Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 6 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 6
“Alahai... Apa malanglah nasib aku. Tak pasal-pasal kena jadi minah despatch tak bertauliah hari ni,” rungut Mayamin. Tangannya mencapai sebuah fail kecil dari tempat duduk penumpang di sisinya. Dibelek-beleknya seketika. Bimbang andai tertinggal sebarang kertas penting.
“Pak Cik Abid ni pun satu. Kenapalah dia suka sangat tertinggal barang kat rumah aku? Kalau datang tu, cuba-cubalah bawa badan aje. Ni semua khazanah rumah dia nak diangkutnya sekali. Tak pasal-pasal, aku jugak yang kena tolong hantar. Kalau bagi kat dia tak apalah jugak, ni nak kena bagi pada anak dia yang tak suka bercakap tu. Mahu tak tension aku jadinya. Kalau selalu macam ni, boleh tua aku sebelum waktunya tau.” Mayamin merungut lagi, bagai ada orang lain di sisinya sekarang. Sambil itu dia menapak keluar dari keretanya. Terjatuh rahangnya sekejap melihatkan bangunan tempat dia berdiri tegak kini.
“Mak oi... besarnya bangunan. Berapa tingkatlah agaknya bangunan milik Pak Cik Abid ni ya? Pejabat lelaki berat mulut tu kat tingkat mana pulak? Mahu sesat aku nak cari dia dalam bangunan ni nanti.” Mayamin kembali merungut.
“Susah apa sangat. Tanyalah ajelah kat kaunter pertanyaan syarikat. Mesti dia orang kenal punyalah Encik Amar Tafhim yang berat nak buka mulut tu.” Mayamin menceceh lagi.
Kaki pula sudah menapak masuk ke ruang lobi. Cepat-cepat dia menapak ke kaunter pertanyaan selepas itu. Puas bertanya, Mayamin melangkah ke lif berdekatan. Tak lama, dia sudah berada di depan pintu pejabat Amar.
“Assalamualaikum. Tumpang tanya, Encik Amar Tafhim ada?” Sopan Mayamin bertanya dengan senyuman sudah dilebarkan semanis mungkin.
Sofea mengangkat kepala. Dia mengukir senyuman.
“Waalaikumussalam. Dia ada. Cik ni siapa ya?” Dalam hati Sofea sudah tertanya-tanya sendiri.
“Saya Mayamin Nur, kawan dia. Boleh saya jumpa dia?” Selembut kain tuala yang dicuci dengan Softlan saja lidah Mayamin bertanya. Orang sudah berbudi bahasa baik, takkan kita nak berkasar pula, getus hatinya.
“Sekejap ya Cik Maya,” balas Sofea lalu dia menekan butang interkom. “Encik Amar, Cik Maya ingin berjumpa dengan encik sekarang.”
Amar yang sibuk membuat kerjanya saat ini memanggung kepala. Berkerut-kerut dahinya sejenak.
“Cik Maya? Maya yang mana?” Spontan Amar bertanya. Bila masa pula aku ada kenal orang nama Maya ni? Hatinya bertanya sendiri.
“Mayamin Nur katanya,” jawab Sofea hormat. Berapa banyak perempuan bernama Maya yang bos aku ni kenal? Hati Sofea pula berbisik.
“Mayamin Nur?” Amar mengerut kening sebelum dahinya ditepuk sekali.
Oh... perempuan mulut murai tu rupanya. Macam mana aku boleh lupa pasal dia? Tapi, ada hal apa pulak dia nak jumpa aku? Jangan dia datang nak membebel kat sini sudah. Dahlah banyak kerja yang aku nak siapkan ni. Hati Amar mula gelisah walau wajah tetap terpeta riak tenang.
“Suruh dia masuk Sofea,” arah Amar kemudian.
“Cik boleh masuk sekarang.” Mesra Sofea memberitahu Mayamin.
Mayamin tersenyum mengangguk. Macam nak jumpa menteri. Lambat betul. Sempat lagi hatinya merungut saat langkah kakinya laju-laju diayun. Tidak perasan Sofea sudah menepuk dahi sendiri.
“Assalamualaikum,” kata Mayamin sebaik saja dia melangkah masuk ke pejabat Amar. Matanya melilau sekeliling. Wah... ini bilik pejabat ke ruang tamu rumah? Luasnya! Kagum rasa hati Mayamin.
“Waalaikumusslam,” balas Amar sudah mendongak muka. Dia merengus halus melihatkan gelagat Mayamin. Macam rusa baru masuk kampung. Tercengang-cengang macamlah tak pernah masuk pejabat sesiapa selama ni, rungut hati Amar.
“Besar betul ya pejabat awak. Macam pejabat orang kenamaan aje. Kalaulah saya ada pejabat sebesar ni kan seronok. Bolehlah saya buat macam-macam kerja kat sini. Kalau tak dapat buat pejabat sendiri, buat ruang berniaga pun jadilah. Janji saya ada ruang sebesar ni.” Tanpa dipelawa Mayamin terus melabuh punggung di sofa. Mata pula masih melilau ke sekeliling.
“Dahlah besar, cantik pula tu hiasannya. Patutlah mak awak kata awak suka duduk terperap dalam pejabat lama-lama. Kalau saya jadi awak pun, saya suka duduk terperap kat sini kalau dapat pejabat macam ni punya cantik. Dahlah cantik, kemas, bersih pulak tu. Memang...”
“Ada apa awak datang ke sini sebenarnya?” cantas Amar cepat. Dia terus bangun mendapatkan gadis itu.
Amar tahu. Jika dibiarkan, semakin melalut percakapan Mayamin jadinya. Bukan dia tidak kenal perangai Mayamin. Cukup dengan satu pertemuan yang diatur oleh mak-mak mereka, segala memori yang berkaitan dengan Mayamin ketika mereka di bangku sekolah dulu sudah kembali terpahat kemas dalam kotak ingatan Amar. Biarpun berlainan kelas dan tingkatan, semua memori itu sudah cukup untuk Amar mengenali Mayamin secara luaran. Lalu dia melabuh punggung di sofa. Bertentangan gadis itu.
Mayamin tersengih.
“Saya datang nak bagi awak benda ni,” kata Mayamin sambil menghulur sekeping fail yang sejak tadi dikepit di bawah lengannya.
“Apa ni?” tanya Amar hairan, namun tetap menyambut. Mata pula sempat mengerling Mayamin yang menjongket bahu perlahan.
“Entah. Mana saya tahu. Ayah saya yang suruh bagi kat awak. Dia kata ayah awak tertinggal kat rumah kami masa dia datang dengan mak awak tempoh hari. Nasib baiklah fail tu tak berat. Kalau tidak, jenuh jugak saya nak bawa naik ke pejabat awak ni. Awak tahu ajelah, pejabat awak ni kan banyak cabangnya. Silap-silap, boleh hilang saya kat sini. Kalaulah saya hilang, mahu...”
“Jadi?” soal Amar bosan sudah mendengar percakapan Maya. Kaki merapu betullah minah murai ni! rengus hati Amar.
“Jadi apanya?” soal Mayamin tak faham dengan pertanyaan sepatah lelaki itu. Aku belum habis bercakap, dia dah potong line. Kurang asam betul!
“Jadi dah tak ada apa-apa lagi yang awak nak cakap, kan?” soal Amar dengan muka tetap ditayang serius sebagaimana biasa.
“Kalau dah tak ada apa-apa, boleh tak awak balik aje? Banyak lagi kerja yang saya nak buat ni,” sambung Amar selamba saja menghalau gadis itu.
Mayamin merengus halus. “Eleh. Awak cakap macamlah saya ni suka sangat nak datang ke sini. Dah ayah saya suruh, saya datang ajelah. Bukan saya nak kacau awak pun. Lainlah kalau saya datang bawa geng ke, nak ajak gaduh ke, apa...”
Maya, please. Saya serius ni. Banyak lagi kerja saya nak buat daripada dengar awak membebel macam mak nenek kat sini. Kalau tak ada apa-apa lagi, tolong balik sekarang,” pintas Amar semula. Kali ini dengan lebih tegas.
“Yalah, yalah. Saya balik dulu. Maaflah ganggu awak kerja. Lain kali saya takkan datang ke sini lagi dah Encik Amar Tafhim oi...” rengus Mayamin. Dia terus saja bangun, melangkah ke pintu. Langkahnya terhenti bila Amar memanggilnya semula.
“Terima kasih kerana sudi hantar dokumen ni pada saya. Maaf, saya tak bermaksud nak menghalau...”
“Saya faham. Assalammualaikum,” potong Mayamin terus saja menonong keluar. Mulut pula sudah menceceh sesuatu yang hanya dia seorang dapat dengar.
Ceh, sajalah tu nak balas balik! getus hati Amar. Perlahan, Amar menjawab salam Mayamin kemudian. Rambut tebalnya disebak beberapa kali. Rasa bersalah timbul di sudut hati. Bersalah kerana melayan Mayamin begitu walau dia sedar, memang patut pun dia buat begitu kepada Mayamin. Jika tidak sampai ke petang nanti pun belum tentu Mayamin akan berlalu dari biliknya.
“Argh... lantaklah minah mulut murai tu nak kata apa pun. Janji kerja-kerja aku siap,” putus Amar sebelum kembali ke meja kerjanya kemudian.

“Cis, tak guna punya mamat berat mulut. Suka hati dia aje halau aku keluar dari pejabat dia macam halau lembu keluar kandang aje. Dia ingat dia tu siapa nak halau aku macam tu? Kalau tak kerana ayah dia tertinggal barang kat rumah mak ayah aku, tak adanya aku nak datang pijak pejabat dia ni. Ingat aku suka sangat ke datang ke sini? Hampeh punya mamat berat mulut! Saja aje nak beranginkan aku pagi-pagi macam ni,” bebel Mayamin sambil melangkah keluar dari kotak lif.
Sambil itu dia memberi senyuman kepada mana-mana kakitangan syarikat yang berselisih jalan dengannya. Marah kepada Amar tidak bermakna dia harus melepaskan peluang untuk menyedekahkan senyumannya kepada sesiapa begitu saja. Cepat-cepat Mayamin menapak keluar menuju ke tempat letak kereta kemudian.
“Setakat lelaki muka macam mamat berat mulut tu, berlambak-lambak ada kat tepi jalan. Dia ingat dia macolah buat gaya muka ketat macam tu? Huh! Buat muka begitu bukan nampak maco, tapi nampak macam mafia aje. Dahlah tak tahu nak senyum. Apa, dia tak pernah belajar bab agama ke, hah?
“Dia tak tahu ke yang senyum kepada orang tu satu sedekah? Itulah manusia. Nak dapat pahala punya senang tapi nak buat tu punyalah susah. Nak senyum pun susah. Bukan perlu pakai modal pun. Kalau senyum, pahala pun dapat, muka pun awet muda. Orang pun suka kat kita.” Mayamin masih tidak jelak membebel-bebel bagai ramai yang sedang menadah telinga mendengar bebelannya. Tangan pula sudah membuka pintu kereta.
“Tapi kan, aku rasalah, mamat...” Terhenti bebelan entah apa-apa Mayamin tatkala matanya terpandang sesuatu di satu penjuru tempat letak kereta itu. Dipicing anak matanya sebaik mungkin.
Biar betul dia orang ni. Buat pentas kat hujung tapak parking ni, apa kes? Takkan nak buat ceramah politik kat sini pulak? Tapi ini kan kawasan perniagaan, jauh sekali tapak pasar malam. Kalau ya pun nak buat ceramah, agak-agaklah. Mustahil tempat macam ni pula yang dipilihnya. Siapa yang nak datang dengar nanti? Sebagaimana biasa, akal merapu Mayamin sudah merepek entah apa-apa.
“Apa yang dia orang buat tu pak cik?” soal Mayamin sempat lagi menggamit jari kepada seorang pegawal keselamatan yang kebetulan melalui kawasan tapak tempat letak kereta itu. Dia mengunjuk jari ke arah pentas di satu sudut tapak.
“Ooo... Dia orang tu ke? Dia orang tu tengah buat latihan untuk pertunjukan amal malam nanti,” beritahu pak cik gad itu sebaik mengalih mata ke arah jari Mayamin mengunjuk.
“Pertunjukan amal? Maksud pak cik?” soal Mayamin nak tahu.
Matanya masih terarah kepada sekumpulan anak muda yang berada di pentas kecil itu. Kelihatan masing-masing sibuk menjalankan tugas tanpa peduli pada sekeliling. Sesekali mulut Mayamin ikut serta menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu Joget Serampang Laut yang dipasang perlahan dari pentas itu. Lupa sudah dia pada marahnya terhadap Amar sebentar tadi. Malah, bayangan lelaki itu juga sudah lenyap daripada pandangan mata hatinya. Mayamin dan muzik, sememangnya macam isi dan kuku sejak dulu!
“Dia orang tu pelajar-pelajar universiti. Dia orang sewa tapak letak kereta ni daripada Encik Amar Tafhim untuk buat pertunjukan amal selama dua hari bermula malam ni. Itulah yang dia orang sibuk buat latihan sejak awal pagi tadi. Kalau kamu berminat, datanglah tengok malam nanti,” beritahu pak cik itu lagi.
“Pertunjukan amal apa pak cik?”
“Kalau tak salah, pertunjukan amal tu diadakan untuk membuat kutipan derma buat anak-anak kurang upaya di Rumah Harapan kat Lorong Seri depan balai polis sana.” Gad itu meminta diri ke pondok pengawal keselamatan kemudian.
Mayamin mengangguk faham ala-ala burung kakak tua mematuk kacang.
“Pertunjukan amal? Hmm... bunyinya macam menarik aje. Sayang, aku sibuk nak kira stok kat kedai hari ni, esok pun sama. Tapi tak apa. Tak dapat malam ni, sekarang pun aku boleh tengok apa!” kata Mayamin. Laju-laju dia menapak mendapatkan sekumpulan anak muda yang masih leka menjalani latihan tarian joget.
“Boleh akak join menari tak?” Dengan senyuman sudah selebar senyuman maskot McDonald’s, Mayamin bertanya sebaik saja berdiri di depan semua. Malu? Tidak sama sekali!
“Akak tahu ke menari tarian joget ni?” Salah seorang daripada gadis muda yang terhenti gerak tarinya dek teguran Mayamin, bertanya.
Mayamin mengangguk laju-laju.
“Sebab tahulah akak nak join. Tak dapat lama, sekejap pun jadilah dik. Janji dapat lepas gian,” sahut Mayamin.
Selamba dia saja mencelah masuk ke dalam kumpulan itu tanpa dipelawa sesiapa. Mujur saja anak-anak muda itu menerima kedatangan tiba-tibanya dengan hati terbuka. Jika tidak, di mana nak diletak muka comelnya itu? Mayamin tidak mahu ambil tahu. Asalkan dia dapat menari sekarang, perkara lain sudah tidak penting lagi.
“Okey jugak kak. Seorang lagi penari kita orang belum sampai. Kalau akak nak, boleh aje akak gantikan tempat dia sekejap,” sahut gadis muda itu. Dia terus menggamit jari ke arah seorang anak muda yang berdiri tidak jauh daripadanya.
“Sham, kau menari dengan akak ni boleh tak? Fina tak sampai lagi, kan?” soalnya lebih pada mengarah.
“Aku okey aje.” Terbuka sungguh sikap anak muda yang dipanggil Sham itu.
Dengan hormat, dia mengajak Mayamin yang awal-awal lagi sudah mengambil tempat dalam kumpulan tarian. Lalu muzik tarian joget dimulakan sekali lagi. Kali ini dengan penglibatan Mayamin sebagai salah seorang daripada penarinya. Mudah bagi Mayamin mengikuti rentak tarian joget yang sudah lama dipelajarinya itu. Apatah lagi dengan tubuh badannya yang kecil molek, sesuai dengan dirinya yang selamba saja menunjukkan bakat terpendamnya.
Dia langsung tidak perasan pada pandangan terkejut Amar dari tingkap bilik kerjanya di aras lima bangunan 10 tingkat itu. Lelaki itu baru saja selesai berbual-bual dengan klien syarikat di telefon bimbitnya di situ. Amar baru berkira-kira ingin ke meja kerjanya semula tatkala terpandang kelibat Mayamin bersama sekumpulan anak muda di tapak meletak kenderaan syarikat ayahnya. Perlahan, kepala Amar tergeleng-geleng sendiri tanpa disuruh-suruh.
“Sah, minah mulut murai ni memang gila-gila orangnya. Dari dulu sampai sekarang, perangai gilanya tu langsung tak berubah!” katanya sendiri dengan bibir sudah mengukir senyuman kecil.
Untuk apa senyuman itu tercetus, Amar tidak pasti. Namun yang pasti, hatinya tercuit melihat tingkah Mayamin saat ini. Selamba gadis itu mengayun tubuh mengikut irama tarian. Sesekali gerak tari Mayamin mendapat tepukan gemuruh daripada orang sekeliling yang melihat, termasuklah pengawal-pengawal keselamatan yang menjadi penonton tidak rasmi di sekitar bangunan syarikat milik Encik Abid.
Benarlah kata hati Amar, Mayamin memang lain daripada yang lain. Dalam erti kata lain, gadis itu unik dengan caranya yang tersendiri. Unik yang mengekang gadis itu daripada dihampiri mana-mana lelaki termasuklah Amar yang dipaksa berkenalan dengan lebih rapat dengannya. Mengingatkan itu, satu keluhan panjang terlepas dari mulut Amar.
“Macam mana mak boleh berkenan dengan minah mulut murai ni pun tak tahulah aku. Setakat suka membebel macam mak nenek okey lagi, tapi dicampur dengan perangai gila-gila dan sukar dijangkanya tu, mahu lingkup keturunan aku kalau betullah aku kena kahwin dengan dia nanti. Bukan lingkup lagi dah, hancur terus jadinya kalau semua anak kami ikut perangai gila-gila dia tu.” Tanpa sedar Amar bercakap-cakap sendiri. Ditepuk dahinya perlahan tatkala tersedar daripada khayalannya yang entah apa-apa itu.
“Isy, macam mana aku boleh merepek sampai ke anak-anak kami pulak ni? Bila masanya pulak aku setuju nak kahwin dengan dia? Nak kenal dengan dia pun aku tak ingin, inikan pulak nak sehidup semati dengan dia. Selisih 44 malaikat!” kata Amar sebelum cepat-cepat menapak semula ke meja kerjanya.

Banyak lagi kerja yang perlu disiapkan selain memikirkan perkara-perkara yang tidak berfaedah itu. Sempat matanya mengerling kelibat Mayamin yang kini sibuk berbual-bual dengan beberapa orang anak muda di atas pentas usai latihan tarian selesai. Satu senyuman lebar terbentuk semula di bibir Amar tanpa sedar. 

No comments:

Post a Comment