“Mak tak peduli. Apa jadi sekalipun, kamu kena
kahwin jugak tahun ni. Muktamad!”
Terkebil-kebil
Mayamin memandang wajah cemberut Puan Saleha. Dia baru saja sampai ke rumah.
Punggungnya pun masih belum sempat dilabuhkan ke sofa. Tahu-tahu sudah disergah
begitu. Siapa yang tak terpinga-pinga?
“Kenapa ni mak? Tiba-tiba aje naik angin. Mak salah makan ubat ya hari
ni? Aduh!” Pantas Mayamin menggosok-gosok pahanya yang diketip Puan Saleha.
Perit!
“Ubat kepala hotak kamu! Mak
tak peduli. Kamu suka ke tak, mak nak kamu kahwin jugak dalam tahun ni.
Calonnya, biar mak yang cari. Nak harapkan kamu? Huh! Anak sulung kakak kamu
dah masuk universiti pun belum tentu kamu nak cari,” bebel Puan Saleha. Dia
tetap bermundar-mandir dengan kedua-dua tangan sudah disilang ke belakang.
Sejak awal asar Puan Saleha sudah menanti kepulangan anak daranya itu.
Hatinya tidak rindu kepada Mayamin kerana mereka tinggal serumah, tapi hatinya
geram memikirkan sikap Mayamin. Endah tak endah saja reaksi gadis itu setiap
kali Puan Saleha membuka bab perkahwinan. Umur saja dah tua tapi perangai macam
kanak-kanak baru masuk sekolah!
“Hah? Mak nak tolong cari calon untuk Maya? Biar betul mak ni. Sejak
bila mak buka agensi mencari jodoh ni mak? Maya tak tahu pun. Hahaha...” ujar
Mayamin sudah ketawa sendiri. Dia mengaduh lagi bila cubitan kedua Puan Saleha
singgah di pahanya.
“Kamu jangan main-main dengan mak, Maya. Dah lama mak bersabar dengan
perangai kamu. Kali ni mak takkan bagi peluang lagi dah. Kalau kamu tak nak
kahwin jugak tahun ni, kamu jangan mengaku mak ni mak kandung kamu. Faham?”
Suara Puan Saleha jelas kedengaran tegas. Sangat tegas sebenarnya. Penat-penat
dia mencari idea untuk mengahwinkan anak dara bongsunya itu. Alih-alih usaha
murninya diketawakan tuan punya badan sendiri. Siapa yang tak sakit hati?
“Kalau mak tak bagi Maya mengaku mak ni mak kandung Maya, Maya nak
bagi tahu apa pulak kat orang kalau orang tanya siapa mak tu pada Maya? Takkan
Maya nak kata mak ni mak angkat Maya pulak!” Mayamin kembali tersengih bila Puan
Saleha mencerlung mata kepadanya semula. Lebih tajam daripada tadi. Jelas
wanita itu benar-benar dirasuk marah saat ini.
“Kamu ni memang nak kena Maya. Mak tengah serius ni. Kamu pulak tahu
nak main-main aje. Jangan sampai mak sumpah kamu jadi cengkerik. Masa tu baru
kamu tahu syurga kamu tu ada kat tapak kaki mak ke kat tapak kaki orang lain!”
Gulp!
Mayamin tertelan air liur sendiri. Puan Saleha sudah meninggi suara. Maknanya,
maknya itu akan mengotakan kata-katanya. Dia tidak sengaja mentertawakan niat
Puan Saleha. Tapi bukankah lebih afdal jika dia tidak dipaksa melakukan perkara
yang tidak pernah mendapat tempat dalam urat-urat mindanya selama ini?
“Mak ni, garang sangatlah. Macam Pak Cik Dollah, tentera pencen
sebelah rumah kita tu aje. Tapi kan, siapa sebenarnya yang nak kahwin ni mak?”
soal Mayamin masih juga menayang muka selamba.
Perlukah
dia bersikap serius gara-gara dipaksa melakukan sesuatu yang dia tak suka? Oh,
tidak sama sekali. Buat dirinya cepat tua saja walau usianya sudah layak dipanggil
anak dara tua. Sedang dia tidaklah setua mana.
“Amboi, boleh lagi kamu tanya siapa nak kahwin ya? Kamulah Mayamin Nur
oi! Takkan kakak kamu yang dah beranak pinak tu pulak yang nak kahwin!” jerkah
Puan Saleha. Sudah melangsing suara setinggi mungkin.
Dah aku cakap terang-terang pun masih nak tanya soalan bodoh begitu.
Betullah budak ni nak aku cepat mati! Hati Puan Saleha ikut marah.
Marlisa
yang duduk bersilang kaki di sofa bertentangan Mayamin sudah tersenyum
mengejek. Main-main lagi, kan dah kena marah. Padan muka! Marlisa menggerakkan
mulut tanpa suara.
Mayamin
mencebik. Podah! Ingat aku kisah?
Boleh jalanlah! Mayamin tersentak bila suara lantang Puan Saleha kembali
kedengaran.
“Mayamin Nur! Kamu dengar tak apa yang mak cakap ni?” jerkah Puan Saleha
sudah mencekak pinggang di depan anak daranya.
“Mak
cakap apa?” soal Mayamin terpinga-pinga.
“Eii... Kenapalah aku dapat anak berperangai begini, ya Allah? Salah
aku mengandung ke memang ini perangai semula jadi anak aku ni?” Puan Saleha
mengeluh geram. Dia tetap juga bermundar-mandir di ruang tamu biarpun sudah
hampir dua jam kakinya berkawad tanpa henti.
Sesekali
Puan Saleha mengerling Encik Nasrom di hujung ruang. Tekun lelaki itu menelaah
tafsir al-Quran usai bersolat asar tadi. Langsung suaminya itu tidak
mengendahkan sekeliling. Namun Puan Saleha tahu, Encik Nasrom tetap memasang
telinga. Mencuri dengar perbualan mereka anak-beranak.
“Maya, kamu suka atau tidak, mak nak kahwinkan kamu tahun ni jugak.
Tak boleh kata tak. Sebarang bantahan tidak akan dilayan. Faham, wahai anakku
yang bongsu?” tegas Puan Saleha memandang tepat-tepat wajah blur anak
bongsunya.
“Ooo... Maya nak kahwin dengan siapa mak?” soal Mayamin bagai mereka
bercakap tentang jodoh anak jiran saja. Tangan pula sibuk membelek-belek kuku
jari-jemari yang dirasakan semakin panjang. Tidak sempat dia nak memotongnya
kerana sejak kebelakangan ini dia sibuk di kedainya. Apatah lagi dia sedang
‘bercuti’ sekarang. Lagilah dia terlupa tentang perkara itu. Mayamin kembali
tersentak bila suara Puan Saleha kedengaran semula.
“Dengan oranglah, takkan dengan jin pulak!” jerkah Puan Saleha mula
hilang sabar. Nak kata anak aku ni lembam, sejak kecil dia selalu dapat
keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan. Tapi kenapa dalam bab-bab kahwin
ni otak dia lambat pick-up sangat? Akal Puan Saleha tertanya-tanya
sendiri.
“Tahulah dengan orang tapi siapa orang tu mak?” balas Mayamin masih
dengan nada serupa. Biasa-biasa saja tanpa ada rasa mahu tahu. Apatah lagi
teruja. Dia nak teruja bila sebut tentang bab perkahwinan? Kirim salam!
“Amboi... Tak nak kahwin lagi konon tapi tanya macam-macam. Tak sabar
nak naik pelamin dah ya dik?” sampuk Marlisa tersengih-sengih mengusik adik
bongsunya. Sejak dua jam lepas, dia berada di rumah kedua-dua orang tua mereka selepas
menghantar anak sulungnya ke sekolah kebangsaan agama. Sengaja dia menanti
kepulangan Mayamin petang itu.
Dia ikut sama mahu tahu keputusan Mayamin bila diutarakan tentang bab
yang sedang hangat dibincangkannya bersama Puan Saleha sebelum kepulangan
Mayamin sebentar tadi. Walau Marlisa sudah tahu keputusan yang bakal diluahkan
Mayamin, dia tetap mahu tahu. Manalah tahu, gadis itu akan mengubah fikirannya
kali ini. Tapi nampaknya, sama sahaja keadaannya. Tak jalan!
“Salah tu kak. Bukan Maya tak sabar naik pelamin, tapi Maya tak sabar
nak tahu siapa dia insan malang yang ada hati nak jadi suami Maya tu. Kalaulah
dia tahu apa gelaran mak pada Maya, confirm awal-awal lagi dia reject
Maya. Ikut keturunan sebelah maklah katakan,” sengih Mayamin. Dia segera
mengelak bila Puan Saleha cuba mengetam pahanya. Terkekeh-kekeh dia ketawa
melihat wajah merah padam maknya. Marahlah tu!
“Huh! Kalau tak kerana keluarga mak pun, mulut kamu memang dah becok
macam murai tercabut ekor tahu tak?” getus Puan Saleha. Geram dia kerana tidak
dapat mencubit anak daranya. Lagi marah mengingatkan kata-kata gadis itu.
Macamlah keturunan aku teruk sangat. Huh! dongkol hati Puan Saleha.
“Mak tak kira, mak nak kamu kahwin jugak tahun ni Maya. Kalau kamu tak
mahu pun, kamu kena mahu jugak kalau nak mak mengaku kamu anak kandung mak,”
ujar Puan Saleha masih tegar dengan ugutannya. “Siapa pun orangnya, mak akan
cari nanti. Lantaklah kamu suka dia ke tak, janji mak dapat menantu tahun ni.
Keputusan mak dah muktamad. Kalau bantah siaplah kamu!”
Mayamin hanya mengeluh bosan. Sikit-sikit nak mengugut. Apa, keturunan
lintah darat ke mak aku ni? Ke keturunan Sarip Dol Kampung Dusun? Suka sangat
mengugut. Aku pulak yang mengugut nanti, baru tahu!
“Lelaki yang mak nak bagi pada Maya tu ada ke ciri-ciri lelaki yang
Maya nak?” soal Mayamin jelas tidak bermaya nadanya. Sesekali dia mengerling
penuh harap kepada Encik Nasrom.
Tolonglah anakmu ni ayah. Diriku berada dalam tahanan mak yang
nampaknya sudah menjadi Adolf Hitler versi bangsa Melayu ni. Hatinya menjerit
tapi Mayamin tak berani nak diluahkan. Apalagi di depan Puan Saleha. Nak mati?
Kena sembelih nanti!
“Alhamdulillah... Normal rupanya adik aku ni ya. Ada jugak rupanya
ciri-ciri lelaki impian dia,” sampuk Marlisa pura-pura mengamin. Dia tersengih-sengih
memandang Mayamin merengus.
Kurang
asam punya kakak!
“Apa? Ingat Maya tak pernah cakap pasal kahwin, Maya tak ada hak nak
pilih lelaki yang nak dikahwinkan dengan Maya?” cebik Mayamin.
Ini mesti tak ada orang lain, kakak punya kerjalah ni. Jadi batu api
kat mak. Kalau tidak tak adanya mak nak naik hantu macam ni sekali. Hampeh
betul! marah hati Mayamin kepada Marlisa yang pastinya tidak dapat mendengar
semua itu.
“Hah, apanya ciri-ciri lelaki yang kamu nak tu?” sergah Puan Saleha.
Budak Maya ni bukan boleh dipercayai sangat. Merapu saja lebih, rungut hati
Puan Saleha.
“Maya kalau boleh nak seorang lelaki yang baik, ada agama dan paling
penting mak, dia ada telinga yang besar ala-ala telinga arnab tu. Tapi jangan
telinga aje yang besar, lubang telinganya pulak hanya sebesar lubang cacing
aje. Maya cakap aje dia tak dengar. Memang Maya mengamuk nanti,” ujar Maya
bersungguh-sungguh. Pura-pura serius.
Serentak
mata Puan Saleha dan Marlisa membulat.
“Kamu ni gila ke apa Maya? Mana pernah ada manusia bertelinga begitu?”
jerkah Puan Saleha nyata tidak puas hati. Ni mesti nak tolak bakal jodoh
pilihan aku. Macamlah aku tak tahu taktik basi dia tu. Hati Puan Saleha kembali
mendidih.
“Kau ni nak kahwin dengan orang ke dengan jin Maya? Mana ada manusia
bertelinga begitu?” soal Marlisa turut tak puas hati dengan jawapan adiknya.
Macam main-main! Siapa boleh percaya?
“Eh, apa pulak tak ada. Mickey Mouse tu boleh aje bertelinga besar.
Awek dia Minnie pun sama. Comel aje rupanya pun,” jawab Mayamin selamba.
“Itu kartunlah bengong, bukan orang. Sabar ajelah aku dapat adik
perangai sewel macam ni,” sergah Marlisa terus membaling kusyen tepat ke muka
Mayamin. Geram kerana dipermainkan oleh adik sendiri. Mujur Mayamin sempat
mengelak. Gadis itu terkekeh ketawa.
“Tak boleh ke kamu serius sikit Maya? Mak tengah cakap tentang masa
depan kamu, boleh pulak kamu main-main ya? Lama-lama mak layan perangai sengal
kamu ni, mak boleh dapat sakit jantung tahu,” marah Puan Saleha bosan sudah
dengan sikap Mayamin.
Usia saja sudah mencecah awal 30-an tapi perangai tetap seperti remaja
belasan tahun. Entah hormon apa yang terlebih di dalam tubuh Mayamin, Puan
Saleha tidak tahu, tapi dia memang tidak suka Mayamin berkelakuan begitu. Macam
mana Mayamin boleh menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kalau diri
sendiri seperti kanak-kanak yang suka minum Ribena? Terlebih riang!
“Maya seriuslah ni mak. Mak sendiri pun kata Maya ni macam murai
tercabut ekor, cakap tak henti-henti. Takkanlah Maya nak kahwin dengan lelaki mulut
bergam UHU pulak. Confirm tak sesuai punya,” ujar Mayamin.
“Amboi,
memilih!” ejek Marlisa.
“Orang kahwin bukan kira perangailah dik tapi kira serasi ke tak. Tak
kiralah dia tu bisu sekalipun, kalau dia boleh bahagiakan kau, itu dah cukup
baik tahu,” bidas Marlisa geram.
“Betul cakap kakak kamu tu. Kamu tu dah tua Maya. Dah masuk tiga
puluh30 tahun. Bila lagi kamu nak kahwin kalau bukan sekarang?” marah Puan
Saleha.
“Alah, mak ni. Maya baru masuk 30 tahun, bukan dah 50 tahun. Nak kalut
apanya? Lainlah kalau Maya dah bongkok tiga, bolehlah mak susah payah nak
kahwinkan Maya pun.”
“Kamu ni Maya, cakap tak pakai otak. Siapa yang nak kahwin dengan
perempuan tua yang tunggu masa nak masuk kubur aje tu?”
“Apalah mak ni, tua aje masuk kubur, tua aje dah tak laku. Setakat nak
masuk kubur tu, tak payah tunggu tua. Muda-muda pun dah boleh masuk kalau umur
tak panjang. Tak payah tunggu esok lusa, sekejap lagi pun boleh meninggal kalau
dah sampai ajal.”
“Menjawab!
Menjawab! Tu saja yang kamu tahu!” jerkah Puan Saleha.
“Mak tak cakap pasal tua, pasal mati, tapi pasal kamu tu. Bila lagi
kamu nak kahwin kalau bukan sekarang? Takkan nak tunggu umur kamu dah masuk
empat, lima puluh tahun baru nak beranak pinak? Kamu pun masa tu dah menopaus
tahu!” Berombak-ombak dada Puan Saleha sewaktu bersuara. Geram melihatkan
perangai anaknya.
Tidak perasan Encik Nasrom yang memandang tingkah mereka tiga beranak
dari tempat duduknya sudah mengeleng-geleng beberapa kali. Apa nak jadi dengan
dia orang ni. Tak habis-habis nak bertekak mengalahkan orang berperang kat Gaza
aje. Entah bila nak berdamai pun tak tahulah, getus hati kecil Encik Nasrom.
Malas dia nak masuk campur.
“Menopaus pun menopauslah mak, janji Maya tak menyusahkan orang. Nak
takut apanya kalau menopaus sekarang pun. Dah memang azali semua perempuan kena
merasa zaman menopaus tu bila sampai waktunya. Lainlah kalau mati muda, tak
sempatlah nak merasa.”
Jawapan
selamba Mayamin menghasilkan keluhan kecil Marlisa dan Puan Saleha, hampir
serentak.
“Masalahnya Maya, kalau kau tak kahwin sekarang, mana kau nak dapat
zuriat kau? Kau tak risau ke hidup sorang-sorang bila tua nanti?” sampuk
Marlisa.
Bosan sudah dia bercakap dengan Mayamin yang lagaknya mahu hidup
seperti dalam cerita klasik Peter Pan, muda remaja selama-lamanya. Marlisa
sudah bergelar ibu kepada tiga orang anak. Jadi dia sendiri dapat merasa
perasaan yang ada di hati Puan Saleha bila dirasakan anak-anak masih tidak
bergerak-gerak ke tahap kehidupan yang seterusnya.
“Kalau dah ditakdirkan Maya hidup sorang, Maya terima aje kak. Lagipun
teknologi zaman moden kita kan canggih. Tua-tua pun boleh mengandung apa kalau
kena caranya. Lagi satu, tak kahwin pun Maya boleh ada anak sendiri walau tak
berlaki,” kata Mayamin sudah tersengih-sengih. Dijongket keningnya beberapa
kali. Sengaja mahu membakar hati kakak dan maknya yang sedia memerah marah.
“Moden tengkorak kamu! Zaman saja moden tapi ajaran agama kita tetap
takkan berubah sampai kiamat nanti, tahu tak!” jerkah Puan Saleha semakin panas
hatinya.
“Kamu jangan buat kerja gila Maya. Tak pernah ada dalam keturunan mak
dan ayah, anak-anak menconteng arang ke muka orang tua,” sambung Puan Saleha.
Wajah ceria Mayamin dirasakan semakin kecil saja pada pandangan
matanya. Ikutkan hati, mahu saja dia memulas-mulas tengkuk anaknya itu. Tapi
Puan Saleha masih belum gila dan harap-harap dia tidak akan gila sepertimana
orang gila yang berada di Hospital Bahagia hanya gara-gara melayan perangai
gila-gila anaknya nan seorang itu.
“Mak ni, Maya gurau ajelah. Macam tu pun nak sentap. Kalau Maya nak
conteng muka mak ayah pun, Maya pakai marker ke, colour pencil ke,
barulah best. Tak pun, Maya guna water colour aje ya mak. Senang sikit nak padam.
Macam-macam warna pulak tu. Hahaha...” ujar Maya terus bangun berlari ke
tingkat atas bila suara Puan Saleha menggegarkan isi rumah.
“Mayamin
Nur!” jerit Puan Saleha sekuat-kuatnya. Sakit hati dengan perangai gila-gila
Mayamin. Sakit sangat-sangat!
No comments:
Post a Comment