Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 5 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 5
“Saya tak peduli. Apa pun yang terjadi, saya nak kita kahwin dalam tahun ni jugak!”
Sarah merengus kuat. Tidak suka dengan kata-kata tegas Dahlan yang masih terngiang-ngiang di ruang telinganya. Baru sebentar tadi lelaki itu menelefonnya. Memberitahu tentang keputusan keluarga kedua-dua belah pihak yang telah sebulat suara bersetuju untuk menjodohkan mereka berdua dalam masa beberapa bulan ini.
Bagaimana Sarah boleh menerima sedangkan dia masih belum bersedia untuk berumah tangga? Sejujurnya, dia masih belum mahu menyandang gelaran isteri mahupun memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita yang telah bergelar puan. Bukan kerana merasakan diri masih belum layak mendapat gelaran sebegitu. Tetapi sungguh. Hatinya masih belum terfikir untuk meninggalkan zaman anak daranya dalam masa terdekat ini.
“Dahlan ni betullah, tak habis-habis dengan perangai keras kepala dia. Tahu nak menangkan diri sendiri aje. Macam mana dia nak jadi suami yang baik nanti kalau perangai keras kepalanya tu tak diubah-ubah?” Tak semena-mena, Sarah membebel sendiri.
Sakit hatinya mengenangkan tingkah ego dan keras kepala tunangnya. Sakit yang menjadikan selera Sarah untuk keluar makan tengah hari itu hilang begitu saja. Malah, ajakan Tengku Iris Dania untuk ikut serta keluar makan bersama suami wanita muda itu turut ditolak sopan. Tidak lalu tekaknya nak menelan apa-apa di waktu akalnya sibuk memikirkan masalah yang sedang dilaluinya saat ini.
“Argh! Dari aku fikir perangai Dahlan tu, lebih baik aku pergi jumpa Cherina. Sekurang-kurangnya, siap jugak satu kerja aku ni.” Malas untuk memenatkan akal, Sarah terus bangun.
Lantas dia menapak menuju ke kotak lif setelah sebuah fail di atas mejanya dicapai. Butang tingkat lif ditekan dan tak lama kemudian, Sarah sudah berada di tingkat keempat bangunan syarikat Seri Jaya Holding Berhad. Dia menepuk dahi sebaik tiba di meja kerja Cherina yang kosong.
“Ya Allah... Macam manalah aku boleh terlupa yang sekarang ni waktu lunch? Confirm sangatlah budak Cherina ni tak ada kat sini waktu sekarang,” keluh Sarah. Baru saja dia berkalih pandang, tubuhnya terlanggar seseorang.
Sorry, sorry. Saya tak sengaja.” Tergagap-gagap Sarah meminta maaf sambil menunduk kepala beberapa kali.
Dia kembali mendongak bila kedengaran suara seseorang sudah tertawa kecil seraya menyebut nama penuhnya. Jelas sekali.
“Nurul Sarah Sulaiman. Rindu saya nak tengok awak. Bertemu jugak kita akhirnya.”
Lama Sarah memerhati wajah tampan yang segak memeluk tubuh di depannya itu. Ada senyuman manis bergula pada wajah tenang itu. Macam aku kenal, tapi siapa ya? Hati Sarah tertanya-tanya sebelum dia ikut tersenyum sesaat dua kemudian.
“Tengku Ishaan Danish. Bila Tengku balik ke sini? Maaflah. Saya tak sengaja langgar Tengku tadi,” kata Sarah sopan, tetap memanggil lelaki itu dengan nama dan gelarannya sekali.
“Bila balik ke sini? Dah lama pun Sarah. Awak aje yang tak nak jumpa dengan saya. Pagi tadi saya naik ke tingkat atas, awak tak ada. Tak sangka, kat sini pulak kita akan jumpa,” sahut Tengku Ishaan Danish dengan mata yang masih tidak berganjak dari wajah ceria Sarah yang sememangnya senantiasa ceria.
Ditambah pula dengan baju kurung moden warna hijau lembut yang membalut tubuh gadis itu. Bukan saja memberi kesegaran kepada si pemakai, tapi kelihatan indah dan segar di mata lelakinya. Kehadiran tudung senada warna bajunya juga memperlihat keanggunan Sarah. Ya Allah... Dia masih tetap macam dulu rupanya. Malahan lebih cantik daripada dulu. Hati lelakinya semakin terpukau.
“Oh, Tengku ada nai atas ke tadi? Tak perasan pulak saya. Mungkin saya ke ladies kut masa tu,” sengih Sarah tetap menayang senyuman manisnya.
“Oh, ya. Tengku tak keluar makan ke? Dah tengah hari ni,” soal Sarah semula, baru perasan dengan keadaan itu.
Sesekali dia mengalih pandangan ke tubuh lelaki itu. Ya Allah... Dah jauh benar perubahannya sekarang. Jauh daripada dirinya yang pernah aku kenal dulu. Lebih baik, malah terlebih baik! Alhamdulillah. Hati Sarah mengucap syukur diam-diam.
“Baru nak keluar. Awak pulak buat apa kat sini? Nak jumpa saya?” Tengku Ishaan Danish sudah mengenyit mata kepada Sarah.
Gadis itu tersentak, namun cepat-cepat dia menggeleng dalam senyumannya.
“Saya datang nak jumpa Cherina, tapi lupa, sekarang kan waktu makan. Manalah ada manusia yang nak bekerja masa-masa begini.” Sarah menjawab tenang walau hati disentuh debaran dek reaksi tidak dijangka oleh lelaki itu sebentar tadi.
Sejak bila Tengku Ishaan Danish sudah pandai menggoda wanita, Sarah tidak tahu kerana lelaki itu telah bertahun-tahun lama hilang daripada hidupnya. Masa mampu mengubah semuanya Sarah. Lalu Sarah mengangguk diam-diam. Setuju dengan kata-kata hatinya.
“Siapa kata tak ada? Awak tu, kenapa tak keluar makan kalau bukan buat kerja?” usik Tengku Ishaan Danish, masih tidak menganjak mata dari wajah polos Sarah.
Ya Allah... Kenapalah rindu hati ini masih tidak hilang walau dia sudah berada di depan mata? Boleh lemas aku nanti dalam lautan rindu ni. Hati Tengku Ishaan Danish masih rajin bersuara sendiri. Diam-diam dia menghela nafas. Berusaha untuk tenang. Sedikit sebanyak diakui dirinya benar-benar teruja dengan penampilan gadis itu hari ini. Sopan lagi ringkas, namun berjaya menawan seluruh jiwa raga lelakinya.
“Saya dah makan dah tadi Tengku, masih kenyang lagi. Tu sebab malas nak keluar. Lagipun kalau saya lapar, saya boleh makan biskut kat dalam pantri,” beritahu Sarah jujur.
Sesekali dia mengalih mata ke arah lain. Entah mengapa selama dia mengenali Tengku Ishaan Danish, baru kali ini dia berasa tidak selesa dengan pandangan lelaki itu terhadapnya. Dulu-dulu pun dia pernah berasa tidak selesa dengan pandangan lelaki itu. Tetapi rasa tidak selesanya itu disebabkan layanan dingin dan kaku lelaki itu terhadapnya. Bukan seperti sekarang. Mesra dan ramah bagai itulah keadaan mereka selama mereka kenal sebelum ini.
Pandangan lelaki itu juga dirasakan berlainan benar saat ini. Tajam semacam! Dalam erti kata lain, lelaki itu bagai mahu menggodanya dalam diam. Sarah tidak perasan sendiri, tetapi dia yakin dengan telahannya biarpun hati cuba menidakkannya. Memikirkan itu, Sarah semakin tidak selesa. Namun, tidak pula Sarah menayang rasa hatinya itu. Dia tetap beriak selamba, seolah-olah tiada rasa yang bermain di jiwa gadisnya saat ini.
“Awak memang beginikan Sarah? Langsung tak berubah dari dulu,” luah Tengku Ishaan Danish masih tegar merenung wajah gadis itu. Dia sedar, Sarah tidak selesa dengan pandangan tajamnya, tapi dia peduli apa?
“Apa pulak saya tak berubahnya Tengku? Banyak dah perubahan saya ni. Macam Tengku jugaklah. Dulu keadaan Tengku nampak serabut aje. Rambut tu pulak panjang mengalahkan rambut orang perempuan. Siap ikat tocang lagi. Sekarang ni, badan pun dah tough, muka pun bukan main handsome. Penampilan tu tak payah katalah, bergaya sakan sampai saya sendiri pun dah tak kenal Tengku lagi. Kalau Tengku tak tegur saya tadi, confirm saya fikir model handsome manalah yang dah tersesat masuk dalam syarikat ni,” seloroh Sarah.
Dia ketawa dengan kata-kata sendiri. Perlahan-lahan ketawanya hilang bila terperasan mata lelaki itu masih utuh melekap pada wajahnya. Lelaki itu tetap juga mempamerkan tingkah bersahajanya, bagai langsung tidak terkutik dengan kata-kata Sarah. Sakit mata agaknya Tengku Ishaan Danish ni. Tu sebab dia pandang aku macam tu, fikir Sarah sekadar mahu mengurangkan rasa tidak selesanya.
“Err... Tengku kata nak keluar makan, tapi kenapa masih di sini?” soal Sarah. Sengaja dia menukar arah perbualan mereka sebelum sempat Tengku Ishaan Danish menyahut. Pura-pura menutup hati yang semakin dilambung debaran.
“Kenapa? Dah tak suka bersua muka dengan saya ke?” soal Tengku Ishaan Danish, tetap dengan senyuman menggodanya.
Melihat tingkah tidak keruan Sarah, semakin menjadi-jadi rasa hatinya untuk terus menggoda gadis polos itu. Entah mengapa, dia senang dengan tingkah Sarah ketika ini. Kelihatan comel di matanya.
“Eh. Bukanlah begitu maksud saya Tengku. Saya...”
“Sayang... kenapa lambat sangat you turun ni? Dah lama I tunggu you tau.”
Terkalih mata Sarah ke arah pintu jabatan pemasaran yang sememangnya tidak pernah ditutup rapat. Lidahnya juga ikut serta terhenti daripada terus menyambung kata. Seorang gadis berpakaian seksi serta ketat tergesa-gesa mendapatkan mereka sebelum lengan Tengku Ishaan Danish dipaut erat.
La... Awek dia ke ni? Sejak bila pulak Tengku Ishaan minat kepada kaum perempuan? Perempuan gedik pulak tu. Tak sesuai langsung! Argh, nama pun manusia. Bila-bila masa pun boleh berubah tingkah, getus hati Sarah. Malas dia mahu berfikir panjang tentang perkara yang dirasakan langsung tiada kaitan dengannya.
“Kan I dah suruh you tunggu kat bawah? Kenapa gatal kaki sangat naik sampai ke pejabat I ni?” marah Tengku Ishaan Danish.
Tegang saja wajahnya membalas pandangan menggoda Dellina. Setegang nada suaranya. 180 darjah berbeza daripada nada suara yang digunakannya ketika berbual-bual dengan Sarah sebentar tadi. Lembut mengalahkan puding karamel kesukaannya!
“Apa salahnya kalau I naik atas pun? I hanya nak jumpa dengan my lovely boyfriend I ni,” sahut Dellina. Selamba saja dia menggesel-gesel manja wajahnya ke dada lelaki itu.
Segera Tengku Ishaan Danish menolak kepala gadis itu agar menjauhinya.
“Tolong sikit ya? Tak payah you nak tunjuk perangai mengada-ada you kat sini. Dah macam kucing betina nak ajak mengawan aje I tengok perangai you tu. Gedik semacam! Nasib baik tak ada pekerja-pekerja I kat sini. Kalau tidak, buat tebal muka you aje kena kutuk kaw-kaw dengan dia orang,” kutuk Tengku Ishaan selamba.
“You! Sampai hati you cakap kat I macam tu!” Dellina sudah menghentak kaki.
Geram kerana diperlekeh di hadapan pekerja lelaki itu biarpun Sarah tidak berkata apa-apa. Bahkan riak gadis itu tetap sama. Selamba bagai tiada apa yang berlaku di depan matanya ketika ini.
“Err... Saya minta diri dulu ya Tengku? Sebelum tu Tengku Ishaan, minta tolong bagi tahu Cherina saya letak fail ni atas meja dia. Nanti saya datang ambil semula,” celah Sarah cepat-cepat mahu berlalu daripada terus tersepit antara bunga-bunga pertengkaran sepasang kekasih yang dirasakan sepadan itu.
Sarah, why not you join us for lunch today?” pelawa Tengku Ishaan Danish tiba-tiba. Tidak peduli Dellina yang memandang sudah berasap kepala.
Perempuan kampung ini diajaknya lunch sekali? Tak sesuai langsung! cebik Dellina. Meluat dia melihatkan tingkah Sarah yang dirasakan berpura-pura sopan di depannya. Nampak saja macam naif. Padahal di belakang, macam perempuan sial! Kalau tidak, takkanlah Tengku Ishaan boleh renung dia macam tu sekali. Dasar perempuan kampung tak pernah tengok cermin! Hati Dellina memaki-maki Sarah.
“Err... Terima kasih ajelah Tengku. Saya masih kenyang. Minta diri dulu ya. Assalamualaikum.” Cepat-cepat Sarah berlalu ke kotak lif sebelum menghilangkan diri dari situ seberapa segera.
Tengku Ishaan Danish yang melihat tingkah tergesa-gesa gadis itu merengus halus seraya menyapu rambut sendiri beberapa kali. Pandai pulak kau elak diri daripada aku ya sayang? Hmm... tak apa. Masa masih panjang, pujuk hatinya dengan mata tetap tidak terkalih dari kotak lif yang sudah lama tertutup pintunya.

Tidak peduli Dellina yang melihat tingkah lelaki itu semakin berasap kepala. Pandang perempuan kampung tu macam nak ditelannya hidup-hidup. Memang cari bala betullah Tengku Ishaan Danish ni!

No comments:

Post a Comment