Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 9 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 9
“Ini kali terakhir saya keluar dengan Tengku. Lepas ni, jangan haraplah!” Sengaja Sarah menegaskan suara. Tanda dia benar-benar maksudkan kata-kata sendiri.
Lama matanya memandang Tengku Ishaan Danish di depannya. Lelaki itu kelihatan begitu berselera menikmati hidangan tengah hari di depan mereka. Sedangkan Sarah? Huh. Baru beberapa suap makanan barat yang entah apa namanya itu masuk ke dalam tekaknya, dia sudah kehilangan selera. Namun, kerana tidak mahu membazir, dia memaksa diri juga untuk menelan walau sekadar segigit dua.
“Tengku dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Sarah meninggikan sedikit suara bila Tengku Ishaan Danish bagai tidak mendengar kata-katanya.
Cepat-cepat Sarah membawa mata ke pinggan makannya bila automatik sepasang mata helang milik Tengku Ishaan terarah tajam ke wajahnya. Bukan kerana takut, tetapi segan dengan pandangan menggoda lelaki itu.
“Kenapa? Malu dapat makan percuma atau segan keluar berdua dengan lelaki handsome macam saya ni?” soal Tengku Ishaan Danish lebih kepada mengusik. Dia kembali menyuap makan dengan riak muka sama, sebagaimana ketika mereka tiba ke restoran mewah itu tadi. Ceria dalam tenang.
“Dua-dua sekali.”
Lebar senyumanTengku Ishaan mendengar jawapan pantas gadis itu.
“Tengku tahu tak, satu syarikat sibuk mengata tentang kita berdua sekarang. Semua orang fikir saya sengaja goda Tengkulah, saya nak mengurat Tengkulah, gatal nak berlakikan anak ikanlah. Macam-macam lagilah sampai saya yang dengar ni pun dah tak tahu nak letak muka kat mana. Malu saya jadinya,” rungut Sarah sambil menikam-nikam ikan kukus di dalam pinggannya.
Membayangkan dia menikam orang-orang yang suka mengumpat tentang dirinya. Bukan dia tidak kenal, rakan-rakan sekerjanya juga. Hanya dia malas mengambil tahu walau hati dan telinga tetap menanah mendengar tuduhan yang dirasakan tidak masuk akal itu.
“Buat tak tahu dahlah. Yang awak layan jugak cakap dia orang tu buat apa? Badan kita, suka hati kitalah nak buat apa pun. Bukannya kita kacau siapa-siapa pun.”
Selamba sungguh Tengku Ishaan memberi jalan keluar. Bengang Sarah jadinya. “Tengku cakap senanglah sebab Tengku pemilik syarikat. Siapa-siapa pun tak boleh kata apa-apa pada Tengku. Masalahnya sekarang, saya ni hanya kuli kat syarikat tu, sama macam dia orang yang lain. Tak sukalah saya kalau dia orang kata saya macam-macam padahal saya tak ada niat pun nak buat perkara-perkara yang dia orang katakan tu.”
Tanpa sedar Sarah sudah meninggikan suara sekali lagi kepada ketuanya itu. Terlupa sekejap dia pada kedudukan lelaki itu di syarikat tempat dia mencari rezeki sejak beberapa lama. Bukan apa. Sarah sudah terbiasa bertingkah begitu setiap kali berhadapan Tengku Ishaan Danish. Biarpun lelaki itu sudah jauh berubah, namun di mata dan hati Sarah, kedudukan lelaki itu tetap sama seperti dulu di hatinya.
Actually Sarah, kalaupun awak tak ada niat nak goda atau mengurat saya, awak dah memang buat semua tu pun pada saya. Bukan saja sekarang, tapi sejak saya masih di bangku sekolah lagi awak dah goda saya. Malah awak dah curi hati saya pun. Kalau tidak, mustahil saya akan rindukan awak sampai ke hari ini.”
Tidak berkedip seketika kelopak mata Sarah mendengar kata-kata Tengku Ishaan Danish yang kedengaran serius itu. Terasa akalnya tersejat seketika sebelum Sarah merengus halus kemudiannya.
“Tengku tolonglah, jangan nak buat lawak kat sini boleh tak? Saya serius ni Tengku, sangat serius. Sebolehnya saya tak mahu orang kata apa-apa lagi tentang saya dengan Tengku. Cukuplah selama ini orang kata saya baik dengan keluarga Tengku sebab nak menumpang kesenangan Tengku sekeluarga. Tapi kali ini, saya rasa tuduhan dia orang tu melampau sungguh. Mustahil sangat saya nak mengurat apalagi menggoda Tengku. Ramai lagilah perempuan kat luar sana tu yang sesuai jadi isteri Tengku.” Sarah mengeluh dalam marahnya.
Kepalanya turut ikut menggeleng. Kesal dengan apa yang didengar telinganya kebelakangan ini. Dia pura-pura tidak ambil peduli, tapi sampai bila dia harus berbuat begitu jika hatinya semakin tercalar dari hari ke sehari?
“Kalau macam tu, awak kahwin saja dengan saya. Selesai masalah,” lamar Tengku Ishaan Danish tiba-tiba.
Romantis kedengarannya, namun berjaya membulatkan mata Sarah serta-merta. Pandangan penuh harap Tengku Ishaan Danish dibalas dengan rengusan marah.
“Tengku, saya nak selesaikan masalah, bukannya nak menambahkan masalah. Saya cakap betul-betullah Tengku, bukannya main-main. Tahu tak?” Tanpa sedar Sarah kembali meninggikan suara.
Hati yang sedia geram terasa bagai dipulas-pulas. Senang sungguh dia bagi buah fikiran ya? Kalau boleh pakai tak apalah jugak. Ini jangankan nak pakai, telinga aku yang dengar ni pun dah berbulu jadinya, tahu!
“Saya tak kata saya main-main Sarah. Saya cakap perkara yang betul. Susah-susah sangat, awak kahwin saja dengan saya. Tak akan ada siapa pun yang berani mengata awak apa-apa lagi. Kalau berani jugak, cubalah. Kalau sampai ke pendengaran saya, tahulah saya macam mana nak ajar orang-orang macam tu.”
Tersandar terus tubuh Sarah ke kepala kerusi. Lemah seketika dia jadinya. Tidak tahu bagaimana dia nak mentafsirkan rasa hatinya ketika ini melihatkan reaksi tidak dijangka Tengku Ishaan Danish. Mudah sungguh lelaki itu membuat keputusan. Bagai mereka sedang bercakap tentang perkara remeh-temeh sahaja. Sedangkan Sarah? Huh!
“Tengku ni memanglah. Dari dulu sampai sekarang masih tak ubah-ubah perangai gengster Tengku tu. Tahu nak lanyak orang aje. Bawa-bawalah bertaubat sama Tengku. Jangan tahu nak buat orang aje. Marah sikit, lanyak orang tu. Geram sikit, lanyak pulak orang ni. Kalau macam tu, sampai mati pun masalah takkan selesai,” marah Sarah. Hilang terus seleranya yang sememangnya sudah tiada sedari awal.
“Ooo... Sebab saya gengsterlah awak tak nak kahwin dengan saya, begitu? Agaknya, kalau saya bukan gengster, awak terimalah saya jadi suami awak? Baik. Kalau macam tu, saya akan ubah diri saya sepertimana yang awak nak asalkan awak jadi isteri saya. Boleh?” Gerak tangan Tengku Ishaan Danish ikut terhenti.
Tak jadi dia nak meneruskan suapan melihatkan tingkah Sarah ketika ini. Tertekan semacam padahal isi percakapan mereka hanya biasa-biasa. Argh, perempuan, masalah remeh pun boleh jadi masalah negara di mata dia orang. Hati lelakinya membuat kesimpulan sendiri.
“Bukanlah begitu maksud saya. Saya sendiri tak mahu Tengku berubah kerana saya sebab perubahan begitu bukan datangnya daripada hati yang ikhlas, tapi lebih kepada mengharapkan balasan. Hah, satu lagi masalah saya. Dulu Tengku tak suka pada perempuan. Tapi sekarang, perempuan penuh sekeliling pinggang Tengku sampai pening kepala saya nak jawab semua panggilan awek-awek Tengku tu.” Sarah mengungkit keluar pula masalah lain.
Alang-alang mereka sedang bercakap tentang masalah yang sedang dihadapinya, apa salahnya kalau dihamburkan kesemua masalahnya sekali gus?
“Dia orang tu hanya awek Sarah, bukannya isteri saya,” sahut Tengku Ishaan Danish selamba sebelum kembali menyambung makan dengan penuh selera. Tidak peduli Sarah sudah menjeling geram kepadanya.
“Ya? Habis tu, Dellina tu siapa? Awek jugak ke? Bukan buah hati pengarang jantung Tengkulah, begitu?” perli Sarah sinis.
Bengang dia setiap kali mengingatkan tingkah gadis seksi itu. Sombong satulah, bahasa yang digunakannya tu pun, ya Rabbi. Macam mulut tong sampah yang dah bertahun-tahun tak dicuci bersih! Merengus Sarah melihat Tengku Ishaan Danish mengangguk selamba.
“Buah hati pengarang jantung saya cuma seorang Sarah, iaitu awak.”
Dalam marah, mahu saja Sarah ketawa berguling-guling mendengar kata-kata lelaki itu. Sempat lagi dia buat lawak ya. Aku dikatanya buah hati pengarang jantung dia. Kalau betullah aku ni buah hati dia, dah lama rasanya aku sembelih dia buat masak hati goreng kunyit! Buat apa ada buah hati kalau nak bagi jantung aku tak tenang aje selalu! Hatinya menceceh sendiri. Tidak sedar pada pandangan serius lelaki itu terhadapnya.
Sarah kembali bersuara setelah segugus nafasnya dihela panjang. Sekadar mencari kekuatan untuk terus menyambung kata setelah terbantut dek kata-kata bersahaja lelaki itu sebentar tadi. “Tengku tolonglah, tak payah nak buat gurau perkara-perkara macam ni. Saya tengah serius okey, saya bukan main-main.”
“Saya pun serius Sarah. Sangat serius kalau awak nak tahu. Kalau tidak buat apa saya ajak awak kahwin.” Tengku Ishaan Danish masih mengulang lamarannya buat kali seterusnya.
Dia tidak punya niat melamar Sarah dalam keadaan begini, namun apa salahnya dia mencuba. Manalah tahu Sarah akan menerima walaupun daripada tingkah Sarah, jelas gadis itu tidak dapat menerima kata-katanya. Matanya merenung Sarah menepuk dahi sendiri. Gadis itu tersenyum menggeleng.
“Tengku, dari dulu sampailah sekarang, status Tengku di hati saya ni tetap sama saja macam tu. Tak pernah lebih atau kurang daripada itu. Lagi satu, saya dah bertunang tau. Tak lama lagi aje saya nak kahwin. Nampak cincin ni? Hah, nilah cincing tunang saya.” Beria-ia Sarah menayang cincin belah rotan yang tersarung cantik di jari manisnya. Terluah lagi rengusan Sarah bila lelaki itu mencebik sinis.
“Setakat cincin mainan budak-budak tu, orang lain bolehlah tertipu. Kalau awak jadi isteri saya Sarah, jangankan cincin, awak nak salut satu badan dengan emas pun tak ada masalah bagi saya. Tapi jangan haraplah awak boleh keluar rumah lepas tu. Confirm saya tak bagi punya.” Ternyata Tengku Ishaan Danish tidak percaya dengan kata-kata gadis itu.
Sarah dah bertunang? Huh. Bila masanya pulak dia jadi tunangan orang kalau setiap kisah hidup dia ada dalam pengetahuan aku? Hati Tengku Ishaan Danish memang langsung tidak percaya.
“Kenapa pulak?” Dalam bengang, Sarah masih ada rasa mahu melayan kata-kata lelaki itu.
“Karang ada pulak yang merompak awak. Kalau setakat merompak, saya tak kisah, tapi saya kisah kalau awak disentuh orang lain. Itu cukup pantang bagi saya,” tegas Tengku Ishaan Danish.
Kelihatannya lelaki itu begitu serius dengan kata-katanya walau pada Sarah, kata-kata lelaki itu hanya satu gurauan semata-mata. Lalu kepala Sarah tergeleng lagi. Sah. Memang buang masa aku saja kalau aku terus melayan perangai sengal dia ni. Hatinya merengus.
“Huh. Sudahlah Tengku, malas saya nak layan cakap-cakap merapu Tengku tu. Tengku dah habis makan, kan? Jom balik pejabat. Nanti lambat pulak saya nak solat,” kata Sarah terus menolak pinggannya yang masih berbaki banyak. Bukan mahu membazir, tetapi entahlah. Seleranya benar-benar mati ketika ini.
“Kalau ya pun nak sambung kerja, makanlah dulu. Takkan nak biarkan perut tu kosong aje sampai ke petang nanti?” suruh Tengku Ishaan Danish.
Dia ikut serta menolak pinggan kosongnya ke tengah meja. Tidak seperti Sarah. Seleranya sentiasa ada setiap kali duduk berdua dengan gadis itu. Bertambah-tambah seleranya bila Sarah tersenyum atau tertawa. Terasa semakin lazat pula hidangan di depan mereka biarpun hanya dia seorang yang berasakan begitu. Sungguh!
“Tak apalah Tengku. Nanti kalau saya lapar, saya makan ajelah biskut kering yang ada kat dalam pantri pejabat tu,” sahut Sarah antara mahu dengan tidak saja. Dia terus bangun.
Dia sebenarnya sudah terlalu bosan untuk terus berada di ruang lingkup restoran itu. Bukan sahaja tidak selesa dengan suasana mewahnya, tetapi juga tidak selesa dengan renungan lelaki yang bersandar elok di depannya itu. Entah apa yang menarik di mata lelaki itu tentang dirinya, Sarah tidak tahu. Yang Sarah tahu, selama seminggu dia menjadi setiausaha lelaki itu mata helang milik lelaki itu tidak pernah tidak merenung wajahnya setiap kali mereka bersua muka. Dia rimas, tapi apa yang dia boleh buat hanyalah pura-pura tidak peduli. Tidak pun melarikan pandangan sendiri. Itu sahaja.
“Kalau macam tu, kita singgah kat kedai makan depan syarikat sebelum balik pejabat nanti. Tapau apa yang patut,” sahut Tengku Ishaan Danish sambil melambai tangan ke arah pelayan. Lelaki itu turut bangun setelah mengesat mulutnya dengan tisu.
“Eh, tak payahlah Tengku. Saya...”
“Saya atau awak yang bos? Jadi, patut atau tidak awak ikut arahan saya?” Tengku Ishaan Danish kembali menunjuk aura ketuanya. Tajam saja matanya merenung wajah Sarah yang jelas mahu memprotes tindakan lelaki itu.
“Tapi...”
“Kalau awak anggap saya ni bos awak, tolong ikut arahan saya sebaiknya. Kalau saya bukan bos awak sekalipun, awak tetap kena ikut arahan saya sebab saya ni bakal suami awak. Faham?” Terlongo Sarah sejenak.
“Tengku bakal suami saya? Eii... tolonglah Tengku. Jangan nak buat lawak lagi dengan ayat-ayat cintan-cintun Tengku tu boleh tak, hah? Jangankan bercinta, kita berkawan pun sekejap sangat dulu. Jadi, celah masa mana pulak kita pernah bercinta?” marah Sarah sudah berasap kepala. Pasal hal tadi pun hati aku masih belum sejuk, budak seorang ni dah tambah apinya pulak. Memang nak kena panggang dia ni!
“Sejak tujuh tahun dulu Cik Nurul Sarah Sulaiman dan saya tak main-main dengan lamaran saya tadi. Awak faham sekarang?” tegas Tengku Ishaan Danish tetap tidak jelak merenung wajah merah padam Sarah.
Bengang gadis itu dengan kata-kata yang dirasakan satu gurauan tak masuk akal daripada lelaki itu.
“Gila!” Hanya sepatah kata itu terkeluar dari mulut Sarah sebelum dia terus melangkah keluar dari ruang dalam restoran itu.
Langsung tidak menunggu Tengku Ishaan Danish yang hanya merenung gadis idamannya berlalu pergi tanpa berkalih kepadanya semula walau sekali. Ada senyuman pada wajah lelaki itu. Penuh makna.
“Aku memang gila Sarah. Aku gilakan kau! Kau aje yang tak tahu,” bisik Tengku Ishaan Danish yakin benar dengan kata-kata sendiri.


No comments:

Post a Comment