Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 6 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 6
“Kak balik dulu ya Sarah!” laung Kak Rose yang bertugas di jabatan pengurusan teknologi sebelum melolos tubuh ke dalam kereta suaminya.
Sarah hanya melambai kecil sebelum kelibat wanita itu hilang daripada pandangan. Sempat dia memandang ruang luas di atas kepala. Langit kelihatan kelam, menandakan awan-awan mendung bakal mencurahkan takungannya bila-bila masa sahaja. Cepat-cepat Sarah menapak mendapatkan keretanya di hujung kawasan tempat letak kereta. Sengaja dia memarkir keretanya agak jauh dari bangunan syarikat Seri Jaya Holding Berhad. Selain dapat mengeluarkan peluh, dia juga menjadikannya sebagai salah satu senaman ringan harian.
“Amboi... Lajunya berjalan. Nak masuk maraton ke?”
Tak jadi Sarah nak meneruskan langkah bila ditegur begitu. Sebaik dia berkalih tubuh, Tengku Ishaan Danish sudah tersenyum lebar ke arahnya. Selamba saja lelaki itu menyandar tubuh pada kereta Tengku Iris Dania yang pastinya masih berada di ruang pejabatnya di tingkat teratas bangunan. Entah sejak bila lelaki itu berada di situ, Sarah langsung tidak perasan.
“Hai Tengku. Tak balik lagi?” tegur Sarah hormat dalam senyuman manisnya.
“Nak baliklah ni. Awak tu, kenapa laju sangat jalannya? Nak lumba lari dengan siapa?” soal Tengku Ishaan Danish mula menghampiri Sarah sebelum dia berdiri setentang dengan gadis itu.
Sarah tersengih kelat.
“Bukan nak lumba lari Tengku, tapi nak larikan diri daripada tu,” sahutnya sambil mengunjuk jari ke atas.
Tengku Ishaan Danish mengalih mata mengikut arah jari telunjuk gadis itu sebelum wajah Sarah ditatap semula. “Setakat hujan tu, apalah yang awak nak takutkan sangat Sarah? Awak tu kan manusia, bukannya kambing yang perlu takut pada hujan.”
“Bukanlah macam tu Tengku, tapi kalau hujan turun, basahlah saya. Dahlah saya tertinggal payung dalam kereta. Takkan saya nak lari lintang-pukang macam dikejar anjing pulak kalau tiba-tiba hujan turun nanti.”
Kata-kata Sarah menghasilkan tawa kecil lelaki itu.
“Sarah, Sarah... Tak ubah-ubah perangai awak tu. Suka sangat bergurau tak kira masa.” Tengku Ishaan Danish tetap menatap wajah itu biarpun Sarah sudah berkali-kali mengalih pandangan matanya ke arah lain. Segan bercampur kurang selesa.
“Malam ni awak free tak?” soal Tengku Ishaan Danish tiba-tiba. Kali ini dengan nada menggoda pula. Lagaknya pula usah dikata. Terserlah jelas gaya maconya ketika ini.
“Malam ni? Kenapa Tengku?” soal Sarah tak faham.
Sesekali dia tersenyum mengangguk kepada beberapa orang pekerja syarikat yang ikut serta mahu pulang menyapanya dari jauh. Tidak seperti Tengku Ishaan Danish. Lelaki itu hanya memaku pandangan ke wajah Sarah tanpa peduli pada keadaan sekeliling. Bagai mereka berdua saja yang berada di situ ketika ini.
“Manalah tahu, kita ada peluang keluar makan berdua. Kalau tak dapat lama, sekejap pun okey dah bagi saya.” Tengku Ishaan Danish sudah mula menunjuk skill kasanovanya. Matanya masih merenung dalam-dalam Sarah yang tertawa kecil mendengar pelawaan lelaki itu.
“Maaflah Tengku, saya ada hal nak dibuat malam ni. Lagipun, saya memang tak suka keluar malam. Bukan saja bahaya bagi anak dara macam saya ni, tapi jugak membuang masa. Lebih baik lepak kat rumah. Boleh jugak rehatkan badan daripada keluar malam-malam mengalahkan kelawar,” tolak Sarah sopan.
“Saya rasa, awak tak tahu sesuatu Sarah.” Suara Tengku Ishaan Danish sudah berubah rentak. Kedengarannya agak serius kali ini.
Dalam kesekejapan rasa merajuk bercampur geram menyalut hatinya. Merajuk dengan tingkah polos Sarah. Jelas gadis itu tidak memahami rentak perasaan yang bermain di jiwanya kepada gadis itu selama ini. Geram bila ditolak terang-terangan begitu oleh pujaan hati sendiri.
“Tahu apa?” soal Sarah kembali mengerut dahi.
“Saya rindukan awak. Sangat-sangat rindu Sarah. Sebab itulah saya ajak awak keluar. So, apa kata kalau awak terima saja pelawaan saya tu supaya rindu saya ni boleh terubat walau hanya secubit cuma?”
Sarah kembali tersenyum mendengar kata-kata manis lelaki itu. Amboi... Tak cukup awek dia, dengan aku pun dia nak try test jugak. Sabar ajelah. Hati Sarah sudah mengomel.
“Betullah Tengku dah banyak berubah sekarang. Dah tak macam Tengku Ishaan yang saya kenal dulu. Jauh berbeza sangat,” komen Sarah tanpa dipinta dalam senyuman yang tak lekang-lekang dari bibirnya. Tanpa sedar kepalanya ikut sama tergeleng perlahan.
“Kenapa pulak awak cakap macam tu?” soal Tengku Ishaan Danish, sengaja bertanya walau dia sudah maklum tentang perkara itu. Malah sengaja juga dia mengungkit perkara yang sudah mereka bualkan tengah hari tadi.
Dia hanya ingin melengah-lengahkan pemergian gadis itu. Sayang rasanya untuk dia melepaskan Sarah pulang waktu ini. Rindunya kepada gadis itu masih belum hilang biarpun hanya secubit. Bagaimana mahu hilang jika rindu itu sudah bertahun-tahun disimpan sedangkan mereka baru bersua muka semula pada hari ini? Itu pun sekejap cuma.
“Saya rasa Tengku faham maksud kata-kata saya tu. Bukan saja saya, siapa-siapa yang pernah kenal Tengku dulu pun pasti akan cakap perkara yang sama. Perubahan yang Tengku lakukan itu memang baik dan saya rasa Tengku versi baru ni kelihatan jauh lebih hebat daripada Tengku yang dulu. Senang cakap, saya suka dengan perubahan Tengku dan saya jugak harap Tengku sekarang bukanlah salah seorang daripada ahli kumpulan mana-mana gengster lagi.”
Jujur Sarah meluah kata hatinya sekali gus melebarkan senyuman Tengku Ishaan Danish. Ternyata, gadis itu masih ingat segala-galanya tentang dia walau mereka telah lama tidak bersua muka.
“Maknanya, saya seorang ajelah yang berubah, tapi awak masih jugak sama sepertimana yang saya kenal tujuh tahun lalu. Saya masih ingat, garang betul awak masa mengajar saya dulu. Langsung tak bagi muka pada saya nak berehat walau seminit. Teruk betul.”
Sarah ketawa lagi mendengar kata-kata selamba lelaki itu.
“Apa nak buat, masa tu kan saya mengajar ketua gengster. Nak tak nak, terpaksalah saya tunjuk garang. Kalau tidak, awak takkan jadi seperti sekarang Tengku Ishaan Danish. Hebat sebagai seorang lelaki Melayu sejati,” balas Sarah.
Dia terus saja menunduk mata tatkala pandangannya bersatu dengan pandangan tajam lelaki itu. Terasa ada debaran yang mengganggu jiwa gadisnya. Debaran yang tidak pernah dirasakannya selama dia mengenali mana-mana lelaki lain. Pelik Sarah memikirkan keadaan itu.
“Amboi, sakan bersembang nampak? Sampai tak toleh kiri kanan langsung.”
Teralih perhatian Tengku Ishaan Danish dan Sarah ke satu arah. Tengku Iris Dania sudah melangkah merapati mereka berdua.
“Hah, Sarah. Bukan ke tadi kau kata kau nak balik awal hari ni? Apasal kau masih lagi tercegat kat sini?” soal Tengku Iris Dania, memandang Sarah yang awal-awal sudah tersengih lebar.
“Aku nak baliklah ni, tapi adik kau ni pulak ajak aku sembang. Tu yang aku terbantut kat sini,” sahut Sarah.
“Yang kamu ni pulak Is, kenapa tak balik lagi? Tak hilang-hilang lagi ke rindu pada bekas cikgu tuisyen kamu ni?” Mata Tengku Iris Dania sudah terkalih ke wajah Tengku Ishaan Danish pula.
Dia perasan, sejak tadi mata Tengku Ishaan Danish tidak berkalih daripada merenung Sarah yang kelihatannya tidak selesa dengan keadaan itu. Tengku Iris Dania tidak pasti dia hanya berperasaan begitu atau sememangnya sudah menjadi tabiat Tengku Ishaan Danish untuk merenung Sarah sebegitu sekali. Apa pun, Tengku Iris Dania tahu. Ada sesuatu rasa di hati Tengku Ishaan Danish terhadap Sarah yang tidak dapat dibaca Sarah. Atau boleh jadi Sarah pura-pura tidak tahu tentangnya. Tengku Iris Dania tidak pasti telahannya yang mana satu tepat.
“Rindu tu takkan hilang sampai bila-bila pun kak, malah makin lama makin bercambah. Is hanya ajak Sarah keluar makan dengan Is. Tapi apa nak buat, orang tu tak sudi.” Ada nada merajuk dalam suara Tengku Ishaan Danish.
Sambil-sambil itu, mata Tengku Ishaan Danish kembali mengerling Sarah. Gadis itu hanya meleretkan senyuman.
“Huh. Kamu ni Is. Setakat nak ajak Sarah makan, tak payahlah. Jangankan nak ajak makan, nak belikan nasi bungkus kat dia pun belum tentu dia nak. Kamu bukan tak kenal perangai bekas cikgu tuisyen kamu ni. Merendah diri tak kena tempat,” balas Tengku Iris Dania menepuk-nepuk lembut bahu sahabat baiknya.
Gadis itu tetap juga tersenyum.
“Yalah kak. Jual mahal betul setiausaha akak ni. Kalau Is tahu tadi, Is tak ajak makan dah, tapi Is terus ajak kahwin aje. Lagi senang.”
Mata Tengku Ishaan Danish kembali mengerling wajah Sarah bila gadis itu sudah meluah tawa kecilnya. Tercuit dengan kata-kata serius Tengku Ishaan Danish yang dianggapnya gurauan semata-mata.
“Hei, kamu ni Is. Kalau ya pun nak bergurau, agak-agaklah. Ada ke nak ajak si Sarah ni kahwin pulak? Kamu ingat dia ni anak ayam ke, senang-senang nak ajak kahwin? Macamlah dia tak ada keluarga.” Tengku Iris Dania ikut tergelak kecil dengan kepala yang sudah tergeleng perlahan.
“Habis, nak ajak keluar makan pun payah. Baik ajak kahwin aje. Kalau dah kahwin, jangan kata nak nak makan, nak buat apa pun boleh.” Suara Tengku Ishaan Danish masih lagi kedengaran seperti merajuk biarpun Sarah langsung tidak menyedari keadaan itu.
“Yalah tu kamu. Tahu nak betul kat kamu aje.” Kepala Tengku Iris Dania tergeleng lagi.
“Hmm... Tak apalah Tengku berdua. Saya minta diri dulu. Nanti lambat pulak saya sampai rumah. Assalamualaikum.” Sarah terus saja mencelah sebelum sempat salah seorang daripada kedua-dua beradik itu menyahut. Cepat-cepat dia berlalu ke keretanya.
“Hah, Ishaan, kamu tak nak balik jugak ke? Hari dah gelap ni.”
Teguran itu menyentak Tengku Ishaan Danish daripada terus ralit melihat kelibat Sarah melangkah pergi. Wajah Tengku Iris Dania kembali dipandang. Hanya sekilas sebelum kelibat Sarah dicari semula. Satu keluhan panjang terlepas dari mulutnya tatkala perasan. Kelibat Sarah sudah lama menghilang bersama keretanya.
“Nak baliklah ni. Takkan nak tidur kat tengah jalan ni pulak,” sahut Tengku Ishaan Danish lemah. Lambat-lambat dia menapak mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh dari kereta Tengku Iris Dania.

Tidak perasan Tengku Iris Dania yang melihat tingkahnya diam-diam sudah mentafsir sesuatu. Kenapa Ishaan pandang Sarah macam tu sekali? Masih tak hilang-hilang lagi ke rindunya tu? Hai... Entah apa-apa ajelah budak ni, getus hati wanita muda itu. Malas sudah mahu berfikir lebih-lebih. 

No comments:

Post a Comment