Mata Hajah Zainun menyorot langkah Pak Samad yang semakin
menjauh dari halaman rumah agamnya. Marahnya kepada lelaki itu masih lagi bersisa biarpun sempat dia
melempiaskan separuh rasa marahnya kepada lelaki itu sebentar tadi.
Marah mengenangkan tingkah Pak Samad yang masih tidak
serik-serik memukul Ellina biarpun sudah berkali-kali juga Hajah Zainun
melarang lelaki itu daripada melakukannya. Ikutkan hati tuanya, mahu saja Hajah
Zainun mengupah orang untuk membunuh Pak Samad. Lelaki itu telah banyak
menyusahkan hidup Ellina.
Namun, akalnya masih waras. Mustahil dia akan melakukan perkara
seburuk itu hanya kerana terlalu mengikut kehendak hati sendiri. Duitnya
sendiri telah banyak dilaburkan kepada Pak Samad gara-gara tidak mahu Ellina
terus-terusan menjadi mangsa keganasan lelaki panas baran itu.
Perlahan, Hajah Zainun mengeluh tatkala bayangan Ellina
melintasi minda. Sayangnya kepada Ellina tidak dapat disukat dengan apa-apa
sukatan sekalipun.
Sayang itu datangnya sendiri, bukan kerana paksaan, tapi atas kerelaan
hatinya sendiri. Bertambah-tambah rasa sayangnya kepada Ellina tatkala bayangan arwah Hasnah pula datang mencelah.
Hajah Zainun sedar. Dia
terhutang budi kepada arwah mak Ellina. Budi yang bukan sedikit. Budi yang akhirnya mendatangkan rasa
kesal yang begitu menggunung di hati Hajah Zainun. Hingga tanpa sedar, air mata
Hajah Zainun menitis ke pipi. Kesal dengan kesalahan yang pernah dilakukannya
suatu masa dulu. Salah yang tidak mampu dipadam sampai bila-bila.
“Ina, kahwin dengan aku.”
Masih tergiang-ngiang
kata-kata itu di telinga Ellina. Dia yang sejak tadi duduk menopang dagu di
tepi tingkap mengeluh kecil. “Kahwin dengan Irman? Mahu ke aku?”
Dia sebenarnya tidak terkejut bila
mendapat tahu Irman menyimpan perasaan kepadanya.
Sejak mereka di bangku sekolah lagi, dia sudah dapat merasakannya. Layanan
Irman, cara pandangan lelaki muda itu terhadapnya, jauh berbeza pada pandangan mata gadisnya. Kawan-kawan sekolah
mereka juga pernah mengusik dia dan Irman gara-gara hubungan rapat mereka.
Hanya Ellina yang pura-pura tidak
faham. Malah, setiap kali Irman meluah perasaan
hatinya, Ellina sering kali membalas dengan
gurauan yang akhirnya mencetuskan tawa semua. Hingga akhirnya, perkara itu
berlalu begitu saja.
Tetapi, apabila Irman melamarnya secara berdepan, Ellina terkaku sejenak. Mujur dia masih
mampu membalas dengan tenang. Jika tidak, dia sendiri tidak pasti apa yang
harus dikatakan bagi menjawab lamaran lelaki
muda itu. Hakikatnya, Ellina memang tidak pernah
memikirkan perkara nan satu itu. Bagaimana dia mahu menghabiskan masa
memikirkan perkara itu jika dari dulu lagi dia sememangnya tidak pernah ada
apa-apa perasaan istimewa kepada Irman?
Lama matanya menatap kerdipan
bintang-bintang yang indah melatari suasana malam. Terasa tenang jiwanya kala
ini bila tubuhnya disapa lembut oleh angin malam yang bertiup perlahan. Tanpa
sedar, Ellina mengeluh semula tatkala akalnya terfikir sesuatu.
“Gadis-gadis lain yang sebaya dengan
aku, dah lama ada kehidupan sendiri. Ada yang sambung belajar, ada yang pergi
bekerja kat bandar-bandar besar, ada juga yang dah pun berumah tangga. Aku saja
yang masih seperti dulu. Hidup aku hanya dihabiskan dengan kerja dan kerja. Tak
kiralah kerja kat ladang ke, kat rumah ke, semuanya aku yang lakukan. Mahu tak
mahu, terpaksalah aku bekerja sampai semua hutang ayah selesai.
“Entah bila nak selesai semua hutang tu
pun tak tahulah aku, padahal dah bertahun-tahun
ayah berhutang. Tahu-tahu, umur aku dah masuk 22 tahun pun sekarang. Hmm...
Nampaknya sampai ke tualah aku hidup dalam keadaan ni. Langsung tak ada
kemajuan,” rungut Ellina.
Ellina tersentak tatkala matanya
terpandang kelibat seseorang yang cukup dikenalinya. Dalam kesamaran malam,
kelihatan lelaki tua itu berjalan terhoyong-hayang menuju ke rumahnya.
Lekas-lekas Ellina menegak tubuh lalu menutup tingkap rapat-rapat. Segera dia
berlari ke dalam bilik sebelum pintu bilik tidurnya dikunci ketat. Dia hanya
menekup telinga bila kedengaran seseorang melaung memanggil namanya dari luar
rumah.
“Ellina! Buka pintu ni! Aku nak masuk!”
jerkah Pak Samad.
Pintu rumah diketuk kuat beberapa kali.
Bum! Bum! Bum!
Bunyi ketukan semakin kuat.
“Hei,
anak tak guna! Kau membuta ya? Bangunlah, woi!
Aku nak masuklah!” jerkah Pak Samad mula naik angin.
Pintu rumah ditendang pula beberapa
kali dengan harapan pintu itu akan terbuka luas. Usahanya gagal kerana Ellina
awal-awal sudah meletak palang kayu di tengah-tengah muka pintu.
“Hei, anak
sial! Kau buat apa kat dalam tu, hah? Kau dah
mampus ke? Kenapa susah sangat kau nak buka pintu ni?” jerit Pak Samad sebelum
prang!
Kedengaran botol kaca dihempas kuat ke
muka pintu rumah. Pastinya botol yang ada di tangan Pak Samad telah menjadi
mangsa kemarahan lelaki tua itu.
“Huh. Dasar anak kutip, tak sedar diri!
Jagalah kau. Kalau aku dapat kau nanti, mampus aku kerjakan kau, tahu tak?” maki Pak Samad lagi.
“Tunggulah kau,
Ellina. Malam ni kau sedap-sedaplah membuta dalam rumah ni. Esok lusa belum
tentu kau boleh ada lagi kat sini. Tahulah aku nak mengajar anak tak guna macam
kau tu!” Pak Samad kembali memaki.
Bosan dengan keadaan itu, Pak Samad
kemudian beredar dari situ. Mencari tempat teduh untuk malam itu. Sambil itu, mulutnya tidak henti-henti memaki hamun Ellina.
Tidak tahu Ellina yang berada di dalam bilik
sudah menangis diam-diam. Hiba dengan nasib sendiri.
“MANA dia ni? Dah
malam-malam begini pun masih tak tahu nak balik rumah. Ni tak ada lain, mesti
dia tidur kat rumah isteri muda dia tulah!” marah Puan Sri Arisa.
Dia masih mundar-mandir
di ruang tamu rumahnya. Biarpun ruang itu penuh dengan hiasan barangan mewah
mengikut kehendaknya, namun semua itu tidak
mampu menenangkan hatinya yang telah lama hilang rasa tenteram.
“Tak sedar ke diri tu dah tua? Masih ada hati nak berpucuk muda. Kalau ada anak,
dah berderet-deret cucu tu, tahu tak?” marah
Puan Sri Arisa lagi, seolah-olah Tan Sri Ridhuan berada di depan matanya
sekarang.
Dia sebenarnya gelisah berada di rumah
itu seorang diri. Sekadar ditemani beberapa orang pembantu rumah yang telah
menghilang ke bilik masing-masing bila malam menjelang tiba. Letih
bermundar-mandir, Puan Sri Arisa akhirnya terduduk di sofa. Dia mengeluh
panjang.
“Kalau kami bercerai, pasti hidup aku
takkan jadi begini. Tak adalah aku rasa bosan aje siang malam. Ini tidak.
Setiap kali aku sebut pasal cerai aje, pasti dia buat tak tahu. Kalau dah tak
sayang aku, kenapa masih nak simpan aku? Dia kan dah ada yang lain? Untuk apa
dia beristerikan aku lagi?” Sendu Puan Sri Arisa mula kedengaran. Dia
teresak-esak menangis sendiri.
“Dasar lelaki tak cukup dengan satu
perempuan! Tak guna aku jadi isteri kau kalau kau hanya jadikan aku hiasan
dalam rumah besar ni! Kau ingat aku tak ada perasaan ke,
hah? Lainlah kalau aku patung, bolehlah kau buat sesuka hati kau, tapi aku ni manusia tahu tak! Manusia macam kau jugaklah,
Ridhuan oi!” jerit Puan Sri Arisa dalam tangisannya.
Sayunya bertambah-tambah bila bayangan
seseorang mencelah masuk ke dalam kepalanya tiba-tiba.
“Semuanya salah aku. Kalaulah aku tak
minta Zafran ceraikan aku dulu, pasti aku sedang hidup bahagia dengan dia
sekarang. Anak-anak kami pun akan sayangkan aku sepenuh hati dia orang. Tapi, manalah aku tahu yang dia akan boleh berjaya seperti
sekarang? Kalau aku tahu dari awal dia akan berada dalam kedudukannya sekarang,
mati hidup semula pun aku takkan minta dia ceraikan aku. Semuanya salah aku,
silap aku. Memang salah aku! Salah aku tahu tak!”
Tak semena-mena Puan Sri Arisa memarahi
diri sendiri. Dipukul dadanya beberapa kali. Kesal dengan apa telah
dilakukannya suatu masa dulu.
Puan Sri Arisa masih ingat. Zafran baru pulang daripada kerja tatkala dia
meminta cerai daripada lelaki itu. Tanpa peduli pada keadaan Zafran yang basah
kuyup ditimpa hujan lebat, dia menjerit-jerit bagaikan orang diserang histeria.
Malah,
anak-anak mereka yang menangis di tepi kakinya juga tidak dihiraukan. Hajatnya waktu
itu hanya satu, ingin melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan yang tidak lagi memberi sebarang
kebahagiaan kepadanya.
Pujukan Zafran juga sudah tidak mampu diterimanya biarpun lelaki itu tetap
berusaha setakat mana yang mampu. Bahkan pujukan dan kata-kata nasihat lelaki
itu dirasakan bagai duri yang mencucuk-cucuk hati wanitanya.
Hingga tanpa sedar, Puan Sri Arisa menuduh Zafran dengan tuduhan yang
tidak sepatutnya. Menjadikan Zafran yang jarang-jarang menaikkan suara
menghadiahkan penampar ke wajahnya buat kali pertama di luar kawalan Zafran sendiri. Biarpun Zafran meminta maaf, namun keadaan itu hanya
memarakkan lagi kemarahan di jiwanya. Hingga akhirnya Zafran akur dengan permintaannya. Bersaksikan anak-anak mereka, Zafran melepaskan dia daripada ikatan perkahwinan
mereka dengan talak satu.
Bahagianya dia ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Hidupnya terasa indah serta-merta
tanpa sebarang beban yang harus dipikul. Dia bebas melakukan apa saja yang dia
inginkan,
tanpa sebarang halangan. Malah, bayang Zafran dan anak-anak tidak pernah lagi muncul dalam fikirannya
walau seketika.
Dia leka mengejar kebahagiaan yang kononnya mampu dimiliki setelah bebas daripada ikatan perkahwinannya
dengan Zafran ketika itu. Sayangnya, semua itu hanya sementara dan kini setelah dia sedar, dia
kembali menagih kasih daripada Zafran yang kini telah
pun bergelar Datuk. Segala kebahagiaan yang dicari-cari selama ini
hanyalah indah daripada khabar semata-mata.
Mengingatkan semua itu, hiba hatinya semakin
bertambah-tambah. Hanya seketika, bila
rasa marahnya kembali menguasai fikiran dan hati. Sekali
gus melenyapkan segala sesalan yang sering kali
mengganggu-gugat jiwa wanitanya.
“Argh! Aku tak peduli. Apa jadi sekalipun, aku akan dapatkan semula Zafran. Tak
kiralah dengan apa cara sekalipun, aku takkan
lepaskan dia lagi. Tapi sebelum itu, aku kena buat sesuatu supaya Ridhuan
ceraikan aku. Tak kiralah macam mana pun, dia kena ceraikan aku juga. Kalau
cara baik tak dapat, cara tak baik pun tak ada masalah bagi aku. Kalau tidak
sampai bila-bila pun impian aku untuk kembali ke pangkuan Zafran takkan menjadi
kenyataan,” kata Puan Sri Arisa sambil mengelap
sisa-sisa air matanya.
Sedar tidak guna dia meratap perkara
yang sudah berlalu sedangkan masa masih ada untuk dia menggapai
segala impiannya. Impian yang bakal dijadikan
kenyataan olehnya tak lama lagi.
No comments:
Post a Comment