“Assalamualaikum, Ellina.”
Ellina yang ralit menatap
aliran sungai di depannya tersentak. Segera dia berkalih pandang, memandang
gerangan manusia yang menegur lembut dirinya. Perlahan dia menyahut sebelum
bibirnya tersenyum kemudian. Tidak sangka mereka akan bertemu lagi di situ.
Apatah lagi dalam keadaan dirinya sibuk memikirkan tentang keadaan diri
sendiri.
“Awak dari mana? Lama tak
nampak kat sini?” Ellina bersuara sebaik saja figura itu
melabuh punggung tidak jauh dari tempatnya berada kini.
“Awak dah lupa agaknya. Saya
tak tinggal kat kampung ni. Jadi, awak memang jarang-jarang dapat nampak kelibat saya kat sini,”
sahut Datuk Zafran sambil membalas pandangan malu-malu Ellina.
“Kalau macam tu, awak
tinggal kat mana? Kampung sebelah?”
Soalan lurus Ellina membentuk senyuman
Datuk Zafran tanpa sedar. Senang dengan tingkah Ellina yang kelihatan selesa
berbual-bual dengannya kali ini. Tidak seperti pertemuan pertama mereka tak
lama dulu. Begitu
pun, Datuk
Zafran masih tidak lupa pada tujuannya ke situ petang itu. Dia mahu mengenali
diri Ellina dengan lebih dekat atau dengan kata lain, dia mahu tahu siapa Ellina sebenarnya Ellina dan apa kaitan gadis itu dengan
bekas kekasihnya.
“Saya tinggal di Kuala
Lumpur. Hanya sesekali saya balik ke sini. Itu pun sekejap saja. Saya tak boleh
berlama-lama di sini memandangkan banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan
di sana,” jelas Datuk Zafran lembut.
“Oh...” Ellina mengangguk
faham.
“Maknanya awak hanya ke sini untuk
mencari ketenangan, begitu?” soal Ellina. Dia tersenyum bila Datuk Zafran
mengangguk perlahan.
“Pelik saya. Kenapa orang
kaya macam awak masih mencari kawasan kampung begini untuk cari ketenangan
padahal di bandar sana semuanya dah ada? Malah jauh lebih baik daripada apa yang ada di kampung ni,” kata Ellina,
jelas tidak mengerti.
“Bandar memang moden, tapi itu
tak bermakna di bandar ada segala-gala yang kita nak, Ellina. Malah pada
sesetengah orang, bandar lebih banyak keburukannya daripada di kampung. Pada yang
pandai membawa diri, hidup di bandar memang menyeronokkan. Tapi jika
sebaliknya, boleh memberi tekanan pada kita sendiri,” sahut Datuk Zafran.
“Kenapa pula macam tu?”
Tanpa sedar, Ellina membuka ruang perbualan yang lebih luas antara mereka.
Biarpun dia masih segan
untuk membalas pandangan lelaki itu, namun Ellina tidak dapat nafikan
dia selesa berbual-bual dengan lelaki matang
itu. Boleh jadi tingkah tenang dan selamba yang dipamerkan Datuk Zafran
menjadikan Ellina yakin lelaki itu tidak menyimpan sebarang niat buruk terhadapnya.
Apatah lagi lelaki itu kelihatan begitu menjaga adab dan batas antara mereka.
“Bukan semua perkara kita
boleh beli dengan duit, Ellina. Seperti ketenangan, kebahagiaan. Perkara-perkara
begitu hanya boleh kita rasa kalau kita terima apa yang kita ada dengan hati
yang reda. Jika tidak, buatlah macam mana sekalipun, kita tetap berada di tahap
yang sama kerana kita sendiri tidak mahu mengubah arah hidup kita. Sebab tu
saya kata, tak semua orang mampu merasa nikmat ketenangan dan kebahagiaan itu
jika tak kena caranya,” jelas Datuk Zafran lalu Ellina mengangguk lagi.
“Betul kata awak tu.
Sebenarnya, hidup di mana-mana pun sama saja. Asalkan kita bahagia, insya-Allah, kita tetap akan berasa tenang biar apa pun keadaan hidup yang
kita lalui. Ya tak?” sahut Ellina lalu dia tersenyum bila Datuk Zafran
mengangguk perlahan, tanda mengiakan kata-katanya.
“Awak memang selalu ke
sungai ni ke, Ellina?” soal Datuk
Zafran, sengaja melencong arah perbualan mereka. Sekali gus mengambil peluang itu untuk mengorek kisah hidup gadis itu.
Lama matanya memandang
Ellina yang menggeleng perlahan.
“Tak juga. Saya hanya
datang ke sini bila saya ada masa lapang atau bila saya teringin nak makan sayur-sayur
kampung. Kat sinilah saya akan cari semua tu,” beritahu Ellina.
“Mak ayah awak tak kisah
awak datang duduk kat sini lama-lama?”
Soalan seterusnya daripada Datuk Zafran menjadikan
wajah ceria Ellina berubah mendung sejenak. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Ayah saya tak kisah. Dia
sendiri pun jarang-jarang ada kat rumah. Sibuk bekerja aje.” Teragak-agak
Ellina mahu bersuara.
Mustahil dia mampu berterus terang tentang kehidupannya kepada lelaki yang baru
sekali dua ditemuinya itu. Lagipun telah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga
maruah Pak Samad biarpun terpaksa menipu.
“Mak awak pula macam
mana? Dia pun tak kisah?”
Soalan itu menjadikan
Ellina terdiam sejenak. Sebak sebenarnya dengan pertanyaan yang mengingatkan
dia kepada arwah mak yang telah
lama pergi. “Mak saya dah lama meninggal. Sejak saya kecil lagi.”
Giliran Datuk Zafran
terdiam bila mendengar jawapan sayu gadis itu. Terkedu sebenarnya dengan jawapan
yang tidak diduga itu,
namun hanya sekejap,
tatkala akalnya terfikir sesuatu.
“Maafkan saya, tapi boleh saya tahu
siapa nama mak awak tu?” soal Datuk Zafran memandang Ellina yang lambat-lambat mengukir
senyuman. Hambar.
“Hasnah nama mak saya,”
jawab Ellina sekali
gus
menjadikan riak teruja Datuk Zafran berubah mendung biarpun tidak ketara di
mata Ellina.
Ternyata telahannya
salah. Ellina tidak mempunyai sebarang hubungan dengan bekas kekasihnya. Sekali gus membuktikan Ellina dan
bekas kekasihnya memang tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain. Mungkin Allah sudah menentukan
mereka berdua mempunyai raut wajah yang hamper sama. Itu saja.
Datuk Zafran tersentak
kecil bila Ellina kembali bersuara kemudian.
“Hmm... Tak apalah, awak. Saya balik dulu
ya. Hari dah petang sangat ni.” Ellina terus meminta diri sebaik terpandang
pada cahaya matahari yang mulai menghilang.
Biarpun masih terlalu
awal, namun Ellina tidak mahu
menjadikan semua itu sebagai alasan untuk dia terus berada di kawasan sunyi
itu. Paling penting, dia tidak mahu timbul fitnah antaranya dengan lelaki asing itu. Mata dan telinga manusia,
tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Lain dipandang dan didengar, pasti lain
jugalah yang akan sampai kepada
orang lain nanti.
“Ellina?”
Ellina yang baru
melangkah setapak kembali menoleh. Menatap Datuk Zafran yang ikut serta bangun
daripada duduknya.
“Terima kasih kerana sudi
berbual-bual dengan saya. Andai ada rezeki, saya harap kita boleh bertemu
lagi,” kata Datuk Zafran penuh harap.
Bukan kerana hatinya
sudah pandai berdebar setiap kali menatap wajah polos itu, tetapi kerana dia senang
dengan tingkah yang ditunjukkan Ellina. Ellina menerimanya sebagai kenalan tanpa peduli pada latar belakangnya.
Jauh sekali bertanya tentang kedudukan mahupun pangkat yang disandangnya. Satu
tingkah yang menjadikan hati Datuk Zafran teringin mengenali Ellina dengan
lebih mendalam.
“Insya-Allah.
Assalamualaikum,” sahut Ellina sebelum terus menghilang.
Meninggalkan Datuk Zafran
yang menjawab perlahan salam gadis itu.
No comments:
Post a Comment