Followers

Sunday, 22 February 2015

BAB 2 - TOLONG JADI PENGANTIN SAYA



BAB 2
“Pening kepala aku wei, pening.” Izdiyad bersuara sambil memicit-micit dahi sendiri.
“Aku tengah pening, kau pun ikut pening?” soal Amar tak faham dengan kata-kata sahabat baiknya itu.
Baru pagi tadi lelaki itu menelefon, mahu menemui Amar dengan suara yang begitu ceria. Kenapa bila sudah berada di depan mata begini pula keadaan Izdiyad? Lembik semacam.
“Mahu aku tak pening Am. Aku ingatkan bila masuk pejabat bolehlah aku cuci mata hari-hari. Rupa-rupanya bukan cuci mata, makin sakit mata adalah.” Izdiyad merengus kasar di akhir ayatnya. Dia tersandar lemah di kepala kerusi.
“Kau cakap apa ni Iz? Cuba kau terang elok-elok kat aku. Jangan kau nak peningkan lagi kepala aku yang sedia pening ni,” tekan Amar. Sudah malas akalnya nak memamah kata-kata lelaki itu. Tiada angin, tiada ribut, tahu-tahu Izdiyad sudah bercakap perkara yang bukan-bukan. Mahu dia yang mendengar tidak ikut pening!
“Abi aku tulah. Ada ke patut, diletaknya semua pekerja perempuan yang dah kahwin kat jabatan aku. Aku tahulah aku suka pandang perempuan, tapi mana selera mata aku nak tengok bini orang siang malam? Kalau ya pun, bagilah seorang dua anak dara bertugas kat dalam jabatan aku tu. Sampaikan setiausaha aku pun dah berstatus bini orang. Mana ada harapan aku nak buat awek kalau macam ni keadaannya,” terang Izdiyad.
Jelas dia tidak puas hati dengan tindakan Tuan Haji Rusdi. Namun tak berani pula dia nak membantah arahan lelaki itu. Bukan dia tidak kenal perangai Tuan Haji Rusdi. Dalam lembut ada ketegasannya. Dalam mengalah ada juga kekerasannya. Apatah lagi dalam perkara-perkara yang tidak disukai lelaki itu. Menempah bala namanya jika dia tetap membantah keras. Izdiyad cukup maklum tentang itu biarpun ini kali pertama dia bekerja di bawah Tuan Haji Rusdi.
“Pasal tu aje kau pening? Sabar ajelah aku,” rengus Amar.
“Habis tu, kau ingat pasal apa tadi?” sergah Izdiyad. Dia mengeluh.
“Inilah sebabnya aku tak nak balik bekerja dengan abi aku wei. Semua arahan dia aku kena ikut. Kalau tak ikut lain pulak jadinya nanti. Dahlah tu, aku tak boleh memandai-mandai nak buat apa-apa kat situ. Padahal aku anak pemilik syarikat. Mana aku tahan kalau hari-hari macam ni,” rungut Izdiyad lagi.
“Huh, itulah kau. Langsung tak mahu bermula dari bawah. Tak semestinya kita jadi anak pemilik syarikat kita kena terus duduk sebaris dengan ayah kita bila kali pertama kita masuk bekerja. Macam mana nak dapat pengalaman dan pengetahuan kalau kita tak mahu bersusah dari awal? Dah nama pun syarikat tu abi kau yang punya, mestilah kau kena ikut arahan dia. Takkan dia nak ikut arahan kau pulak. Agak-agaklah,” sembur Amar.
“Itu aku tahulah, beb, tapi abi aku tu, langsung tak nak bertolak ansur. Bab kerja, aku langsung tak kisah. Bagilah kerja setimbun bukit pun, insya-Allah aku boleh buat yang terbaik. Tapi bab nak terima arahan secara paksarela tu yang aku tak berapa nak berkenan tu. Sampaikan bab nak letak kakitangan di jabatan aku tu pun dia nak masuk campur, apa kes? Mahu tak angin aku jadinya.”
“Kau tu kan anak tunggal abi dan umi kau. Kalau bukan kau yang nak tolong uruskan perniagaan kurier abi kau tu, siapa lagi? Kau pun satu. Dari dulu sampai sekarang, masih tak ubah-ubah perangai kasanova kau tu. Nama saja dah ada awek, tapi langsung tak reti nak buang tabiat kau yang suka menggatal tu. Elok sangatlah abi kau bagi kau pekerja-pekerja yang dah kahwin duduk bekerja kat jabatan kau tu,” tempelak Amar.
“Alah. Aku menggatal pun bukannya sampai bawa dia orang ke katil ke apa. Setakat keluar makan berdua, jalan-jalan kat mana-mana. Takkan itu pun salah? Lagipun Catrina tu baru awek aku, bukannya isteri aku lagi. Masa tengah membujang macam sekarang nilah aku nak menggatal puas-puas pun. Esok-esok, aku menggatal dengan isteri aku ajelah,” sahut Izdiyad mempertahankan tingkah kasanovanya.
“Yalah tu kau. Jangan kat mulut aje kau cakap macam tu. Belakang isteri, bukan main ligat lagi kau kejar perempuan lain nanti,” bidas Amar. Lalu Izdiyad tersengih.
“Itu aku tak jaminlah. Kalau isteri aku pandai melayan, insya-Allah sampai kiamat aku setia. Kalau tak, faham-faham sendirilah,” balas Izdiyad dengan senyuman lebarnya.
“Yang kau pulak sakit kepala kenapa? Demam ke?” soal Izdiyad kemudian.
Malas sudah bercakap tentang dirinya. Hanya menambah sakit kepala dan sakit hatinya saja. Tingkah Amar yang sejak ketibaannya sebentar tadi memicit-micit kepala sendiri menghairankan dirinya. Baru beberapa minit aku kat sini, takkan dah berjangkit kut sakit kepala aku kat dia. Ajaib ni!
“Bukan demam tapi sakit kepala fikir pasal mak aku tu,” keluh Amar dengan suara yang kembali mendatar. Lambat-lambat, tubuh tegapnya dibawa bersandar ke kepala kerusi empuk tempatnya berada sekarang.
“Kenapa dengan mak kau?” Dahi Izdiyad sudah berkerut-kerut.
“Macamlah kau tak tahu perangai dia. Tahu nak paksa aku kenal dengan calon pilihan dia aje.”
“Habis, kau kata apa?”
“Aku tak kata apa lagi pun tapi mak aku anggap aku dah setuju dengan cadangan dia tu,” balas Amar lemah.
“Hei... Pening kepala aku bila fikir semua ni. Rasanya nak cari pekerja lagi senang daripada nak cari isteri yang sesuai dengan kita,” ujar Amar lagi sambil memusing-musing kerusinya ke kiri dan ke kanan berulang kali. Bosan dengan desakan Puan Tania yang tidak sudah-sudah cuba memadankannya dengan calon-calon pilihan wanita itu.
“Aku tak fikir mak kau sengaja nak paksa kau. Dia buat semua tu pun untuk kebaikan kau jugak. Nak harapkan kau sendiri yang cari calon, sampai mati pun belum tentu kau akan jumpa.” Selamba Izdiyad sahaja mengutuk lelaki itu.
“Kau cakap senanglah. Cuba kau duduk kat tempat aku. Kau tahulah susah ke tak nak penuhi kehendak mak aku tu,” balas Amar sedikit mengeluh. Mak, mak... Bilalah nak berubah perangai mak nan satu ni? Hati Amar ikut mengeluh.
“Apalah kau ni Am. Payah apa sangat. Kau berkenalan ajelah dengan perempuan yang mak kau pilih tu. Kalau serasi, on. Kalau tak, buat kawan pun dah okey, kan?” Terang-terang Izdiyad menyokong tindakan Puan Tania.
“Kawan apanya. Kau sendiri pun tahu kan aku macam mana? Mana pernah aku ada kawan perempuan selama aku hidup ni. Kalau ada pun semuanya dah jadi isteri orang.”
“Eleh, itu semua hanya alasan kau aje. Kau tu sebenarnya mengelak daripada jatuh cinta pada kaum perempuan, kan?” bidas Izdiyad lalu Amar terkedu.
Sorry, Am. Aku tak bermaksud nak ungkit kisah dulu,” kata Izdiyad penuh rasa bersalah bila dilihat Amar hanya mengunci mulut.
Lelaki itu hanya menggeleng tanda tidak kisah walau ada sedikit rasa duka menyelit di hati.
“Oh ya, kau tak bagi tahu aku pun siapa perempuan yang mak kau nak kenalkan tu. Kau kenal ke orangnya?” Tidak mahu suasana dihurung sepi, Izdiyad kembali melontar soalan.
“Kenal tapi ingat-ingat lupa. Kalau tak salah, perempuan tu anak kawan dia. Adik Marlisa, kawan sekelas aku masa aku kat sekolah dulu,” beritahu Amar setakat mana yang dia ingat cerita maknya malam tadi.
“Maksud kau, perempuan tu adik pada kawan kau masa sekolah dulu?” Izdiyad meminta kepastian dan Amar mengangguk. “Maknanya, kau kenallah famili dia ya?”
Amar menggeleng pula.
“Tak jugak. Dari sekolah lagi, mana pernah aku rapat dengan mana-mana perempuan. Setakat nak bertegur sapa tu adalah. Nak lebih-lebih, aku tak berminat,” balas Amar.
“Habis tu, macam mana kau boleh ingat pasal Marlisa tu pulak?”
“Aku ingatlah sebab Marlisa tu penolong ketua kelas kami dulu. Lagipun dia anak pada bekas cikgu sekolah aku. Cuma kami jarang-jarang bercakap sebab aku sendiri tak berminat nak bercakap sangat dengan dia.”
Sekilas bayangan Marlisa terlintas di kepalanya. Lama sudah dia tidak menemui wanita itu. Sejak tamat zaman persekolahan, Amar sudah tidak pernah ambil kisah tentang rakan-rakan sekelasnya. Bukan saja kerana tiada rasa mahu memanjangkan silaturahim tetapi dia juga sibuk dengan pengajiannya. Sekarang, dia sibuk pula dengan kerjayanya.
“Kenapa pulak?” Izdiyad tetap berminat mahu tahu.
“Dia ramai kawan lelaki. Masa di sekolah dulu, dia antara pelajar perempuan yang paling ramai peminat lelaki. Setiap hari, ada saja bunga atau coklat yang dia dapat. Tapi nak kata dia tu jenis perempuan gedik, tak jugak. Biasa-biasa aje orangnya.” Ringkas penjelasan Amar, tanda dia tidak berminat untuk terus mengulas lanjut tentang wanita yang telah lama hilang daripada ingatannya itu.
“Ooo... Habis tu, yang mak kau nak kenalkan ni adik dialah ya? Cantik tak orangnya?” Izdiyad sudah tersengih-sengih. Manalah tahu, ada harapannya untuk mencelah jarum nanti. Hatinya sudah berangan-angan.
“Entah. Tapi seingat aku, adik Marlisa tu antara pelajar cemerlang sekolah kami. Cuma tulah, perangai dia tu pelik sikit. Lain daripada orang lain.”
Sedikit demi sedikit, Amar memerah akal. Cuba mengorek keluar baki-baki ingatan tentang gadis yang menjadi topik utama perbualan dia dan Izdiyad saat ini. Dia cuba membentuk bayangan Mayamin namun tidak menjadi kerana bayangan gadis itu tiada dalam ingatannya. Bukan tiada tapi memang tidak pernah ada dalam ingatannya pun.
“Maksud kau?” Berkerut-kerut dahi Izdiyad jadinya. Ni yang melemahkan semangat aku ni. Bunyinya macam tak ada harapan aje. Hati Izdiyad mengeluh pula.
“Dia suka benda-benda yang tak pernah kita sangka akan dibuat orang pada situasi yang tak sepatutnya. Contohnya dulu, masa kita orang tengah sibuk bergotong-royong bersihkan kawasan sekolah, selamba dia aje naik atas pentas menyanyi lagu entah apa-apa dengan penyapu lidi yang dijadikannya mikrofon. Konon-konon nak hiburkan hati semua orang yang dah bertungkus lumus membersihkan kawasan sekolah.
“Pernah sekali tu, pada hari pengetua kami nak bersara, pelajar lain hadiahkan bukulah, bungalah, kainlah untuk pengetua. Yang dia pulak hadiahkan rotan dengan alasan pengetua akan kenang kami semua sebab pengetualah yang suka sangat merotan pelajar-pelajar. Entah apa-apa perempuan tu.” Tergeleng-geleng Amar di akhir ceritanya. Teringat pada kenangan di zaman sekolah yang kini hanya tinggal samar-samar dalam ingatannya. Begitu juga bayangan adik Marlisa yang semestinya tidak lagi dia ingati hingga kini.
“Hmm... Pelik betul perangai adik Marlisa tu ya? Tapi unik,” puji Izdiyad dalam senyuman lebarnya.
“Alah, Am, kau kenal ajelah dengan perempuan tu. Selalunya, orang yang pelik begitulah akan menceriakan hidup kita. Yalah, sebab dia kan lain daripada yang lain. Dia akan buatkan kita berada dalam dunia yang tak pernah kita jangka akan sampai. Lagi satu, kau beruntung tau kalau kau dapat kenal dia,” sambung Izdiyad.
“Kenapa pulak?” Dahi Amar pula berkerut-kerut. Izdiyad ni bukannya boleh percaya sangat cakap-cakap dia tu. Nama pun kasanova, perempuan gila tepi jalan pun nampak cantik di mata dia, bebel hati Amar.
Well... Sekurang-kurangnya, dengan perangai peliknya tu, tension kau akan hilang bila kau bersama dia. Sebabnya, dia akan buat sesuatu yang kita sendiri tak duga dan takkan buat. Lagipun dia jujur. Dia tunjuk siapa dirinya yang sebenar. Aku tak fikir dia buat begitu sebab nak tarik perhatian orang atau apa. Tapi dia buat semua tu kerana itulah dia, dirinya yang sebenar.” Yakin saja Izdiyad meluah pandangan sendiri biarpun dia tidak pernah punya pengalaman berkawan mahupun berkenalan dengan seseorang seperti itu.
“Huh. Kau cakap macamlah kau kenal benar adik Marlisa tu,” cebik Amar tidak puas hati dengan pandangan Izdiyad.
“Aku tak kenal tapi daripada apa yang kau cerita, aku dapat rasa yang adik Marlisa tu seorang perempuan yang ceria, gila-gila dan pastinya...”
“Mulut murai. Itu salah satu daripada sikap dia yang patut kau tahu,” sampuk Amar sebelum sempat Izdiyad menghabiskan ayatnya.
Baru dia teringat pada gelaran yang pernah diberikan kawan-kawannya kepada Mayamin sewaktu mereka di bangku sekolah dulu. Minah murai. Tapi gelaran itu hanya digunakan oleh dia dan beberapa orang kawan yang lain sahaja. Mencari pasal namanya jika memanggil pelajar lain dengan gelaran sebegitu secara berdepan. Apatah lagi Mayamin adalah anak kepada cikgu Saleha, cikgu yang paling digeruni oleh semua pelajar zaman itu. Garang tak ingat!
“Okeylah tu. Kau pendiam mengalahkan patung cendana. Dia pulak banyak cakap mengalahkan murai tercabut ekor. Sepadan sangatlah tu.”
“Kau perli aku ya?”
“Tak perli beb tapi itu kenyataannya. Kan bagus kalau dapat pasangan yang jauh berbeza sikapnya daripada kita. Barulah ceria rumah tangga nanti.”
“Dahlah Iz. Tak payahlah kau nak cakap seolah-olah kau tu dah ada pengalaman hidup berumah tangga. Diri sendiri pun tak tentu betulnya, ada hati nak ajar aku.” Kata-kata Amar membuahkan tawa besar Izdiyad.
“Am, Am... Marahkan mak kau, aku pun kena tempiasnya jugak?” Izdiyad kembali ketawa.
Semakin kuat ketawanya bila Amar sendiri akhirnya turut mengukir senyuman. Tercuit dengan tingkah dan kata-kata sahabat baiknya itu.
Relakslah, beb, perkara kecik aje pun. Kau kenallah dulu dengan awek tu. Mana tahu dia memang jodoh kau. Kalau tak suka, anggap aje sebagai kawan. Susah apa sangat.” Izdiyad masih tegar memujuk Amar.
Bukan niatnya mahu memaksa tapi dia yakin, jodoh itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu melainkan jika kita berusaha mencarinya. Andai hanya menanti jodoh datang begitu saja sepertimana yang diharapkan Amar, sama saja taraf kita seperti haiwan yang tak dikurniakan akal untuk berfikir. Itu pendapatnya.
“Kau cakap senanglah sebab bukan kau yang kena paksa kahwin tapi aku, tahu tak! Aku!” balas Amar tetap tak puas hati walau nada suaranya tetap seperti tadi. Tenang.
“Sebab kau yang kena paksa kahwinlah aku suruh kau kenal awek tu dulu. Lagipun, kau tak kurang apa-apa pun kalau kau kenal dengan pilihan mak kau tu. Kau patut berterima kasih kat mak kau tu sebab bersusah payah tolong carikan bakal isteri untuk kau. Kalau harap kau sendiri yang cari, alamatnya sampai kiamat nanti pun belum tentu mak ayah kau merasa ada menantu tau,” bebel Izdiyad kenal benar dengan perangai Amar.
Sahabat baiknya itu memang ada pakej sebagai seorang lelaki yang serba lengkap. Cuma tidak berminat pada kaum Hawa. Atas sebab apa, Izdiyad sudah lama mengerti. Apa pun, pada Izdiyad, semuanya terpulang kepada Amar sendiri.
“Kau nak kata kat aku. Kau sendiri pun belum nak kahwin, nak paksa aku ikut cakap mak aku pulak,” bidas Amar.
“Aku lain, Am, sebab umi dan abi aku jenis tak kisah. Aku kan baru saja balik ke sini. Mula kerja pun baru beberapa hari lepas. Banyak lagi yang aku nak kena buat daripada fikir bab kahwin ni.” Izdiyad menyanggah lembut.
“Cakap pasal kerja, macam mana kerja kau sekarang? Seronok kerja kat syarikat keluarga sendiri?” soal Amar kembali ke perbualan utama mereka. Di awal perbualan tadi pun dia kurang memberi perhatian pada cerita Izdiyad. Tentang dirinya dipaksa berkenalan dengan gadis pilihan maknya, ditolak ke tepi. Tak ada masa nak fikir!
“Seronok tu seronoklah Am tapi bosan,” sahut Izdiyad kembali mengeluh. Tertekan rasanya setiap kali memikirkan tentang perkara itu.
“Bosan? Hai... aku pun kerja kat syarikat keluarga aku tapi tak pernah rasa bosan pun. Kau yang baru beberapa hari kerja dah bosan? Pelik.” Berkerut dahi Amar sekejap.
“Kau lain sebab kau tu workaholic. Aku ni pun macam kau jugak tapi bila tak ada bunga-bunga segar yang mampu sejukkan pandangan mata ni, memang rasa berat kaki aku nak masuk pejabat tu beb,” rungut Izdiyad.
“Tak ada seorang pun pekerja dalam pejabat aku tu yang layak aku nak buat awek. Semuanya stok bini orang aje. Ada yang anak dara pun tak macam anak dara. Macam anak jantan! Buat sakit mata aje yang memandang,” rungut Izdiyad. Sekilas bayangan Aina, penolong pengurus jabatan merangkap penolongnya singgah di mata. Bayangan tingkah dan penampilan gadis tomboi itu ikut serta memenuhi ruang pandangan. Cepat-cepat Izdiyad menghalau. Tak ada selera!
“Itu sebabnya?” Amar tersenyum menggeleng. “Kau ni masuk pejabat sebab nak kerja ke, sebab nak mengayat? Kau kan dah ada awek, buat apa nak cari lagi?” ujar Amar masih tidak jemu menasihati sahabat baiknya seperti mana mereka di universiti dulu.
“Apa pulak tak rugi. Rugi gila beb.”
Bulat mata Amar mendengar jawapan Izdiyad. “Hei, kau ni Iz. Entah bila nak berubah perangai pun tak tahulah. Tak pernah cukup satu.” Kepala Amar tergeleng dengan sendirinya.
“Bukan tak pernah cukup Am tapi aku belum jumpa yang sesuai.”
“Maknanya, awek kau sekarang ni tak sesuailah dengan kau? Begitu?”
“Bukan tak sesuai, tapi tak tahu kenapa aku rasa bagai ada kurang dalam hubungan kami. Tapi itu tak bermakna Catrina tak layak jadi isteri aku. Sekurang-kurangnya dia boleh jadi simpanan kalau aku dipaksa kahwin macam kau jugak nanti.” Izdiyad ketawa dengan kata-kata sendiri.
“Tak guna betul kau! Kau buat dia jadi simpanan aje.” Bibir Amar kembali tersenyum.
“Selagi aku belum menjabat tangan tok kadi, selagi itu aku ada hak untuk cari yang lebih baik. Lagipun siapa tahu siapa jodoh sebenar kita, kan?” Amar hanya menggeleng.

“Payah bercakap dengan manusia kasanova macam kau ni Iz.” Amar mengaku kalah. Dia sendiri akhirnya ikut tersenyum bila Izdiyad sudah terkekeh ketawa mendengar kata-katnya. Lupa sejenak pada masalah yang membelenggu minda mereka. 

No comments:

Post a Comment