Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 4 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 4
“Sibuk ke Amar?”
Amar tersentak. Dia mengalih muka, memandang Puan Tania sudah berdiri tegak di muka pintu.
“Taklah sangat. Kenapa mak?” soal Amar. Dia kembali menghadap skrin komputer.
“Tak ada apalah. Saja aje mak tanya,” ujar Puan Tania sedikit mengeluh. Dia melangkah masuk kemudian melabuh punggung di birai katil. Matanya masih memandang Amar yang duduk membelakanginya.
“Ia ke?” soal Amar dengan kedua-dua kening sudah berkerut-kerut, ingin kepastian.
“Yalah...”
Terbentuk senyuman kecil Amar. Jawapan meleret Puan Tania itu ada maknanya. Pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh mak kesayangannya itu. Amar cukup pasti tentang itu. Perangai Puan Tania, sangat-sangat difahaminya.
“Mak nak cakap apa sebenarnya?” Tanpa berselindung, Amar terus bertanya. Dikerling sekilas susuk tubuh Puan Tania sebelum pandangan matanya kembali ditala ke komputer. Masa lebih mahal daripada emas, tak elok dibazirkan begitu saja. Apatah lagi untuk perkara-perkara remeh. Itu prinsip Amar.
“Mak... mak sebenarnya nak minta tolong kamu sikit. Boleh tak Am?” Teragak-agak Puan Tania bertanya selepas terdiam beberapa saat.
Dia dan Amar sangat rapat dan suka berkongsi cerita. Tapi untuk dia bersuara dalam perkara yang bakal diluahkannya itu, hati Puan Tania serba salah. Dia tahu Amar tidak marah, hanya kurang selesa. Jawapan tepat, Amar tidak suka! Ini bukan kali pertama Puan Tania cuba membuka mulut tentang perkara sama. Sudah berulang kali. Tentu saja Puan Tania sudah dapat menjangka reaksi Amar sebentar nanti. Cuma Puan Tania tetap mahu mencuba. Manalah tahu, tuah berpihak kepadanya kali ini.
“Nak minta tolong apa mak?”
Lebar senyuman Puan Tania mendengar nada biasa-biasa Amar. Ada harapan ni, hatinya berbunga.
“Macam ni. Mak ada masalah besar tapi tak ada orang lain yang boleh tolong mak dalam rumah kita ni kecuali kamu seorang aje Am,” ujar Puan Tania, sengaja melirihkan suara.
Ingin dipancing perhatian lelaki itu walau dia tahu, sesibuk mana pun Amar dengan tugasannya, anak itu tidak pernah tidak memberi perhatian. Cuma kadangkala Amar sengaja pura-pura tidak peduli semata-mata ingin lari daripada tajuk perbualan mereka. Puan Tania arif benar dengan sikap anak sulungnya itu.
“Ayah pun tak boleh ke?”
Tersentak Puan Tania dengan pertanyaan itu.
“Isy... Ayah kamu lagilah tak boleh. Kalau boleh pun mak tak akan izinkan. Kamu kerat badan mak ni 10 bahagian pun mak takkan izinkan jugak tahu tak!” sergah Puan Tania tiba-tiba saja beremosi.
Manakan tidak. Suaminya yang tidak ada kena-mengena dalam perbualan mereka itu pula yang diminta menggantikan tempat Amar. Mana boleh! Pantang keturunan aku nak hidup bermadu dengan perempuan lain! Hati Puan Tania memanas.
“Mak ni kenapa? Tiba-tiba saja berangin satu badan. Masalah apa sebenarnya ni mak?” soal Amar dengan dahi sudah berkerut-kerut.
Nak kata meroyan, dah lama mak aku ni tak mengandung. Kali terakhir pun beberapa puluh tahun lepas. Tapi gaya dia macam perempuan meroyan mati anak aje. Hati Amar mengomel. Pelik dengan perubahan tingkah Puan Tania.
“Mahu mak tak berangin. Patutnya kamu yang dah cukup umur tu yang selesaikan masalah mak. Bukannya ayah kamu yang dah terlebih umur tu! Dia tak ada kena-mengena dalam ini ceritalah!” marah Puan Tania ala-ala gaya seniman Ahmad Nisfu dalam filem Seniman Bujang Lapuk.
Karya-karya allahyarham Tan Sri P. Ramlee sangat melekat di jiwa Puan Tania hingga kadangkala tanpa sedar, wanita itu terikut-ikut dialog filem arahan seniman agung itu dalam percakapan hariannya. Amar hanya menggeleng. Entah apa-apa mak aku ni! omel hatinya lagi.
“Sebenarnya Am, minggu lepas mak pergi kenduri kahwin anak bongsu Mak Cik Latifah kamu. Dia dapat menantu baru tau. Taklah cantik mana pun, sedap mata memandang aje. Tapi mak cemburu betullah Am. Mak dah lama teringin nak ada menantu sendiri. Sayangnya, sampai sekarang bayang bakal menantu pun mak tak nampak. Jauh sekalilah nak tengok rupa paras menantu mak tu.” Puan Tania kembali melirihkan suara.
Amar tidak menyahut. Faham dia kini ‘masalah’ yang sedang dihadapi Puan Tania. Patutlah mak berangin semacam bila aku suruh ayah yang selesaikan. Sanggup ke ayah mati kena tetak dengan parang panjang mak kalau ayah kahwin lain? Bukan aku tak tahu cemburu mak pada ayah tu setinggi mana. Infinity!
“Jadi mak nak suruh Am carikan menantu untuk maklah ya?” soal Amar pura-pura baru faham.
Jari-jemarinya tetap laju mengetuk papan kekunci komputer.
“Eloklah kalau kamu dah faham Am. Mak harap sangatlah mak dapat menantu dalam masa terdekat ni. Tak dapat yang cantik, yang biasa-biasa pun jadilah asalkan dia boleh bagi mak cucu seorang dua nanti.” Puan Tania bersemangat dengan kata-kata sendiri. Akal Puan Tania lagi ekstrem, sudah terbayang-bayang rupa cucu yang bakal ditimang-timang setahun dua lagi. Argh... Indahnya kalau jadi kenyataan. Hati Puan Tania kembali berbunga-bunga.
Diam-diam, Amar tersenyum menggeleng. Tanpa melihat keadaan Puan Tania pun dia sudah dapat meneka riak Puan Tania saat ini. Mak, mak... Imaginasi tak pernah-pernah berubah. Tinggi sangat! Hati Amar tercuit sendiri.
“Menantu tu untuk siapa mak? Adik?” soal Amar dengan riak serupa, tenang walau dalam hati sudah terbahak-bahak dia ketawa.
Sengaja dia mengusik hati teruja Puan Tania. Mustahillah adik bongsunya yang baru berada di tahun kedua Universiti Kebangsaaan Malaysia tu pula yang akan dikahwinkan. Sanggup ke Adeq Taufik nak dengar ceramah percuma mak ayah yang pastinya takkan tamat dalam masa beberapa bulan tu? Kalau berani, cubalah!
“Huh! Apa pulak untuk adik kamu? Belajar pun tak habis-habis lagi, nak bagi dia kahwin pulak. Matilah mak ayah nak tanggung anak menantu belajar sekali gus! Kamu tu yang patut bagi mak menantu. Kesian mak, pergi mana-mana pun selalu ditanya orang bila lagi nak ada menantu. Mak nak jawab apa kalau anak mak sendiri yang tak mahu kahwin. Takkanlah mak nak paksa pulak, kan?” Dalam marah, sempat lagi Puan Tania bersuara sedih.
Harapannya, Amar akan termakan dengan rintihannya. Bukan Puan Tania tidak kenal hati budi anaknya itu. Hati Amar lembut walau sesekali lebih keras daripada batu, terutama bila menyentuh bab-bab yang dia tak suka. Contohnya seperti bab kahwin inilah. Boleh lagi dia bawa bergurau perkara-perkara penting begini? Tak sensitif langsung! rungut Puan Tania diam-diam.
“Salah mak jugak. Dah tahu mak tak ada menantu, yang mak pergi lepak dengan orang-orang yang dah ada menantu tu buat apa? Duduk ajelah diam-diam kat rumah. Tak rugilah kalau tak berkawan dengan orang yang suka jaga tepi, depan, belakang, luar, dalam kain orang tu,” sampuk Adeq tiba-tiba saja sudah menapak masuk ke bilik tidur Amar.
Tubuhnya yang berbalut pijama berbelang-belang hijau kuning itu direbahkan di sisi Puan Tania. Selamba saja tangannya memeluk pinggang Puan Tania sebelum kepalanya dilentok perlahan ke bahu wanita itu. Ingin bermanja. Adeq hanya tersengih bila Puan Tania merengus halus. Laju saja tangan wanita itu menolak tangan anak muda itu daripada terus berlingkar di pinggangnya. Rimas dengan tingkah anak bongsunya. Manja tak kira masa!
“Apa pulak macam tu! Sepatutnya abang kamu ni bagi mak menantu, bukan mak yang kena jadi kera sumbang, tak bergaul dengan orang! Usia abang kamu tu, patut dah ada seorang dua anak. Tapi macam mana nak ada anak kalau isteri pun masih tak nampak bayangnya.” Sambil merungut, sempat lagi mata Puan Tania mengerling tingkah Amar. Anak itu bagai tidak menahan telinga mendengar kata-katanya. Tekun menghadap kerja di depan mata tanpa peduli pada perbualan mereka.
“Abang tu belum ada calon lagilah mak. Tu sebab dia masih membujang sampai ke hari ni,” sahut Adeq membela abang kesayangannya.
Melihat jadual hidup abangnya itu pun Adeq sudah dapat meneka. Siang malam masa Amar dihabiskan hanya pada kerja, kerja dan kerja. Jadi mana Amar punya masa untuk mencari calon isteri? Lainlah kalau tiba-tiba calon isteri abang tu turun dari langit, ajak abang kahwin. Confirm mak boleh dapat menantu dapat masa terdekat ni. Itu pun kalau abang setuju nak kahwinlah! Hati Adeq sudah tergelak sendiri. Lucu dengan imaginasi sendiri yang entah apa-apa.
“Siapa kata dia tak ada calon? Kak Maya kamu kan ada? Dia dah cukup sempurna untuk jadi isteri abang kamu. Sudahlah baik, sopan santun pulak orangnya. Cantik lagi. Sejuk hati mak menengoknya,” puji Puan Tania melangit kepada Mayamin yang pastinya tidak dapat mendengar pujian itu saat ini.
“Bagi mak memanglah sejuk mata menengok, tapi bagi abang, panas jiwa yang melihatnya,” gurau Adeq sudah tersengih-sengih.
“Tapi bagi adik okey aje kalau abang kahwin dengan Kak Maya tu. Walaupun mulutnya macam murai tercabut ekor tapi sepadan sangatlah dengan abang yang mulutnya berat macam ada ketul batu dalam tekaknya tu,” sambung Adeq lagi, kali ini dengan nada bersungguh-sungguh.
“Itulah. Mak pun fikir perkara yang sama. Dah sepadan sangat dia orang berdua tu. Lagi sepadan kalau dia orang duduk bersanding atas pelamin sama-sama. Tapi tulah, semua tu hanya boleh jadi kenyataan kalau abang kamu setuju terima Kak Maya kamu tu jadi isteri dia.” Mata Puan Tania kembali terkalih ke arah Amar.
Tetapi seperti biasa, Amar tetap dengan sikapnya. Diam seribu bahasa dengan tangan masih tekun menyiapkan kerja-kerja pejabatnya.
“Susah-susah sangat mak, bagi adik ajelah yang kahwin dulu. Usia three series macam abang tu memang dah tak laku walau mak buat jualan lelong pun. Lainlah kalau muda belia macam adik ni. Berderet-deret yang menanti. Tinggal nak pilih aje,” usik Adeq. Dia terus mengaduh sambil mengosok-gosok lengan memerahnya selepas itu. Terasa perit dengan cubitan berbisa Puan Tania namun bibirnya tetap tersengih lebar.
Amar yang mendengar hanya menggeleng. Malas sudah membuka mulut. Terpulanglah kepada kedua-dua beranak itu sama ada mahu berdebat, bertekak atau bergusti sekalipun di ruang bilik tidurnya, Amar tidak mahu masuk campur. Banyak lagi kerja pejabatnya yang akan terbengkalai jika dia melayan perbualan tidak penting itu.
“Usia baru setahun jagung dah ada hati nak kahwin!” jerkah Puan Tania.
“Yuran universiti kamu tu pun ayah kamu yang bayarkan, makan minum kamu pun kami yang tanggung, ada hati nak tambah beban kami pulak? Mak nak abang kamu yang kahwin, bukan kamu yang mentah macam nasi tak masak tu. Dia anak sulung, jadi tanggungjawab dia bagi mak ayah menantu dan cucu. Tanggungjawab kamu belajar rajin-rajin sampai dapat ijazah. Bukannya menggatal masa belajar,” marah Puan Tania.
Geram dia dengan perangai kedua-dua anak lelakinya. Seorang sampai dipaksa-paksa pun masih tak ada tanda-tanda mahu kahwin. Yang seorang lagi belajar pun belum habis, dah tergedik-gedik nak berbini. Macam mana tu? Puan Tania memicit-micit dahi sendiri.
“Dah abang tak nak, pas ajelah kat adik. Adik bila-bila masa pun on aje mak.” Adeq tersengih-sengih lagi. Suka dia dapat menyakat mak kesayangan mereka.
Adeq sendiri bukannya jenis anak muda yang suka membuang masa dalam dunia cinta yang belum tiba masa untuk dijengahnya itu. Cuma dia faham benar dengan sikap Puan Tania. Pantang dicuit, melentinglah wanita itu. Kerana itu dia suka mengusik mak kesayangan dia dan Amar. Dicuit manja dagu maknya sebelum cepat-cepat dia mengelak bila Puan Tania mahu mencubit. Dia terkekeh ketawa melihat wajah cemberut Puan Tania. Geramlah tu!
“Boleh tak kamu tolong selesaikan masalah mak ni Amar?” soal Puan Tania. Dia sudah tidak peduli kepada Adeq di sisi. Bukan boleh dilayan sangat perangai anak bongsunya itu. Semakin menjadi-jadi perangainya nanti.
“Amar Tafhim, kamu dengar tak mak tanya ni?” Naik satu oktaf suara Puan Tania bila Amar tidak menyahut.
Betullah budak Amar ni macam pahat dengan penukul. Sekali ketuk sekali bergerak. Sekali ajak cakap, sekali sajalah dia buka mulut pun. Mana nak ada perempuan nak terpikat kalau mulut tu berat macam ada batu-bata dalam tekak? rungut hati Puan Tania. Rimas dengan sikap berat mulut anaknya nan seorang itu.
“Tengoklah macam mana.” Antara dengar dengan tidak, acuh tak acuh saja Amar menjawab sopan.
Dia bukan mahu menjadi anak derhaka, tidak hormatkan orang tua namun dia lebih rela menghadap kerja-kerjanya daripada mendengar Puan Tania bercakap tentang bab yang kurang disukainya itu. Naluri kelelakiannya tetap sama seperti lelaki-lelaki tulen lain, mahu bercinta dan punya keluarga. Cuma buat masa sekarang, dia belum ada keinginan untuk beristeri. Itu saja.
“Apa pulak tengok-tengoknya Am? Hei... Kalau beginilah perangai kamu, alamatnya sampai ke tualah mak dan ayah tak merasa ada menantu,” keluh Puan Tania. Dia langsung tak senang hati mendengar jawapan mudah Amar. Sungguh, dia sangat-sangat tak suka!
“Haih... Bukankah sekarang ni pun mak dah tua? Ni... dah berurat-urat uban tumbuh atas kepala mak. Takkan nak panggil muda lagi kut. Ooo... adik lupa. Mak terlebih makan bahan pengawet. Tu sebab rambut mak cepat beruban. Hehehe...” sampuk Adeq sengaja menarik-narik sehelai dua uban yang terjuntai di tepi dahi lebar Puan Tania.
Pap! Serentak itu tangan Puan Tania melekap ke lengan Adeq. Sudahlah anak sulung aku meniup api dalam hati, yang bongsu ni pulak menambah bara. Memang cari pasal betullah budak-budak ni! rengus hati Puan Tania.
“Mak ni... Sakit tau tampar kuat-kuat macam tu. Nanti kalau bengkak, adik jugak susah. Jangankan nak siapkan assignment, nak pegang pen pun tak boleh. Huhuhu...” Adeq mencebik sedih. Dia mengosok-gosok lengannya yang sudah dua kali menjadi habuan jari-jemari ketam Puan Tania malam itu.
“Huh, baru tampar sikit dah nak bengkak segala bagai! Macam tu nak kahwin muda? Esok-esok, isteri kamu baru suruh sekali angkat tong gas, kamu dah terlentang atas katil wad. Buang duit mak ayah aje!” cemuh Puan Tania. Kadangkala dia meluat melihat tingkah mengada-ada anak bongsunya itu. Bukan saja manja tak kena tempat, tak kena masa, tak kena gaya pun ada.
“Adeq, pergi masuk bilik kamu sekarang. Exam dah nak dekat, kan? Baca buku apa yang patut! Mak nak cakap dengan abang kamu aje,” arah Puan Tania tegas.
Jika dibiarkan anaknya itu berada di sini, makin sukarlah Puan Tania mahu memujuk Amar nanti. Bukan dia tidak faham dengan sikap Adeq. Anaknya itu suka menyampuk cakap-cakap orang tua tak kira masa. Laranglah apa cara sekalipun, mulut anak muda itu tetap tidak akan berhenti daripada mengganggu perbualan mereka. Jauh berbeza daripada perangai anak sulungnya, Amar Tafhim, yang begitu berat mulut. Sudah dipaksa-paksa barulah mahu bercakap. Itu pun sekejap saja.
“Alah... adik pun nak tumpang sekaki jugak,” rengek Adeq. Dia menggoncang-goncang lengan Puan Tania seperti kanak-kanak lima tahun tidak mendapat mainan. Lebar sengihannya bila mata bulat Puan Tania sudah terjegil. Nak marahlah tu!
“Tumpang sekaki ke, dua kaki ke, 10 kaki sekalipun, mak tak bagi. Pergi masuk bilik kamu sekarang. Kamu nak baca buku ke, nak tidur ke, buatlah apa yang kamu suka pun. Asalkan jangan kacau mak berbual dengan abang kamu. Pergi sekarang!” arah Puan Tania lebih tegas daripada tadi dengan jari telunjuk sudah dituding ke pintu bilik.
“Apa pulak 10 kaki, mak? Adik bukannya ulat daun ke, mentadak mentadu ke, nak ada banyak kaki. Ulat bulu yalah kut. Hehehe...” Adeq sudah menunjuk aksi gatalnya. Anak muda itu masih tidak berganjak daripada duduknya. Tersengih-sengih dia dengan kata-kata sendiri.
“Adeq Taufeq, sebelum marah mak meletup macam gunung berapi, baik kamu balik ke bilik kamu. Sekarang jugak!” jerkah Puan Tania benar-benar berangin. Anak bongsunya nan seorang itu bukan boleh diberi muka, cepat saja naik tocangnya walaupun anaknya itu tidak pernah berambut panjang melepasi paras tengkuk. Apatah lagi bertocang di kepala.
“Alah... Janganlah halau adik macam ni Puan Tania. Tak baik tau,” rengek Adeq. Dia masih tidak jemu-jemu menyakat bahkan sudah menjadi hobinya pula berbuat demikian setiap kali berbual-bual dengan Puan Tania.
“Adeq Taufeq...” Berderam saja suara Puan Tania menyebut nama anak bongsunya.
“Puan Tania...” ejek Adeq dengan nada serupa. Dia kemudian tersengih.
“Adeq Taufeq!” jerkah Puan Tania sudah hilang sabar.
“Puan Tania!”
Puan Tania dan Adeq berbalas pandangan. Terkejut.
“Bukan adik yang panggil mak,” ujar Adeq cepat. Dia terus menggeleng laju-laju bila Puan Tania memandangnya dengan muka tidak puas hati.
“Puan Tania oi... Kat mana awak? Dah tengah malam ni. Tak tahu nak balik ke bilik tidur sendiri dah ke? Takkanlah nak biarkan suami kesayangan awak ni tidur sorang-sorang? Biar ajelah anak-anak bujang awak tu tidur sendiri. Dia orang tu dah besar panjang. Tak payahlah nak dodoi dia orang macam bayi lagi.” Jelas kedengaran suara Encik Abid dari luar bilik.
“Ayah panggil mak tu,” beritahu Adeq. Dia tersengih bila Puan Tania memandangnya semula.
“Baik mak balik ke bilik tidur mak sebelum marah ayah pulak meletup macam gunung berapi,” tambah Adeq sengaja mengulang amaran maknya.
“Jaga kamu nanti.” Sempat Puan Tania mengugut sebelum terkocoh-kocoh keluar bila suara suaminya kedengaran kali kedua. Ayah budak-budak ni pun satulah. Macamlah tak boleh tidur sorang-sorang. Aku nak cakap dengan anak-anak pun tak senang, bebel hati Puan Tania sendiri.
“Abang tak jemu ke menghadap kerja aje siang malam? Kalau adik, dah lama mata cute adik ni buta menghadap komputer tu tau. Pedihkan mata aje menghadap benda alah tu 24 jam,” kata Adeq sebaik saja kelibat Puan Tania menghilang. Dia beralih tubuh ke arah Amar pula, mangsa dia yang seterusnya.
“Abang tak rasa ke nak pergi jalan-jalan ke, makan angin kat mana-mana ke? Adik tengok dari mula abang kerja dengan ayah sampailah sekarang, abang hanya tahu kerja, kerja, kerja. Sekali-sekala tu, abang bawalah diri ke mana-mana tempat kejap. Tak dapat seminggu dua, sehari dua jadilah.
“Abang tak rasa penat ke siang malam bekerja tanpa henti-henti? Nak kata ayah tak bagi cuti, selalu jugak ayah suruh abang berehat. Tapi yang peliknya, abang sendiri yang tak nak cuti. Kalaulah adik kat tempat abang, tak payah ayah suruh rehat, awal-awal lagi adik dah mengelat. Robot bolehlah kerja non-stop. Kita ni manusia, ada had bekerja jugak tau,” kata Adeq lagi. Kali ini lebih pada membebel. Dilentang tubuhnya ke tilam. Mata pula sudah menilik siling. Kaki kanannya disilang ke atas kaki kiri, bagai bersantai di tepi pantai saja lagaknya.
“Abang tahu, menurut pensyarah adik, manusia yang tak tahu menikmati keindahan alam semula jadi adalah manusia yang tak pernah menghargai pemberian Allah. Dia beri kita mata untuk melihat, mulut untuk bercakap, hidung untuk menghidu, telinga untuk mendengar dan anggota badan untuk kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya. Tapi itu tak bermakna kita...” Terhenti kata-kata Adeq di situ bila matanya terkerling kelibat Amar yang tetap seperti tadi. Khusyuk menghadap timbunan kerja-kerjanya tanpa mempedulikan kehadirannya.
“Abang ni... buat habis air liur adik aje bercakap ala-ala pensyarah universiti. Sepatah kata pun tak masuk dalam telinga dia. Sabar ajelah!” rungut Adeq.
“Abang! Dengar ke tidak adik panggil ni? Oi, abang kesayanganku, dengar tak?” panggil Adeq lagi bila Amar tetap pegun di depan komputernya. Langsung tidak menoleh ke arah Adeq walau sekali.
“Hisy... Ni yang buat adik malas bercakap dengan orang yang berat mulut macam abang ni. Tak nak cakap satu hal, telinga pun selalu tersumbat. Otak tu tak payah katalah, memang penuh dengan kerja pejabat aje. Lecehlah abang ni, tak boleh buat geng langsung,” rungut Adeq lalu bangun berlalu ke pintu.
“Abang, adik masuk tidur dululah ya? Abang tu jangan tidur lewat sangat. Dahlah asyik menghadap komputer, tidur pulak tak cukup. Mahu buta mata abang nanti. Perangai abang tu pun dah macam orang bisu aje, tak suka bercakap. Telinga pulak macam orang pekak, langsung tak dengar apa yang adik cakap. Cukup quorum dah tu nak jadi orang OKU. Kalau OKU tu maknanya orang kuat usaha tak apalah tapi kalau abang jadi orang kurang upaya tu. Mahu tak berbini abang sampai ke mati nanti.” Adeq sempat lagi mengutuk abangnya sebelum berlalu keluar.
Tangannya mencapai tombol pintu sebelum pintu kayu bilik Amar ditutup rapat. Malas sudah untuk terus bersuara. Sedar, bercakap dengan abangnya nan seorang itu sama saja seperti bercakap dengan tunggul kayu. Pasti tiada balasan.

Amar yang diam-diam mengerling tingkah adiknya melepas nafas panjang-panjang. Lega rasanya bila bayang-bayang Adeq tidak lagi kelihatan. Mulut adiknya itu, tak ubah macam mulut burung murai. Suka berkicau tak kira waktu. Sakit telinga Amar yang mendengar. Dia tidak pekak, jauh sekali bisu. Hanya malas melayan percakapan Adeq yang pastinya lebih banyak sia-sia daripada berfaedah. Itu saja. Lalu, dengan senang hatinya Amar kembali menyambung kerja. Tiada lagi gangguan Adeq mahupun Puan Tania buat malam itu. Lega!

No comments:

Post a Comment