“KAK INA, ada surat
untuk akak!”
Laungan Mamat, anak jirannya menyentak
Ellina yang sedang menyidai pakaian di ampaian. Cepat-cepat dia menyudahkan
kerjanya sebelum mendapatkan Mamat yang berdiri di bawah sebatang pokok. Anak
kecil itu sedang menantinya sambil melayang-layangkan sekeping sampul di tangan ke arah Ellina.
“Surat dari siapa tu, kak?” soal Mamat sebaik Ellina mencapai hulurannya.
“Surat kawan akak dari London,” jawab
Ellina, membaca seimbas nama pengirimnya.
“Err...
Tak apalah, kak. Mat minta diri dulu ya? Mat ada
kerja lain nak buat ni,” pamit Mamat seraya cepat-cepat memanjat basikalnya.
“Yalah,” sahut Ellina seraya menyandar tubuh pada batang pokok.
Tersenyum-senyum dia membaca surat itu sebelum dimasukkannya semula ke
dalam sampul tak lama kemudian. Sambil-sambil itu, dia menyeluk poket baju
kurungnya. Baru teringat pada sampul kecil pemberian Hajah Zainun kepadanya masa dia ke rumah wanita tua itu
tengah hari tadi.
Usai dia meminta diri selepas mengajar cucu-cucu wanita tua itu, Hajah
Zainun memberinya sedekah berupa wang dan sebakul buah-buahan. Biarpun belum
hujung bulan, namun memang begitulah tingkah
Hajah Zainun. Tidak pernah berkira wang ringgit mahupun harta benda dengan
Ellina hingga telah menjadi kebiasaan pula pada Ellina untuk membawa pulang
apa-apa pemberian Hajah Zainun setiap kali berkunjung ke rumah agam wanita tua
itu.
Diam-diam, Ellina terharu dengan kebaikan Hajah Zainun. Mereka tidak
mempunyai ikatan kekeluargaan,
tetapi layanan yang diberikan Hajah Zainun membuatkan Ellina berasa seolah-olah
dia telah lama menjadi sebahagian daripada
ahli keluarga wanita tua itu. Begitu pun
Ellina tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas semua kebaikan
yang dihulurkan Hajah Zainun. Dia masih sedar tentang kedudukan dan taraf
dirinya.
Ellina tersentak tatkala matanya terpandang Pak Samad melangkah turun
dari sebuah kereta mewah bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Tepat
di tepi jalan raya yang menghadap depan rumahnya. Cepat-cepat dia menyimpan
surat dan sampul kecil di tangan ke dalam poket bajunya semula. Bergegas
dia ke dalam rumah bila kedengaran suara Pak Samad memanggil.
“Ellina! Ellina!” panggil Pak Samad
kuat. Sesekali dia mengalih muka pada lelaki yang kini bersandar tubuh di badan
keretanya.
Lelaki itu hanya menyarung T-shirt putih
lambang tengkorak dan berseluar jean hitam. Ada
rantai emas yang tergantung di leher lelaki beriak bengis itu.
“Ya,
ayah,” kata Ellina sebaik berdiri di depan
ayahnya. Sempat dia menjeling lelaki yang dibawa pulang ayahnya.
Terasa meremang bulu romanya bila
lelaki itu terus menegak tubuh sebaik terpandang kelibat Ellina. Lelaki itu
merenungnya tajam. Sesekali lelaki itu menelan air liur sendiri seraya
tersengih jahat.
“Jadi, inilah anak kau?” soal lelaki
itu seraya mendekati Pak Samad. Dia mengangguk seraya menepuk-nepuk bahu lelaki
tua itu. Senyumannya melebar.
“Bagus, bagus. Cantik orangnya, macam
anak orang putih. Aku suka,” kata lelaki itu.
Dia tersenyum lagi. Matanya tetap memandang liar Ellina
yang takut-takut membalas pandangannya.
Cepat-cepat Ellina melarikan pandangan
bila lelaki itu kembali tersengih. Menampakkan barisan gigi yang sudah
kekuningan-kuningan. Entah mengapa Ellina benar-benar tidak selesa dengan
renungan lelaki yang kelihatannya bukan lelaki Melayu
itu.
“Ellina, ini Wong Pai. Aku nak kau
layan dia sekarang,” arah Pak Samad tegas.
Ellina tersentak.
“Layan? Layan apa pulanya, ayah? Ina tak faham.” Nada suara Ellina sudah
tergetar-getar, bagai memahami apa yang bakal dilaluinya sebentar lagi. Ya
Allah... Selamatkanlah hamba-Mu ini, doanya dalam hati.
“Kau layan aje Wong Pai ni. Layan
baik-baik sebab dia ketua aku. Kau jangan berani-berani nak bantah cakap aku!”
jerkah Pak Samad terus menolak tubuh Ellina ke dalam rumah.
Ellina cuba melawan, namun dia terjerit sakit bila Pak Samad terus
menamparnya.
“Ayah! Tolong jangan buat macam ni pada
Ina! Tolong, ayah!” jerit Ellina sekuat hati.
Dia cuba melarikan diri, namun Pak Samad
terlebih dahulu mencekak kuat lengannya.
“Aku tak peduli! Aku nak kau langsaikan
hutang aku dengan dia sekarang jugak!”
“Tapi,
ayah, bukankah ayah dah berjanji dengan Puan Hajah yang ayah tak mahu berjudi lagi?”
Ellina sudah mengongoi hiba.
“Argh!
Peduli apa aku dengan orang tua tu? Dah, jangan
banyak cakap! Ikut saja suruhan aku!” jerkah Pak Samad. Dia terus menolak-nolak
tubuh Ellina hingga gadis itu terjatuh ke lantai bilik tidurnya.
“Wong Pai?”
panggil Pak Samad mengisyaratkan agar lelaki Siam itu masuk.
Tidak berlengah, Wong Pai terus
melangkah masuk. Pintu bilik di kunci rapat.
“Hai, baby, jangan takut dengan aku. Kau layan aku sekali, banyak
duit yang kau boleh dapat, sayang,” kata Wong Pai sambil menyeringai.
Meleleh air liurnya menatap Ellina yang
sudah tergetar-getar menahan ketakutan yang maha hebat. Dia terus mendapatkan
Ellina bila gadis itu cuba bangun. Lelaki berambut perang itu cuba memeluk
Ellina.
“Pergi! Jangan sentuh aku, syaitan!” Ellina menjerit dengan air mata sudah
merembes laju ke pipi. Segala barang yang ada di ruang biliknya dilontar ke
arah lelaki itu.
“Hahaha! Aku kau panggil syaitan? Ayah
kau tu yang syaitan, baby. Kalau
tidak dia takkan suruh kau layan aku! Hahaha!” Lelaki itu ketawa lagi. Dia
terus memeluk Ellina.
Gadis itu menjerit sekuat hati.
Ditampar wajah Ellina beberapa kali bila Ellina cuba melawan. Tubuh kecil molek
Ellina ditolak ke katil kemudian. Ellina jatuh terlentang. Wong Pai terus
menerpa gadis itu. Lalu tubuh Ellina ditindih.
“Ya Allah! Ya Allah!” laung Ellina
sekuat hati bila Wong Pai cuba mendekatkan wajahnya ke wajah Ellina.
Tiba-tiba bum! Pintu bilik Ellina
ditendang kuat oleh seseorang dari luar. Ehsan meluru masuk. Dia terus
mendapatkan Wong Pai yang terkejut dengan kehadiran tiba-tiba lelaki itu. Tubuh
sasa Wong Pai ditendang hingga lelaki itu tersungkur ke tepi almari. Satu
tendangan dilepaskan lagi bila lelaki berbangsa Siam
itu cuba bangun. Tepat di celah-celah kelangkang
lelaki itu.
Wong Pai terjerit nyaring. Senak.
“Mari,
dik. Kita keluar dari sini!” jerit Ehsan terus menarik tangan Ellina. Sempat
lagi dia menerajang Wong Pai buat ke sekian kali sebelum berlari keluar.
“Ayah!” jerit Ellina bila terpandang
Pak Samad sudah tersungkur di tepi longkang rumah. Pasti lelaki tua itu telah
dikerjakan Ehsan sebentar tadi.
“Jom,
dik, tinggalkan saja lelaki keparat tu!” jerkah Ehsan terus mengheret Ellina
agar mengikut jejaknya.
Segera dia mendapatkan keretanya yang
diparkir tidak jauh dari situ. Tubuh kecil molek Ellina disumbat masuk ke dalam
kereta sebelum dia sendiri ikut melolos tubuh selepas itu. Hanya dalam beberapa
saat, kereta Ehsan terus menderum laju. Pergi meninggalkan Pak Samad yang masih
berusaha untuk bangkit semula.
Lelaki tua itu kembali terjerit sakit
bila tiba-tiba satu tendangan hinggap di perutnya. Dia hanya mampu terus
menjerit dan menjerit bila satu demi satu tendangan singgah ke tubuh tuanya
kemudian.
“Macam mana? Sedap makan terajang aku?”
soal Wong Pai. Dia tersenyum mengejek. Tajam matanya memandang Pak Samad yang
tertiarap lemah di tanah.
Lelaki tua itu telah lunyai
dikerjakannya. Namun, Wong Pai masih tidak puas
hati. Lantas rambut yang mulai ditumbuh urat-urat uban milik Pak Samad dicekak
pula. Sekuat mungkin.
“Kau memang tak guna, Samad. Kau hutang aku, tapi
kau benarkan anak lelaki kau larikan anak perempuan kau pula. Kau memang
bangsat!” tengking Wong Pai lalu perut Pak Samad menjadi mangsa sepakannya buat
ke sekian kali.
Dia benar-benar sakit hati bila mengenangkan
tubuh putih gebu Ellina yang tidak sempat dijamahnya tadi. Tubuhnya sendiri
sakit setelah mendapat habuan daripada Ehsan.
Mengingatkan itu darah panas Wong Pai kembali mendidih.
“Ba... Bagi aku satu peluang lagi, Wong Pai. Aku akan langsaikan semua hutang aku
kepada kau.” Dalam sakit-sakit, Pak Samad cuba meminta simpati. Dia terjerit
kecil bila Wong Pai melepas kasar pegangannya di kepala lelaki tua itu.
“Dah tentu kau kena bayar semua hutang
kau tu, tapi ingat. Anak perempuan kau tu pun
aku nak juga. Perempuan cantik macam anak kau tu memang sesuai jadi pelayan di
kelab malam aku. Pasti ramai orang yang berebut-rebut mahukan dia nanti.” Dalam
marah, Wong Pai tersengih-sengih tatkala akalnya mula membayangkan bentuk tubuh
Ellina yang kini sudah menjadi idamannya.
Dia kemudian kembali menunduk. Duduk
mencangkung menghadap Pak Samad yang masih terlentang di tanah. Jari
telunjuknya dihala tepat ke muka menyeringai sakit Pak Samad.
“Kau ingat baik-baik kata-kata aku ni, Samad. Aku nak kau dapatkan anak perempuan kau tu
dan serahkan dia kepada aku secepat mungkin. Kalau dia ada dalam tangan aku,
bermakna hutang kau dengan aku selesai. Tapi,
kalau kau tak dapat cari dia, aku nak kau bayar semua hutang kau dengan aku.
Tak banyak. Hanya 100 ribu ringgit, tapi
memandangkan kau dah buat aku rugi, jadi hutang kau meningkat sebanyak 200 ribu
ringgit.
“Aku bagi tempoh seminggu saja untuk
selesaikan semua hutang kau tu. Kalau tak, kau anggap saja yang nyawa kau dah
tak sabar-sabar nak tinggalkan badan kau ni!” Sempat Wong Pai memijak belakang
tubuh lelaki tua itu sebelum dia berpaling pergi. Meninggalkan Pak Samad
kembali mengerang kesakitan di laman sendiri.
“Tak guna kau,
Ehsan. Sebab kau aku kena tanggung semua ni. Jantan kurang ajar!” maki Pak
Samad dalam erangannya. Penuh marah.
No comments:
Post a Comment