Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 10 - SUAMIKU KETUA GENGSTER

Bab 10
“Bonda tak tidur lagi?” soal Tengku Iris Dania sebaik ternampak kelibat bondanya di ruang tamu vila. Tubuh Tengku Aznah dihampiri sebelum dia duduk bersebelahan dengan wanita itu. Sama-sama menonton di ruang luas itu.
“Nak tidur apanya? Bonda tertidur lama lepas solat zohor siang tadi. Dah datang malam, susahlah nak tidur awal.” Tengku Aznah masih leka dengan program televisyen kesukaannya.
“Shidi dan anak-anak ke mana? Bonda tak nampak pun dia orang lepas makan malam tadi,” soal Tengku Aznah kemudian. Baru teringat kepada menantu dan cucu-cucunya.
“Abang Shidi tengah buat kerja kat dalam bilik bacaan tu. Anak-anak pula dah tidur. Dia orang penat sangat agaknya sebab petang tadi dia orang ada latihan ko-kurikulum kat sekolah,” beritahu Tengku Iris Dania.
“Kamu pulak kenapa tak tidur lagi? Selalunya waktu-waktu begini kamu dah lama belayar ke alam mimpi.”
Tersengih Tengku Iris Dania mendengar pertanyaan bondanya.
“Tu sebab Iris banyak kerja yang perlu dibuat di syarikat tu. Tapi sejak Ishaan ada, kerja-kerja Iris dah semakin kurang. Is banyak bantu selesaikan kerja-kerja Iris. Bolehlah Iris rehat puas-puas lepas ni,” beritahu Tengku Iris Dania, sudah mencipta angan-angan sendiri. Angan-angan yang sejak dulu telah menjadi impiannya.
“Baguslah kalau macam tu. Bonda harap kamu dapat beri tunjuk ajar pada adik kamu tu dalam menguruskan syarikat kita tu.”
Butir bicara kedua-dua beranak itu sudah beralih arah kini. Begitu juga dengan pandangan mata masing-masing. Tidak lagi pada tertumpu pada televisyen di depan mereka. Sebaliknya saling membalas pandangan.
“Pasal tu, bonda jangan bimbang. Ishaan cekap dalam mengendalikan kerja-kerjanya. Cuma dia perlukan masa untuk membiasakan diri dengan suasana kerja baru ni. Setakat ni, belum ada apa-apa masalah yang timbul memandangkan Sarah jugak banyak membantu Ishaan,” bagi tahu beritahu Tengku Iris Dania.
“Sebut tentang Sarah, bonda banyak dengar cerita daripada kakitangan syarikat tentang dia dan Ishaan. Apa betul ke seperti yang dia orang katakan tu?” Daripada pandangan wanita itu, jelas Tengku Aznah mahu tahu kebenaran tentang perkara yang baru diungkit keluar dari mulutnya itu.
“Dia orang kata apa bonda?” soal Tengku Iris Dania, pura-pura tidak tahu.
Padahal dia sudah terlebih dulu maklum. Bukankah dia Pengarah Urusan Seri Jaya Holding Berhad? Kalau dia sebagai ketua syarikat tidak tahu apa-apa tentang kegiatan yang berlaku di dalam organisasi sendiri, baik dia letak jawatan sahaja. Biarpun perkara yang berada dalam pengetahuannya itu hanyalah perkara remeh-temeh.
“Bonda dengar-dengar, ada orang kata Sarah cuba pikat Ishaan. Tapi bonda tak percaya langsung dengan cerita karut tu. Bonda kenal Sarah bukan sehari dua. Sejak dia berkawan dengan kamu di sekolah menengah lagi. Dia pun dah macam anak bonda sendiri pada bonda. Cuma bonda nak tahu, kenapa khabar-khabar angin macam ni boleh tersebar dalam syarikat kita? Apa pulak kata orang luar kalau khabar-khabar buruk begini sampai ke pengetahuan mereka?” Tegas Tengku Aznah bersuara.
Jelas dia tidak senang dengan khabar yang sudah sampai ke pendengarannya itu. Biarpun dia sudah lama menyerahkan tampuk pemerintahan syarikat kepada Tengku Iris Dania. Tidak bermakna Tengku Aznah akan terlepas pandang dengan semua perkara yang berlaku di syarikat hasil titik peluh dia dan arwah suaminya itu. Sekali-sekala Tengku Aznah akan turut ikut masuk campur dalam sesetengah perkara bila dirasakan perlu.
“Semua cerita tu memang tak betul bonda. Biasalah pekerja-pekerja kita tu. Ada aje tak senang duduk melihat Ishaan dan Sarah rapat semacam. Padahal dia orang tak tahu. Ishaan dan Sarah tu memang dah lama kenal. Dah macam adik-beradik pun. Tambahan pulak Sarah dah jadi setiausaha Ishaan sekarang. Lagilah masing-masing bengkak hati tengok Ishaan usung Sarah ke sana sini. Tapi itu kan dah jadi tugas Sarah sebagai setiausaha. Selama dia jadi setiausaha Iris pun, dia buat perkara yang sama jugak. Dia orang tu saja yang sengaja nak buruk-burukkan nama Sarah.”
Tengku Iris Dania tak bermaksud mahu menangkan Sarah. Dia juga seperti Tengku Aznah, cukup kenal dengan diri gadis itu. Sarah nak menggoda Ishaan? Dunia bertukar jadi empat segi pun belum tentu Sarah akan berbuat demikian. Tengku Iris Dania sangat pasti tentang itu.
“Itu bonda pun tahu, tapi bonda tak suka bila semua ni terjadi. Kalau boleh, bonda tak mahu nama keluarga kita busuk gara-gara perkara yang tak masuk akal ni. Kalau boleh...”
“Apa yang tak masuk akalnya bonda?” sampuk Tengku Ishaan Danish.
Tiba-tiba saja lelaki itu sudah terpacak di depan muka pintu utama vila keluarganya. Tanpa dipelawa, lelaki itu menapak masuk. Lantas duduk menyandar di sofa seraya melepas lelah. Penat setelah seharian menghabiskan masa di luar demi menguruskan syarikat yang semakin berkembang pesat.
“Kamu ni dari mana Is? Dah hampir tengah malam begini baru balik,” tegur Tengku Aznah. Lama matanya memandang anak lelakinya yang sudah tersandar lemah di kepala sofa. Jelas lelaki itu keletihan.
Begitu pun, haruman minyak wangi lelaki itu masih mampu dihidu hidung Tengku Aznah. Tengku Ishaan Danish dan penampilan kemasnya, sememangnya tidak boleh dipisahkan sejak lelaki itu melanjutkan pelajaran ke England tujuh tahun lalu. Sesuatu yang luar biasa di mata Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania pada mulanya. Kini mereka sudah lali dengan keadaan itu.
“Pergi mana lagi bonda kalau bukan jumpa klien syarikat? Is ada perjumpaan dengan dia orang di Shah Alam tadi,” beritahu Tengku Ishaan Danish.
“Kamu pergi seorang?” soal Tengku Iris Dania pula. Matanya ikut memandang Tengku Ishaan Danish yang menggeleng perlahan.
“Is mana boleh pergi mana-mana tanpa setiausaha Is tu kak. Kalau bukan dia yang nak temankan Is, siapa lagi,” sahut Tengku Ishaan Danish sambil melonggarkan tali lehernya. Rimas!
“Bonda dengar banyak khabar angin tentang kamu dan Sarah akhir-akhir ni.”
Terkalih mata Tengku Ishaan Danish ke wajah Tengku Aznah. Kelihatan wanita itu mahukan penjelasan daripadanya. Penjelasan yang dia pasti berkaitan dengan perkara yang sedang diperkata wanita itu dan Tengku Iris Dania tadi.
“Maksud bonda?” Tengku Ishaan Danish sengaja buat-buat tidak faham.
Dia tahu, lambat-laun perkara itu pasti akan sampai ke pengetahuan Tengku Aznah. Tapi Tengku Ishaan Danish peduli apa? Dia sudah menurut kehendak wanita itu untuk sama-sama memajukan syarikat milik Tengku Aznah suami isteri dengan Tengku Iris Dania. Jadi, wanita itu tiada hak untuk menghalangnya daripada melakukan apa-apa yang dia mahu lakukan pula. Itu kata hati Tengku Ishaan Danish.
“Bonda tahu dan bonda yakin, Sarah takkan buat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah dia dan keluarga dia. Jadi, bonda harap kamu juga boleh contohi dia dalam bab ni Is. Bonda tak mahu kamu buat sesuatu yang boleh memalukan nama kita sekeluarga. Kalaupun khabar-khabar angin yang sedang bertiup kencang dalam syarikat itu tak benar, bonda tetap nak kamu ingat. Sekali maruah dan nama kita tercemar, sukar untuk kita meraih kepercayaan orang semula.” Peringatan Tengku Aznah kedengaran tegas walau lembut.
“Cara bonda cakap macamlah Is dah buat benda-benda tak elok dengan Sarah,” sahut Tengku Ishaan antara dengar dengan tidak.
Malas sebenarnya mahu bercakap tentang perkara remeh-temeh begitu. Dia sendiri bukan tidak pernah dengar tentang semua itu. Tapi peduli apa dia dengan mulut manusia lain? Hidup dia, suka hati dialah nak buat apa pun!
“Bonda tak tuduh kamu. Tapi bonda tak mahu hanya kerana khabar-khabar tak elok ni, kita sekeluarga dapat malu. Kalaupun kamu tak peduli tentang diri kamu, sekurang-kurangnya kamu harus tolong jaga nama Sarah. Apa kata keluarga tunang dia kalau dia orang tahu tentang khabar angin ni nanti?”
Terkalih terus pandangan Tengku Ishaan Danish ke wajah serius bondanya. Tersentak dengan kata-kata akhir wanita itu.
“Sarah dah bertunang?” Spontan soalan itu terluah dari mulut Tengku Ishaan Danish dengan keningnya sudah berkerut-kerut.
“Jadi, betullah Sarah dah bertunang?” tekan Tengku Ishaan Danish sesaat kemudian tanpa sempat wanita itu menjawab pertanyaannya. J
elas dia begitu mengharapkan kepastian hingga timbul urat-urat tegang di lehernya. Wajah tenang Tengku Aznah ditatap lama, bagai mahu ditelan saja.
“Yalah. Mustahil sangat kamu tak tahu tentang perkara ni. Satu syarikat dah tahu Sarah dah bertunang dan akan kahwin tak lama lagi,” sampuk Tengku Iris Dania pula. Dia membalas selamba pandangan terkejut adik lelakinya.
“Dengan siapa? Bila dia bertunang? Bila dia akan kahwin?” soal Tengku Ishaan Danish dengan riak wajah yang begitu serius hingga menimbulkan rasa pelik di hati Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania.
Bukan mereka tidak pernah lihat Tengku Ishaan Danish berkeadaan begitu. Tapi selama perubahannya, baru kali ini Tengku Ishaan Danish beriak sebegitu. Riak yang hanya akan terbentuk bila lelaki itu didatangi rasa marah yang amat sangat. Tapi kenapa harus Tengku Ishaan Danish marah? Untuk apa? Baik Tengku Iris Dania mahupun Tengku Aznah, kedua-dua beranak itu benar-benar tidak tahu.
“Dengan lelaki pilihan keluarga dialah, tiga tahun lepas.”
“Tiga tahun lepas? Maksud bonda, dia bertunang masa Is sedang sambung pengajian masters Is?” Suara Tengku Ishaan Danish kedengaran tinggi. Hilang sudah rasa hausnya. Rasa penatnya apatah lagi, langsung tidak terasa.
Wajah milik Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania pula menjadi mangsa renungan tajamnya. Silih berganti hingga kecut perut sejenak kedua-dua wanita itu jadinya. Bagai mereka pula yang menjadi pesalah di mata lelaki itu ketika ini. Sekilas, bayangan dan kata-kata Sarah berputar-putar semula di ruang fikiran Tengku Ishaan Danish. Ternyata gadis itu tidak bercanda bila bercakap perihal pertunangannya siang tadi. Hanya Tengku Ishaan Danish sendiri yang tidak mahu mempercayai.
“Siapa tunang dia tu? Kerja apa? Tinggal kat mana? Pilihan dia sendiri atau keluarga?” Bertubi-tubi Tengku Ishaan Danish bertanya lagi. Dia masih tidak puas hati dengan penjelasan ringkas kedua-dua beranak itu. Sangat-sangat tidak puas hati!
“Pasal tu, kamu tanyalah sendiri pada Sarah. Itu lebih baik. Sekarang ni, bonda nak cakap tentang khabar angin kamu dengan dia. Kamu Is...” Tak jadi Tengku Aznah nak menyambung bila tiba-tiba Tengku Ishaan Danish terus bangun daripada duduknya.
“Eh, kamu nak ke mana? Bonda belum habis cakap lagi ni,” kata Tengku Aznah lagi bila dilihat Tengku Ishaan Danish sudah menapak laju menuju tangga ke tingkat atas.
“Ishaan!” laung Tengku Aznah. Dia mencuba lagi, namun hampa.
Tengku Ishaan Danish tidak menyahut. Sebaliknya lelaki itu tergesa-gesa melangkah pergi dengan tangan sudah menekan-nekan telefon bimbitnya. Meninggalkan tanda tanya kepada kedua-dua wanita yang melihatkan tingkah peliknya. Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania hanya mampu saling berbalas pandangan. Sama-sama tidak mengerti.

“Kau orang cakap terus terang kat aku. Betul atau tidak Sarah dah bertunang, hah? Cakap!” tengking Tengku Ishaan Danish.
Dengan pakaian yang masih belum bertukar sedari tadi, dia mundar-mandir di depan kedua-dua orang suruhannya. Dia tidak betah melakukan apa pun saat ini selagi dia tidak tahu kedudukan sebenar perkara itu. Sungguh dia tidak mampu berbuat apa-apa, walau untuk bernafas dengan tenang sekalipun.
“Betul Tengku. Dah tiga tahun Cik Sarah bertunang dengan lelaki pilihan keluarga dia,” jawab salah seorang daripada orang suruhannya dengan mata yang masih tertala ke arah hamparan rumput di laman vila Tengku Aznah.
Masing-masing tidak berani bertentang mata dengan Tengku Ishaan Danish yang sudah serupa singa kelaparan ketika ini. Marah tidak terhingga!
“Habis tu kenapa tak bagi tahu aku pasal hal ni? Kenapa kau orang sembunyikannya daripada aku? Bukankah aku dah pesan, semua perkara yang berkaitan dengan Sarah harus sampai ke pengetahuan aku walau sebesar hama sekalipun. Kau orang ni buat kerja ke tidak sepanjang aku kat luar negara dulu? Buat ke tidak?” Tengkingan Tengku Ishaan Danish melangsing tinggi. Hatinya benar-benar dilanda puting beliung ketika ini. Wajah takut-takut orang suruhannya dipandang lagi.
Lantas Tengku Ishaan Danish mengucap istighfar beberapa kali seraya melepas nafas panjang. Dia cuba menghalang diri sendiri daripada terus-terusan diresapi nafsu marah kerana dia tahu, marah hanyalah tingkah syaitan dan sebagai manusia, kemarahan itu hanya membinasakan. Tapi untuk dia mengawal sepenuhnya perasaan itu, dia masih dan akan terus mencuba. Jika tidak, dia pasti, kedua-dua lelaki yang masih tunduk mengira helaian rumput di depannya itu sudah lama mendapat habuan setimpal.
Mujur juga hanya mereka bertiga berada di laman luas vila Tengku Aznah. Jadi, suara halilintar Tengku Ishaan Danish tidak menembusi segenap ruang dalam vila itu. Tapi buat masa ini Tengku Ishaan Danish tidak peduli dengan semua itu. Apa yang dia tahu, dia tidak suka bila mana kesayangannya menjadi milik orang lain. Sudahlah begitu, tanpa pengetahuannya pula tu! Dia sangat-sangat tidak suka!
“Kami bukan tidak mahu bagi tahu Tengku, tapi kami tak mahu tumpuan Tengku terhadap pengajian Tengku terganggu. Kami bimbang kalau-kalau Tengku ambil keputusan untuk berhenti belajar sedangkan Cik Sarah berharap Tengku akan dapat membawa pulang segulung ijazah dan masters selepas Tengku berjaya menamatkan pengajian.” Lembut, namun tergetar-getar salah seorang daripada mereka memberi penjelasan.
Memang itulah niat mereka menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan ketua mereka itu. Bukan mereka tidak kenal dengan tingkah Tengku Ishaan Danish. Apa saja lelaki itu mampu lakukan asalkan segala keinginannya tercapai biarpun cara yang digunakannya itu menyakitkan orang lain.
“Huh! Alasan. Kau orang sendiri pun tahu kan, betapa bermaknanya Sarah pada aku. Kau orang boleh lagi buat aku macam ni? Memanglah kau orang ni, tak boleh diharap langsung!” marah Tengku Ishaan Danish sudah bercampur aduk dengan rasa kesal.
Namun, nada suaranya tidak lagi sekeras tadi. Sedikit sebanyak alasan yang diberikan oleh orang suruhannya itu mampu memudarkan sedikit rasa amarahnya. Sedar dengan kebenaran kata-kata mereka.
“Maaf Tengku, tapi kami dah jaga Cik Sarah sepertimana yang Tengku suruh. Kami tak pernah tinggalkan Cik Sarah walau ke mana pun dia pergi,” sahut orang suruhannya jujur.
Amanah yang ditinggalkan lelaki itu kepada mereka tidak pernah mereka lupa walau seketika. Bagaimana mereka harus lupa sedangkan lelaki itulah yang banyak membantu kehidupan mereka selama mereka berkhidmat di bawah arahan lelaki itu?
“Hurm... Jadi kau orang tahulah siapa tunang dia tu?” soal Tengku Ishaan Danish semula beberapa saat kemudian.
Hati yang sedia panas diredakan lagi dengan panahan istighfar seberapa banyak yang mungkin. Matanya memandang semula kedua-dua orang suruhannya yang mengangguk hampir serentak.
“Tahu Tengku. Semua maklumat pasal lelaki tu ada dalam pengetahuan kami. Malah apa yang dia sedang lakukan pun kami tahu. Kalau Tengku nak, kami boleh bagi tahu semuanya pada Tengku bila-bila masa saja.”
Tengku Ishaan Danish mengangguk-angguk kecil. Dia melepas nafas panjang kemudian.
“Tak apalah. Buat masa sekarang aku tak nak ambil tahu apa-apa pasal lelaki tu. Cuma aku nak tahu satu perkara. Sarah terima lelaki tu sebab terpaksa atau dia sendiri cintakan lelaki tu?” Terasa berat untuk Tengku Ishaan Danish meluah soalan itu, namun dipaksa juga agar terlontar keluar dari tekaknya.
Bagaimana dirinya tidak terasa berat andai hati sendiri terlebih berat untuk mendengar jawapannya?
“Rasanya, dia dipaksa Tengku. Mengikut apa yang kami tahu, keluarga Cik Sarah banyak terhutang budi pada keluarga tunangnya tu.”
Terasa lapang jiwa Tengku Ishaan Danish mendengarkan jawapan yang memang sangat-sangat diharap-harapkannya itu. Lega yang amat!
“Maksudnya?” Tengku Ishaan Danish kembali berlagak tenang biarpun di hati seribu kesyukuran sudah diucapkan. Alhamdulillah. Hati Sarah masih belum dimiliki sesiapa. Girang jiwanya semula mengingatkan keadaan itu.
“Tanah tempat keluarga Cik Sarah tinggal sekarang tu sudah digadaikan kepada keluarga tunangnya untuk melangsaikan hutang-hutang arwah ayah Cik Sarah. Kiranya, mereka sekeluarga macam hidup menumpang aje di tanah tu sekarang. Mengikut syarat perjanjian, Cik Sarah harus berkahwin dengan tunangnya itu pada masa yang sudah ditentukan untuk membolehkan mereka sekeluarga terus tinggal di situ. Jika tidak, Cik Sarah sekeluarga takkan punya apa-apa hak lagi ke atas tanah tu,” jelas orang suruhan Tengku Ishaan Danish lagi. Kali ini dengan nada yang lebih yakin memandangkan kemarahan Tengku Ishaan Danish sudah kelihatan agak surut, walau tidak sepenuhnya.
“Jadi, bilanya dia orang akan kahwin?” soal Tengku Ishaan Danish lagi.
Dalam kepala, wajah mendung Sarah terbayang-bayang semula. Patutlah dia selalu termenung. Banyak fikir pasal masalah keluarga yang tak pernah-pernah selesai rupanya. Tidak semena-mena hati Tengku Ishaan Danish dijentik rasa kasihan. Kasihan mengenangkan nasib hidup Sarah sekeluarga yang sememangnya sejak dulu berada dalam pengetahuannya. Hanya dia yang berlagak seolah-olah tidak tahu apa-apa bila berada bersama gadis itu.
“Kalau tak salah, dalam masa dua tiga bulan ni. Tapi tak tahulah jadi ke tidak sebab Cik Sarah macam mahu tak mahu aje nak kahwin dalam masa terdekat ni.”
Lalu kepala Tengku Ishaan Danish terangguk lagi.
“Ada apa-apa lagi tentang Sarah yang aku tak tahu?” soal Tengku Ishaan Danish kemudian. Wajah orang-orang suruhannya ditatap dengan penuh teliti. Mencari kepastian.
“Tak ada Tengku. Itu saja satu-satunya perkara yang kami sembunyikan daripada Tengku.” Jujur orang suruhannya memberitahu.
“Betul ni?” Tengku Ishaan Danish masih kurang yakin.
Biarpun kedua-dua orang suruhannya yang begitu setia dan jujur selama berkhidmat dengannya, Tengku Ishaan Danish tetap menyimpan sedikit rasa ragu-ragu terhadap mereka kerana dia sedar setiap manusia boleh berubah hati dan tingkah bila-bila masa sahaja.
“Sumpah Tengku.”
Terbentuk senyuman lebar Tengku Ishaan Danish mendengar pengakuan itu. Lantas Tengku Ishaan Danish kembali mengangguk. Sedang akalnya sudah terfikir sesuatu. Sesuatu yang dia yakin, dapat memberikan dia kebahagiaan yang selama ini diangankannya. Tidak saja kepada dia, tetapi juga kepada Sarah. Diam-diam, dia tersenyum sendiri. Yakin dengan perancangan yang tiba-tiba muncul di kepala.

Dia mahu goda Sarah habis-habisan. Itu perancangannya!

3 comments: