TOK!
Tok! Tok!
Bunyi ketukan di muka pintu rumah
menyentak Ellina yang ralit membaca novel di ruang tamu rumah. Lambat-lambat
dia menapak ke pintu sambil akalnya sudah ligat berfikir. Siapa pulak yang
datang ke rumah malam-malam begini? Sudahlah ayah belum balik lagi. Hatinya
tertanya-tanya sendiri.
“Ellina, buka pintu ni!” Suara garau
Pak Samad kedengaran dari balik pintu sesaat kemudian.
Mendengar suara itu, cepat-cepat Ellina
menarik selak. Dia hanya menunduk bila Pak Samad masuk melintasinya. Lelaki tua
itu terus duduk di kerusi. Wajah lelaki tua itu kelihatan biasa-biasa saja.
Tiada tanda marah sebagaimana biasa.
“Ayah nak makan? Ina boleh hidangkan
kalau ayah nak,” pelawa Ellina lembut.
Getar dalam suaranya tetap ada walaupun
dia cuba berlagak biasa. Lelaki panas baran seperti Pak Samad, bila-bila saja
anginnya boleh berubah. Kerana itu Ellina sentiasa merendahkan nada setiap kali
bercakap dengan lelaki tua itu.
“Tak payahlah. Aku dah kenyang,” sahut
Pak Samad baik saja nada suaranya.
“Duduk sini, Ellina. Ada perkara yang
aku nak cakapkan pada kau,” arah Pak Samad kemudian.
Ellina yang baru berkira-kira ingin
menapak masuk ke bilik tidurnya kembali duduk di kerusi rotan. Tidak jauh dari
kedudukan ayahnya.
“Ayah nak cakap apa?” soal Ellina
lambat-lambat.
Matanya memandang seimbas wajah tenang
Pak Samad sebelum kepalanya kembali ditunduk. Rasa bimbang kembali menerjah
hati. Bimbang jika tersalah kata, pasti tubuhnya akan menjadi mangsa sepak
terajang lelaki tua itu buat ke sekian kali.
“Mulai esok aku nak kau bekerja dengan
Wong Pai. Dia perlukan orang untuk bekerja kat kelab malamnya di Kuantan sana,”
arah Pak Samad tegas.
Dalam kepala, dia sudah terbayang-bayang
perbualannya dengan tauke berbangsa Siam itu sebentar tadi. Perbualan yang
dirasakan bakal memberi keuntungan lumayan kepadanya.
Ellina tersentak. Laju matanya membalas
pandangan ayahnya.
“Kerja dengan Wong Pai? Ina tak mahu,
ayah! Lagipun Ina kan dah bekerja dengan Puan Hajah. Apa pula kata dia nanti
kalau Ina berhenti kerja? Hutang ayah dengan dia pun Ina masih belum habis
bayar,” bantah Ellina lembut.
Ellina tergamam bila Pak Samad terus
bangun lantas menyepak keras kerusi rotan di sisinya. Berubah seinci kedudukan
kerusi uzur itu dari kedudukan asalnya.
“Menjawab! Menjawab! Itu saja yang kau
tahu ya!” jerkah Pak Samad mula naik angin. Pantas dia mencekak rambut Ellina
sehingga gadis itu terjerit kesakitan.
“Aku tak peduli! Esok kau kena pergi
bekerja dengan Wong Pai! Kalau tidak, siapa lagi yang nak bayar hutang aku pada
dia, hah?” jerkah Pak Samad lagi. Kepala Ellina dihantuk pula ke muka dinding
rumah.
Ellina cuba melawan. Dia berusaha
bangun sebelum sekuat hati dia menolak tubuh Pak Samad. Lelaki tua itu
terdorong ke belakang. Tidak menyangka gadis pendiam itu akan membalas
tindakannya.
“Ina tak mahu! Apa jadi sekalipun, Ina
tak mahu bekerja dengan Wong Pai! Seluruh kampung tahu yang dia tu bukan
manusia, tapi syaitan! Ayah yang berhutang dengan dia, ayah sajalah yang bayar
hutang ayah tu. Kenapa Ina pulak yang nak dijadikan tebusan?” Walaupun
takut-takut, Ellina cuba mempertahankan hak sendiri.
Bekerja dengan Wong Pai samalah seperti
hidup dalam neraka dunia. Siapa pun tahu tentang itu!
“Tak guna punya budak! Kurang ajar!”
Pak Samad pantas menerpa lalu rambut Ellina dicekak semula. Lebih kuat.
Sekuat tenaga dia menghantuk kepala
gadis itu ke dinding rumah semula. Berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, tubuh
kecil molek Ellina ditendang beberapa kali. Langsung tidak peduli gadis itu
sudah menjerit kesakitan.
“Sakit, ayah! Sakit!” Panjang jeritan
Ellina kali ini.
Dia cuba menghalang tindakan Pak Samad,
namun sia-sia. Ternyata tenaga lelaki tua itu lebih banyak berbanding dirinya
yang sememangnya sentiasa lemah dan tidak bertenaga.
“Tak guna betul! Kau dah pandai melawan
cakap aku ya sekarang? Siapa yang ajar kau, hah? Dasar budak tak kenang budi!”
tengking Pak Samad.
Wajah Ellina ditampar pula berkali-kali
sebelum tubuh gadis itu ditolak hingga jatuh tersungkur ke lantai rumah.
“Ayah yang ajar Ina jadi anak derhaka.
Kerana ayah, mak terpaksa jadi pelacur. Kerana ayah, mak mati kerana penyakit
AIDS. Kerana ayah juga, abang dah tak mahu balik ke rumah. Semuanya kerana
ayah. Ayah yang mengajar Ina menjadi anak tak guna. Ina memang anak yang tak
guna, ayah! Kalau ayah benci sangat pada Ina, bunuh saja Ina, ayah! Bunuh saja
Ina!” sergah Ellina dalam tangisan hibanya.
Dia teresak-esak menangis. Dia tidak
sengaja mahu mengungkit keluar semua itu, namun entah mengapa, laju saja
patah-patah kata terkeluar dari mulutnya ketika ini.
“Diam! Budak tak guna! Sia-sia saja aku
bela dari kecil. Dah besar panjang begini pandai pula nak mengajar aku ya?”
jerkah Pak Samad lantas tubuh lemah Ellina disepak lagi.
“Kau nak mati sangat, kan? Baik. Aku
bunuh kau malam ni jugak!” jerkah Pak Samad masih tidak puas melepas kemarahan.
Rambut Ellina kembali dicekak kuat.
Tanpa menghiraukan jeritan gadis itu, Pak Samad menghentak kepala Ellina ke
dinding semula. Langsung tidak peduli darah sudah mengalir mengenai pipi gadis
itu. Lelaki itu hanya melepaskan pegangannya bila terperasan Ellina tidak lagi
sedarkan diri. Lalu tubuh lembik hampir tidak bernyawa itu ditolak ke lantai.
Pak Samad tercebik sinis.
“Huh, nak sangat melawan cakap aku. Nak
ajar aku konon. Mampuslah kau!” maki Pak Samad langsung tidak bersimpati.
Sempat dia meludah tubuh itu sebelum berlalu keluar rumah.
Membiarkan Ellina tergolek tidak
sedarkan diri di ruang tamu rumah tanpa disedari sesiapa.
“KAU sihat, Ellina?” soal Irman sebaik saja
dia melabuh punggung di atas pangkin kayu di ruang depan rumah gadis itu.
Sayu matanya menatap keadaan Ellina
yang jelas kelihatan tidak bermaya. Hilang segala tanda tanyanya berkenaan
ketidakhadiran Ellina ke ladang sebagaimana biasa sehari dua ini.
Ellina pula seperti biasa tetap
mempamerkan senyuman manisnya walaupun di balik tudung bunga-bunga kecil yang dipakai jelas kelihatan lebam-lebam di sekitar muka
putih bersihnya.
“Alhamdulillah. Aku sihat macam biasa,”
sahut Ellina sambil menyua segelas air.
“Maaf ya, Man, air suam aje pun yang
mampu aku beri. Gula kat rumah aku dah habis sebenarnya. Tak sempat aku nak
beli tadi,” kata Ellina, tertahan-tahan nadanya.
Malu kerana terpaksa menghidangkan tetamu hanya dengan segelas air suam.
“Tak apa,
Ina. Aku faham,” sahut Irman.
Cepat-cepat dia menyambut bila
terperasan tangan Ellina yang tergetar-getar menyua gelas kepadanya. Jelas gadis itu masih belum sihat
sepenuhnya. Diteguk air itu sedikit sebelum diletak di atas pangkin di sisinya.
“Ina, aku fikir aku nak bawa kau pergi
klinik sekarang. Kau bersiaplah ya?” pinta Irman lembut. Dia mengeluh bila
Ellina menggeleng perlahan.
“Terima kasih ajelah Man. Aku demam
sikit aje ni. Nanti-nanti baiklah,” tolak Ellina masih juga memberi alasan yang
serupa setiap kali dipelawa lelaki muda itu.
“Macam mana kau nak baik kalau ubat pun
kau tak makan? Kalau pasal duit yang kau risaukan, kau jangan bimbang. Aku akan
bayarkan semuanya untuk kau. Aku tak minta pun kau ganti semula duit aku.
Asalkan kau kembali sihat, itu dah cukup baik bagi aku.” Irman tidak puas hati
dengan penolakan gadis itu.
Rasa ambil beratnya terhadap Ellina
begitu menggunung hingga semalam dua ini matanya tidak dapat lelap dengan lena gara-gara
memikirkan keadaan Ellina.
“Tak apalah,
Man. Aku tak nak susahkan sesiapa. Aku dah biasa lalui semua ni. Esok-esok,
legalah demam aku ni.” Bersungguh-sungguh Ellina cuba meyakinkan
sahabat baiknya itu. Segan sebenarnya dengan pertolongan Irman biarpun dia tahu lelaki muda itu ikhlas mahu membantu.
“Demam tu memanglah boleh baik, tapi lebam-lebam kat muka dan badan kau tu macam
mana pulak? Takkan kau nak biarkan diri kau terus jadi mangsa keganasan ayah
kau yang tak berhati perut tu?” balas Irman sedikit beremosi.
Ikutkan hati mudanya, mahu saja dia
membalas semua perbuatan jahat Pak Samad terhadap Ellina. Biarpun tubuhnya
tidak sebesar tubuh Pak Samad, namun semangatnya jauh lebih tinggi berbanding
Pak Samad yang seusia ayahnya itu.
“Sejahat mana pun dia, Man, dia tetap ayah aku dunia akhirat,” tegas Ellina
pula.
“Aku tahu,
tapi itu tak bermakna dia boleh berbuat apa saja terhadap kau,” sergah Irman sekali gus membuatkan mulut Ellina terkunci rapat.
Sedar dengan kebenaran kata-kata lelaki
muda itu, namun dia malas menjawab.
“Kan bagus kalau kau kahwin dengan aku
aje Ina? Hidup kau pun taklah sesusah ni.” Suara Irman
tiba-tiba. Matanya memandang lama Ellina yang hanya menayang wajah tenang.
Bagai kata-katanya tidak terkesan langsung di hati gadis itu.
“Ina, kahwin dengan aku,” lamar Irman
bila dirasakan Ellina bagai tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi. Matanya
memandang lama Ellina yang sudah terlongo.
“Kahwin dengan aku, Ina. Aku janji aku akan jaga kau baik-baik. Aku
mungkin tak sekaya mana. Diri sendiri pun tak ada harta,
tapi aku janji, aku boleh sediakan kehidupan yang lebih baik daripada yang kau ada sekarang. Kita kahwin ya, Ina?” lamar Irman
buat kali kedua. Penuh harap.
Hampa rasanya bila Ellina
perlahan-lahan menggeleng sebelum gadis itu tersenyum tawar.
“Man, aku tahu kau sayangkan aku. Aku
juga sayangkan kau, tapi sayang aku pada kau tak
lebih daripada kasih sayang seorang sahabat. Itu
saja. Kau baik sangat, Man. Tapi, lebih sesuai rasanya kalau kita berkawan saja
seperti sekarang.” Satu per satu Ellina meluah agar
Irman memahaminya.
“Tapi,
Ina, aku ikhlas nak jadikan kau isteri aku. Kita...”
“Man, aku tahu kau boleh sediakan
segalanya untuk aku, tapi kau kena faham. Mak
ayah kau ada kedudukan mereka tersendiri di kampung ni. Ayah kau penghulu
kampung kita. Mak kau ketua persatuan wanita kampung. Mungkin bagi kau semua tu tak ada apa-apa,
tapi besar nilainya di mata aku. Cukuplah kita berkawan saja, Man. Tak payahlah kita nak fikirkan
lebih daripada itu,” pintas Ellina. Lebih tegas kali ini.
Irman terdiam. Dia tahu, Ellina punya
sebab tersendiri untuk menolak lamarannya. Bukan Irman tidak sedar. Baik mak mahupun ayahnya sendiri tidak pernah menyukai Pak
Samad. Semuanya gara-gara Pak Samad yang pernah mencuri seekor kerbau milik
ayahnya padahal kerbau itu sudah pun dijual kepada orang lain. Hanya menanti
masa untuk diberikan kepada tuan pembelinya.
Demi Ellina, Pak Samad dilepaskan,
namun kejahatan Pak Samad tidak berhenti di situ. Beberapa tandan pisang milik
ayahnya dicuri pula. Akibatnya, semalaman Pak Samad merasa duduk di dalam
lokap. Hanya selepas Ellina datang merayu, ayahnya bersetuju untuk membantu
mengikat jamin Pak Samad. Sejak itu, mak dan ayahnya begitu membenci Pak Samad.
Mustahil pula mereka mahu berbesan selepas ini.
“Man, kau jangan kecil hati dengan
kata-kata aku ya?” Suara Ellina bila Irman hanya
mengunci mulut. Lega hatinya bila lelaki muda itu kembali tersenyum biarpun tawar.
“Kenapa pula aku nak kecil hati? Itu
hak kau. Aku tak boleh paksa,” sahut Irman ikhlas.
Jauh di dasar hati memang ada luka yang
tercalar. Hanya dia tidak mahu mengendahkan kerana dia sudah tahu. Jiwa
lelakinya pasti tercarik dengan jawapan yang bakal Ellina berikan. Bukan baru
sekali ini dia meluah rasa hatinya kepada gadis itu. Sudah banyak kali biarpun
baru kali ini dia meluahnya secara berdepan. Tak seperti sebelum-sebelum ini,
dia memilih untuk menyelitnya dalam gurau senda sesama mereka.
Ternyata andaiannya benar-benar
terjadi. Kehidupan Ellina telah membataskan gadis itu daripada membuat pilihan terbaik biarpun demi masa depan
sendiri.
“Entah sampai bila kau perlu lalui
semua ni.” Irman bersuara semula. Mengeluh.
“Tak apalah,
Man. Dah nasib aku dapat ayah begini. Tapi,
sekurang-kurangnya aku bersyukur sebab aku masih ada ayah.” Suara Ellina lirih.
Menitik air matanya setitis. Cepat-cepat dia mengelap.
Irman yang melihat turut terkesan.
Biarpun Ellina baru saja menolak lamarannya, namun Irman tidak mahu menjadikan
keadaan itu sebagai alasan untuk dia membataskan hubungan persahabatan mereka
selepas ini. Jika Ellina tidak dapat menerimanya lebih daripada seorang sahabat sebagaimana yang dirasakannya
selama ini, itu tidak mengapa bagi Irman. Asalkan mereka masih boleh bersahabat
dan berkongsi masalah sebagaimana sekarang. Itu sudah memadai bagi Irman yang cukup menyayangi
gadis polos itu.
“Jadi, macam mana sekarang? Kau tetap
nak ikut kehendak ayah kau supaya kerja di kelab malam Wong Pai tu ke?” soal
Irman setelah mereka terdiam seketika. Sekilas dia memandang Ellina yang
lambat-lambat menggeleng.
“Taklah. Biarlah aku susah macam mana
sekalipun, nak buat kerja-kerja haram tu takkan sesekali aku lakukan!” sahut Ellina sungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment