“DATUK, ada tetamu sedang menanti Datuk kat
dalam bilik sekarang,” beritahu Helda sebaik saja Datuk Zafran melintasi meja
kerjanya. Terhenti langkah lelaki bertubuh tegap itu seketika.
“Tetamu? Siapa dia?” soal Datuk Zafran
dengan dahi sudah berkerut-kerut.
Siapa pulak yang rajin nak jumpa aku
tengah-tengah hari begini? Hatinya bertanya sendiri.
“Puan Sri Arisa, Datuk.”
Datuk Zafran mengeluh kecil mendengar
jawapan setiausahanya. “Bukankah saya dah pesan, jangan benarkan dia masuk ke
bilik saya kalau dia datang? Kenapa awak benarkan juga?”
Ada nada marah dalam suara tegas Datuk
Zafran biarpun kedengaran lembut. Kesal sebenarnya bila mendapat tahu tentang
kewujudan tetamu yang selama ini tidak pernah mendapat undangan daripadanya.
“Maaf, Datuk. Saya dah larang dia tadi,
tapi Puan Sri kata dia akan buat kecoh kalau saya tak izinkan dia masuk.”
Takut-takut Helda menerangkan walaupun dia tahu, Datuk Zafran jarang-jarang
meninggikan suara kepada sesiapa. Terutama pada pekerja-pekerjanya.
Lelaki yang sudah berusia 41 tahun, namun masih segak bergaya itu sentiasa
tampak tenang dalam apa jua keadaan. Helda tahu itu kerana dia sudah lama
bekerja dengan lelaki itu. Sejak bertahun-tahun yang lalu.
Datuk Zafran melepas nafas. Seakan-akan
cuba menenangkan hati yang dijentik rasa marah sebentar tadi biarpun dia tahu
sukar untuk dia melakukannya ketika ini. Lantas lidahnya menyebut istighfar
beberapa kali. Hanya itu ubatnya untuk memadam rasa marah yang mahu merajai
hati seorang manusia lemah sepertinya di waktu-waktu begini.
“Tak apalah kalau macam tu, Helda.
Sambunglah kerja awak semula.”
Arahan Datuk Zafran kedengaran lebih
lembut kali ini. Sedar, tidak guna dia melepas marah kepada orang yang tidak
sepatutnya. Dia terus berlalu ke biliknya bila Helda mengangguk kecil. Tidak
perasan Helda sudah menggeleng perlahan.
“Nasib Datuklah selalu kena kejar
dengan perempuan yang gilakan diri Datuk tu. Nak buat macam mana, dah Datuk ada
rupa dan kedudukan. Kalau tidak tak adalah orang gelarkan Datuk duda terhangat
di pasaran. Memang jadi buruan perempuanlah jawabnya. Tak kiralah Datuk suka ke
tidak,” bebel Helda sendiri sebelum menyambung semula tugasannya.
Lambat-lambat Datuk Zafran menolak daun pintu. Dia melangkah masuk sebelum terus
menuju ke meja kerjanya tanpa memandang sekeliling. Apatah lagi peduli kepada
Puan Sri Arisa yang ralit menyelak-yelak sebuah majalah di sofa.
Perempuan itu tersentak sebelum
mengukir senyum sebaik terpandang kelibat lelaki pujaannya.
“Eh, Zaf. Cepatnya you balik bilik? Dah
habis meeting ke? So, macam mana dengan meeting tadi? Everything okay?”
soal Puan Sri Arisa sedikit manja.
Cepat-cepat dia bangun sebelum menapak
penuh menggoda ke meja kerja Datuk Zafran. Tanpa dipelawa, dia terus duduk di
kerusi bertentangan kerusi empuk lelaki itu.
Datuk Zafran merengus halus.
“Ada apa you datang sini, Arisa?”
soalnya sedikit tegang.
Biarpun dia cuba untuk menahan rasa
marah yang tiba-tiba kembali bertandang tanpa dipinta. Liar matanya memandang
skrin komputer yang sengaja tidak dipadam sejak dia keluar bermesyuarat bersama
ahli-ahli lembaga pengarah syarikatnya tadi. Pura-pura sibuk walaupun
hakikatnya Datuk Zafran sememangnya sibuk dengan timbunan tugas yang tidak
pernah tidak ada sejak dulu.
Puan Sri Arisa tersenyum lebar. Suka
hatinya mendengar suara lelaki itu biarpun jelas kedengaran daripada nada itu,
kehadirannya tidak pernah dialu-alukan. Bukan saja hari ini, bahkan sejak
bertahun-tahun dulu lagi hingga hati Puan Sri Arisa telah lali. Seolah-olah
kebal dengan keadaan itu.
“Alah, you ni... Buat-buat tanya pulak.
I datang sebab I nak tengok youlah. Nak tahu you sihat ke tak, dah makan ke
belum. Itu saja,” ucap Puan Sri Arisa, selembut sutera yang dibasuh dengan
Softlan berkali-kali.
Tidak sedar nada sebegitu sudah muak
bagi telinga Datuk Zafran untuk di dengar. Lelaki itu tersenyum sinis. Sekejap
sahaja.
“Itu saja? Huh. Setakat nak tanya
khabar I, baik you tak payah datang. Menyusahkan diri sendiri saja. Menyusahkan
I jugak. Susah nak buat kerja, susah segala benda,” sahut Datuk Zafran agak
keras. Dijeling sekilas wajah perempuan yang gemar bergaya mengikut fesyen
terkini itu.
Umur saja dah 41
tahun, tapi bergaya macam budak-budak remaja. Tak sedar diri betul!
Sempat lagi hati Datuk Zafran mengutuk perempuan di depannya itu.
“You ni... Tak baik tau cakap kat I
macam tu. I ikhlas nak datang jumpa you.” Suara Puan Sri Arisa seakan-akan
merajuk. Muncungnya dipanjangkan. Pura-pura sedih.
Datuk Zafran hanya mencebik. Meluat.
Nak pujuk? Huh, jangan harap! Jari-jemari kasarnya pula sudah laju menyentuh
permukaan komputer. Itu lebih baik daripada menghadap wajah yang selama ini
sudah tersisih jauh daripadapada hati lelakinya.
Melihat Datuk Zafran hanya menayang
wajah selamba, hilang rasa rajuk Puan Sri Arisa. Sedar, mustahil lelaki itu
akan memujuknya. Jangankan di alam nyata, dalam mimpi pun belum tentu lelaki
itu akan melakukannya. Lantas Puan Sri Arisa kembali tersenyum lebar. Manis
mengalahkan sejag air yang dibancuh dengan sekilo gula.
“Zaf, I tahu you tak suka I datang sini
ganggu you buat kerja, tapi I...” Tak jadi Puan Sri Arisa mahu menghabiskan
ayatnya bila Datuk Zafran menyampuk tegas.
“Tapi apa, Arisa? You masih tak
faham-faham ke? Antara kita, dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Semua yang
pernah berlaku, dah lama menjadi sejarah. You kena ajar diri you untuk terima
hakikat tu, Arisa. Please!” Tegang
nada suara Datuk Zafran kali ini hingga timbul urat-urat lehernya.
Tajam matanya memandang Puan Sri Arisa
yang sudah tertunduk lemah. Sedikit terhiris dengan kata-kata lelaki itu.
“Zaf, you tak faham. Hati I...” Puan
Sri Arisa cuba bersuara semula, namun Datuk Zafran kembali mencantas.
“I tak faham atau you yang tak nak
faham sebenarnya, Arisa?” Suara Datuk Zafran meningkat satu oktaf.
“Berapa kali I nak bagi tahu you?
Mustahil antara kita akan ada apa-apa hubungan lagi. You sudah ada kehidupan
you sendiri, begitu juga dengan I. I bahagia dengan dunia I sekarang dan you,
pastinya you akan bahagia juga jika you terima semua yang you ada dengan hati
terbuka. Jangan terlalu ikut nafsu sendiri, Arisa, buruk akibatnya nanti.”
Dalam bersuara, sempat lagi Datuk Zafran memberi nasihat.
“Tapi, I mama kepada anak-anak you
Zafran! You tak boleh nak menidakkan hak I terhadap dia orang!” sergah Puan Sri
Arisa sudah teresak-esak menangis.
Sakit hatinya menahan telinga mendengar
kata-kata bekas suaminya itu. Sakit sangat-sangat walaupun dia sedar, kata-kata
lelaki itu penuh dengan kebenarannya. Kebenaran yang tidak mampu diterimanya
sampai bila-bila.
“I tak menidakkan hak you tu, tapi you
yang sepatutnya sedar. You dengan I dah tak ada kena-mengena. Kita bukan lagi
suami isteri macam dulu. Berapa kali I kena sedarkan you, Arisa, tentang semua
ini? Berapa kali lagi, hah?”
Nyata Datuk Zafran sudah tidak mampu
menahan amarahnya lagi. Tangannya sendiri sudah terhenti daripada terus
melakukan kerja. Semuanya gara-gara kehadiran perempuan yang telah lama dibuang
jauh-jauh daripada hidupnya.
“Tapi, I masih sayangkan you, Zafran. I
masih cintakan you. I masih berharap yang kita masih boleh kembali seperti
dulu.” Tanpa malu, Puan Sri Arisa meluah perasaannya buat sekian kali.
Sungguh-sungguh dia menyuarakannya.
Membuatkan tubuh tegap Datuk Zafran
tersandar lemah di kerusi empuknya. Terasa sesak nafasnya seketika mengingatkan
tingkah Puan Sri Arisa yang jelas tidak mahu menerima hakikat yang telah
ditentukan Dia yang Maha Berkuasa. Datuk Zafran beristighfar semula beberapa
kali sebelum wajah basah Puan Sri Arisa ditatap semula. Lebih tenang kali ini.
“Arisa, I minta maaf kalau kata-kata I
ni menyakitkan hati you. Tapi, biarlah I berterus terang untuk kali seterusnya.
Hati I dah lama tertutup buat you, Arisa. I dah lama maafkan segala kesalahan
you, tapi untuk I terima you semula dalam hidup I, itu sesuatu yang tak pernah
terlintas untuk I lakukan. Bukan saja hari ini bahkan di masa akan datang pun.
I fikir lebih baik kalau kita hidup seperti sekarang. I dengan kehidupan I dan
you dengan kehidupan you.
“You sendiri sudah lama bersuami lain,
Arisa. Tak elok seorang isteri seperti you menagih cinta daripada lelaki lain.
Apatah lagi daripada I. Sepatutnya you kena taat dan patuh pada suami you. You
dah lama jadi hak orang lain. Kita bukan remaja lagi, Arisa, untuk berperangai
seperti budak-budak yang baru belajar nak bercinta.”
Lembut Datuk Zafran memujuk, namun
kata-katanya semakin menghiris hati Puan Sri Arisa yang sedia terluka dengan
tingkah lelaki itu.
“Tapi I tak bahagia dengan kehidupan I,
Zaf,” luah Puan Sri Arisa. Sehelai tisu ditarik keluar dari beg tangan
berjenamanya sebelum dilap ke pipi basahnya.
“Bahagia atau tidak, semua itu
terpulang pada diri you sendiri, Arisa. Kalau you nak bahagia, you yang kena cari
bahagia itu, bukan orang lain. Bahagia itu hanya akan datang bila kita terima
apa yang kita ada seadanya. Tak semestinya apa yang kita tengok dari jauh itu
cantik dan indah, kadangkala lebih menyakitkan daripada apa yang kita
fikirkan.”
Dalam makna kata-kata akhir Datuk
Zafran hingga air mata Puan Sri Arisa jatuh lagi. Dia tahu, Datuk Zafran tidak
bermaksud mahu menyindirnya, namun Puan Sri Arisa tetap terasa dengan kata-kata
lelaki itu.
“Sudahlah, Arisa. Tak payahlah you
buang masa dan air mata you kat sini lagi. Apa yang berlaku, dah pun berlaku.
You menangis air mata darah sekalipun, semuanya takkan kembali seperti dulu.
Kita sudah tua, Arisa. Masa muda kita dah lama berlalu. Jangan bazirkan
saki-baki masa yang kita ada ini dengan mengejar sesuatu yang mustahil untuk
kita miliki.
“Kalaupun you bukan isteri sesiapa, I
tetap takkan kembali pada you. Bukan kerana I benci atau berdendam, tapi jodoh
kita hanya sampai di situ. Cukuplah dengan apa yang kita lalui bersama. Biarlah
I hidup dengan kehidupan I sekarang. You sendiri, berusahalah untuk terima
kenyataan ini, Arisa. Insya-Allah, you pasti akan bahagia jika you reda dengan
kehidupan you sekarang,” pujuk Datuk Zafran lagi.
Dia hanya membalas tenang pandangan
marah Puan Sri Arisa. Jelas perempuan itu tidak puas hati dengan kata-katanya.
“Huh. Senang you bercakap ya, Zaf? You
ingat hati I ni apa? Besi? Tembok? Tak berperasaan?” cebik Puan Sri Arisa.
“I tahu, you masih berdendam dengan I,
bukan? That’s okay. I faham, tapi you jangan ingat I
akan mengalah. I akan berusaha untuk kembali ke sisi you semula, Zaf. Sama ada
you suka atau tidak, anak-anak kita akan kembali terima I sebagai mama dia
orang dan you, akan kembali menjadi suami I seperti dulu. I akan lakukannya,
Zaf. I akan buat sampai you sendiri tak mampu nak halang tindakan I nanti!”
marah Puan Sri Arisa. Dia terus bangun sebelum berlalu keluar dari ruang
pejabat itu.
Datuk Zafran hanya memandang. Sebal
dengan sikap Puan Sri Arisa. Nyata perempuan itu masih hidup dalam dunia
khayalannya. Dunia yang pastinya tidak akan menjadi kenyataan sampai akhir
hayat mereka. Tanpa sedar, kepala Datuk Zafran tergeleng perlahan sebelum
matanya kembali menatap kerja-kerja di atas meja. Malas sudah mahu memikirkan
kisah dia dan perempuan itu yang sudah berlalu begitu lama.
No comments:
Post a Comment