“Jadi... awaklah Mayamin Nur? Pelik nama.” Suara Amar kedengaran serius. Dipeluk
erat tubuh tegapnya sambil memandang gadis itu.
“Apa yang
peliknya? Sedap apa nama saya. Mayamin Nur... Entah-entah dalam dunia ni saya
seorang saja yang ada nama seindah nama saya tu. Lainlah nama awak tu, Amar
Tafhim. Berlambak kat pasaran!” Mayamin tersengih-sengih dengan kata-kata
sendiri.
Amar
merengus. Loyar buruk pulak minah murai ni. Siap bangga diri pulak tu. Ni yang
buat aku tak suka ni. Hatinya mendongkol.
“Awak
kerja apa?” Amar kembali bertanya.
Sesekali
dia mengerling pintu gelongsor tak jauh dari tempat dia dan Mayamin berada
sekarang. Jelas kelihatan ahli keluarganya dan Mayamin rancak berbual-bual
sesama mereka dari pintu kaca pandang telus itu. Lagak mereka bagai tidak
peduli kepada dia dan Mayamin di anjung rumah. Tapi Amar bukan tidak kenal
perangai masing-masing. Dalam tidak peduli, matanya tetap terperasan pandangan
curi-curi Puan Tania dan Puan Saleha ke arah mereka berdua. Ada senyuman
bahagia pada wajah kedua-duanya, sedangkan dia dan Mayamin? Huh!
“Awak ni,
tanya saya macam nak temu duga kerja ni kenapa? Cubalah tanya soalan-soalan
yang membina akal sikit,” bantah Mayamin mula bosan dengan Amar.
Dua jam
duduk berbual-bual lelaki itu, baru dua soalan yang terkeluar dari mulut Amar.
Itu pun setelah mulut Mayamin sudah lenguh untuk terus bercakap-cakap.
Sedangkan Amar, hanya memasang telinga mendengar cakap Mayamin yang kedengaran
seperti ceramah umum saja di telinga Amar. Siapa yang tidak jemu berada dalam
suasana begini?
“Kenapa?
Dah nama pun nak berkenalan kan, mestilah kena tanya nama, tempat kerja, tempat
tinggal. Awak jugak yang suruh saya tanya tadi,” tukas Amar mula berangin.
Banyak
songeh betullah minah murai ni. Dua jam duduk dengan dia, mulut dia aje yang
berpot-pet tak berhenti-henti. Tak tahu lenguh langsung! Mulut orang ke mulut
jin pun tak tahulah! Suka bercakap sungguh!
“Yalah,
tapi awak tu, tanyalah soalan-soalan yang mencabar sikit. Ini soalan macam tu,
budak tadika pun boleh tanya!” Mayamin tak mahu kalah.
Sudahlah
muka tu serius aje dari tadi, tak tahu nak senyum pulak tu. Agaknya mak dia
terlebih makan buah pinang muda kut masa mengandungkan dia dulu. Kelat bukan
main, muka serius aje dia ni. Hati Mayamin masih seperti tadi. Tidak jemu-jemu
membebel walau dia seorang saja yang mendengar.
Ikutkan
hati, mahu saja dia melarikan diri dari situ sepertimana yang dirancangkannya
sebelum ini. Tapi tidak sampai hati pula dia nak memalukan keluarganya, apatah
lagi Puan Saleha adalah antara wanita yang berpengaruh di kawasan perumahan
mereka. Mana nak diletak maruah mereka sekeluarga jika diketahui jiran tetangga
tentang perkara itu?
Paling
penting, sanggupkah dia menerima hukuman berat daripada Puan Saleha dek
perangai terlebih biadabnya itu? Mengingatkan semua itulah tak jadi Mayamin nak
menjalankan rancangan gilanya. Kerana semua itu jugalah, dia menebalkan muka
menegur sapa Amar yang dari awal kedatangan sudah menayang muka ketat. Tak
apalah, malam ni aje pun aku nak terseksa. Esok-esok, aku dah tak jumpa lagi
dengan mamat berat mulut ni. Payah sungguh Mayamin memujuk hati sendiri.
“Habis,
awak nak suruh saya tanya pasal ekonomi negara, hal ehwal semasa? Sorry sikit ya. Saya bukannya jenis
murai dot com macam awak. Segala benda saya nak ambil tahu. Tak ada masalah nak
buat semua tu,” sembur Amar.
Kenapalah
dia boleh bersetuju mengikut cakap Puan Tania untuk berkenalan dengan gadis
bermulut murai ini? Kalau tidak pasti separuh daripada kerjanya yang dibawa
pulang petang tadi sudah disiapkan. Paling tidak pun dia sudah belayar ke alam
mimpi saat ini. Buang masa aku aje duduk menghadap murai tercabut ekor ni.
Kalau cantik tak apalah jugak. Ini gayanya tu pun dah macam budak-budak remaja
aje aku tengok. Tak matang langsung, rungut Amar dalam hati.
“Ooo...
kalau macam tu, awak ni mesti jenis katak bawah tempurung, kan? Eii... confirm sangatlah awak ni jenis manusia
buta berita. Tak elok tau awak. Kita ni kan rakyat Malaysia. Kita kenalah ambil
tahu tentang perkembangan semasa. Kalau hidup...”
Ayat-ayat
Mayamin yang seterusnya sudah tidak dapat ditangkap telinga Amar. Sungguh, dia
menyesal mengikut orang tuanya ke rumah Mayamin. Sudahlah dirinya letih setelah
seharian membuang tenaga di pejabat, telinga pula dibebankan dengan ceramah tak
berfaedah dari mulut gadis yang tidak kenal erti lenguh bercakap itu.
Membuatkan mata kuyu Amar semakin memberat sebelum tertutup rapat beberapa saat
kemudian.
Amar
tersentak jaga bila lengannya ditampar Mayamin.
“Hei,
awak! Boleh pulak awak tidur masa saya tengah bercakap ya? Kurang asam betul!”
marah Mayamin. Pantang sungguh baginya orang terlelap ketika dia sedang
bercakap.
Ini bukan
dikira kurang sopan tapi memang dah tak ada sopan santunnya pun. Lelaki macam
ni mak nak aku jadikan suami? Eii... lebih baik aku jadi anak dara tua daripada
kahwin dengan lelaki macam mamat berat mulut ni! Menyakitkan hati saja.
“Ia ke
awak bercakap? Ke awak membebel?” rengus Amar. “Jangankan saya, telinga gajah
pun boleh jadi tuli kalau setiap saat nak tadah dengar cakap orang bermulut
murai macam awak ni, tahu tak!”
“Kalaupun
mulut saya macam mulut murai, itu seribu kali lebih baik daripada mulut awak
yang berat mengalahkan ada batu-bata kat dalam tekak awak tu. Apa guna ada
mulut kalau tak reti nak guna? Baik jadi orang bisu aje!” sembur Mayamin geram.
“Sekurang-kurangnya,
saya tahu nak gunakan mulut saya ni untuk bercakap perkara-perkara berfaedah
aje. Bukan macam awak, suka merepek yang bukan-bukan! Dahlah, saya nak balik.
Buat pening kepala aje dengar awak membebel tak tentu perkara!” Amar terus
menolak ke kerusi ke belakang. Dia bangun menapak ke dalam rumah kemudian.
Meninggalkan Mayamin terkulat-kulat melihat tingkahnya.
“Dia kata
aku membebel? Cis! Kurang sivik punya mamat berat mulut. Mulut dia tu yang
berat macam ada emas berbongkah-bongkah kat tekak, tuduh aku macam mulut murai
pulak. Nasib baik kau datang dengan mak ayah kau. Kalau kau datang
sorang-sorang aje tadi, dah lama aku lenyek-lenyek badan kau jadi serupa macam
belacan cap Chek Mek Tipah tau,” bebel Mayamin sendiri.
Cepat-cepat
Mayamin bangun menapak ke pintu bila Puan Tania dan Encik Abid sudah berdiri di
muka pintu rumah. Kedua-dua orang tuanya berada di belakang suami isteri itu.
Bukan kerana mahu mengadu tapi menghormati tetamu yang kelihatannya seperti
mahu beransur pulang saat ini. Semarah mana pun dia kepada Amar, Mayamin masih
ada adab sopannya lagi. Lagipun, untuk apa dia melempiaskan marahnya kepada
kedua-dua orang tua lelaki itu jika yang membakar hatinya adalah anak mereka?
Samalah seperti dia marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakarnya.
“Maya
kalau ada masa, datanglah ke rumah mak cik ya,” pelawa Puan Tania bila Mayamin
menyua tangan mahu menyalaminya. Memanggil gadis itu dengan nama panggilan
keluarga Mayamin, tanda hatinya sudah benar-benar berkenan untuk menjadikan
gadis itu sebagai menantu sulungnya.
“Insya-Allah
mak cik.” Lembut saja Mayamin membalas dengan raut muka sudah ditayang semanis
gula satu balang penuh. Padahal di hati dia membebel-bebel sendiri.
Aku nak
pergi rumah mamat berat mulut tu? Kirim salam ajelah! Dahlah dia tu malas
bercakap, perangai pun entah apa-apa aje. Macamlah dia tu bagus sangat. Muka tu
pun macam bekas cikgu disiplin sekolah menengah aje, serius semacam. Buang masa
aku aje nak berkenalan dengan lelaki muka ketat macam dia tu! Sempat Mayamin
menjeling Amar yang sudah melangkah masuk ke dalam kereta.
Lekas-lekas
Amar menyibukkan diri dengan tangan menekan-nekan butang radio kereta.
Pura-pura tidak melihat tingkah Mayamin. Menyampah!
“Apa-apa
hal nanti, kau jangan lupa telefon aku ya Leha?” Sempat lagi Puan Tania memberi
pesan sebelum dia menapak ke kereta bersama Encik Abid.
“Alah,
kau jangan risaulah. Tahulah aku nanti nak buat macam mana.” Yakin saja Puan
Saleha membalas dengan senyuman melebar seperti senyuman badut saja di mata
Mayamin. Ditepuk-tepuk mesra lengan sahabat baiknya itu.
“Aku
balik dulu ya Leha. Mak cik minta diri dulu ya Maya,” ucap Puan Tania sebelum
pintu kereta ditutup rapat. Tangannya melambai-lambai kepada Puan Saleha yang membalas
pantas.
Mayamin pula hanya
mengangguk.
“Yalah.
Hati-hati bawa kereta tu ya Amar.” Puan Saleha memberi pesan kepada menantu
impiannya sebelum kereta Amar berlalu keluar dari pekarangan rumah mereka.
Amar
pura-pura tidak mendengar. Malas menyahut.
“Hah,
macam mana Maya? Kau suka tak dengan Amar?” soal Marlisa sebaik saja Mayamin
melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak sabar-sabar dia mahu tahu. Dia terus
duduk di sebelah Mayamin yang tersandar malas di sofa, menghadap televisyen.
“Suka
apanya. Meluat adalah. Ada ke patut dia kata Maya kuat membebel? Mulut tak ada
insurans betullah mamat berat mulut tu!” kutuk Mayamin mengunyah geram biskut
gula di depannya yang dihidangkan kepada tetamu selesai makan malam tadi. Sakit
hati.
“Kenapa
pulak kamu tuduh Amar macam tu? Mak tengok dia okey aje,” sampuk Puan Saleha
baru saja masuk ke dalam rumah. Bukan main teruja dia menghantar Puan Tania
sekeluarga pulang. Hingga ke pagar rumah dia berdiri tegak sebelum bayangan
kereta Amar benar-benar hilang ditelan gelap malam.
“Tengok
mana sama dengan cakap mak. Tengok dengan mata, cakap dengan mulut. Aduh!”
Mayamin terjerit bila pahanya disepit jari-jemari Puan Saleha.
“Main-main
lagi!” jerkah Puan Saleha.
“Kamu
jangan nak buat perangai Maya. Mak dah berkenan sangat dengan budak Amar tu.
Baik orangnya. Mak nak kamu kawan dengan dia elok-elok. Kalau boleh, mak dengan
Mak Cik Tania kamu bercadang nak buat kenduri kamu berdua besar-besaran tahun
ni jugak!”
Uhuk!
Tersembur keluar biskut gula dari celah mulut Mayamin. Cepat-cepat dia mencapai
cawan air kopi yang hanya tinggal sedikit. Terkocoh-kocoh dia menghabiskannya.
“Kalau
mak berkenan sangat dengan mamat berat mulut tu, mak ajelah yang kahwin dengan
dia. Lagi senang cerita!” balas Mayamin dalam batuk-batuknya.
Dia dan
Amar baru disuruh kenal. Itu pun hanya baru malam ini mereka bersua muka. Tapi
mak-mak mereka sudah berangan sampai ke jenjang pelamin. Wah... ekpres betul!
“Mak tak
kira! Kamu suka ke tidak dengan budak Amar tu, mak nak kamu kahwin jugak dengan
dia. Mak Cik Tania kamu tu pun dah berkenan benar dengan kamu. Dah dapat
keluarga mertua macam tu punya baik, kamu nak apa lagi Mayamin Nur oi?” bebel
Puan Saleha sudah mencekak pinggang. Tak jadi dia nak menyambung minum kopinya
yang masih berbaki banyak di dalam cawan. Bukan kerana sudah kenyang tetapi
kerana dia sibuk melayan perbualan Puan Tania tadi sehingga terlupa untuk
menghabiskan minuman sendiri.
“Ni bukan
masalah baik ke tak mak. Tapi masalahnya, Amar tu jenis berat mulut. Dahlah
muka dia tu serius, nak senyum pun dia tak tahu. Kalau Maya jadi kahwin dengan
dia mak, confirm anak-anak kami macam
robot aje semuanya nanti. Lagi tak disuruh senyum, lagi tulah dia orang tayang
muka ala-ala ajak orang bergaduh aje,” ujar Mayamin mula mengeras suara. Siapa tahan
kalau diasak juga dengan perkara yang kita tidak suka? Rimas jadinya.
“Tapi
setahu akak, Amar memang macam tu orangnya. Dia pendiam tapi budi bahasanya
baik, tahu,” sampuk Marlisa nampak benar menyokong mak mereka.
Lima
tahun berada di kelas yang sama ketika di bangku sekolah menengah suatu waktu
dulu, cukup untuk Marlisa mengenali Amar walau tidak sepenuhnya. Masakan Amar
yang pendiam dan punya ramai peminat perempuan dalam diam-diam itu seburuk yang
disangka Mayamin hanya kerana lelaki itu sukar tersenyum? Sajalah tu, dia buat
alasan tak nak terima calon pilihan aku dan mak tu! Hati Marlisa ikut geram.
“Mak tak
kira! Alasan kamu tu tak boleh dipakai! Takkanlah hanya sebab Amar tak tahu
senyum kamu dah reject dia. Tak
boleh!” jerkah Puan Saleha bagai dirasuk hantu.
Bersusah
payah dia dan Puan Tania mengatur pertemuan kedua-dua anak dara dan teruna itu.
Tahu-tahu rancangan mereka tidak menjadi hanya kerana alasan yang remeh-temeh.
Memanglah Mayamin hanya nak mencari alasan untuk menolak lelaki pilihannya!
Hati Puan Saleha mendidih sendiri.
“Kamu
suka atau tidak Maya, mak perintahkan kamu supaya berkawan dengan budak Amar tu
mulai sekarang. Lantak kamulah berkenan ke tidak dengan dia, tapi mak tetap nak
dia jadi suami kamu jugak nanti. Faham?”
“Tapi
mak, Maya...”
“Tak ada
dah tapi, tapi. Mak tak peduli! Kamu kena ikut jugak cakap mak kamu ni. Mak tak
kira!” jerit Puan Saleha lagi.
“Sudah-sudahlah
tu Puan Saleha oi. Kalaupun awak nak berleter, ingat-ingatlah sama pada jarum
jam yang tengah berjalan tu. Jiran tetangga kita dah nak tidur. Esok semua
orang nak kerja. Bukan tak ada esok lusa lagi dah untuk awak bersyarah panjang
pada anak dara awak tu pasal hal ni,” tegur Encik Nasrom lembut.
Berdenyut-denyut
kepalanya memikirkan perangai isterinya. Mudah melenting tak kira masa, keadaan
mahupun tempat. Itu pun Encik Nasrom masih boleh bertolak ansur lagi. Tapi
sikap suka memaksa anak-anak menerima keputusan Puan Saleha membuatkan Encik
Nasrom ikut bengang sekali-sekala. Dia yang baru selesai mengunci pagar dan
pintu rumah menggeleng-geleng perlahan.
“Hah
Marlisa, tak payahlah kamu balik rumah malam ni. Kamu tidur aje kat sini.
Anak-anak kamu tu pun dah terlena kat sudut bacaan tu. Pergilah kejutkan dia
orang. Ajak tidur dalam bilik.” Seperti biasa, Encik Nasrom menjadi penyelamat
keadaan.
“Jangan
lupa ajak sama suami kamu masuk tidur. Dia pun nampaknya dah mengantuk sangat
tu. Dari tadi sibuk menyembang dengan tetamu kita sampai tak sempat nak siapkan
kerja-kerja pejabatnya tu,” sambung Encik Nasrom mengerling Yazid yang kembali
menghadap komputer riba di sudut rumah biarpun menantunya itu sudah menguap
beberapa kali.
Encik
Nasrom langsung tidak memberi peluang kepada Puan Saleha untuk menyambung
bebelannya. Dia hanya mengerling bila Puan Saleha merengus marah sebelum
berlalu ke dapur bersama dulang berisi pinggan dan cawan-cawan kotor. Geram
dengan tingkah suaminya. Suka potong jalan!
Mayamin
yang turut melihat tingkah maknya menepuk dahi. Betullah mak aku dah kemaruk
nak bermenantu. Teruklah aku kali ni! keluh hatinya.
No comments:
Post a Comment