Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 2 - SUAMIKU KETUA GENGSTER



Bab 2
“Jadi, ke along nak balik ke Kuala Lumpur nanti?”
Terhenti gerak tangan Sarah bila mendengar soalan itu. Sejak tadi dia sibuk membantu Sarina membuat kuih karipap berintikan kubis dan ikan sardin. Memang itulah salah satu daripada kemestian Sarah yang akan dilakukannya setiap kali pulang ke kampung. Selain membantu Mak Dayah menyediakan juadah untuk jualan esok hari, dia juga akan memasak kuih kesukaan mereka sekeluarga.
“Jadi, mak. Kenapa?” soal Sarah, memandang sekilas Mak Dayah yang berada di penjuru ruang dapur.
Laju tangannya memasukkan semangkuk kecil cili kisar ke dalam kuali yang telah panas minyaknya. Dikacau seketika sehingga bahan masakannya itu mula memecahkan minyak. Tak lama, ikan sardin tin yang telah dilenyek-lenyek bersama sosnya dimasukkan pula. Sarah menyambung kacau. Sesekali dia mengelap wajahnya yang sudah disimbah manik-manik peluh. Dalam cuaca panas begini memang mudah saja tubuhnya berpeluh-peluh biarpun kudrat tidak digerakkan sebanyak mana.
“Mak ingat mak nak buat ketupat sikit untuk Rasya, kawan serumah along tu. Dah lama rasanya mak tak buatkan ketupat untuk dia. Dia pulak memang suka makan ketupat palas.” Cermat dan cekap Mak Dayah mengelap daun-daun pisang dengan tuala kecil yang disangkutkan di lengannya.
Mak Dayah memang begitu orangnya. Sangat teliti dalam melakukan kerja-kerjanya. Ketelitian yang turut menjadi ikutan ketiga-tiga anaknya.
“Oh... Along ingat apalah tadi. Kalau mak nak buat ketupat palas tu, mak buat lebih sikit ya? Bolehlah along bagi pada Iris jugak nanti.” Sarah menyahut sambil memasukkan kubis yang sudah dihiris halus-halus ke dalam bahan tumisannya.
Seketika kemudian, bawang besar yang telah dicincang halus pula dimasukkan. Dikacaunya lagi sehingga bahan masakannya itu menjadi agak kering. Puas hati dengan keadaan itu, dia menutup air dapur. Hasil air tangannya itu disenduk masuk ke dalam sebuah mangkuk besar. Diletak di hadapan Sarina. Gadis remaja itu sedang menyediakan kulit karipap bersama Syafiq. Sarah kemudian menapak ke singki. Ingin mencuci kuali yang digunakan untuk memasak inti karipap sebentar tadi.
“Mak pun fikir nak bagi pada ketua along tu jugak. Dia pun macam Rasya, suka sungguh makan ketupat palas yang mak selalu buat tu.” Mak Dayah mengangguk setuju.
Sekilas, dia teringat kepada Tengku Iris Dania yang sudah beberapa kali berkunjung ke kampung mereka bila wanita seusia Sarah itu mempunyai masa lapang.
“Along kata along cuti seminggu. Ni kenapa along nak balik awal pulak?” soal Sarina sebaik Sarah yang baru selesai mencuci kuali duduk bersila mengadapnya.
“La... Bukan dah cukup seminggu along balik ke sini? Mana boleh along nak tambah cuti lagi dah. Lagipun along kan dah janji nak hantar angah balik ke universiti dia. Adik sendiri pun bukan tak tahu universiti angah tu jauh tempatnya. kat selatan negara kita ni, hah. Mahu penat along nak drive kereta ke sana nanti. Itu sebablah along nak bertolak balik awal sikit. Bolehlah along berehat kat rumah sewa along sehari dua sebelum along masuk bekerja kat pejabat semula,” terang Sarah lembut. Lebih kepada memujuk Sarina sebenarnya yang awal-awal lagi sudah menarik muncung panjang.
“Tapi angah kan boleh drive kereta jugak? Bolehlah dia bergant-ganti drive dengan along nanti. tak pun, along suruh ajelah angah balik naik bas. Susah apa sangat.” Sarina sengaja tidak mahu memahami.
Sejak Sarah bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, Sarina sudah jarang dapat bermanja-manja dengan kakaknya nan seorang itu. Masa Sarah banyak dihabiskan dengan mencari rezeki di bandar raya besar itu walau Sarina tidak dapat menafikan, Sarah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga mereka pada masa yang sama.
“Isy... Tak naklah angah balik asrama universiti dengan naik bas. Adik ingat senang ke nak bawak tiga beg besar gedabak berisi buku-buku angah tu bila naik bas? Mahu patah pinggang angah nanti. Silap-silap, orang fikir angah ni orang Pakistan yang jual karpet tu pulak,” sanggah Syafiq sambil menjeling sekilas adik bongsu mereka.
Jari-jemari kasarnya masih rajin menyumbat inti yang masih berasap panas ke dalam kulit karipap yang telah dicanai nipis. Biarpun dia lelaki, Syafiq tidak kekok membuat kerja-kerja rumah yang sering kali dimonopoli oleh kaum perempuan. Dia sudah biasa melakukannya sejak kecil. Malah ketika Sarah berada di universiti dulu, dialah orangnya yang menjadi pembantu utama Mak Dayah tanpa perlu disuruh-suruh. Tak kiralah di rumah mahupun di gerai jualan mereka, Syafiq tidak pernah tidak ringan tulang menolong apa yang patut.
“Eleh. Angah bukannya tak biasa balik ke Johor dengan naik bas. Sajalah tu nak mengada-ada dengan along,” cebik Sarina tetap tidak puas hati.
“Biarlah. Adik nak jealous sangat tu kenapa? Macamlah along tak pernah hantar adik naik kereta setiap kali adik nak balik ke MRSM,” sergah Syafiq tak mahu kalah.
“Dah, dah. Angah dan adik jangan nak bertekak pulak. Sekarang macam ni. Lusa sebelum along balik, along bawa adik dan angah jalan-jalan kat bandar raya Ipoh ya? Lepas tu baru along hantar angah balik ke universiti. Boleh? Adik pulak kena balik sendirilah ya ke MRSM tu nanti sebab along tak sempat nak hantar adik minggu depan,” cadang Sarah.
Dia tersenyum lebar bila hampir serentak kedua-dua adiknya mengangguk setuju.
“Mak ikut sekali ya?” pinta Sarina memandang penuh harap wajah tua Mak Dayah.
“Mak jangan nak tolak ya? Mak tu dah lama tak berehat. Tahu nak bekerja aje. Ini along dah nak bawa kita jalan-jalan, mak jangan kata mak tak nak pulak.” Syafiq awal-awal lagi sudah memberi arahan sebelum sempat Mak Dayah memberi jawapan.
Mereka tiga beradik sudah begitu maklum dengan perangai Mak Dayah. Wanita tua itu memang kuat bekerja. Sejak pemergian arwah ayah hampir 20 tahun lalu, Mak Dayah begitu sibuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga. Asalkan pekerjaan itu dapat memberi pendapatan yang halal, Mak Dayah sanggup saja melakukannya.
Hanya sejak Sarah bekerja tetap selepas berjaya menamatkan pengajian di universiti, Mak Dayah sudah tidak lagi melakukan kerja-kerja berat. Itu pun Mak Dayah tetap dengan perangai rajinnya. Wanita tua itu masih tidak letih mengusahakan gerai jualan kuih-muihnya di simpang jalan kampung biarpun usianya sudah pun melebihi 50-an.
“Yalah.” Mak Dayah mengangguk setuju akhirnya. Tidak sampai hati dia mahu menghampakan permintaan anak-anaknya. Dia hanya mengulum senyum bila Sarina dan Syafiq sudah bersorak girang.
“Okey, dah siap karipap kita.” Suara Sarah kemudian.
“Jom, kita goreng sekarang!” jerit Sarina.
Sambil menatang setalam kecil karipap, dia bergegas bangun. Dicapai kuali dari dinding rumah. Diletak di atas tungku dapur. Syafiq ikut membantu. Masing-masing berebut-rebut mahu menggoreng hingga riuh seketika ruang kecil itu dengan suara kedua-duanya.
“Angah! Adik! Kenapa dengan kamu berdua ni? Cubalah buat perangai elok sikit. Jangan nak buat perangai macam budak-budak kecil duk berebutkan mainan tu,” tegur Mak Dayah sedikit tegas.
Dia mengerti sangat dengan perangai anak-anaknya itu. Sarina mahupun Syafiq bukan tidak sabar mahu menggoreng, tapi tidak sabar mahu mengunyah karipap hasil air tangan mereka sendiri. Itu saja.
“Sorry mak.” Hampir serentak adik-beradik berlainan jantina itu membalas sambil tersengih.
Sarah yang melihat gelagat adik-adiknya hanya tersenyum menggeleng. Tercuit hatinya melihat tingkah Syafiq dan Sarina. Masing-masing sudah besar panjang, namun sikap keanak-anakan mereka tetap terserlah bila sesekali mereka dapat berkumpul bersama.
“Tok Dollah dan Mak Juriah ada datang ke rumah pagi tadi masa kamu ke pasar.” Mak Dayah bersuara semula sesaat dua kemudian.
Ekor matanya pula mengerling gelagat Syafiq dan Sarina yang sudah leka dengan kerja mereka di atas dapur sebelum mata Mak Dayah terkalih ke wajah Sarah sepenuhnya. Sengaja Mak Dayah membuka cerita itu tatkala Syafiq dan Sarina tiada bersama mereka. Tidak sesuai rasanya untuk dia membuka bercerita tentang kisah orang dewasa di depan remaja seperti Syafiq dan Sarina biarpun kedua-duanya telah cukup matang untuk memahami jalan kehidupan mereka selama ini.
“Ada apa dia orang datang mak?” soal Sarah acuh tak acuh sahaja.
Malas sebenarnya bercakap tentang perkara yang dirasakan kurang kena dengan kehendak hatinya. Sambil-sambil itu, tangannya ligat menyumbat inti sardin ke dalam kulit karipap. Dia kemudian mengelim kulit karipap sekemas mungkin agar inti karipap tidak terburai bila digoreng nanti. Setelah siap, diletak pula ke dalam talam kosong di tepi kepala lututnya. Comel! Sarah tersenyum bangga melihat hasil air tangan sendiri.
“Dia orang nak mempercepatkan tarikh perkahwinan kamu dan Dahlan.”
Terhenti sejenak gerak jari-jemari Sarah. Wajah tenang Mak Dayah ditatap semula.
“Tapi kenapa?” Jelas kedengaran rasa tidak puas hati dalam nada suara Sarah. Hilang sudah senyumannya yang sejak tadi terbentuk manis di kedua-dua ulas bibir merahnya.
“Dia orang bagi tahu, Dahlan dah tamatkan pengajian mastersnya tu bulan lepas. Dia bekerja di Kuala Lumpur sekarang ni. Sebab tulah Tok Dollah suami isteri nak mempercepatkan majlis kamu berdua. Alang-alang kamu berdua dah tinggal kat tempat yang sama, elok sangatlah kalau kamu berdua cepat-cepat kahwin. Kamu berdua pun dah lama bertunang, dah lebih daripada tiga tahun pun. Bimbang kami kalau terjadi apa-apa pada kamu berdua nanti.” Mak Dayah tetap bersuara tenang biarpun riak wajah Sarah sudah berubah tatkala berita itu sampai ke pengetahuan telinganya. Geram bersalut sayu.
“Mak cakap macamlah along ni jahat sangat, nak buat apa-apa yang tak elok dengan Dahlan tu.” Sarah sudah memuncung bibir. Tangan pula hanya mengacau-ngacau isi karipap di dalam bekasnya.
Hilang sudah semangatnya untuk ikut sama membantu adik-adiknya menyiapkan karipap yang masih banyak berbaki intinya. Namun, digagahkan juga tangannya untuk menyiapkan semua itu. Dia tidak mahu hanya kerana dirinya tidak senang dengan berita yang baru disampaikan oleh Mak Dayah, mereka sekeluarga tidak dapat menikmati karipap pula petang itu.
“Mak tak kata along jahat nak, tapi mak hanya ingatkan saja. Kita ni hanya manusia, iman pun bukannya sekuat mana. Jadi, sebelum apa-apa berlaku, lebih baik along dan Dahlan berkahwin cepat-cepat. Fitnah pun boleh terhindar, maruah kamu berdua pun tak tercemar. hati mak ni pun ikut senang. Lagi pulak kata Mak Juriah, tahun depan Dahlan nak pindah duduk luar negara. Tunang kamu tu dapat tawaran untuk sambung lagi pengajiannya tu kat negara mana entah, mak pun dah lupa.”
“Along tak fikir along bersedia nak berkahwin sekarang mak,” sahut Sarah lambat-lambat.
Dikerling sekilas wajah tua maknya. Bimbang jika kata-katanya itu mampu menyakitkan hati wanita yang begitu disayanginya itu. Lega hatinya bila dilihat riak wajah Mak Dayah tetap serupa. Tenang sebagaimana tadi.
“Lagipun kalau along kahwin nanti, siapa yang nak tolong mak tanggung sara hidup kita sekeluarga?” Sarah menyambung kata bila Mak Dayah tidak menyahut.
Jujurnya, dia masih belum puas membantu Mak Dayah mencari rezeki. Mak Dayah tidak pernah meminta. Hanya sebagai anak sulung, Sarah tahu. Sudah menjadi tanggungjawab Sarah membantu emaknya nan satu itu walau dengan apa cara sekalipun, asalkan rezeki itu halal dan diberkati-Nya.
“Mak masih kuat nak mencari rezeki untuk kita sekeluarga. Along tu yang patut fikir tentang masa depan along. Umur along dah masuk 30 tahun pun, nak. Dah memang terlebih sesuai jadi isteri orang pun. Takkan nak tunggu along dah 40 tahun baru along nak kahwin?” Mak Dayah cuba bercanda, namun tak jadi bila dilihat raut wajah anaknya itu sudah berubah masam.
Jelas Sarah tidak dapat menerima gurauannya. Mahu tidak mahu Mak Dayah kembali bersuara. Lembut bagaikan mahu memujuk. “Kalaupun along masih belum bersedia nak kahwin, mak harap along akan berusaha buka hati along untuk terima jugak perkahwinan ni. Along sendiri pun tahu, kan? Kita ni ibarat mentimun, dia orang tu pulak ibaratnya durian. Goleklah macam mana sekalipun, balik-balik kita jugak yang akan terluka. Jadi, suka ataupun tidak, kita kena terima semua ni walaupun tindakan kita tu akan melukakan hati kita sendiri.”
Sarah tidak menyahut. Sibuk dirinya melayan perasaan sendiri ketika ini. Segala rasa sudah bercampur aduk. Namun, yang pasti, rasa sedih dan terluka melebihi rasa yang lain. Diam-diam, air mata Sarah jatuh setitis ke pipi. Sarah menangis dalam hati.

Lama dia menatap album gambar yang berada di tangannya. Sebentar tadi, dia sedang sibuk mengemas bilik tidur sendiri. Sudah lama dia tidak mengubah kedudukan barang-barangnya di ruang kecil itu. Entah kenapa, lewat petang ini teringin pula dia melakukannya.
Sedang sibuk mengemas, matanya terpandang album lama yang berada di satu penjuru rak buku di tepi sudut bilik. Tidak menunggu lama, album yang sudah sedikit kekuning-kuningan kulitnya itu dicapai. Manakala penyapu yang digunakan untuk menyapu segala habuk dan debu di atas almari pakaian dibiarkan terdampar di lantai bilik. Segera dia mendudukkan diri di bidai katil sebelum album gambar yang sudah dimakan usia itu mulai diselak satu per satu mukanya.
Sarah tersenyum tatkala matanya terpandang kepingan pertama gambar yang ada di dalam album. Gambar dia bersama Tengku Iris Dania ketika mereka sama-sama berada di zaman persekolahan itu berjaya mencuit hatinya. Manakan tidak. Di waktu itu mereka masih bergelar anak remaja. Terpancar jelas sikap keanak-anakan mereka dalam aksi entah apa-apa itu.
Tidak saja di kepingan gambar itu. Malah setiap kali bergambar kenangan, memang begitulah tingkah mereka. Pastinya, zaman itu merupakan antara zaman yang terindah yang pernah wujud dalam hidup Sarah.
Mata Sarah beralih pula ke arah kepingan gambar kedua. Sekali lagi, wajahnya dan wajah Tengku Iris Dania terpapar di situ. Kali ini mereka tidak berdua, tetapi bertiga. Bersama Dorah, salah seorang daripada sahabat baik yang dikenali ketika mereka berada di universiti beberapa tahun lalu. Lama mata Sarah tertancap pada wajah ceria Dorah hingga tanpa sedar segugus nafas panjang terluah dari mulutnya.
“Ya Allah... Kau ampunilah segala dosa sahabat baikku dan Iris ini. Semoga dia tenang berada di sisi-Mu dan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman kelak. Amin ya rabbil alamin,” ucap Sarah sepenuh hati. Perlahan, namun cukup terkesan di jiwanya sendiri. Hingga tanpa sedar, kelopak mata Sarah sudah bergenang dengan air mata.
Menatap Dorah, kenangan dia dan Tengku Iris Dania bersama gadis pemalu dan ceria itu kembali berputar-putar di kepala. Sayang, Dorah tidak lagi bersama mereka kini. Gadis itu telah lama pergi meninggalkan semua sejak bertahun-tahun lalu. Sarah tersentak bila setitis air matanya jatuh menimpa ke ribaan sendiri. Cepat-cepat dia mengelap sebelum matanya terkalih ke kepingan gambar seterusnya. Tidak mahu hati sendiri terus-terusan diburu rasa hiba. Kali ini senyuman Sarah terukir semula. Senyuman ceria.
“Tengku Ishaan Danish. Dah lama kita tak bertemu, kan? Agaknya, bagaimanalah rupa Tengku sekarang? Masih macam dulu atau dah jadi sebaliknya? Saya pun tak tahu. Tapi saya selalu berdoa. Moga-moga Tengku senantiasa berada dalam keadaan baik-baik dan bahagia hendaknya,” kata Sarah perlahan. Bagai anak muda yang berdiri rapat di sisinya dalam gambar lama itu mampu mendengar kata-kata ketika ini.
“Saya ingat lagi. Gambar ini kita ambil pada hari keputusan SPM Tengku diumumkan. Menangis bonda dan kakak Tengku bila lihat keputusan cemerlang Tengku. Saya lagilah over. Sampai teresak-esak saya menangis padahal saya hanya menumpang tengok aje. Bila saya ingat balik detik-detik tu, malu betul rasanya saya Tengku. Terlebih-lebih pulak saya menangis macamlah Tengku tu adik kandung saya.” Sarah tergeleng-geleng sendiri dalam senyumnya.
Malu mengenangkan tingkah keanak-anakannya suatu masa dulu. Hingga meninggalkan kenangan indah di jiwanya hingga ke hari ini.
“Apa pun Tengku, masa tu dah pun berlalu dan saya pasti, Tengku sudah dewasa dan matang sekarang. Harapan saya, Tengku akan menjadi manusia yang hebat dan tabah sepertimana yang diharapkan oleh keluarga Tengku selama ini. Moga-moga kepulangan Tengku nanti akan menambahkan lagi kebahagiaan dalam keluarga Tengku,” doa Sarah setulus hati.

Bergegas Sarah menyimpan semula album itu di tempat asalnya tatkala sedar. Cahaya matahari petang sudah lama menyuluh masuk ke dalam ruang bilik. Menandakan senja bakal tiba dalam masa terdekat ini. Sedangkan dia masih belum selesai menyiapkan kerja-kerjanya. Lantas bayangan Tengku Ishaan Danish sekeluarga dibuang daripada ruang kepalanya sedikit demi sedikit. Sarah tenggelam dalam kesibukannya semula. 

No comments:

Post a Comment