Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 5



5
“Tak guna kau, Aamir! Sanggup kau kahwin dengan perempuan yang entah apa-apa tu ya? Aku ni tunang kau tau! Tapi, kenapa perempuan tak guna tu jugak yang kau pilih buat isteri? Dasar kasanova! Buaya darat! Mata keranjang!” maki Tengku Suraya. Dia terus membaling bantal kecil di tangan ke cermin panjang pada dinding.
Prang! Sekeping cermin bersinar kilat jatuh berderak menjadi serpihan-serpihan kecil hanya dalam beberapa saat.
“Kau ingat aku nak berdiam diri setelah apa yang kau buat pada aku? Mimpilah kau! Ini Tengku Surayalah. Pantang bagi aku nak mengalah begitu aje. Kau tunggulah, Aamir. Tahulah aku macam mana nak balas dendam pada lelaki tak guna macam kau tu!” maki Tengku Suraya lagi, bagai Tengku Aamir Budriez berada di depannya sekarang.
Hakikatnya dia seorang diri di ruang kamar tidurnya sejak tadi. Bermundar-mandir dengan hati yang sepanas air didihan takat maksimun. Biarpun sudah lebih daripadadua bulan bekas tunangannya itu bergelar suami orang, namun Tengku Suraya tidak pernah dapat menerima kenyataan itu. Dia langsung tidak dapat menerima!
“Bertahun-tahun aku tunggu nak bergelar Mrs. Tengku Aamir Budriez, senang-senang aje kau bagi gelaran tu pada perempuan lain ya? Kau ingat aku apa? Tunggul kayu? Batu? Langsung tak berperasaan? Sia-sia saja aku habiskan masa muda aku menunggu lelaki tak guna macam kau, Aamir!” Tengku Suraya masih tidak jemu-jemu memaki lelaki itu. Dia berpaling ke katil bila tiba-tiba telefon bimbitnya menjerit nyaring. Terhasil rengusannya apabila terpandang nama pada skrin telefon.
“Hah! Nak apa? Aku sibuklah! Banyak kerja yang aku nak buat sekarang! Nanti-nanti ajelah aku pergi!” jerkah Tengku Suraya sebelum dia terus memutuskan talian. Telefon bimbitnya dibaling ke tilam semula.
“Tak tahu ke hati aku tengah membara panas ni? Macamlah esok lusa tak boleh buat semua shooting tu. Dah aku bagi tahu aku tak boleh datang shooting hari ni, nak paksa-paksa apa lagi? Tak faham bahasalah tu!” rengus Tengku Suraya. Kali ini pengarah iklan pula yang menjadi mangsa makiannya. Dia menggigit hujung bibir. Akal pula ligat berfikir.
“Apa yang aku patut buat supaya Tengku Aamir Budriez dapat pengajarannya?” soal dia kepada diri sendiri sambil bermundar-mandir dalam bilik.
Rengusan Tengku Suraya terluah semula apabila telefon bimbitnya kembali berbunyi nyaring. Tanpa melihat nama pada skrin, dia terus menekan butang, menjawab.
“Hah! Nak apa lagi? Kan aku dah kata aku tak boleh pergi shooting hari ni? Kau orang tak faham bahasa Melayu ke?” tengking Tengku Suraya. Dia tergamam apabila kedengaran tawa kecil di hujung talian.
“Amboi… Garangnya cik model kita ni. Mentang-mentanglah dia model terkenal, main redah marah orang ya.” Suara garau milik seorang lelaki jelas kedengaran. Lelaki itu tertawa kecil. Tenang dan bersahaja. Bagai langsung tidak terasa dengan tengkingan gadis itu sebentar tadi.
“Err…. Datuk, maaflah. I tak perasan tadi. I ingatkan bos I tadi. Sorry ya, Datuk.” Tergagap-gagap Tengku Suraya meminta maaf. Dalam hati dia memaki diri sendiri. Lain kali tengok dulu siapa yang call, jangan main redah jawab aje. Tak pasal-pasal ikan jerung yang kau maki. Nasib baik dia tak marah. Kalau tak rugilah kau!
Kedengaran lelaki itu ketawa lagi. Langsung tiada tanda lelaki ternama itu terasa hati dengan perbuatan terburu-burunya. Menyenangkan telinga Tengku Suraya yang mendengar. Selamat aku! Hatinya bersorak girang.
That’s okay, dear. I faham. Model macam you ni selalu jadi rebutan orang. Sebab tulah bos you suruh datang kerja jugak walau you letih. Banyak iklan yang nak jadikan you model produk mereka sampaikan masa untuk diri sendiri pun you tak ada kan, dear?
Nada suara lelaki itu berubah menjadi sedikit gatal. Namun, Tengku Suraya suka. Sangat-sangat suka!
“Itulah. I ni dah letih tau kerja tak henti-henti. Ada saja job yang I kena buat setiap hari. Dari pagi sampailah ke malam sampai I jarang-jarang dapat rehat. Sekali-sekala nak jugaklah I release tension. Mahu I tak naik angin bila dia orang paksa I datang kerja jugak walhal I dah bagi tahu I nak berehat saja hari ni,” bohong Tengku Suraya, sedikit merengek manja.
Dia sebenarnya sengaja tidak menghadirkan diri ke tempat penggambaran. Marahnya yang keterlaluan terhadap terhadap Tengku Aamir Budriez tidak memungkinkan dia melakukan sebarang pekerjaan sepanjang hari ini. Tubuhnya sudah dilentang ke atas katil. Bibir pula sudah merekah senyuman lebar. Ikan jerung yang menelefonnya hari ini, bukannya ikan bilis. Masakan dia tak suka!
“Ooo… Jadi, hari ni you freelah ya? Hmm… kalau macam tu, apa kata kalau kita jumpa kat tempat biasa? I boleh tolong hilangkan tension you tu. Itu pun kalau you sudilah.” Pandai benar lelaki bergelar Datuk itu mengambil peluang, mempelawa penuh makna.
“Isy… tak sudi apanya, Datuk. Kecil tapak tangan, rumah kecil ni I tadahkan.” Tergedik-gedik Tengku Suraya membalas. Dalam hati, dia sudah terlonjak gembira.
“Datuk ada belajar ilmu sihir ke, Datuk? Macam tahu-tahu saja I tengah tension sangat sekarang,” sambungnya lagi. Hujung bantal peluknya dipintal-pintal sambil tubuhnya dilentangkan ke atas tilam.
“I tak perlukan ilmu sihir untuk tahu keadaan you, dear. You kan pujaan hati I, of course hati I boleh mengagak apa yang you rasakan sekarang. Pasti sama dengan rasa hati I jugak, bukan?” goda lelaki itu lagi. Lebar senyumannya mendengar gelak manja Tengku Suraya walau senyuman itu tidak dapat dilihat gadis itu ketika ini.
So, boleh kita berjumpa hari ni?” soalnya semula.
“Mestilah boleh, Datuk. Untuk Datuk, bila-bila masa saja I free,” ucap Tengku Suraya dengan lenggok menggodanya.
Really, dear? Okey, kalau begitu I datang jemput you sekarang. Dalam setengah jam lagi I sampai. Malam ni you tidur di kondo I ajelah ya?”
“Boleh saja, Datuk. I tunggu tau.” Suara Tengku Suraya lagi sempat memberi kucupan pada skrin telefon sebelum lelaki itu memutuskan talian mereka.
Yes! Yes! Yes! Dapat jugak aku jerat ikan jerung tua tu hari ni. Hmm… makan besarlah aku kejap lagi!” jerit Tengku Suraya girang.
“Tak menyesal rasanya aku jadi model iklan untuk syarikat dia walau hanya sekali. Tengok, masuk ni dah tiga kali kami keluar bersama. Setiap kali keluar dengan dia, poket aku mesti diisinya. Kalaulah selalu macam ni, boleh jadi jutawan aku.” Tengku Suraya tersenyum-senyum sendiri.

“Aku kena bersiap-siap sekarang. Takkan aku nak keluar dengan muka serabut ala-ala Mak Lampir ni. Tak pasal-pasal kali ni aje aku dapat keluar dengan jerung besar tu. Rugilah aku nanti,” tukas Tengku Suraya. Dia bergegas turun dari katil. Mula mempersiap diri hingga terlupa pada kemarahannya terhadap Tengku Aamir Budriez. 

No comments:

Post a Comment