“JANGAN, ayah! Jangan!
Ina tak mahu pergi! Ina tak mahu ikut dia! Ina tak mahu! Ayah!!!”
Jeritan demi jeritan dari tingkat atas
rumah mengejutkan Ehsan dan Fatihah yang ralit menonton televisyen di tingkat
bawah. Kelam-kabut mereka berlari ke tingkat
atas bila jeritan itu semakin nyaring dan kuat. Pintu bilik Ellina diterpa
sebelum mereka menerjah masuk. Suis lampu ditekan cepat. Menjadikan bilik itu
terang serta-merta.
“Ina! Ina! Bangun,
dik! Bangun!” Tergesa-gesa Fatihah mengejutkan Ellina yang menggelupur di atas katil. Tubuh Ellina digoncang
beberapa kali hingga gadis itu tersedar daripada
igauannya.
Ellina tersentak. Dia bingkas bangun
dengan nafas yang sudah turun naik beberapa kali. Ada air
mata yang mengalir di pipinya. Tubuh Fatihah terus dirangkul saat dia
tersedar dengan keadaan sekeliling.
“Kak... Ina takut,
kak. Ina mimpi ayah datang ambil Ina. Ina mimpi Ina dijual pada orang jahat.
Ina takut, kak. Ina takut sangat,” ngongoi
Ellina dalam pelukan erat Fatihah.
Dia teresak-esak menangis. Langsung
tidak peduli pada pandangan anak-anak Ehsan yang ikut serta menerpa masuk
sebentar tadi. Masing-masing ikut serta mahu tahu apa yang sedang berlaku di
bilik tempat adik perempuan ayah mereka berada sekarang.
“Shhh...
Jangan menangis, dik. Ina selamat sekarang. Ina
kat rumah kakak dan abang. Insya-Allah, Ina takkan apa-apa,” pujuk Fatihah
sambil membelai-belai rambut panjang Ellina.
Sesekali dia mengalih pandangan ke arah
Ehsan yang sudah melepas nafas panjang. Mengerti dengan keadaan yang sedang
dilalui gadis itu ketika ini.
“Abang janji abang takkan benarkan sesiapa pun
ambil Ina daripada kami. Ina jangan bimbang ya,”
pujuk Ehsan pula.
Dia hanya akur bila Fatihah mengerling.
Bagai memberi isyarat agar membawa anak-anak keluar dari situ. Sekadar memberi
ruang kepada Ellina untuk bertenang.
“Betul kata Abang
Ehsan tu, Ina.
Ina selamat selagi Ina bersama dengan kami. Dahlah,
dik, jangan fikir yang bukan-bukan lagi ya? Tidurlah. Hari dah jauh malam ni,”
pujuk Fatihah lagi seraya merenggangkan pelukan mereka setelah dia yakin Ellina
sudah dapat menenangkan diri. Sisa-sisa air mata
Ellina dilap dengan hujung jarinya.
Ellina mengangguk perlahan.
Lambat-lambat dia kembali membaringkan diri. Dia hanya memandang tatkala
Fatihah membetulkan kedudukan selimutnya.
“Kak...” panggil Ellina sebelum sempat
Fatihah keluar. Memandang Fatihah yang sudah mengalih tubuh di muka pintu bilik.
“Terima kasih,” ucap Ellina penuh
sungguh.
Lambat-lambat dia membalas senyuman
Fatihah sebelum kakak iparnya itu menutup lampu dan pintu bilik. Meninggalkan
Ellina yang perlahan-lahan cuba membuang segala mimpi buruk yang dilaluinya
sebentar tadi. Ellina kembali terlena setelah membaca beberapa potong ayat al-Quran.
Kali ini dengan lebih tenang.
“Ellina dah tidur?” soal Ehsan sebaik saja
Fatihah melangkah masuk ke dalam bilik tidur mereka.
Ehsan baru saja selesai menidurkan
anak-anak mereka. Dipandang lama Fatihah yang
mengangguk perlahan.
“Dah,
bang. Trauma betul Ellina dengan keadaan yang dilaluinya tu,” keluh Fatihah
sambil duduk di sisi Ehsan yang sudah menyandar tubuh di kepala katil.
“Tihah peliklah,
abang. Kenapa orang suka sangat jadikan perempuan sebagai pelacur? Dia orang
tak tahu ke pelacuran tu sebenarnya hanya merosakkan masyarakat dan menambahkan
lagi masalah sosial negara? Dia orang tak rasa berdosa ke buat kerja-kerja keji
macam tu?” marah Fatihah tiba-tiba saja,
beremosi.
“Siapa kata perempuan saja yang jadi
pelacur? Lelaki pun ada juga, tapi jumlah dia
orang tak adalah seramai jumlah orang perempuan,” sahut Ehsan. Mengerti dengan
kemarahan yang sedang menghurung hati isterinya.
“Ya ke ada lelaki yang jadi pelacur, bang? Tihah tak pernah dengar pun,” soal
Fatihah jelas terkejut.
“Adalah,
sayang. Kalau lelaki ada nafsu, mustahil sangat perempuan sebaliknya. Sebab
itulah wujudnya gigolo, lelaki pengiring dan
lain-lain gelaran untuk pelacur lelaki ni. Hanya kita yang kurang sedar dengan
kewujudan golongan ni. Tihah jangan tak tahu. Pelacur pun ada kelas-kelasnya
tersendiri. Ada yang digelar pelacur jalanan, bohsia, pelacur pasar, pelacur
bermajikan, pelacur kehormat, pelacur bebas dan lain-lain lagilah. Tapi, apa pun gelaran
yang diberikan, tugas mereka tetap sama iaitu memberi khidmat seks bebas kepada
sesiapa saja yang mahu.” Ehsan memberi keterangan setakat yang dia tahu.
“Apalah
punca sebenar wujudnya kegiatan pelacuran ni ya?”
soal Fatihah sudah menyandar tubuh di kepala katil.
“Ada banyak sebab kegiatan ni berlaku, Tihah. Antaranya sebab ekonomi. Maksud abang,
dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan masalah pengangguran,
kemiskinan, hutang, peningkatan kos hidup dan peluang pekerjaan yang tidak
seimbang dengan kelulusan menjadikan seseorang sanggup melakukan apa saja untuk
kelangsungan hidup. Ada juga yang inginkan kehidupan mewah tanpa perlu berusaha
keras. Jadi, secara tak langsung kegiatan
pelacuran ni mampu memberi kemewahan dengan cara yang paling cepat dan mudah.
Sosial juga menjadi penyumbang kepada
kegiatan ni untuk terus berleluasa. Mana tidaknya, keruntuhan moral seperti
kurang didikan agama daripada keluarga menyebabkan nilai murni sesebuah
masyarakat semakin hilang. Itu belum dikira lagi dengan masalah perceraian mak ayah, tekanan keluarga, paksaan suami
yang suka berhutang menyebabkan anak gadis dan isteri dia orang menjadi
pertukaran untuk membayar hutang. Bila ada ayah begini, sedikit sebanyak
anak-anak remaja yang tertekan akan ikut sama terpengaruh dengan kegiatan ni
semata-mata nak mencari keseronokan di luar dari rumah sendiri,” jelas Ehsan
panjang lebar.
“Abang pun datang daripada keluarga yang sama seperti itu. Tapi, abang tetap boleh ubah nasib diri abang, bukan?” sampuk Fatihah jelas masih tidak
memahami.
“Abang lain Tihah. Walaupun abang dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda dan ada ayah yang kuat berjudi, tapi arwah mak banyak bagi kekuatan kepada
abang dan Ellina untuk berubah. Arwah selalu nasihatkan kami supaya pilih jalan
yang baik biarpun sukar sebab hidup dalam dunia ni hanya sementara. Semiskin
mana pun kami, arwah mak tak pernah lupa berikan didikan agama kepada kami
berdua. Kerana itulah walaupun ayah sejahat tu abang masih boleh berfikir apa
yang baik, apa yang tidak. Tapi semua orang mampu sekuat itu, Tihah. Malah, ramai
yang memilih jalan salah semata-mata kerana kekurangan iman,” sahut Ehsan penuh
syukur.
Syukur kerana dia adalah antara mereka
yang terpilih untuk terus berada dalam landasan hidup yang benar meskipun
payah.
“Betul cakap abang tu. Kita tak boleh
salahkan sesiapa dalam hal ni, tetapi kita kena
salahkan diri kita sendiri. Semuanya bermula daripada
kita. Kalau kita ikut betul-betul segala perintah yang ada dalam agama, hidup
kita akan jadi lebih baik daripada apa yang kita
harapkan. Tapi nak buat macam mana, bukan semua orang mahu jadikan agama tu sebagai
pedoman.” Fatihah ikut serta mengeluh. Dia tersentak bila Ehsan memeluk bahunya
perlahan.
“Terima kasih kerana sudi jadi isteri
abang walaupun Tihah tahu kisah silam dan cara hidup keluarga abang. Terima
kasih sangat-sangat, sayang,” ucap Ehsan begitu
terharu. Tangan Fatihah diraih sebelum dia mengucup lembut jari-jemari
isterinya.
“Jangan ucap terima kasih, bang. Dah ketentuan Allah abang harus lalui
kehidupan begitu. Abang sendiri pun tak pernah minta dilahirkan dalam keluarga begitu, bukan? Tihah juga bukannya sempurna macam
orang lain. Tihah pun banyak kurangnya, bang,”
ucap Fatihah sebak dengan kata-kata sendiri.
Ehsan memeluk erat tubuh isterinya. Sama-sama sebak
dalam suasana sunyi yang semakin dibawa pergi masa.
“Tergamak betul
Samad jual maruah anak sendiri kepada Wong Pai. Isy... Dia tu manusia ke
binatang sebenarnya hah sampai dah tak ingat dosa pahala?” soal Mak Wan Senah
agak marah.
Perempuan tua itu masih tidak jemu
bercakap tentang Ellina biarpun kejadian itu sudah berlalu sejak beberapa hari
lalu.
“Manusia kalau berhati binatang,
begitulah perangainya, Senah. Langsung tak ada
hati perut sampai sanggup buat kerja-kerja keji yang dilaknat Allah. Kesian
budak Ellina tu. Tak pasal-pasal dia jadi mangsa keadaan. Kalaulah aku ada anak
lelaki yang dah besar panjang, nak jugak aku kahwinkan dia dengan budak Ellina
tu. Tapi, bila dikenang-kenang perangai Si Samad
tu, eii... Tak sanggup rasanya aku nak berbesan dengan manusia jahat macam dia
tu,” sampuk Yong Naemah pula.
“Alah...
Tak payahlah kau nak kahwinkan anak lelaki kau yang baru bersekolah darjah tiga
tu dengan budak Ina tu, Mah. Ni hah... Hero kita
kan ada. Masuk minta ajelah budak Ina tu, Man,”
sampuk Wa Uteh pula sambil menepuk-nepuk bahu Irman.
Lelaki muda itu hanya tersengih kelat.
“Nak masuk minta apanya, Uteh oi? Satu
kampung ni dah tahu macam mana perangai si Samad tu. Perempuan lain seusia
Ellina tu dah berderet-deret anaknya. Malah, ada
yang anaknya dah masuk sekolah pun. Ellina tu jangankan anak, teman lelaki pun
dia tak ada. Dapat ayah jenis mata duitan, memang payahlah budak Ellina tu nak berlaki,”
sampuk Mak Wan Senah sebelum sempat Irman berkata apa-apa.
“Habis tu, takkanlah budak Ellina tu
nak membujang sampai ke tua? Dia pun mesti ada impian nak punya keluarga
sendiri. Kalau tak dapat lelaki yang kaya harta pun, dapat lelaki yang boleh
bela dia pun jadilah. Itu lebih baik daripada
dia terus hidup dengan ayah yang tak guna macam si Samad tu,” sanggah Yong
Naemah jelas tidak puas hati dengan kata-kata Mak Wan Senah.
“Nak berkeluarga macam mana, Mah oi, kalau
ayah dia tu yang jadi batu penghalangnya? Kau sendiri pun tahu. Kat kampung ni,
anak muda mana yang tak tertawan dengan perangai lemah lembut Ellina? Dia tu dahlah baik, rajin, pandai, hormatkan orang
tua pulak tu. Tapi, siapa yang berani nak
bersemuka dengan Pak Samad? Semua orang tahu anak lelaki dia sendiri, abang Ellina tu, kahwin pun kat Kuala Lumpur
sana. Tak buat apa-apa kenduri pun. Main buat yang wajib saja.
“Tapi, tak apalah Ehsan buat macam tu pun
sebab Ehsan tu lelaki, tak payah pakai wali. Hanya perlu saksi-saksi aje. Si
budak Ellina tu lain ceritanya. Nak tak nak kena jugaklah bakal suaminya
menghadap si Samad tu kalau nak jugak beristerikan Ellina,” jelas Mak Wan Senah
panjang lebar hingga termengah-mengah dia sejenak.
“Tapi kan,
kau orang tak rasa pelik ke? Aku perasanlah, sejak kecil lagi Ellina tu
langsung tak sama rupanya dengan rupa Samad laki bini. Jangankan rupa, perangai
pun berbeza sangat. Aku ingatkan masa kecil aje dia macam tu. Rupa-rupanya sampai
ke besar pun dia tetap tak sama dengan orang tuanya. Kau orang tak perasan ke
semua tu?” soal Yong Naemah, mula membuka rasa hati yang selama ini hanya
disimpan sendiri.
“Hei... Aku dengar khabar angin orang,
Ellina tu sebenarnya anak angkat Samad dan arwah Hasnah aje. Dengar-dengarnya,
Hasnah ambil Ellina daripada mak kandungnya
selepas ayah kandung Ellina jadi penyebab Hasnah tidak boleh mengandung semula selepas lahirkan Ehsan.” Bagai berbisik, Mak Juriah
bersuara perlahan sambil mata liar memandang sekeliling.
“Kau biar betul,
Juriah. Mana pulak kau dengar cerita mengarut ni?” sampuk Wa Uteh seraya
merengus halus. Kurang senang dengan kata-kata Mak Juriah yang dirasakan tidak
harus dijadikan buah mulut mereka.
“La...
Aku tahulah. Aku kan berjiran dengan dia orang?
Hari-hari aku dengar Samad gelar Ellina anak kutiplah, anak buanglah. Tapi, Ellina
tak tahu hal sebenar sebab arwah Hasnah tak pernah khabarkan hal ni kat dia,”
cerita Mak Juriah lagi bersungguh-sungguh.
“Kalau betullah apa yang kau cakap tu, Juriah, memang patut sangatlah rupa paras Ellina
tu langsung tak sama dengan Samad laki bini. Anak kutip rupanya budak Ellina
tu.” Kepala berbalut tudung bunga-bunga kecil milik Yong Naemah sudah
terangguk-angguk.
Bagai dia sudah percaya benar dengan
cerita yang baru sampai ke pengetahuan dia dan mereka yang lain itu.
“Hisy,
kau orang ni. Perkara yang tak ada sahihnya jangan pandai-pandai nak iakan. Manalah tahu semua tu hanya cerita orang saja,”
marah Wa Uteh agak tegas.
“Hah, Irman,
tak payahlah kamu duk termenung macam ayam
tertelan kapur lagi. Tak ke mana hilangnya gadis
impian kamu tu. Dia kat rumah abang dia kat Kuala Lumpur sana nun saja. Kalau
kamu rindu sangat kat dia, kamu ambillah cuti. Pergi jumpa dia. Mesti dia
suka,” usik Wa Uteh.
Terpisat-pisat lelaki muda itu seketika
sebelum Irman tersengih kelat tatkala sedar, semua mata sudah terarah kepadanya.
“Nasib kamulah Irman, jatuh cinta
dengan anak kaki judi. Kalau budak Ellina tu bukan anak betul Samad, untung
kamulah dapat guna wali hakim kalau nak bernikah dengan Ellina. Tapi, rasanya tak guna juga kamu nak berharap sangat. Benda belum sahih, kita pun tak tahu
kebenarannya. Senang cakaplah, Man, kamu doa
ajelah banyak-banyak agar kamu berjodoh dengan budak Ellina tu. Kata orang tua,
kalau ada jodoh memang tak ke mana perginya,” suara Yong Naemah pula sambil
menepuk-nepuk lengan lelaki muda itu.
Yang lain hanya mengangguk. Setuju dengan
kata-kata perempuan tua itu. Masing-masing memandang Irman yang tetap tidak
menyahut. Sekadar tersenyum tawar.
No comments:
Post a Comment