Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 8 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 8
“Aduh... Sakit kepala aku hari-hari. Kalau beginilah keadaannya sampai ke hujung tahun ni, mahu aku dapat migrain sebelum sempat aku jadi setiausaha Tengku Iris semula,” rungut Sarah sendiri. Sambil itu dia mengetuk-ngetuk dahi dengan sebatang pen yang sejak tadi terselit di celah jari-jemarinya.
“Dari pagi sampailah sekarang, kerja aku hanya layan perempuan-perempuan gila tu aje. Dia orang tak tahu ke yang kerja-kerja aku banyak terbengkalai kerana aku terpaksa melayan perangai setiap sorang? Kalau dia orang guna bahasa yang elok tak apalah jugak. Ini ada yang marah-marah, siap maki hamun aku lagi bila aku kata Tengku Ishaan sibuk buat kerjalah, tak nak diganggulah. Bukan aku saja-saja nak reka semua alasan tu. Tapi dah memang itu arahan dia. Takkan aku nak bantah pulak? Eii... macam mana Cherina boleh tahan jadi setiausaha bekas ketua gengster ni pun tak tahulah aku.” Sarah merungut-rungut lagi.
Semakin panjang keluhannya tatkala terpandang timbunan fail di depannya. Selama dia menjadi setiausaha Tengku Iris Dania, tidak pernah pula keadaannya begini. Segalanya siap pada waktunya. Tapi sekarang? Huh. Serabut!
“Jom Sarah.”
Sarah terus angkat kepala. Wajah Tengku Ishaan Danish yang entah bila sudah berdiri segak di depannya dipandang sejenak.
“Nak ke mana Tengku?” soal Sarah, terpinga-pinga. Tak ada ribut, tak ada angin, tiba-tiba saja kata jom. Apa kes?
Tengku Ishaan Danish tersenyum menggeleng.
“Nak ke mana lagi cik Sarah sayang oi, kalau bukan keluar makan? Kan dah tengah hari ni? Takkan nak makan dalam pejabat pulak,” seloroh Tengku Ishaan Danish.
Dia tetap tidak lenguh menayang senyuman menggodanya kepada Sarah walau Sarah tidak pernah ambil peduli tentang itu. Manalah tahu, Sarah akan jatuh hati kepadanya hanya kerana senyumannya itu. Siapa tahu. Tengku Ishaan Danish tetap mahu mencuba nasib.
“Oh... Dah masuk tengah hari ya Tengku? Maaflah, tak perasan pulak saya,” sengih Sarah malu sendiri.
So, tunggu apa lagi. Jomlah kita keluar,” ajak Tengku Ishaan Danish lagi sambil menyeluk tangan ke dalam kedua-dua poket seluarnya. Gaya yang sering kali dipamerkannya di depan semua.
Gaya yang biasa-biasa saja di mata Sarah, tetapi kelihatan maskulin di mata perempuan-perempuan lain. Bagaimana dia mahu tertarik dengan gaya dan penampilan lelaki itu jika sejak dulu lagi Sarah sememangnya tidak pernah berminat kepada lelaki metroseksual seperti Tengku Ishaan Danish? Lain padang lain belalang, lain orang lain pandangannya. Itu jawapan Sarah jika ada yang mempertikai ciri-ciri lelaki impiannya.
“Err... Tengku keluarlah sorang-sorang ya? Saya rasa malas pulak nak keluar hari ni,” tolak Sarah lembut.
“Kenapa? Awak tak sihat? Kalau tak sihat, jom saya bawa awak ke klinik sekarang.” Penuh prihatin Tengku Ishaan Danish bertanya. Mata pula sudah membelek-belek tubuh gadis itu dari atas ke bawah, melihat andai ada sakit di mana-mana.
“Eh, bukan itu maksud saya Tengku. Sebenarnya... saya malaslah nak keluar makan dengan Tengku lagi. Dah seminggu saya kerja dengan Tengku. Seminggu ni jugaklah saya keluar makan dengan Tengku aje. Segan saya bila Tengku belanja saya makan hari-hari.” Sopan Sarah berterus terang. Tidak mahu lelaki itu berkecil hati dengan kata-katanya.
“Oh... Pasal tu aje awak tak nak keluar makan dengan saya?” Kening kanan Tengku Ishaan Danish sudah terangkat tinggi. Bibir pula sudah tersenyum manis. Bagai penuh dengan gula berbalang-balang.
Well... Kalau nak diikutkan rasa segan awak tu, saya sepatutnya lebih segan lagi tau sebab hari-hari saya minta tolong awak ajar saya siapkan semua kerja saya kat dalam bilik tu. Tapi boleh aje saya buat-buat bodoh.” Mata lelaki itu kembali menebak tepat ke anak mata Sarah.
Cepat-cepat Sarah menunduk.
“Itu lain Tengku, sebab itu memang tugas saya, membantu Tengku setakat mana yang saya mampu,” jawab Sarah dengan hati yang sudah berdebar-debar laju.
Ada penyakit hati ke aku ni? Selalu sangat hati aku bermasalah setiap kali pandang muka bos muda aku ni. Laju sangat degupnya. Kalah laju jet pejuang! Akal Sarah tertanya-tanya sendiri.
“Kalau macam tu, anggap sajalah saya belanja awak makan hari-hari tu sebagai hadiah saya kepada awak kerana membantu saya siapkan semua kerja saya.”
“Tak apalah Tengku, saya dah dapat gaji bulan-bulan. Itu pun dah cukup bagi saya.” Jujur Sarah bersuara.
So, awak tak nak keluar makan dengan sayalah hari ni?” Mata tajam Tengku Ishaan Danish tetap menikam tepat ke anak mata Sarah.
Cepat-cepat Sarah mengangguk sebelum menunduk semula. Tidak selesa untuk terus beradu pandang dengan lelaki itu.
“Baik. Saya kira sampai tiga. Kalau awak tak nak keluar makan dengan saya jugak, saya dukung awak sampai ke kereta. Lantaklah orang nak kata apa pun. Awak setiausaha saya, jadi saya ada hak untuk bagi awak apa-apa arahan sekalipun. Faham?”
“Eh, janganlah ugut saya macam ni Tengku. Tak baik tahu!” Sarah sudah merengus halus. Suka hati dia aje nak dukung aku. Ingat aku ni apa? Anak kucing? Huh!
“Apa pulak yang tak baiknya? Dah saya ajak cara baik, awak tak nak. Terpaksalah saya buat cara begitu supaya awak ikut jugak kehendak saya.”
Sarah mengeluh. Aduhai... Aku ingatkan dia dah buang tabiat suka mengugut dia tu. Masih ada lagi rupanya. Betullah dia ni. Perangai masih macam ketua gengster! rungut hati Sarah.
“Awak lupa ya Sarah, latar belakang saya?” soal Tengku Ishaan Danish bila Sarah tidak menyahut. Seakan-akan menggertak padahal dia hanya mahu memastikan gadis itu mengikut kehendaknya.
Dia nak lepaskan peluang untuk berdua-duaan dengan kekasih hatinya begitu saja? Tidak sama sekali! Kedua-dua belah tangannya sudah ditekan ke meja kerja Sarah. Menjadikan wajah mereka saling bertatapan. Hanya selang beberapa inci.
“Tapi...” Sarah cuba membantah.
“Tak ada tapi, tapi. Awak jangan buat saya rasa nak keluarkan aura gengster saya kat sini. Awak sendiri pun tahu apa yang akan jadi kalau tiba-tiba saya bertukar menjadi ketua gengster macam dulu, kan? So, awak pilih sekarang. Awak nak ikut saya secara rela atau dipaksa?”
Sarah melepas nafas. Sah! Perangai ketua gengster dia masih belum hilang. Tahu nak ikut kepala dia aje. Degil betul! rungut hatinya lagi.
“Yalah, yalah. Saya ikut Tengku keluar.” Mahu tak mahu, Sarah bangun juga sebelum menarik keluar beg tangannya dari bawah meja.
Lambat-lambat dia menapak mendapatkan Tengku Ishaan Danish yang awal-awal lagi sudah menanti di depan kotak lif. Ada senyuman lebar di pada wajah lelaki itu. Senyuman menang.

Terkocoh-kocoh Tengku Iris Dania menapak turun mengikut anak tangga. Tangan pula sibuk menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangan.
Sengaja dia tidak menggunakan lif setiap kali tiba waktu tengah hari. Itu adalah satu salah bentuk senaman ringan yang boleh dilakukan oleh wanita muda yang sibuk bekerja sepertinya. Bukan saja menjimatkan masa bahkan menjimatkan tenaga Tengku Iris Dania yang tidak berminat untuk menyertai mana-mana kelab gimnasium hanya semata-mata untuk menjaga bentuk badan agar kekal langsing sepanjang masa.
“Menyampah betullah aku tengok si Sarah tu. Tak padan umur tua, tahu nak berkepit dengan Tengku Ishaan aje siang malam. Nampak saja dia tu macam orang kampung, tapi depan Tengku Ishaan, huh. Bukan main pandai lagi dia menggoda.”
Terhenti langkah Tengku Iris Dania yang baru berkira-kira mahu menolak pintu yang berada di penghujung tangga. Telinganya dipasang dengan lebih dekat, merapati daun pintu di sebelah kanan tangga yang bersambung ke belakang bangunan syarikat.
“Itulah. Aku pun tak sangka Sarah macam tu buruk perangainya. Aku rasalah, dia yang hasut Tengku Iris supaya bagi dia bekerja dengan Tengku Ishaan. Mudahlah dia nak goda adik lelaki bos besar kita tu. Tak sedar diri tu dah layak dipanggil anak dara tua, dah elok jadi mak budak pun. Ada hati nak mengurat anak ikan sebaya kita pulak.” Seorang lagi pekerja bersuara.
“Sukalah dia, hari-hari Tengku Ishaan belanja dia makan. Eii... ikutkan hati aku ni, nak saja aku ganyang perempuan tak sedar diri tu. Dah tahu diri tu dah ada tunang, tak payahlah nak gatal-gatal mengurat Tengku Ishaan. Mentang-mentanglah dia kawan baik Tengku Iris, dia ingat Tengku Ishaan boleh tergodalah kat dia yang rupa macam orang kampung baru keluar hutan tu. Tak sedar diri betullah Sarah tu!”
“Yalah kan. Dasar perempuan kaki kikis macam tulah. Baru bekerja dengan CEO kita dah minta belanja makan hari-hari. Esok-esok entah apa lagi yang dia akan minta daripada Tengku Ishaan Danish tu pun tak tahulah. Kena pulak Tengku Ishaan Danish sendiri tak pernah berkira bab duit ni, lagilah dia suka. Nasib tunang dialah dapat perempuan tak reti nak puas dengan seorang lelaki macam si Sarah tu.”
Perlahan-lahan Tengku Iris Dania menapak pergi dari situ tatkala telefon bimbitnya kembali berbunyi.
“Abang ambil saya di tempat biasa ya,” kata Tengku Iris Dania sebelum talian telefon bimbitnya dimatikan semula.

Di cuping telinga, perbualan ketiga-tiga pekerja syarikat Seri Jaya Holding Berhad tetap terngiang-ngiang. Sarah nak menggoda Ishaan? Tak masuk akal betul! Tengku Iris Dania menggeleng perlahan sambil mengetap bibir bawahnya. Tangan pula sudah naik ke dada sendiri. Ada sesuatu rasa yang timbul di hatinya tatkala mendengar perbualan itu sebentar tadi biarpun kata-kata itu tidak ditujukan kepadanya. Rasa sakit! 

No comments:

Post a Comment