Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 7 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 7
“Cik Maya, sesuai tak kalau kita orang gantung kad kat sudut ni?”
Mayamin yang sedang menulis sesuatu di kaunter pembayaran mendongak. Wajah Izara dan Gina dipandang dengan kening sudah berkerut-kerut.
“Kad apanya?” soalnya tidak faham.
“Ni hah, kad ucapan terima kasih daripada pelanggan kedai kita,” sahut Gina menayang beberapa keping kad di tangannya.
“Kenapa nak gantung semua kad tu pulak?” soal Mayamin sambil mengetap bibir sendiri.
Budak-budak ni, ada sajalah benda yang dia orang nak buat pun. Tapi, elok jugaklah tu. Aku bayar upah dia orang bukan sebab nak goyang kaki kat sini tapi sebab suruh kerja. Hatinya bersetuju dengan kata-kata sendiri.
“Yalah, takkan nak simpan aje semua kad ni Cik Maya? Rugilah. Lagipun, semua kad ni kan pemberian pelanggan kedai pada kita sebagai tanda penghargaan mereka. Kalau kita gantung kat tepi rak ni, pelanggan-pelanggan yang lain boleh tengok dan baca kad-kad ni nanti,” kata Izara pula.
“Hmm... ikut suka kau oranglah nak buat apa pun. Tapi ingat, jangan sampai nampak sesak pulak ruang dalam kedai ni. Nanti orang samakan kedai ni dengan tongkang pecah pulak.” Mayamin memberi izin berselit amaran.
Laju saja kedua-dua pekerjanya mengangguk. Selaju tangan-tangan mereka bergerak. Mula membuat kerja.
“Ini Mayamin Nur, kan?” Terangkat kepala Mayamin semula bila mendengar teguran mesra itu. Dia mengerut dahi. Macam aku pernah tengok mak cik ni, tapi di mana ya? soal akalnya sebelum perlahan-lahan senyumannya mekar. “Ya saya. Kalau tak salah, mak cik ni...”
“Hah, ni Mak Cik Tanialah. Siapa lagi,” cantas Puan Tania sebelum sempat Mayamin meneka. Ditepuk mesra lengan gadis itu tanpa sedar. Begitulah gaya Puan Tania. Tangannya sentiasa bergerak mengikut rentak percakapannya.
Mayamin mengangguk setuju. Senyumnya bertambah lebar. Bukan kerana wanita sebaya maknya itu mahu memadankan anak lelakinya kepada Mayamin. Jauh sekali berangan-angan mahu menjadikan wanita peramah itu sebagai mak mertuanya. Tetapi memang sudah menjadi tabiat Mayamin sejak kecil. Mudah menyedekahkan senyuman terutama kepada orang yang sudah dikenalinya.
“Maya buat apa kat sini?” soal Puan Tania ramah. Gembira hatinya dapat bertemu Mayamin di kedai Dunia Cahaya Mata itu. Tak sia-sia dia mengajak Amar menemaninya berjalan-jalan di sepanjang deretan kedai di Jalan Angsana tengah hari itu usai mereka membeli-belah di pasar raya Giant terhampir.
“Ini kedai Maya mak cik,” beritahu Mayamin sopan. Rasa bangga terselit dalam nada suaranya walau Puan Tania tidak terperasan. Bangga dengan hasil usaha peluh sendiri.
“Ya? Oh... Tak tahu pulak mak cik Maya buka kedai kat sini. Ingatkan Maya bekerja makan gaji. Rupa-rupanya Maya ada perniagaan sendiri. Baguslah kalau begitu. Ya tak Amar?” kata Puan Tania jelas menumpang bangga. Walau gadis itu hanyalah sekadar calon menantu yang entah akan menjadi isteri Amar ataupun tidak suatu masa nanti, Puan Tania tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk dia turut berbangga dengan kejayaan gadis itu.
Sambil itu, Puan Tania menepuk-tepuk lembut bahu anak lelakinya yang kebetulan sudah berdiri di sisi Puan Tania. Sejak melangkah masuk ke kedai barangan bayi itu, Amar hanya melilau-lilau di dalam sekitar kedai tanpa mengambil kisah sekeliling. Jelas lelaki itu terkejut melihat kewujudan Mayamin. Mayamin apatah lagi, walau dia tetap menayang riak muka selambanya.
“Awak buat apa kat sini?” soal Amar tegang sebagaimana biasa. Tajam saja matanya memandang Mayamin yang sudah menarik muka 14.
Mamat berat mulut ni lagi! Tak ada orang lain lagi ke yang boleh mak cik ni bawa sebagai teman? Buat aku hilang mood ajelah, rungut hati Mayamin diam-diam.
“Kedai ni milik Mayalah Am. Tu sebablah dia ada kat sini. Pandai Maya ni, kan? Muda-muda lagi dah ada perniagaan sendiri,” sampuk Puan Tania tanpa sempat Mayamin menyahut. Dia memuji-muji lagi gadis yang sudah mendapat tempat untuk dijadikan menantu sulungnya itu. Hingga tanpa sedar Puan Tania mengulang semula kata-kata pujiannya terhadap Mayamin.
Kening kanan Amar terjongket tinggi serta-merta.
“Kedai ni awak punya?” soal Amar, bagai tak percaya. Matanya kembali ke wajah Mayamin yang membalas selamba saja pandangan terkejut lelaki itu.
Huh, terkejut sangatlah tu konon sampai boleh angkat kening tinggi-tinggi macam tu. Aku pun bolehlah, lagi tinggi daripada Ziana Zain selalu buat pun boleh tau! Saja aje aku tak nak buat. Karang pengsan pulak kau orang anak-beranak tengok kening aku setinggi langit! Merepek saja kata-kata di hati Mayamin.
“Hah... kau orang berdua berbual-buallah ya. Mak nak cari barangan bayi untuk dihadiahkan pada anak kawan mak tu. Nanti kita sembang lagi ya Maya.” Sekali lagi Puan Tania memintas sebelum sempat Mayamin membuka mulut.
Wanita itu terus melangkah ke rak pameran. Langsung dia bertanya pekerja Mayamin yang setia menanti melayan pelanggan. Puan Tania sebenarnya sengaja memberi ruang kepada Amar dan Mayamin yang disangka bakal sehaluan itu untuk berbicara dengan lebih panjang lebar. Moga-moga terputiklah rasa cinta antara dia orang bila bertemu selalu macam ni. Aku dan Saleha jugak yang tumpang untung nanti. Sempat lagi hati Puan Tania mendoakan yang baik-baik buat anak teruna dan calon menantu pilihannya.
“Patutlah perangai awak macam kanak-kanak Ribena aje. Rupanya awak buka kedai jual barangan bayi. Memang kenalah pun dengan tuannya,” sindir Amar seelok saja kelibat Puan Tania tidak lagi kelihatan di kawasan kaunter pembayaran itu.
Sambil-sambil itu dia memanjangkan leher, mencari susuk tubuh Puan Tania di celah-celah rak barang. Bimbang juga dia jika wanita kesayangannya itu akan terdengar perbualan tidak mesranya dan Mayamin. Haru-biru Amar nak menjawab jika ditanya Puan Tania nanti. Lega hatinya melihat maknya itu sedang sibuk membelek-belek barisan stroller yang disusun berderet di satu ruang lapang kedai dengan dibantu Izara dan Gina.
At least, saya jadi diri sendiri. Macam awak jugaklah, suka jadi diri sendiri, kan? Sampai muka tu serius 24 jam, langsung tak tahu nak senyum. Oh... Saya lupa, awak kan bekerja dalam pejabat berhawa dingin yang dinginnya sama macam kat Kutub Utara sana. Memang dinginlah jadinya perangai awak tu sampai tak reti nak ukir senyum dah. Kan?” balas Mayamin sengaja mengenakan Amar semula.
Lelaki itu merengus halus. “Awak cakap macamlah kedai awak ni tak dipasang dengan aircond.”
“Saya lain sebab saya selalu berjumpa dengan orang. Sebab tulah saya tahu nak beramah mesra dengan orang. Lainlah awak tu, duduk berkurung aje dalam bilik pejabat tiap-tiap hari tanpa jumpa seorang manusia pun. Sama aje macam katak duduk dalam tempurung. Selagi tempurung tu tak dibuka, selagi tulah duduk tercongok aje kat dalam tu. Apa awak tak bosan ke hidup macam tu, hah? Kalau sayalah, dah lama saya minta tukar kerja tau. Bosan.” Selamba Mayamin menyimbah minyak di hati panas Amar.
“Sekurang-kurangnya saya tak jadi murai macam awak, membebel tak tentu hala!” sembur Amar dengan muka semerah udang bakar.
Kurang asam punya minah mulut murai ni. Aku disamakan dengan katak bawah tempurung. Helo! Aku sejuta kali lebih handsome daripada kataklah. Lagipun, tak ada katak yang boleh buat kerja pejabat tahu!
“Itu lebih baik daripada awak yang berat mulut macam ada batu berbongkah-bongkah dalam mulut. Kalau saya jadi awak, dah lama saya minta kerja jadi patung kat mana-mana kedai pakaian aje. Bukan apa, kerja macam tu aje yang paling sesuai dengan orang berat mulut macam awak ni. Tak pun, apa kata awak jadi tugu aje? Langsung tak bergerak-gerak. Sesuai tu dengan awak.” Mayamin masih tidak puas hati menyakitkan hati Amar yang sudah mencekak pinggang.
“Awak ni kan, memang sengaja nak sakitkan hati saya, kan?” marah Amar sudah mencekak pinggang. Lupa sekejap pada kewujudan Puan Tania di dalam kedai itu. Panas hatinya menghadap muka selamba Mayamin.
“Kenapa? Tak betul ke apa yang saya cakap? Awak dengan tunggul kayu, lebih kurang sama aje keadaannya. Dua-dua tak bercakap. Tapi kan, pada sayalah, antara awak dengan tunggul kayu, saya lebih rela berbual dengan tunggul kayu. Sekurang-kurangnya, tunggul kayu tak pandai nak tayang muka masam macam awak. Jadi tak adalah sakit hati sangat bila tengok dia,” sahut Mayamin terus saja menjelir lidah kepada Amar.
“Hei, awak ni...”
“Mak mengganggu kau orang berbual ke?” sampuk Puan Tania tiba-tiba muncul semula di situ.
Terkunci mulut Amar dari membalas kata-kata Mayamin. Dia merengus marah. Mak ni tak patut betullah. Nak menyampuk pun tengok-tengoklah dulu. Bukan main mencelah masuk aje. Salah time betul!
“Apa pendapat kamu Amar kalau mak beli stroller ni untuk anak Mak Cik Midah kamu? Cantik, kan?” tanya Puan Tania mengunjuk pada stroller pilihannya yang dibawa Izara dan Gina ke kaunter pembayaran.
“Ikut suka hati maklah,” balas Amar tegang, terus saja berlalu dari situ. Sakit hati dengan kata-kata selamba Mayamin tadi. Sempat dia menjeling marah kepada Mayamin. Gadis itu hanya menayang wajah selamba.
“Isy, budak Amar ni. Tanya macam tu pun nak marah. Macamlah aku paksa dia beli benda alah ni,” rengus Puan Tania langsung tidak tahu-menahu tentang ‘perbualan’ antara lelaki itu dan Mayamin. Segera dia memanis muka kepada Mayamin yang hanya melihat tingkahnya.
“Cantik kan stroller pilihan mak cik ni, Maya?” soal Puan Tania semula, seakan-akan membodek.
Mayamin mengangguk laju.
“Memanglah cantik mak cik sebab stroller ni saya tempah khas dari kilang asalnya,” balas Mayamin ceria saja melayan perbualan Puan Tania. Tidak peduli Amar yang sudah melangkah keluar dari kedai itu. Orang sudah tidak sudi, takkan dia mahu tersua-sua pula.
“Maya janganlah berkecil hati dengan perangai Amar tu ya? Dia tu memang macam tu. Susah nak senyum tapi hatinya baik.” Puan Tania terus bersuara sebaik kelibat Amar hilang daripada pandangan mereka. Tidak mahu gadis kecil molek di depannya itu terasa dengan sikap anak lelakinya. Bimbang rancangan yang sedang diatur rapi dengan Puan Saleha terbengkalai begitu saja gara-gara sikap anak lelaki kesayangannya.
“Biasalah tu mak cik. Manusia ni macam-macam perangainya. Ada yang begitu, ada yang begini. Tak sama,” ujar Mayamin lembut gigi daripada lidah. Dalam hati, dia sudah menyumpah-yumpah Amar.
Apasallah mamat berat mulut ni boleh ikut mak dia datang shopping sekali? Buat sakit hati aku ajelah tiap kali jumpa dia. Jenis anak mak ke dia ni? Ikut aje ke mana mak dia pergi. Tapi, kalau dia bukan anak mak, takkan anak beruk pulak, kan? Hati Mayamin menceceh bukan-bukan.
“Amar tu nampak saja pendiam tapi kalau kita pandai pancing, rajinlah dia bercakap pun. Tapi tulah, susah sikit dia nak tersenyum. Dah tabiat dia dari kecil, nak buat macam mana lagi, kan?” Puan Tania masih tidak jemu-jemu bercerita tentang anak terunanya.
Mayamin hanya mengulum senyum. Dalam hati, dia terkekeh sendiri. Anak Mak Cik Tania tu ikan ke, orang sampai nak kena pancing? Kalau akulah, daripada pancing mamat berat mulut tu, baik aku pancing ikan. Sekurang-kurangnya, ikan tak boleh sakitkan hati aku. Paling aku suka, ikan boleh dimasak. Masaklah apa jenis masakan sekalipun, gerenti hits punya! Bukan macam anak Mak Cik Tania tu. Banyak songeh!
“Lagipun biasalah orang lelaki ni, mana mahu bercakap sangat. Tambah-tambah kalau lawan bercakapnya tu orang perempuan macam kita. Memang tak dilayan sangatlah pun. Lainlah kalau jumpa kawan sekepala. Huh, kita lalu sebelah pun belum tentu dia orang perasan.”
Mayamin tetap mengukir senyuman manis. Malas sudah melayan kata-kata Puan Tania. Bukan kerana bosan berbual-bual dengan wanita ramah itu tetapi bosan dengan isi perbualan mereka. Balik-balik Amar juga yang menjadi topik perbualan. Kalau orangnya peramah tak apalah juga. Ini jenis muka terlebih minum cuka saja. Siapa nak! bebel hati Mayamin semula.
“Oh, ya Maya. Berapa ya harga stroller ni? Mak cik boleh dapat diskaun tak?” kata Puan Tania lagi. Kali ini berkisar pada barangan pilihannya pula.
Segan juga rasanya bila perihal anak terunanya saja diperkatakan. Tidaklah nanti dikata mahu mempromosikan anak sendiri walau itu yang ingin dilakukannya. Manalah tahu, hati gadis Mayamin akan semakin terpikat kepada Amar nanti.
“Harganya standardlah mak cik, tapi boleh saja saya bagi kalau mak cik betul-betul nak beli,” ujar Mayamin terus saja bercerita tentang barangan-barangan bayi yang dijual di kedainya.
Langsung tidak perasan pada pandangan sinis Amar dari luar kedai. Pandai sajalah nak bodek mak aku. Ingat senang-senang aje aku nak terima kau jadi isteri aku? Jangankan jadi isteri, jadi pembantu rumah pun belum tentu aku nak. Buat bising rumah aku aje dengan mulut murai kau tu! rengus hati Amar.
Ikutkan aku, nak saja aku tenyeh-tenyeh mulut murai dia tu ke dinding. Suka hati tok nenek dia aje samakan aku dengan kataklah, tunggul kayulah. Dia ingat dia tu bagus sangatlah. Lawa sikit daripada kartun Power Puff Girls aje pun. Itu pun aku rasa, kartun tu jauh lebih comel daripada dia. Tahu nak sakitkan hati aku aje! Hati Amar menceceh geram. Namun mata tetap tidak berganjak daripada memandang wajah ceria Mayamin. Diam-diam, hatinya kemudian memuji pula Mayamin.
Boleh tahan jugak minah mulut murai ni ya? Pandai dia mencari rezekinya sendiri. Sekurang-kurangnya, dia berbeza daripada perempuan-perempuan lain. Dia tahu berdikari. Dia bijak mengendalikan cara hidupnya dan tak bergantung harap kepada pertolongan orang lain. Itu sudah cukup untuk dia mendapat markah lebih di mata aku. Hebat!
Lama Amar memaku pandangan di arah sama sebelum tak lama, dia menepuk dahi sendiri. Apa kena dengan aku ni? Tak pernah-pernah aku tengok perempuan macam tu sekali, hari ni aku buang tabiat pulak. Bahaya ni! Belum apa-apa, aku dah tengok dia macam tu sekali. Eii... minta jauhlah aku daripada jatuh cinta kat minah mulut murai tu! Cepat-cepat Amar beristighfar. Sedar dengan kekhilafan sendiri.

Tidak perasan Puan Tania sedang mengintai gelagat dirinya dari dalam. Ada harapan aku nak satukan dia orang berdua ni. Tapi tunggulah, bagi dia orang berdua cukup kenal dan mesra antara satu sama lain dulu. Taklah nampak sangat dia orang terpaksa terima antara satu sama lain nanti. Hati Puan Tania merancang sendiri. 

No comments:

Post a Comment