Bab
1
“SELAMAT
datang ke Seri Jaya Holding Berhad Tengku,” ucap Encik Hamidi selaku penolong
pengurus jabatan pemasaran syarikat. Sambil-sambil itu dia menyua tangan kepada
Tengku Ishaan Danish. Lelaki itu menyambut kemas.
“Terima
kasih,” sahut Tengku Ishaan Danish dalam senyuman manisnya. Matanya pula masih
liar memerhati setiap wajah milik pekerja-pekerja yang berhimpit-himpit di
dalam dewan kecil bangunan syarikat itu.
Satu
per satu wajah mereka diperhati dengan cukup teliti. Mencari andai terpandang kelibat
satu figura yang sejak sekian lama dinanti-nanti kewujudannya. Dalam masa yang
sama, dia cuba menyabarkan debaran hati yang menguasai jiwanya sejak dia
menjejakkan kaki ke Malaysia sehari dua lalu. Rasa letih masih menguasainya. Namun,
itu tidak menghalang keinginannya untuk segera bertugas di Seri Jaya Holding
Berhad. Hanya semata-mata hatinya begitu merindui seseorang.
“Oh,
ya Is. Ini pulak puan Marsyitah Adnan. Beliau merupakan pengurus di jabatan
sumber manusia syarikat kita.” Tengku Iris Dania masih leka memperkenalkan
Tengku Ishaan Danish kepada pekerja-pekerja kesayangannya.
Mata
wanita muda itu gemar memandang Tengku Ishaan Danish yang sesekali mengangguk
dalam senyumannya. Sejuk hati Tengku Iris Dania melihat tingkah satu-satunya
saudara, kandungnya itu ketika ini. Jauh lebih baik daripada dulu. Ternyata
keputusan Tengku Aznah untuk menghantar lelaki itu menyambung pengajian ke luar
negara beberapa tahun lalu adalah satu keputusan yang tepat. Tengku Ishaan
Danish telah jauh berubah sepertimana yang diharapkan oleh Tengku Iris Dania
dan bonda mereka. Alhamdulillah.
“Jadi,
kamu semua sudah kenal dengan CEO baru syarikat kita ni, kan?” soal Tengku Iris
Dania kemudian memandang ratusan pekerja syarikat di depannya.
“Sudah
Tengku!” jawab mereka dengan penuh semangat, terutamanya pekerja-pekerja
wanita.
Masing-masing
langsung tidak berkalih mata dari wajah Tengku Ishaan Danish sejak lelaki itu
melangkah masuk ke ruang dewan tadi. Mana mungkin boleh terkalih jika lelaki
itu mempunyai karakter yang lengkap sebagai seorang lelaki idaman semua wanita?
Melihat penampilannya saja hati sudah tertawan. Ditambah dengan lagak bersahaja
dan senyuman manis yang tidak lekang daripada menghiasi dua ulas bibirnya.
Jelas
Tengku Ishaan Danish sudah berjaya memegunkan semua orang untuk terus setia
berada di ruang dewan dengan kerelaan hati sendiri biarpun hampir sejam masa
telah berlalu.
“Hmm...
rasanya tak ada apa-apa lagi yang perlu saya beritahu. Semuanya dah pun jelas
sekarang. Oh, ya Is. Ada apa-apa yang Is nak cakapkan pada semua ke?” Perhatian
Tengku Iris Dania kembali terarah kepada Tengku Ishaan Danish. Lelaki itu
mengangguk kecil.
“Pertama
sekali, saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana sudi menghadirkan diri ke
perjumpaan ini. Terima kasih jugak kerana sudi memberi peluang kepada saya
untuk menimba pengetahuan daripada syarikat ini. Saya harap kita semua boleh
bekerjasama sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi antara satu sama
lain. Sudi-sudikanlah diri menegur dan membantu saya jika ada sebarang
kesilapan yang saya lakukan selama saya bertugas di sini nanti. Moga-moga
ukhwah yang bakal terjalin antara kita semua akan terus berkekalan sampai
bila-bila. Itu saja daripada saya. Terima kasih sekali lagi.”
Penuh
berhemah Tengku Ishaan Danish memberi kata-kata ringkasnya hingga mendapat
tepukan gemuruh daripada semua yang ada. Masing-masing jelas berbesar hati
menerima kehadiran seorang lagi kakitangan syarikat dalam kalangan mereka.
“Okey.
Oleh kerana semuanya dah pun selesai, jadi saya minta semua pekerja kembali ke
jabatan masing-masing untuk meneruskan kerja anda sebagaimana biasa. Terima
kasih sekali lagi saya ucapkan atas kesudian semua menghadiri perjumpaan ni.”
Tengku Iris Dania terus menutup majlis perjumpaan.
Dia
kemudian bangkit menyalami beberapa orang ahli lembaga pengarah yang turut
serta berada bersamanya di atas pentas kecil sedari tadi. Masing-masing
mengambil peluang untuk mengucap tahniah kepada Tengku Ishaan Danish di atas pelantikannya
itu.
Tengku
Ishaan Danish pula tidak henti-henti mengucap terima kasih kepada sesiapa yang
menyalaminya. Sambil-sambil itu, mata lelakinya tetap liar mencari-cari
gerangan manusia yang ingin benar ditemuinya itu. Satu demi satu wajah para
pekerja yang mula mengosongkan ruang itu ditatap. Sayang. Orang yang
sangat-sangat mahu ditemuinya tetap tidak kelihatan. Tanpa sedar, Tengku Ishaan
Danish mengeluh kecil. Hampa dengan keadaan itu.
“Hah,
Is. Mari akak kenalkan kamu dengan setiausaha kamu ni.”
Tengku
Ishaan Danish tersentak. Hilang sekejap tumpuannya untuk terus mencari.
Sebaliknya arah mata sudah tertala ke wajah Tengku Iris Dania yang entah bila
sudah berdiri di sisi.
“Akak
kenalkan ini Cherina. Dia adalah setiausaha kamu yang akan ikut sama bertugas
di jabatan pemasaran nanti,” beritahu Tengku Iris Dania sambil mengerling
Cherina di sisinya.
Tersipu-sipu
gadis itu bila terpandangkan senyuman Tengku Ishaan Danish terhadapnya. Gila
menawan!
“Apa
khabar Tengku?” tanya Cherina malu-malu sambil menyua tangan.
Terasa
sejuk tangannya bila bersentuhan dengan tangan lelaki itu. Bukan kerana udara
sejuk daripada pendingin hawa yang terpasang. Tetapi kerana dia cuba menahan
hatinya daripada terus-terusan ditampar debaran saat bertentang mata dengan
ketua barunya itu.
“Alhamdulillah.
Saya sihat-sihat saja. Terima kasih kerana sudi menjadi setiausaha saya. Harap
awak dapat membantu saya dalam menjalankan tugas-tugas saya nanti.”
“Insya-Allah
Tengku.” Itu saja yang mampu diluahkan Cherina biarpun dia cuba berlagak
tenang.
Dia
sebenarnya sudah terpegun dengan keterampilan dan tingkah lelaki itu sejak
Tengku Ishaan Danish diperkenalkan awal-awal tadi lagi. Bahkan Cherina adalah
antara wanita-wanita yang sibuk berbisik-bisik sesama sendiri sepanjang majlis
perjumpaan itu dijalankan. Tiada isi penting berada dalam perbualan mereka
melainkan tentang Tengku Ishaan Danish semata-mata.
“So, tunggu apa lagi? Kau orang berdua dah boleh balik ke
jabatan sendiri. By the way, Is, selamat menjalankan tugas
anda sebagai CEO syarikat merangkap ketua jabatan pemasaran mulai sekarang ya,”
ucap Tengku Iris Dania menepuk-nepuk mesra bahu lelaki itu.
“Terima
kasih kak.” Tengku Ishaan Danish mengangguk kecil.
Matanya
memandang sekilas Tengku Iris Dania yang mula melangkah keluar dari situ dengan
diiringi oleh beberapa orang ahli lembaga pengarah syarikat. Pastinya ada
sesuatu yang ingin dibincangkan oleh wanita itu bersama mereka ketika ini. Tak
lama, pandangan mata Tengku Ishaan Danish beralih kepada Cherina pula.
“Shall we?” soal Tengku Ishaan Danish sambil mendepa tangan.
Cherina
hanya mengangguk dalam senyum manisnya.
“JADI,
inilah bilik saya?” soal Tengku Ishaan Danish sambil memandang ruang sederhana
luas di sekitarnya.
“Cantik.”
Dia memuji kemudian.
Cantik
jugak setiausaha aku tu. Pakaiannya tu bukan main seksi lagi. Macam dah tak
cukup kain nak dibuat pakai. Hati nakalnya mencelah pula. Diam-diam Tengku
Ishaan Danish tersenyum senang. Puas hati dengan persekitaran damai yang kini
telah menjadi hak miliknya secara rasmi.
“Ya,
Tengku. Harap-harap Tengku suka dengan dekorasinya,” sahut Cherina begitu
lembut. Laksana menatang agar-agar di atas tapak tangan sahaja. Gerak tubuhnya
pula usah dikata. Awal-awal lagi gayanya sudah seperti itik pulang petang saja
cara lenggang-lenggoknya. Kalah goyang gerudi Inul Daratista!
“Dah
tentulah saya suka. Actually, saya
sangat-sangat suka.” Jujur Tengku Ishaan Danish mengaku. Dia kemudian meletak
punggung di kerusi empuknya setelah puas menala mata.
“Oh,
ya. Boleh saya dapatkan senarai nama kakitangan yang bertugas di jabatan ni tak?”
soal Tengku Ishaan Danish.
Mata
pula sudah menatap setiausahanya yang masih tegak berdiri di depan meja.
Sengaja dia merenung lama wajah gadis itu hingga tersipu-sipu Cherina jadinya
melihatkan tingkah bersahaja lelaki itu.
“Dah
tentu boleh Tengku. Bila Tengku nakkan senarai tu?” soal Cherina hormat.
Kali
ini berselit dengan senyuman penuh menggoda. Manalah tahu. Lelaki itu akan
jatuh cinta kepadanya nanti. Tiada salahnya untuk Cherina mencuba memandangkan
sesiapa pun boleh tergoda dengan Tengku Ishaan Danish. Usianya saja begitu muda
untuk menyandang jawatan yang antara terpenting di dalam syarikat. Keterampilannya
kelihatan jauh lebih matang. Paling penting, lelaki itu mampu menarik perhatian
sesiapa saja, terutama mereka yang bergelar kaum Hawa. Dalam erti kata lain,
Tengku Ishaan Danish telah berjaya menjadi lelaki metroseksual yang paling
glamor di Seri Jaya Holding Berhad hanya pada hari pertama lelaki itu datang
bertugas!
“Kalau
saya nak sekarang, boleh, kan?” soal Tengku Ishaan Danish semula. Sempat dia
mengenyit mata kepada setiausahanya. Tersentak Cherina dengan tindakan spontan
lelaki itu.
“Bo...
boleh saja Tengku. Sekarang jugak saya ambilkannya daripada jabatan sumber
manusia.” Agak tergagap Cherina menyahut. Cepat-cepat dia menapak keluar dengan
tangan mengurut-urut dada sendiri.
Oh,
my God... Boleh sakit jantung aku kalau hari-hari Tengku
Ishaan Danish buat perangai menggoda macam ni. Memang tak menyesallah aku
bekerja dengan anak bongsu pemilik syarikat ni. Gila hot! Hati
Cherina sudah bersorak girang.
Tengku
Ishaan Danish yang memandang tingkah setiausahanya dari balik bidai tingkap
pula tersenyum sinis. Perempuan... Mudah sangat terperdaya, kutuk hatinya. Dia
menyelak beberapa fail yang ada di depan mata sebelum kembali mendongak tatkala
Cherina terpacak semula di depannya beberapa saat kemudian.
“Ini
dia senarai yang Tengku nakkan tu.” Lembut sungguh Cherina bersuara kali ini
seraya menyua fail di tangannya. Jika Tengku Ishaan Danish mahu menggoda, dia
pun tidak kisah digoda. Lagi rela adalah! Hati gadis Cherina bercanda nakal
sendiri.
Cepat
saja Tengku Ishaan Danish menyambut. Sambil bersandar santai di kerusinya, dia
mula menyemak satu per satu nama pekerja yang berada di bawah jabatan
pengurusannya.
“Cherina,
ini saja ke pekerja yang bertugas di jabatan ni?” soal Tengku Ishaan Danish
sesaat dua kemudian. Bagai tidak puas hati dengan apa yang dibacanya.
Sememangnya
dia tidak puas hati. Nama orang yang dicari-cari tidak berada dalam senarai
panjang itu. Jelas benar rasa hatinya itu hingga berkerut-kerut dahinya. Buat
kali kedua dia kembali menyemak. Manalah tahu jika dia terlepas pandang, tapi
setelah berkali-kali dia mengulang perbuatan sama, dia yakin. Matanya memang
tidak bersalah.
“Ya,
Tengku. Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Cherina.
Sedikit
gelabah dia memandang muka serius Tengku Ishaan Danish. Manakan tidak. Sejak di
awal perkenalan lelaki itu mudah saja memberi senyuman manis dengan riak wajah
bersahajanya. Bila tiba-tiba lelaki itu berubah tingkah, sudah tentu Cherina tidak
senang hati walau riak lelaki itu tidaklah seserius mana. Malah di mata
Cherina, Tengku Ishaan Danish tetap kelihatan kacak dengan raut begitu. Hai,
hati... sabarlah dikau andai selepas ini kau akan dipukul debaran yang maha
menggila hanya kerana tuan kau ni dah jatuh cinta kepada ketua baru yang
tersangat kacak orangnya. Diam-diam Cherina memujuk hati sendiri yang kembali
dilanda debaran.
“No. Tapi... hurm...” Tengku Ishaan menggumam sambil mengetap
bibir bawahnya.
“Ada
tak pekerja syarikat ni yang bernama Nurul Sarah Sulaiman?” Akhirnya, terluah
juga soalan yang sejak tadi berlegar-legar di ruang kepalanya.
Selama
sesi perkenalan antara dia dan para pekerja berlangsung sebentar tadi, puas
sudah mata helangnya mencari kelibat gadis itu, namun hampa. Dia kira gadis itu
bersembunyi atau terselit antara ratusan pekerja syarikat. Rupa-rupanya Sarah
memang tiada di situ. Tengku Ishaan Danish kembali menikam mata ke wajah
Cherina.
“Nurul
Sarah Sulaiman?” Cherina berfikir sejenak. Dia mengangguk sesaat dua kemudian.
“Ada
Tengku, tapi dia tak bertugas di jabatan ni,” sahut Cherina sambil mengerut
dahi sedikit. Pelik melihatkan perubahan mendadak air muka Tengku Ishaan. Daripada
serius menjadi ceria semacam biarpun dahi lelaki itu tetap berkerut-kerut
sebagaimana tadi.
“Kat
mana dia berada sekarang?” soal Tengku Ishaan Danish, jelas tak sabar-sabar nak
tahu.
Ikutkan
hati mudanya, mahu saja dia melompat bangun dari kerusi empuk tempatnya
bersandar tubuh sekarang. Mahu keluar mencari gerangan gadis yang sudah lama mengganggu
lena tidurnya saban malam.
“Dia
bertugas di jabatan pengurusan syarikat.” Lambat-lambat Cherina menyahut dengan
nada kedengaran lemah biarpun bibir tetap mengukir senyum penuh gula.
Aku
yang ada di depan mata, dia tak tanya. Sarah yang tak ada kena-mengena dengan
jabatan ni pulak yang sibuk dia nak tahu, rungut hati Cherina.
“You mean... Dia bekerja dengan kakak
saya? Apa tugas dia kat situ?” Suara Tengku Ishaan Danish jelas kedengaran terkejut
bersalut hampa.
“Kak
Sarah adalah setiausaha kepada Tengku Iris Dania.”
Jawapan
Cherina menambahkan lagi rasa sebal di hati Tengku Ishaan Danish. Dia melepas
nafas panjang sebelum tiba-tiba akalnya terfikir sesuatu.
“Boleh
awak tolong sambungkan talian saya kepada Nurul Sarah tak?” pinta Tengku Ishaan
Danish. Sengaja dia menyuara arahan dengan nada sedikit manja. Moga-moga
permintaannya itu akan cepat-cepat ditunaikan ketika ini. Tak jadi dia nak
terus tersenyum bila mendengar jawapan Cherina.
“Boleh
tu boleh Tengku, tapi Kak Sarah tak ada di pejabat sekarang. Dia cuti sampai
minggu depan. Balik kampung katanya,” beritahu Cherina jujur.
“Hah?
Mana awak tahu dia bercuti hari ni?” Tengku Ishaan Danish tidak mampu
melindungi rasa hatinya lagi. Rasa terkejut bersalut kecewa jelas kedengaran
dalam nada suaranya kali ini.
“Saya
tahulah Tengku. Kami berdua kan saling membantu menyiapkan kerja jika salah
seorang antara kami bercuti,” jelas Cherina.
“Maksudnya,
dia cuti panjanglah ni ya?” Kendur saja nada pertanyaan Tengku Ishaan Danish.
Tidak lagi teruja sebagaimana tadi.
“Ya,
Tengku.”
Nafas
panjang Tengku Ishaan Danish terlepas lagi.
“Tak
apalah, awak boleh balik ke meja awak sekarang. Apa-apa hal nanti inform saya,” arah Tengku Ishaan Danish sambil mengerling
pintu yang terbuka luas sedari tadi.
Hilang
sudah segala moodnya untuk bergatal. Apatah lagi
bermain-main mata dengan setiausahanya itu. Dia sendiri pun bukannya suka benar
mempermainkan hati mereka yang bernama wanita. Sekadar mengisi masa lapang
selain daripada menyahut cabaran seseorang yang pernah memperlekeh
kelelakiannya suatu masa dulu. Seseorang yang ditunggu-tunggu kehadirannya saat
ini dan ternyata hasratnya untuk bersua muka dengan gadis itu tidak terlaksana
juga. Mengingat itu, hati Tengku Ishaan Danish kembali dirundung suram.
“Baik,
Tengku.” Cherina akur.
Sambil
menapak keluar, akal Cherina berfikir-fikir sendiri. Baru masuk kerja sejam dua,
dia dah tanya pasal Nurul Sarah. Ada apa sebenarnya dia dengan Sarah tu?
Cherina tidak dapat mencari jawapan untuk soalan diri sendiri.
Tengku
Ishaan Danish pula sudah memicit-micit dahi. Sambil menyandar tubuh lemahnya ke
kerusi semula, dia bersuara semula.
“Aduh...
Masa-masa macam nilah kau nak bercuti pun Sarah. Kau tak tahu ke yang aku dah
balik ke sini? Aku rindu gila kat kau ni. Rindu sangat-sangat tahu tak?” bebel
Tengku Ishaan Danish bagai gadis yang dinanti-nanti sekian lama itu berada di
depan matanya sekarang. Perlahan, dia melepas nafas panjang kemudian.
“Hmm...
tak apa. Masa masih ada. Kalau kau jauh dari mata aku, aku boleh buat sampai
kau boleh ada atas ribaan aku sekalipun. Bukannya susah sangat.” Tengku Ishaan
Danish sudah tersenyum sendiri dengan rancangan yang tiba-tiba terangka di
dalam kepalanya. Tangannya pula sudah mengusap-usap dada. Lembut.
“Sabarlah
ya wahai hati. Bukannya lama mana pun pemilik kau tu cuti. Seminggu aje.” Suaranya
lebih kepada memujuk hati sendiri.
“Seminggu?
Hurm... Maknanya, tujuh hari daripada sekaranglah baru kau jumpa gadis impian
kau tu ya Is? Allah... lama lagilah tu sebenarnya.” Tengku Ishaan Danish
mengeluh semula dek kata-kata sendiri. Lebih panjang daripada tadi.
No comments:
Post a Comment