“AYAH kau pukul kau lagi ya?”
Ellina hanya tersenyum. Soalan Irman
dibiarkan berlalu ditiup angin tanpa ada rasa ingin menyahut.
“Teruk jugak dia pukul kau kali ni.
Sampai lebam-lebam kat seluruh badan kau,” kata Irman lagi.
Lelaki muda itu masih leka
melihat-lihat kesan lebam di wajah Ellina. Walaupun gadis itu cuba
melindunginya di sebalik tudung yang dipakainya. Namun, jelas kelihatan warna
kebiru-biruan di wajah putih bersih milik Ellina. Hiba hati Irman yang melihat
biarpun riak wajahnya tetap ditayang biasa-biasa, sebagaimana selalu.
“Mana adalah, Man. Ayah aku mana pukul
aku. Aku terjatuh dalam bilik air masa mandi lepas balik kerja petang semalam.”
Ellina cuba menyembunyikan perkara sebenar.
Tanggungjawabnya sebagai seorang anak
untuk melindungi segala perbuatan buruk ayahnya. Untuk diceritakan kepada orang
lain, tidak sesekali akan dilakukannya. Walaupun lelaki seusianya itu adalah
kawan baiknya sendiri.
“Kau tu terlalu berlembut dengan ayah
kau. Sebab tu dia boleh pijak kepala kau sesuka hati,” sahut Irman nyata tidak
puas hati dengan jawapan gadis itu.
“Apa pulak? Betullah aku jatuh dalam
bilik air semalam,” balas Ellina masih mahu menegak benang yang basah.
Dia mahu melawan cakap-cakap ayah?
Teringat dia ketika di sekolah dahulu. Ustazah Hanah pernah menerangkan dalam
al-Quran, Allah SWT dengan tegas berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 23, Dan
Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya
semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu makan janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’ dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).
Jadi, bagaimana dia mahu melawan jika
Allah sebagai Penguasa Alam sudah menentukan peraturan yang wajib bagi setiap
hamba-Nya ikuti? Ellina tidak mahu menjadi anak derhaka. Tidak sama sekali!
“Betul kata Irman tu, Ellina. Kalau
ayah kamu tu baik sikapnya, bolehlah kalau kamu taat dan patuh pada dia. Ini
dah selalu sangat dia pukul kamu. Sejak kamu kecil lagi. Dia tak juga ubah-ubah
perangai buruknya tu. Makin menjadi-jadi lagi adalah,” sokong Wa Uteh sambil
menghisap rokok daun tembakaunya.
Salah satu daripada kesukaan yang telah
menjadi tabiat lelaki tua itu setiap kali selesai makan tengah hari. Lelaki tua
itu sudah lama bekerja di ladang limau itu. Dia adalah antara pekerja terawal
yang mencari rezeki di ladang milik Puan Hajah Zainun sejak berbelas-belas
tahun lalu. Kerana itulah Wa Uteh sering kali dijadikan tempat rujukan bagi
pekerja-pekerja yang baru memulakan pekerjaan mereka di situ jika mahu bertanya
apa-apa.
“Sebab perangai buruk ayah kamu tulah
mak kamu meninggal dunia. Sebab ayah kamu jugalah, abang kamu membawa diri ke
Kuala Lumpur. Sampai sekarang dia dah tak balik-balik ke sini. Itu pun ayah
kamu masih tak sedar dengan kesalahannya tu,” keluh Wa Uteh semula.
Rokok daun tembakau di tangannya
disedut lagi. Asap rokoknya tidak setebal rokok-rokok lain, namun tetap
menghasilkan bau yang kurang enak kepada Ellina yang duduk bersimpuh tidak jauh
daripada lelaki tua itu.
“Sebut tentang abang kamu, mana
perginya budak Ehsan tu? Apa yang dia buat sekarang?” soal Yong Naemah pula.
Perempuan itu sebaya dengan arwah mak
Ellina. Dia masih kuat bekerja di ladang walaupun tubuhnya hanya kecil molek
sama seperti tubuh Ellina. Wajahnya pula masih kelihatan muda belia biarpun
kedut-kedutnya sudah wujud di sana sini. Kerana itulah orang selalu tersalah
sangka tentang umur Yong Naemah. Dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia
sebenarnya.
“Abang kerja kat Kuala Lumpur tu, Yong.
Dia kerja kat sebagai pengurus Maybank di cawangan Damansara kalau tak salah
Ina,” balas Ellina, bangga dengan pencapaian abangnya.
“Pengurus? Amboi... Bukan main tinggi
lagi pangkat abang kamu tu ya, Ina? Macam mana dia boleh naik pangkat setinggi
tu? Setahu Mak Wan, abang kamu tu belajar sampai SPM aje,” sampuk Mak Wan
Senah.
Perempuan sebaya Yong Naemah itu sedang
sibuk membersihkan bekas bekalan mereka. Sambil-sambil itu, dia tetap memasang
telinga mendengar perbualan semua.
“Dia sambung belajar lepas dia ke Kuala
Lumpur tu, Mak Wan. Siang dia kerja kerani. Hujung minggu dia belajar untuk
dapat diploma kat kampus universiti. Lepas dapat diploma aje, dia terus mohon
minta naik pangkat. Alhamdulillah, permohonan dia diluluskan,” cerita Ellina
serba ringkas.
“Syukurlah kalau begitu. Senang jugak
akhirnya hidup abang kamu tu ya. Abang kamu tu tak ada balik ke sini lagi ke,
Ina?”
Soalan Wa Uteh melebarkan senyuman
manis Ellina. Gadis itu memang murah dengan senyuman. Kerana itu jarang-jarang
orang yang tidak mengenali Ellina dapat membaca segala penderitaan yang
ditanggungnya selama ini.
“Ada Wa Uteh, tapi tak selalulah.
Sebulan sekali saja dia balik. Itu pun dia tak balik sampai ke rumah. Selalunya
dia tunggu Ina kat kedai Haji Berahim atau kat masjid kampung aje. Tu pun tak
lama mana. Wa Uteh faham-faham ajelah perangai abang tu. Mana boleh dia bersua
muka dengan ayah. Karang lain pula yang jadi nanti.”
“Ayah kamu tu terlalu baran, Ina, sebab
tulah abang kamu tak tahan dengan perangai dia. Siang malam tahu nak berjudi
aje. Langsung dia tak ingat pasal rumah tangga sendiri. Sampai bila dia nak
hidup dalam keadaan tu pun tak tahulah.” Wa Uteh kembali mengeluh.
“Tapi eloklah kalau Ehsan selalu ambil
berat pasal kamu Ina. Nak harapkan ayah kamu tu, alamatnya kamu mati kering pun
belum tentu dia nak ambil peduli,” celah Mak Wan Senah. Turut sama simpati
dengan kehidupan Ellina yang ternyata berlainan sungguh daripada mereka yang
lain.
Sebagai jiran sekampung, masing-masing
hanya mampu memberi nasihat kepada gadis malang itu selain membantu setakat
mana yang terdaya. Itu saja.
“Ina, apa kata kalau kau ambil cuti aje
hari ni? Teruk jugak aku tengok lebam-lebam kat muka kau tu,” kata Irman
semula.
Sejak tadi dia hanya memasang telinga
dan menjadi penonton. Langsung tidak sempat nak mencelah bersuara. Irman sedar
bukan dia seorang saja yang mengambil berat tentang Ellina. Bahkan hampir ke
semua pekerja ladang yang seramai 20 orang itu turut sama bersikap demikian
kepada Ellina, terutama Wa Uteh, Yong Naemah dan Mak Wan Senah.
Hajah Zainun selaku pemilik ladang juga
sentiasa memantau keadaan hidup mereka walaupun tidak selalu perempuan tua itu
menghabiskan masa bersama pekerja-pekerjanya. Perempuan tua itu sentiasa sibuk
dengan urusan amal jariah dan cucu-cucunya.
“Tak apalah, Man. Sikit aje pun
lebam-lebam aku ni. Esok-esok hilanglah semua ni,” sahut Ellina sambil
menyentuh perlahan wajah sendiri.
Masih terasa perit lebam-lebamnya itu
walaupun dia jarang-jarang menyentuh. Terbuang juga sejam dua masanya malam
tadi gara-gara menuam wajah agar tidak terlalu ketara keadaan lebamnya. Mujur
sudah surut sedikit bengkak-bengkaknya. Jika tidak jenuh juga dia memberi
alasan pada mereka yang pastinya akan bertanya pelbagai soalan.
“Tapi...” Irman tetap tidak puas hati.
“Tak apalah, Man. Dah budak Ina ni tak
mahu, tak payahlah kamu paksa-paksa dia lagi. Lama-lama nanti hilanglah
bengkak-bengkaknya tu.” Wa Uteh terus menyampuk sebelum sempat Irman menyambung
bicara. Cuba menyedarkan Irman batas yang wujud antara lelaki muda itu dan
Ellina.
Mahu tak mahu Irman hanya mengangguk
tanda beralah.
“Balik nanti kamu jangan lupa tuam
lebam-lebam kamu tu Ina. Teruk benar Mak Wan tengok,” suruh Mak Wan Senah
sambil mengusap-usap belakang gadis itu.
“Yalah. Kalau ada minyak gamat, kamu
sapu kat tempat-tempat sakit tu. Cepat sikit leganya tu nanti,” celah Yong
Naemah pula.
Ellina hanya mengangguk. Walaupun
mereka hanya jiran sekampung, namun kasih sayang yang ditunjukkan benar-benar
dihargainya. Terasa hidupnya bahagia walaupun Pak Samad selaku ayahnya sendiri
tidak pernah memberi setitik kasih sayang pun kepadanya selama ini.
Irman lambat-lambat merengus halus.
Tetap tidak puas hati melihatkan keadaan Ellina biarpun dia sedar, dia tidak
hak untuk memaksa gadis itu menurut katanya.
PETANG itu Ellina ke sungai lagi. Bukan untuk mencari paku pakis
sebagaimana selalu, sebaliknya dia mahu menenangkan hati selain daripada merehatkan
diri. Entah mengapa tiba-tiba saja Ellina rindu untuk ke situ setelah selesai
menyiapkan kerja di ladang.
Cepat-cepat
Ellina meletak raga rotan yang selalu dibawa ke ladang di atas batu besar sebaik tiba. Sambil duduk memeluk kedua-dua
lutut, Ellina melepas pandangan ke sekeliling. Suasana sekitar sungai yang
hening menjadikan hati Ellina mudah dipagut tenteram hingga tanpa sedar, dia
ralit dalam lamunan sendiri.
Ellina
tersentak kecil tatkala terperasan dengan kehadiran seseorang di situ, tidak
jauh dari tempatnya berada. Pantas dia bangun, berdiri. Hanya beberapa saat mereka berbalas pandangan
sebelum Ellina mengambil keputusan untuk berlalu. Tidak selesa dengan renungan
tajam milik lelaki itu.
“Nanti
dulu.”
Tak
jadi Ellina nak melangkah pergi bila lelaki itu bersuara akhirnya. Tegas
biarpun nadanya lembut. Lambat-lambat Ellina berpaling, menghadap lelaki yang
tidak dikenalinya itu bila lelaki itu kembali bersuara buat kali kedua.
“Awak
orang kampung ni ke?” soal lelaki itu dengan mata tetap tidak berkalih dari
wajah takut-takut Ellina.
Gadis
itu mengangguk laju.
“Encik
ni siapa? Encik bukan orang kampung ni, kan?” tebak Ellina, cuba memberanikan diri bertanya.
Penuh
sangsi dia memandang lelaki itu yang lambat-lambat mengukir senyuman kemudian.
Sambil menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar, lelaki itu
membalas pandangan Ellina.
“Saya
Zafran. Saya orang kampung ni, macam awak juga. Cuma saya jarang-jarang balik
ke kampung ni. Kalau balik pun sebab ada kerja aje. Selebihnya, masa saya
banyak dihabiskan di luar kawasan kampung ni.” Panjang lebar Datuk Zafran
memperkenalkan diri.
Diam-diam,
dia bersyukur. Ternyata tidak sia-sia dia menyinggah ke sungai itu sebelum
kembali ke Kuala Lumpur sebentar nanti. Niatnya ke situ hanya untuk mencuci
mata selain menenangkan hati setelah seharian masanya dihabiskan dengan
bermesyuarat dengan klien syarikat di Kuantan.
Tidak
sangka dia akan bertemu lagi dengan gadis yang pernah dilihat kelibatnya
dulu. Entah mengapa gadis ini berjaya mendebarkan
hati lelakinya. Debar kerana menyangka, gadis itu adalah jelmaan bekas
kekasihnya yang telah lama pergi. Apa yang pasti, wajah gadis di depannya itu
berjaya mengingatkan dia
kepada
kekasih hatinya yang sehingga kini masih berada dalam jiwanya.
Kerana
itu dia tidak teragak-agak menegur. Sekadar mahu memastikan fikirannya tidak
berilusi.
Paling
penting, gadis itu benar-benar wujud di depan matanya dan kini Datuk Zafran
yakin, gadis itu
bukanlah khayalan yang wujud dari dalam akalnya yang banyak berfikir tentang
pelbagai perkara.
“Ya
ke? Tapi, kenapa saya tak pernah nampak awak kat mana-mana kawasan kampung
ni pun? Awak tipu ya?” Ellina bertanya penuh sangsi, dengan jari telunjuk sudah
tertala ke wajah tenang lelaki itu.
Spontan
saja dia memanggil lelaki itu dengan panggilan awak dan bukannya encik, sebagaimana
mula-mula tadi memandangkan Ellina mengagak lelaki itu tidak
jauh usianya berbanding Ellina. Dalam
kata lain, lelaki itu kelihatannya lebih layak digelar abang oleh Ellina. Hanya
sekejap Ellina bertingkah begitu sebelum mata Ellina kembali tertunduk ke bawah.
Melihat keterampilan Datuk Zafran, Ellina yakin. Lelaki itu berasal daripada golongan
mewah dan tidak mustahil, lelaki itu mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam
masyarakat. Lantas, rasa malu terus menyusup masuk ke dalam hati Ellina. Malu
dengan keadaan diri sendiri yang serba daif selain segan dengan renungan tajam
lelaki itu. Renungan yang berjaya menghasilkan debaran di hati gadisnya.
Lebar
senyuman Datuk Zafran seketika. Melihat raut wajah Ellina ketika ini pun dia sudah dapat membaca isi hati gadis itu yang jelas
tidak percaya dengan kata-katanya.
“Saya
memang orang sini, tapi macam yang saya katakan tadi, saya jarang-jarang ada
kat kampung ni. Tapi percayalah, saya tak pernah lupa pada tempat kelahiran
saya sendiri,” sahut Datuk Zafran, bersungguh-sungguh cuba meyakinkan
gadis itu.
Manakala
hati dan akal masih sibuk mencari jawapan pada soalan-soalan yang mulai timbul.
Ingin saja dia bertanya tentang asal usul gadis itu, latar belakangnya dan lain-lain, namun dirasakan tidak
sesuai pula dia berbuat demikian. Paling utama, dia mahu tahu apa kaitan gadis itu
dengan bekas kekasihnya hingga mereka boleh mempunyai iras wajah yang begitu
sama?
“Awak
buat apa kat sini? Tak takut ke duduk kat sini sorang-sorang begini? Dahlah tu,
pada waktu-waktu begini pula?” soal Datuk Zafran bila Ellina tidak menyahut.
Sebaliknya
gadis itu sibuk meneliti keadaan diri Datuk Zafran, bagai mahu meyakinkan diri sendiri tentang kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Saya
dah biasa ke mana-mana seorang diri. Lagipun, apa yang perlu saya takutkan?
Saya dah arif dengan kawasan ni,” sahut Ellina.
Bukan
dia mahu bercakap besar, tapi memang itulah kenyataannya. Sejak kecil, sungai ini adalah tempat mainannya. Bahkan sungai ini juga adalah tempat untuk dia meluah segala rasa. Senang
kata, sungai ini telah
banyak menyimpan segala kenangan hidupnya.
“Arif
tak bermakna awak tak perlu fikir tentang keselamatan diri. Bahaya ada di
mana-mana. Tak kira siapa pun kita, risiko untuk mendapat bahaya itu memang
besar jika kita tak hati-hati. Tambah-tambah anak gadis macam awak. Tak elok
rasanya kalau awak selalu ke mana-mana tanpa teman. Macam-macam perkara boleh
berlaku nanti,” nasihat Datuk Zafran, masih tidak jelak menatap wajah polos
gadis itu.
Bukan
mengambil kesempatan tetapi dia hanya sekadar ingin melepaskan rasa rindu kepada bekas kekasih yang
pastinya tidak akan dapat ditemuinya lagi sampai bila-bila. Apatah lagi dalam
diam-diam, Datuk Zafran sedar belum tentu gadis yang berdiri di depannya itu mempunyai
tingkah yang sama dengan bekas kekasihnya.
Senang
kata, kedua-duanya adalah dua orang individu yang berbeza biarpun mempunyai raut
wajah yang serupa. Mustahil dalam sekelip mata dia mampu memberi cinta kepada gadis yang
dirasakan lebih layak menjadi anaknya, meski Ellina bagai malu-malu mahu membalas pandangannya. Satu
reaksi yang telah biasa diberikan oleh mana-mana perempuan lain setiap kali
bersua muka dengannya dan Datuk Zafran telah biasa dengan keadaan itu.
“Maaf
jika awak terasa dengan kata-kata saya tu, tapi saya hanya ingatkan awak. Bak kata pepatah, beringat
sebelum kena. Kalau dah kena, menyesal pun dah tak guna,” sambung Datuk Zafran
bila Ellina hanya mengunci lidah.
“Terima
kasih atas nasihat awak tu.” Hanya itu yang terluah dari mulut Ellina sebelum
dia mahu berlalu.
Tak
manis rasanya untuk dia terus berada di situ, bersama dengan seorang lelaki
yang bukan saja muhrimnya. Bahkan tidak diketahui asal usulnya. Apatah lagi
bila Ellina mulai sedar pada perubahan warna alam di sekitar mereka yang mula
dikuasai warna jingga kemerah-merahan. Tanda senja sudah mula mendatang.
Tak
jadi Ellina mahu melangkah bila Datuk Zafran kembali bersuara.
“Maaf
tapi boleh tahu
siapa nama awak?” soal Datuk Zafran.
“Kenapa
awak nak tahu nama saya?” soal Ellina, sengaja mahu bertarik
tali. Dia menunduk bila pandangan matanya
kembali bergabung dengan pandangan lelaki itu. Dadanya diasak debaran semula.
“Saja nak tahu. Tapi, kalau keberatan, tak
apalah,” Datuk Zafran lalu Ellina
tersenyum.
“Nama
saya Ellina,” jawab Ellina sebelum dia melangkah pergi. Sempat dia berpaling,
menyua salam seraya memberi senyuman buat kali seterusnya sebelum dia terus
pergi tanpa menoleh lagi.
Meninggalkan
Datuk Zafran yang lambat-lambat melepas nafas panjang.
“Ya
Allah... Siapa sebenarnya Ellina ini? Kenapa dia mempunyai raut wajah yang sama
seperti mana arwah Zara?” keluh Datuk Zafran, meski dia sedar keluhan itu tidak mampu mengubah apa-apa.
No comments:
Post a Comment