Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 10



10
“Cuti hari ni, bro?
Tengku Aamir Budriez mendongak kepala. Memandang Tengku Khalid yang entah bila berdiri di tepi kolam. Lelaki itu sudah melangkah menuju ke kerusi rehat yang ada di sudut ruang. Tengku Aamir Budriez yang masih di dalam kolam segera ke tepi sebelum memanjat tebing. Tak lama, dia sudah mendapatkan Tengku Khalid.
“Kau dari mana ni?” soal Tengku Aamir Budriez. Dia mencapai tuala di kepala kerusi rehat. Dilap tubuh basahnya. Dua jam berenang di kolam menyegarkan tubuh tegapnya yang jarang-jarang mendapat rehat yang cukup kebelakangan ini.
“Dari tempat kerja. Tadi aku pergi pejabat, kau tak ada. Kau tak kerja ke hari ni?” soal Tengku Khalid. Dia menyandar tubuh ke kerusi. Lenguh setelah seharian memerah tenaga bekerja.
“Kerja, tapi separuh hari aje. Letihlah, bro. Banyak kerja yang aku perlu selesaikan kat pejabat tu dua tiga hari ni. Nak harap kau tolong aku, kau tak minat pulak,” sahut Tengku Aamir Budriez. Sempat lagi dia menyindir sepupu lelakinya nan satu itu.
Tengku Khalid tersenyum lebar.
Sorrylah, Aam. Aku memang tak minat nak kerja dalam bidang hartanah. Bukan aku tak nak cuba, tapi aku tahu memang aku tak boleh. Lagipun aku tak macam kau, cekap dan berpengalaman luas. Setakat jadi interior designer, naklah aku,” ujar Tengku Khalid. Dia langsung tidak terasa dengan kata-kata lelaki itu.
Tengku Aamir Budriez hanya mencebik. Sudah lali mendengar alasan yang sama diluah Tengku Khalid setiap kali perkara itu dibangkitkan.
Sesekali timbul rasa kasihan Tengku Khalid terhadap Tengku Aamir Budriez. Sejak dulu, hanya sepupunya itu yang sanggup meneruskan legasi syarikat yang ditubuhkan oleh arwah datuk mereka. Selaku anak sulung, arwah ayahanda Tengku Aamir Budriez mengambil alih perniagaan hartanah keluarga setelah arwah datuk mereka meninggal dunia. Namun, tak lama sebelum lelaki itu pula meninggal dan syarikat diambil alih oleh Tengku Wahid, ayah saudara bongsu mereka. Setelah Tengku Aamir Budriez pulang ke tanah air sebaik tamat pengajian di luar negara, syarikat itu diserahkan kepada dia sepenuhnya memandangkan Tengku Wahid mempunyai dua syarikat miliknya sendiri.
Manakala Tengku Khalid, satu-satunya sepupu lelaki yang Tengku Aamir Budriez punyai, lebih selesa menguruskan syarikat rekaan dalaman yang ditubuhkan sejak dia menamatkan pengajiannya dulu.
“Ialah tu, Khal. Aku faham. Tak guna aku paksa kau kerja kat syarikat tu kalau kau tak suka. Nasib akulah kena uruskan semuanya seorang diri. Tapi, aku tak kisah sebab aku tahu, setiap orang ada minatnya sendiri. Apa pun, aku bersyukur sebab kau dan Ayahanda Wahid sentiasa ada setiap kali masalah timbul kat syarikat tu,” ujar Tengku Aamir Budriez. Sangat-sangat berterima kasih dengan pertolongan mereka.
Biarpun masing-masing punya tanggungjawab besar terhadap syarikat sendiri, namun Tengku Khalid dan Tengku Wahid tidak melepas tangan begitu saja. Keadaan itu juga menjadi sebab Tengku Aamir Budriez sanggup memegang amanah meneruskan perniagaan keluarga mereka walau dia sendiri hakikatnya mempunyai impian untuk membuka perniagaan sendiri satu ketika dulu.
“Dah nama pun saudara, Aam, kenalah tolong-menolong. Tapi, aku tolong setakat mana yang aku mampu ajelah. Lain daripada tu, aku serahkan pada kaulah. Kau kan CEO syarikat, kau yang lebih layak uruskan semuanya,” sahut Tengku Khalid sebelum melilau mata ke sekeliling.
“Dah petang sangat ni. Isteri kau mana? Tak balik kerja lagi ke?” soalnya. Dia kembali meletak mata ke wajah sepupunya. Lelaki itu merengus.
“Kau tahu sajalah perangai Azreen tu. Selagi tak tengah malam, selagi tulah tak nampak bayang dia kat rumah ni. Nak kata aku tak tegur, dah berbuih-buih mulut aku nasihatkan dia. Mesej, call, tak payah cakaplah. Habis crredit handphone aku kat dia aje. Bukan nak berkira, tapi aku geram. Sikit pun dia tak hormatkan aku sebagai suami,” ujar Tengku Aamir Budriez lebih kepada mengadu. Sakit hati mengenang sikap Azreen yang tak pernah-pernah berubah sejak awal perkahwinan mereka.
“Mesti ada caranya untuk kau lembutkan hati batu dia tu, Aam. Cuma belum sampai masanya lagi, tapi kau jangan cepat putus asa. Selalulah berdoa Am moga-moga kau temui cara untuk lembutkan hati isteri kau tu.” Sebagaimana biasa, Tengku Khalid tetap tidak lokek memberi nasihat.
“Aku tahu, Khal, tapi dah tiga bulan jadi aku dan Azreen jadi suami isteri. Keadaan kami tetap macam ni jugak. Seorang kat barat, seorang kat timur. Sampai bila nak jadi begini pun tak tahulah,” keluh Tengku Aamir Budriez.
Tubuhnya yang tidak berbaju disandar ke kepala kerusi. Mata pula menerjah ke tengah kolam renang yang kembali tenang, bagai tidak pernah terusik. Berharap moga-moga tasik hatinya juga setenang air di kolam itu.
“Sekali-sekala aku terfikir jugak. Mungkin inilah balasan Allah pada aku kerana selalu permainkan hati perempuan selama ini. Pelik, kan? Dalam ramai-ramai perempuan yang aku kenal, tak kiralah anak dara ke, janda ke, andartu ke, tak ada seorang pun yang melekat dengan aku. Tup-tup, Azreen yang tak ada kena-mengena dengan aku pulak yang jadi isteri aku. Dahlah perangainya tu pun langsung tak sama dengan semua perempuan yang pernah aku damping dulu. Jangan kata nak manja, nak senyum kat aku pun susah. Dengan keras kepalanya, degilnya yang amat, tak dengar cakap pulak. Mulut dia tu lagilah, celopar tak ingat! Harap fizikal aje cantik, tapi perangai dia, ya Rabbi. Kadang-kadang tu tercabar jugaklah kesabaran aku bila bercakap dengan dia. Tapi, nak buat macam mana. Dah nama pun isteri. Macam mana buruk sekalipun perangai dia, terpaksalah aku terima jugak.”
“Salah kau fikir macam tu, Aam. Ini bukan balasan Allah terhadap perangai buruk kau dulu tu, tapi ini adalah ujian Dia untuk kau. Jangan kau nak salahkan diri kau saja. Dalam hal ni, salah perempuan-perempuan yang gilakan kau tu jugak. Kalau dia orang tu kuat iman dan pandai jaga diri sendiri, tak adanya dia orang nak tergoda dengan perangai kasanova kau tu. Selama ni pun kau hanya mainkan hati dia orang. Taklah sampai kau pernah rosakkan dia orang atau apa-apakan dia orang, kan? Jadi kenapa kau nak salahkan diri kau pulak atas apa yang berlaku.
Tentang Azreen, aku rasa memang Allah dah tentukan dia jodoh kau. Cuma sebelum tu Dia nak uji sama ada kau betul-betul ikhlas berubah atau hangat-hangat tahi ayam aje. Yalah, selama ni kan kau dah masak benar dengan perangai orang perempuan. Jenis perempuan apa yang tak pernah digoda kau? Lemah lembut? Manja tergedik-gedik? Miang-miang keladi tak payah cakaplah, tersangat-sangatlah ramai walau masing-masing buat-buat jual mahal masa mula-mula kenal. Jadi bila dah dapat isteri sebeku bongkah ais, nak tak nak kau kenalah bentuk dia, tapi berpatut padanlah. Jangan pulak kau paksa dia buat apa yang dia tak suka semata-mata kau nak dia jadi isteri impian kau,” nasihat Tengku Khalid panjang lebar.
Bagai dia sudah banyak pengalaman berumah tangga. Tapi, tak semestinya baru berkahwin baru tahu tentang hal dunia perkahwinan. Mata kan ada, bacalah buku yang berkaitan. Tak saja kisah rumah tangga, macam-macam kisah pun ada dalam dunia ilmu. Sebab tu tidak rugi kalau minat membaca. Banyak pengetahuan yang kita dapat. Bukankah Islam pun menggalakkan umatnya menambah pengetahuan tak kira masa? Dapat pahala lagi.
“Aku tak paksa dia pun dia tetap macam tu jugak, Khal. Buatlah apa pun, tak adanya dia nak bagi respons. Kalau aku paksa dia bercakap samalah macam aku menjolok sarang tebuan aje. Menyengat tak ingat! Berhari-hari jugaklah aku nak sejukkan hati terbakar aku ni. Hei…aku sendiri pun tak tahulah lama mana lagi aku boleh bersabar dengan tingkah isteri aku tu. Kalau lelaki lain, dah lama rasanya Azreen kenyang makan penampar. Itu pun dia tak tahu bersyukur dapat suami sesabar aku ni.”
“Jangan esok-esok kau tak sabar nak terkam dia sudahlah, Aam. Isteri kau tu memang biadab perangainya, tapi kalau kau tenung lama-lama muka ala-ala Angelina Jolie dia tu, boleh meleleh jugak air liur kau tu tau,” usik Tengku Khalid. Sengaja mahu membentuk senyuman pada wajah suram lelaki itu. Namun, nyata gagal bila mana wajah itu tetap sama riaknya. Bahkan lebih kelat daripada tadi.
“Kau tak cakap pun aku dah tau, Khal, tapi apa boleh buat. Orang dah tak sudi bagi. Takkan aku nak terkam jugak. Kalau tak melawan lain ceritalah. Ini dah macam singa betina aje perangai isteri aku tu. Jangan kata nak peluk, nak cuit pun belum tentu dia izin tau. Punyalah dia menyinga dengan aku,” cebik Tengku Aamir Budriez.
Tak ada niat hatinya nak menjaja keburukan isteri pada sesiapa. Namun, sebagai manusia, dia tak dapat lari daripada merasa sakit bila hati digores orang tersayang.
“Bonda pula langsung tak berkenan dengan Azreen. Pantang tengok muka aku kat rumah, ada saja laporan dia nak bagi pasal isteri aku. Azreen tarik mukalah, Azreen biadab sangatlah dan macam-macam lagilah sampai dah tuli telinga aku nak dengar semua tu. Itu baru bonda. Belum masuk laporan dia orang yang lain pulak. Senang cakap semua orang dalam Teratak Indah ni memang tak suka langsung kat isteri aku. Tapi, nak salahkan dia orang pun tak boleh jugak. Azreen sendiri tak pernah nak jaga hati dia orang selama kami kahwin ni. Entah apa yang dia marahkan sangat pada kami pun tak tahulah aku,” keluh Tengku Aamir Budriez lagi.
Kadangkala terlintas di kepala Tengku Aamir Budriez, besar sungguhkah kesalahannya hingga benci benar Azreen kepadanya? Memang dia akui, memang salahnya mereka ditangkap berkhalwat. Salahnya juga kerana langsung tidak membantah apabila diminta berkahwin dengan Azreen dan salahnya juga kerana memaksa Azreen tinggal di Teratak Indah bersama keluarganya selepas berkahwin.
Tapi, bukankah dia sudah dan terus-terusan berusaha untuk menebus semuanya dengan melayan Azreen lebih daripada sepatutnya? Segala tingkah buruk, Tengku Aamir Budriez telah membuangnya ke tepi. Dia juga tidak pernah lagi melayan mana-mana perempuan yang ingin mendampinginya. Dia telah tinggalkan segala-galanya demi Azreen, isteri yang kini menjadi ratu hatinya sepenuhnya. Jadi di mana lagi kurangnya dia hingga sampai sekarang Azreen masih tegar dengan sikap dinginnya? Bingung Tengku Aamir Budriez memikirkannya.
“Mungkin kau boleh siasat sebab musabab Azreen jadi macam tu. Mana tahu, kau akan dapat jawapannya nanti.”
“Maksud kau?” soal dia, agak tertarik dengan cadangan itu.
“Kau sendiri kata Azreen sendiri tak pernah nak jaga hati saudara-mara kita selama kau orang berkahwin ni. Aku rasa, dia ada sebabnya sendiri kenapa dia bersikap macam tu dan aku rasa, semua tu dia lakukan hanya pada kita sekeluarga saja, bukan pada orang lain. Kalau tidak, macam mana dia boleh bertahun-tahun bekerja kat tempat kerja dia tu? Nak kata dia biadab, dia layan baik semua kanak-kanak. Nenda kita sendiri pun sayang sangat kat Azreen. Siap puji Azreen lagi setiap kali nenda datang ke sini. Jadi aku yakin, mesti ada sesuatu yang kita semua tak tahu tentang Azreen,” hujah Tengku Khalid meluah pendapat sendiri.
“Kau rasa kenapa ya dia buat sikap begitu pada kita?” soal Tengku Aamir Budriez setelah berfikir kebenaran kata-kata lelaki itu beberapa saat.
Tengku Khalid mengangkat bahu. “Aku tak tahu, tapi itulah yang perlu kau siasat sekarang. Barulah kau tahu kenapa Azreen bersikap biadab macam tu pada kita semua, terutamanya pada kau, suami dia sendiri.”

Tengku Aamir Budriez terdiam. Akalnya kembali ligat berfikir. 

ISTERIKU HATI BATU - BAB 9



9
“Sorang saja, bonda?”
Perhatian Datin Badriah teralih dari kotak televisyen. Tersungging senyumnya tatkala terpandang Tengku Aamir Budriez menapak turun dari tingkat atas rumah.
“Mana yang lain? Tak nampak bayang pun?” tanya Tengku Aamir Budriez lagi. Dia terus merebah tubuh di sisi wanita kesayangannya.
“Khalid dah balik. Ayahanda Wahid suami isteri ke majlis keraian kawan dia orang. Hana dah keluar dengan suami dan anak-anaknya. Dia orang makan kat luar malam ni. Hani dan suaminya pulak dah bawa balik anak-anak dia orang ke rumah mertuanya petang tadi sebab esok lusa keluarga mertua dia nak buat kenduri kesyukuran. Nanti kita pergilah ya?”
“Dia orang jemput kita sekali ke kenduri tu?”
“Dah nama pun keluarga, mestilah dia orang jemput kita jugak. Cuma lewat sikitlah bonda pergi kenduri dia orang tu nanti. Ada perkara lain yang bonda nak selesaikan sehari dua ni.”
Tengku Aamir Budriez hanya mengangguk. Pandangannya sudah terbenam di kotak televisyen ketika ini.
“Aam, kalau bonda cakap sesuatu, kamu jangan kecil hati ya?” Datin Badriah bersuara semula selepas itu.
Memandang wajah tenang Tengku Aamir Budriez, Datin Badriah menjadi kasihan. Tidak sanggup pula rasanya dia nak meluah perkara yang selalu bermain di fikirannya. Tengku Aamir Budriez memang sentiasa kelihatan tenang, namun sebagai bonda, Datin Badriah mengerti rasa hati anak tunggalnya itu setiap kali perkara itu dibangkitkan. Tapi, kepada siapa lagi yang patut dia suarakan jika bukan kepada Tengku Aamir Budriez? Walau dia tahu bukan sepenuhnya salah lelaki itu perkara itu wujud dalam keluarga besar mereka.
Datin Badriah tersentak apabila lengannya diusap-usap lembut.
“Bonda ni kenapa? Kata nak cakap sesuatu. Ni termenung pulak dia.” Terluah tawa kecil Tengku Aamir Budriez. Tercuit hati melihat bondanya bagai kehilangan tingkah saat ini. Teragak-agak meluah suara walau itu yang ingin dilakukan wanita itu tadi.
Datin Badriah tersenyum kelat. Macam tahu-tahu aje anak aku ni. Malu juga dia ditangkap dalam keadaan begitu walau riak wajah anaknya hanya biasa-biasa.
“Aam, bonda nak cakap sikit pasal Azreen.” Malas bertarik tali, Datin Badriah berterus terang.
Tengku Aamir tersenyum hambar. Dah agak dah. Tak ada perkara lain bonda nak cakap selain pasal Azreen.
“Kenapa dengan Azreen, bonda?” Lembut saja Tengku Aamir Budriez bertanya walau hati sudah berkali-kali mengeluh. Sabar ya, hati, pujuknya diam-diam.
“Bonda minta maaf, Aam. Bonda tahu, dah banyak sangat keburukan Azreen yang bonda ungkitkan. Tapi, lebih baik bonda berterus terang daripada bonda diamkan diri. Bukan bonda tak suka bermenantukan Azreen. Tapi, kadang-kadang bonda tak sanggup nak berdepan dengan isteri kamu tu. Kita ni hidup berkeluarga, Aam. Kalau ya pun Azreen tak suka sanak saudara kita, janganlah ditunjuk-tunjuk sangat rasa tak suka tu. Paling tidak cubalah senyum sekali-sekala. Sejuk jugak mata memandang pun. Sebelum keadaan menjadi semakin teruk, kamu tergurlah isteri kamu tu ya, Aam.”
Banyak lagi sebenarnya yang ingin dirungutkan Datin Badriah, tapi dia memilih untuk berbicara sampai di situ saja. Dia tidak pernah mengasuh dirinya dan Tengku Aamir Budriez untuk mencanang keburukan orang lain, apalagi keburukan ahli keluarga sendiri. Memang kehadiran Azreen dalam keluarga besar mereka bukan atas kehendaknya walau dia adalah antara yang bertanggungjawab menyimpul kedua-duanya dalam ikatan perkahwinan.
Bukan menghukum, tetapi mengajar Azreen dan Tengku Aamir Budreiz bertanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri. Bahkan sampai ke hari ini Datin Badriah cuba membuka hati untuk menerima Azreen sepenuhnya walau Azreen bagai tidak sudi menerima keterbukaan itu. Seringkali pula menantunya itu mencalar hati Datin Badriah hingga kadangkala tercabar juga kesabarannya sebagai sebagai ibu yang tidak pernah meletakkan syarat-syarat khusus dalam menerima sesiapa saja pilihan Tengku Aamir Budriez sebagai isteri.
Terkalih arah mata Datin Badriah bila Tengku Aamir Budriez mengeluh. Tidak panjang, tapi seakan-akan berat untuk diluahkan.
“Aam bukan tak mahu tegur, tapi bonda sendiri pun tahu kan sikap Azreen. Pantang ditegur, melenting terus. Jauh sangatlah nak dengar cakap Aamir walau sepatah pun. Kalau sekali-sekala dia begitu boleh lagilah Aamir bersabar. Tapi, kalau dah selalu, mahu berperang jugak kami jadinya.” Tanpa segan Tengku Aamir Budriez membuka pekung rumah tangga dia dan Azreen.
Dia dan Datin Badriah, tidak pernah ada rahsia. Sejak sebelum kehilangan ayahanda tercinta ketika remaja lagi dia sudah diasuh untuk berkongsi dan meluah rasa dengan bonda tercinta. Apa saja yang membelenggu minda dan hati, diluahkan saja kepada bondanya yang tak pernah bersikap tertutup dalam setiap perkara. Meski kadangkala tiada jalan penyelesaiannya, namun hati jarang-jarang tidak berasa tenang. Cukup dengan pandangan dan nasihat yang diberikan bondanya, hati yang panas membara pun pasti boleh sedingin air pergunungan selepas itu.
“Isteri kamu tu cantik orangnya, Aam. Sangat cantik sebenarnya, tapi sayang sungguh perangainya tu langsung tak cantik. Bahasanya tu, tak pernahnya sedap didengar telinga kita. Muka tak payah katalah, memang tak pernahnya manis. Tapi, hairannya, dengan budak-budak dan orang tua tahu pulak dia nak cakap elok-elok. Dengan kita ni aje yang dibuat macam dirinya tu tunggul kayu. Langsung tak ada perasaan...” Tak jadi Datin Badriah menyambung rungutannya apabila tiba-tiba Azreen muncul di muka pintu yang sengaja dibuka luas-luas sedari awal malam. Sekadar menjemput masuk angin malam ke ruang tamu yang sememangnya dijadikan ruang santai buat mereka sekeluarga.
“Lewat Reen balik malam ni. Reen ke mana?” Lembut saja Tengku Aamir Budriez bertanya walau telinga dan hati bagai baru dibakar dengan rungutan bondanya. Biar telah lali, tapi sebagai suami, hatinya tetap dicuit sakit bila buruk isterinya dijaja orang lain meski semua itu bukan rekaan sesiapa.
Azreen tidak menyahut. Dia mahu terus ke tingkat atas. Tapi, panggilan Tengku Aamir Budriez kedengaran lagi.
“Azreen, dengar tak abang tanya ni? Reen pergi mana sampai begini lewat baru balik rumah?” Suara Tengku Aamir Budriez sudah bertukar tegas. Tercuit juga sabarnya melihat sikap acuh tak acuh Azreen. Bagai dia bukan siapa-siapa di mata wanita itu. Sempat matanya mengerling menara jam di sudut ruang. Pukul 11.00 malam.
“Pergi mana lagi kalau bukan duduk kat pejabat tu.”
Tengku Aamir Budriez merengus kesat. Tak suka sungguh dia mendengar nada suara Azreen ketika ini. Bukan saja kasar, tapi menyakitkan hati juga. Tanpa lengah dia bangun mendapatkan Azreen. Isterinya itu hanya membuat muka selamba.
“Kalau betul Reen pergi kerja takkanlah dah begini lewat baru Reen sampai ke rumah? Apa banyak sangat ke kerja kat pejabat tu sampai tiap-tiap malam Reen terpaksa balik lewat?”
“Kerja apa yang tak banyak dalam dunia ni, Tengku?”
Tengku Aamir Budriez menghelas nafas pula. Biar sakit hatinya bertambah-tambah mendengar jawapan sinis itu dia tetap cuba memujuk hati. Dia tak mahu hati yang sudah membara bertukar menyala-nyala hanya kerana dia tidak dapat mengawal amarah sendiri.
“Kalau Reen sedar, sejak kita kahwin sampailah sekarang, tak ada satu malam pun Reen balik awal ke rumah. Reen tahu tak, abang risau sangat-sangat fikirkan keadaan Reen kat luar tu. Reen makan apa, dengan siapa, kat mana, buat apa dan macam-macam lagi yang abang fikirkan. Kalau ia pun Reen nak balik lewat, bagi tahulah abang. Tak adalah abang nak pening-pening kepala fikir pasal Reen 24 jam.” Nada suara Tengku Aamir Budriez bertukar rentak. Lembut pula. Sekadar menunjuk rasa prihatin dan timbang rasanya.
“Ada ke saya suruh Tengku buang masa fikirkan keadaan saya? Hah? Tak payahlah Tengku nak susah payah nak risaukan saya. Diri saya, tahulah saya jaga sendiri. Tengku jaga hal Tengku sudah. Tak payah nak sibuk-sibuk mengambil tahu hal saya pulak.”
“Azreen! Aamir tu suami kamu. Cubalah hormat sikit bila bercakap dengan dia. Jangan nak bersikap kurang ajar pada suami sendiri!” Datin Badriah terus menyampuk. Hatinya ikut berang saat ini.
Sudah selalu sangat Azreen bersikap biadab kepada semua orang dan sebagai mertua, dia tidak pernah menegur kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tapi, tidak malam ini. Biarpun salah Tengku Aamir Budriez sendiri yang memilih memperisterikan Azreen, tapi sebagai ibu, dia tetap tidak sanggup melihat maruah anaknya sebagai suami dipijak-pijak isteri sendiri.
“Huh! Tak guna saya cakap elok-elok dengan orang yang tak reti bahasa macam anak Datin ni. Dah saya kata banyak kerja, maknanya tak sikitlah kerja yang perlu saya siapkan kat pejabat tu. Itu pun susah sangat nak faham ke?” bidas Azreen.
Jika kepada Tengku Aamir Budriez, suami sendiri pun dia tak pernah menyimpan rasa hormat, apatah lagi kepada Datin Badriah yang bergelar ibu mertuanya itu. Kirim salam! cemuh hatinya.
“Azreen! Kamu jangan terlalu biadab ya? Buruk mana suami kamu, dia tetap suami kamu dan sebagai isteri, kamu jangan sesekali cuba menderhaka. Berdosa besar hukumnya seorang isteri melawan cakap suami. Tak bau syurga kamu nanti tahu!” Marah sungguh Datin Badriah kepada menantunya nan satu ini hingga terbata-bata setiap patah katanya.
“Bukan saya yang biadab, tapi anak Datin yang kurang ajar. Silap Datin jugak sebab tak pandai ajar anak sendiri. Kalau betul-betul dia cukup diajar tak adalah dia tak faham dengan apa yang saya cakapkan?”
“Azreen!”
“Aamir!”
Hampir-hampir saja telapak tangan kasar Tengku Amir melekap di pipi Azreen jika Datin Badriah tidak turut menjerit tinggi.
“Jangan, Aamir! Bukan begitu caranya nak mengajar isteri!” Cepat-cepat Datin Badriah memeluk Tengku Aamir Budriez. Tubuh sasa itu sudah menggigil seluruh badan.
Nyata marahnya terhadap isteri sudah sampai ke kemuncak. Apa lagi Datin Badriah mampu lakukan selain mengeratkan pelukan. Dia tidak mahu suasana tegang itu terus keruh dengan tindakan tidak bijak Tengku Aamir Budriez hanya gara-gara lelaki itu tidak mampu lagi mengawal suhu kemarahannya.
“Azreen, minta maaf pada suami kamu sekarang. Cepat!” perintah Datin Badriah kembali menghala mata kepada menantunya.
Melihat wajah selamba Azreen, mahu saja Datin Badriah bertanya, daripada apa hati Azreen diperbuat hingga wanita itu kelihatan langsung tak berperasaan saat ini. Bukan saja saat ini, bahkan setiap waktu Azreen beriak begitu. Selamba dan bersahaja.
“Huh!” Sinis sepatah kata itu terluah dari mulut Azreen sebelum dia berlalu pergi.
Meninggalkan kedua-dua beranak itu mengepung marah yang pastinya takkan surut dalam tempoh yang singkat. Perlahan-lahan Tengku Aamir Budriez meraup wajahnya. Sabar yang hilang dibawa arus marah dipancing kembali dengan ucapan istighfar beberapa kali.
“Maafkan Aam, bonda. Kerana dosa Aam bonda terpaksa terima Azreen menjadi menantu bonda. Kerana kesalahan Aam bonda terpaksa tanggung semuanya. Tolong ampunkan Aam, bonda, ampunkan Aam,” pintanya lemah. Tanpa silu tubuh tua itu dipeluk erat-erat bagai tak ingin dilepas lagi. Biar rasa sakit di hati tetap tak hilang, tapi Tengku Aamir Budriez juga tak dapat nafikan, hatinya akan tenang apabila berada dalam pelukan wanita kesayangannya itu.
“Jangan minta ampun daripada bonda, Aam. Kamu tak buat salah apa-apa pada bonda. Dah tertulis dalam takdir Azreen jodoh kamu. Kamu perlu bentuk dia jadi isteri yang baik kerana itu tanggungjawab dan kewajipan kamu terhadap dia. Tapi, bukan dengan cara yang menyakitkan tubuhnya. Ada banyak lagi cara yang boleh kamu gunakan untuk lembutkan hati dia, Aam,” pujuk Datin Badriah. Dia mengusap-usap lembut tubuh anaknya.
Tak pernahnya berubah cara pujukannya, sebagaimana anak itu kecil-kecil dulu biar usia Tengku Aamir Budriez sudah lama melebihi paras 30-an. Biar hatinya sendiri masih sakit dilapah Azreen sebentar tadi, tapi dia takkan sesekali menambah kesakitan lelaki itu yang pasti lebih terluka.
“Tapi, Aam dah putus asa, bonda. Aam dah tak tahu macam mana caranya nak ubah perangai Azreen tu. Tiga bulan kami kahwin, tiga bulan jugak Aam cuba bersabar dengan perangainya, tapi sampai sekarang dia tetap tak berubah. Makin menjadi-jadi adalah,” rungut Tengku Aamir Budriez. Dalam marah terpujuk juga dia dengan kelembutan kata-kata bondanya yang tidak jemu-jemu memberi nasihat.
“Aamir, dengar cakap bonda, nak. Walau seburuk mana pun perangai Azreen, kamu kena terima dia seadanya. Jangan cepat berputus asa hanya kerana kamu gagal selepas beberapa kali mencuba. Untuk menjadi pemenang, kita tak boleh mendidik diri kita menjadi pengalah. Tapi, setiap kekalahan yang kita pernah hadapi, kita perlu jadikannya sebagai pengajaran untuk meraih kemenangan di depan hari.

Begitu jugak caranya kalau kamu nak mengubah Azreen. Kalau baru sekali dua kamu gagal dan terus mengalah, bila masanya kamu akan dapat mengubah dia? Patutnya kamu kena lihat semula kegagalan yang kamu lalui tu. Cari sebab yang menggagalkan usaha kamu. Dalam masa yang sama, jangan lupa berdoa kepada Allah agar usaha kamu dipermudahkan Dia. Ingat, Aam. Tak ada kejayaan yang datang bergolek tanpa adanya usaha keras. Jika hati Azreen dibentuk daripada batu sekalipun, pasti suatu hari nanti akan terlekuk jugak andai kamu tak jemu menitik air.”

ISTERIKU HATI BATU - BAB 8



8
“Alhamdulillah… Settle jugak semua kerja aku,” ujar Tengku Aamir Budriez puas hati. Dia menutup fail yang sejak tadi dibuka luas-luas depannya. Lalu bangun membuat regangan sebelum menapak meninggalkan ruang kerja.
Dia masuk ke ruang tidur. Bersebelahan saja dengan ruang kerja. Dibuang pandangannya ke setiap sudut. Tiada siapa di situ melainkan dia sendiri. Ditolak pula pintu gelongsor di tengah-tengah ruang. Dijenguk kepalanya ke ruang tamu bilik. Tetap kosong. Digaru-garu kepala tak gatalnya.
“Aik, mana pulak perginya Azreen ni? Tadi aku tengok dia baring-baring santai aje kat sofa. Ni dah tak ada pulak. Baru semalam aku minta dia duduk rumah hujung-hujung minggu begini. Takkanlah dia keluar tanpa bagi tahu aku dulu kut. Sejak bila dia pandai-pandai keluar tanpa bagi tahu aku ni?” rungut dia dengan mata sudah mencanak ke katil kayu jati depannya.
Katil itu tidak pernah menjadi tempat lena Azreen sejak gadis itu menjadi penghuni bilik tidurnya. Isterinya itu lebih sudi melelapkan mata di sofa atau atas comforter biarpun sudah selalu didesak Tengku Aamir Budriez. Jangan kata mendengar, dimarah-marahkan pula suaminya itu hingga akhirnya Tengku Aamir Budriez beralah juga. Sedar dia tidak mampu melentur kedegilan Azreen dalam sekelip mata.
“Hai… Tak ada pulak dia kat sini. Mana pulak perginya isteri aku ni?” Tengku Aamir Budriez kembali mengayun kaki. Dia ingin ke balkoni bilik, namun tak jadi apabila terpandang kelibat Azreen di situ.
“Hmm… kat sini rupanya isteri aku ni ya? Tak habis-habis dengan majalah. Gila membaca betul isteri aku ni,” puji Tengku Aamir Budriez.
Sambil menyandar tubuh di dada buaian, Azreen kelihatan ralit membaca di tangannya. Gadis itu bagai hilang dalam dunianya sendiri. Satu tabiat Azreen yang diketahuinya sejak mereka bergelar suami isteri. Gila membaca tak kira masa dan tempat. Malah, kerana kegilaan itu jugalah Azreen seringkali membaca dalam suasana samar-samar meski seringkali dilarang.
Bukan dia malu jika isterinya bermata rabun atau bermata empat. Tapi, dia mahu Azreen menjaga kesihatan diri. Selain merosakkan mata, membaca dalam suasana samar-samar juga mampu merencatkan pemikiran seseorang serta memberi impak negatif pada saraf-saraf di bahagian lain dalam tubuh. Itu fakta yang pernah dibacanya suatu ketika dulu. Kerana itu dia mahu Azreen mengamalkan gaya hidup Islam yang menuntut umatnya menjaga kesihatan walau Tengku Aamir Budriez sendiri hakikatnya jarang-jarang mengambil endah bab agama dalam sesetengah perkara.
Tapi, sebagaimana biasa, Azreen tidak pernahnya mahu mendengar kata. Malah, Azreen semakin degil melakukannya. Mahu tak mahu Tengku Aamir Budriez terpaksa mengalah. Bukan takut, tapi sedaya upaya dia cuba mengelak daripada terus-terusan bertengkar dengan Azreen.
Lambat-lambat Tengku Aamir Budriez menyandar tubuh ke pintu balkoni. Dia tidak peduli tubuhnya yang dibaluti sehelai tee putih dan seluar khaki hitam separas lutut ditampar-tampar angin petang. Dia hanya mengikut rentak hatinya, mengambil peluang itu untuk menatap Azreen sepuas-puasnya. Selama mereka bersama, jarang-jarang Azreen berada dekat-dekat dengannya melainkan secara tidak sengaja atau terpaksa. Isterinya itu lebih suka duduk bersendirian dan seboleh mungkin cuba menjarakkan diri daripadanya.
“Cantik isteri aku ni. Kulit cerah bersih, penampilan pun sangat-sangat dijaganya. Kemas aje selalu. Senang hati aku jadinya. Sekurang-kurangnya kami masih ada persamaan. Taklah susah untuk aku biasakan diri dengan dia sepanjang perkahwinan kami ni.” Tanpa sedar Tengku Aamir Budriez bercakap sendiri.
“Tapi, tulah, dia jaga sangat aurat dia dengan aku. Apa dia tak tahu ke antara kami memang tak ada batas aurat? Ke dia buat-buat tak tahu? Dia memang tak bagi aku tengok agaknya. Tapi, kalau aku tak tengok dia, aku nak tengok siapa lagi? Takkan nak tengok perempuan lain pulak kut? Hisy… kedekut betul isteri aku.” Dia merungut pula sebelum tersenyum semula.
“Hmm… bertuah aku dapat kahwin dengan Azreen. Macam dapat kahwin dengan Angelina Jolie. Cuma isteri aku ni taklah seksi macam Angelina Jolie original tu. Tapi, harap-harap kalau dia pakai seksi pun biarlah depan aku aje, bukan depan lelaki lain. Mahu mengamuk aku nanti. Siapa tak marah kalau isteri sendiri tayang tubuh pada lelaki lain? Lainlah kalau dia tayang kat aku, confirm selamat kami berdua nanti.” Otak Tengku Aaamir Budriez sudah mula melalut.
Tersengih-sengih dia mengangankan perkara yang entah bila boleh menjadi kenyataan. Malah, tidak mustahil takkan berlaku sampai bila-bila. Dalam keadaan dia dan Azreen yang jarang-jarang bertegur sapa apalagi berbual-bual mesra, walau sudah dua bulan bergelar suami isteri, memang tak mustahil semua itu takkan pernah berlaku dalam rumah tangga mereka. Melainkan jika ada keajaiban tiba-tiba muncul untuk membantu. Itu jika ada. Kalau tak ada? Beginilah mereka sampai bila-bila pun. Lain-lain arah hidupnya. Mengingat itu dia mengeluh pula.
“Bukankah bagus kalau hidup aku dan Azreen sama saja seperti suami isteri lain? Boleh berkongsi apa saja. Sama-sama melalui susah senang hidup. Ini lain pula jadinya. Seorang kat barat, seorang lagi kat timur. Entah bila nak berbaik pun tak tahulah, walhal dah dua bulan kami hidup bersama.” Keluhannya terlepas semula.
“Tapi, macam mana nak berbaik kalau tiada cinta antara kami? Betul ke aku tak cintakan Azreen? Bukankah itu yang aku doakan siang malam sejak aku menjabat tangan tok kadi hari tu? Kalau betullah aku tak cintakan Azreen, kenapa aku ambil berat sangat tentang dia? Segala tentang Azreen aku nak tahu. Kisah hidup dia, apa yang dia suka, apa yang dia buat, semuanya sekali. Bukan cintakah namanya kalau aku separuh gila risaukan dia kalau dia lambat balik ke rumah setiap hari? Tak cinta lagikah aku kalau kepala aku ni selalu pening memikirkan jalan terbaik untuk merapatkan hubungan kami berdua? Bukan cinta lagikah tu?” Sedar tak sedar monolog Tengku Aamir Budriez semakin berpanjangan. Satu demi satu soalan mula menerjah fikiran.
“Ya Allah… Betulkah aku dah jatuh cinta pada isteriku sendiri? Termakbul sudahkah doa-doaku untuk mencintainya seikhlas hati aku walau kami berkahwin bukan atas kehendak sendiri? Kalau betul, aku amat-amat bersyukur kepada-Mu, ya Allah. Semoga rasa cinta ini akan terus kekal berada di hatiku sampai ke akhir hayatku khas buat isteriku seorang,” doa Tengku Aamir Budriez sambil meraup perlahan wajahnya.
“Ya Allah… Apa yang harus aku lakukan sekarang supaya Azreen juga merasakan apa yang aku rasa? Aku ingin bahagiakan dia dunia akhirat, aku ingin jauhkan dia daripada segala bahaya, aku ingin melihat dia tersenyum gembira sepanjang masa dan aku mahu dia tahu aku mencintainya kerana Engkau yang meletakkan rasa cinta itu di hatiku dan aku merelakan kehadirannya, ya Allah. Aku ingin Azreen jugak mencintai aku sepertimana aku cintakan dia sepenuh hatiku,” rintihnya penuh harap.
“Tapi, mahukah Azreen mencintai aku? Sedangkan seminggu selepas kami kahwin baru dia sudi tinggal di sini, mahu ke dia hidup dengan aku di Teratak Indah ni sepanjang hayat dia? Ke… dia sudah ada pilihan lain?” Soalan demi soalan mula menerpa minda.
Tak menunggu lama mata Tengku Aamir Budriez kembali mencari kelibat Azreen. Ingin mencari jawapan walau sekadar dengan meneliti fizikal isterinya semata-mata. Namun, lain pula kata hati dan akalnya tatkala wajah isterinya ditatap semula.
“Rasanya, akulah suami yang paling rugi dalam dunia ni. Nama saja ada isteri seiras Angelina Jolie, body pulak ala-ala Naomi Campbell aje, tapi masam mukanya… Ya Rabbi, mengalahkan buah asam. Agak-agaknya kalau nak dibandingkan dengan kuah ikan masak asam buatan bonda aku tu, lagi masam rasanya muka isteri aku ni. Patutlah tak ada lelaki yang berkenan. Tapi, elok jugak kalau dia tak suka senyum. Tak adalah orang perasan isteri aku tu cantik orangnya. Kalau nampak cantik sangat pun payah jugak. Ramai pulak yang cuba nak masuk jarum. Hidup aku jugak yang jadi tak tentu hala nanti. Siang malam tak senang duduk, risau pasal dia aje.” Dia mengangguk-angguk. Setuju dengan kata-kata sendiri.
Lagaknya macam orang kurang akal saja. Bercakap seorang diri, tapi dia peduli apa? Diri dia, suka hati dialah nak buat apa pun! Mata pula tetap tunak menatap Azreen yang masih leka dengan dunianya hingga langsung tidak peduli keadaan sekelilingnya waktu ini. Betul gila membaca isteri aku ni. Punya lama aku tercongok sekodeng dia kat sini, boleh pulak dia tak sedar langsung. Agak-agaknya dia sedar tak kalau aku duduk dekat-dekat dia? Lagi dekat daripada sekarang ke? Rapat-rapat pun okey jugak, sayang! Otak Tengku Aamir Budriez sudah membayang yang bukan-bukan. Dia tersengih semula. Nakal!
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
Tengku Aamir Budriez terngadah apabila Azreen terbatuk-batuk kecil. Dia menayang muka selamba apabila pandangan Azreen sudah terkalih kepadanya. Baru tersedar dengan kewujudan lelaki itu di situ.
“Apa tengok-tengok? Dah tak ada benda lain boleh ditengok ke, hah, sampai saya pulak yang Tengku nak tengok?” Garang Azreen bertanya. Dia merengus marah.
Tak suka sungguh dia dengan pandangan lelaki itu saat ini. Penuh makna tersirat dan sebagai wanita, dia sangat memahami makna pandangan itu walau dia kurang pasti telahannya benar ataupun sebaliknya. Dia menjeling tajam sebelum kembali menatap majalah di tangan.
Dah nama pun lelaki, mana ada yang tak gatal. Tambah-tambah jenis lelaki bangsa buaya tembaga macam Tengku Aamir Budriez ni. Bukan saja gatal, miang, biang keladi, rebung buluh, semuanya ada! Gasaklah dengan pencuci cap apa pun, confirm takkan hilang. Tabiat semula jadilah katakan, mana boleh hilang begitu aje! kutuk hati Azreen cukup-cukup.
“Kenapa? Bukannya berdosa pun abang tengok isteri abang lama-lama. Dapat pahala lagi adalah,” jawab Tengku Aamir Budriez selamba.
Dia tetap tegar bersandar tubuh di tempatnya sejak tadi. Dia tidak malu membahasakan dirinya abang walau Azreen sejak hari pertama bernikah tetap juga memanggilnya dengan nama Tengku hingga ke hari ini. Usah ditanya kenapa dia tidak melarang. Sungguh, dia benar-benar mahu membina mahligai bahagia bersama isterinya. Walau dia tidak tahu latar belakang Azreen, begitu juga Azreen, namun dia sudah tekad.
Cukuplah sekali dia melafaz akad nikah di depan tuan kadi walau dia mampu memenuhi kuota yang tersedia dalam Islam bagi setiap lelaki. Dia pula tidak pernah terkecuali daripada berada dalam senarai lelaki sempurna di mata mereka yang bergelar Hawa. Cukup sempurna hingga digelar kasanova, playboy dan gelaran seumpamanya gara-gara tingkahnya yang gemar bertukar-tukar pasangan walau dia tidak pernah meminta dilabel sebegitu oleh sesiapa.
Tapi, itu dulu. Sebelum kejadian yang memalukan dia dan Azreen berlaku dan sekarang dia hanya mahu menyimpan gelaran itu dalam lipatan sejarah hidupnya. Tidak pedulilah dia dan Azreen saling mencintai ataupun sebaliknya, dia yakin dan tetap akan yakin. Dia, Tengku Aamir Budriez Tengku Baharuddin ditakdirkan untuk hidup bersama Nur Azreen Aryanna Latiff. Noktah.
Azreen tidak menyahut. Malas bersuara kerana dia tahu, sekali dia membuka mulut lelaki itu akan terus bertanya dan bertanya. Sedangkan Azreen tak suka mewujudkan perbualan antara mereka. Dingin, itu yang terbaik buat mereka. Dia terus mengubah kedudukan. Duduk membelakangi lelaki itu dengan mata kembali terlekap pada majalah.

Perlahan-lahan Tengku Aamir Budriez melepas keluhan. Kesal bercampur hampa melihat reaksi dingin beku Azreen. Ingin dipaksa, risau meletus perang pula. Lalu lambat-lmbat dia kembali ke ruang kerja dengan hati yang sebal. 

ISTERIKU HATI BATU - BAB 7



7
“Hai, sayang…”
Tengku Aamir Budriez tersentak. Terlepas kunci keretanya. Cepat-cepat dia mengutip sebelum menegak tubuh. Terluah rengusannya sebaik terpandang wajah itu. Mana tidaknya, ke mana saja dia pergi wajah itu juga yang ditemuinya walau dia berusaha mengelak sejauh boleh. Sekarang dia terpaksa menghadap wajah itu lagi walau hati sudah menyumpah-nyumpah benci.
“Ada apa kau cari aku?” Mahu tak mahu Tengku Aamir Budriez bertanya juga walau jelas dia malas melayan kehadiran wanita itu. Tidak mahu dicop sombong. Apatah lagi mereka mempunyai pertalian darah.
“Hai, Aamir. You sihat?” soal Tengku Suraya tersenyum manja. Girang hatinya dapat bersua dengan lelaki buruannya.
Tengku Suraya tahu dia takkan dilayan mesra. Tapi, dia tetap tidak malu menyua muka. Manalah tahu, untung nasibnya lelaki itu akan kembali menjadi haknya seperti dulu. Sebab itulah dia takkan letih mengejar biar apa pun orang kata. Pedulikan!
“Aku sihat macam biasa, tapi bila tengok aje muka kau, sakit terus hati aku. Sakit sangat-sangat kau tahu!” Kasar jawapan Tengku Aamir Budriez. Namun, Tengku Suraya tetap tersenyum-senyum.
Muka cap tembok betullah dia ni! Hati Tengku Aamir Budriez sudah memaki-maki.
“You ni kan, Aamir, tak baik tahu cakap macam tu kat I. I tahulah I pernah lukakan hati you, tapi janganlah you layan I macam ni sekali. Apa salahnya kalau you bagi peluang sekali lagi pada I? I janji I akan berubah demi you,” pujuk Tengku Suraya. Dia mengangkat tangan ala-ala orang mengangkat sumpah. Janji katak!
Dia cuba mencapai jari-jemari lelaki itu. Namun, Tengku Aamir Budriez pantas menepis. Benci.
“Peluang apa pulak yang kau merepek ni, Yaya? Peluang business? Huh. Sejak bila kau pandai buat business ni? Kalau nak bisnes jual tubuh, I’m sorry. Syarikat aku tak pernah ambil projek buat kerja-kerja haram macam tu,” sindir Tengku Aamir Budriez selamba.
“Hisy! You cakap apa ni, Aamir? Tak baik tau you cakap macam tu kat I. Tahulah I ni tak pandai buat business macam you. Tapi, you berilah peluang pada I untuk I berubah. I janji, Aamir, I sanggup lakukan apa saja untuk you. Apa saja, sayang.” Tengku Suraya masih tak malu merengek-rengek. Dia cuba menyentuh lengan lelaki itu pula. Namun, cepat saja Tengku Aamir Budriez menepis.
“Huh, apa saja kau sanggup lakukan? Hebat kau, Yaya. Dah macam Power Rangers aje kau ya, sanggup buat apa saja demi menyelamatkan dunia kau,” sindir Tengku Aamir Budriez.
“Patutlah kau sanggup gadai maruah sendiri demi mendapat apa yang kau nak. Sorrylah, Yaya, aku tak berminat nak bagi apa yang kau nak dan aku takkan bagi pun sampai bila-bila. Kau carilah ajelah lelaki lain yang sangat-sangat berminat dengan kau. By the way, balik nanti kau pergi cek sama ada tangan kau tu sihat ke tak sebab setahu aku, keturunan kita tak ada yang sakit tangan macam kau tu. Suka meraba sampai tak tahu nak beza antara yang halal dengan tak,” perli Tengku Aamir Budriez. Kemudian cepat-cepat dia berlalu pergi. Membuang masa saja melayan wanita itu lama-lama. Tak ada faedah!
“Hisy! Tak guna punya jantan! Boleh pulak dia sindir aku ya?” marah Tengku Suraya mengetap bibir penuh geram.
Rakus matanya menatap Tengku Aamir Budreiz berlalu masuk ke bangunan syarikat bersama seorang klien yang baru tiba di hadapan bangunan syarikat lelaki itu. Langsung tidak menoleh kepadanya, walau sekali. Menambahkan rasa sakit di hati Tengku Suraya. Tak guna betul!
“Kau ingat kau boleh lepas daripada aku? Huh! Ini Tengku Suraya lah. Selagi aku tak dapat kau, selagi itulah aku akan kejar. Jangan kau ingat kau dah jadi hak perempuan lain, aku kau boleh tolak ke tepi. Tak semudah itu, Tengku Aamir Budriez. Tunggulah, akan sampai jugak masa aku nanti,” bisik Tengku Suraya beremosi, penuh dendam.

“Hei… dia ni. Tak rasa lenguh ke jari-jemari tu menaip mesej kat aku selalu? Sekali-sekala hantar mesej tu okey lagilah. Ni setiap jam! Siapa boleh terima? Badak yang tengah berendam pun naik angin kalau tiap-tiap hari ni macam ni,” rengus Azreen. Dia terus mencampakkan telefon bimbitnya ke sisi meja.
“Ingat aku ni budak-budak kecil ke? Tak tahu nak balik ke rumah sendiri? Aku tahulah, buaya tembaga oi. Balik rumah awal-awal pun bukan ada faedah. Balik-balik, gaduh dengan saudara-mara kau. Tak pun menghadap muka toya kau tu. Ingat aku suka? Meluat adalah!” rengus Azreen lagi dengan bibir sudah tercebik-cebik. Bercakap bagai Tengku Aamir Budriez berada di depan matanya sekarang.
Walhal dia hanya seorang diri di situ. Di bilik pejabatnya. Waktu pejabat telah lama berlalu, hampir dua jam lalu. Namun, Azreen tetap tega berada di ruang sepinya. Bersendirian memikirkan keadaan hidup yang ternyata tidak sama lagi coraknya berbanding masa lalu. Penuh dengan kesukaran!
“Kan bagus kalau nenek masih ada. Hidup aku pun tentu takkan jadi begini. Malah, mungkin lebih baik daripada apa yang aku jangka. Tapi, siapa aku nak melawan kuasa Allah Taala? Dia sudah tetapkan perjalanan hidup aku macam ni. Nak tak nak, aku kena harunginya jugak, walau sesukar mana pun,” keluh Azreen tiba-tiba.
Potret seorang wanita tua yang ada di tepi meja kerjanya dicapai. Lalu gambar yang sudah kekuning-kuningan ditelan masa itu diusap-usap perlahan.
“Nek… kalaulah masa dulu boleh dikembalikan semula, Reen nak hidup dengan nenek seperti dulu. Reen nak belajar membaca al-Quran seperti yang nenek ajar setiap malam. Reen nak belajar memasak dengan nenek seperti yang kita berdua buat setiap hari. Reen nak tolong nenek mengemas rumah, menyapu halaman dan tolong kerja-kerja nenek di kebun. Reen nak buat segala-galanya, nek. Tapi, Reen sedar, semua tu takkan berlaku semula. Semua tu dah lenyap daripada hidup Reen. Nenek sendiri pun dah tinggalkan Reen selamanya. Reen sebatang kara dalam dunia ni, nek. Reen hanya seorang diri…” Tanpa sedar air mata Azreen menitik ke pipi. Dikesatnya perlahan. Sayu dengan kata-kata sendiri.
“Reen selalu ingat pesan nenek supaya Reen kuat dan tabah hadapi semua cabaran hidup. Reen pegang pesanan tu, nek, sampailah sekarang. Kerana pesanan itulah Reen kuat pertahankan diri Reen daripada apa juga yang cabaran yang datang, nek. Reen tabah lalui kehidupan Reen walau Reen sedar, terlalu banyak liku yang perlu Reen lalui. Sekarang ni pun Reen sedang menjalani ujian Allah, nek, tapi Reen takkan mengalah. Reen akan pastikan diri Reen mampu atasi semuanya selagi Reen terdaya, nek,” suaranya lagi dengan mata tidak lepas-lepas daripada menatap potret kecil itu. Bagai wanita tua di dalam potret itu mampu mendengar kata-katanya.
Lalu Azreen tenggelam dalam kenangannya buat beberapa lama. Potret di tangan dipeluk erat-erat, melepas rindu kepada nenek yang telah lama pergi.
Tit! Tit! Tit!
Azreen tersentak kecil. Dia mengeluh semula bila telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia merengus semula bila telefon bimbitnya berbunyi semula. Kali ini lebih nyaring. Menandakan ada panggilan yang harus dijawab. Malas menyambut, Azreen terus mematikan telefon bimbitnya. Puas hati! Dia bergegas bangun, menapak keluar menuju ke bawah bangunan. Sampai di lobi, Azreen bergegas ke tempat letak kereta. Dalam kepala, ligat akalnya mencari tempat yang sesuai untuknya melepak sebelum balik ke Teratak Indah malam nanti.
“Argh… susah-susah sangat, aku lepak kat masjid ajelah. Sekali-sekala dengar orang berceramah okey jugak. Ilmu dapat, pahala pun dapat,” putusnya malas sudah memeningkan kepala.
Azreen baru saja ingin membuka pintu kereta bila tiba-tiba seseorang cuba menarik lengannya. Azreen terkejut, namun sepantas kilat dia memulas lengan lelaki bertopeng hitam itu. Lelaki itu terjerit sakit. Dia cuba mencapai lengan kiri Azreen, namun Azreen lebih cepat bertindak. Disepaknya celah kelangkang lelaki itu sebelum ditendang perutnya. Dalam keadaan senak, lelaki itu jatuh terlentang ke tanah. Dia berusaha bangun, namun tidak sempat bila Azreen terus memijak-mijak pahanya. Lelaki itu terjerit semula. Botol kaca di tangan lelaki itu terlepas, airnya tumpah. Berbuih-buih dan berbau masam. Azreen terkedu sesaat.
“Oh… Kau cuba nak simbah asid kat muka aku ya? Siapa yang upah kau, hah? Cakap kat aku!” tengking Azreen apabila mengetahui isi botol kecil itu. Dia masih tidak melepaskan pegangannya terhadap lelaki berkulit gelap itu. Dipijak-pijak perut lelaki itu pula bila lelaki itu tidak menyahut. Lelaki itu menjerit lagi.
“Aku tak tahu! Aku tak tahu!” balas lelaki itu kasar.
Dia menolak keras kaki Azreen yang masih mendarat di perutnya, membuatkan Azreen hilang imbangan. Hampir saja Azreen tertiarap ke tanah jika dia tidak cepat-cepat memegang but keretanya. Ikutkan hati, mahu Azreen mengejar, namun dia hanya memandang lelaki itu bangun dan melarikan diri. Untuk apa membuang masa mengejar seseorang yang sudah dikenali kelibatnya? Apatah lagi tenaga Azreen sendiri hanya tinggal sisa-sisa saja ketika ini. Dilepas panjang nafasnya.
“Tak guna punya Tengku Suraya. Kau ingat kau selamat ke main taktik kotor macam ni? Nak simbah asid kat aku konon. Ingat aku takut ke? Berani kerana benarlah, wei!” marah Azreen seolah-olah Tengku Suraya berada di depannya sekarang.
Azreen tidak menuduh membabi buta kerana dia sangat-sangat yakin. Semua itu adalah angkara Tengku Suraya walau lelaki upahan gadis itu tidak menyatakannya. Selancang mana pun mulut Azreen, belum pernah ada yang berani melakukan perkara-perkara sebegitu kepadanya. Jika ada pun, hanya dengan cacian dan makian. Itu pun Azreen sudah lali mendengarnya.
“Nampak sangat bekas tunang suami aku tu kurang cerdik orangnya. Lelaki punya pasal, sanggup nak tanggung dosa percuma. Bodoh betul!” kutuk Azreen sebelum membolos diri ke dalam perut kereta. Membiarkan perkara itu lenyap sendiri dari ruang kepalanya tak lama kemudian.

“Bodoh! Perkara senang macam tu pun kau tak boleh buat ke, hah? Aku suruh kau cederakan dia, bukannya dia yang cederakan kau! Kenapalah kau bodoh sangat, hah? Lembap!” jerkah Tengku Suraya marah. Ditunjal kepala lelaki upahannya itu beberapa kali. Mendidih sungguh marahnya apabila mendengar perkhabaran yang disampaikan sebentar tadi. Punah segala rancangannya. Hancur lebur!
“Minta maaf, bos. Saya dah cuba, tapi perempuan tu lagi cepat bertindak. Dahlah tu, dia pandai melawan. Mungkin dia ada ilmu persilatan kut.” Takut-takut dia membalas pandangan menyinga Tengku Suraya.
Melihat pada saiz tubuhnya yang dua kali ganda lebih besar daripada gadis itu, bila-bila masa dia boleh membalas tindakan kurang ajar Tengku Suraya terhadapnya. Namun, dia sedar, wanita itu jauh lebih berkuasa daripadanya. Apatah lagi bila terpandang pistol yang berada di dalam genggaman gadis itu. Pistol itu tidak pernah berada jauh daripada tuannya.
“Bodoh! Dia ada silat ke, kungfu ke, tae kwan do sekalipun, aku peduli apa? Kau dah gagal jalankan tanggungjawab kau dan sekarang, kau bagi tahu aku, apa yang kau nak aku buat? Bunuh kau dengan pistol ni atau kau nak aku kerat-kerat badan kau bagi anjing makan?” jerkah Tengku Suraya sudah menghala muncung pistol tepat ke kepala lelaki itu.
“Err… jangan bunuh saya, bos, jangan. Tolong bagi satu lagi peluang pada saya. Saya janji, kali ni saya akan lakukannya dengan baik. Saya janji, bos. Saya janji! Tolong jangan bunuh saya! Tolong…” rayu lelaki itu terus melutut di depan Tengku Suraya. Gadis itu mencebik.
“Huh, tahu pun takut!” Senyum Tengku Suraya, sinis. Lalu pistol di tangan dihala ke bawah semula.
“Baik. Aku bagi kau peluang sekali lagi, tapi ingat. Kalau gagal jugak kali ini, anggap saja neraka dah panggil kau ke dasar perutnya!” ugut Tengku Suraya bengis.
“Baik, bos. Bos bagi saja arahan, saya akan laksanakannya sebaik mungkin. Saya janji, bos,” ucap lelaki itu terketar-ketar. Dia tetap menekur muka ke lantai. Takut jika Tengku Suraya benar-benar mengotakan kata-katanya. Dia sudah lama berkhidmat dengan gadis liar itu dan setiap tingkah dan kata-kata gadis itu sudah dihafalnya.
“Bagus! Kalau macam tu, aku nak kau buat sesuatu dan pastikan kali ini kau berjaya lakukannya.” Suara Tengku Suraya tetap tegang.
“Apa dia, bos?” soal lelaki itu memandang Tengku Suraya.

Gadis itu sudah tersenyum, penuh makna. 

ISTERIKU HATI BATU - BAB 6



6
“Kau bahagia dengan rumah tangga kau sekarang?”
Terhembus keluar rengusan halus Azreen mendengar soalan itu. “Kau nampak aku macam bahagia ke sekarang?” soalnya sinis.
Afza tersenyum lebar. “Macam bahagia, tapi tak tahulah kalau-kalau kau terlebih bahagia,” usiknya.
Azreen tersenyum sinis. “Aku bahagia sangat, Za. Rasanya penghuni Hospital Bahagia pun tak sebahagia aku walau dia orang tinggal dalam hospital yang diberi nama Hospital Bahagia. Siang malam bahagia sangat-sangat sampai aku tak tahu macam mana nak terjemah rasa bahagia aku tu pada semua orang.”
Selamba sahaja Azreen membalas. Manakala dahi Afza pula terus berkerut-kerut.
“Kau cakap apa ni, Reen? Pening aku dengar. Aku cuma tanya kau bahagia ke tak. Yang kau bercerita bab bahagia sampai berbelit-belit ni kenapa? Confuse aku,” soal Afza betul-betul keliru. Niatnya hanya mahu mengusik Azreen, tapi kenapa otak dia pula yang terbelit nak memaham kata-kata wanita itu? Afza pening sesaat dua.
“Bahagialah, Za oi, kalau hari-hari kenyang dengar ceramah suami aku. Kadang-kadang dapat ekstra ceramah daripada mak mertua, ipar duai, sepupu sepapat. Itu belum dikira aku kenyang dengar maki hamun, peril-merli dia orang lagi. Pendek kata memang bahagialah aku hidup dalam neraka rumah tu. Bahagia sangat-sangat!” rengus Azreen dengan muka yang tetap serius. Dia mengeluh sesaat kemudian.
“Bahagia ke bendanya. Makin menderita adalah. Walaupun aku tak pernah lagilah sampai ke neraka, tapi rasanya keadaan hidup aku sekarang ni dah lebih daripada duduk dalam neraka tau. Siang malam menyakitkan aku aje,” sambung Azreen merungut keras.
“Maksudnya, kau dengan suami kau masih belum berbaik-baiklah ya? Begitu?” Afza meminta kepastian. Dia tersengih kelat apabila Azreen menjeling tajam.
“Tak payahlah kau buat-buat tanya, Za. Macamlah kau tak tahu keadaan kami sebelum ni.”
“Aku bukan apa, Reen. Manalah tahu kau orang dah berbaik-baik ke sehari dua ni. Aku pun tumpang bahagia tengok kau bahagia. Lagi bahagia rasanya hati aku ni kalau aku dapat a,nak saudara hadiah daripada kau dan suami.” Bersungguh-sungguh Afza meluah impian sendiri.
Memang sejak dulu dia kepingin melihat sahabat baiknya nan satu itu bahagia. Cukuplah dengan apa yang Azreen lalui selama ni. Dia tidak mahu malah tidak sanggup lagi melihat gadis itu menderita. Tapi, Afza juga tahu, bagaimana Azreen mahu bahagia jika gadis itu masih tegar dengan sikapnya seperti sekarang? Bukan saja tingkah, mulut gadis itu turut tajam lidahnya. Lebih tajam daripada mata pedang. Dengan kata-kata selambanya saja Azreen sudah mampu menghiris hati sesiapa. Mempunyai wajah secantik artis antarabangsa tidak bermakna wanita itu turut mempunyai tingkah dan tutur kata yang sedap didengar. Lagi berbisa daripada ular tedung adalah!
“Simpan sajalah impian kau nak beranak saudara tu, Afza. Jangankan anak saudara, anak tiri aku pun belum tentu sempat kau tengok nanti. Tak ada maknanya aku nak berbaik-baik dengan lelaki macam Tengku Aamir Budriez tu. Sedangkan lelaki yang tak ada rupa pun boleh berlagak perasan macam dialah Tom Cruise pujaan dunia, inikan pulak muka macam suami aku tu. Perasan nak mampus! Pantang jumpa perempuan, macam nak juling mata tengok. Agaknya kalau mata dia tu boleh dipasang mesin scan, dah berjuta-juta orang perempuan ditelanjangkannya.”
“Tak baik kau tuduh suami kau macam tu, Reen. Hak dia nak tengok kau macam mana sekalipun, kau mana boleh halang. Tapi kan, Reen, cubalah kau berbaik-baik dengan dia. Tak ke mananya kalau kau orang terus bergaduh pun. Mahu tak mahu kau orang dah jadi suami isteri. Takkan sampai ke tua kau orang nak bergaduh macam ni? Tak ada untungnya,” pujuk Afza lembut.
Dia berharap sungguh Azreen akan mendengar kata-katanya walau dia tahu, hati Azreen sekeras batu pejal. Tapi, kalau hari-hari dititik air, batu pun boleh melekuk. Asal jangan cepat berputus asa sudahlah. Atas pegangan itulah Afza tak jemu-jemu memberi nasihat kerana dia yakin hati Azreen pasti akan lembut juga suatu masa nanti.
“Aku dengan dia nak berbaik-baik? Kirim salam mautlah jawabnya. Sampai mati pun belum tentu aku ada rasa nak berbaik-baik dengan dia. Tak ada istilah berbaik-baik dalam hidup aku. Aku dengan dia hanya ditakdirkan untuk bergaduh, bergaduh dan bergaduh. Itu saja. Tak payah kata dia, satu keluarga dia tu pun kaki gaduh jugak. Mak dia ke, mak cik, pak cik dia ke, sepupu sepapat dia ke, semuanya suka bergaduh. Agaknya dah jadi tradisi dia orang turun temurun suka ajak orang bergaduh kut.
Nak kata gengster, melampau sangatlah pulak nak bagi gelaran macam tu sebab setakat ni dia orang ajak aku bergaduh mulut aje. Belum sampailah tahap nak angkat parang ke apa. Yang peliknya, pantang dia orang tengok aku, terus ajak masuk gelanggang debat. Tak dapat tidak, mesti ajak jugak tak kiralah siang ke, malam ke. Dahlah tu, dia orang aje yang nak menang. Sekali-sekala bolehlah aku tahan, tapi kalau sampai hari-hari dia orang ajak gaduh, jangankan aku, orang gila yang betul-betul gila pun boleh meroyan dibuat dia orang,” umpat Azreen langsung tidak bertapis kata. Sedang dia sendiri sedar, semua itu berpunca daripada dirinya sendiri yang langsung tidak pernah mahu mengubah tingkah buruknya.
“Maksud kau, dia orang memang tak boleh terima kehadiran kau dalam famili dia orang? Jadi, macam mana pulak layanan dia orang kat kau? Okey tak?” Nada suara Afza sudah bercampur dengan bimbang.
Jelas dia tidak puas hati dengan penjelasan panjang lebar Azreen tadi. Dia cukup arif dengan tingkah Azreen. Walau Azreen tidak pernah berbohong, tapi dia juga tahu Azreen suka menimbulkan masalah, terutama dengan orang-orang yang tidak disenanginya, sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya.
Untuk apa Azreen berbuat demikian, Afza cukup mengerti. Namunm biarlah dia saja yang mengetahui. Dan, kalau benarlah Azreen yang memulakan dulu pergaduhan dalam keluarga mertuanya, Azreen harus berubah tingkah. Takkan dengan mertua yang seharusnya dianggap seperti ibu sendiri itu pun nak diajak bergaduh juga sampai ke mati? Tidak berkatlah rumah tangga Azreen dan Tengku Aamir Budriez nanti.
“Okey apanya. Dah nama pun ramai manusia yang tinggal kat rumah tu, ramai jugaklah musuh yang aku kena hadap hari-hari. Kalau masing-masing berperangai elok, tak adalah aku kisah sangat. Ini semua jenis yang tahu nak berasapkan kepala aku aje. Kadang-kadang tu, rasa nak meletup kepala aku melayan kerenah entah apa-apa dia orang tu. Entah sampai bila aku kena tinggal dengan keluarga gila tu pun tak tahulah,” rungut Azreen lagi. Dia meramas-ramas kasar kentang goreng di pinggannya. Melepas geram yang tidak mampu disuakan kepada mereka yang sepatutnya.
Kalaulah dirinya seekor naga, sudah lama dia menyemburkan api supaya hangus seluruh keturunan Tengku Aamir Budriez. Bukan saja seluruh keluarga lelaki itu, pembantu-pembantu rumah keluarga lelaki itu pun dia akan lenyapkan dari muka bumi ni. Biar semuanya mati tanpa bernisan. Hidup pun tahu nak menyusahkan aku saja, maki hati Azreen. Tidak sedar dia terlalu mengikut nafsu amarah sendiri. Menyabitkan mereka yang tidak bersalah menyertai ledakan kemarahannya ketika ini.
“Bukan aku tak percaya dengan cakap-cakap kau tu, Reen, tapi dia orang semua tu kan dah jadi ahli keluarga kau. Baik atau buruk perangai dia orang, kau kena terima semuanya. Belajarlah untuk mengambil hati dia orang selalu. Kau tu pun tunjuklah sikap ramah sikit walau tak suka senyum. Ini tidak. Muka masam kelat kau tu jugaklah yang kau suka tayang kat siapa-siapa pun. Dahlah cakap tu pun main lepas aje. Mana dia orang tak kutuk kau selalu.” Dalam lembut Afza bertegas.
“Eleh. Bukan salah muka masam kelat aku ni yang buat dia orang suka kutuk aku tau, tapi dia orang yang tak ada adab. Ikut sedap mulut tak berjahit dia orang aje nak kata apa pun kat orang lain. Macamlah dia orang malaikat, tak pernah buat salah. Mentang-mentanglah dia orang keluarga jutawan, aku ni pulak cendawan, dia orang ingat aku takut nak melawanlah.
“Apa dia orang ingat aku nak sangat ke kahwin dengan lelaki bangsa buaya tembaga tu? Huh, boleh jalanlah! Kalau tak kerana dia yang buat pasal dan kalau tak kerana ayah aku yang paksa, kerat 20 pun aku tak inginlah nak jadi isteri dia! Buat bengkak hati, pedal, jantung, hempedu dan segala organ badan aku ni aje setiap kali tengok muka lelaki tak guna tu!” Berang Azreen makin menjadi-jadi apabila tiba-tiba bayangan Tengku Aamir Budriez menjelma di layar mata. Cepat-cepat dia menghalau. Meluat!
Afza menggeleng perlahan. “Jangan cakap macam tu, Reen. Apa yang berlaku antara kau dan dia adalah ketentuan Allah. Walau cara kau orang bertemu jodoh tu kelihatan hina di mata masyarakat, tapi Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk kau orang. Kau suka ataupun tidak, dia dah jadi suami kau, dunia dan akhirat. Keluarga dia pun dah jadi sebahagian daripada hidup kau, bukan saja sekarang, tapi seumur hidup kau perlu berdepan dia orang, Reen.”
Tak jemu-jemu Afza memberi nasihat walau Azreen bagai acuh tak acuh saja mendengar. Hati tengah marah, memang begitulah. Esok-esok dah sejuk, baiklah dia. Afza memujuk hati sendiri. Dia tidak mudah mengalah dalam menasihati sahabat baik yang sudah dikenali luar dalamnya sejak kecil.
“Ikutkan hati, nak saja aku minta cerai. Bukan talak satu, tapi talak tiga terus. Biar sampai reput tulang pun kami tak boleh rujuk semula. Tapi, tak tergamak pulak aku nak buat macam tu bila terkenangkan nenda dia. Walaupun orang tua tu tak tinggal bersama kita orang, tapi selalu jugaklah dia datang ke Teratak Indah tu, melawat anak cucu dia.” Selamba Azreen memandang Afza yang sudah terlopong mulutnya.
“Astaghfirullah al-azim… Kau ni dah gila ke apa, Reen? Bergegar tiang Arasy setiap kali seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tau!” marah Afza, tidak sedar sudah meninggikan suara. Dia terlupa seketika di mana mereka berdua berada.
Nak dikatakan Azreen tidak berpengetahuan agama, Azreen pernah menjadi johan hafazan al-Quran ketika di sekolah rendah. Masa di sekolah menengah pun Azreen menyandang gelaran qariah terbaik sekolah tiga tahun berturut-turut. Malah, Azreen tidak pernah tidak mendapat A bagi subjek pendidikan Islam dari awal persekolahan hinggalah ke SPM. Mustahil dalam bab munakahat ni Azreen terlepas pandang. Atau kau buat-buat lupa sebenarnya, Ustazah Azreen oi? Kepala Afza tergeleng-geleng semula. Pening!
“Cuba kau bagi tahu, apa sebab sebenarnya kau nak minta cerai, Reen? Nak kata suami kau tu jahat orangnya, tak pernah pulak aku dengar dia layan kau seburuk layanan kau pada dia. Nak kata dia dera kau, jentik telinga kau pun tak pernah dia buat. Kau tu aje yang tak pernah nak bagi peluang pada dia nak berbaik-baik. Sebab tulah rumah tangga kau orang jadi macam ni. Porakperanda macam kapal pecah aje!” sembur Afza geram sungguh dengan perbuatan singkat akal Azreen.
Kalaulah dia tak kenangkan Azreen itu sudah dianggap saudara dunia akhirat, sudah lama disuanya penampar sulung ke muka serius Azreen. Biar gadis itu sedar diri sikit. Sudah mendapat suami sebaik Tengku Aamir Budriez pun Azreen masih nak buat perangai. Memang kurang akal betul kawan aku nan seorang ni. Hati Afza turut sama memarahi Azreen.
Sudahlah suaminya itu gentleman orangnya, segak bergaya pula tu. Nasib baik aku ni kuat iman jugak orangnya. Kalau tidak, aku pun dah lama terpikat dengan suami Azreen. Kaya harta, kaya budi bahasanya, siapa yang tak nak? Entah bila aku boleh dapat seorang suami macam Tengku Aamir Budriez pun tak tahulah. Eh, apa yang aku merepek ni? Syuh! Syuh! Cepat-cepat Afza menghalau keluar semua itu dari ruang kepalanya. Semakin banyak dia berfikir tentang rumah tangga Azreen, semakin merepek pula akalnya.
“Huh, baik apanya. Kau tak tahu, Za. Suami buaya tembaga aku tu kasanova paling glamor kat KL ni. Tak kira masa, ada saja perempuan nak kenal dengan dia. Yang dah kenal tak payah katalah, memang tak malu call dia siang malam. Tak dapat call, ada jugak yang datang ke rumah. Kalau tak menyusahkan aku tak apalah jugak. Ini aku yang terpaksa selesaikan semuanya.
Lepas tu aku jugaklah yang kena sembur dengan keluarga Tengku Aamir Budriez. Aku tak pandai jaga suamilah, aku tak tahu nak layan tetamulah, ada ajelah yang tak kena. Yang datang tu pulak jenis manusia yang tak ada agama. Harap muka aje boleh tahan, tapi perangai Allah saja tahu. Aku rasalah, kera dalam hutan pun lebih bersopan santun kalau dia pandai bercakap dengan manusia jika dibandingkan dengan perempuan-perempuan yang datang cari suami aku tu.” Azreen benar-benar bengang setiap kali memikirkan semua itu.
Dia tidak peduli jika orang menuduhnya tidak pandai menjaga suami, tapi yang menambahkan rasa bengangnya, kenapa dia pula yang perlu memujuk perempuan-perempuan tu pulang jika Tengku Aamir Budriez tidak mahu bertemu dengan mereka? Sedangkan perempuan-perempuan tidak tahu malu itu mahu berjumpa dengan lelaki itu, bukannya dengan dia! Pastinya Azreen cukup benci mahu menatap wajah setiap satu perempuan-perempuan itu. Gatal masing-masing bagaikan diri terkena biang keladi selori. Terlalu gedik!
“Aik… bunyinya macam kau cemburu aje,” usik Afza tersengih nakal. Keningnya sudah terjongket-jongket tinggi. Kelat senyumannya bila mendengar jawapan Azreen.
“Aku nak cemburu? Hei… tolonglah. Tak payah kata nak berdating, dia nak kahwin lain pun aku tak hairanlah. Lagi aku sudah adalah. Kalau dia kahwin tiga sekalipun lagi aku suka. Tak ada giliran untuk aku pun tak apa. Tak ada langsung pun lagi baik. Mata aku pun tak sakit tengok dia, tekak aku ni pun sihat tak perit dah nak bergaduh-gaduh dengan dia. Hati aku ni lagilah, happy aje memanjang.” Suara Azreen langsung terhenti di situ apabila matanya terpandang kelibat seseorang melangkah masuk ke ruang restoran makanan segera tempat dia dan Afza berada sekarang.
“Apanya?” Terpinga-pinga Afza bertanya bila lengannya ditepuk Azreen. Bulat saja matanya memandang Azreen memuncung bibir ke satu arah.
“Kau tengok perempuan tu.”
“Perempuan? Perempuan mana pulak ni, Reen? Ramai sangat perempuan kat dalam ni tau.” Afza sudah tercangak-cangak mencari.
“Itu, yang pakai baju macam dah nak telanjang tu.” Azreen mengunjuk jari tepat kepada seorang gadis yang berdiri tidak jauh daripada mereka. Ralit gadis itu berbual-bual dengan beberapa orang temannya tanpa menyedari pergerakannya sedang diperhatikan Azreen dan Afza.
“Apa pendapat kau tentang dia?” Sambil mencicip air minuman berkarbonatnya, Azreen bertanya. Matanya masih tidak bertukar arah. Afza juga begitu.
“Cantik orangnya, tapi seksi sangatlah pakaian dia tu. Tengok gaya macam anak orang berada. Boleh jadi dia model. Tapi itulah, nampak sombong aje. Tengok tu, langsung tak tahu nak senyum kat orang. Boleh pulak dia jeling mak cik yang beratur kat sebelah dia tu walhal bukan main lebar lagi orang tua tu senyum kat dia. Apa jenis perempuan pun tak tahulah.” Komen Afza lebih kedengaran seperti mengutuk sebenarnya. Tidak sedar sahabat baiknya, Azreen juga tidak kurang teruk tingkahnya walau penampilan Azreen jauh berbeza daripada penampilan gadis yang kini menjadi mangsa kutukan mereka. Sedangkan Afza tidak tahu.
Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Bukan saja dia, bahkan ramai lagi manusia di dalam dunia ini yang terlupa, malah ada juga yang langsung tidak mengambil tahu tentangnya.
Afza kembali memandang Azreen tatkala dia terfikir sesuatu. “Yang kau beria-ia suruh aku tengok perempuan tu kenapa? Kau kenal ke dia tu?”
“Apa pulak tak kenal. Kalau kau nak tahu, perempuan tulah bekas tunang Tengku Aamir Budriez merangkap bakal isteri tak jadi lelaki buaya tembaga tu,” beritahu Azreen selamba.
Afza terlopong lagi. Kali ini lebih luas. “Itu bekas tunang Tengku Aamir Budriez? Kau jangan main-main, Reen.”
Lekas-lekas mata Afza mencari semula kelibat Tengku Suraya. Gadis itu sedang leka menikmati hidangan bersama teman-temannya di satu sudut restoran. Sesekali kedengaran gelak tawa mereka hingga menjemput pandangan tidak selesa pengunjung-pengunjung lain. Sayang… muka cantik dah macam muka ratu, tapi perangai... alahai, macam hantu! Dia gelak ke mengilai tu? Sama macam puntianak! Hati Afza kembali mengutuk.
“Kenapa? Tak percaya?” soal Azreen tersenyum sinis.
“Memang pun! Gila kau, seksi betul perempuan tu. Macam tak cukup duit nak beli pakaian! Tapi, nak kata tak cukup duit, gaya tu macam terlebih duit. Mungkin nak berjimat kut, sebab tulah dia pakai pakaian singkat-singkat aje. Murah belanja kata orang! Tapi, kalau aku di tempat Tengku Aamir Budriez, tak adanya aku nak buat tunang. Buat kawan pun belum tentu aku mahu. Bukan nak memilih ke apa, tapi dalam Islam pun kita digalakkan mencari kawan yang baik. Barulah kita terikut-ikut baik. Ini kalau dah pakaiannya tu pun dah begitu, sendiri fahamlah perangainya macam mana pulak.” Panjang lebar Afza memberi komen ala-ala juri rancangan America’s Next Top Model.
“Sebab tulah aku rasa rumah tangga aku takkan selamat sampai kiamat pun,” sahut Azreen menyudahkan minumannya.
Dia tidak suka minuman manis seperti air berkarbonat itu, tapi membazir kan amalan syaitan? Walau dia tak baik sangat orangnya, tapi dia tak ada berminat untuk menjadi pengikut makhluk yang dilaknat Allah itu. Sekurang-kurangnya dia masih ada perasaan untuk berbuat baik dalam sesetengah perkara.
“Maksud kau?” Dahi Afza sudah berkerut. Tak faham.
“Perempuan tu masih mengganggu suami aku sampai sekarang.” Tenang saja Azreen memberitahu. Seolah-olah bahtera perkahwinannya dan Tengku Aamir Budriez aman dan bahagia saja pelayarannya ketika ini.
Afza terjegil. Terkejut. “Maknanya dia orang masih berhubunglah ya?”
Azreen mengangguk. “Setahu aku, dia masih cintakan Tengku Aamir Budriez. Tak tahulah dia cintakan suami aku tu atau duitnya aje. Maklumlah, lelaki bangsa buaya tembaga tu kan tak lokek nak menabur duit pada perempuan. Tu sebablah Tengku Suraya tak jemu-jemu berusaha nak dapatkan dia semula. Tapi, dia orang kan sepupu. Jadi, aku tak boleh salahkan dia jugak kalau hari-hari dia datang jumpa suami aku. Lagipun, apa aku kisah? Dia orang nak berjumpa ke, nak berdating ke, tak ada kena-mengenanya dengan aku. Janji tak kacau hidup aku sudah.”
“Kalau beginilah keadaan rumah tangga kau, Reen, aku rasa kau kena buat tindakan drastik untuk selamatkan rumah tangga kau tu.” Afza bersuara setelah terdiam beberapa saat. Dia bukan pelukis pelan, apalagi jurutera, tapi dalam kepalanya sudah terbentuk beberapa rancangan bagi mengukuhkan rumah tangga sahabat baiknya yang sedia bergoyang dari awal. Terbaik punya rancangan.
“Tindakan drastik apa pulanya, Za?” Kening Azreen sudah berkerut. Doktor Afza ni, macamlah dia tu pegawai perangkaan. Ada-ada sajalah pelan dia. Entah boleh pakai ke tidak, tak tahulah. Jangan menyusahkan hidup aku sudah, gerutu hati Azreen.
 “Mulai hari ni, kau kena mengurat suami kau habis-habisan. Biar dia tak pandang langsung perempuan lain,” tegas Afza bagai seorang ibu yang sedang menasihati anak menantunya yang bermasalah ketika ini. Bersemangat sungguh!
Hampir tersembur keluar air di mulut Azreen apabila mendengar jawapan serius Afza. “Hah?! Aku nak mengurat suami aku?”
Perlahan-lahan Azreen tersenyum sebelum dia tertawa selepas itu. Kuat hingga berair kelopak matanya. Kaget Afza memandang Azreen.
“Yang kau gelak sakan macam tersampuk jembalang tanah ni kenapa?” soalnya tak puas hati. Bertuah punya kawan. Aku bagi idea punya baik, dibantai gelak pulak. Gelak sakan pulak tu! Aku cucuk ubat pelali karang, koma jugak budak Azreen ni nanti!
“Alahai… Afza, Afza. Kalau ya pun kau nak bagi cadangan, bagilah yang bernas sikit. Aku sendiri pun tak kisah perempuan lain mengurat dia, kau nak suruh aku mengurat dia pulak. Itu bukan selesaikan masalah, tapi menambah masalah namanya. Tak pasal-pasal aku dah termasuk dalam golongan perempuan muka kulit biawak, tak tahu malu mengurat jantan macam tak dah tak laku sangat. Tak nak aku!” sahut Azreen lalu ketawa lagi. Dia terjerit kecil bila pap, penampar bisa Afza singgah ke lengannya.
“Apa ni, Za? Sakitlah!” marah Azreen sambil menggosok-gosok lengannya yang mula memerah. Betullah dia ni keturunan Mat Kilau. Bukan Datuk M. Daud Kilau penyanyi gelek tu, tapi Mat Kilau pahlawan termasyhur di Pahang sana nun. Sekali ditampar, pedihnya boleh terasa hingga ke dalam tulang!
“Tahu pulak rasa sakit. Boleh kau gelakkan cadangan terbaik aku tu ya? Hampeh punya kawan!” marah Afza sudah menjegil mata. Konon-konon sudah habis garanglah tu!
Azreen tergelak semula. “Mahu aku tak gelak. Cadangan kau tu sama aje macam cadangan budak sekolah menengah tak habis belajar, tapi dah gatal nak kahwin. Kalau ya pun, up gradelah sikit cadangan kau tu. Bagilah cadangan yang boleh bagi aku faedah ke, duit ke, happy ke.”
Azreen tersenyum. Dia sangat faham dengan perangai Afza. Nama saja doktor, tapi akal fikiran masih di tahap remaja terutama dalam bab-bab begini. Punyalah bersemangat nak menolong kawan, tapi hampeh! Tak boleh dipakai langsung cadangan gila-gilanya. Itu mesti sebab Afza sudah terjangkit pesakit-pesakit mental dialah agaknya. Jangan Afza betul-betul gila dahlah. Apa aku nak jawab kat Ayah Musa nanti bila anak dara dia dah sama taraf perangainya macam pesakit di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan? Belajar tinggi-tinggi jadi gila pulak. Kasihan… Akal Azreen sudah jauh merepek.
“Apa pulak cadangan budak sekolah menengah? Tu cadangan tip-top tau! Daripada kau biar perempuan lain yang mengurat suami kau, baik kau sendiri yang mengurat dia. Kau dapat pahala, suami kau pun makin sayang, rumah tangga kau pun selamat sejahtera. Tahu tak?” marah Afza memandang Azreen yang kembali beriak serius.
“Okeylah. Aku minta maaf. Aku sebenarnya bukan nak gelakkan kau, tapi aku betul-betul tak boleh terima cadangan kau tu. Kau fikirlah, Za, macam mana aku nak mengurat suami aku tu kalau nak tengok muka dia pun aku tak ada selera.?Tak lalu makan aku jadinya tahu. Tak payah kata mukalah, dengar suara dia pun aku rasa macam nak terajang dia bagi mati aje terus. Tapi, sebab aku masih ada iman dan akal waraslah aku tak jadi buat macam tu. Aku pun masih tahu apa adab sesama suami isteri walau aku tak pernahnya nak pratis semua tu dalam rumah tangga sendiri,” keluh Azreen.
“Dahlah, Za. Tak payahlah kita nak bersembang pasal hal ni lagi. Sampai subuh esok pun belum tentu habis bercerita. Jomlah aku hantar kau balik hospital. Masa rehat kau pun dah nak habis. Karang ada pulak pesakit kau yang mati kalau kau lambat rawat dia orang. Kita pun dah tentu sangatlah tak sempat nak solat zohor nanti,” sambung Azreen. Dia terus menolak kerusi lalu bangun.
Afza ikut serta. “Kau ni, Reen. Betullah mulut macam puaka. Sedap lidah kau aje nak cakap apa pun ya.”
“Sebab tulah keluarga suami aku tak sukakan aku, Za. Mulut aku ni, celopar tak ingat! Sepatah dia orang kata, seribu aku jawab. Dahlah tu, pedas ala-ala makan cili api sebakul pulak tu. Mahu tak terbakar dia orang nak tahan sabar dengan perangai aku. Agaknya kalaulah dia orang ada kuasa nak pancung orang macam raja zaman dulu-dulu tu, akulah orang pertama yang jadi korban.” Azreen tersengih dengan kata-kata sendiri.
“Kalau dah tahu orang tak suka, ubah-ubahlah perangai buruk kau tu sikit. Mulut tu, jangan main lepas aje bila bercakap. Lama-lama nanti, sayanglah dia orang kat kau.”
“Aku nak berubah perangai demi dia orang? Huh, tak ada maknanya! Hati sendiri pun aku tak jaga, inikan pulak nak jaga hati dia orang. Sendiri punya perangai, sendiri-sendirilah jaga. Apasal aku pulak yang kena berubah demi dia orang? Aku mati lepas tu hidup balik, lepas tu mati balik, lepas tu hidup balik pun aku takkan berubah. Lantaklah dia orang nak kata apa. Janji aku adalah aku. Ada faham?” ujar Azreen menjeling sekilas Afza di sisi.

“Reen, Reen… Habis modal dah aku nak nasihat kau.” Afza tergeleng perlahan. Sudah tidak tahu nak berkata apa lagi. Dia menyerah kalah!