Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 4 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 4
Morning my bestfriend,” sapa Tengku Iris Dania sebaik ternampak kelibat Sarah di meja kerjanya.
“Selamat pagi puan pengarah,” balas Sarah sengaja mengusik ketuanya itu.
So, macam mana dengan cuti? Seronok balik kampung?” soal Tengku Iris Dania sudah menempel tubuh di sisi meja gadis itu. Briefcase di tangan diletak di atas meja kerja Sarah.
“Dah nama pun cuti Iris, mestilah seronok. Ikutkan hati, tak nak aku balik ke sini lagi dah. Biar aku tinggal terus kat kampung tu sampai bila-bila,” seloroh Sarah.
Dia hanya memanggil wanita muda itu dengan panggilan yang selalu digunakannya. Dia dan Iris memang sudah terbiasa dengan keadaan itu walaupun dalam waktu pejabat. Itu pun jika hanya mereka berdua. Lainlah jika ada orang lain bersama mereka. Sarah akan kembali formal sebagaimana biasa.
“Amboi, melampau betul. Kalau kau balik ke sana, aku pergi ambil balik kau. Kau ingat aku senang-senang aje nak lepaskan kau macam tu aje? Siapa lagi yang nak tolong aku buat semua kerja setiausaha ni kalau bukan kau? Mati aku kalau kau tak ada Sarah.” Tengku Iris Dania sudah mencekak pinggang, pura-pura marah dalam senyumannya.
“Isy, ada pulak kau cakap macam tu. Ramai lagilah yang boleh gantikan tempat aku ni.”
“Dah, dah. Kau jangan nak hilangkan mood aku pagi-pagi ni dengan ayat-ayat sedih kau tu. By the way, aku lupa nak tanya kau. Kau ada banyak tenaga tak hari ni? Ada banyak kerja yang tunggu kau atas meja tu tau,” usik Tengku Iris Dania.
Wanita muda yang cantik dan gemar bergaya itu memang begitu orangnya. Suka benar menyedekahkan senyuman manisnya kepada sesiapa sahaja. Sama jugalah seperti Sarah. Kerana itulah mereka boleh sekepala sejak dulu lagi.
“Alah, aku lupalah nak beli tenaga spare sebelum datang kerja tadi,” gurau Sarah sambil menepuk dahi sendiri. Pura-pura terlupa.
“Eh, ada jual ya tenaga spare? Aku tak tahu pun. Kalau aku tahu, aku dah suruh kau beli banyak-banyak sebab aku memang nak guna banyak tenaga kau hari ni tau.” Tengku Iris Dania ikut serta melayan gurauan gadis itu.
“Kalau macam tu, aku ambil MC ajelah hari ni Iris. Mati aku kalau kau nak perah tenaga aku habis-habisan. Dahlah penat aku balik dari kampung pun tak hilang-hilang lagi ni.” Sarah sudah menayang muka sedih.
“Kau ni Sarah, aku gurau ajelah. Mati hidup balik pun aku takkan buat kau macam tulah,” sahut Tengku Iris Dania terus saja tertawa kecil seraya memeluk bahu Sarah.
“Oh ya. Lupa pulak aku. Mak aku kirim salam kat kau. Dia ada bagi kau ketupat. Aku dah panaskan, ada dalam ketuhar kat dalam pantri tu. Kalau kau nak, nanti aku hidangkan,” beritahu Sarah baru teringat tentang itu.
“Ketupat? Wau, favourite aku tu. Tak payah tunggu nanti, kau hidangkan sekarang jugak. Kita makan sama-sama dalam bilik aku.”
Tengku Iris Dania sudah menelan air liur sendiri. Terbayang-bayang di ruang mindanya ketupat dan rendang ikan sardin buatan Mak Dayah yang begitu menyelerakan. Apatah lagi jika dihidangkan dengan secawan kopi panas. Memang terbaiklah!
“Eh, kejap, kejap. Kau kenapa ya Iris? Aku tengok kau semacam aje gembiranya. Ada apa sebenarnya ni?” soal Sarah merenung lama wajah ceria Tengku Iris Dania.
Wanita muda itu memang sentiasa ceria. Cuma riak cerianya itu kelihatannya terlebih ceria hari ini di mata Sarah. Lantas Tengku Iris Dania menepuk dahi sendiri.
“Ya Allah... Lupa aku nak bagi tahu kau. Kau ingat tak Tengku Ishaan Danish, adik aku merangkap bekas pelajar kau tu? Dia dah balik ke Malaysia tau.” Nada suara Tengku Iris Dania kedengaran begitu teruja.
Sarah mengerut dahi. Cuba mengingati gerangan manusia yang telah lama hilang daripada pandangan mata dan hatinya itu. Hanya beberapa hari lepas bayangan lelaki itu kembali menusuk masuk ke fikiran Sarah. Itu pun hanya kebetulan sewaktu Sarah mengemas barang-barang di dalam bilik tidurnya di kampung.
“Maksud kau, adik kau yang belajar kat England tu dah balik ke sini?” soal Sarah beberapa saat kemudian, memandang Tengku Iris Dania mengangguk laju.
Dalam hati, Sarah bersuara sendiri. Budak gengster tu dah balik ke Malaysia? Biar betul!
“Bukan saja dia dah balik ke sini, tapi dia dah mula bekerja kat syarikat ni. Aku letakkan dia di jabatan pemasaran bagi menggantikan tempat Haji Manaf yang dah dapat tawaran kerja daripada syarikat lain tu,” beritahu Tengku Iris Dania.
Sarah terangguk-angguk faham.
“Eh, tak apalah Sarah, aku ke dalam dulu ya? Ada kerja yang aku nak kena buat sekarang. Kau jangan lupa pulak bawa ketupat mak kau tu ke dalam. Walau aku dah sarapan dengan my hubby tadi, tapi bila dengar aje pasal ketupat mak kau tu, terus lapar balik jadinya perut aku ni. Nanti kau bawa masuk tau,” arah Tengku Iris Dania.
Wanita muda itu kemudian menghilang masuk ke bilik pejabatnya yang terletak bersebelahan dengan meja kerja Sarah. Tidak perasan Sarah sudah menggeleng-geleng perlahan.
“Iris, Iris. Macam manalah badan kau tak naik kalau kau makan pun ikut sedap tekak kau aje?” Sarah tersenyum sendiri.
Sarah baru mahu melabuhkan punggung bila tiba-tiba dia bangun semula sambil menekan-nekan perut sendiri. “Aduh... Celah-celah nilah perut aku nak sakit pun. Tak pasal-pasal aku terpaksa masuk bilik termenung sekejap.”
Cepat-cepat dia menapak keluar dari ruang pejabat itu menuju ke ladies terhampir. Tidak perasan pintu lif yang terletak hanya beberapa meter dari meja kerjanya sudah terbuka luas sesaat dua sebelum itu. Tubuh tegap Tengku Ishaan Danish muncul di situ seketika kemudian. Penuh bergaya dia menapak ke meja kerja Sarah dengan dahi yang sudah berkerut-kerut.
“Bukan ke dia dah masuk kerja ke hari ni? Mana pulak perginya dia?” Buat seketika, Tengku Ishaan melilaukan mata ke sekeliling ruang luas itu.
Tiada sesiapa melainkan dia semata-mata. Sememangnya jabatan pengurusan syarikat itu tidak menempatkan mana-mana pekerja syarikat kecuali Sarah seorang memandangkan Tengku Iris Dania inginkan suasana kerja yang tenang dan sunyi tanpa kehadiran ramai pekerja di ruang itu. Hmm... boleh jadi dia dalam bilik Kak Iris, teka hatinya. Lantas Tengku Ishaan Danish segera mengetuk lembut pintu bilik pejabat Pengarah Urusan Seri Jaya Holding Berhad itu.
“Masuk.” Suara Tengku Iris Dania jelas kedengaran dari dalam. Tengku Ishaan Danish terus menapak masuk.
“La... kamu rupanya Is. Akak ingatkan Sarah tadi,” suara Tengku Iris Dania sebaik ternampak kelibat adik lelakinya. Wanita muda itu sedang sibuk meneliti fail-fail yang bertimbunan di meja kerjanya.
“Err... Sarah tak ada dengan akak ke?” soal Tengku Ishaan Danish dengan kening sudah bercantum menjadi satu. Mana pulak perginya kekasih hati aku ni? Takkan tak masuk kerja lagi kut, rengus hatinya. Dia terus melabuh punggung di depan meja kerja Tengku Iris Dania sebelum duduk menyandar sambil menyilang kaki.
“Ada ke bendanya. Dia, kan duduk kat luar tu? Dia tak ada ke kat mejanya tu?” Tengku Iris Dania masih lagi membelek-belek fail.
“Sebab tak adalah Is tanya. Dia dah masuk kerja kan hari ni?” soal Tengku Ishaan Danish, mahukan kepastian.
Kelam-kabut dia bersarapan pagi tadi semata-mata mahu menatap wajah kekasih hati. Sayang, gadis itu menghilang pula tanpa sempat mata lelakinya menatap. Kau ni betullah Sarah, saja aje nak dera perasaan aku. Hati lelaki Tengku Ishaan Danish mengeluh sendiri.
“Dah. Agaknya dia kat pantrilah tu. Ambil ketupat yang mak dia bagi pada akak. Alah, tak ke mananya dia nak pergi. Kejap lagi muncullah dia balik. Yang Is datang ke pejabat akak ni kenapa? Ada hal ke?” soal Tengku Iris Dania memandang Tengku Ishaan Danish, sudah mengerut dahi.
Wajah lelaki itu saling tidak tumpah seperti wajah arwah ayahanda mereka bila Tengku Ishaan Danish berwajah serius begitu. Hanya wajah sama, tetapi perangai mereka begitu jauh berbeza. umpama tanah dan laut sahaja. Tengku Iris Dania pasti dengan keadaan itu kerana dia sudah bergelar remaja ketika ayahanda mereka pergi mengadap Ilahi setelah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya suatu ketika dulu. Jadi, sedikit sebanyak tingkah arwah ayahanda mereka masih berada dalam ingatannya.
“Kenapa? Is tak boleh datang ke bilik akak ke kalau tak ada apa-apa?”
Tersenyum lebar Tengku Iris Dania mendengar pertanyaan adik lelaki kesayangannya. “Akak tak kata macam tu pun. Tapi elok jugaklah kamu datang sini. ada perkara yang akak nak bincangkan dengan kamu. Tapi sebelum tu, akak nak bagi tahu sesuatu.”
“Apa dia?” Hendak tak hendak saja Tengku Ishaan bertanya dengan tubuhnya sudah disandar di kepala kerusi.
Sesekali matanya mengerling ke meja kerja Sarah yang boleh dilihat dari balik bidai tingkap bilik itu. Isy... Mana perginya Sarah ni? Ambilkan ketupat ke, baru nak anyam ketupat? Lambat betullah. Hatinya membebel lagi.
“Akak rasalah Is, akak nak letak jawatan.”
Terkalih terus mata Tengku Ishaan Danish. Tepat mengenai muka tenang Tengku Iris Dania.
What? Akak nak letak jawatan? But why?” soal Tengku Ishaan Danish sedikit kelam-kabut. Aku baru masuk kerja seminggu dua, akak dah buat perancangan sendiri pulak. Mana boleh!
“Sebab akak rasa akak dah lama pegang tampuk pengurusan syarikat arwah ayahanda kita ni dik. Syarikat ni hak Is, bukan hak akak. Tugas akak hanya uruskan syarikat ni bila Is tiada kat sini dan sekarang, dah sampai masanya untuk Is duduk pulak di kerusi pengarah ni.”
“Tapi kak, Is belum bersedia nak ambil alih ke semuanya begitu saja. Is perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan suasana dan cara kerja syarikat sebelum Is berada di tempat akak.”
“Itu akak tahu. Sebab itulah akak takkan letak jawatan sekarang. Tapi mungkin dalam masa setahun dua lagi. Apa pun, semuanya bergantung pada prestasi kerjaya Is. Kalau akak tengok Is dah layak untuk gantikan akak, akak akan berhenti secara terhormat. Nanti lepas akak berhenti, bolehlah akak tunaikan impian akak pulak untuk tolong Abang Shidi kamu uruskan firma arkitek dia tu. Tak pun, akak duduk rumah aje. Makan tidur siang malam,” sahut Tengku Iris Dania tersenyum dalam selorohnya.
“Tengoklah macam mana kak. Oh, ya, Is nak minta tolong akak sesuatu. Boleh?” Tengku Ishaan Danish menggaru-garu keningnya seketika. Matanya pula merenung wajah berkerut-kerut Tengku Iris Dania. Dalam kepala, sudah terangka perancangan yang sejak seminggu lalu berada dalam ruang akalnya.
“Apa dia?”
Soalan Tengku Iris Dania menghasilkan senyuman Tengku Ishaan Danish. Lebar.

“Sarah!”
Sarah yang baru melangkah keluar dari ladies mengalih tubuh. Dia tersenyum tatkala terpandang Kak Tipah, salah seorang cleaner yang telah lama berkhidmat di syarikat itu mengamit jari ke arahnya. Wanita itu baru saja selesai membersihkan lantai di laluan koridor sempit itu.
“Ada apa kak?” soal Sarah sambil mendapatkan wanita beranak lima itu.
“Dengar-dengarnya, CEO baru kita dah masuk kerja. Betul ke?” Kak Tipah mahu tahu. Bahu Sarah ditepuk sekali.
“Yalah kut. Saya pun belum jumpa dia lagi kak.” Sarah memberitahu jujur.
“La... Ya ke? Bukankah Sarah rapat dengan keluarga Tengku Iris Dania? Mesti Sarah dah kenal dengan CEO kita tu, kan?”
Tersenyum lebar Sarah mendengar pertanyaan itu.
“Kak, Sarah dengan Tengku Ishaan Danish tu dah lama tak bersua muka. Kalau tak salah, dah hampir tujuh tahun pun. Jangankan bertanya khabar, rupa paras dia pun Sarah dah ingat-ingat lupa,” ujar Sarah langsung tidak berselindung. Dah memang begitu kenyataannya, nak kata apa lagi?
“Oh... Macam tu ke? Akak ingat Sarah selalu berhubung dengan CEO kita tu.” Kendur sekejap suara teruja Kak Tipah. Jelas kecewa dengan jawapan Sarah.
“Isy, tak adalah kak. Saya minta diri dulu ya? Ada kerja saya nak buat kat pejabat tu,” kata Sarah kemudian.
“Yalah. Eh, Sarah. Kalau jumpa dengan CEO kita tu nanti, jangan lupa bagi tahu dia, akak kirim salam perkenalan.” Kak Tipah sudah terkekek ketawa dengan selorohnya sendiri.
Sarah pula hanya melebarkan senyuman dalam anggukan. Dia bergegas ke meja kerjanya semula. Aku nak tolong kirimkan salam Kak Tipah kepada Tengku Ishaan? Samalah jugak macam dia suruh aku kirim kepala aku sendiri kepada budak gengster tu. Tak sanggup aku! Hati Sarah berkata-kata sendiri. Elok saja Sarah melabuh punggung, interkom di depannya berbunyi nyaring.
“Sarah, kau dah ambilkan ketupat aku belum?”
Sarah menepuk dahi sendiri. “Sorry Tengku Iris, saya terlupa. Sekejap saya ambilkan ya?.”
Tergesa-gesa Sarah mahu bangun ke pantri. Semua ni salah perut akulah. Tiba-tiba aje buat perangai. Tak pasal-pasal aku dah lupa pasal ketupat untuk bos aku tu, bebel hatinya.
“Tak apalah Sarah. Nanti-nanti ajelah kau ambilkan. Kau masuk bilik aku sekarang.” Suara Tengku Iris Dania kedengaran lagi.
“Baik Tengku,” sahut Sarah kembali menggunakan bahasa formal tatkala sedar masa bekerja telah lama bermula. Cepat-cepat dia bangun menapak masuk ke dalam bilik Tengku Iris Dania sebaik saja pen dan buku nota dicapai dari meja kerjanya.


No comments:

Post a Comment