenyam!” Qaila terus berlalu meninggalkan lelaki itu.
Manakala lelaki itu hanya menjongket bahu dalam senyum. Langsung tidak terasa hati dengan kata-kata keras gadis itu.


“Kau kenapa Ila? Stres semacam aje aku tengok. Kau sakit kepala ke?”
Qaila yang memicit-micit kepala sendiri tersentak. Wajah Helen di depan meja kerjanya dipandang sekilas.
“Aku bukan saja sakit kepala, tapi sakit jiwa, sakit hati, sakit serba sakit, tahu tak?” balas Qaila sambil menyandar tubuh ke dada kerusi.
Terasa selesa dengan kedudukan begitu walau rasa berdenyut-denyut di dalam kepala tetap ada. Semakin bertambah adalah tatkala terpandang timbunan fail di depannya. Nampak sangat dia tak buat kerja sepanjang pagi ni. Huh!
“Amboi, Ila. Teruk benar bunyinya tu. Kau biar betul. Kau kenapa sebenarnya Ila?” Helen masih tidak puas hati.
“Aku peninglah Helen. Sejak aku diberi tanggungjawab untuk siasat kes pembunuhan Tan Sri Rashid tu, macam-macam berlaku kat aku. Tayar kereta aku pancitlah, badan kereta aku dicalar oranglah dan yang paling terbaru, ada seorang lelaki yang selalu ikut aku ke mana-mana pun aku pergi. Aku dah cuba siasat siapa dia. Tapi sampai sekarang aku belum dapat apa-apa maklumat pun pasal dia. Pelik betullah,” terang Qaila lebih pada mengadu.
“Lelaki? Entah-entah peminat kau tak?” Helen menayang sengih bila Qaila menjeling tajam.
“Huh. Tak ada maknanya aku ada peminat. Kau ingat aku ni siapa? Anak orang kaya? Artis? Orang kenamaan? Jauh sangatlah. Aku tak fikir dia saja-saja ikut aku. Mesti ada sebab dia buat macam tu.” Qaila mengetuk-ngetuk tepi bibir sendiri.
Bagai memikir gerangan manusia yang mula mengganggu hidupnya sejak kebelakangan ini. Boleh jadi lelaki itu adalah orang upahan seseorang, siapa tahu? Tapi kalaupun betul, kenapa lelaki itu bagai tak kisah saja dengan kemarahan yang Qaila tayang setiap kali mereka berjumpa? Atau itu adalah salah satu strategi lelaki itu supaya dapat mendekatinya dengan mudah?
Qaila hanya mampu mengagak tanpa dapat membuktikan kebenaran andaiannya itu.
“Kau tengok gaya lelaki tu bahaya ke tak?”
Soalan Helen menyentak Qaila daripada terus berfikir. Dia menggeleng pantas sebelum bahunya dijongket perlahan.
“Aku tak tahulah macam mana nak bagi tahu kau pasal dia tu. Nak kata dia berbahaya orangnya, aku tak nampak pun kat mana bahaya dia tu. Orangnya biasa-biasa aje. Kemas, bersih dan suka bergaya santai. Cuma adalah beberapa tingkah dia yang buat aku tak selesa bila kami bersama.
“Dia suka pandang aku macam nak telan. Kadang-kadang tu, dia senyum semacam aje kat aku. Buat aku rasa seram sejuk. Ada masa, biasa-biasa aje tingkahnya. Isy, tak tahulah aku macam mana nak terang keadaan diri makhluk Tuhan nan seorang tu,” rungut Qaila jelas bingung dengan situasi itu.
“Dia handsome tak Puan Qaila?” Gina yang duduk di meja bersebelahan Helen menyampuk tiba-tiba.
Seperti Helen, gadis kacukan Cina-Kadazan itu juga nampaknya berminat untuk ikut serta menjaga tepi kain Qaila. Sejak tadi, gadis itu hanya memasang telinga mendengar perbualan itu. Tapi nampaknya, dia sudah tidak mampu menahan diri daripada ikut sama terlibat dalam perbualan kedua-dua wanita itu.
Handsome?” Sambil memusing-musing kerusinya ke kiri kanan, Qaila berfikir sekejap.
“Pada saya, boleh dikategorikan handsome jugalah dia tu. Rambut dia lurus macam model iklan syampu. Panjang pula tu. Macam rambut perempuan, tapi sampai paras bahu sajalah. Tapi kan, kulit muka dia tu licin sangat tau. Jangan kata parut, jerawat pun tak ada. Kalah kulit orang perempuan. Mula-mula kenal dia dulu, saya fikir dia bapuk. Tapi perangai dia tak macam golongan tu pun.
“Nak kata gay pun tak boleh juga sebab cara dia tu macam dia tak berminat langsung pada kaum sendiri. Tapi, tak tahulah kalau-kalau dia bernafsu songsang dalam diam-diam. Nama pun manusia. Mana boleh kita teka semua tabiatnya walau sebangsa.” Beria-ia saja Qaila bercerita.
Bukan dia sudah jatuh suka dengan kehadiran lelaki itu. Dia sekadar mahu berkongsi kisah dengan rakan-rakan sepejabatnya. Manalah tahu kalau-kalau mereka dapat membantunya menyelesaikan kewujudan lelaki misteri itu. Bayangan lelaki yang sering kali mengganggunya itu kembali memenuhi ruang kepala. Cepat-cepat dia menghalau. Buat sendat otak saja!
“Oh... Jadi yang selalu mengganggu kau tu lelaki Melayulah ya?” Helen sudah menjongket-jongket kening. Senyum wanita itu pun dah semacam saja bentuknya.
Qaila hanya angguk. Malas nak menyahut.
“Alah, Ila. Kau layan ajelah dia. Mana tahu kalau-kalau dia tu jodoh kau. Tak payahlah kau susah payah nak cari jodoh lagi nanti. Kau sendiri pun masih belum ada sesiapa. Elok sangatlah tu.” Selamba saja Helen memberi cadangan.
Dia terkekeh ketawa sambil mengelak ke tepi bila Qaila terus membaling pen ke arahnya.
Choi! Cabul betul mulut kau ya? Doakan aku yang bukan-bukan,” marah Qaila dalam senyum.
Langsung dia tak ambil hati. Malah, dia sendiri tercuit hati dengan gurauan itu. Dia nak bertemu jodoh dengan lelaki misteri itu? Memang taklah!
“Tahulah aku ni tak cantik mana. Pandai pun tidak sangat sampai tak ada orang yang berkenan, tapi kalau ya pun janganlah doa aku dapat lelaki terlebih maco macam si Ray tu. Tak nak aku menghadap muka terlebih handsome tu siang malam.”
“Ooo... namanya Ray. Sedap nama tu Puan Qaila. Pendek dan senang untuk diingat. Saya fikirlah puan, mesti orangnya segak dan bertubuh tinggi, kan? Hah. Kalau macam tu, memang sesuai sangatlah dengan puan yang tinggi, tapi kecil molek aje ni.” Gina tak ketinggalan menggiat.
Dia terus tersengih bila Qaila membulat mata ke arahnya.
“Hah, kamu jangan nak pandai-pandai menambah rencah, Gina. Karang dengan kamu sekali saya baling pen nanti.” Qaila pura-pura marah.
“Kau orang ni dah kenapa? Riuh mengalahkan duduk dalam pasar. Sampai ke luar boleh dengar suara kau orang bertiga.” Isma menyampuk tiba-tiba.
Lelaki berpangkat setaraf Qaila itu baru saja menapak masuk ke situ. Ada sebuah fail di tangannya.
“Tak ada apalah tuan. Kami hanya bergurau senda sesama sendiri. Nak ambil mood bekerja untuk tengah hari ni,” sahut Gina sopan, tanda hormat.
“Yalah tu kamu. Macamlah saya boleh percaya cakap kamu tu,” sahut Isma sambil mengerling sekilas gadis itu.
Dia terus menghampiri meja Qaila yang kembali menyandar tubuh di kerusi. Fail di tangan disuakan kepada Qaila.
“Apa ni?” Sambil bertanya, tangan Qaila tetap menyambut. Diselak-selaknya seketika.
“Fail berkaitan dengan kes Tan Sri Rashid tulah. Aku baru ambil dari meja ASP Rahim tadi.”
Qaila mengangguk dengan mata tekun meneliti butiran-butiran maklumat di dalam fail.
“Jadi, macam mana dengan perkembangan kes tu sekarang?” Helen menyampuk tanya. Agak serius kali ini.
“Masih di tahap yang sama. Walau pihak atasan tidak meletak masa yang khusus untuk kita selesaikan kes ini secepat mungkin, tapi kita tak boleh pandang sebelah mata aje. Pihak atasan akan tetap meminta penjelasan berhubung perkembangan kes ni bila-bila masa saja,” tegas Isma diikuti anggukan Qaila, Helen dan Gina hampir serentak.
Faham dengan keterangan ringkas lelaki itu.
“Qaila, kau free tak sekarang?” tanya Isma terus duduk di kerusi berdepan meja kerja Qaila tanpa disuruh-suruh.
“Amboi, tuan. Nak ajak Puan Qaila pergi dating ke?” usik Gina sudah tersengih-sengih.
Mereka berempat berada dalam satu pasukan bersama beberapa pegawai yang lain. Gurau senda sudah menjadi mainan mereka bila berkumpul bersama seperti sekarang, namun masih dalam keadaan terkawal. Apatah lagi Isma dan Qaila sendiri tidak pernah ambil kisah dengan keadaan itu biarpun mereka berdua sering dijadikan bahan usikan Helen dan Gina.
“Awak ni Gina. Tak ada maknanya saya nak ajak kawan baik saya ni pergi dating. Ada kerja yang perlu kami lakukan sekarang.” Dalam senyum, Isma tetap mempamer lagak tenang dan bersahajanya sebagaimana selalu.
“Kau nak ajak aku pergi mana Is?” Tanpa peduli pada usikan Gina, Qaila terus menyoal.
Dalam keadaan kepalanya masih sakit seperti sekarang, dia tiada rasa mahu bergurau senda. Dia bangun daripada duduk. Fail di tangan dicampak ke tepi meja. Dia sendiri sudah bosan berada di meja sendiri tanpa berbuat apa-apa selain daripada berfikir dan berfikir tentang beberapa kes yang ada dalam siasatannya.
Sambil-sambil itu, dia membetulkan kedudukan tudung dan kemeja di tubuhnya. Biarpun penampilannya ringkas, namun kekemasan itu adalah satu perkara yang cukup dititikberatkan Qaila sejak dulu.
“Kita ke Emerald Rash Group. Aku nak ambil keterangan setiausaha dan kakitangan-kakitangan syarikat tu sekali lagi. Kalau boleh dengan lebih teliti kali ini. Manalah tahu, kita boleh dapat maklumat terbaru berkaitan dengan kes ni,” sahut Isma tegas. Dia sendiri ikut serta bangun.
“Hmm, okey juga tu. Aku pun sebenarnya memang nak ajak kau ke sana kejap lagi. Nak ajak kau pergi pagi tadi, kau ada mesyuarat dengan pihak atasan pula. Dah kau ajak pergi sekarang, mudah lagilah kerja aku jadinya.” Qaila terus setuju.
So, tunggu apa lagi? Jomlah kita.” Isma terus melangkah keluar.
Qaila mengikut dari belakang. Sempat dia menoleh bila Gina memanggil.
“Selamat berdating puan. Moga-moga ada khabar baik yang puan bawa balik nanti.” Gina mengenyit mata nakal.
Dia tersengih sama seperti Helen yang ikut serta menayang gigi dalam diam.
Qaila menjegil mata.
“Buat kerja!” arah dia sebelum terus menghilangkan diri.

Gina dan Helen hanya terkekeh ketawa. Mereka berdua nak kecil hati dengan tingkah Qaila yang tegas dan garang, tetapi baik hati itu? Memang taklah jawabnya!

No comments:

Post a Comment