Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 10



10
“Cuti hari ni, bro?
Tengku Aamir Budriez mendongak kepala. Memandang Tengku Khalid yang entah bila berdiri di tepi kolam. Lelaki itu sudah melangkah menuju ke kerusi rehat yang ada di sudut ruang. Tengku Aamir Budriez yang masih di dalam kolam segera ke tepi sebelum memanjat tebing. Tak lama, dia sudah mendapatkan Tengku Khalid.
“Kau dari mana ni?” soal Tengku Aamir Budriez. Dia mencapai tuala di kepala kerusi rehat. Dilap tubuh basahnya. Dua jam berenang di kolam menyegarkan tubuh tegapnya yang jarang-jarang mendapat rehat yang cukup kebelakangan ini.
“Dari tempat kerja. Tadi aku pergi pejabat, kau tak ada. Kau tak kerja ke hari ni?” soal Tengku Khalid. Dia menyandar tubuh ke kerusi. Lenguh setelah seharian memerah tenaga bekerja.
“Kerja, tapi separuh hari aje. Letihlah, bro. Banyak kerja yang aku perlu selesaikan kat pejabat tu dua tiga hari ni. Nak harap kau tolong aku, kau tak minat pulak,” sahut Tengku Aamir Budriez. Sempat lagi dia menyindir sepupu lelakinya nan satu itu.
Tengku Khalid tersenyum lebar.
Sorrylah, Aam. Aku memang tak minat nak kerja dalam bidang hartanah. Bukan aku tak nak cuba, tapi aku tahu memang aku tak boleh. Lagipun aku tak macam kau, cekap dan berpengalaman luas. Setakat jadi interior designer, naklah aku,” ujar Tengku Khalid. Dia langsung tidak terasa dengan kata-kata lelaki itu.
Tengku Aamir Budriez hanya mencebik. Sudah lali mendengar alasan yang sama diluah Tengku Khalid setiap kali perkara itu dibangkitkan.
Sesekali timbul rasa kasihan Tengku Khalid terhadap Tengku Aamir Budriez. Sejak dulu, hanya sepupunya itu yang sanggup meneruskan legasi syarikat yang ditubuhkan oleh arwah datuk mereka. Selaku anak sulung, arwah ayahanda Tengku Aamir Budriez mengambil alih perniagaan hartanah keluarga setelah arwah datuk mereka meninggal dunia. Namun, tak lama sebelum lelaki itu pula meninggal dan syarikat diambil alih oleh Tengku Wahid, ayah saudara bongsu mereka. Setelah Tengku Aamir Budriez pulang ke tanah air sebaik tamat pengajian di luar negara, syarikat itu diserahkan kepada dia sepenuhnya memandangkan Tengku Wahid mempunyai dua syarikat miliknya sendiri.
Manakala Tengku Khalid, satu-satunya sepupu lelaki yang Tengku Aamir Budriez punyai, lebih selesa menguruskan syarikat rekaan dalaman yang ditubuhkan sejak dia menamatkan pengajiannya dulu.
“Ialah tu, Khal. Aku faham. Tak guna aku paksa kau kerja kat syarikat tu kalau kau tak suka. Nasib akulah kena uruskan semuanya seorang diri. Tapi, aku tak kisah sebab aku tahu, setiap orang ada minatnya sendiri. Apa pun, aku bersyukur sebab kau dan Ayahanda Wahid sentiasa ada setiap kali masalah timbul kat syarikat tu,” ujar Tengku Aamir Budriez. Sangat-sangat berterima kasih dengan pertolongan mereka.
Biarpun masing-masing punya tanggungjawab besar terhadap syarikat sendiri, namun Tengku Khalid dan Tengku Wahid tidak melepas tangan begitu saja. Keadaan itu juga menjadi sebab Tengku Aamir Budriez sanggup memegang amanah meneruskan perniagaan keluarga mereka walau dia sendiri hakikatnya mempunyai impian untuk membuka perniagaan sendiri satu ketika dulu.
“Dah nama pun saudara, Aam, kenalah tolong-menolong. Tapi, aku tolong setakat mana yang aku mampu ajelah. Lain daripada tu, aku serahkan pada kaulah. Kau kan CEO syarikat, kau yang lebih layak uruskan semuanya,” sahut Tengku Khalid sebelum melilau mata ke sekeliling.
“Dah petang sangat ni. Isteri kau mana? Tak balik kerja lagi ke?” soalnya. Dia kembali meletak mata ke wajah sepupunya. Lelaki itu merengus.
“Kau tahu sajalah perangai Azreen tu. Selagi tak tengah malam, selagi tulah tak nampak bayang dia kat rumah ni. Nak kata aku tak tegur, dah berbuih-buih mulut aku nasihatkan dia. Mesej, call, tak payah cakaplah. Habis crredit handphone aku kat dia aje. Bukan nak berkira, tapi aku geram. Sikit pun dia tak hormatkan aku sebagai suami,” ujar Tengku Aamir Budriez lebih kepada mengadu. Sakit hati mengenang sikap Azreen yang tak pernah-pernah berubah sejak awal perkahwinan mereka.
“Mesti ada caranya untuk kau lembutkan hati batu dia tu, Aam. Cuma belum sampai masanya lagi, tapi kau jangan cepat putus asa. Selalulah berdoa Am moga-moga kau temui cara untuk lembutkan hati isteri kau tu.” Sebagaimana biasa, Tengku Khalid tetap tidak lokek memberi nasihat.
“Aku tahu, Khal, tapi dah tiga bulan jadi aku dan Azreen jadi suami isteri. Keadaan kami tetap macam ni jugak. Seorang kat barat, seorang kat timur. Sampai bila nak jadi begini pun tak tahulah,” keluh Tengku Aamir Budriez.
Tubuhnya yang tidak berbaju disandar ke kepala kerusi. Mata pula menerjah ke tengah kolam renang yang kembali tenang, bagai tidak pernah terusik. Berharap moga-moga tasik hatinya juga setenang air di kolam itu.
“Sekali-sekala aku terfikir jugak. Mungkin inilah balasan Allah pada aku kerana selalu permainkan hati perempuan selama ini. Pelik, kan? Dalam ramai-ramai perempuan yang aku kenal, tak kiralah anak dara ke, janda ke, andartu ke, tak ada seorang pun yang melekat dengan aku. Tup-tup, Azreen yang tak ada kena-mengena dengan aku pulak yang jadi isteri aku. Dahlah perangainya tu pun langsung tak sama dengan semua perempuan yang pernah aku damping dulu. Jangan kata nak manja, nak senyum kat aku pun susah. Dengan keras kepalanya, degilnya yang amat, tak dengar cakap pulak. Mulut dia tu lagilah, celopar tak ingat! Harap fizikal aje cantik, tapi perangai dia, ya Rabbi. Kadang-kadang tu tercabar jugaklah kesabaran aku bila bercakap dengan dia. Tapi, nak buat macam mana. Dah nama pun isteri. Macam mana buruk sekalipun perangai dia, terpaksalah aku terima jugak.”
“Salah kau fikir macam tu, Aam. Ini bukan balasan Allah terhadap perangai buruk kau dulu tu, tapi ini adalah ujian Dia untuk kau. Jangan kau nak salahkan diri kau saja. Dalam hal ni, salah perempuan-perempuan yang gilakan kau tu jugak. Kalau dia orang tu kuat iman dan pandai jaga diri sendiri, tak adanya dia orang nak tergoda dengan perangai kasanova kau tu. Selama ni pun kau hanya mainkan hati dia orang. Taklah sampai kau pernah rosakkan dia orang atau apa-apakan dia orang, kan? Jadi kenapa kau nak salahkan diri kau pulak atas apa yang berlaku.
Tentang Azreen, aku rasa memang Allah dah tentukan dia jodoh kau. Cuma sebelum tu Dia nak uji sama ada kau betul-betul ikhlas berubah atau hangat-hangat tahi ayam aje. Yalah, selama ni kan kau dah masak benar dengan perangai orang perempuan. Jenis perempuan apa yang tak pernah digoda kau? Lemah lembut? Manja tergedik-gedik? Miang-miang keladi tak payah cakaplah, tersangat-sangatlah ramai walau masing-masing buat-buat jual mahal masa mula-mula kenal. Jadi bila dah dapat isteri sebeku bongkah ais, nak tak nak kau kenalah bentuk dia, tapi berpatut padanlah. Jangan pulak kau paksa dia buat apa yang dia tak suka semata-mata kau nak dia jadi isteri impian kau,” nasihat Tengku Khalid panjang lebar.
Bagai dia sudah banyak pengalaman berumah tangga. Tapi, tak semestinya baru berkahwin baru tahu tentang hal dunia perkahwinan. Mata kan ada, bacalah buku yang berkaitan. Tak saja kisah rumah tangga, macam-macam kisah pun ada dalam dunia ilmu. Sebab tu tidak rugi kalau minat membaca. Banyak pengetahuan yang kita dapat. Bukankah Islam pun menggalakkan umatnya menambah pengetahuan tak kira masa? Dapat pahala lagi.
“Aku tak paksa dia pun dia tetap macam tu jugak, Khal. Buatlah apa pun, tak adanya dia nak bagi respons. Kalau aku paksa dia bercakap samalah macam aku menjolok sarang tebuan aje. Menyengat tak ingat! Berhari-hari jugaklah aku nak sejukkan hati terbakar aku ni. Hei…aku sendiri pun tak tahulah lama mana lagi aku boleh bersabar dengan tingkah isteri aku tu. Kalau lelaki lain, dah lama rasanya Azreen kenyang makan penampar. Itu pun dia tak tahu bersyukur dapat suami sesabar aku ni.”
“Jangan esok-esok kau tak sabar nak terkam dia sudahlah, Aam. Isteri kau tu memang biadab perangainya, tapi kalau kau tenung lama-lama muka ala-ala Angelina Jolie dia tu, boleh meleleh jugak air liur kau tu tau,” usik Tengku Khalid. Sengaja mahu membentuk senyuman pada wajah suram lelaki itu. Namun, nyata gagal bila mana wajah itu tetap sama riaknya. Bahkan lebih kelat daripada tadi.
“Kau tak cakap pun aku dah tau, Khal, tapi apa boleh buat. Orang dah tak sudi bagi. Takkan aku nak terkam jugak. Kalau tak melawan lain ceritalah. Ini dah macam singa betina aje perangai isteri aku tu. Jangan kata nak peluk, nak cuit pun belum tentu dia izin tau. Punyalah dia menyinga dengan aku,” cebik Tengku Aamir Budriez.
Tak ada niat hatinya nak menjaja keburukan isteri pada sesiapa. Namun, sebagai manusia, dia tak dapat lari daripada merasa sakit bila hati digores orang tersayang.
“Bonda pula langsung tak berkenan dengan Azreen. Pantang tengok muka aku kat rumah, ada saja laporan dia nak bagi pasal isteri aku. Azreen tarik mukalah, Azreen biadab sangatlah dan macam-macam lagilah sampai dah tuli telinga aku nak dengar semua tu. Itu baru bonda. Belum masuk laporan dia orang yang lain pulak. Senang cakap semua orang dalam Teratak Indah ni memang tak suka langsung kat isteri aku. Tapi, nak salahkan dia orang pun tak boleh jugak. Azreen sendiri tak pernah nak jaga hati dia orang selama kami kahwin ni. Entah apa yang dia marahkan sangat pada kami pun tak tahulah aku,” keluh Tengku Aamir Budriez lagi.
Kadangkala terlintas di kepala Tengku Aamir Budriez, besar sungguhkah kesalahannya hingga benci benar Azreen kepadanya? Memang dia akui, memang salahnya mereka ditangkap berkhalwat. Salahnya juga kerana langsung tidak membantah apabila diminta berkahwin dengan Azreen dan salahnya juga kerana memaksa Azreen tinggal di Teratak Indah bersama keluarganya selepas berkahwin.
Tapi, bukankah dia sudah dan terus-terusan berusaha untuk menebus semuanya dengan melayan Azreen lebih daripada sepatutnya? Segala tingkah buruk, Tengku Aamir Budriez telah membuangnya ke tepi. Dia juga tidak pernah lagi melayan mana-mana perempuan yang ingin mendampinginya. Dia telah tinggalkan segala-galanya demi Azreen, isteri yang kini menjadi ratu hatinya sepenuhnya. Jadi di mana lagi kurangnya dia hingga sampai sekarang Azreen masih tegar dengan sikap dinginnya? Bingung Tengku Aamir Budriez memikirkannya.
“Mungkin kau boleh siasat sebab musabab Azreen jadi macam tu. Mana tahu, kau akan dapat jawapannya nanti.”
“Maksud kau?” soal dia, agak tertarik dengan cadangan itu.
“Kau sendiri kata Azreen sendiri tak pernah nak jaga hati saudara-mara kita selama kau orang berkahwin ni. Aku rasa, dia ada sebabnya sendiri kenapa dia bersikap macam tu dan aku rasa, semua tu dia lakukan hanya pada kita sekeluarga saja, bukan pada orang lain. Kalau tidak, macam mana dia boleh bertahun-tahun bekerja kat tempat kerja dia tu? Nak kata dia biadab, dia layan baik semua kanak-kanak. Nenda kita sendiri pun sayang sangat kat Azreen. Siap puji Azreen lagi setiap kali nenda datang ke sini. Jadi aku yakin, mesti ada sesuatu yang kita semua tak tahu tentang Azreen,” hujah Tengku Khalid meluah pendapat sendiri.
“Kau rasa kenapa ya dia buat sikap begitu pada kita?” soal Tengku Aamir Budriez setelah berfikir kebenaran kata-kata lelaki itu beberapa saat.
Tengku Khalid mengangkat bahu. “Aku tak tahu, tapi itulah yang perlu kau siasat sekarang. Barulah kau tahu kenapa Azreen bersikap biadab macam tu pada kita semua, terutamanya pada kau, suami dia sendiri.”

Tengku Aamir Budriez terdiam. Akalnya kembali ligat berfikir. 

2 comments: