Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 5 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 5
“Amboi, amboi... Tahulah kepala kau tu banyak kutu tapi tak payahlah nak tergaru-garu mengalahkan beruk. Kalau mendarat seekor dua kat kepala aku ni, mahu seminggu dua jugak mak ayah aku tak nak dekat-dekat dengan aku tau.”
Terhenti terus gerak jari-jemari Aina. Dia berpaling. Wajah selamba Mayamin yang pura-pura sibuk menaip sesuatu di komputernya dipandang tajam.
“Ewah... sedapnya bahasa. Kau ingat kepala aku ni pusat ternak kutu ke anak Encik Nasrom oi? Apa, perempuan separuh jantan macam aku ni tak tahu nak jaga kebersihan diri ke? Salah oranglah!” marah Aina.
Dia menghenyak kasar tubuhnya ke kerusi berdepan Mayamin. Dibetulkan kedudukan topi di kepalanya. Sedikit senget bila Aina menggaru-garu kepala sendiri tadi. Bukan gatal tetapi sudah menjadi tabiatnya menggaru kepala bila berfikir-fikir. Nak kata apa lagi.
Mayamin mencebik. “Eleh, salah kau jugak. Masuk aje dalam bilik kerja aku terus tergaru-garu macam...”
“Macam apa? Beruk?” pintas Aina pantas.
“Sekali lagi kau kata aku macam beruk, aku lipat-lipat badan sekeping kau tu jadi sama bentuk dengan roti sardin. Biar semua pelanggan setia kau lari ke kedai lain nanti. Harap duit aje masuk berkoyan-koyan dalam poket tapi mulut tu tak pernah dibelinya insurans,” kutuk Aina. Sambil itu dia mengetuk-getuk tepi meja kerja gadis itu dengan pen yang diambilnya dari sisi meja kerja Mayamin.
“Huh. Nak lipat-lipat badan aku konon,” ejek Mayamin.
“Kau yang patut suluh badan kau tu kat cermin. Badan sama saiz tiang elektrik, ada hati nak halau semua pelanggan aku ke kedai lain. Kau patut fikir pasal masa depan kau tu. Umur dah sebaya mak budak tapi seorang boyfriend pun kau tak ada. Esok-esok, kalau umur tu dah sebaya nenek kebayan, jangankan Tuan Haji Rusdi, orang-orang tua kat rumah kebajikan pun tak ingin ambil kau jadi isteri. Kau hiduplah sorang-sorang atas muka bumi ni,” ujar Mayamin tak mahu kalah. Sesedap mulut dia saja mengata Aina.
Gadis itu menjulingkan mata ke atas, tanda tidak peduli dengan kata-kata Mayamin.
“Huh. Setakat orang-orang tua kat rumah kebajikan tu yang nak jadi suami aku, sampai mati aku tak kahwin pun tak apa. Tak pasal-pasal aku lagi tua daripada dia orang, letih nak layan kerenah orang lelaki yang makin tua makin menjadi-jadi tu,” sahut Aina, langsung tidak terasa dengan kata-kata Mayamin. Mereka berdua sudah seperti adik-beradik walau masing-masing berasal daripada benih manusia yang berlainan nama dan keturunan.
“Dah tahu macam tu, buatlah perangai elok-elok sikit. Barulah ada yang berkenan nak buat bini nanti.”
“Amboi, sedapnya mulut kata kat aku. Macamlah kau tu pisang goreng panas, laku dijual kat pasar. Kau tu pun lebih kurang macam aku ajelah May. Tak adanya lelaki yang nak berkenan jadikan kau tu isteri dia orang dek perangai gila-gila kau tu,” bidas Aina. Memanggil gadis itu dengan panggilan yang sejak dulu digunakannya iaitu ketika mereka sama-sama berada di kampus universiti lagi.
“Sekurang-kurangnya masih ada lelaki yang nak berkenalan dengan aku walau semua tu mak aku punya kerja. Lainlah kau, langsung tak ada!” Mayamin menjelir lidah.
Aiceh. Mentang-mentanglah aku ni kasar macam jantan, kau ingat aku ni tak lakulah ya?” Aina pula mencebik.
“Kau jangan nak kata kat aku aje May. Kau tu pun apa kurang. Harapkan mak kau aje yang kenalkan tapi satu pun tak lekat. Aku ni, walau ala-ala manusia dua alam tapi aku tetap ada hati nak berkeluarga sendiri tau. Kau tulah yang selalu kata aku macam-macam. Sanggup samakan aku dengan beruklah, keralah. Geli tahu tak! Lainlah kalau kata aku ni secomel arnab ke, secantik duyung ke, sedaplah sikit telinga aku mendengarnya.” Kembang kempis hidung Aina memuji dirinya sendiri.
“Eii... tolonglah. Kau secomel arnab? Perasan!” cebik Mayamin. Sengaja dia menggeliatkan tubuh beberapa kali. Menunjuk aksi seolah-olah geli-geleman dengan kata-kata gadis itu.
“Eleh, jealouslah tu.”
“Tak ada maknanya aku nak jealous kat perempuan tomboi macam kau nilah!” balas Mayamin tetap mahu menang walau dia tahu, Aina hanya bergurau kata.
“Tak nak mengaku!” ejek Aina menjelir lidah kepada Mayamin.
Mayamin membalas dengan menjulingkan mata sebelum kedua-duanya tertawa serentak. Geli hati dengan tingkah masing-masing. Macam budak-budak!
“Kau kenapa hari ni Na? Aku tengok kau sedih aje masa mula-mula kau masuk kedai aku tadi. Kau kena marah dengan bos kau ya?” soal Mayamin kemudian. Kali ini agak serius.
Malas sudah dia mahu melayan perangai gila-gila Aina. Bertemu Aina, umpama bertemu kawan yang sudah lama tidak bersua muka walau boleh dikatakan saban hari Aina datang melepak di kedai Mayamin. Ada saja cerita yang ingin dikongsikan bersama, apatah lagi mereka mempunyai tabiat yang serupa. Sama-sama suka bercakap!
“Bukan setakat kena marah, kena bebel dan kena leter pun dah selalu sangatlah May, sampai dah lali telinga aku jadinya. Tapi paling aku tak suka, sedap-sedap mulut bos aku aje kutuk aku macam-macam. Ikutkan hati, nak aje aku tumbuk-tumbuk muka dia biar jadi sama bentuk dengan tin Pepsi yang selalu aku penyek lepas habis minum tu. Geram betul!” adu Aina dengan muka tidak puas hati. Sekilas bayangan Izdiyad muncul dalam kepalanya. Cepat-cepat dia menghalau. Buat semak ruang otak saja.
“Maknanya, dia selalu marahkan kaulah ya?” Mulut Mayamin terlopong sekejap. Dia mengeluh kemudian. Kasihan kawan aku. Hari-hari kena marah dengan bos sendiri. Macam kerja dengan mak tiri! Eh, silap. Macam kerja dengan ayah tiri!
“Dia memang selalu marah aku sampai aku fikir memang dah jadi hobi dia marah aku. Tapi bukan pasal tu aku sedih May.” Nada suara Aina turut berubah rentak. Sedih.
“Habis tu, pasal apa?”
“Aku sedih sangat-sangat tapi tak adalah sampai tahap nak meraung ke apa. Kuat lagilah iman aku ni. Tapi betullah May, aku sedih tau. Sedih yang teramat sangat. Aduh!” Aina menyeringai sakit bila Mayamin pantas mencubit lengannya.
“Sedih! Sedih! Aku tahulah kau sedih tapi sebab apa kau sedih sangat ni? Asyik ulang ayat yang sama aje. Menyampah aku!” sergah Mayamin. Dia menjeling marah Aina. Gadis itu kembali tersengih.
“Cuba kau cakap betul-betul. Kenapa kau sedih?” soal Mayamin. Kali ini dengan raut muka yang lebih serius walau Mayamin sendiri tahu, dia tak pernah dapat bertahan lama dengan raut muka begitu. Buat muka aku nampak cepat tua aje, fikirnya.
“Aku sedihlah May bila aku teringatkan Haji Bakri. Kan bagus kalau dia terus kekal jadi bos aku macam dulu. Ini tidak, muda-muda lagi dia dah bersara. Sampai hati dia biar aku jadi Lone Ranger kat pejabat tu.” Sayu saja suara Aina. Wajah pula sudah terpeta riak sedih. Sedih yang betul-betul sedih, bukan dibuat-buat.
“Kau cakap pasal apa ni? Tak faham aku.” Mayamin pula tergaru-garu sekarang hingga senget sedikit cekak rambut berbunga matahari di kepalanya. Cepat-cepat dia membetulkan kedudukan cekak rambutnya semula. Tak guna berwajah cantik kalau pakai cekak pun senget-benget. Sempat lagi hatinya mengingatkan.
“La... Aku cakap dalam bahasa Melayu, kan? Lainlah aku cakap dalam bahasa Tamil ke, bahasa Cina ke, bolehlah kau tak faham pun,” balas Aina. Dia terus mengelak bila jari-jemari Mayamin cuba menyentuh lengannya semula. Nak mencubitlah tu. Dia faham sudah sikap kawan baiknya itu. Suka mencubit!
“Aku tahulah kau cakap dalam bahasa Melayu tapi apa makna kau cakap tu? Tak ada kepala, tak ada ekor, tahu-tahu kau kata kau dah Lone Ranger. Lone Ranger ke bendanya pulak ni?” tegas Mayamin. Dengan Aina memang tak boleh di bagi muka sangat bila bercakap. Minah seorang ni hanya tahu nak berloyar buruk saja, getus hati Mayamin. Tak sedar dia juga begitu orangnya.
“Lone Ranger tu maknanya aku sorang-sorang ajelah anak Encik Nasrom oi. Aduh...!” Panjang jeritan Aina kali ini.
Kalau orang kata Mayamin berketurunan ketam batu sekalipun, Aina takkan teragak-agak menyokong tiga ratus peratus. Memang berbisa cubitan Mayamin. Menyengat tak ingat! Aina yakin tentang itu kerana selama mereka berkawan, Aina sudah selalu menjadi mangsa cubitan Mayamin. Aina sendiri sudah lali dengan cubitan ketam Mayamin itu.
“Kalau kau tak mahu lengan kau terus menjadi mangsa jari-jemari ketam aku ni, lebih baik kau cakap betul-betul. Kesabaran aku ni dah turun sampai tahap zero tau!” ugut Mayamin dengan aksi mahu mengetam lagi.
“Yalah, yalah. Aku bagi tahu.” Aina tersengih semula bila terpandang muncung panjang Mayamin. Muncung ala-ala muncung ikan todak itu hanya terbentuk bila gadis itu pura-pura merajuk dengannya. Aina sudah arif.
“Apa dia?” soal Mayamin terus ceria.
Dengan Aina, Mayamin memang tidak boleh merajuk lama-lama. Hubungan persahabatan antara mereka berdua sangat erat. Sejak hari pertama perkenalan di universiti, mereka sudah biasa beraku kau. Mahu bersaya awak? Huh, loya tekak nak menyebut.
“Aku sedihlah bila teringatkan Haji Bakri. Masa aku kerja dengan dia dulu, aku rasa hidup aku kat pejabat tu bahagia aje selalu. Bila dah datang anak Tuan Haji Rusdi gantikan tempat dia, aku rasa macam aku dah bekerja dalam neraka walau aku sendiri belum pernah jejak neraka waima dalam mimpi sekalipun.”
Sudah lima tahun Aina bekerja di Go Express Sdn Bhd. Selama itu jugalah ketua jabatan tempat Aina mencari pengetahuan dan pengalaman tak lain tidak bukan hanyalah Haji Bakri. Hubungan dia dan lelaki peramah itu sudah seperti anak dan ayah. Walau tidak pernah bermanja apa lagi mengada-ada, Aina masih mampu bergurau senda dengan lelaki yang gemar berkopiah putih sepanjang masa itu. Bila tibanya masa untuk mereka berpisah seperti sekarang, Aina memang kurang rela.
“Tapi kan Na, kenapa tiba-tiba aje Haji Bakri berhenti kerja? Bos di jabatan kau tu bukannya tua sangat orangnya. Sayanglah dia berhenti kerja awal.” Mayamin bertanya dengan pen sudah diketuk-ketuk lembut di tepi bibirnya. Berfikir.
Langsung dia tidak peduli kepada Aina yang masih juga menayang wajah sedihnya. Bukan Mayamin tidak mahu peduli tapi dia kenal benar dengan sikap Aina. Gadis itu bukannya jenis perempuan yang suka melayan lama-lama perasaan sendiri. Sehari dua nanti, lupalah Aina pada kesedihannya itu.
Aina menjongket bahu.
“Entah. Tapi kata Tuan Haji Rusdi, Haji Bakri nak berhenti kerja sebab nak berehat. Kau sendiri pun tahu kan keadaan kesihatan bekas bos aku tu. Macam-macam penyakit dia tanggung. Sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kolesterol. Senang cakap semua pakej penyakit ada kat orang tua tu.” Sempat lagi Aina mengumpat bekas ketua jabatannya.
“Ooo... patutlah kau sedih aje. Tapi memang patut pun kau sedih. Kau kan rapat dengan Haji Bakri. Kakitangan syarikat tu pun selalu salah anggap hubungan kau dengan orang tua tu. Sabarlah ya Aina. Anggap sajalah bukan rezeki kau nak berlakikan orang tua tu. Aduh!” jerit Mayamin sedikit tinggi. Laju saja jari-jemari kanannya menggosok-gosok jari-jemari kirinya yang diketuk Aina dengan pembaris kayu.
Choi! Aku dikatanya nak mengurat Haji Bakri. Balik nanti kau jangan lupa minum susu Anmum Materna banyak-banyak. Walaupun kau tak mengandung tapi susu tu baik untuk perkembangan otak lembap kau tu,” ujar Aina langsung tidak berkecil hati dengan usikan Mayamin. Dia sudah biasa dengan sikap Mayamin. Sama seperti Mayamin yang sudah dapat menghafal segala tingkahnya.
“Susu Anmum? Huh. Kau bagi aku susu Lactogen sekalipun aku tak mahulah. Otak aku ni dah cukup cerdik tahu? Tak payah minum susu pun dah cukup geliga macam batu hikmat.”
“Geligalah sangat,” ejek Aina.
“Aku ni memanglah tomboi, perangai macam jantan tapi jiwa aku ni masih punya taste yang baik tau. Setakat pengunjung tegar hospital macam Haji Bakri tu, aku kenyit mata pun dia dah tertelan air liur. Aku aje yang tak nak buat macam tu. Elok-elok dia boleh bertahan hidup setahun dua lagi, esok lusa jugak dia pergi menghadap Ilahi. Kesian kat bini dia wei. Tak pasal-pasal kena cari laki baru nanti.” Aina tersentak bila Mayamin menampar lembut lengannya.
“Isy, kau ni Na, cakap tak pakai otak. Sedap mulut kau aje nak kata apa pun.”
“Apasal aku nak pakai otak pulak? Dah Allah Taala bagi mulut untuk bercakap, aku cakap guna mulut ajelah. Lagipun otak hanya tahu berfikir aje, kan? Otak tak boleh bercakap, kan? Kan?” Aina terus ketawa bila Mayamin kembali mencubit. Kali ini tidak sekuat mana. Cubit-cubit manja kata orang.
“Sudahlah kau Na. Tahu nak mainkan aku aje,” rengus Mayamin.
Aina hanya tersengih. Dia masih sedih mengenangkan Haji Bakri. Jika Aina pemilik syarikat kurier itu, pasti dia menolak surat peletakan jawatan Haji Bakri. Baginya, khidmat lelaki yang paling lama bekerja di syarikat itu masih diperlukan sepenuhnya.
Tapi tidak guna juga dia memaksa Haji Bakri terus bekerja di situ jika kesihatan lelaki itu tidak mengizinkan. Dibuatnya Haji Bakri meninggal dunia gara-gara tekanan kerja yang tidak pernah habis-habis, apa yang akan terjadi kepadanya nanti? Sanggupkah dia turun naik mahkamah? Meringkuk dalam penjara beberapa tahun atas tuduhan mendera mental dan fizikal pekerja sendiri? Isy... apa yang aku merepek ni? Cepat-cepat Aina menghalau bayangan yang entah apa-apa itu daripada mindanya.
“Habis tu, kau tak puas hatilah bekerja dengan bos baru kau tu sekarang?” Soalan Mayamin tetap berpaksi pada topik sama.
“Puas hati apanya kalau hari-hari aku makan hati aje dengan perangai dia. Ikutkan jiwa muda aku ni, nak saja aku sembelih bos baru aku tu. Dia ingat abi dia buka syarikat modeling agaknya, nak semua pekerja perempuan berpakaian seksi dan cantik sepanjang masa,” bebel Aina. Tertekan rasanya bila mengingatkan perangai Izdiyad yang tidak pernah bertapis kata. Sesedap mulut dia aje kutuk aku macam-macam. Macamlah dia tu bagus sangat! Semua pasal aku nak ditegurnya. Podah!
“Kau sendiri pun dah tahu bos kau tu jenis macam mana orangnya, yang kau layan jugak perangai sengalnya tu kenapa? Buat tak tahu dahlah,” sahut Mayamin.
“Oi, anak Encik Nasrom, aku nak buat tak tahu macam mananya kalau dah nama pun dia tu bos di jabatan aku? Aku pulak kan penolong dia? Lainlah kalau aku bekerja dengan abi dia. Tak adalah aku nak sakit hati macam ni,” marah Aina.
“Semua ni salah Tuan Haji Rusdi. Kalau dia tak gatal-gatal suruh aku kerja dengan anak lelaki dia tu, hidup aku pun takkan jadi huru-hara macam ni. Dia sendiri pun bukan tak tahu perangai anak tunggal dia tu. Seminit pun tak boleh duduk diam kalau tak tengok perempuan cantik. Aku yang macam jantan ni pulak disuruhnya jadi penolong dia. Mahu tak panas punggung anak lelaki dia tu tengok aku sepanjang hari kat pejabat,” bebel Aina. Kali ini kepada pemilik syarikat kurier tempatnya bekerja sekarang.
“Kau tak boleh salahkan ayah angkat kau tu Na. Apa yang dia buat tu memang dah betul. Anak dia tu aje yang tak betul. Nama saja belajar tinggi-tinggi sampai ke luar negara tapi bila balik Malaysia, malas pulak nak buat kerja. Nak tak nak, kau dah banyak pengalaman kat syarikat tulah yang kena ajar dia buat semua perkara di jabatan pengurusan tu sebab kau kan pekerja paling senior kat jabatan tu. Takkan nak suruh Kak Bedah tukang cuci pejabat pulak yang ajar dia. Confirm sangatlah Kak Bedah tak reti satu apa pun pasal pengurusan walau dah bertahun-tahun dia bekerja kat situ,” sahut Mayamin.
“Aku tahulah tu May, tapi yang buat aku sakit hati, kenapa dia nak pertikaikan pulak cara penampilan dan gaya aku ni? Badan aku, suka hati akulah nak pakai baju macam jantan ke, buat perangai macam penyangak ke. Bukan ada kena-mengena dengan dia pun cara hidup aku ni.”
Aina memang tidak puas hati dengan sikap Izdiyad. Lelaki itu seperti Maharaja China berabad-abad dahulu. Mahu dikelilingi dengan beratus-ratus wanita sepanjang masa. Macamlah muka tu handsome sangat. Pak cik aku kat kampung sana tu pun jauh lagi handsome daripada dia tau! Hati Aina turut ikut mengutuk.
“Pasal tu, aku tak boleh nak komen apa-apa Na. Dah nama pun bos kau tu jenis lelaki biang keladi. Mestilah dia nak tengok perempuan cantik dan seksi aje setiap masa. Macam kau ni, bukan saja tak seksi, seksa mata jadinya mata dia yang melihat tahu.”
“Huh, aku pun tak mintalah diri aku jadi macam ni. Dah memang begini keadaan diri aku dari kecil, nak buat macam mana lagi. Takkanlah aku nak ubah perangai dan penampilan aku semata-mata kerana bos miang aku tu tak boleh tengok perempuan macam aku ni? Kirim salamlah beb!” sahut Aina.
“Jadi maknanya, dia dah jadi musuh kaulah sekarang ni ya?” Mata Mayamin tetap tidak berganjak dari wajah Aina walau sejak tadi Mayamin sudah berkira-kira mahu menyiapkan kerja-kerja kedainya yang masih banyak berbaki. Melihat keadaan serabut Aina, tidak sampai hati pula dia nak membiarkan Aina bergelut dengan masalah sendiri.
“Lebih kurang macam tulah May. Aku pun malas nak layan sangat perangai dia tu. Ada saja kerja aku yang tak memuaskan hati dia. Ikutkan aku, nak saja aku tumbuk kepala otak dia tu. Manalah tahu, lepas ni okey pulak otak dia kalau aku buat macam tu.”
“Isy... tak baik tahu kau buat begitu. Dia tu kan anak majikan kau, tempat kau cari rezeki dari dulu lagi.” Mayamin pantas melarang. Faham benar dia dengan sikap Aina. Mudah saja melayang penumbuk kepada sesiapa yang suka menganggu-gugat kehidupan gadis itu. Namun dia juga tahu, Aina hanya bersikap demikian bila keadaan mendesak.
“Hmm... bos baru kau tu mesti handsome orangnya, kan? Kalau tidak, takkanlah pekerja-pekerja pun boleh terpikat kat dia, kan?” teka Mayamin cuba menukar arah bicara.
Menjadi kerja dia pula memikirkan keadaan tempat kerja Aina waktu ini. Alah, apa salahnya dia berbuat begitu? Aina juga sering kali berbuat demikian jika Mayamin mempunyai masalah. Senang kata, mereka selalu berkongsi cerita dan masalah hidup mereka bersama. Walau tidak semuanya dapat selesaikan, sekurang-kurangnya beban rasa yang ditanggung berkurangan di hati masing-masing.
Handsome muka tapi perangai tak handsome nak buat apa?” sahut Aina selamba. Sekilas bayangan Izdiyad yang sentiasa berketerampilan kemas dan segak melayang masuk ke ruang matanya. Huh! Memang layak jadi model pun mamat metroseksual tu. Bergaya tak kira masa!
“Kau tak cuba pikat dia ke Na? Mana tahu ada jodoh kau dengan dia?”
Hampir tersedak air liur Aina mendengar pertanyaan Mayamin.
“Aku nak pikat dia? Hohoho... Langit pun boleh runtuh kalau aku ada hati nak pikat bos aku tu wei. Apa kelas nak mengurat mamat metroseksual tu? Bagi free pun aku tak naklah wei.” Aina menolak cepat cadangan Mayamin. Aku nak mengurat anak Tuan Haji Rusdi? Baik aku mengurat mamak roti canai kat kedai simpang empat tu. Lagi berbaloi!
“Alah, nama pun cuba. Bukannya kau rugi apa pun. Mana tahu lepas ni hubungan kau dengan dia akan jadi lebih baik,” usul Mayamin lagi.
“Huh. Tak ada maknanya aku nak mengurat mamat tu semata-mata nak baiki hubungan kerja antara kami. Lagipun, siapa kata aku tak rugi? Rugi tahu tak! Rugi masa aku, rugi tenaga aku, rugi air liur aku. Senang cakap rugilah macam-macam! Tak nak aku tanggung rugi banyak-banyak. Bankrap aku nanti!”
“Eii... kau ni Na. Cakap macam orang pendek akal,” rengus Mayamin. “Aku bukan suruh kau mengurat dia macam perempuan-perempuan lain buat tu. Tak payah dengan mekap macam artis Opera Cina, tak perlu pakai kain ketat sampai nak langkah longkang pun tak lepas, tapi kau menguratlah dia dengan cara kau sendiri. Aku yakin dia pasti terpikat jugak dengan kau nanti.”
“Yalah tu kau. Bajet aku tak lakulah tu,” cebik Aina.
“Bukanlah macam tu, tapi sekurang-kurangnya kau takkan tension setiap kali pergi kerja setiap hari. Tengok macam sekarang. Dulu sebelum bos baru kau tu datang, kau enjoy aje dengan kerja kau. Masuk kerja pun on time aje. Sekarang dah jadi lain. Tak pasal-pasal kau nampak lagi tua daripada Tuan Haji Rusdi nanti.”
“Pasal apa pulak?” Lurus Aina bertanya.
“Yalah. Dah muka tu siang malam masam macam buah mangga tak masak aje. Mahu tak berkedut sana sini nanti.” Selamba saja Mayamin menyahut. Dia terkekeh ketawa bila Aina pantas membaling pen mengenainya.
“Tak guna kau! Samakan aku dengan buah mangga tak masak pulak! Favourite aku tu. Buat aku terliur ajelah!” marah Aina menjeling tajam gadis itu.
Mayamin hanya menyambung tawa.
“Hei, dahlah. Malas aku nak cakap lagi pasal ni. Kau nak makan apa-apa tak? Aku nak pergi tapau nasi kat kedai mamak ni.” Aina sudah bangun daripada duduknya.
“Hei Na, kau tak kerja ke hari ni? Siap nak pergi tapau nasi lagi. Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang ni yang kau nak pergi kedai tu?” soal Mayamin hairan dengan tingkah sahabat baiknya.
Jam baru pukul 10.00, takkan dah lapar kut. Ke, minah ni tak sarapan pagi tadi? Mayamin tak tahu yang mana satu jawapan yang tepat kerana dia dan Aina tidak pernah tinggal serumah mahupun seasrama walau mereka pernah belajar dalam kursus yang sama di Universiti Malaya satu masa dulu.
“Kerja tapi aku laparlah. Nanti lepas makan, aku baliklah ke pejabat. Tuan Haji Rusdi tu, bukannya kisah kalau aku masuk lambat pun. Asal kerja aku selesai, dia okey aje. Bukan macam anak dia tu. Suka membebel aje padahal dia sendiri pun selalu lambat masuk pejabat. Kerja-kerja dia aku jugak yang tolong siapkan. Kurang asam gelugur betullah dia tu!” Aina masih tidak jemu mengutuk Izdiyad.
Mujur saja anak tunggal Tuan Haji Rusdi itu tidak mendengar segala kutukannya itu. Jika tidak, boleh jadi gelanggang gusti akan dibuka di situ serta-merta dan Mayamin pastinya akan dipilih menjadi pengadil bagi perlawanan yang tidak dirancang itu. Huh! Tahu nak merapu aje kau ya Aina, bayang entah apa-apa! marah hati Aina kepada diri sendiri.
“Bawa-bawa bertenanglah Na oi. Jangan bawa bertendang. Buruk akibatnya nanti,” nasihat Mayamin menggeleng-geleng melihat tingkah gadis kasar itu. Bimbang juga dia jika Aina melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap Izdiyad.
Biarpun Mayamin tidak pernah bersua muka jauh sekali berbual-bual dengan bos baru Aina itu namun daripada perceritaan Aina, Mayamin pasti, Aina dan Izdiyad saling bermusuhan dengan cara terhormat. Kedua-duanya umpama seperti Rusia dan USA. Nampak baik di depan semua, di belakang, hanya Allah saja yang tahu niat masing-masing.
“Kau cakap senanglah sebab kau tak pernah merasa ada bos. Lainlah aku, makan gaji aje dari dulu,” balas Aina sengaja melirihkan suara. Dia merengus mendengar jawapan selamba Mayamin.
“Makan gaji ke, makan pisau ke, makan batu sekalipun, itu lebih baik daripada kau makan duit haram. Biar upahnya sejemput, janji halal.”
“Hoi, anak Encik Nasrom, kau nak nasi ke tak? Aku nak tolong tapau ni,” kata Aina lagi bila dilihat Mayamin mula menyelak helaian kertas kerjanya. Mahu menyambung kerja yang terbejat dek kedatangan tiba-tiba Aina tadi.
“Tak payahlah Na. Aku tengok kau pun aku dah kenyang. Dengar masalah kau lagilah perut aku bertambah-tambah kenyang. Bukannya apa, gerun tengok cara kau bercakap. Berapi semacam!” sindir Mayamin. Dia tersengih bila Aina sudah mencerun mata kepadanya.
“Kau ingat aku keturunan naga ke bercakap keluar api segala bagai? Tapi kan, kalau betullah aku ni keturunan naga, orang pertama yang akan aku hanguskan dulu adalah Encik Izdiyad. Biar dia hitam legam macam arang. Masa tu baru dia tahu kut macam mana nak jaga mulut dia tu supaya lain kali dia tak cakap ala-ala lidah tedung keluarkan suara.” Aina terkekeh ketawa mengenangkan imaginasi entah apa-apanya.
“Yalah tu Na. Itu hanya terjadi kalau kau keturunan naga. Sekarang ni, kau hanya keturunan manusia biasa, jadi sedar-sedarlah diri tu ya. Jangan kata nak hanguskan bos kau tu, kau nak jerkah dia pun kau tak mampu oi. Silap-silap, orang makan nasi, kau makan pasir.” Mayamin membalas selamba.
Choi! Kau ni pun dah terkena penyakit laser Encik Izdiyad tu ke, hah? Mulut tu, tak bertapis langsung! Dahlah, malas aku nak layan cakap kau lagi. Aku blah dulu wei. Apa-apa hal call aku tau!” kata Aina terus mencapai helmet di sofa sebelum berlalu keluar dari bilik kerja Mayamin.

Mayamin yang memandang hanya menggeleng perlahan. Nasib kaulah Na dapat bos mata keranjang. Jangan dapat bos bapa ayam sudah. Dengan kau-kau dia jual nanti! bisik hati Mayamin. 

No comments:

Post a Comment