SUASANA sekitar begitu sunyi. Hanya kedengaran
bunyi aliran air yang mengalir tenang. Desiran angin yang bertiup perlahan
menambahkan rasa damai di sekitar kawasan sungai yang sepi. Tenang lagi
mengasyikkan. Itu yang dirasai jiwa lelaki Datuk Zafran saat kakinya memijak
salah satu batu besar yang ada di tebing tinggi itu. Perlahan-lahan nafas
panjangnya dihembus keluar.
Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki
ke sungai itu. Sudah bertahun-tahun rasanya. Kali terakhir dia ke situ hanyalah
ketika dia masih muda remaja. Itu pun kerana dia ingin melepas rindu kepada
kekasih hatinya. Selepas itu, dia tidak lagi pernah ke situ. Bukan sahaja tidak
berkesempatan, malah hati lelakinya sendiri tidak pernah ada rasa untuk ke
sungai yang penuh kenangan itu lagi.
Boleh jadi kerana kekecewaan yang
pernah dirasakan ketika kehilangan gadis idaman menjadikan dia tidak lagi
berminat untuk menjejakkan kaki ke tempat yang pernah menjadi tempat perjumpaan
mereka itu. Entah kenapa tiba-tiba dia terasa mahu ke situ semula petang ini
padahal dia sendiri sedar, dia perlu mengejar masa yang tidak pernah menunggu
sesiapa. Walaupun sesaat.
Datuk Zafran baru ingin mencecah kaki
ke dalam air tatkala telefon bimbitnya menjerit nyaring. Pantas dia menyeluk
poket. Alat komunikasinya itu dikeluarkan seraya menekan butang menjawab.
“Ya, Helda. Ada apa awak telefon saya
petang-petang begini?” soal Datuk Zafran setelah menjawab salam perempuan itu.
“Maaf mengganggu, Datuk. Saya hanya nak
ingatkan Datuk tentang perjumpaan Datuk dengan ahli-ahli lembaga pengarah
syarikat esok pagi. Adakah Datuk akan datang atau Datuk nak saya hantar wakil
bagi pihak Datuk nanti?”
Datuk Zafran tersenyum mendengar
pertanyaan penuh hormat setiausahanya. Senang dengan sikap Helda yang
benar-benar bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
“Pasal tu awak jangan bimbang. Saya
sendiri akan hadirinya esok pagi. Sekarang ni pun saya dalam perjalanan pulang
ke Kuala Lumpur. Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa malam nanti saya akan
sampai ke sana,” sahut Datuk Zafran tegas sebagaimana biasa.
“Maknanya urusan Datuk dengan klien
syarikat di Kuantan tu dah selesai sepenuhnyalah?” Helda bertanya untuk
kepastian.
“Alhamdulillah. Semuanya dah pun
selesai, Helda. Hanya menanti wakil dia orang datang bertemu kita pula di Kuala
Lumpur nanti.”
“Okey, kalau macam tu saya jumpa Datuk
di syarikat esok pagi.” Helda memberi kata putus.
Datuk Zafran hanya mengiakan sebelum
mematikan talian usai Helda memberi salam. Telefon bimbit di tangan disimpan
semula ke dalam poket. Jarum jam di pergelangan tangan dipandang sekilas.
Melihat arah jarum, tak jadi Datuk Zafran nak merasai kesejukan air sungai itu.
Sebaliknya dia bergegas turun dari batu tempatnya berada.
Baru saja kakinya mencecah tanah
tebing, matanya terpandang sesuatu di pinggir sungai. Dia terkedu sesaat.
Dipicing anak matanya kemudian. Cuba melihat sebaik mungkin kelibat manusia
yang tiba-tiba kelihatan di situ. Entah dari mana gerangan manusia itu timbul,
tidak pula dia ketahui.
Tersentak kuat jantung Datuk Zafran
tatkala matanya terpandang wajah gerangan manusia yang sedang leka mengutip
pucuk-pucuk paku yang banyak tumbuh di situ. Bukan ketangkasan tangannya
bekerja yang menarik perhatian mata lelakinya, tetapi seraut wajah itu
mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang telah lama pergi daripada
hidupnya.
Beberapa kali Datuk Zafran menenyeh
kelopak mata sendiri. Cuba memastikan pandangan matanya tidak silap sebelum dia
mengambil keputusan untuk mendekati figura itu. Perlahan-lahan dan penuh cermat
Datuk Zafran mengatur tapak. Tidak mahu kedatangannya mewujudkan rasa kurang
senang pada empunya tubuh yang masih belum menyedari kewujudannya di situ.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, tubuh
itu terus menghilangkan diri dari situ tatkala tersedar bakul yang tersangkut
di lengannya telah hampir penuh dengan isinya. Langsung tidak berkalih ke
sekeliling. Apatah lagi kepada Datuk Zafran yang kembali terhenti geraknya.
“Ya Allah... Benarkah apa yang aku
lihat atau itu hanya ilusi aku semata-mata?” soal Datuk Zafran kepada diri
sendiri.
Beberapa kali dia mengucap panjang.
Sekadar mahu menenangkan hati yang diasak dengan pelbagai pertanyaan dek
perjumpaan yang tidak terduga itu. Lambat-lambat dia melepas nafas kemudian.
Mata pula masih tidak berkalih arah. Tetap memandang ke arah sama di mana figura
itu menghilang.
Dia kemudian kembali menapak menuju ke
keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ tatkala sedar pada keadaan
sekeliling yang mula disimbah warna senja dari celah-celah pohon rendang yang
banyak tumbuh di sekitar kawasan. Menandakan malam bakal menjelang dalam masa
sejam dua lagi.
“Baru balik kerja ke, Ellina?”
Mendengar laungan itu, Ellina
tersentak. Dia yang sedang menapak laju-laju di bahu jalan terus mengalih
tubuh. Matanya terpandang kelibat Mak Odah yang membonceng motosikal anaknya.
Serta-merta bibir Ellina mengukir senyuman manis.
“Ya, Mak Odah!” Ellina ikut melaung.
Cuba melawan deruman sebuah lori tanah yang kebetulan sedang melalui jalan
kampung itu.
“Banyak kamu dapat pucuk paku tu?
Bolehlah masak lemak pucuk paku malam nanti,” laung Mak Odah lagi.
“Alhamdulillah. Rezeki Ina dan ayah
nampaknya,” sahut Ellina gembira. Dia hanya sempat melihat Mak Odah
melambai-lambai tangan sebelum motosikal yang dibonceng perempuan tua itu
membelok masuk ke sebuah lorong kecil di penjuru jalan.
Ellina kemudian kembali menapak. Topi
besar yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Lalu topi yang sudah lusuh itu
dikepit di celah bawah lengan kirinya. Manakala tangan kanan sudah naik ke muka
sendiri, mengelap jejeran peluh yang masih menitis di sekitar muka bujur
sirihnya.
“Assalamualaikum...” ucap Ellina sebaik
tiba di pintu rumah.
Segera dia menyeluk poket seluar. Dia
mencari-cari anak kunci tatkala perasan, tidak kelihatan kelibat sesiapa di
situ melainkan dirinya sendiri. Pintu papan rumah dikuak sedikit bila menyedari
pintu itu tidak berkunci sebagaimana biasa. Ellina mengeluh kecil. Pasti ayah
terlupa nak kunci pintu lagi, getus hatinya.
Usai menapak masuk, dia terus melabuh
punggung di kerusi rotan. Raga kecil berisi bekalan yang turut dibawa bersama
saban hari diletak di tepi kaki. Lambat-lambat Ellina melepaskan nafas panjang.
Terasa letih tubuhnya setelah seharian membanting tulang empat keratnya di
ladang yang sememangnya menuntut tenaga yang bukan sedikit.
Biarpun sudah bertahun-tahun dia
melakukan kerja yang sama saban hari, namun Ellina tidak menafikan, tubuhnya
tetap disalut letih meskipun sudah terbiasa dengan kerja-kerjanya. Sambil
jari-jemari memicit-micit betis yang terasa kejang, mata Ellina merayau ke
sekitar ruang tamu rumah. Ruang sempit itu kelihatan kemas walaupun keadaannya
begitu daif.
Ruang atas dinding separuh batu separuh
papan itu hanya dilatari dengan sehelai sejadah hitam pemberian pihak sekolah
ketika Ellina memenangi pertandingan menghafaz al-Quran suatu masa dulu. Sebuah
jam dinding yang telah kekuning-kuningan permukaannya digantung tepat di atas
kepala sebuah tingkap kayu.
Itulah satu-satunya tingkap yang ada di
ruang itu. Bingkai tingkap itu sudah mereput di beberapa sudut, namun masih
boleh diguna pakai. Sehelai kain langsir hijau samar digantung bagi menghalang
cahaya matahari daripada menerobos masuk ke dalam ruang rumah. Di satu sudut
ruang tamu, beberapa buah buku dan majalah yang telah lama tidak digunakan
tersusun rapi di bawah meja tempat peti televisyen diletakkan.
Meneliti keadaan lantai, sehelai tikar
mengkuang menjadi alas bagi menutup permukaan simen yang berlubang-lubang kecil
di sana sini. Tikar mengkuang itu sendiri sudah terburai anyamannya hampir di
setiap penjuru.
Keadaan rumah kecil itu jelas menunjukkan
keadaan hidup penghuninya. Namun, Ellina tidak pernah peduli dengan semua itu.
Dia sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya dia tidak
menumpang hidup di bawah jambatan atau mengharapkan belas ihsan daripada orang
lain.
Kala matanya terpandang daun tingkap
yang berkeriut-keriut di tiup angin, Ellina bergegas bangun. Dia teringat
sesuatu. Tangannya mencapai sebatang pen yang sudah kehilangan penutupnya di
tepi meja. Sambil mencungkil-cungkil seketul tanah yang membusut kecil di satu
sudut tingkap, dia merungut-rungut sendiri.
“Apalah anai-anai ni. Tak jemu-jemu nak
buat sarang kat tingkap rumah aku ni. Dah reput pun tingkap ni dikerjakannya.
Lain kali kalau nak buat sarang tu, buatlah kat tepi dinding ke, kat luar
tingkap ke. Taklah aku penat nak buang sarang kau ni hari-hari. Apa kau tak
reti penat ke buat sarang kau ni, hah anai-anai?” bebel Ellina sendiri.
Seolah-olah sekumpulan anai-anai yang bertempiaran lari bila sarang mereka
dimusnahkan Ellina boleh membalas bicaranya.
“Tapi... Aku nak marah kau pun tak
boleh juga kan, anai-anai? Yalah, kau pun serupa macam aku. Sama-sama nak hidup
dalam dunia ciptaan Allah ni. Jadinya, tak guna juga aku halau kau keluar dari
sini pun, kan?” keluh Ellina.
Lalu pen diletak semula ke tempatnya.
Bosan sebenarnya melakukan perkara remeh itu saban hari hingga sudah menjadi
rutinnya pula berbuat demikian setiap kali pulang daripada kerja.
Ellina kemudian duduk menopang dagu di
muka tingkap. Pandangannya dibuang ke tengah-tengah jalan berdepan rumah.
Kedudukan rumahnya yang terletak di tepi jalan utama kampung membolehkan Ellina
dapat memerhati persekitaran kampung dengan begitu jelas. Halaman rumahnya
hanya ditumbuhi pokok-pokok bunga setinggi pinggang manusia biasa, sekali gus
tidak menghalang pandangan matanya yang sedia tajam.
No comments:
Post a Comment