Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 8 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 8
Pang! Pang! Pang! Izdiyad yang sedang tidur lena di katilnya terjaga. Terkejut dengan bunyi bising itu.
“Siapa pulak yang buat rumah pagi-pagi buta ni? Dah tahu hari ni hujung minggu, bagilah orang lain berehat sikit. Masa-masa beginilah dia orang nak bertukang apa pun.” Dalam mengantuk, dia membebel marah.
Izdiyad ingin menyambung tidur namun bunyi bising itu kedengaran semula. Seakan-akan hampir-hampir saja dengan telinganya. Bagai datang dari kawasan rumahnya sendiri. “Sejak bila pula abi dengan umi buat renovation kat rumah ni? Bising betullah. Aku nak tidur pun tak senang.”
Tidak tahan dengan bunyi bising itu, Izdiyad bangun juga daripada perbaringannya. Dengan kelopak mata yang masih berat untuk dibuka, dia menjenguk kepalanya ke luar tingkap. Tepat mengenai halaman rumah. Ditenyeh matanya beberapa kali sebaik terpandang keadaan halaman rumah Tuan Haji Rusdi saat ini.
“Sejak bila pulak abi buka bengkel kereta kat depan rumah ni? Dahlah tu, minah jantan tu pulak yang jadi mekaniknya. Biar betul abi ni.” Tidak berlengah, Izdiyad melangkah keluar dari bilik.
Tidak peduli pada keadaan dirinya yang hanya berpijama berbelang-belang biru dan putih, dia menapak ke ruang tamu sebelum terus ke halaman rumah.
“Kau buat apa kat sini?” Tanpa memberi salam, Izdiyad terus bertanya. Memandang Aina yang sedikit terkejut dengan teguran itu. Gadis itu tersengih lebar.
Good morning, boss. Baru bangun tidur ya?” sapa Aina dengan tangan masih memegang spanar.
Dia sedang membaiki kerosakan di enjin kereta tua Tuan Haji Rusdi yang tiba-tiba saja meragam pagi ini. Nama saja lelaki itu memiliki harta setimbun gunung namun Tuan Haji Rusdi tetap gemar memakai kereta lamanya, Proton Saga keluaran pertama Malaysia pada tahun 1985. Banyak kenangan kata Tuan Haji Rusdi setiap kali ditanya sebab-musabab lelaki itu tidak mahu menukar kereta kesayangannya itu.
Izdiyad merengus. Dah tahu aku pakai masih pakai pijama, lagi mahu tanya, getus hatinya.
“Kau buat apa kat rumah aku pagi-pagi ni?” soal Izdiyad memandang Aina kembali menyambung kerjanya.
“Ya ke ni rumah Encik Iz? Bukan ni rumah Tuan Haji Rusdi punya ke?” soal Aina sudah mencebik. Dia membongkok tubuh semula. Membelek-belek enjin kereta, melihat apa yang patut sebelum kembali bertukang.
“Memanglah rumah abi aku tapi apa yang kau buat kat sini? Sejak bila pulak kau pandai nak bertukang segala bagai ni?” soal Izdiyad tetap mencekak pinggang. Tidak puas hati dengan kata-kata gadis itu.
“Sejak kamu belum balik ke Malaysia lagi, Aina dah pandai bertukang segala bagai Iz. Jangan kata nak bertukang kereta, bertukang buat rumah pun dia boleh buat. Nak harapkan kamu, huh. Entah-entah spanar dengan playar pun kamu tak tahu nak bezakan,” sampuk Hajah Zuriah. Dia baru saja menapak keluar ke anjung rumah bersama sedulang minuman.
“Tapi umi, kenapa tak hantar aje kereta abi ni ke bengkel? Kenapa nak suruh minah jantan ni pulak yang baikinya? Entah-entah, daripada dapat bertahan setahun dua, esok lusa dah nak kena humban kereta abi ke dalam laut. Yalah, dah suruh tikus yang baiki labu. Memang jahanamlah jadinya,” sanggah Izdiyad jelas tidak puas hati dengan kata-kata uminya.
Umi ni satulah. Suka hati dia aje mengata aku depan minah jantan ni. Kata belakang tak boleh ke? Minah jantan ni pun sama. Pandai aje dia nak bodek umi dan abi aku. Konon nak tunjuk pandai segala bagai. Macamlah dia tu bagus sangat. Kereta abi ni pun satu hal. Masa-masa nilah nak rosak pun. Tak pasal-pasal dah rugi masa tidur aku tau! Panjang bebelan hati Izdiyad. Semuanya ditujukan kepada Aina dan Hajah Zuriah, termasuklah kereta kesayangan Tuan Haji Rusdi, turut terkena tempias bebelannya.
“Kamu ni ada akal ke tidak Iz? Hujung-hujung minggu macam ni, mana ada bengkel yang buka. Lagipun buat apa nak bazirkan duit hantar kereta ke bengkel? Aina kan ada. Dia boleh tolong abi kamu baiki kereta kesayangan abi kamu ni. Bukan macam kamu tu. Tahu nak membazir aje. Nama saja lelaki tulen, nak periksa air bateri kereta tu pun belum tentu kamu tahu,” bidas Hajah Zaidah, sempat lagi menempelak anak lelakinya.
“Susah-susah sangat umi, beli ajelah kereta baru. Bukannya abi tak ada duit pun. Kalau nak, Iz pun boleh tolong belikan. Simpan aje kereta antik abi ni kat dalam garaj tu. Esok-esok, kalau teringin, bawalah keluar ke mana-mana sekejap,” cadang Izdiyad. Sambil-sambil itu dia menjeling Aina yang tegar menyiapkan kerjanya.
Bukan telinga Aina tidak mendengar kata-kata lelaki itu terhadapnya, tapi untuk apa dia melayan percakapan Izdiyad jika hanya menambah rasa sakit hatinya? Orang gila kalau dilayan, kita pun ikut gila nanti, pujuk hati Aina sendiri.
“Yalah tu kamu. Antik macam mana sekalipun kereta abi kamu tu, kereta tu dah banyak berjasa kepada kita sekeluarga tau. Kamu dah lupa, masa kamu kecil-kecil dulu, kereta tu jugaklah yang hantarkan kamu ke sekolah. Masa kamu nak ke luar negara, kereta tu jugaklah yang bawa barang-barang kamu. Itu pun kamu masih tergamak nak suruh abi kamu simpan aje kereta ni dalam garaj? Kamu ni betullah Iz, lupa daratan!” marah Hajah Zaidah sudah mencekak pinggang. Dipandang tajam anak lelakinya yang lambat-lambat merengus kesat.
“Bukanlah macam tu maksud Iz, umi. Iz hanya...”
“Argh, sudahlah kamu. Malas umi nak layan cakap kamu tu. Semua nak betul pada kamu saja,” potong Hajah Zuriah sebelum sempat Izdiyad habis bersuara.
Umi ni sajalah tu, nak kenakan aku. Hampeh betul! marah hati Izdiyad.
“Hah Aina. Berhenti dulu buat kerja kamu tu. Mari kita sarapan sekali. Nak tunggu kamu habiskan kerja tu, mahu sampai tengah hari nanti pun kamu tak sarapan,” ajak Hajah Zuriah sudah melabuh punggung di sisi Tuan Haji Rusdi. Sejak tadi lelaki itu ralit membaca surat khabar tanpa mengendahkan kehadiran tiba-tiba anak lelaki tunggal mereka di halaman rumah.
“Betul kata umi kamu tu Aina. Mari sini kita sarapan sama-sama. Perut abi pun dah meragam macam kereta abi tu jugak,” sampuk Tuan Haji Rusdi sambil melipat-lipat surat khabar di tangannya. Dia kemudian bangun membasuh tangan di paip air di tepi anjung rumah.
“Abi? Umi?” Dahi Izdiyad sudah berkerut seribu.
“Sejak bila pula minah jantan ni jadi anak abi dan umi ni?” soal Izdiyad bagai tidak puas hati dengan panggilan yang digunakan kedua-dua orang tuanya kepada Aina.
Setahu aku, umi lahirkan aku seorang aje daripada rahim dia. Yang minah jantan ni datang dari celah mana pulak? Takkan umi dah lahirkan dia masa aku tinggal kat Australia dulu? Kalau ya pun, takkan dah sebesar ni adik aku padahal lapan tahun aje aku tinggal sana pun. Tak masuk akallah kalau betul dia adik aku. Isy, apa yang aku merepek ni? Cepat-cepat Izdiyad menghalau andaian bukan-bukan yang tiba-tiba muncul di akal separa sedarnya.
Dikerling sekilas Aina yang selamba menapak masuk ke anjung rumah setelah mencuci tangan. Tanpa dipelawa, gadis itu menarik pinggan berisi lepat pisang ke depan mata. Selamba saja gadis itu mengunyah setelah membaca doa makan tanpa mempedulikan tingkah Izdiyad.
“Sejak kamu belum balik ke sini lagi dia dah jadi anak kami Iz. Dialah satu-satunya anak kami yang boleh diharapkan pun. Apa nak buat, nasib umi dan abilah. Ada anak sendiri, dah dipaksa baru tahu nak balik ke negara sendiri. Nak tak nak, terpaksalah umi dan abi menumpang kasih sayang anak orang lain.”
Izidyad merengus halus mendengar jawapan selamba Hajah Zuriah. Perli akulah tu, getus hatinya.
“Umi cakap macamlah Iz ni tak boleh diharap langsung,” rajuk Izdiyad menjeling sekilas kepada uminya. Selamba umi saja nak kutuk aku depan minah jantan ni. Makin naik lemaklah minah ni nanti. Hatinya ikut merengus.
“Bukan tak boleh diharap tapi memang umi tak berharap langsung pada kamu. Jangankan nak jaga kami, diri sendiri pun kamu tak pandai lagi nak jaga. Macam mana umi dan abi nak berharap pada kamu kalau begitu gayanya Izdiyad Zamir oi?” sahut Hajah Zuriah.
Semakin panas rasanya telinga Izdiyad. Malas mendengar lagi, Izdiyad terus menapak masuk ke dalam rumah namun terhenti di depan pintu bila Tuan Haji Rusdi kembali memanggil.
“Hah, kamu nak ke mana tu Iz? Tak nak sarapan sekali ke?”
“Tak payah diajak anak kita tu bang. Muka pun belum basuh, gigi pun belum gosok, dah nak makan. Elok-elok saya berselera nak makan lepat air tangan Aina ni, hilang pulak selera saya tengok keadaan anak kita yang belum mandi tu.” Selamba saja Hajah Zuriah mengumpat anak terunanya di depan Aina.
Gadis itu pula hanya tersengih.

Izidyad merengus halus. Sambil merungut-rungut, dia kembali menapak ke tingkat atas. “Siapa sebenarnya anak kandung umi dan abi ni. Aku ke, minah jantan tu? Tak adil betul!” 

No comments:

Post a Comment