“MAK fikirlah, Zaf, eloklah kalau kamu berkahwin sekali
lagi. Sampai bila kamu nak hidup membujang macam ni? Kamu tak kesian ke pada
anak-anak kamu? Makan pakai dia orang, sakit demam dia orang, tak ada siapa pun
yang nak tolong jaga. Semuanya dia orang kena buat sendiri,” bebel Hajah
Zainun.
Sudah hampir seminggu dia berada di
rumah banglo anak sulungnya itu. Walaupun segalanya sudah tersedia sepertimana yang diharapkan, mata tua Hajah Zainun
tetap sakit memandang suasana rumah besar itu. Sunyi sepi tanpa suara seorang
perempuan bergelar suri.
“Dia orang dah biasa buat semuanya sendiri, mak,” sahut Datuk Zafran antara mahu dengan
tidak sahaja.
Malas sebenarnya berbicara tentang
perkara itu. Bukan baru sekali dua Hajah Zainun mengungkit keluar perkara yang sama, tapi sudah acap kali hingga Datuk Zafran sudah
lali dengan semua itu.
“Memanglah dia orang dah biasa, tapi sampai bilanya dia orang nak jaga kamu?
Esok lusa bila dia orang dah berkeluarga sendiri, beranak pinak, siapa pula
yang nak tengok-tengokkan keadaan kamu? Mak tahu kamu tu kaya-raya, tapi apa guna kamu nak bayar mahal-mahal kepada
orang kalau kamu sendiri mampu cari teman hidup yang boleh jaga diri kamu?”
sergah Hajah Zainun jelas tidak suka dengan tingkah acuh tak acuh anak
lelakinya.
Khusyuk benar lelaki itu menatap surat
khabar di tangannya tanpa peduli pada kata-kata Hajah Zainun.
“Saya tahu tu,
mak, tapi saya memang dah tak ada rasa nak
kahwin semula. Saya dah cukup bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Saya tak
nak tambahkan beban kepala saya ni lagi dengan fikir perkara lain pula.” Dalam
lembut, Datuk Zafran bertegas suara.
Dengan Hajah Zainun, Datuk Zafran akui dia tidak mampu
melawan kata. Bukan kerana dia terlalu hormatkan perempuan tua itu, tetapi kerana dia sering kali sedar kejayaan yang
dikecapinya selama ini adalah hasil daripada
pertolongan dan doa mak kandungnya itu.
“Huh. Kamu tak mahu tambah beban atau
kamu masih ingatkan bekas isteri kamu tu sebenarnya?” sergah Hajah Zainun
sambil menjeling tajam anak sulungnya.
“Kamu ingat ya,
Zaf. Sekali kamu dah ceraikan dia, sampai mati pun mak tak mahu dia jadi
menantu mak semula. Cukuplah dengan apa yang dia dah buat kepada kamu anak-beranak. Mak tak mahu dia datang semula dalam
hidup kamu sekeluarga. Mak takkan izinkan!” tegas Hajah Zainun sudah mencekak
pinggang sendiri.
Turun naik dadanya menahan marah setiap
kali mengingati bekas menantunya nan seorang itu. Hajah Zainun adalah orangnya
yang tidak lelah menghembus semangat buat anak sulungnya itu ketika lelaki itu
hilang keyakinan untuk meneruskan hidup. Tidak dapat dinafikan, Hajah Zainun
adalah tunggak kekuatan Datuk Zafran selama ini. Kerana itu Hajah Zainun cukup
benci bila perihal Arisa diungkitkan.
Mustahil dia mampu memberi izin lagi
andai Arisa mahu kembali ke dalam hidup lelaki
itu. Mati hidup semula pun, dia takkan dapat menerima Arisa
sebagai menantunya semula biarpun jauh dalam hati Hajah Zainun
sudah lama memaafkan segala perbuatan bekas isteri anaknya itu. Tajam mata
Hajah Zainun memandang Datuk Zafran bila lelaki itu merengus halus.
Surat khabar di tangannya terus
dicampak perlahan ke tepi sofa. Hilang segala keinginannya untuk terus membaca
apatah lagi tumpuannya di dada akhbar itu memang telah hanyut sejak Hajah
Zainun membuka cerita tentang perkara itu.
“Berapa kali Zaf nak bagi tahu mak. Arisa tu dah lama jadi isteri orang
lain. Dia dengan Zaf dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kalaupun dia belum berkahwin lain, Zaf sendiri takkan kahwin semula
dengan dia. Jodoh antara kami dah lama tamat,
mak. Dah tak ada apa yang boleh kami lakukan lagi untuk bersatu semula. Hati
Zaf dah lama tak ada untuk dia,” sahut Datuk Zafran sedikit mengeluh.
Tidak perlu Hajah Zainun ingatkan, dia
sendiri tidak mahu sejarah silam berulang lagi. Cukuplah dengan apa yang telah
dia lalui, Datuk Zafran sudah tidak mahu merasainya buat ke sekian kali. Datuk Zafran sedar. Dia hanya seorang kerani biasa yang
bertugas di salah satu jabatan kerajaan di Pekan, Pahang ketika bergelar suami
kepada Arisa. Ketika Arisa sedang mengandungkan anak sulung mereka, dia ditukarkan ke Kuala
Lumpur.
Hidup di kota
metropolitan, tidak sama kosnya sepertimana di kampung. Keadaan itu memaksanya menjalankan perniagaan menjual keropok yang diambilnya dari
kampung secara kecil-kecilan. Apatah lagi beberapa tahun kemudian Arisa
melahirkan anak kedua dan anak ketiga mereka, menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit. Namun, semua itu tidak
mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki
buat mereka sekeluarga.
Saat dia berusaha
meningkatkan taraf ekonomi mereka sekeluarga, sedar tak sedar Arisa semakin
hanyut dengan kehidupan di kota. Isterinya itu mula lupa tentang
tanggungjawabnya terhadap keluarga. Keizinan yang diberikan dia untuk isterinya itu keluar bekerja menjadi
batu loncatan buat Arisa bergerak lebih jauh. Hinggalah pada satu hari, perkara
yang ditakuti Datuk Zafran berlaku juga.
Dia dan Arisa berpisah
juga akhirnya. Perpisahan yang akhirnya menjadikan dia bersyukur atas apa yang
berlaku. Syukur kerana dia mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah
pemergian wanita itu daripada
hidupnya.
Lama matanya memandang Hajah Zainun
yang mula tersenyum lebar. Jelas perempuan tua itu senang hati dengan
pengakuannya.
“Hmm... Kalau macam tu kata kamu,
baguslah. Mak lebih rela tengok kamu membujang sampai ke tua daripada berkahwin dengan perempuan tu semula. Kalaupun Arisa tu dah berubah perangai, mak tetap
tak percayakan dia. Kalau diri tu dah biasa makan bangkai, sampai mati pun dia
takkan lepaskan bangkai kalau dapat peluang. Tak dapat makan, dapat hidu pun
dah cukup puas baginya. Kamu faham kan maksud kata-kata mak ni, Zaf?”
Sambil memeluk tubuh, wajah suram Datuk
Zafran ditatap lagi. Hati Hajah Zainun masih belum tenang selagi segala
perintahnya tidak dituruti. Dia tersenyum semula bila Datuk Zafran mengangguk
perlahan. Malas mahu menyahut.
“Jadi,
sekarang ni, mak nak kamu dengar cakap mak pula,
Zaf. Mak tak kira, sama ada kamu suka ataupun
tidak, mak nak kamu kahwin semula. Bila masanya, dengan siapa orangnya, mak
yang akan tentukan. Dulu kamu pernah kahwin dengan pilihan kamu, bukan? Akibatnya kamu dah merasa. Sekarang ni
mak nak kamu kahwin pula dengan pilihan mak. Mak yakin kamu akan bahagia dengan
pilihan mak kali ni.” Sambil bermundar-mandir di depan lelaki itu, Hajah Zainun
memberi arahan tegas. Tidak peduli Datuk Zafran sudah tergamam dengan
kata-katanya.
“Tapi,
mak, Zaf dah bagi tahu mak,
bukan? Zaf belum terfikir nak kahwin semula.” Tegas Datuk Zafran membantah.
Tanpa sedar dia sudah bangun berdiri tegak di depan maknya. Wajah serius Hajah
Zainun ditatap lama. Meminta pengertian.
“Mak tak peduli! Selagi kamu tak
kahwin, selagi itulah hati mak takkan tenang. Kamu jangan fikir mak tak tahu
yang bekas isteri kamu tu masih cuba dapatkan kamu semula. Walaupun hanya beberapa tahun dia menjadi isteri kamu,
mak cukup kenal dengan perangai dia. Perempuan macam dia tu sanggup lakukan apa
saja asalkan dia dapat apa yang dia nak. Cukuplah kamu hidup menduda
berbelas-belas tahun ni. Mak tak boleh bersabar lagi. Sebelum apa-apa berlaku
antara kamu dan dia, lebih baik mak kahwinkan kamu semula dengan perempuan
lain.”
“Tapi,
mak...”
“Zafran, kamu dengar cakap mak ni
baik-baik. Kalau kamu rasa kamu tu anak kandung mak, kamu kena ikut cakap mak.
Kalau tidak kamu jangan anggap mak ni mak kamu. Kamu harus ingat, Zafran. Kamu masih berhutang budi dan wang
ringgit dengan mak. Jumlahnya pun bukannya sedikit. Kamu sendiri pernah katakannya, bukan? Jadi,
sekarang mak mahu kamu tebus semuanya. Mak tak mahu kamu bayar dengan wang ringgit, tapi mak nak kamu setuju kahwin dengan
perempuan pilihan mak. Itu saja. Fikir habis-habis kata-kata mak ni, Zaf!” tegas Hajah Zainun. Dia terus berlalu dari
ruang tamu itu kemudian. Tanda perbicaraan mereka tamat di situ sahaja.
Datuk Zafran terduduk semula di sofa.
Sambil menyebak rambut tebalnya, dia mengeluh panjang. Akalnya mula berserabut.
“Aku nak kahwin lain? Dalam usia macam
begini? Mengarut betul!” rengusnya sendiri.
Hajah Zainun masih tidak penat
bermundar-mandir di ruang tamu luas itu. Akalnya sibuk memikirkan rancangannya
untuk mengahwinkan Datuk Zafran buat kali kedua. Biar apa pun yang berlaku, dia
harus memastikan rancangannya untuk melihat Datuk Zafran bersanding di jenjang pelamin
menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.
Dia tidak bimbang tentang
penerimaan anak-anak Datuk Zafran tentang perkara itu. Dia yakin, Niesya akan
menyokong rancangannya seratus peratus. Bahkan gadis itu juga seperti dirinya,
tidak sabar-sabar mahu melihat Datuk Zafran kembali beristeri.
Sejak diberitahu tentang
perancangan Hajah Zainun, Niesya kelihatannya begitu teruja. Malah, gadis lincah itu
langsung tidak kisah andai gadis pilihan Hajah Zainun jauh lebih muda daripada Datuk Zafran, asalkan gadis yang bakal
bergelar isteri Datuk Zafran itu mampu membahagiakan Datuk Zafran sepertimana yang diharapkan mereka
semua selama ini.
Satu penerimaan yang
cukup melapangkan hati Hajah Zainun. Sekali gus menaikkan lagi semangat Hajah Zainun untuk meneruskan
rancangannya. Tanpa sedar, Hajah Zainun tersenyum sendiri tatkala bayangan
gadis yang bakal disatukan dengan anak sulungnya menjelma dalam akal. Dia
yakin, rancangannya pasti akan berjaya kali ini. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment