Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 6



6
“Kau bahagia dengan rumah tangga kau sekarang?”
Terhembus keluar rengusan halus Azreen mendengar soalan itu. “Kau nampak aku macam bahagia ke sekarang?” soalnya sinis.
Afza tersenyum lebar. “Macam bahagia, tapi tak tahulah kalau-kalau kau terlebih bahagia,” usiknya.
Azreen tersenyum sinis. “Aku bahagia sangat, Za. Rasanya penghuni Hospital Bahagia pun tak sebahagia aku walau dia orang tinggal dalam hospital yang diberi nama Hospital Bahagia. Siang malam bahagia sangat-sangat sampai aku tak tahu macam mana nak terjemah rasa bahagia aku tu pada semua orang.”
Selamba sahaja Azreen membalas. Manakala dahi Afza pula terus berkerut-kerut.
“Kau cakap apa ni, Reen? Pening aku dengar. Aku cuma tanya kau bahagia ke tak. Yang kau bercerita bab bahagia sampai berbelit-belit ni kenapa? Confuse aku,” soal Afza betul-betul keliru. Niatnya hanya mahu mengusik Azreen, tapi kenapa otak dia pula yang terbelit nak memaham kata-kata wanita itu? Afza pening sesaat dua.
“Bahagialah, Za oi, kalau hari-hari kenyang dengar ceramah suami aku. Kadang-kadang dapat ekstra ceramah daripada mak mertua, ipar duai, sepupu sepapat. Itu belum dikira aku kenyang dengar maki hamun, peril-merli dia orang lagi. Pendek kata memang bahagialah aku hidup dalam neraka rumah tu. Bahagia sangat-sangat!” rengus Azreen dengan muka yang tetap serius. Dia mengeluh sesaat kemudian.
“Bahagia ke bendanya. Makin menderita adalah. Walaupun aku tak pernah lagilah sampai ke neraka, tapi rasanya keadaan hidup aku sekarang ni dah lebih daripada duduk dalam neraka tau. Siang malam menyakitkan aku aje,” sambung Azreen merungut keras.
“Maksudnya, kau dengan suami kau masih belum berbaik-baiklah ya? Begitu?” Afza meminta kepastian. Dia tersengih kelat apabila Azreen menjeling tajam.
“Tak payahlah kau buat-buat tanya, Za. Macamlah kau tak tahu keadaan kami sebelum ni.”
“Aku bukan apa, Reen. Manalah tahu kau orang dah berbaik-baik ke sehari dua ni. Aku pun tumpang bahagia tengok kau bahagia. Lagi bahagia rasanya hati aku ni kalau aku dapat a,nak saudara hadiah daripada kau dan suami.” Bersungguh-sungguh Afza meluah impian sendiri.
Memang sejak dulu dia kepingin melihat sahabat baiknya nan satu itu bahagia. Cukuplah dengan apa yang Azreen lalui selama ni. Dia tidak mahu malah tidak sanggup lagi melihat gadis itu menderita. Tapi, Afza juga tahu, bagaimana Azreen mahu bahagia jika gadis itu masih tegar dengan sikapnya seperti sekarang? Bukan saja tingkah, mulut gadis itu turut tajam lidahnya. Lebih tajam daripada mata pedang. Dengan kata-kata selambanya saja Azreen sudah mampu menghiris hati sesiapa. Mempunyai wajah secantik artis antarabangsa tidak bermakna wanita itu turut mempunyai tingkah dan tutur kata yang sedap didengar. Lagi berbisa daripada ular tedung adalah!
“Simpan sajalah impian kau nak beranak saudara tu, Afza. Jangankan anak saudara, anak tiri aku pun belum tentu sempat kau tengok nanti. Tak ada maknanya aku nak berbaik-baik dengan lelaki macam Tengku Aamir Budriez tu. Sedangkan lelaki yang tak ada rupa pun boleh berlagak perasan macam dialah Tom Cruise pujaan dunia, inikan pulak muka macam suami aku tu. Perasan nak mampus! Pantang jumpa perempuan, macam nak juling mata tengok. Agaknya kalau mata dia tu boleh dipasang mesin scan, dah berjuta-juta orang perempuan ditelanjangkannya.”
“Tak baik kau tuduh suami kau macam tu, Reen. Hak dia nak tengok kau macam mana sekalipun, kau mana boleh halang. Tapi kan, Reen, cubalah kau berbaik-baik dengan dia. Tak ke mananya kalau kau orang terus bergaduh pun. Mahu tak mahu kau orang dah jadi suami isteri. Takkan sampai ke tua kau orang nak bergaduh macam ni? Tak ada untungnya,” pujuk Afza lembut.
Dia berharap sungguh Azreen akan mendengar kata-katanya walau dia tahu, hati Azreen sekeras batu pejal. Tapi, kalau hari-hari dititik air, batu pun boleh melekuk. Asal jangan cepat berputus asa sudahlah. Atas pegangan itulah Afza tak jemu-jemu memberi nasihat kerana dia yakin hati Azreen pasti akan lembut juga suatu masa nanti.
“Aku dengan dia nak berbaik-baik? Kirim salam mautlah jawabnya. Sampai mati pun belum tentu aku ada rasa nak berbaik-baik dengan dia. Tak ada istilah berbaik-baik dalam hidup aku. Aku dengan dia hanya ditakdirkan untuk bergaduh, bergaduh dan bergaduh. Itu saja. Tak payah kata dia, satu keluarga dia tu pun kaki gaduh jugak. Mak dia ke, mak cik, pak cik dia ke, sepupu sepapat dia ke, semuanya suka bergaduh. Agaknya dah jadi tradisi dia orang turun temurun suka ajak orang bergaduh kut.
Nak kata gengster, melampau sangatlah pulak nak bagi gelaran macam tu sebab setakat ni dia orang ajak aku bergaduh mulut aje. Belum sampailah tahap nak angkat parang ke apa. Yang peliknya, pantang dia orang tengok aku, terus ajak masuk gelanggang debat. Tak dapat tidak, mesti ajak jugak tak kiralah siang ke, malam ke. Dahlah tu, dia orang aje yang nak menang. Sekali-sekala bolehlah aku tahan, tapi kalau sampai hari-hari dia orang ajak gaduh, jangankan aku, orang gila yang betul-betul gila pun boleh meroyan dibuat dia orang,” umpat Azreen langsung tidak bertapis kata. Sedang dia sendiri sedar, semua itu berpunca daripada dirinya sendiri yang langsung tidak pernah mahu mengubah tingkah buruknya.
“Maksud kau, dia orang memang tak boleh terima kehadiran kau dalam famili dia orang? Jadi, macam mana pulak layanan dia orang kat kau? Okey tak?” Nada suara Afza sudah bercampur dengan bimbang.
Jelas dia tidak puas hati dengan penjelasan panjang lebar Azreen tadi. Dia cukup arif dengan tingkah Azreen. Walau Azreen tidak pernah berbohong, tapi dia juga tahu Azreen suka menimbulkan masalah, terutama dengan orang-orang yang tidak disenanginya, sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya.
Untuk apa Azreen berbuat demikian, Afza cukup mengerti. Namunm biarlah dia saja yang mengetahui. Dan, kalau benarlah Azreen yang memulakan dulu pergaduhan dalam keluarga mertuanya, Azreen harus berubah tingkah. Takkan dengan mertua yang seharusnya dianggap seperti ibu sendiri itu pun nak diajak bergaduh juga sampai ke mati? Tidak berkatlah rumah tangga Azreen dan Tengku Aamir Budriez nanti.
“Okey apanya. Dah nama pun ramai manusia yang tinggal kat rumah tu, ramai jugaklah musuh yang aku kena hadap hari-hari. Kalau masing-masing berperangai elok, tak adalah aku kisah sangat. Ini semua jenis yang tahu nak berasapkan kepala aku aje. Kadang-kadang tu, rasa nak meletup kepala aku melayan kerenah entah apa-apa dia orang tu. Entah sampai bila aku kena tinggal dengan keluarga gila tu pun tak tahulah,” rungut Azreen lagi. Dia meramas-ramas kasar kentang goreng di pinggannya. Melepas geram yang tidak mampu disuakan kepada mereka yang sepatutnya.
Kalaulah dirinya seekor naga, sudah lama dia menyemburkan api supaya hangus seluruh keturunan Tengku Aamir Budriez. Bukan saja seluruh keluarga lelaki itu, pembantu-pembantu rumah keluarga lelaki itu pun dia akan lenyapkan dari muka bumi ni. Biar semuanya mati tanpa bernisan. Hidup pun tahu nak menyusahkan aku saja, maki hati Azreen. Tidak sedar dia terlalu mengikut nafsu amarah sendiri. Menyabitkan mereka yang tidak bersalah menyertai ledakan kemarahannya ketika ini.
“Bukan aku tak percaya dengan cakap-cakap kau tu, Reen, tapi dia orang semua tu kan dah jadi ahli keluarga kau. Baik atau buruk perangai dia orang, kau kena terima semuanya. Belajarlah untuk mengambil hati dia orang selalu. Kau tu pun tunjuklah sikap ramah sikit walau tak suka senyum. Ini tidak. Muka masam kelat kau tu jugaklah yang kau suka tayang kat siapa-siapa pun. Dahlah cakap tu pun main lepas aje. Mana dia orang tak kutuk kau selalu.” Dalam lembut Afza bertegas.
“Eleh. Bukan salah muka masam kelat aku ni yang buat dia orang suka kutuk aku tau, tapi dia orang yang tak ada adab. Ikut sedap mulut tak berjahit dia orang aje nak kata apa pun kat orang lain. Macamlah dia orang malaikat, tak pernah buat salah. Mentang-mentanglah dia orang keluarga jutawan, aku ni pulak cendawan, dia orang ingat aku takut nak melawanlah.
“Apa dia orang ingat aku nak sangat ke kahwin dengan lelaki bangsa buaya tembaga tu? Huh, boleh jalanlah! Kalau tak kerana dia yang buat pasal dan kalau tak kerana ayah aku yang paksa, kerat 20 pun aku tak inginlah nak jadi isteri dia! Buat bengkak hati, pedal, jantung, hempedu dan segala organ badan aku ni aje setiap kali tengok muka lelaki tak guna tu!” Berang Azreen makin menjadi-jadi apabila tiba-tiba bayangan Tengku Aamir Budriez menjelma di layar mata. Cepat-cepat dia menghalau. Meluat!
Afza menggeleng perlahan. “Jangan cakap macam tu, Reen. Apa yang berlaku antara kau dan dia adalah ketentuan Allah. Walau cara kau orang bertemu jodoh tu kelihatan hina di mata masyarakat, tapi Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk kau orang. Kau suka ataupun tidak, dia dah jadi suami kau, dunia dan akhirat. Keluarga dia pun dah jadi sebahagian daripada hidup kau, bukan saja sekarang, tapi seumur hidup kau perlu berdepan dia orang, Reen.”
Tak jemu-jemu Afza memberi nasihat walau Azreen bagai acuh tak acuh saja mendengar. Hati tengah marah, memang begitulah. Esok-esok dah sejuk, baiklah dia. Afza memujuk hati sendiri. Dia tidak mudah mengalah dalam menasihati sahabat baik yang sudah dikenali luar dalamnya sejak kecil.
“Ikutkan hati, nak saja aku minta cerai. Bukan talak satu, tapi talak tiga terus. Biar sampai reput tulang pun kami tak boleh rujuk semula. Tapi, tak tergamak pulak aku nak buat macam tu bila terkenangkan nenda dia. Walaupun orang tua tu tak tinggal bersama kita orang, tapi selalu jugaklah dia datang ke Teratak Indah tu, melawat anak cucu dia.” Selamba Azreen memandang Afza yang sudah terlopong mulutnya.
“Astaghfirullah al-azim… Kau ni dah gila ke apa, Reen? Bergegar tiang Arasy setiap kali seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tau!” marah Afza, tidak sedar sudah meninggikan suara. Dia terlupa seketika di mana mereka berdua berada.
Nak dikatakan Azreen tidak berpengetahuan agama, Azreen pernah menjadi johan hafazan al-Quran ketika di sekolah rendah. Masa di sekolah menengah pun Azreen menyandang gelaran qariah terbaik sekolah tiga tahun berturut-turut. Malah, Azreen tidak pernah tidak mendapat A bagi subjek pendidikan Islam dari awal persekolahan hinggalah ke SPM. Mustahil dalam bab munakahat ni Azreen terlepas pandang. Atau kau buat-buat lupa sebenarnya, Ustazah Azreen oi? Kepala Afza tergeleng-geleng semula. Pening!
“Cuba kau bagi tahu, apa sebab sebenarnya kau nak minta cerai, Reen? Nak kata suami kau tu jahat orangnya, tak pernah pulak aku dengar dia layan kau seburuk layanan kau pada dia. Nak kata dia dera kau, jentik telinga kau pun tak pernah dia buat. Kau tu aje yang tak pernah nak bagi peluang pada dia nak berbaik-baik. Sebab tulah rumah tangga kau orang jadi macam ni. Porakperanda macam kapal pecah aje!” sembur Afza geram sungguh dengan perbuatan singkat akal Azreen.
Kalaulah dia tak kenangkan Azreen itu sudah dianggap saudara dunia akhirat, sudah lama disuanya penampar sulung ke muka serius Azreen. Biar gadis itu sedar diri sikit. Sudah mendapat suami sebaik Tengku Aamir Budriez pun Azreen masih nak buat perangai. Memang kurang akal betul kawan aku nan seorang ni. Hati Afza turut sama memarahi Azreen.
Sudahlah suaminya itu gentleman orangnya, segak bergaya pula tu. Nasib baik aku ni kuat iman jugak orangnya. Kalau tidak, aku pun dah lama terpikat dengan suami Azreen. Kaya harta, kaya budi bahasanya, siapa yang tak nak? Entah bila aku boleh dapat seorang suami macam Tengku Aamir Budriez pun tak tahulah. Eh, apa yang aku merepek ni? Syuh! Syuh! Cepat-cepat Afza menghalau keluar semua itu dari ruang kepalanya. Semakin banyak dia berfikir tentang rumah tangga Azreen, semakin merepek pula akalnya.
“Huh, baik apanya. Kau tak tahu, Za. Suami buaya tembaga aku tu kasanova paling glamor kat KL ni. Tak kira masa, ada saja perempuan nak kenal dengan dia. Yang dah kenal tak payah katalah, memang tak malu call dia siang malam. Tak dapat call, ada jugak yang datang ke rumah. Kalau tak menyusahkan aku tak apalah jugak. Ini aku yang terpaksa selesaikan semuanya.
Lepas tu aku jugaklah yang kena sembur dengan keluarga Tengku Aamir Budriez. Aku tak pandai jaga suamilah, aku tak tahu nak layan tetamulah, ada ajelah yang tak kena. Yang datang tu pulak jenis manusia yang tak ada agama. Harap muka aje boleh tahan, tapi perangai Allah saja tahu. Aku rasalah, kera dalam hutan pun lebih bersopan santun kalau dia pandai bercakap dengan manusia jika dibandingkan dengan perempuan-perempuan yang datang cari suami aku tu.” Azreen benar-benar bengang setiap kali memikirkan semua itu.
Dia tidak peduli jika orang menuduhnya tidak pandai menjaga suami, tapi yang menambahkan rasa bengangnya, kenapa dia pula yang perlu memujuk perempuan-perempuan tu pulang jika Tengku Aamir Budriez tidak mahu bertemu dengan mereka? Sedangkan perempuan-perempuan tidak tahu malu itu mahu berjumpa dengan lelaki itu, bukannya dengan dia! Pastinya Azreen cukup benci mahu menatap wajah setiap satu perempuan-perempuan itu. Gatal masing-masing bagaikan diri terkena biang keladi selori. Terlalu gedik!
“Aik… bunyinya macam kau cemburu aje,” usik Afza tersengih nakal. Keningnya sudah terjongket-jongket tinggi. Kelat senyumannya bila mendengar jawapan Azreen.
“Aku nak cemburu? Hei… tolonglah. Tak payah kata nak berdating, dia nak kahwin lain pun aku tak hairanlah. Lagi aku sudah adalah. Kalau dia kahwin tiga sekalipun lagi aku suka. Tak ada giliran untuk aku pun tak apa. Tak ada langsung pun lagi baik. Mata aku pun tak sakit tengok dia, tekak aku ni pun sihat tak perit dah nak bergaduh-gaduh dengan dia. Hati aku ni lagilah, happy aje memanjang.” Suara Azreen langsung terhenti di situ apabila matanya terpandang kelibat seseorang melangkah masuk ke ruang restoran makanan segera tempat dia dan Afza berada sekarang.
“Apanya?” Terpinga-pinga Afza bertanya bila lengannya ditepuk Azreen. Bulat saja matanya memandang Azreen memuncung bibir ke satu arah.
“Kau tengok perempuan tu.”
“Perempuan? Perempuan mana pulak ni, Reen? Ramai sangat perempuan kat dalam ni tau.” Afza sudah tercangak-cangak mencari.
“Itu, yang pakai baju macam dah nak telanjang tu.” Azreen mengunjuk jari tepat kepada seorang gadis yang berdiri tidak jauh daripada mereka. Ralit gadis itu berbual-bual dengan beberapa orang temannya tanpa menyedari pergerakannya sedang diperhatikan Azreen dan Afza.
“Apa pendapat kau tentang dia?” Sambil mencicip air minuman berkarbonatnya, Azreen bertanya. Matanya masih tidak bertukar arah. Afza juga begitu.
“Cantik orangnya, tapi seksi sangatlah pakaian dia tu. Tengok gaya macam anak orang berada. Boleh jadi dia model. Tapi itulah, nampak sombong aje. Tengok tu, langsung tak tahu nak senyum kat orang. Boleh pulak dia jeling mak cik yang beratur kat sebelah dia tu walhal bukan main lebar lagi orang tua tu senyum kat dia. Apa jenis perempuan pun tak tahulah.” Komen Afza lebih kedengaran seperti mengutuk sebenarnya. Tidak sedar sahabat baiknya, Azreen juga tidak kurang teruk tingkahnya walau penampilan Azreen jauh berbeza daripada penampilan gadis yang kini menjadi mangsa kutukan mereka. Sedangkan Afza tidak tahu.
Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Bukan saja dia, bahkan ramai lagi manusia di dalam dunia ini yang terlupa, malah ada juga yang langsung tidak mengambil tahu tentangnya.
Afza kembali memandang Azreen tatkala dia terfikir sesuatu. “Yang kau beria-ia suruh aku tengok perempuan tu kenapa? Kau kenal ke dia tu?”
“Apa pulak tak kenal. Kalau kau nak tahu, perempuan tulah bekas tunang Tengku Aamir Budriez merangkap bakal isteri tak jadi lelaki buaya tembaga tu,” beritahu Azreen selamba.
Afza terlopong lagi. Kali ini lebih luas. “Itu bekas tunang Tengku Aamir Budriez? Kau jangan main-main, Reen.”
Lekas-lekas mata Afza mencari semula kelibat Tengku Suraya. Gadis itu sedang leka menikmati hidangan bersama teman-temannya di satu sudut restoran. Sesekali kedengaran gelak tawa mereka hingga menjemput pandangan tidak selesa pengunjung-pengunjung lain. Sayang… muka cantik dah macam muka ratu, tapi perangai... alahai, macam hantu! Dia gelak ke mengilai tu? Sama macam puntianak! Hati Afza kembali mengutuk.
“Kenapa? Tak percaya?” soal Azreen tersenyum sinis.
“Memang pun! Gila kau, seksi betul perempuan tu. Macam tak cukup duit nak beli pakaian! Tapi, nak kata tak cukup duit, gaya tu macam terlebih duit. Mungkin nak berjimat kut, sebab tulah dia pakai pakaian singkat-singkat aje. Murah belanja kata orang! Tapi, kalau aku di tempat Tengku Aamir Budriez, tak adanya aku nak buat tunang. Buat kawan pun belum tentu aku mahu. Bukan nak memilih ke apa, tapi dalam Islam pun kita digalakkan mencari kawan yang baik. Barulah kita terikut-ikut baik. Ini kalau dah pakaiannya tu pun dah begitu, sendiri fahamlah perangainya macam mana pulak.” Panjang lebar Afza memberi komen ala-ala juri rancangan America’s Next Top Model.
“Sebab tulah aku rasa rumah tangga aku takkan selamat sampai kiamat pun,” sahut Azreen menyudahkan minumannya.
Dia tidak suka minuman manis seperti air berkarbonat itu, tapi membazir kan amalan syaitan? Walau dia tak baik sangat orangnya, tapi dia tak ada berminat untuk menjadi pengikut makhluk yang dilaknat Allah itu. Sekurang-kurangnya dia masih ada perasaan untuk berbuat baik dalam sesetengah perkara.
“Maksud kau?” Dahi Afza sudah berkerut. Tak faham.
“Perempuan tu masih mengganggu suami aku sampai sekarang.” Tenang saja Azreen memberitahu. Seolah-olah bahtera perkahwinannya dan Tengku Aamir Budriez aman dan bahagia saja pelayarannya ketika ini.
Afza terjegil. Terkejut. “Maknanya dia orang masih berhubunglah ya?”
Azreen mengangguk. “Setahu aku, dia masih cintakan Tengku Aamir Budriez. Tak tahulah dia cintakan suami aku tu atau duitnya aje. Maklumlah, lelaki bangsa buaya tembaga tu kan tak lokek nak menabur duit pada perempuan. Tu sebablah Tengku Suraya tak jemu-jemu berusaha nak dapatkan dia semula. Tapi, dia orang kan sepupu. Jadi, aku tak boleh salahkan dia jugak kalau hari-hari dia datang jumpa suami aku. Lagipun, apa aku kisah? Dia orang nak berjumpa ke, nak berdating ke, tak ada kena-mengenanya dengan aku. Janji tak kacau hidup aku sudah.”
“Kalau beginilah keadaan rumah tangga kau, Reen, aku rasa kau kena buat tindakan drastik untuk selamatkan rumah tangga kau tu.” Afza bersuara setelah terdiam beberapa saat. Dia bukan pelukis pelan, apalagi jurutera, tapi dalam kepalanya sudah terbentuk beberapa rancangan bagi mengukuhkan rumah tangga sahabat baiknya yang sedia bergoyang dari awal. Terbaik punya rancangan.
“Tindakan drastik apa pulanya, Za?” Kening Azreen sudah berkerut. Doktor Afza ni, macamlah dia tu pegawai perangkaan. Ada-ada sajalah pelan dia. Entah boleh pakai ke tidak, tak tahulah. Jangan menyusahkan hidup aku sudah, gerutu hati Azreen.
 “Mulai hari ni, kau kena mengurat suami kau habis-habisan. Biar dia tak pandang langsung perempuan lain,” tegas Afza bagai seorang ibu yang sedang menasihati anak menantunya yang bermasalah ketika ini. Bersemangat sungguh!
Hampir tersembur keluar air di mulut Azreen apabila mendengar jawapan serius Afza. “Hah?! Aku nak mengurat suami aku?”
Perlahan-lahan Azreen tersenyum sebelum dia tertawa selepas itu. Kuat hingga berair kelopak matanya. Kaget Afza memandang Azreen.
“Yang kau gelak sakan macam tersampuk jembalang tanah ni kenapa?” soalnya tak puas hati. Bertuah punya kawan. Aku bagi idea punya baik, dibantai gelak pulak. Gelak sakan pulak tu! Aku cucuk ubat pelali karang, koma jugak budak Azreen ni nanti!
“Alahai… Afza, Afza. Kalau ya pun kau nak bagi cadangan, bagilah yang bernas sikit. Aku sendiri pun tak kisah perempuan lain mengurat dia, kau nak suruh aku mengurat dia pulak. Itu bukan selesaikan masalah, tapi menambah masalah namanya. Tak pasal-pasal aku dah termasuk dalam golongan perempuan muka kulit biawak, tak tahu malu mengurat jantan macam tak dah tak laku sangat. Tak nak aku!” sahut Azreen lalu ketawa lagi. Dia terjerit kecil bila pap, penampar bisa Afza singgah ke lengannya.
“Apa ni, Za? Sakitlah!” marah Azreen sambil menggosok-gosok lengannya yang mula memerah. Betullah dia ni keturunan Mat Kilau. Bukan Datuk M. Daud Kilau penyanyi gelek tu, tapi Mat Kilau pahlawan termasyhur di Pahang sana nun. Sekali ditampar, pedihnya boleh terasa hingga ke dalam tulang!
“Tahu pulak rasa sakit. Boleh kau gelakkan cadangan terbaik aku tu ya? Hampeh punya kawan!” marah Afza sudah menjegil mata. Konon-konon sudah habis garanglah tu!
Azreen tergelak semula. “Mahu aku tak gelak. Cadangan kau tu sama aje macam cadangan budak sekolah menengah tak habis belajar, tapi dah gatal nak kahwin. Kalau ya pun, up gradelah sikit cadangan kau tu. Bagilah cadangan yang boleh bagi aku faedah ke, duit ke, happy ke.”
Azreen tersenyum. Dia sangat faham dengan perangai Afza. Nama saja doktor, tapi akal fikiran masih di tahap remaja terutama dalam bab-bab begini. Punyalah bersemangat nak menolong kawan, tapi hampeh! Tak boleh dipakai langsung cadangan gila-gilanya. Itu mesti sebab Afza sudah terjangkit pesakit-pesakit mental dialah agaknya. Jangan Afza betul-betul gila dahlah. Apa aku nak jawab kat Ayah Musa nanti bila anak dara dia dah sama taraf perangainya macam pesakit di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan? Belajar tinggi-tinggi jadi gila pulak. Kasihan… Akal Azreen sudah jauh merepek.
“Apa pulak cadangan budak sekolah menengah? Tu cadangan tip-top tau! Daripada kau biar perempuan lain yang mengurat suami kau, baik kau sendiri yang mengurat dia. Kau dapat pahala, suami kau pun makin sayang, rumah tangga kau pun selamat sejahtera. Tahu tak?” marah Afza memandang Azreen yang kembali beriak serius.
“Okeylah. Aku minta maaf. Aku sebenarnya bukan nak gelakkan kau, tapi aku betul-betul tak boleh terima cadangan kau tu. Kau fikirlah, Za, macam mana aku nak mengurat suami aku tu kalau nak tengok muka dia pun aku tak ada selera.?Tak lalu makan aku jadinya tahu. Tak payah kata mukalah, dengar suara dia pun aku rasa macam nak terajang dia bagi mati aje terus. Tapi, sebab aku masih ada iman dan akal waraslah aku tak jadi buat macam tu. Aku pun masih tahu apa adab sesama suami isteri walau aku tak pernahnya nak pratis semua tu dalam rumah tangga sendiri,” keluh Azreen.
“Dahlah, Za. Tak payahlah kita nak bersembang pasal hal ni lagi. Sampai subuh esok pun belum tentu habis bercerita. Jomlah aku hantar kau balik hospital. Masa rehat kau pun dah nak habis. Karang ada pulak pesakit kau yang mati kalau kau lambat rawat dia orang. Kita pun dah tentu sangatlah tak sempat nak solat zohor nanti,” sambung Azreen. Dia terus menolak kerusi lalu bangun.
Afza ikut serta. “Kau ni, Reen. Betullah mulut macam puaka. Sedap lidah kau aje nak cakap apa pun ya.”
“Sebab tulah keluarga suami aku tak sukakan aku, Za. Mulut aku ni, celopar tak ingat! Sepatah dia orang kata, seribu aku jawab. Dahlah tu, pedas ala-ala makan cili api sebakul pulak tu. Mahu tak terbakar dia orang nak tahan sabar dengan perangai aku. Agaknya kalaulah dia orang ada kuasa nak pancung orang macam raja zaman dulu-dulu tu, akulah orang pertama yang jadi korban.” Azreen tersengih dengan kata-kata sendiri.
“Kalau dah tahu orang tak suka, ubah-ubahlah perangai buruk kau tu sikit. Mulut tu, jangan main lepas aje bila bercakap. Lama-lama nanti, sayanglah dia orang kat kau.”
“Aku nak berubah perangai demi dia orang? Huh, tak ada maknanya! Hati sendiri pun aku tak jaga, inikan pulak nak jaga hati dia orang. Sendiri punya perangai, sendiri-sendirilah jaga. Apasal aku pulak yang kena berubah demi dia orang? Aku mati lepas tu hidup balik, lepas tu mati balik, lepas tu hidup balik pun aku takkan berubah. Lantaklah dia orang nak kata apa. Janji aku adalah aku. Ada faham?” ujar Azreen menjeling sekilas Afza di sisi.

“Reen, Reen… Habis modal dah aku nak nasihat kau.” Afza tergeleng perlahan. Sudah tidak tahu nak berkata apa lagi. Dia menyerah kalah!

No comments:

Post a Comment