Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 9 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 9
“Tension?”
Teguran itu menyentak lamunan singkat Amar. Sejak tadi dia berada di bangku kayu itu. Di laman rumah milik keluarga Mayamin. Terpandang Mayamin, dia merengus halus sebelum lambat-lambat dia mengangguk. Orang sudah menegur baik, takkan mahu bersikap sombong pula. Walau orang yang menegur itu tidak disukainya. Dia mengengsot ke tepi sedikit, memberi ruang kepada Mayamin melabuh punggung di sisinya.
Mayamin tersenyum kecil.
“Saya pun tension jugak. Malah lagi tension daripada awak,” kata Mayamin sambil memandang sekeliling yang dibungkus sepi. Hanya sesekali kedengaran deruman kereta atau motosikal melalui kawasan perumahan Taman Seri Jaya di waktu-waktu begini.
Awal malam, aktiviti apa lagi yang lebih sesuai dilakukan jika tidak menonton televisyen, membaca atau tidur. Sayang, Mayamin tidak mampu membuat salah satu daripada aktiviti kegemarannya itu malam ini gara-gara rancangan Puan Saleha dan Puan Tania. Hinggakan dia juga seperti Amar, sama-sama membeku lidah sepanjang makan malam berlangsung biarpun mereka yang lain riuh bersuara bagai esok akan berlangsungnya kenduri. Bosannya suasana. Hati Mayamin mengeluh.
“Kenapa pulak?” Dahi Amar sudah berkerut-kerut. Tidak faham dengan kata-kata gadis itu.
Wajah beriak biasa-biasa milik Mayamin ditatap sekejap. Ada kelembutan pada wajah itu. Sekali gus mencuit satu rasa di hati Amar. Betullah minah mulut murai ni macam budak-budak. Harap umur aje dah cecah 30 tahun tapi muka nampak macam budak baru habis sekolah aje. Banyak makan ulam-ulaman kut dia ni. Hati Amar sempat menilik wajah gadis di sisinya.
Cepat-cepat dia mengalih pandangan bila tersedar tak patut dia memandang lama-lama gadis bukan mahramnya. Bukan terlalu alim, sekadar mengingatkan diri sendiri tentang batas-batas antara lelaki dan perempuan yang tidak patut dilangkau melainkan jika keadaan memaksa.
“Yalah. Saya dipaksa berkawan dengan awak padahal awak sendiri pun bukannya suka nak kawan dengan saya.”
Amar merengus halus mendengar jawapan selamba gadis itu. Perli akulah tu. Kurang asam gelugur betullah minah mulut murai ni!
“Saya bukannya tak suka berkawan dengan awak. Tapi mulut awak tu, macam murai tercabut ekor. Perit telinga saya setiap kali dengar awak bercakap.” Amar berterus terang. Itu lebih baik daripada menipu, kata hatinya.
“Habis tu, saya nak buat macam mana? Dah memang begini perangai saya sejak azali. Bukannya saja-saja aje saya buat. Tapi sebab mulut saya yang macam murai tercabut ekor nilah saya ramai kawan tau.” Bangga saja Mayamin bersuara sambil tersengih. Bangga dengan kelebihan sendiri. Biar apa pun pandangan orang lain terhadapnya, pada Mayamin, itu anugerah Allah dan seharusnya dia berbangga dengan pemberian tidak ternilai itu.
“Ya ke ramai kawan? Sampai tak laku nak dijadikan isteri orang?” perli Amar lalu Mayamin pula merengus halus.
“Dahlah awak. Tak payahlah awak nak membebel tak tentu pasal. Saya tengah pening ni. Jangan peningkan lagi kepala saya yang sedia pening ni,” sambung Amar tidak memberi kesempatan kepada Mayamin untuk menjawab.
Dia cuba menutup mata. Sekadar ingin merehatkan kepala yang masih terasa sakitnya. Sakit kerana dipaksa untuk makan malam di rumah keluarga Mayamin. Bukan hanya kerana makan malam sebenarnya tapi kerana muslihat Puan Tania di sebalik semua itu. Dia mahu menolak namun bila Puan Tania sudah membuat drama air mata, mahu tidak mahu Amar terpaksa setuju. Tidak sampai hati pula melihat mak kesayangan mengeluarkan air mata hanya untuk perkara tidak berfaedah begitu.
“Huh. Awak fikir kepala awak saja yang peninglah ya? Saya pun pening jugak tau. Tapi saya bukan macam awak, suka hati sendiri nak tuduh orang peningkan kepala awak. Awak sendiri yang salah. Dah tahu kepala awak tu jenis kepala secondhand, kenapa tak makan ubat? Esok-esok kalau jadi penyakit barah otak ke, amnesia ke, baru padan dengan muka awak,” bebel Mayamin jelas tidak puas hati dengan kata-kata Amar.
Aku dituduhnya membawa penyakit kepala? Dia ingat aku apa? Keturunan virus? Parasit? Tolong sikit ya! Kalau betullah aku keturunan virus atau parasit, dialah orang pertama yang akan aku sebarkan virus Ebola. Biar satu badan kau menggigil demam berdarah aku kerjakan. Padan muka! Akal Mayamin merepek-repek sendiri.
“Hei, awak ni, memang keturunan murai ke apa, hah? Tak tahu diam langsung!” marah Amar menjeling sekilas Mayamin yang hanya menayang muka selamba. Mulalah tu. Pantang aku bagi peluang, mulalah nak membebel tak tentu hala. Ni yang buat aku rimas ni!
“Kalau saya ni keturunan murai, awak tu pun keturunan yang sama tau,” balas Mayamin.
“Kenapa pulak?” soal Amar pelik.
“Eh, awak ni. Kita kan sama-sama manusia, sama-sama keturunan Nabi Muhammad. Jadi, kalau awak kata saya ni keturunan murai, awak tu pun keturunan murai jugaklah. Takkan itu pun saya nak kena explain?” bebel Mayamin lalu Amar menepuk dahi sendiri.
“Ya Allah... Kenapalah aku terfikir nak ikut cakap mak supaya kenal dengan minah sewel ni?” keluhnya perlahan. Tidak peduli Mayamin yang memandang tingkahnya sudah mencebik.
“Eleh. Awak cakap macamlah saya setuju bebenar nak berkenalan dengan awak,” cemuh Mayamin.
“Saya pun terpaksa jugak tau. Kalau tak kerana saya dipaksa oleh mak saya, tak adanya saya nak memaksa diri sendiri supaya berkenalan dengan awak yang terpaksa kenal dengan saya ni tahu,” bebel Mayamin semula.
Dia terus saja bercakap tidak berhenti. Langsung tidak beri peluang kepada Amar yang perlahan-lahan menyandar tubuh ke kepala kerusi. Pening dengan tingkah Mayamin yang sememangnya tidak seiring dengan tingkah Amar walau sedikit. Mata yang sedia memberat terasa semakin berat sebelum dia hampir terlelap bila tiba-tiba saja Mayamin menepuk lengannya.
“Hei, awak ni. Tiap kali datang rumah saya aje, mesti awak nak tidur. Bercakap dengan saya aje, nak tidur. Apa, awak fikir rumah saya ni hotel ke? Kalau ya pun tak suka dengar saya bercakap, janganlah tidur. Ke awak ni memang kaki buat tahi mata?” bebel Mayamin sudah mencekak pinggang.
Dia ni mesti ada darah suku sakat keturunan Nujum Pak Belalang. Bukan sebab pandai menilik terus mata tapi suka buat tahi mata! Allah bagi biji mata untuk melihat, tapi dia tahu nak tidur aje. Jenis manusia apa entah dia ni! Hati Mayamin ikut serta membebel-bebel sepertimana mulutnya juga.
“Saya bukan kaki buat tahi matalah tapi awak tu, membebel aje sepanjang masa. Bingit telinga saya tahu tak! Cuba-cubalah awak diam walau seminit. Tak boleh ke, hah?” marah Amar bengang dengan tuduhan melulu Mayamin.
Lalu dia kembali menutup mata. Mahu menyambung tidur walau hakikatnya dia tiada rasa mahu tidur. Tapi untuk menyelamatkan telinga daripada menjadi mangsa bebelan entah apa-apa Mayamin, Amar lebih rela pura-pura tidur daripada membuka mata menghadap Mayamin yang tidak berzip mulutnya itu.
Mayamin terdiam. Bukan kerana terkejut atau takut tapi kerana ada sesuatu yang tiba-tiba melintas di benaknya.
“Amar, apa kata kalau mulai hari ni, kita berkawan? Nak?” soal Mayamin dengan nada suara ceria. Langsung terlupa pada untuk membalas sindiran Amar sebentar tadi.
Dia sendiri sebenarnya tidak mengambil hati dengan kata-kata lelaki itu. Walau bukan Amar yang menuduhnya begitu, orang lain yang mengenalinya juga pernah mengatakan perkara yang sama. Senang cakap, Mayamin sudah biasa dengan tuduhan begitu.
Terbuka mata Amar serta-merta. Wajah selamba Mayamin dipandang sejenak.
What?” Tanpa sedar sepatah kata itu terluah dari mulutnya. Minah ni biar betul. Kulit muka tebal ala-ala kulit biawak agaknya. Aku tengah marah pun dia masih boleh ajak aku berkawan? Betullah minah mulut murai ni gila orangnya!
“La... pekak ke awak ni? Saya kata, mulai hari ni, kita jadi kawan, nak tak? Kawan-kawan, bukan kawan kahwin macam yang mak-mak kita harap tu, ada faham?” balas Mayamin sudah merengus perlahan. Salah aku cakap ke atau dia ni yang tak faham bahasa? Tak reti aku!
Amar ikut merengus walau rengusannya berlainan maksud. Huh, aku dikatanya pekak pulak. Confirm mulut dia tak ada insurans hayat ni!
“Kawan macam mana maksud awak?” Dalam bengang, Amar tetap juga melayan pertanyaan Mayamin. Sekadar mengisi masa, apa salahnya, fikir Amar.
“Kawan, kawan biasa macam orang lain berkawan,” sahut Mayamin bersungguh-sungguh hingga terangguk-angguk kepalanya mengikut setiap patah katanya.
“Awak kena paksa berkawan dengan saya. Saya pun sama. Daripada kita bergaduh setiap kali berjumpa, apa kata kalau kita berkawan aje? Kita kawan biasa, macam kita berkawan dengan orang lain,” bagi tahu Mayamin sejelas-jelasnya memandangkan Amar mengerut dahi beberapa kali, bagai masih kabur dengan keterangannya sebentar tadi.
Agak lama Amar berfikir sebelum lambat-lambat Amar mengangguk. Setuju dengan cadangan yang dirasakan agak munasabah itu. “Hmm... okey jugak cadangan awak tu. Mak ayah kita pun senang hati kalau dia orang tengok kita berkawan walau setakat berkawan biasa saja.”
So, awak setuju?” soal Mayamin teruja. Dia sudah tersenyum lebar. Memandang Amar tersenyum sikit.
“Setuju!” putus lelaki itu kemudian.
So, lepas ni kita takkan gaduh lagi ya?” Mayamin meminta kepastian.
“Kalau awak tak membebel lagi,” balas Amar seakan-akan menyindir namun lebar terus senyuman Mayamin jadinya. Langsung tidak terasa dengan kata-kata lelaki itu.
Bagus. Ada harapan aku nak tepis calon pilihan mak ni nanti. Hati Mayamin sudah berkira-kira sendiri. Tidak tahu hati Amar juga sudah bersenang-lenang.
Leganya... Lepas ni tak payahlah aku sakit-sakit kepala fikir macam mana nak tolak pilihan mak ni. Kalau setakat nak kawan biasa tu, bila-bila masa boleh putus kawan. Hati Amar bahagia sendiri. Dia kemudian menutup mata semula. Amar merengus bila Mayamin kembali mencuit lengannya.
“Hei, awak, janganlah tidur aje. Bangunlah. Kalau ya pun tak nak dengar saya bercakap, awak boleh buat perkara lain, kan?” kata Mayamin semula. Tidak suka dia melihat gelagat Amar. Kalau ya pun tak suka kat aku, janganlah tunjuk sangat rasa tak suka tu. Coverlah sikit. Buat aku menyampah aje!
“Buat apanya?” Hendak tak hendak saja Amar melayan kerenah Mayamin. Kan bagus kalau minah mulut murai ni sakit tekak setiap kali dia jumpa aku. Tak payahlah aku dengar dia membebel lagi, rungut hatinya.
“Apa kata, awak cerita kat saya tentang business yang sedang awak jalankan sekarang?” Mayamin membuat muka comelnya.
“Hah?” Amar sudah mengerut dahi.
“Perempuan perangai macam awak ni, minat ke nak ambil tahu tentang business besar-besar ni?” Soalan Amar kedengaran sinis walau bukan itu niatnya. Dia sebenarnya terkejut, tidak sangka gadis gila-gila dan terlebih riang seperti Mayamin berminat dengan perniagaan hartanah sepertimana yang diusahakan oleh dia dan Encik Abid di syarikat mereka.
“Sebab minatlah saya tanya. Kenapa? Ooo... mentang-mentanglah saya tak ada business besar macam keluarga awak, saya tak layaklah nak ambil tahu? Kalau saya ada modal besar macam awak, saya pun teringin jugak nak melabur dalam business hartanah tu tau. Tapi itulah, duit yang ada dalam simpanan saya hanya cukup-cukup untuk saya dan kedai saya itu aje. Kalau saya salah belanja nanti, habislah simpanan saya. Bila dah habis simpanan, saya...”
“Awak nak saya cerita tentang business hartanah tu ke awak nak cerita kat saya pasal impian awak yang tak menjadi tu?” potong Amar segera. Dia menjeling bila Mayamin tersengih.
“Hehehe... Sorry, terlajak cakap pulak. Awak bagi tahulah, saya dengar aje. Betul!” sahut Mayamin sambil mengangkat tangan kanan hingga ke paras telinga, seakan-akan membuat janji.
Amar mengangguk. Ini baru betul. Hatinya tersenyum suka.

Dari dalam rumah, Puan Tania dan Puan Saleha sudah bertukar-tukar senyum melihat gelagat Amar dan Mayamin yang kini sudah mahu berbual-bual walau tidak semesra mana. Menjadi juga rancangan mereka rupanya. Yes

No comments:

Post a Comment