Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 10 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA


BAB 10
“Ya Allah... letihnya badan aku,” kata Amar seraya menyandar tubuh ke kerusi keretanya. Dia ingin menghilangkan keletihan setelah seharian berada di pejabat. Kepalanya terangguk-angguk mengikut alunan lagu yang terpasang di radio kereta. Leka dia seketika sebelum dia tersedar, dia masih belum menunaikan solat asar.
“Astaghfirullah al-azim... Dah lewat rupanya.” Amar mengerling jam pada dashboard kereta sebelum bergegas keluar sesaat kemudian. Briefcase di kerusi penumpang sisi turut ditarik keluar. Jari-jemari kanan pula sudah menarik-narik tali leher, melonggarkan ikatan kemasnya.
“Amar...”
Amar yang baru menutup pintu keretanya berpaling. Dari balik pagar rumah yang sudah tertutup rapat, mata Amar terpandang kelibat seseorang. Dia tergamam sejenak. Dia kemudian mengatur langkah kemas, mendapatkan seorang gadis yang berdiri tegak di balik pagar tinggi rumah. Ada senyuman bahagia pada wajah yang telah lama tidak ditemuinya itu. Tidak seperti riak pada wajah Amar. Kaku.
“Ada apa you datang sini?” soal Amar tanpa ada rasa mahu tersenyum walau dia sememangnya sukar tersenyum. Malah tiada sebarang rasa di hatinya ketika ini melainkan terkejut semata-mata. Terkejut dengan kemunculan gadis itu setelah bertahun-tahun mereka tidak bersua muka.
“You sihat?” Dari balik pagar, Nadia bertanya lembut. Lebar senyumannya dilemparkan walau lelaki yang kini berdiri setentang dengannya itu langsung tidak mempamerkan sebarang riak gembira. Jauh sekali teruja dengan kemunculan tiba-tibanya.
Nadia sebenarnya sudah menjangkakan reaksi Amar, jadi dia juga telah bersedia untuk menerimanya. Seboleh mungkin dia memaniskan wajahnya. Harapannya, hati Amar akan mulai mencair sepertimana yang pernah dilakukannya kepada lelaki itu satu masa dulu.
“You tengok I tak sihat ke?” soal Amar sinis. Keningnya juga sengaja diangkat tinggi, seakan-akan memperlekeh pertanyaan gadis itu.
“Bukanlah begitu. Manalah tahu, you tak sihat...”
“I sihat sejahtera macam biasa Nad, tapi tiba-tiba saja I rasa tak sihat bila tengok you. Ada apa sebenarnya you datang ke sini?” soal Amar pantas saja memotong percakapan Nadia. Rasa rugi masanya menunggu Nadia mahu menghabiskan kata-kata kerana Amar tahu, kata-kata gadis itu lebih banyak kosong daripada berfaedah. Amar pasti tentang itu.
“Amar, I tahu you masih marahkan I, tapi I nak bagi tahu you sesuatu.” Laju saja Nadia bercakap kali ini. Bimbang jika lelaki serius di depannya itu kembali memotong percakapannya. Terbantutlah niatnya untuk memberitahu sesuatu kepada Amar sedangkan sudah lama dia mencari peluang sebegini baik untuk bertemu dengan lelaki itu.
“Apa dia?” Cepat juga Amar bertanya. Mata pula sudah dikalih ke arah lain. Bosan mahu menatap lama-lama wajah yang telah lama hilang daripada jiwa lelakinya itu.
“Amar, atas apa yang pernah berlaku antara kita, I nak minta maaf. I tahu...”
“You datang sini semata-mata nak minta maaf?” Amar mencantas semula.
“Hei, come onlah Nad. You ingat I ni apa? Tugu negara yang tak bergerak-gerak dari tempatnya? Masih banyak lagilah kerja yang I nak kena settlekan daripada buang masa nak dengar cakap you tu.” Amar mula naik angin. Semakin serius air mukanya bila wajahnya ditarik tegang sebegitu. Jelas dia tidak selesa dengan kedatangan Nadia yang tidak pernah dipinta. Apalagi diharapkan setelah apa yang pernah berlaku.
“Am, I tahu I salah. I hanya nak minta you...”
“You nak minta maaf ke, nak minta sedekah ke, I tak peduli. Semua tu tak ada kena-mengena dengan I pun. Faham?” tegas Amar.
“Tapi Amar, I belum habis cakap. I nak you tahu yang I...” Nadia masih cuba bersuara.
“Nadia, kalau you datang sini semata-mata nak bercakap perkara yang bukan-bukan, tak payahlah. You hanya buang masa I saja. I dah penat, I minta diri dulu. Assalamualaikum.” Amar terus berpaling sebelum cepat-cepat menapak menuju ke dalam rumah. Langsung tidak mengalih walau sekali ke belakang.
Nadia yang memandang tingkah Amar sudah mengeluh. Berat.
“Kenapa you berubah begini sekali Am? Apa yang sudah jadi pada diri you sebenarnya?” Tanpa sedar Nadia merintih perlahan. Dia mahu memanggil Amar namun dia sedar mana mungkin Amar akan mempedulikannya.
Boleh jadi dia terkejut dengan kedatangan tiba-tiba aku. Salah aku jugak, tak beritahu dia tentang kepulangan aku dari awal. Kalau tidak, pasti lebih baik layanannya kat aku, macam dulu-dulu jugak. Nadia memujuk hati sendiri. Lalu dengan langkah lemah Nadia kembali mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Sempat matanya memandang sekali lagi pintu pagar di depannya sebelum lambat-lambat dia melangkah masuk ke dalam kereta. Keluhan Nadia terluah semula. Berat lagi daripada sebelumnya.
“Siapa dia budak perempuan tu Am?”
Amar yang baru melangkah bendul pintu mengalih muka. Dia membalas sekejap pandangan Puan Tania yang duduk santai bersebelahan Encik Abid. Suami isteri itu sedang menonton di ruang tamu rumah itu sambil minum petang berdua. Cukup romantik namun tidak menjentik sebarang rasa di hati Amar. Sejak kecil, dia sudah biasa melihat keadaan orang tuanya begitu.
“Budak perempuan mana maksud mak?” soal Amar tak faham.
“Budak perempuan yang datang jumpa kamu kat pagar rumah tadi tulah,” asak Puan Tania sedikit menekan.
Dari tadi dia menahan rasa hati. Ikutkan, mahu saja dia terus keluar bertanya sendiri kepada empunya badan yang menegur anak lelakinya itu. Tidak jadi pula dia berbuat demikian bila terpandang cara layanan Amar terhadap gadis itu. Dingin semacam walau selama ini anak lelakinya nan satu itu memang dingin sikapnya.
“Dia kawan Am mak,” sahut Amar antara dengar dengan tidak. Hati pula sudah merungut-rungut geram. Betullah mata mak aku ni macam mata helang. Nampak saja semua benda!
“Kawan? Kawan yang mana pulak?” Dahi Puan Tania sudah berkerut-kerut.
“Setahu mak, kamu tak pernah ada kawan perempuan. Kalau ada pun, semuanya dah lama jadi isteri orang. Budak tu kawan yang mana pulak?” Ternyata begitu banyak persoalan yang muncul dalam kepala Puan Tania hingga terhambur semuanya hanya dalam masa beberapa saat. Akalnya pula ligat menimbang tara kata-kata Amar. Tanpa sedar, dia sudah bangun daripada duduknya dan kini berdiri terpacak di depan tubuh anaknya.
“Dia kawan Am masa Am belajar kat Australia dulu,” jawab Amar acuh tak acuh saja.
Ikutkan hati, mahu saja dia terus menapak naik ke tingkat atas. Langsung ke bilik tidurnya. Penat. Namun tidak sampai hati pula dia nak berbuat demikian. Bersikap kurang ajar terutamanya kepada ibu bapa, bukan dia orangnya. Biar sepenat mana pun dirinya, dia masih mampu melayan setiap pertanyaan maknya walau dia sendiri hakikatnya rimas dengan pertanyaan Puan Tania yang dirasakan remeh-temeh itu.
“Kawan masa kat Australia? Kawan macam mana maksud kamu?” Puan Tania masih tidak puas hati bertanya. Dirasakan Amar bagai menyembunyikan sesuatu daripadanya. Sesuatu yang selama ini tidak diketahuinya. Wajah serius anak sulungnya ditatap lama. Mencari jawapan.
Amar mengeluh kecil sebelum perlahan-lahan dia membuang nafas.
“Nadia tu bekas teman wanita Am.” Amar berterus terang akhirnya. Bosan diasak Puan Tania yang Amar pasti, tidak akan henti-henti bertanya selagi soalannya tidak berjawapan.
Puan Tania sudah ternganga mulut. “Teman wanita...”
“Ya mak,” angguk Amar cepat saja memotong cakap maknya.
“Kami bercinta masa Am di tahun pertama universiti tapi putus sebelum kami tamat belajar tiga tahun kemudian,” sambung Amar ringkas.
“Cantik juga orangnya,” puji Puan Tania membayangkan semula gerangan Nadia yang dilihatnya sebentar tadi. Tapi cantik lagi Mayamin, sambung hatinya pula. Akalnya bersetuju lalu tanpa sedar Puan Tania sudah terangguk-angguk. Tidak perasan Amar yang memandang tingkahnya sudah melepas nafas panjang.
Jangan mak berkenan nak buat Nadia tu menantu dia sudah. Mahu aku buat mogok nanti! Tak dapat buat mogok bisu, dapat buat mogok lapar pun jadilah. Janji mak tak buat kerja gila, nak pinang Nadia untuk aku pulak! Hati Amar sudah berkira-kira sendiri.
“Tapi kenapa putus?” Puan Tania mahu tahu. Bukan kerana dia menjaga tepi seluar anaknya tapi sebagai seorang mak, dia berasakan yang dia ada hak untuk tahu tentang perkara yang pernah berlaku dalam masa silam setiap orang anaknya.
“Dia ada orang lain. Jodoh kami pun tak ada. Itu aje.” Amar menjawab ringkas.
“Habis tu, kenapa dia datang jumpa kamu?”
Amar melepas nafas. Sabarlah hati, suaranya perlahan. “Saja dia datang jumpa Am.”
“Saja aje? Biar betul? Mak rasa dia ada sebab lain nak jumpa dengan kamu. Kalau tidak, takkanlah dia sanggup datang ke sini.” Puan Tania masih tidak puas bertanya.
“Tak kisahlah dia ada sebab apa pun mak, Am tak nak ambil tahu. Yang Am tahu, Am letih dan Am nak rehat. Itu aje,” sahut Amar semakin bosan melayan pertanyaan maknya.
Puan Tania terdiam. Daripada nada suara Amar, dia yakin ada luka yang belum sembuh di hati anak lelakinya itu. Baru dia tahu sebab-musabab Amar tidak pernah mahu mendekati mana-mana wanita sejak lelaki itu balik ke Malaysia dan suka menyibukkan diri dengan bekerja keras di syarikat suaminya. Anak aku pernah kecewa rupanya. Hati Puan Tania faham sendiri.
“Hubungan kamu dengan Maya macam mana pulak?”
Terhenti semula gerak Amar yang baru berkira-kira ingin memanjat tangga. Wajah ceria Puan Tania ditatap semula. Argh, mak, tak pernah tak ceria setiap kali menyebut nama minah mulut murai tu. Sempat lagi hati Amar mengeluh. Bukan kesal tapi sedar, ceria Puan Tania ada maknanya.
“Maya? Macam biasa aje mak,” balas Amar tetap acuh tak acuh. Lepas satu, satu lagi dia nak tahu. Aduhai, mak... Kenapalah mak suka sesakkan hati anak mak ni? Hati Amar merungut pula.
“Macam biasa macam mana maksud kamu?” Puan Tania masih tidak puas hati.
“Macam biasa, macam orang lain jugaklah. Kawan biasa, begitulah,” balas Amar selamba.
“Kawan biasa?” Nada suara Puan Tania kedengaran hampa.
“Huh, mak tak mahu kamu kawan biasa saja dengan budak Maya tu Am. Kalau boleh mak nak kamu serius dengan dia. Manalah tahu, ada jodoh kamu dengan dia, mak dengan ayah jugak yang bertuah dapat menantu tahun ni jugak,” tekan Puan Tania sudah meluah impiannya.
Dalam kepala dia sudah terbayang-bayang bentuk khemah yang bakal digunakan pada hari bersejarah anak sulungnya itu nanti. Lupa sudah dia pada bayangan Nadia yang bermain-main di mindanya sebentar tadi.
“Tapi mak...” Amar cuba membantah.
“Tak ada tapi-tapinya lagi Am. Mak dah berkenan benar dengan Maya tu. Kalau pun kamu hanya kawan biasa, cuba-cubalah jadikan hubungan biasa tu kepada yang luar biasa. Masa beginilah kamu kena pikat hati Maya. Kalaulah kamu jadi kahwin dengan dia, bukan kamu saja yang bahagia, keluarga kita dan keluarga dia juga ikut bahagia. Mana tidaknya, dua keluarga yang dah lama kenal akan terikat dalam satu hubungan yang kukuh. Itu yang mak harapkan sangat terjadi tu Am,” cantas Puan Tania, lebih tegas daripada tadi.
“Apa-apa ajelah mak,” balas Amar malas sudah melayan kata-kata maknya. Banyak lagi perkara yang bermain dalam mindanya waktu ini selain daripada memikirkan perkara yang hanya memeningkan kepalanya itu.
“Am naik dulu. Am belum solat asar lagi ni mak. Kerja pejabat pun masih banyak yang Am kena siapkan,” pinta Amar langsung menghilang ke tingkat atas tanpa sempat Puan Tania menyambung kata. Dibiarkan saja Puan Tania merungut-rungut sendiri. Tidak puas hati.
“Sajalah tu, nak buat alasan! Banyak kerja konon. Macamlah aku tak tahu perangai dia, sengaja nak mengelak daripada kena soal siasat lama-lama. Tak apa, tak dapat hari ni, esok lusa aku tetap akan siasat jugak. Mana boleh aku biarkan kau orang berdua tak jadi kahwin,” bebel Puan Tania panas sendiri. Dihempas kasar punggungnya ke sofa semula. Tangan pula mencapai cawan kopi yang masih berbaki banyak. Sakit tekak bila bercakap tanpa henti.

Encik Abid yang memandang tingkah isterinya hanya tersenyum kecil. Hatinya berasa kasihan kepada Amar dan Puan Tania. Kasihan kepada Amar kerana dia tahu, anaknya itu tertekan dengan tingkah isterinya yang tidak sudah-sudah memaksa anak lelaki mereka itu mengikut kehendaknya. Kasihan kepada Puan Tania pula kerana sehingga kini, isteri kesayangannya masih ternanti-nanti impiannya menjadi kenyataan. Kenyataan untuk melihat anak sulung mereka yakni Amar beristeri dan memberi cucu seorang dua kepada mereka. Apa nak kata. Nasib badan masing-masinglah, simpul hati Encik Abid. 

2 comments: