LEWAT petang, suasana kampung kelihatan
sedikit lengang daripada biasa. Hanya tinggal beberapa orang jiran tetangga
yang masih duduk bersembang di tepi pokok cempedak di pinggir jalan. Sekumpulan
kanak-kanak turut ligat bermain gasing di tepi semak. Riuh-rendah suara mereka
hingga kedengaran jelas di telinga Ellina.
“Nak masak apa ya untuk makan malam
ni?” Sambil menapak menuju ke dapur, Ellina bertanya sendiri.
Raga kecil yang berisi termos dan bekas
makanannya turut dibawa bersama. Tidak lupa pucuk paku yang sempat dikutipnya
di tepi sungai kampung sewaktu dalam perjalanan pulang sebentar tadi. Diletak
di atas meja makan berbentuk empat segi sama itu. Dia melangkah mendapatkan
peti sejuk di tepi dinding. Pintunya dibuka luas. Tiada apa yang ada di
dalamnya melainkan beberapa biji telur ayam di rak paling atas.
“Masak sambal telur dan pucuk paku
goreng sudahlah. Itu aje yang ada,” putus Ellina tatkala perasan bahan-bahan
untuk memasak kuah masak lemak pucuk paku tidak mencukupi.
Ellina baru berkira-kira ingin mengangkat
tudung tong beras di sisi almari pinggan bila tiba-tiba bum! Pintu rumahnya
ditendang seseorang dari luar. Wajah menyinga Pak Samad terjengul dari balik
pintu.
“Tak guna! Dah banyak duit aku habis
hari ni. Satu sen pun aku tak dapat balik! Kalau macam ni keadaannya hari-hari,
sampai bila-bila pun aku tak boleh hidup senang!” maki Pak Samad.
Dia terus menghempas tubuhnya ke
kerusi. Kuat. Nafasnya turun naik, menahan marah yang masih bergelodak di dada
tuanya. Seharian masanya dihabiskan di warung makan Chuhalok bersama
kawan-kawannya. Nyata nasibnya hari ini memang malang. Hasil judinya kosong!
“Balik-balik dia jugak yang menang. Tak
guna punya Wong Pai! Tahu nak kikis duit orang saja!” maki Pak Samad lagi.
Dia merengus bila terpandang Ellina yang
entah bila sudah tercegat di tengah ruang pemisah di antara ruang tamu dan
dapur rumah mereka. Sebaik saja mendengar pintu rumah ditendang, Ellina sudah
bergegas ke situ. Takut-takut dia memandang gelagat lelaki tua itu.
“Apa kau tengok-tengok? Kau tak pernah
tengok aku ke, hah?” jerkah Pak Samad, menghambur marah kepada gadis itu pula.
Ellina menggeleng perlahan.
“Ayah main judi lagi ya?” Ellina
memberanikan diri bertanya. Tersentak dia bila Pak Samad menjerkah tinggi.
“Hei, kau tu hanya budak-budak tahu
tak! Bukannya ayah aku atau abang aku! Jadi, jangan pandai-pandai nak atur
hidup aku. Suka hati akulah nak buat apa pun. Tak payah nak mengajar aku
macam-macam!”
Ellina yang mendengar hanya menunduk
muka. Diketap bibirnya perlahan. Cuba menahan sebak yang sudah selalu menyapa
hati.
“Perangai kau sama saja macam mak kau.
Suka menyibuk hal aku. Baru setahun jagung umurnya dah pandai nak mengajar
orang tua. Hidup dalam dunia ni pun hanya tahu nak menyusahkan aku saja. Huh!”
Pak Samad kembali memaki.
Kakinya menyepak meja kecil di sudut
kerusi. Meja yang tidak tahu apa-apa itu tertonggeng memakan lantai. Pak Samad
kemudian terus bangun menapak ke dapur. Sempat dia menjeling marah kepada
Ellina sebaik melintasi tempat gadis itu berdiri.
Cepat-cepat Ellina membetulkan
kedudukan meja yang disepak ayahnya selepas itu.
Tangan Pak Samad menyambar tudung saji
yang terdampar di meja makan. Wajah marahnya kembali disimbah darah merah.
Tiada apa yang terhidang di atas meja plastik itu. Lalu tudung saji di tangan
dilambung kasar ke satu arah. Melayang jatuh mengenai tong sampah di tepi
dinding rumah.
“Ellina!” jerit Pak Samad sekuat hati.
“Ya, ayah,” sahut Ellina terkocoh-kocoh
berlari ke dapur. Ellina terjerit kesakitan bila tangan kasar Pak Samad terus
mencekak kuat kain tudung yang masih terlilit di kepalanya.
“Hei, budak tak guna! Kau buat apa
sepanjang hari kat rumah ni hah sampai sebiji nasi pun kau tak masak? Kau
membuta ya?” jerkah Pak Samad lalu menolak kuat tubuh Ellina hingga gadis itu
terdorong ke belakang.
Hampir-hampir tubuh kecil Ellina
terhempap ke dinding rumah jika Ellina tidak cepat-cepat mengimbang tubuhnya.
“Minta maaf, ayah. Ina banyak kerja kat
ladang hari ni. Ina tak sempat nak balik masak untuk ayah.” Tergetar-getar
Ellina menyahut.
Dia menjerit semula bila Pak Samad
kembali mencekak kepalanya sebelum wajah gadis itu ditonyoh ke permukaan meja
makan.
“Ooo... Kau pergi kerja ya? Kalau kau
pergi kerja, mana duit gaji kau, hah? Sesen pun aku tak pernah nampak! Kerja
konon. Budak tak guna!” Pak Samad menampar pula wajah Ellina.
Gadis itu sudah teresak-esak menangis.
Sakit bila diperlakukan begitu. Lelaki bengis itu pula langsung tidak peduli
dengan darah merah yang telah meleleh keluar dari tepi bibir gadis itu.
“Sakit, ayah... Tolong ayah, sakit...”
rayu Ellina dalam tangisannya. Dia cuba melawan, namun kudratnya tiada.
Genggaman tangan kasar Pak Samad dirasakan begitu kuat pada batang lehernya
ketika ini.
“Kalau kau tahu sakit, mana perginya
duit gaji kau, hah? Mana duit kau?” tengking Pak Samad masih tidak puas hati
membalun anak gadisnya. Wajah gadis itu ditampar lagi tanpa belas kasihan.
“Mana Ina ada duit lagi, ayah? Ayah kan
dah ambil semua duit gaji Ina daripada Puan Hajah? Ina dah tak ada duit lagi,”
ngongoi Ellina tetap menjawab biarpun sukar untuk bersuara.
“Huh, alasan kau saja tu! Macamlah aku
tak tahu, majikan kau tu selalu bagi duit lebih kat kau. Mana kau simpan duit
tu, hah? Cakap!” tengking Pak Samad semula.
Kali ini kepala Ellina dihentak ke dinding
rumah pula. Berpinar-pinar pandangan Ellina jadinya.
“Hei, anak tak guna! Mana duit kau,
hah?” Pak Samad semakin menyinga bila Ellina tidak menyahut. Gadis itu
menggeleng lemah.
“Tak ada, ayah. Ina dah tak ada duit,”
balas Ellina tergetar-getar menahan sakit. Terasa kepalanya berdenyut-denyut
ketika ini.
Semakin panas hati Pak Samad mendengar
jawapan Ellina. Mahu saja Pak Samad menampar muka gadis itu bila dia terpandang
sesuatu di pinggang Ellina. Pantas beg kecil berwarna hitam pekat itu dirampas.
Ellina terkejut.
“Jangan, ayah! Jangan ambil duit tu!
Itu duit makan kita, ayah! Itu aje duit yang Ina ada, ayah. Tolong, ayah,
jangan ambil!” Ellina kembali terjerit-jerit.
Dia cuba merebutnya dari tangan Pak
Samad. Ellina jatuh terduduk bila lelaki itu pantas menolak tubuh kecil
moleknya.
“Oh... Kau dah pandai berbohong dengan
aku sekarang ya? Tak ada duit konon. Ini apa? Anak tak guna!” jerkah Pak Samad
lalu... Pang! Satu lagi tamparan hinggap ke wajah Ellina.
Gadis itu tersungkur ke lantai.
“Ayah, tolonglah. Itu saja duit yang
Ina ada. Duit tu untuk beli keperluan makan kita, ayah. Tolong jangan ambil,
ayah. Tolonglah!” rayu Ellina.
Dia cuba mencapai kaki ayahnya, namun
Pak Samad terus menendang Ellina hingga tubuh yang sedia tidak bermaya itu
jatuh terlentang semula.
“Argh! Duit makan konon! Kalau kau nak
duit, kau pergilah minta dengan Puan Hajah tu. Dia kan suka bagi kau duit
selama ni?” balas Pak Samad tersenyum sinis.
Senang hatinya bila mendapat duit.
Walaupun tak sebanyak mana, namun sudah cukup untuk dia menebus semula
kekalahannya di warung Chuhalok tadi. Dia bergegas keluar. Tidak peduli pada
Ellina yang terus-terusan memanggil ayahnya. Dalam keadaan sakit, gadis itu
menangis penuh hiba.
“Ya Allah... Kuatkanlah imanku untuk
menghadapi segala dugaan-Mu ini,” pinta Ellina tertahan-tahan.
Dilap wajah basahnya dengan hujung
jari. Cuba menghalang air mata daripada terus-terusan mengalir keluar. Namun,
Ellina tidak berdaya. Hatinya terlalu hiba mengenangkan sikap Pak Samad yang
tidak berubah sejak dulu. Lantas air matanya jatuh lagi.
“Mak... Kalaulah mak masih hidup, pasti
hidup Ina takkan jadi begini. Sekurang-kurangnya, Ina masih ada tempat untuk
berkongsi perasaan Ina dengan mak,” ngongoi Ellina semula.
Kali ini dia terkenang kepada arwah
Hasnah yang telah lama pergi meninggalkannya. Akhirnya Ellina menangis lagi.
Meratap nasib sendiri.
No comments:
Post a Comment