Followers

Friday, 23 October 2015

BAB 7 - SUAMIKU KETUA GENGSTER


Bab 7
“Tapi kenapa saya Tengku?” soal Sarah, bagai tidak puas hati dengan keputusan itu. Lantas surat yang diberikan Tengku Iris Dania kurang seminit lalu ditatap semula. Jelas dia perlu akur walau dia kurang bersetuju dengan arahan rasmi yang telah dikeluarkan Tengku Iris Dania.
“Sebab kau seorang saja yang layak buat kerja ni Sarah, sebab tulah aku pilih kau.” Bersahaja jawapan Tengku Iris Dania.
Dia tetap juga beraku kau dengan Sarah biarpun di dalam waktu pejabat. Dia sudah terbiasa dengan keadaan itu dan tidak akan sesekali menukarnya selagi dia dan Sarah bersahabat baik. Itu janjinya kepada diri sendiri.
“Tapi Cherina kan ada? Dia pun tak kurang layaknya Tengku. Antara saya dengan dia, rasanya dia lebih layak untuk pegang jawatan tu.” Sarah masih cuba mencari alasan.
Mengingatkan renungan tajam Tengku Ishaan Danish menambahkan lagi rasa kurang senangnya. Eii... buat tegak bulu roma aku ajelah. Seram semacam, getus hatinya. Tanpa sedar Sarah sudah mengosok-gosok lengan sendiri.
“Itu pada kau, tapi pada aku, kau jauh lebih layak berbanding dia. Sebab pertama, kau dah lama bekerja di syarikat ni Sarah. Dah lebih daripada lima tahun sedangkan Cherina, tiga tahun pun belum sampai tempohnya. Sebab kedua, Ishaan baru sangat berada dalam bidang ni. Tak guna dia banyak pengetahuan kalau pengalaman apa pun dia tak ada. Jadi, kau sememangnya orang yang paling layak membantu dia membuat kerja-kerja syarikat ni. Senang cakap, kau memang layak menjadi setiausaha Ishaan sementara Ishaan nak mengenali dunia perniagaan,” terang Tengku Iris Dania panjang lebar.
“Ke... sebab Tengku dah tak mahu saya jadi setiausaha saya lagi?” Lirih Sarah bertanya, dengan raut muka benar-benar sedih.
Dia bukan tidak suka bertukar tempat dengan Cherina. Jujurnya, dia sudah selesa bekerja di bawah arahan Tengku Iris Dania. Biarpun wanita muda itu adalah sahabat baiknya, namun wanita beranak tiga itu tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Sarah. Malah Tengku Iris Dania telah banyak membantunya sejak mereka di bangku sekolah lagi. Bantuan yang akhirnya mengikat Sarah agar sentiasa mengingati diri sendiri tentang budi-budi yang telah diberikan Tengku Iris Dania sekeluarga kepadanya.
“Sarah, kau janganlah fikir macam tu. Tak ada maknanya aku nak buat macam ni semata-mata aku tak mahu kau jadi setiausaha aku lagi. Kau sendiri pun tahu kan macam mana keadaan aku dekat syarikat ni kalau kau tak ada? Tunggang-langgang jadinya. Tapi kali ini aku memang terpaksa buat keputusan ni Sarah sebab aku tahu Ishaan lebih perlukan kau berbanding aku.”
Sarah tidak menyahut. Dia tetap menunduk sedih. Lantas perlahan-lahan Tengku Iris Dania menghampiri gadis seusianya itu. Susuk tubuh gadis itu dipeluk erat dari arah belakang.
“Sarah, kau sendiri pun tahu kan. Aku tak pernah anggap sebagai kau orang asing dalam hidup aku. Kau adalah sahabat, kakak, adik dan segala-galanya buat aku. Kau telah banyak menolong aku dalam susah senang. Kau jugak yang banyak beri aku kekuatan dan semangat untuk teruskan hidup selain bonda aku setelah aku kehilangan ayahanda tersayang dulu.
“Jadi, aku harap untuk kali ini, kau boleh tumpangkan kekuatan dan semangat kau tu pada Ishaan pulak. Kau sendiri pernah kata, Ishaan tak ubah seperti kanak-kanak yang baru mengenali dunia perniagaan. Dia perlu seseorang untuk memimpin dia dalam arus dunia ni. Aku harap sangat seseorang itu adalah kau Sarah. Jadi, boleh tak kau tunaikan permintaan aku ni?” pinta Tengku Iris begitu lembut.
Redup matanya memandang Sarah yang perlahan-lahan mengangkat kepala sebelum gadis itu mengangguk lemah dalam senyuman hambarnya. Tidak sampai pula hati Sarah hendak terus memprotes tindakan wanita muda itu sedangkan Tengku Iris Dania lebih jauh berpengalaman dan berpengetahuan tentang dunia perniagaan berbanding dirinya. Pastinya wanita muda itu lebih tahu apa yang terbaik demi mereka semua.
“Tapi dengan satu syarat.” Sarah sudah menegakkan jari telunjuknya.
“Apa dia?”
“Saya akan bekerja dengan Tengku Ishaan hanya sampai hujung tahun ni. Tahun depan, saya nak duduk di meja saya semula,” pinta Sarah sungguh-sungguh. Meminta kepastian yang dia yakini tidak akan dicalari oleh wanita muda itu kerana dia tahu, Tengku Iris Dania seorang yang sangat berpegang pada janji.
“Okey, aku terima syarat kau.” Tengku Iris Dania sudah mengangkat tangan bagai mengangkat sumpah.
Lalu Sarah tersenyum dalam sayunya. Ya Allah... Moga-moga aku selesalah di tempat baruku nanti. Diam-diam, hati Sarah berdoa penuh harap.

“Sedihnya saya kak. Tak sangka saya kena naik atas. Rugilah saya lepas ni. Huhuhu...” Cherina sudah tersebik-sebik. Namun, tangannya tetap ligat mengemas barang-barangnya di meja kerja yang bakal diduduki Sarah tak lama lagi.
“Rugi? Apa yang ruginya?” soal Sarah, tak faham.
Dia ikut sama sibuk. Bezanya dia sibuk menyusun atur barang-barangnya yang dibawa turun dari tingkat atas ke meja kerja Cherina. Biarpun dia tidak suka berada di situ, mahu tak mahu dia terpaksa mengikut. Dah nama pun kerja dengan orang, kenalah ikut cakap dia orang, pujuk hatinya.
“Yalah, rugi. Lepas ni tak bolehlah saya nak sekodeng Tengku Ishaan lagi. Rugi saya kak,” ujar Cherina dengan bibir sudah semuncung semacam. Nampaknya dia benar-benar sedih dengan keadaan itu.
“Macam tu pun dikira rugi jugak ke?” soal Sarah dengan kening sudah terangkat sedikit.
Dia benar-benar tak faham dengan perangai gadis-gadis di zaman sekarang. Mudah jatuh cinta kepada mana-mana lelaki hanya bersandarkan pada paras rupa dan penampilan semata-mata. Macamlah Tengku Ishaan tu seorang saja lelaki yang wujud dalam dunia ni sampai tak boleh cari lelaki lain lagi dah, getus hatinya.
“Rugilah tu kak. Mana tahu, diam-diam saya berjaya buat dia jatuh cinta pada saya. Saya jugak yang untung dapat suami yang handsome, maco, kaya dan...”
“Kasanova. Kamu jangan lupa kriteria utama dia tu Cherina.” Sarah memintas pantas.
“Alah, kasanova ke, buaya emas ke, lantaklah kak. Janji saya dapat pikat hati dia. Tapi sekarang peluang tu dah tak ada. Lepas ni, terpaksalah saya menghadap muka Tengku Iris pula. Dahlah Tengku Iris tu cerewet, banyak mulut, tegas pulak tu. Eii... boleh stres saya kerja dengan dia nanti kak.” Cherina sudah membayangkan yang bukan-bukan.
“Jangan risaulah, Tengku Iris tak macam yang kamu fikirkan. Patutnya akak ni yang stres tau sebab kena kerja dengan bos yang lebih muda daripada akak. Dahlah tu, dalam jabatan ni ramai perempuan muda yang pandai bergaya pulak. Malu akak jadinya.” Sarah ikut serta mengeluh. Membayangkan nasib diri yang bakal dilaluinya tidak lama lagi.
“Alah. Akak nak malu apanya? Akak bukan buat salah pun kalau tak mekap tebal macam dia orang. By the way, siapa kata akak tak cantik? Sebab akak cantiklah akak dah ada tunang tau. Bukan macam saya. Harap aje mekap tebal hari-hari, pakaian seseksi yang boleh, tapi sorang lelaki pun tak lekat,” rungut Cherina.
“Belum sampai jodoh kamu tu lagi,” pujuk Sarah.
“Yalah kak. Ingatkan kalau saya dapat pikat Tengku Ishaan, bolehlah dia jadi jodoh saya. Rupa-rupanya, bukan dia orangnya untuk saya. Sedih saya. Huhuhu...” Cherina kembali tersebik-sebik. “Eh, tak apalah kak. Saya naik atas dulu ya? Marah Tengku Iris nanti kalau saya lengah-lengahkan masa.”
Tak jadi Cherina nak menyambung sedih bila bayangan puan Pengarah Urusan Seri Jaya Holding Berhad tiba-tiba menjengah ruang benaknya. Kelam-kabut dia mengangkat kotak kecil berisi barang-barangnya menuju ke ruang lif terdekat. Sarah yang memandang tingkah gadis itu kembali mengeluh kecil.
“Ya Allah... Harap-harap tak timbullah sebarang masalah sepanjang aku bertugas kat sini nanti,” kata Sarah sendiri. Lantas dia duduk di kerusi Cherina yang kini menjadi kerusinya pula sebelum tangannya menopang dagu.
Buat seketika dia melayan perasaan sendiri. Langsung tidak perasan sedari tadi Tengku Ishaan Danish ralit memerhati tingkahnya dari sebalik bidai bilik yang terbuka luas. Sambil duduk menyandar tubuh di kepala kerusi, lelaki itu tersenyum lebar. Senang hati kerana perancangan pertamanya telah berjaya. Perancangan yang diutarakan kepada Tengku Iris Dania sewaktu dia menemui kakaknya itu beberapa hari lalu dan ternyata Tengku Iris Dania termakan juga dengan kata-katanya. Buktinya, Sarah sudah berada di depan matanya sekarang.
“Kau memang tetap macam dulu Sarah. Cantik, manis, suka tersenyum. Pakaian pun masih serupa, tak habis-habis dengan baju kurung dan jubah kau tu. Imej kampung betul, tapi itu yang buat aku jatuh cinta pada kau. Kau tak pernah berubah walau hidup dalam dunia serba moden. Langsung tak tergugah dengan angin perubahan. Sesuatu yang tak ada pada gadis-gadis lain. Itu yang mengikat hati aku pada kau Sarah.” Tanpa sedar, Tengku Ishaan Danish sudah bercakap-cakap sendiri sambil mengoyang-goyang kerusinya ke kiri dan kanan. Mata pula masih tidak jelak menatap gadis itu.
“Puas hati aku, kau dah ada depan mata aku sekarang. Hmm... Ini baru permulaan sayang. Kau tunggu sajalah, aku akan tarik kau hingga kau jatuh dalam dakapan aku jugak suatu hari nanti. Kau jangan fikir aku hanya tengok kau begini saja sampai ke tua. Aku nak kau jadi milik aku satu masa nanti. Sama ada kau suka ataupun tidak, kau tetap kena suka. Okey sayang?” Tengku Ishaan bersuara lagi.

Hanya untuk pendengarannya sendiri biarpun kata-kata itu ditujukan kepada kekasih pujaan hatinya. Lantas dia tersenyum lagi. Sedang ruang kepalanya sudah penuh dengan angan-angan sendiri. 

No comments:

Post a Comment